Pemulihan Tulisan
2.0 Aktiviti Pemulihan Tulisan
2.1 Cara-cara pelaksanaan rancangan pemulihan
Pada masa ini, rancangan pemulihan yang sedang dijalankan di sekolah
ditumpukan di sekolah rendah. Murid-murid yang tidak dapat mengikuti pengajaran
guru bersama murid lain diasingkan, dan seorang guru pemulihan ditugaskan untuk
mengajar murid-murid ini. Beberapa waktu pelajaran telah diasingkan untuk
memberi pengajaran secara individu kepada murid-murid ini. Kelas pemulihan ini
biasanya diberi nama kelas lembam (yang kebetulannya membawa berbagai-bagai
makna negatif). Guru pemulihan yang ditugaskan akan membuat penyelidikan dan
penyiasatan latarbelakang murid, supaya pengajaran benar-benar sesuai untuk
murid tersebut.
Peperiksaan penilaian darjah tiga di sekolah rendah pula ialah bertujuan
mengesan kelemahan murid untuk dibetulkan, atau diberi pemulihan dalam darjah
empat. Setakat mana perkara ini dilaksanakan terpulanglah kepada kemampuan
dan kesanggupan guru-guru darjah empat. Selaras dengan keperluan kurikulum di
sekolah rendah yang mementingkan kebolehan membaca, menulis dan mengira,
berikut dikemukakan cara-cara pelaksanaan rancangan pemulihan dalam 3M.
Sebelum Sesutu rancangan pemulihan dapat dijalankan, langkah yang
pertama sekali ialah untuk mengesan dan mengasingkan murid yang memerlukan
pengajaran pemulihan dalam bidang membaca, menulis dan mengira. Langkah ini
diberi nama saringan. Kemudian, setelah murid-murid tersebut dikesan dan
diasingkan, langkah yang kedua ialah diagnosis, iaitu menentukan jenis kelemahan
secara khusus dalam sesuatu bidang sahaja, sama ada bidang membaca, menulis
atau mengira. Diagosis ini akan memberi petunjuk kepada guru mengenai langkah-
langkah khusus dalam pengajarannnya untuk mengatasi kelemahan murid tersebut.
2.2 Cara Melaksanakan Pengajaran Kemahiran Menulis Asas
Wiedorholt, Hammil dan Brown (1983) mencadangkan guru-guru sekolah
rendah memperuntukkan 10 hingga 15 minit setiap hari untuk mengajar tulisan
tangan (mekanis). Bagi masalah menulis bentuk huruf yang tidak betul dan
berbentuk huruf senget, guru hendaklah meletakkan kertas lurus sebagai panduan
untuk murid menulis. Jika menulis terlalu besar atau terlalu kecil, guru hendaklah
berulang kali mengajar konsep saiz dengan menunjukkan fungsi setiap garisan di
atas kertas.
Ada juga murid yang tidak dapat menulis dengan sekata (uniform). Bagi
masalah ini, guru hendaklah membimbing pergerakan tangan murid berkenaan.
Perhatikan cara dia memegang pensel dan kedudukan tangannya di atas meja
ketika dia menulis untukmemastikan pergerakan yang betul. Satu lagi masalah yang
sering dihadapi oleh murid-murid dalam tulisan mekanis ialah tulisan yang terlalu
sesak atau terlalu jarang. Untuk mengatasi masalah ini cuba latih tubi murid menulis
huruf mengikut jark hujung jari atau diukur dengan jarak sebatang pensel.
Selain daripada di atas, guru boleh menggunakan kebijaksanaan dan
kreativiti sendiri untuk membantu murid menulis dengan betul dan sempurna. Aktiviti
menulis ini juga boleh digabungkan dengan permainan untuk menghindari
kebosanan murid jika guru terlalu kerap menggunakan teknik latih tubi. Guru juga
boleh mengadