1
NASIONALISME MELAYU 1945-57: BRITISH, UMNO DAN GERAKAN KIRI MELAYU1
Azmi Arifin
Pengenalan
Tahun 1945-57 merupakan satu tempoh yang amat penting dalam pengkajian sejarah
Malaysia. Ia merupakan dua belas tahun terakhir pemerintahan British yang menyaksikan
tersekatnya kemaraan kolonialisme dan permulaan proses dekolonisasi. Dekad itu
diwarnai oleh desakan dunia selepas perang yang memaksa kuasa-kuasa penjajah Eropah,
khususnya Britain, menyerahkan semula pemerintahan sendiri kepada seluruh tanah
jajahannya. Namun apa yang sebaliknya berlaku dalam konteks perkembangan politik di
Tanah Melayu 1945-57 adalah proses rekolonisasi. Dalam usaha menyerahkan
pemerintahan sendiri, British terlebih dahulu mahu mencorakkan keadaan yang dapat
menjamin pengekalan pengaruh dan kepentingan kolonialismenya di Tanah Melayu.
Dalam memenuhi matlamat itu, British perlu menjajah Tanah Melayu sepenuhnya terlebih
dahulu sebelum dapat memberikannya pemerintahan sendiri.
Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, penguasaan British di Tanah Melayu
masih belum menyeluruh. Walaupun berkuasa di Negeri-Negeri Selat yang diletakkan
sebagai koloni British, namun kekuasaan British di negeri-negeri Melayu lain tersekat oleh
perjanjian-perjanjian awal yang pernah dibuat dengan sultan-sultan Melayu.2 Perjanjian itu
membayangkan kehadiran British di negeri-negeri Melayu hanyalah sebagai ‘pelindung’
atau ‘penasihat’, dan mereka perlu menghormati hak asal penduduk peribumi dari segi
adat resam budaya dan agamanya, kedaulatan kuasa Sultan dan kedudukan negeri-negeri
Melayu yang bebas dan tersendiri.
Kewujudan pentadbiran yang bebas dan berasingan di setiap negeri Melayu
sebelum 1940 itu dianggap sebagai satu kelemahan terutamanya dari sudut kepentingan
ekonomi, pentadbiran dan pertahanan British. Walaupun usaha-usaha telah dibuat oleh
pihak British sejak sekitar tahun 1920-an dan 1930-an lagi bagi menyatukan kesemua
negeri tersebut di bawah satu bumbung pentadbiran berpusat, atau penjajahan berpusat,
namun ia menemui kegagalan kerana mendapat tentangan daripada pemerintah Melayu.3
Tidak hairanlah penjajahan Jepun yang menyediakan suatu kekosongan politik dan
memperkenalkan bentuk pemerintahan baru telah dianggap sebagai satu rahmat oleh
sesetengah pegawai British. Ia adalah “…a God-sent chance to clear up all the country’s
2
troubles…”.4 Di sebalik tanggapan umum yang memperlihatkan penjajahan Jepun
membawa suatu rahmat besar kepada orang Melayu,5 ia sebenarnya merupakan permulaan
zaman malapetaka kepada seluruh orang Melayu.
Apabila menjejakkan semula kaki ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah,
British yang tidak bercadang untuk kembali semula kepada status quo politik sebelum
perang telah menyiapkan satu rancangan baru bagi menyusun semula struktur pentadbiran
politik dan ekonomi negeri-negeri Melayu. Dasar kolonialisme baru, yang dikenali sebagai
Malayan Union (MU), akan menyatukan kesemua negeri Melayu, kecuali Singapura, ke
dalam sebuah koloni British kononnya sebagai “...langkah persediaan untuk mengatur ke
arah pemerintahan sendiri.”6 Namun tujuan sebenarnya adalah bagi menjaga kepentingan
eksploitasi ekonomi di Tanah Melayu. British perlu menggerakkan pemulihan segera
ekonomi negaranya yang terhumban selepas perang dan Tanah Melayu telah menjanjikan
potensi sumber-sumber ekonomi yang amat diperlukan bagi melaksanakan pelan
pemulihan itu.
Rancangan MU mewujudkan tiga perubahan utama yang dipercayai akan
mempengaruhi kepada penghakisan kekuatan politik orang Melayu. Pertama, kedaulatan
kuasa pemerintah tradisional Melayu akan dihapuskan dan diletakkan di bawah kekuasaan
ratu British. Kedua, kedudukan negeri-negeri Melayu yang masih bebas akan hilang di
bawah kekuasaan sebuah kerajaan berpusat. Ketiga, kedudukan orang Melayu sebagai
pemilik asal dan mutlak Tanah Melayu akan dihapuskan dan hak-hak istimewa orang
Melayu akan diperluaskan kepada bukan Melayu.7 Cadangan-cadangan terhadap
rancangan baru ini telah dibentang dan diluluskan oleh Kabinet Perang British sejak
sebelum 1944 lagi. Ia secara tergesa-gesa cuba dilaksanakan di Tanah Melayu setelah
pihak Jepun menyerah kalah lebih awal.
Reaksi orang Melayu terhadap dasar kolonialisme baru ini ialah memuncaknya
penentangan nasionalisme terhadap British.8 Terdapat dua bentuk gerakan nasionalisme
tempatan sebagai tindakbalas terhadap dasar penjajahan semula British itu. Pertama,
nasionalisme ‘arus kanan’ atau ‘arus atas’ yang diperjuangkan oleh golongan elit Melayu
berpendidikan Barat untuk mempertahankan hak-hak elit dan konservatif Melayu, dengan
slogan ‘Hidup Melayu’, khususnya melalui United Malays National Organization
(UMNO) yang ditubuhkan pada 1946. Kedua ialah nasionalisme ‘arus kiri’ atau ‘arus
bawah’ yang bermatlamat menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dengan apa jua cara,
termasuklah melalui jalan perundingan hinggalah, jika terdesak, menggunakan taktik
kekerasan.9 Perjuangan ini dibawa oleh gerakan nasionalis kiri Melayu yang telah
3
bergerak lama sebelum penubuhan UMNO, khususnya melalui Parti Kebangsaan Melayu
Malaya (PKMM) yang ditubuhkan sejak 1945.
Timbul kekeliruan dan percanggahan pendapat dalam kalangan ahli sejarah tentang
corak perjuangan kedua-dua gerakan nasionalisme Melayu yang berkembang pada
peringkat itu. Umumnya ahli sejarah yang membahaskan tentang sifat kedua-dua gerakan
nasionalisme itu hanya menumpukan kepada perkembangan mana-mana satu gerakan dan
mengasingkannya daripada peranan atau sumbangan pihak yang satu lagi. Ahli sejarah
juga umumnya gagal memperlihatkan secara jelas peranan pihak ketiga dan sebenarnya
yang paling berpengaruh, iaitu British, dalam menentukan kejayaan mahupun kegagalan
gerakan-gerakan tersebut. Akibatnya, kejayaan dan kegagalan sesuatu gerakan
nasionalisme itu cuba diperlihatkan hanya dalam konteks kekuatan dan kelemahannya
sendiri, misalnya dari segi ideologi, prinsip perjuangan mahupun sokongan rakyat, yang
dianggap menjadi penentu utama, lalu dipisahkan daripada peranan besar yang dimainkan
oleh British sebagai penentu sebenar.
Bagi membolehkan kita memahami perkembangan sebenar yang berlaku, kajian ini
akan cuba mengenengahkan bukan sahaja perspektif penulis tempatan yang cenderung
memperlihatkan tafsiran nasionalisme Melayu berasaskan tema perjuangan ‘kanan’ dan
‘kiri’, tetapi juga catatan daripada sumber-sumber luar dan sumber rasmi pihak British
sendiri yang dapat menjelaskan tentang reaksi pihak British dalam menangani kedua-dua
bentuk gerakan nasionalisme tersebut. Kajian ini akan menjelaskan bagaimana persaingan
sengit yang wujud antara kedua-dua gerakan nasionalisme ‘kanan’ dan ‘kiri’ Melayu telah
dipergunakan sepenuhnya oleh pihak British bagi mengekang kebangkitan nasionalis anti-
kolonial dan seterusnya memastikan dasar-dasar yang cuba dilaksanakannya di bawah
rancangan MU dapat dipenuhi sebelum kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu
pada 1957.
Nasionalisme Melayu dari Catatan Penulis Awal
Kajian-kajian tentang sejarah gerakan anti-kolonial dan perjuangan menuntut
kemerdekaan Tanah Melayu telah dilakukan oleh para sarjana tempatan sejak dari awal
lagi. Bermula sekurang-kurangnya sejak tahun 1950-an dan 1960-an melalui beberapa
tulisan antaranya oleh Ungku Aziz dan T. H. Silcock (1953), Raden Soenarno (1959,
1960), Ishak Tadin (1960), Mohammad Yunus Hamidi (1961) dan Yusof Ngah (1967),10
4
ia seterusnya disambung pada 1970-an oleh beberapa penulis seperti Jang Aisjah Mutalib
(1972), James P. Ongkili (1971/72, 1974), Maymon Ariff (1973/74),11 dan ramai lagi.
Pengkajian yang bertemakan sejarah perjuangan orang Melayu dan Tanah Melayu
semakin berkembang pada 1980-an dan 1990-an, dengan lahirnya beberapa tulisan pada
1980-an oleh penulis-penulis tempatan seperti Timah Hamzah (1981), Khong Kim Hoong
(1984), Jagjit S. Sidhu (1985), Ahmad Fawzi Basri (1986) dan Cheah Boon Kheng (1985,
1988),12 manakala kajian-kajian pada sekitar tahun 1990-an telah dilakukan oleh Arifin
Omar (1993), Abdullah Zakaria Ghazali (1995), Abdul Latiff Abu Bakar (1996) dan
Ramlah Adam (1998).13
Secara umumnya kebanyakan tulisan yang dihasilkan oleh para pengkaji di atas
menganggap bahawa sebelum 1941 masih belum wujud suatu kesedaran politik dan
tuntutan kemerdekaan yang jelas dalam kalangan orang Melayu. Sehingga penjajahan
Jepun pada 1941, atau sekurang-kurangnya sehingga penubuhan Kesatuan Malaya
Merdeka (KMM) pada 1938, orang Melayu dikatakan masih lagi selesa berada di bawah
‘perlindungan’ British. Menurut Ramlah Adam, kesedaran orang Melayu yang wujud
sebelum zaman Jepun adalah lebih bersifat memajukan diri dalam bidang ekonomi dan
sosial, manakala usaha untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan adalah
sesuatu yang asing buat mereka.14
Antara tulisan awal yang sering menjadi rujukan pengkaji tempatan dalam
perbincangan tentang nasionalisme Melayu ialah yang dikemukakan oleh Raden Soenarno
pada 1960. Dalam kajiannya itu, Soenarno telah membahagikan tahap-tahap kesedaran
nasionalisme Melayu kepada tiga peringkat. Pertama ialah peringkat agama (1906-1925),
kedua sosioekonomi (1926-36), manakala peringkat ketiga iaitu politik dikatakan hanya
wujud sejak 1930-an. Tahap-tahap ini telah ditandai dengan perkembangan peristiwa-
peristiwa tertentu seperti kelahiran al-Imam, Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan
KMM. Sungguhpun Soenarno berpendapat bahawa kesedaran orang Melayu telah bermula
sekurang-kurangnya sejak tahun 1920-an lagi, tetapi hingga 1938 ia dikatakan masih
berada pada tahap permulaan. Kegiatan orang Melayu sehingga 1938, menurut Soenarno,
“...had not really entered into the political arena, but still in the process of preparing to do
so.”15
Soenarno menganggap kesedaran politik dan nasionalisme Melayu telah melalui
proses evolusi yang amat lembap. Kemunculannya juga lebih disumbangkan oleh dasar-
dasar pemodenan serta penyatuan Tanah Melayu yang dilaksanakan oleh British.
5
Sekiranya ini tidak berlaku tidak akan wujud kesedaran politik dan bangsa di Tanah
Melayu. Biarpun British telah melakukan pemodenan di Tanah Melayu, namun ia tidak
mampu mengubah sepenuhnya pemikiran orang Melayu, sebaliknya mewujudkan konflik
dengan unsur ‘feudal’ yang diamalkan oleh mereka. Daripada konflik itulah, menurut
Soenarno, lahirnya nasionalisme Melayu yang lebih merupakan “...suatu percubaan oleh
masyarakat feudal bagi menyesuaikan dirinya dalam susunan baru dunia demokrasi dan
sosialisme, daripada mewakili suatu kebangkitan nasional rakyat untuk mencapai
kebebasan politik daripada dominasi kaum asing.”16
Tulisan Soenarno telah mempengaruhi pandangan seorang pengkaji Barat iaitu W.
R. Roff yang telah menghasilkan satu kajian tentang sejarah nasionalisme Melayu secara
lebih menyeluruh pada 1967. Tulisannya The Origins of Malay Nationalism cuba
mengukuhkan pandangan awal bahawa kesedaran politik dan bangsa adalah sesuatu yang
asing bagi orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Roff menganggap orang Melayu
tidak pernah mempunyai kesedaran politik anti-kolonial atau memperjuangkan
kemerdekaan Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Persatuan-persatuan Melayu
bersifat kenegerian yang ditubuhkan sekitar 1930-an untuk memperjuangkan nasib orang
Melayu dianggap oleh Roff tidak lebih sebagai “...chauvinist or ethnicist rather than
politically nationalist...professed complete loyalty to the traditional Malay establishments
on the basis of the separate state structure, and an almost equal enthusiasm for British
colonial rule, as the bulwark for the time being of Malay interests against the rapacious
demands of Malayan-domiciled aliens.”17 Pandangan-pandangan ahli sejarah tempatan
selepasnya amat dipengaruhi oleh tulisan yang dikemukakan oleh kedua-dua penulis ini.
Pengkaji-pengkaji tersebut tidak menganggap perjuangan awal orang Melayu
menentang penjajahan asing lama sebelum 1930-an sebagai satu bentuk perjuangan
nasionalisme. Perjuangan yang dibawa oleh pemimpin tradisional dan bangsawan Melayu
seperti Dol Said, Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Yamtuan Antah, Dato’ Bahaman, Mat
Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan sebagainya dianggap hanya sebagai
pemberontakan kaum primitif dan berlaku disebabkan oleh kepentingan diri, ketamakan
kuasa dan reaksi ‘feudal’.18 Rakyat bawahan didakwa telah menyokong perjuangan
mereka bukan disebabkan oleh adanya kesedaran politik atau bangsa, tetapi kerana
dipaksa atau wujudnya kesetiaan yang membabi buta terhadap pembesar ‘feudal’
mereka.19 Jauh sekali daripada cuba memperlihatkan perjuangan golongan agama
sehingga sekitar 1920-an sebagai suatu kebangkitan nasionalisme, kajian-kajian di atas
bahkan tidak pun menganggapnya sebagai tahap permulaan kesedaran politik orang
6
Melayu. Perjuangan ‘Kaum Muda’ yang sering diperlihatkan dipimpin oleh ‘bukan
Melayu yang tulen’ misalnya dianggap hanya menumpukan kepada soal agama semata-
mata.20 Pergerakan ini dikatakan telah gagal memperjuangkan hasrat politik orang Melayu
sehingga menyebabkan peranan mereka sering diremehkan atau diabaikan oleh pengkaji
sejarah.
Oleh kerana selepas penaklukan Jepun 1945 barulah kemelut politik yang melanda
orang Melayu dan kesedaran serta tuntutan terhadap hak-hak bangsa Melayu sebagai
pemilik tunggal Tanah Melayu menjadi semakin jelas, maka ramai yang menganggapnya
sebagai titik permulaan terbentuknya kesedaran nasionalisme Melayu. Ahli sejarah yang
mengkaji tentang perkembangan politik Melayu dalam tempoh itu umumnya memberikan
tumpuan kepada beberapa peristiwa tertentu khususnya penentangan orang Melayu
terhadap Rancangan MU dan kelahiran UMNO pada 1946. Penentangan orang Melayu
terhadap MU melalui UMNO juga telah diperlihatkan sebagai tahap kemuncak kepada
segala gerakan politik Melayu yang bersifat kebangsaan.
Malayan Union, U.M.N.O dan Ahli Sejarah
Ahli sejarah memberikan tumpuan yang begitu meluas kepada keadaan politik Tanah
Melayu selepas Perang Dunia Kedua sewaktu membicarakan tentang asal-usul dan
perkembangan nasionalisme Melayu. Zaman selepas penjajahan Jepun dianggap penting
kerana dasar-dasar pro-Melayu, pro-kemerdekaan mahupun kekerasan Jepun dikatakan
telah membawa banyak kebaikan dan menggalakkan kesedaran politik orang Melayu.
Selepas penyerahan Jepun, orang Melayu dikatakan tidak lagi bergantung kepada pihak
British untuk melindungi dan menjaga kepentingan mereka. Kesedaran baru ini dapat
diperjelaskan melalui penentangan golongan elit-konservatif Melayu terhadap percubaan
British memperkenalkan MU pada 1946.
Oleh kerana penentangan orang Melayu terhadap MU adalah amat ketara, maka ia
sering diperlihatkan sebagai satu langkah permulaan juga kemuncak kepada kebangkitan
nasionalisme Melayu. Dasar MU yang cuba diperkenalkan oleh British mengancam
kedudukan dan masa depan politik orang Melayu. Oleh itu, orang Melayu melalui UMNO
pada ketika itu dikatakan telah bangkit menentang rancangan British secara ‘habis-
habisan’ demi mempertahankan hak Melayu hingga sanggup melawan bukan sahaja
penjajah British, bahkan sultan-sultan Melayu sendiri. Menurut beberapa pengkaji, dalam
penentangan itu orang Melayu buat pertama kalinya telah bersatu sebagai sebuah bangsa
7
dan meninggalkan kepentingan-kepentingan ‘feudal’nya. Sebelum itu mereka
mengamalkan fahaman politik ‘feudal’ yang sempit dan berpecah belah kepada negeri-
negeri yang berbeza.
Oleh kerana ahli sejarah cenderung melihat perkembangan nasionalisme Melayu
hanya bermula dengan penentangan terhadap MU, maka perbincangan mereka lebih
tertumpu kepada tokoh-tokoh dan gerakan tertentu sahaja, khususnya Dato’ Onn dan
UMNO. UMNO diperlihatkan sebagai gerakan kebangsaan Melayu terawal yang
memperjuangkan hak orang Melayu dan kemerdekaan Tanah Melayu. Dato’ Onn pula
ditonjolkan sebagai orang Melayu pertama yang bangkit mempersoalkan kezaliman sultan
Melayu dan yang pertama memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu.21 Menurut
pandangan sesetengah pihak, “Hanya Dato’ Onn Ja’afar itu sahaja yang dapat dianggap
sebagai pejuang Melayu pertama yang memimpin perjuangan negara menentang
British.”22 Tidak hairanlah nama Dato’ Onn diangkat sebagai ‘pengasas politik’ atau
‘pengasas kemerdekaan Tanah Melayu’,23 atau bahkan ‘bapa nasionalisme Malaysia’.24
Mereka yang lain, terutamanya yang bergerak dalam gerakan politik kiri seperti PKMM
diperlihatkan bukan sahaja tidak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan
kepentingan orang Melayu, bahkan didakwa diperalatkan oleh anasir-anasir bukan Melayu
dan komunis.
Oleh kerana UMNO diperlihatkan satu-satunya pertubuhan yang berjuang untuk
kepentingan orang Melayu, maka ia digambarkan mendapat sokongan sepenuhnya orang
Melayu. Sokongan padu orang Melayu dan ketegasan pemimpin UMNO menentang dasar-
dasar MU telah mengentarkan pihak British. Ia memaksa British bersetuju dengan tuntutan
orang Melayu atau UMNO memansuhkan rancangan MU.25 British dikatakan bimbang
UMNO akan dipengaruhi unsur ‘radikal’ dan menggunakan cara kekerasan sekiranya
kehendak atau tuntutannya tidak dipenuhi. Maka atas desakan, penentangan ‘habis-
habisan’ serta ketegasan pemimpin UMNO itulah yang menyebabkan British terpaksa
berunding dengan orang Melayu dan mengenepikan rancangan MU. Terhapusnya
rancangan MU yang kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu (PTM)
1948 dianggap sebagai kejayaan milik mutlak orang Melayu serta UMNO selaku
pergerakan yang mempertahankan hak serta kedudukan orang Melayu sehingga
merdeka.26
Atas inisiatif Dato’ Onn dan UMNO jugalah, di samping tokoh-tokoh Perikatan
bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock dan kemudiannya Tun H. S. Lee, Tun Tan
Siew Sin, serta Tun V. T. Sambanthan, yang didakwa mula-mula sekali menggerakkan
8
idea kerjasama kaum bagi mencapai kemerdekaan.27 Dari tahun 1946 hingga 1957 hanya
beberapa tokoh dalam UMNO dan Perikatan itu sahajalah yang dikatakan telah berjuang
demi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu melalui jalan perundingan dan tanpa
sebarang pertumpahan darah.28 Mengulas tentang peranan UMNO dan Perikatan ini,
seorang pemimpin negara menyatakan; “Tanpa UMNO tidak akan lahir Perikatan, tidak
akan ada Tunku Abdul Rahman. Tanpa Perikatan antara UMNO, MCA dan MIC, kita
tidak akan mencapai kemerdekaan.”29
PKMM alat British dan komunis
Dalam usaha mengangkat peranan dan sumbangan UMNO, para sarjana cuba memberikan
gambaran yang begitu negatif pula terhadap perjuangan di luar UMNO, khususnya
gerakan kiri Melayu yang dipimpin oleh PKMM, biarpun ia merupakan antara pihak yang
turut terlibat dalam menubuhkan UMNO. Jika Dato’ Onn dan UMNO telah menentang
MU ‘habis-habisan’ dan ‘bermati-matian’,30 PKMM pula didakwa menyokong MU
sepenuhnya.31 Ini sesuai dengan dasar PKMM yang menolak sistem pemerintahan beraja
dan mahukan kerakyatan terbuka diberikan, yang jelas bertujuan hanya untuk memenuhi
kehendak orang bukan Melayu. Di sebalik sikap inginkan merdeka dan anti-kolonialnya
yang jelas terhadap British, PKMM didakwa telah menjadi alat atau dipergunakan oleh
pihak British yang menaburi janji manis untuk memberikan kemerdekaan.32
Oleh itu, bercanggah sama sekali dengan gambaran yang diberikan terhadap
UMNO, tema tentang perjuangan kiri yang dibawa oleh PKMM ialah ia lebih merupakan
alat orang bukan Melayu, komunis dan bahkan pihak British.33 Ia juga adalah parti
‘pelampau’ (radikal) yang dipengaruhi oleh gerakan nasionalis Indonesia dan
memperjuangkan cita-cita menyatukan Tanah Melayu di bawah sebuah republik Melayu
Raya atau Indonesia Raya. Golongan kiri didakwa berjuang secara ‘radikal’ bukan sahaja
kerana mereka menolak terus jalan perundingan dalam mencapai kemerdekaan, bahkan
cuba mengenepikan hak-hak orang Melayu demi memenuhi cita-cita politik. Maka
dikatakan berpunca daripada sikapnya yang ‘radikal’ itulah menyebabkan PKMM dan
juga gerakan kiri Melayu yang lain tidak berjaya mendapat sokongan padu orang Melayu
dan seterusnya gagal dalam perjuangan mencapai kemerdekaannya. Sikap ‘radikal’nya
dan perjuangan secara ‘kekerasan’nya telah menakutkan orang Melayu dan mengundang
tindakbalas keras pihak British hingga gerakan itu dihapuskan melalui pengisytiharan
Darurat 1948.
9
Inilah sebenarnya versi sejarah rasmi atau arus perdana yang telah wujud sejak
awal hingga ke hari ini, dan diterima umum sebagai versi ‘sejarah kebangsaan’.34 Versi
seperti ini sering dipaparkan bukan sahaja dalam tulisan-tulisan ahli sejarah, bahkan
dimuatkan dalam kempen-kempen dan pameran-pameran yang diadakan di arkib, muzium
dan media massa, terutama semasa setiap kali Malaysia mengadakan sambutan hari
kemerdekaannya.35 Versi ini cuba ditanam kukuh ke dalam sanubari pemikiran seluruh
generasi apabila ia dimuatkan dalam buku-buku teks sekolah rendah dan menengah.36
Versi ini ternyata amat sempit, kabur dan mengelirukan kerana beberapa sebab.
Pertama dari perspektif masa, ia hanya memberikan tumpuan kepada perkembangan
sejarah politik Melayu yang berlaku secara jangka pendek. Perbincangan tentang sejarah
perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan dalam versi ini misalnya hanya
mencakupi perkembangan yang berlaku dalam tempoh yang amat singkat, iaitu antara
tahun 1946-1948 itu sahaja. Kedua, dari perspektif ideologi perjuangan, hanya UMNO
yang dikatakan memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan menuntut kemerdekaan
Tanah Melayu, manakala perjuangan pihak lain termasuklah pejuang bangsawan
tradisional, golongan agama dan kiri Melayu disisihkan dalam penulisan sejarah ‘versi
kebangsaan’ itu. Mereka hanya diperlihatkan sebagai puak pemberontak, penderhaka,
anasir subversif, alat Parti Komunis Malaya (PKM) dan bukan Melayu. Dengan
menggunakan hujah-hujah dan pandangan yang negatif seperti itu, maka senanglah
sumbangan tokoh-tokoh dan gerakan politik lain di luar UMNO dan Perikatan diketepikan
dalam arus perbincangan tentang sejarah kemerdekaan negara.
Perspektif yang ketiga memperlihatkan perjuangan UMNO menentang British
berjaya kerana mendapat sokongan orang Melayu, manakala perjuangan golongan kiri
Melayu yang menjadi alat PKM dan bukan Melayu pula telah gagal kerana tidak mendapat
sokongan orang Melayu, walaupun sumber-sumber sejarah memberikan gambaran yang
sebaliknya. Pada masa yang sama, peranan pihak British memberikan segala bentuk ruang
dan sokongan kepada UMNO serta kesepakatan UMNO-British dalam usaha-usaha
menghapuskan kebangkitan gerakan kiri Melayu jarang disentuh dan diceritakan.
Ahli Sejarah, Pendekatan dan Pentafsiran Fakta
Sesungguhnya peristiwa penentangan orang Melayu terhadap MU dan penubuhan UMNO
adalah amat penting. Ia bolehlah dikatakan sebagai satu kemuncak daripada beberapa
kemuncak kesedaran dan perjuangan nasionalisme Melayu. Dalam perbincangan tentang
10
perkembangan nasionalisme Melayu, kita tidak boleh menafikan peranan ini walaupun ada
juga sesetengah pihak, demi kepentingan politik sempit, cuba mengenepikannya.
Bagaimanapun pendekatan ahli sejarah perlulah seimbang dan tidak terlalu
sendeng memihak kepada mana-mana pelaku sejarah. Jika ahli sejarah hanya
menumpukan kepada peristiwa penentangan orang Melayu terhadap MU dan penubuhan
UMNO itu sahaja sebagai satu-satunya bentuk perjuangan nasionalisme Melayu, ini
menyebabkan sejarah perjuangan orang Melayu menjadi terlalu singkat, tidak lengkap dan
mengelirukan. Persoalan yang harus dibangkitkan ialah apakah benar hanya Dato’ Onn
sahaja pejuang Melayu terawal yang memperjuangkan kemerdekaan negara? Apakah
hanya UMNO satu-satunya pertubuhan politik yang memperjuangkan hak dan
kepentingan orang Melayu sebelum merdeka? Dan apakah boleh dikatakan penentangan
orang Melayu terhadap MU merupakan permulaan dan penutup kepada seluruh
pergerakan nasionalisme Melayu?
Sebenarnya pendekatan yang diambil oleh ahli sejarah di atas adalah amat lemah
kerana hanya melihat dari perspektif sejarah jangka pendek. Pendekatan jangka pendek
tidak sesuai digunakan bagi mengkaji sejarah perjuangan orang Melayu kerana perjuangan
anti-kolonialisme asing dan gerakan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu telah berlaku
jauh lebih awal dan bersambungan selepasnya. Oleh itu, sejarah gerakan politik dan
nasionalisme Melayu haruslah dikaji secara menyeluruh dan jangka panjang.
Jika penelitian dibuat secara lebih menyeluruh dan jangka panjang, maka kita akan
mendapati perjuangan untuk kemerdekaan Tanah Melayu telah lama wujud dan
berkembang jauh lebih awal berbanding semasa penentangan orang Melayu terhadap MU
pada 1946. Kita bolehlah menyatakan usaha penentangan orang Melayu terhadap
penjajahan kuasa asing dan perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu telah pun
bermula sekurang-kurangnya sejak zaman orang Melayu Melaka menentang penjajahan
Portugis lagi, dan kemudiannya bersambung dengan gerakan-gerakan anti-kolonial yang
lain selepasnya.
Gerakan menentang penjajah bukan hanya berlaku terhadap pihak British sahaja.
Ini kerana orang Melayu juga telah bangkit melawan Portugis, Belanda, Siam dan Jepun.
Semua perjuangan ini, tanpa dapat diragukan lagi, adalah bersifat perjuangan menuntut
kemerdekaan daripada penjajahan asing. Penentangan selepas Melaka ditandai oleh
perjuangan Dol Said di Naning pada 1824, kebangkitan orang Melayu di Perak, Selangor,
Pahang, Kelantan, Terengganu pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, hinggalah
penentangan terhadap British secara tertutup atau terbuka dari tahun 1900 hingga 1950-an.
11
Kalaulah dikatakan perjuangan orang Melayu sebelum 1920-an itu sempit, bersifat
kenegerian dan berasaskan kepentingan puak atau agama sahaja, ia tidaklah bercanggah
sama sekali dengan faham nasionalisme Melayu dan tidak menolak bahawa perjuangan
mereka adalah untuk menuntut kemerdekaan negeri Melayu atau negara-bangsa Melayu
yang tersendiri.
Dengan melihat secara jangka panjang, kita bolehlah menghargai peranan serta
sumbangan yang turut diberikan oleh pelbagai pihak selain UMNO, seperti pemimpin
tradisional Melayu, tokoh-tokoh agama dan golongan kiri, dalam mempelopori dan
memperjuangkan kesedaran nasionalisme Melayu. Memanglah jika dilihat melalui
laporan-laporan rasmi pihak British mereka sering dituduh sebagai puak pelampau,
pengganas, pemberontak, penderhaka, anasir subversif dan komunis dan sebagainya, tetapi
perjuangan mereka yang tidak rela dijajah oleh kuasa-kuasa asing adalah sebahagian
daripada perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan yang bertepatan dengan makna
serta kehendak gagasan nasionalisme sejagat.
Kesedaran nasionalisme Melayu tidak harus disempitkan hanya kepada perjuangan
menuntut hak oleh golongan elit-konservatif Melayu pada 1946 itu sahaja. Kesedaran
nasionalisme Melayu juga perlu dikaitkan dengan perjuangan tokoh-tokoh agama sejak
awal kurun ke-20, yang dibawa khususnya oleh gerakan ‘Kaum Muda’ dan seterusnya
disambung oleh Majlis Agama Tertinggi (MATA), Hizbul Muslimin (HM) hinggalah Parti
Islam Se-Malaysia (PAS). Begitu juga dalam menekankan tentang sejarah perjuangan
Melayu yang bersifat kebangsaan, perjuangan yang menggabungkan pelbagai ideologi di
bawah suatu keinginan untuk menentang kolonialisme British yang dibawa oleh KMM
dan seterusnya PKMM merupakan organisasi politik Melayu terawal bersifat kebangsaan
yang ditubuhkan lama sebelum munculnya UMNO. Jelasnya, dengan melihat sejarah
perjuangan orang Melayu secara lebih menyeluruh dan jangka panjang, perjuangan
kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilihat tidak hanya dimonopoli oleh UMNO, tetapi juga
oleh pelbagai tokoh, individu, kelompok masyarakat dan organisasi-organisasi lama
sebelum tertubuhnya UMNO.
Begitu juga perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu bukan hanya bermula sejak
1946 atau 1948 seperti yang sering didakwa, bahkan Dato’ Onn atau Tunku Abdul
Rahman bukanlah pelopor atau pengasas kemerdekaan Tanah Melayu. Sebaliknya mereka
hanyalah penyambung perjuangan awal menentang penjajah yang telah diasas dan
digerakkan oleh tokoh-tokoh Melayu awal seperti Dol Said, Dato’ Bahaman, Mat Kilau,
Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Syed Sheikh al Hadi, Sheikh Tahir
12
Jalaluddin, Rahim Kajai, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ibrahim
Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam dan begitu ramai lagi pejuang
yang namanya patutlah disenaraikan juga sebagai tokoh-tokoh nasionalis negara semasa
Malaysia menyambut hari kemerdekaannya. Walaupun diakui mereka berjuang demi
kemerdekaan Tanah Melayu melalui jalan dan matlamat yang berbeza, sama ada melalui
perjuangan kiri, sosialisme atau gerakan agama, tetapi secara keseluruhannya mereka
semua adalah pejuang negara yang pernah berkorban harta dan nyawa dalam menuntut
kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan asing.
Masalahnya ahli sejarah sehingga kini terlalu menumpukan perhatian kepada
peristiwa penentangan UMNO terhadap MU, hingga pentafsiran tentang sejarah
nasionalisme Melayu hanya disempitkan oleh perkembangan yang berlaku di sekitar
penentangan terhadap MU dan penubuhan UMNO 1946-48 itu sahaja. Sarjana tersebut
seolah-olah mahu menegaskan bahawa perjuangan orang Melayu menentang British dan
mempertahankan hak-hak Melayu hanya dibawa satu-satunya oleh UMNO. Oleh itu,
peristiwa penentangan terhadap MU 1946 telah diangkat setinggi-tingginya dalam
penulisan sejarah hingga menjejaskan perhatian ahli sejarah terhadap apa yang sebenarnya
berlaku pada dekad-dekad itu.
Tumpuan kepada sejarah penentangan UMNO terhadap MU antara 1946-48
memanglah menampakkan seolah-olah perjuangan orang Melayu begitu berjaya. Tetapi
jika diukur bagi tempoh yang lebih panjang misalnya antara 1946-57, ia sebenarnya
menampakkan permulaan suatu zaman yang penuh dengan kegagalan, kekecewaan dan
terhakisnya hak-hak politik serta pengerdilan bangsa Melayu.37 Selepas mempertahankan
hak Melayu ‘habis-habisan’ semasa menentang MU pada 1946, hak-hak itu mulai tergadai
satu persatu selepasnya. Kerakyatan secara jus soli yang cuba dilaksanakan dalam
rancangan MacMicheal memanglah ditentang hebat pada 1946, tetapi kepimpinan Melayu
itu sendiri jugalah akhirnya yang menerima kehendak British dan memberikan kerakyatan
secara mudah dan terbuka kepada bukan Melayu selepas 1955. Tolak ansur politik ini
telah dibuat secara tergesa-gesa dengan alasan untuk menangkis pengaruh komunis,
biarpun ini bercanggah dengan kehendak dan dasar perjuangan UMNO dan telah
menerima tentangan hebat daripada ahli UMNO sendiri.
Kerana adanya sikap berlembut, bertolak ansur, kelemahan dalam kepimpinan,
mainan politik penjajah dan pemimpin politik bukan Melayu, maka hak-hak orang Melayu
sebagai pemilik mutlak Tanah Melayu beransur-ansur hilang. Demi memenuhi syarat-
syarat tidak adil pihak British yang sepatutnya menyerahkan semula kuasa politik kepada
13
orang Melayu, maka orang Melayu akhirnya hanya dapat mengecapi kemerdekaan dalam
acuan dan kehendak British serta bukan Melayu.38 Kemerdekaan sememangnya dapat
dicapai oleh orang Melayu pada 1957, tetapi mereka telah kehilangan hak sebagai sebuah
bangsa dan kemerdekaan yang dinikmati terpaksa dikongsi bersama dengan orang asing
yang secara tiba-tiba sahaja dan tak dijangkakan mendapat hak politik di Tanah Melayu.
British, U.M.N.O dan Gerakan Menuntut Kemerdekaan
Kajian tentang sejarah gerakan anti-kolonial dan perjuangan menuntut kemerdekaan
Tanah Melayu antara 1945-57 hingga kini hanya berkisar kepada peranan yang dimainkan
oleh dua pihak yang dianggap begitu berpengaruh iaitu pertama UMNO yang ditubuhkan
untuk menentang MU 1946 dan kedua pergerakan PKM yang dikatakan begitu kuat dan
mengancam pentadbiran British hingga memaksa British mengisytiharkan Darurat pada
1948.
Namun begitu, penekanan kepada dua unsur ini sahaja, biarpun penting, tetapi
adalah tidak memadai. Ini kerana perjuangan sebenar UMNO bukanlah untuk mencapai
kemerdekaan dan bersikap anti-British, manakala perjuangan PKM pula awal-awal lagi
telah gagal kerana tidak mendapat sokongan orang Melayu dan British hanya
menggunakannya sebagai ‘kambing hitam’ bagi membenarkan tindakan kekerasan diambil
terhadap semua gerakan anti-kolonial di Tanah Melayu. Sebenarnya berdasarkan
penelitian terhadap sumber-sumber rasmi pihak British sendiri, didapati elemen yang
paling ditakuti oleh pihak British dan mampu menggugat kedudukannya di Tanah Melayu
ialah gerakan kiri Melayu-Islam yang mendapat sokongan meluas daripada orang Melayu
dan mampu mengembeling tenaga Melayu dan bukan Melayu pada ketika itu.
Pertembungan antara British-gerakan nasionalis kiri-Islam Melayu telah bermula
sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi, tetapi menjadi semakin rancak selepas wujudnya
rancangan MU pada 1946. Dengan mengharapkan sokongan bukan Melayu untuk
mencapai tujuannya itu, British cuba melaksanakan rancangan MU sebagai langkah
permulaan untuk menguasai Tanah Melayu sebelum ia diberikan pemerintahan sendiri.
Namun tanpa dijangka, golongan bukan Melayu tidak memberi sokongan padu terhadap
rancangan MU kerana masih menumpukan perhatian terhadap perkembangan di negara
asal mereka iaitu India atau China, sebaliknya orang Melayu pula tidak seperti yang
dijangkakan telah memberikan tentangan yang sengit. Pada peringkat awal tentangan itu,
gerakan kiri telah dapat menyatukan diri dengan golongan kanan dan menggerakkan
penubuhan UMNO.
14
Tentangan sengit yang diberikan terhadap dasar penjajahan semula British ini
menimbulkan kebimbangan pihak British. Ini kerana ia melibatkan bukan sahaja golongan
konservatif Melayu, tetapi turut dipimpin oleh tokoh-tokoh nasionalis kiri-Islam Melayu
yang jelas anti-British dan mahukan kemerdekaan. British amat khuatir sekiranya
sokongan orang Melayu terhadap gerakan kiri akan menjadi bertambah kuat. Oleh itu,
mereka cuba mencari jalan bagi memecahbelahkan penentangan ini dan mengendurkan
kemarahan golongan nasionalis kanan serta orang Melayu agar dapat membendung
ancaman gerakan kiri. Sebenarnya British amat memahami bahawa golongan konservatif
Melayu dalam UMNO sedia berlembut dan tidak bersikap anti-British; dan mereka pula
amat bimbangkan pengaruh gerakan kiri dalam kalangan orang Melayu. Secara terpaksa
British akhirnya memilih untuk bertolak ansur dan memenuhi beberapa tuntutan nasionalis
kanan.
Sumber-sumber rasmi British menjelaskan bahawa amatlah dibimbangi sekiranya
tuntutan golongan kanan yang begitu sederhana dan tidak bersikap anti-British itu tidak
dipenuhi, berkemungkinan besar orang Melayu akan menyokong sepenuhnya gerakan kiri
dan perjuangan kanan akan ditelan oleh pengaruh unsur-unsur anti-British.39 Hal ini
menjadi semakin jelas kerana wujudnya anasir-anasir ‘radikal’ dalam UMNO sendiri yang
mula bersimpati dengan perjuangan gerakan kiri Melayu, misalnya Kesatuan Melayu
Johor (KMJ) dan Saberkas. Keadaan ini disedari oleh kepimpinan UMNO dan mereka
memberi ugutan supaya pihak British dapat segara memenuhi tuntutan pihak konservatif
dalam UMNO. Amaran telah dikeluarkan sendiri oleh Dato’ Onn kepada pihak British
bahawa sekiranya tuntutan UMNO tidak dipenuhi, kemungkinan besar orang Melayu
dalam UMNO akan menyokong gerakan anti-British yang dipelopori oleh golongan
‘radikal’ yang dipengaruhi komunis dan Indonesia.40
Namun tuntutan UMNO terhadap British semasa menentang MU adalah amat
sederhana. Perjuangan golongan konservatif dalam UMNO hanyalah setakat mahu
mengembalikan semula status quo golongan pemerintah dan kedudukan golongan elit
Melayu sebelum 1941. Keutamaan perjuangan UMNO adalah untuk menjaga hak-hak elit
konservatif Melayu daripada diancam oleh bukan Melayu, dan dalam hal ini mereka
sebenarnya amat bergantung kepada simpati serta sokongan daripada pihak British.
Walaupun pada peringkat awalnya UMNO menentang ‘habis-habisan’ prinsip-
prinsip rancangan MU dan menganggap British sebagai pengkhianat orang Melayu, tetapi
pegawai-pegawai British sendiri mengakui hubungan yang wujud antara kedua-dua pihak
15
tetap rapat dan pergantungan pihak kanan dalam UMNO kepada British tidak pernah
terputus.41 Di sebalik ketegangan akibat rancangan MU itu, kepimpinan UMNO masih
melihat British sebagai satu-satunya rakan dan juga pelindung dalam menjamin hak-hak
orang Melayu daripada diasak oleh tuntutan golongan bukan Melayu.
Bahkan kerana bimbangkan anasir bukan Melayu dan pengaruh ‘Indonesia’ dalam
gerakan kiri, kepimpinan UMNO bukan sahaja bersedia untuk mengenepikan dulu
perjuangan dan pertelingkahannya dengan British, serta bekerjasama dan berunding bagi
melonggarkan tuntutan mereka, malah bersedia menolak tuntutan orang Melayu untuk
mencapai kemerdekaan kerana dibimbangi ini akan mengancam kedudukan golongan elit
Melayu.42 Alasan yang diberikan ialah orang Melayu masih belum bersedia untuk
mencapai kemerdekaan.43 Orang Melayu juga telah diberikan amaran oleh Dato’ Onn
bahawa komunis akan mengambil alih kuasa sekiranya British meninggalkan Tanah
Melayu.44 Sikap pemimpin UMNO ini memberi banyak kelebihan kepada British kerana
ia dapat melemahkan tentangan gerakan nasionalisme Melayu. Sebenarnya wujud
kepentingan kedua-dua belah pihak dalam menghadapi musuh yang sama hingga
memaksa British dan UMNO bersedia untuk bekerjasama dan bertolak ansur antara satu
sama lain.
Tolak ansur pertama bermula dengan perundingan Anglo-Melayu ke arah
pembentukan PTM 1948. Cadangan PTM sebenarnya adalah terhasil daripada percubaan
kedua-dua belah pihak iaitu British-UMNO untuk meredakan kemarahan orang Melayu
terhadap British dan usaha British untuk menyelamatkan beberapa prinsip utama yang
terkandung dalam rancangan MU. Dari satu segi, Constitutional Proposals for Malaya
yang dipersetujui antara British-UMNO menjamin hak kedaulatan Sultan, kebebasan
negeri-negeri Melayu dan hak ‘istimewa’ orang Melayu, tetapi pada masa yang sama juga
hasrat pembentukan sebuah kerajaan berpusat yang kukuh, satu rupabentuk kerakyatan
bersama (meskipun lebih terhad) dan kestabilan kewangan Tanah Melayu dapat dipenuhi
oleh British.45
Apa yang dipersetujui oleh UMNO dengan British melalui PTM 1948
mengenepikan tuntutan pihak kiri yang mahu diwujudkan sebuah pemerintahan bersifat
demokrasi dan gerakan ke arah kemerdekaan. Tiada apa-apa jaminan diberikan dalam
rancangan PTM ke arah pemerintahan sendiri. Begitu juga tidak ada pembentukan sebuah
Parlimen, hak-hak mengundi, bendera dan sebagainya yang membawa maksud Tanah
Melayu akan beransur-ansur diberikan pemerintahan sendiri. Jika dilihat daripada
kedudukan British yang semakin tertekan dan terdesak serta kesungguhan orang Melayu
16
dan UMNO menentang MU pada 1946, perjanjian PTM 1948 adalah satu langkah
berpaling ke belakang. Ia menguntungkan British dan menjadi permulaan kepada
pemberian konsesi-konsesi lain oleh UMNO meskipun di sebaliknya ahli sejarah cuba
memperlihatkannya sebagai satu kejayaan mutlak orang Melayu.
Sikap pemimpin UMNO yang berunding dan bersetuju dengan kehendak British
telah menimbulkan ketidakpuasan hati dan ditentang oleh beberapa pihak dalam UMNO
sendiri. Walaupun pemimpin UMNO menekankan keperipentingan dan keuntungan yang
bakal diperolehi daripada perlembagaan baru itu, namun ia ditolak dan dikritik dengan
lantang oleh gabungan persatuan Melayu dalam UMNO seperti Saberkas, Kesatuan
Melayu Singapura dan KMJ yang mengertak untuk keluar daripada UMNO. KMJ bahkan
kemudiannya memang telah bertindak nekad untuk keluar daripada UMNO.46 Selain
menghadapi masalah perbalahan terhadap keputusan yang diambil oleh pemimpin UMNO,
perpecahan dalam UMNO diburukkan lagi oleh wujudnya sikap kenegerian menebal yang
ditunjukkan misalnya oleh kepimpinan negeri Kelantan, Kedah, dan Terengganu.47
Pendirian UMNO ini amat jauh bercanggah dengan tuntutan kepimpinan kiri
dalam PKMM misalnya yang mahukan kemerdekaan Tanah Melayu diberikan tanpa
bertangguh lagi. Bagi tokoh-tokoh gerakan kiri, mencapai kemerdekaan Tanah Melayu
daripada penjajahan British adalah jauh lebih penting daripada memperjuangkan hak-hak
dan kepentingan golongan elit Melayu semata-mata. Oleh itu, dasar yang dipegang
UMNO menimbulkan kemarahan golongan kiri yang mendorong kepada perpecahan dan
pertembungan antara gerakan kiri dan kanan sejak 1946.
Sebagai tindakbalas terhadap pendirian yang diambil oleh UMNO terhadap
rancangan PTM, gerakan kiri Melayu yang turut mendapat sokongan daripada kepimpinan
golongan kiri dan kanan bukan Melayu, termasuklah antaranya Tun Tan Cheng Lock,
telah menggerakkan kepada penubuhan PUTERA-AMCJA pada Februari 1947.48
PUTERA-AMCJA cuba merundingkan kerjasama semua kaum dan sedia bertolak ansur
antara mereka dalam beberapa perkara penting misalnya soal kerakyatan dan identiti
kebangsaan Tanah Melayu bagi memenuhi syarat -syarat yang dipaksakan oleh British ke
arah mencapai pemerintahan sendiri.
Golongan kiri Melayu sedar bahawa untuk mencapai kemerdekaan, mahu tak mahu
mereka terpaksa menerima kehadiran orang bukan Melayu di Tanah Melayu. Walaupun
bekerjasama dengan bukan Melayu, tetapi mereka tidaklah menolak sepenuhnya
kepentingan mempertahankan hak-hak orang Melayu termasuklah dari segi pengekalan
sistem beraja, agama, bahasa dan identiti kebangsaan berasaskan penerimaan bersama
17
bahawa Tanah Melayu adalah asalnya hak kepunyaan orang Melayu. Persetujuan yang
dicapai dalam perlembagaan rakyat menjelaskan tentang pendirian atau prinsip sebenar
yng dipegang oleh golongan kiri Melayu terhadap hak-hak orang Melayu dan
menunjukkan mereka bukanlah golongan yang bersikap ‘anti-feudal’ yang totok. Apapun
usaha gerakan ini, yang mendahului pembentukan Perikatan yang diusahakan oleh British
dan UMNO, menunjukkan bahawa selain UMNO, terdapat juga golongan lain yang
mampu berfikir lebih awal ke arah mencapai kemerdekaan dan merangka masa depan
bersama dalam satu semangat kebangsaan (Melayu) yang melampaui batas kepentingan
kelompok yang sempit.
Tindakbalas British dan UMNO
Kepelbagaian sifat dan bentuk gerakan politik orang Melayu yang wujud antara 1945-48
mendorong sesetengah pihak secara mudah menganggap peranan yang dimainkan oleh
gerakan kiri adalah kurang penting dan mereka tidak mendapat sokongan yang meluas.
Namun gambaran ini adalah tidak tepat kerana pengaruh gerakan kiri dalam kalangan
orang Melayu, di sebalik gambaran negatif yang diberikan, sebenarnya adalah amat kuat.
Malah kekuatan gerakan itu pada pertengahan dekad 1940-an diakui setanding dengan
UMNO.49 Disebabkan kebimbangan terhadap pengaruh inilah kita dapat melihat reaksi
yang keras dan negatif telah diberikan oleh British dan UMNO terhadapnya.
Walaupun perjuangan kiri sering dikaitkan dengan tokoh-tokoh dan organisasi
politik tertentu, namun sebenarnya kekuatan gerakan ini bukan hanya bergantung kepada
wujudnya sesuatu organisasi yang bersifat seTanah Melayu seperti KMM dan PKMM,
tetapi juga terletak kepada kelompok masyarakat yang menyokong, mengerakkan dan
memperjuangkannya. Berbanding UMNO yang rata-ratanya dimonopoli kaum elit,
pendokong gerakan kiri pada umumnya adalah terdiri daripada kelompok yang paling
progresif dalam masyarakat Melayu. Mereka terdiri daripada golongan pemuda-pemudi,
kelas pertengahan, para cerdik pandai, kaum intelek, mereka yang anti-golongan
tradisional dan anti-konservatif, ‘Kaum Muda’ dan tokoh-tokoh agama yang mempunyai
pengaruh dan pengikut di mana-mana sahaja. Setengahnya daripada golongan arus bawah
ini, sama ada secara sukarela atau tidak, telah mendapat latihan peperangan semasa zaman
Jepun.
Inilah elemen yang membezakan pengaruh dan kedudukan UMNO dengan gerakan
kiri Melayu seperti PKMM, API, AWAS, HM dan sebagainya. Sokongan terhadap
gerakan kiri bukan hanya datang daripada beberapa pertubuhan Melayu dan kelompok kiri
18
yang dianggap ‘radikal’ itu sahaja, bahkan juga daripada ahli UMNO sendiri kerana
sebahagian daripada mereka merupakan pengikut golongan kiri juga. Ini ditambah lagi
dengan adanya sokongan dan simpati daripada gerakan dalam UMNO sendiri terhadap
perjuangan kiri, misalnya dari KMJ dan Saberkas.
Salah satu unsur yang amat berpengaruh dalam gerakan kiri dan amat kurang
terdapat dalam UMNO ialah peranan golongan agama yang berpusat di madrasah-
madrasah, khususnya di Il Ihya As-Syariff Gunung Semanggol, Perak. Pergerakan
golongan agama yang bermula secara aktif sejak sebelum 1920-an dan semakin merancak
selepas 1945 mendorong kepada penubuhan beberapa badan penting seperti PEPERMAS,
LEPIR, MATA dan HM yang dapat menarik sokongan orang Melayu.50 Matlamat utama
penubuhan MATA dan HM adalah untuk mengambil alih peranan pemerintah tradisional
Melayu dalam urusan agama dan menubuhkan sebuah negara Islam merdeka, sesuatu yang
amat ditentang dan dilihat mampu menggugat kedudukan UMNO.
Matlamat perjuangan yang bersifat ‘radikal’ dan anti-kolonial gerakan ini
menimbulkan kebimbangan pihak British dan UMNO, hingga mendorong pihak British
dan pemimpin UMNO melabelkan gerakan-gerakan agama ini sebagai anasir ‘komunis’
dan ‘Indonesia’. Misalnya Dato’ Onn sendiri pernah cuba menyekat ahli UMNO daripada
terlibat dalam kegiatan di Il Ihya dengan menyatakan, “...saya tidak melarang tetapi saya
juga tidak sudi membenarkan (orang UMNO ke sidang Gunung Semanggol)...Bahaya dari
Gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi (Hizbul Muslimin) yang
tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh
kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah.”51 Reaksi Dato’ Onn ini adalah bertujuan
untuk menjauhkan sokongan orang Melayu dan ahli UMNO terhadap gerakan kiri yang
berpusat di Gunung Semanggol itu.
Aktiviti gerakan kiri dan agama yang begitu aktif di Gunung Semanggol jika tidak
dibendung boleh menyebabkan UMNO kehilangan sokongan orang Melayu yang pada
ketika itu lebih condong untuk memilih perjuangan kemerdekaan. Dalam menghadapi
kegawatan itu, pihak British terpaksa melakukan apa sahaja yang termampu bagi melemah
dan memecahbelahkan sokongan orang Melayu terhadap gerakan kiri. Dasar-dasar yang
diambil oleh pihak British adalah untuk memperkuatkan UMNO dan memastikan UMNO
menjadi parti tunggal orang Melayu. Oleh itu, British telah membuka seluas-luasnya ruang
dan peluang untuk UMNO hidup dan bergerak manakala pada masa yang sama pula
menyekat dan menekan aktiviti gerakan kiri. Misalnya segala kemudahan telah diberikan
kepada kepemimpinan UMNO yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan untuk
19
bergiat aktif dlam kegiatan politik dengan menggunakan kemudahan kerajaan tanpa
diugut, ditukarkan, dipecat atau disekat pencennya.52
Dato’ Onn sendiri sebagai seorang pegawai daerah dan kemudiannya Menteri
Besar Johor telah dapat menggunakan kedudukan rasminya itu untuk menguatkan
cengkamannya dalam UMNO dan menjadikan pejabat rasminya serta kakitangannya
sebagai pusat dan para pembantu kempen politiknya. UMNO juga mempunyai kelebihan
yang menurut pengkaji, tidak dapat dikongsi sama oleh gerakan radikal, iaitu mereka
boleh menggunakan kedudukan kaum elit dan jawatan penting dalam kerajaan untuk
mengeksploitasi ketua-ketua kampung dan penghulu yang menjadi orang tengah dalam
hubungan antara pihak kerajaan dengan orang kampung Melayu secara keseluruhannya.53
Peranan ketua kampung dan penghulu amat penting kerana tanpa kerjasama mereka,
UMNO tidak akan dapat bergerak mencari sokongan daripada masyarakat Melayu luar
bandar. British juga menyedari bahawa kerajaan tidak akan mencapai “...any great
measure of support and popularity until a successful effort is made to relieve the very
serious state of poverty and distress among the peasants.”54 Oleh itu, pada penghujung
bulan November 1947, pihak perisikan British telah mengesyorkan supaya kerajaan
mengusahakan suatu sokongan atau bantuan besar terhadap kempen-kempen memajukan
pertanian dan pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh UMNO demi mengimbangi
aktiviti yang dijalankan oleh gerakan kiri dan komunis.55
Menurut Stockwell, salah satu kerjasama penting yang dilakukan oleh British-
UMNO ialah terhadap usaha menghapuskan pergerakan buruh. Antara 1945-48 kesatuan-
kesatuan sekerja bukan Melayu yang dikuasai oleh PKM telah tumbuh dengan pesatnya di
Tanah Melayu dan telah terlibat dalam mengadakan kempen-kempen pemogokan besar-
besaran yang efektif terhadap majikan Eropah dan kerajaan British. Bagaimanapun akibat
gagal mendapat sokongan orang Melayu, gerakan kesatuan sekerja mulai menjadi lemah
sejak 1947 dan para majikan pula mula mampu menekan mereka. Sokongan orang Melayu
tidak dapat diperolehi kerana usaha-usaha telah dibuat oleh pihak British-UMNO bagi
menghalang sokongan orang Melayu dengan menubuhkan Jabatan Buruh yang berperanan
menarik orang Melayu menyertai kesatuan-kesatuan sekerja yang pro-kerajaan dan
mempunyai hubungan baik dengan majikan Eropah.56 Dalam masa yang sama, British
juga menggunakan kuasa polis dan undang-undang bagi menyusahkan, menekan,
menangkap dan membuang daerah mana-mana individu yang boleh menimbulkan masalah
kepada kerajaan dengan dakwaan perlakuan subversif dan menyokong komunis.
Pemimpin gerakan kiri Melayu tidaklah terkecuali daripada menerima asakan-asakan ini.
20
Dasar-dasar agresif pihak British terhadap gerakan kiri Melayu tidak akan berjaya
tanpa sokongan dan kerjasama padu yang diberikan UMNO. Sebenarnya permusuhan
antara gerakan nasionalis kiri-kanan Melayu yang ditandai kemudiannya melalui
pertembungan antara PKMM-UMNO sudah berlaku sejak sebelum zaman Jepun lagi.
Bagaimanapun, pergeseran ideologi dan peningkatan pengaruh gerakan kiri serta
kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap UMNO pada sekitar 1946-48
menyebabkan UMNO memberikan berkerjasama sepenuhnya kepada pihak British bagi
menangani saingan gerakan kiri.57 Dalam usaha menyekat pengaruh kiri, UMNO
menggunakan dakyah ‘ancaman komunis’ dan ‘Indonesia’ sebagai cara bagi menimbulkan
ketakutan orang Melayu dan seterusnya mengambil tindakan kekerasan terhadap gerakan
kiri. Dengan mengunakan tuduhan-tuduhan yang subversif itu, senanglah pihak British
dan pemerintah tradisional Melayu mengenakan pelbagai sekatan dan tindakan kekerasan
terhadap semua aktviti yang digerakkan oleh golongan kiri, termasuklah dalam kegiatan
agamanya.58
Dalam hal ini Dato’ Onn adalah pemimpin UMNO yang paling berkarisma dalam
menangani ancaman golongan kanan dan kiri terhadap kepimpinan UMNO. Beliau cuba
memperkuatkan kedudukannya dalam UMNO dengan menyingkirkan semua pengaruh
golongan penentangnya dan meletakkan pengikut-pengikutnya menguasai setiap bahagian
penting dalam UMNO. Ini dibuat bagi memastikan UMNO tidak berpecah belah. Bagi
menangkis kritikan dan ancaman gerakan kiri terhadap kegagalan UMNO memajukan
orang Melayu, beliau mengadakan kempen-kempen dan propaganda-propaganda politik
untuk menarik sokongan orang Melayu dan mengimbangi aktiviti gerakan kiri. Antaranya
dengan melancarkan kempen menaikkan bendera di seluruh Tanah Melayu dan
sambutannya terhadap kedatangan tokoh-tokoh dari Indonesia bagi meraih simpati orang
Melayu yang menyokong gerakan kemerdekaan di Indonesia.
Bagi menangani pengaruh golongan belia dan wanita yang menonjol dalam
gerakan kiri, beliau juga menggerakkan penubuhan sayap pemuda dan wanita, manakala
Jabatan Agama dan aktiviti persidangan agama dianjurkan atau dibiayai setiap masa oleh
UMNO bagi mengimbangi aktiviti agama yang dijalankan oleh gerakan kiri. Begitu juga
UMNO cuba memenangi hati para petani dan orang Melayu di kampung-kampung yang
cenderung menyokong perjuangan agama dan gerakan kiri dengan mengusahakan
pembinaan sekolah-sekolah Melayu di kampung-kampung. UMNO juga telah menyusun
programnya sendiri dalam memberi bantuan pendidikan dan ekonomi kepada orang
21
Melayu di luar bandar. Jabatan Ekonomi UMNO misalnya telah menubuhkan Rancangan
Ekonomi Lima Tahun untuk negeri Perak dalam usaha melemahkan kegiatan yang
dijalankan oleh organisasi kiri seperti PEPERMAS.59 Semua usaha UMNO ini dapat
dilakukan dengan bantuan dan sokongan kewangan pihak pemerintah pada ketika itu.
Namun begitu, secara menyeluruh usaha-usaha yang dilakukan oleh British dan
UMNO untuk mengalih sokongan orang Melayu terhadap gerakan kiri tidak mencapai
kejayaan yang diharapkan. UMNO tidaklah seaktif gerakan kiri dalam menganjurkan
kegiatan-kegiatan yang dapat menarik simpati orang Melayu, khususnya yang tinggal di
luar bandar. Lagipun terdapat hubungan yang amat rapat antara rakyat bawahan Melayu
dengan golongan arus bawah dan tokoh-tokoh agama serta semangat yang terlalu kuat
dalam kalangan pemuda-pemudi Melayu, cerdik pandai dan golongan pertengahan yang
menguatkan sokongan terhadap perjuangan gerakan kiri. Ini ditambah lagi dengan
sokongan yang berjaya diraih oleh gerakan kiri Melayu daripada kelompok bukan Melayu
melalui kerjasama yang dibuat antara PUTERA-AMCJA. Sebenarnya kempen tindakbalas
UMNO tidak dapat mengekang sokongan orang Melayu terhadap kiri kerana orang
Melayu umumnya lebih tertarik dengan seruan merdeka yang dilaungkan gerakan kiri.
Seruan dan tuntutan merdeka bahkan terus menjadi api yang terus membakar dan
memecahbelahkan perpaduan Melayu dalam UMNO.
Oleh itu, British terpaksa mengambil jalan yang singkat dengan menggunakan
kekerasan bagi menghapuskan semua sekali gerakan anti-kolonial. Tindakan kekerasan
secara yang terbuka telah diambil misalnya dengan penangkapan tokoh-tokoh gerakan kiri
seperti Ahmad Boestamam dan pengharaman API pada 1947, serta penahanan pemimpin-
pemimpin Melayu kiri lain yang terlibat dalam hartal yang dianjurkan oleh PUTERA–
AMCJA. Kemuncak kekerasan British adalah dengan pengisytiharan Darurat pada jun
1948. Berdasarkan sumber-sumber rasmi pihak kolonial, jelaslah British pada ketika itu
telah menggunakan alasan pemberontakan dan keganasan oleh PKM untuk
mengisytiharkan Darurat mesipun tidak ada bukti yang jelas diperolehi tentang keganasan
yang dicetuskan oleh PKM itu.
Walaupun Darurat 1948 kononnya diisytiharkan sebagai usaha kerajaan menangani
keganasan PKM, namun pada hakikatnya pihak yang sebenarnya menjadi musuh dan
mangsa akta Darurat British ialah gerakan kiri dan agama Melayu. Namun hal ini sering
‘disembunyikan’ dalam catatan sejarah. Pemimpin-pemimpin gerakan kiri dan agama dari
kalangan orang Melayulah yang mula-mula ditangkap dan dikenakan hukuman, sedangkan
PKM telah dibiarkan hidup beberapa lama sebelum ia diharamkan pada 1948. Melalui
22
Darurat 1948, hampir 34,000 rakyat Tanah Melayu telah dipenjarakan tanpa bicara antara
1948-57, dan ramai lagi ditahan secara tidak sah tanpa bukti-bukti yang mencukupi.60
Kebanyakan dari mereka adalah terdiri daripada golongan yang simpati dengan gerakan
anti-kolonial dan hanya sebahagian kecil daripadanya adalah penyokong komunis. Dengan
pengenalan Darurat 1948, penggiat dan pengikut gerakan kiri serta mereka yang
bersimpati dengan perjuangannnya telah dipaksa untuk memilih sama ada menyertai
PKM, lari ke Indonesia atau memasuki UMNO. Sebahagian pengikut gerakan kiri yang
memasuki UMNO telah memperjuangkan hasrat kemerdekaan dalam UMNO hingga
mendorong pemimpin UMNO menukar slogannya dari ‘Hidup Melayu’ kepada
‘Merdeka’.
Apapun cara British melaksanakan tindakan keras dan secara kolektif terhadap
orang Melayu dan kampung-kampung Melayu semasa Darurat 1948, sama ada yang
bersimpati atau tidak dengan perjuangan kiri, menjadi bukti yang jelas bahawa mereka
mahu menyekat sepenuhnya simpati orang Melayu terhadap perjuangan anti-kolonial.
Tanpa wujudnya saingan daripada gerakan kiri, maka hanya tinggal UMNO sahajalah
yang mampu menjadi satu-satunya parti politik Melayu yang masih bernyawa dan terlibat
dalam usaha-usaha politik. Tanah Melayu akhirnya diberikan kemerdekaan setelah British
dapat memastikan segala rancangannya yang diatur melalui MU dapat dicapai dan
dipenuhi melalui kerjasama yang dibuat antara UMNO-bukan Melayu dalam Perikatan.
Kesimpulan
Tahun 1946-57 merupakan satu tempoh yang begitu penting kerana ia menandakan suatu
kemuncak zaman tolak ansur, diplomasi, mahupun realpolitik dan kekerasan dalam usaha
British menghadapi tentangan daripada gerakan nasionalis kiri dan kanan Melayu. Usaha
British untuk menjajah semula Tanah Melayu telah menimbulkan kesedaran kepada orang
Melayu tentang tujuan dan sikap British yang sebenarnya. Akibatnya orang Melayu telah
bangkit menentang usaha British yang cuba dicapai melalui rancangan MU 1946.
Walaupun tokoh-tokoh gerakan kanan dan kiri Melayu telah bersama-sama
menubuhkan UMNO dan berjuang berhabis-habisan mempertahankan hak orang Melayu
semasa pengenalan rancangan MU pada 1946, namun akhirnya mereka berpecah belah
kerana perbezaan ideology dan corak perjuangan. Penentangan UMNO terhadap MU yang
sekadar untuk menuntut pengekalan dan jaminan terhadap hak-hak istimewa kaum elit
Melayu mewujudkan pertentangan dengan gerakan kiri yang mahukan kemerdekaan.
Pertembungan ini memecahbelahkan kekuatan nasionalisme Melayu dalam menghadapi
23
bukan sahaja cabaran pihak British, bahkan desakan dan tuntutan yang dibawa oleh
golongan bukan Melayu. Dalam keadaan tertekan dan terdesak oleh asakan bukan Melayu,
pemimpin konservatif Melayu memilih untuk bertolak ansur dan bergantung kepada
sokongan British. Ini membawa kepada kesediaan pemimpin Melayu memenuhi beberapa
kehendak British seperti bekerjasama dengan parti-parti politik bukan Melayu dan
memberikan kerakyatan terbuka kepada mereka sebelum Tanah Melayu diberikan
kemerdekaan. Jelasnya, rancangan MU telah tidak dapat dijayakan oleh British pada 1946
akibat tentangan hebat orang Melayu, namun semangat dan tujuannya itu akhinya dapat
dipenuhi juga semasa Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 1957.
Walaupun sering digambarkan kemerdekaan Tanah Melayu adalah diperolehi
melalui jalan perundingan dan tanpa pertumpahan darah, namun pada hakikatnya ia telah
memakan korban ramai pihak, termasuklah para pemimpin, bangsawan, pejuang
kemerdekaan, nasionalis kiri, tokoh agama, dan rakyat biasa. Perjuangan dan pengorbanan
yang dilakukan oleh mereka perlulah diberi pengiktirafan yang sewajarya sekurang-
kurangnya dalam penulisan sejarah. Sekiranya tidak ada tekanan dan ancaman yang
diberikan oleh para pejuang dan nasionalis kiri itu, berkemungkinan besar UMNO tidak
akan mampu memimpin dan mencapai kemerdekaan daripada British. Oleh itu,
penghargaan yang sama perlulah diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam
gerakan kemerdekaan Tanah Melayu agar sumbangan dan pengorbanan mereka tidak akan
dilupakan oleh generasi hari ini dan masa depan.
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia [email protected]
24
Nota Hujung
1Kajian ini adalah hasil penyelidikan yang diperolehi melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) 203/PHUMANITI/6711104. Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Universiti Sains Malaysia atas sokongan yang diberikan melalui geran tersebut. 2James de V. Allen, The Malayan Union, New Haven, Connecticut: Yale University, Southeast Asian Studies, Monograph Series No. 10, 1967, hlm. 2. 3Khoo Kay Kim, “UMNO dan Perjuangan Orang Melayu”, Prosiding Persidangan Kebangsaan Mengenai Dato’ Onn Jaafar, Anjuran Badan Perhubungan UMNO dan Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama GAPENA, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1-4 Disember 2006, hlm. 2. 4A. J. Stockwell, British Policy and Malay Politics during the Malayan Union Experiment, Kuala Lumpur: MBRAS, 1979, hlm. 17. 5Menurut pendapat seorang sarjana tempatan, “...pendudukan Jepun merupakan satu rahmat secara terselindung kerana telah memperhebatkan kesedaran politik atau nasionalisme orang Melayu.” Lihat Ahmad Fawzi Basri, “Perak Sebelum dan Selepas Perang Dunia Kedua: Satu Analisis tentang Nasionalisme Orang Melayu”, Analisis 1, 1, 1986, hlm. 133. Lihat juga pandangan yang lebih kurang sama dikemukakan oleh Ismail Adnan, “Jepun Membakar Semangat Perjuangan Kemerdekaan” dlm oleh Ismail Adnan (pnys.), Dato Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan, Johor: Yayasan Warisan Johor, 2006, hlm. 119-122. 6James de V. Allen, The Malayan Union, hlm. 8. 7A. J. Stockwell, “Colonial Planning during the World War II: The Case of Malaya”, The Journal of Imperial and Commonwealth History 2, 3, 1974, hlm. 341. 8Reaksi awal sebelum Rancangan Malayan Union dikeluarkan secara rasmi kepada orang Melayu adalah bercampur-campur. Ada pihak menyokong dan ada juga yang curiga kerana isi-isinya masih belum jelas. PKMM misalnya telah menyatakan sokongan kepada rancangan tersebut kerana menyangka British akan memberikan kemerdekaan dan pemerintahan sendiri kepada Tanah Melayu. Namun apabila kertas putih dikeluarkan pada Januari 1946, barulah ia sedar British tidak bersedia memberikan kemerdekaan dan oleh itu PKMM mula menyatakan penentangan keras. Dalam usaha menyatukan suara orang Melayu, PKMM bersama pertubuhan-pertubuhan Melayu lain telah menaja satu Kongres SeTanah Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur antara 1-4 Mac 1946 yang merintis kepada penubuhan United Malays National Organization (UMNO) untuk melancarkan bantahan tersusun terhadap Malayan Union. 9Istilah ‘arus bawah’ dan ‘arus atas’ ini digunakan oleh Abdul Rahman Haji Ismail, “Perjuangan Kemerdekaan dan Nasionalisme Melayu: Wacana Pensejarahan” dlm Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin dan Nazarudin Zainun (pnys.), Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2006, hlm. 46-73. Takrifan ‘kiri’ yang diberikan oleh Khoo Kay Kim ialah mereka yang menentang UMNO kerana UMNO kerjasama dengan British. Lihat Khoo Kay Kim, “The Malay Left 1945-48: A Preliminary Discourse”, Sarjana 1, 1, 1981, hlm. 167 dan 178. 10Ungku Aziz dan T. H. Silcock, “Malayan Nationalism” dlm W. L. Holland (pnys.), Asian Nationalism and the West, New York: Macmillan, 1953; Raden Soenarno, “The Political Attitudes of the Malays before 1945”, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1959; juga “Malay Nationalism, 1900-1945”, Journal of Southeast Asian History 1, 1960; Ishak Tadin, “Dato’ Onn and Malay Nationalism 1946-1951”, Journal of Southeast Asian History 1, 1960; Mohammad Yunus Hamidi, Sejarah Pergerakan Politik Melayu Semenanjung, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1961; dan Yusof Ngah, “Malay Nationalism, 1945-46”, Tesis M.A., Otago University, 1967. Ini tidak mengambil kira lagi beberapa tulisan tentang nasionalisme yang dikemukakan oleh bekas-bekas pegawai kolonial British, yang cenderung meremehkan perjuangan orang Melayu, dan memperbesarkan peranan serta sumbangan British dalam mewujudkan kesedaran nasionalisme. 11Jang Aisjah Mutalib, Pemberontakan Pahang 1891-1895, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, 1972; James P. Ongkili, “Perkembangan Nasionalisme”, Jebat 1, 1971/72; juga “The British and Malayan Nationalism,
25
1946-57”, Journal of Southeast Asian Studies 5, 2, 1974; dan Maymon Ariff, “Kegiatan Politik Melayu Tahun 1930-an”, Jebat 3/4, 1973/74/75. 12Timah Hamzah, Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981; Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and the Struggle for Independence in Malaya, 1945-57, Kuala Lumpur: INSAN, 1984; Jagjit S. Sidhu, “Nasionalisme Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua” dlm R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail (pnys.), Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1985;Ahmad Fawzi Basri, “Perak Sebelum dan Selepas Perang Dunia Kedua: Satu Analisis tentang Nasionalisme Orang Melayu”, Analisis, hlm. 121-160; dan Cheah Boon Kheng, “Asal-usul dan Asas Nasionalisme Malaya” dlm R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail (pnys.), Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah, Petalng Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1985; juga “The Erosion of Ideological Hegemony and Royal Power and the Rise of Postwar Malay Nationalism 1945-46”, Journal of Southeast Asian Studies 19, 1, 1988. 13Abdullah Zakaria Ghazali, “Kebangkitan-Kebangkitan Anti-British di Semenanjung Tanah Melayu” dlm Malaysia: Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1979; Abdul Latiff Abu Bakar (pnys.), Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur dan Melaka: Penerbit Universiti Malaya dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, 1996; dan Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenajung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992. Ini tidak mengambil kira kajian-kajian mutakhir yang telah dikemukakan dalam bentuk Latihan Ilmiah yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar universiti tahun akhir, dan juga tulisan-tulisan yang menyentuh tentang riwayat hidup atau biografi tokoh-tokoh politik negara seperti Tunku Abdul Rahman (Ramlah Adam), Dato Onn Jaafar (Ramlah Adam, Ismail Adnan), Dr. Burhanuddin Al-Helmy (Kamaruddin Jaafar, Ramlah Adam) dan beberapa tokoh penting lain. Ia juga tidak mengambil kira beberapa kajian dari perspektif berbeza dan mengenengahkan ‘tafsiran baru’ yang dikemukakan oleh beberapa penulis seperti Zainal Abidin Abdul Wahid dan Abdul Rahman Haji Ismail.
14Ramlah Adam, UMNO: Organisasi dan Kegiatan Politik 1946-51, Kota Bharu: Mohd Nawi Book Store, 1979, hlm. 1. Umumnya para sarjana ini menganggap kesedaran politik dan nasionalisme Melayu sebagai satu gejala moden dan ciptaan Barat. Misalnya James P. Ongkili sewaktu menerangkan tentang asal-usul perkembangan nasionalisme di Asia Tenggara menjelaskan bahawa kesedaran nasionalisme, termasuklah di Tanah Melayu, adalah ciptaan British. Sebelum kedatangan kuasa British, dikatakan tidak pernah wujud suatu bentuk kesedaran politik dan bangsa dalam kalangan orang Melayu. Penjajahan British mengasaskan kesedaran nasionalisme Melayu melalui dasar pemodenan dan pengenalan sistem pendidikan Baratnya. Mereka yang mendapat pendidikan Barat dikatakan kononnya telah mencedok idea-idea Barat seperti hak-hak persamaan, kebebasan, demokrasi dan sebagainya sebagai landasan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Maka berasaskan pandangan tersebut, beberapa penulis seperti Ungku Aziz, Jagjit Singh Sidhu dan Abdul Latiff Abu bakar menegaskan bahawa gagasan kesedaran politik dan nasionalisme Melayu, yang lahir daripada sistem pendidikan Barat itu, bermula agak lembap dan hanya berkembang dengan jelas selepas Perang Dunia Kedua. Lihat James P. Ongkili, “Perkembangan Nasionalisme”, Jebat 1, 1971/72, hlm. 24-41.
15Raden Soenarno, “Malay Nationalism, 1900-1945”, Journal of Southeast Asian History, hlm. 29. 16Ibid. 17William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1980, hlm. 324. 18Azmi Arifin, “Imperialisme Eropah dan Warisan Pemikiran tentang Nasionalisme Melayu” dlm Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin dan Nazarudin Zainun (pnys.), Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2006, 33-39. 19Ibid. 20Cheah Boon Kheng dalam tulisannya, “Evolusi Sebuah Negara Persekutuan Malaysia: Satu Perspektif Sejarah” dlm Zuraina Majid (pnys.), Masyarakat Malaysia, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 1985, hlm. 3 misalnya menganggap pergerakan ‘Kaum Muda’ hanya gerakan Pan-Islam sahaja, dan hanya mendapat sokongan kecil dan pergerakannya tidak memberi kesan kepada kesadaran politik orang
26
Melayu. Sebenarnya pengaruh golongan yang disebut ‘reformis’ agama ini sebenarnya amat penting kerana ia menjadi asas yang menggerakkan kesedaran politik dan nasionalisme Melayu. Lihat Azmi Arifin, “Islam, Bangsa dan Perjuangan Melayu: Menelusuri Kesedaran dan Gerakan Politik Melayu-Islam dalam Perjuangan Menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu 1900-1957”, Prosiding Persidangan Antarabangsa Islam dalam Masyarakat Malaysia, Anjuran Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 5-6 Oktober 2010, hlm. 254-271.
21Ishak Tadin menganggap Dato’ Onn sebagai “...the indespensable pioneer of the Malay national movement.” Lihat Ishak Tadin, “Dato’ Onn and Malay Nationalism”, Journal of Southeast Asian History, hlm. 99. “Titik tolak perjuangan orang Melayu dengan semangat perjuangan bagi mendapatkan kebebasan dari penjajah”, menurut seorang lagi sarjana, bermula dengan “...penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) yang ditubuhkan Dato’ Onn di Batu Pahat.” Lihat Adnan Khamis, “Kebangkitan Kesatriaan dan Nasionalisme Melayu di bawah Pimpinan Dato’ Onn” dlm oleh Ismail Adnan (pnys.), Dato Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan, hlm. 20. Pandangan seperti ini juga dikemukakan dalam Hakim Samuri dan Muslimin Fadzil, Buku Teks Sejarah Tingkatan 3 KBSM, Cetakan Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, hlm. 67.
22Pernyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti dipetik dalam Fadzil Abdullah, Kassim Thukiman dan Md. Zin Idros, Onn Ja’far Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa, Petaling Jaya: MPH Group dengan kerjasama YWJ Holdings, Yayasan Warisan Johor dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, 2007, hlm. 131. Lihat juga pernyataan yang lebih kurang sama dalam Ismail Adnan, “Dato’ Onn Jaafar Bapa Nasionalisme Malaysia” dlm Ismail Adnan (pnys.), Dato Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan, hlm. 10. 23Ibid. Dalam pengantar buku ini dinyatakan “Dato Onn adalah tokoh yang serba boleh. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai penentang Malayan Union, tetapi juga pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), penyatu bangsa Melayu, pengasas perpaduan kebangsaan, pemikir kemajuan bangsa, pencetus pendidikan, penggerak bahasa Melayu, penggerak pembangunan luar Bandar, pengasas pembentukan perlembagaan negara, pejuang ketuanan Melayu dan pengasas kemerdekaan negara bangsa.” Pada hlm. 9 pula dipetik pandangan Menteri Besar Johor, Dato Haji Abdul Ghani Othman bahawa Dato’ Onn adalah “...bapa kebangsaan moden negara dan pengasas sebuah negara bangsa Malaysia.” Selain itu, lihat beberapa lagi pandangan misalnya oleh Ramlah Adam, Dato Onn Jaafar: Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992; dan (t.p), Dato’ Onn bin Dato’ Jaafar: Pengasas dan Perintis Politik Tanah Melayu [dan] Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj: Perdana Menteri Malaysia Pertama, Johor Bahru: Minda Creative Advertising, 2007, hlm. 1. 24Lihat Ismail Adnan, “Dato’ Onn Jaafar Bapa Nasionalisme Malaysia” dlm Ismail Adnan (pnys.), Dato’ Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan, hlm. 9. Dalam satu lagi tulisan mutakhir, S. Hakim Ahmad menganggap Dato’ Onn sebagai ‘Bapa Gerakan Nasionalis Tanah Melayu’. Lihat S. Hashim Ahmad, Onn Jaafar: Bapa Gerakan Nasionalis Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Revolusi Rekaria Sdn. Bhd., 2009. 25Ibid. Lihat juga Adnan Khamis, “Kebangkitan Kesatriaan dan Nasionalisme Melayu di bawah Pimpinan Dato’ Onn” dlm Ismail Adnan (pnys.), Dato Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan, hlm., 21. 26Menurut S. Hashim Ahmad, kejayaan menentang Malayan Union merupakan satu kejayaan besar orang Melayu dan UMNO. Malayan Union hanya dapat hidup selama 21 bulan. Setelah 40 bulan British merancang penubuhannya, Dato’ Onn Jaafar hanya mengambil masa yang amat singkat untuk mengagalkannya. Lihat S. Hashim Ahmad, Onn Jaafar Bapa Gerakan Nasionalis Tanah Melayu, hlm 49.
27Abd. Rahman Ali, N. Rajendra dan V. Rajendra, Tawarikh Dunia Baru Buku (Tingkatan) Tiga, Kuala Lumpur: Longman, 1979, hlm. 13; (t. p.), Dato’ Onn Jaafar, Melaka: Associated Educational Distributors, 2004, bahagian prakata oleh penerbit. Kerjasama pertama yang terbentuk dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu adalah melalui penubuhan Community Liason Commitee (CLC) pada 1949 hinggalah pembentukan Perikatan pada 1954. Usaha menuntut kemerdekaan Tanah Melayu juga didakwa mula diperjuangkan buat pertama kalinya oleh Dato’ Onn dan UMNO secara terbuka sejak 1948, dan terutamanya setelah Independence Malayan Party (IMP) ditubuhkan.27 Gerakan kemerdekaan kemudiannnya dikatakan “...dilancarkan secara tegas dan tersusun pada zaman Tunku menjadi pemimpin UMNO”.
27
28Hakim Samuri dan Muslimin Fadzil, Buku Teks Sejarah Tingkatan 3 KBSM, hlm. 121. Juga dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, Cetakan Keempat 2006, hlm. 119 dan 131. 29Lihat pandangan Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti yang dipetik oleh Ismail Adnan, “Dato’ Onn Jaafar Bapa Nasionalisme Malaysia” dlm Ismail Adnan (pnys.), Dato Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan, hlm. 10. 30T. p., Dato’ Onn bin Dato’ Jaafar: Pengasas dan Perintis Politik Tanah Melayu [dan] Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj: Perdana Menteri Malaysia Pertama, hlm. 1; dan Fadzil Abdullah, Kassim Thukiman dan Md. Zin Idros, Onn Ja’far Pejuang Terbilang Pengasas Sebuah Negara Bangsa, kata pengantar. 31Abdul Hakim Samuri dan Muslimin Fadzil, Buku Teks Sejarah Tingkatan 3 KBSM, hlm. 53 dan 74. Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 ( KBSM ), hlm. 99-100. 32Ibid. 33Usaha mengaitkan perjuangan tokoh-tokoh PKMM sebagai parti Melayu yang bukan memperjuangkan kepentingan orang Melayu, sebaliknya menjadi alat komunis dan British dikemukakan secara berterusan oleh Ramlah Adam dalam beberapa kajiannya, antaranya yang utama ialah “Merintis Jalan Ke Puncak: Satu Kajian Kandungan Teks dalam Konteks Sejarah Politik Malaysia” dlm Badriyah Haji Salleh dan Tan Liok Ee (pnys.), Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm. 271-292. 34Menurut Abu Talib Ahmad, sememangnya Malaysia belum mempunyai satu sejarah kebangsaan yang rasmi, tetapi denga itu juga catatan dalam buku-buku teks sekolah bagi tingkatan satu hingga lima sering dianggap sebagai catatan sejarah rasmi negara. Lihat Abu Talib Ahmad, “Sejarah, Muzium Kebangsaan dan Muzium Tempatan”, Prosiding Seminar Kebangsaan Sejarah Malaysia Di Mana Kebenarannya, Anjuran Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dan Dewan Bahada dan Pustaka Wilayah Utara, 8 Oktober 2009, hlm. 3. 35Tentang peranan yang dimainkan oleh arkib dan dan muzium tempatan, Abu Talib Ahmad menjelaskan bahawa ia hanya “...memberikan tempat kepada perjuangan Melayu tertentu sahaja. Selain UMNO, tidak terdapat parti politik Melayu sama ada kiri atau pembangkang yang diberi tempat kecuali beberapa pihak, itu pun secara terhad. Gambaran tentang nasionalisme Malaysia, menurut Abu, begitu sempit dan ekslusif kepada UMNO dan Perikatan, manakala secara tersurat dan tersirat kelompok di luar UMNO dianggap tidak penting bahkan tidak releven pun kepada perjuangan nasionalisme Malaysia. Lihat Ibid, hlm. 3-14.
36Abdul Hakim Samuri dan Muslimin Fadzil, Buku Teks Sejarah Tingkatan 3 KBSM. Kebetulan pula mereka yang terlibat dalam mewujudkan projek ‘sejarah kebangsaan’ dalam buku-buku teks, muzium dan arkib itu adalah terdiri daripada ahli sejarah yang sama.
37Abdul Rahman, “50 Tahun Merdeka: Menilai Semula Perjuangan Bangsa”, Prosiding Seminar Kebangsaan Sejarah Malaysia Di Mana Kebenarannya, hlm. 3. 38Ibid., hlm. 3. 39Pandangan ini ketara jika kita melihat kepada gambaran tersirat yang terdapat dalam catatan dokumen-dokumen rasmi dan perisikan British. Lihat secara umumnya catatan-catatan dokumen rasmi British seperti disusun semula dalam buku oleh Anthony J. Stockwell (pnys.), Malaya: The Malayan Union Experiment, 1946-48, Volume 2, London: HMSO, 1995. 40Anthony J. Stockwell, “The Formation and First Years of the United Malays National Organization (U.M.N.O)”, Modern Asian Studies 2, 4, 1977, hlm. 497. 41Ibid., hlm. 509. 42Ibid., hlm. 513. Perjuangan UMNO dikatakan mulai berubah daripada menentang kepada kerjasama dengan British kerana mereka lebih takut kepada ancaman gerakan kiri dan bukan Melayu. Namun sikap
28
bertolak ansur dan bekerjasama Dato’ Onn dan pemimpin UMNO dianggap sebagai suatu kelemahan dan ditentang hebat bukan sahaja oleh golongan kiri tetapi juga oleh ahli UMNO sendiri. Malah terdapat khabar angin menytakan kedudukan Dato’ Onn telah dicabar oleh ahli UMNO dari Johor sendiri. Pada Januari 1947, sewaktu Perhimpunan Agung diadakan untuk membincangkan tentang cadangan Perlembagaan Tanah Melayu, Dato’ Onn telah dikritik dengan keras oleh pemimpin-pemimpin SABERKAS, Kesatuan Melayu Singapura dan Kesatuan Melayu Johor, yang mempersoalkan cara British-Dato’ Onn mengendalikan perundingan dengan bukan Melayu dan mengancam akan keluar daripada UMNO. Lihat Ibid., hlm. 499. 43Ibid., hlm. 510.
44Jika British meninggalkan Tanah Melayu, kata Dato’ Onn, “...kita semua akan masuk perangkap komunis.” Lihat Ibid.
45Ibid., hlm. 496. 46Ibid., hlm. 499. Tentang penentangan beberapa pertubuhan dalam UMNO terhadap kepimpinan Dato’ Onn lihat Khoo Kay Kim, ‘The Malay Left 1945-48”, Sarjana, hlm. 171). 47Ibid. 48Nabir Haji Abdullah, Maahad Il Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976, hlm. 107. 49Anthony J. Stockwell, “The Formation and First Years of the United Malays National Organization (U.M.N.O)”, Modern Asian Studies, hlm. 501-502; dan John Funston, Malay Politics in Malaysia: A Study of United Malays National Organisation and Party Islam, Singapura: Heinemnn Educational Books, 1980, khususnya hlm. 40. Tentang kekuatan dan pengaruh gerakan kiri terhadap orang Melayu secara keseluruhannya lihat Khoo Kay Kim, “The Malay Left 1945-48”, Sarjana, hlm. 167-186. 50Nabir Haji Abdullah, Maahad Il Ihya Assyariff, bab 3. 51Ibid., hlm. 197. 52Anthony J. Stockwell, “The Formation and First Years of the United Malays National Organization (U.M.N.O)”, Modern Asian Studies, hlm. 510. 53Ibid., hlm. 511. 54M. R. Stenson, Industrial Conflict in Malaya seperti yang dipetik dalam Ibid., hlm. 511. 55Ibid. 56Ibid., hlm. 511-512. 57Nabir Haji Abdullah, Maahad Il Ihya Assyariff, hlm. 107 dan 122-140. 58Ibid., hlm. 189. 59Ibid., hlm. 181. 60Mohamed Amin dan Malcom Caldwell, (pnys.), Malaya: The Making of a Neo-Colony, hlm. 222.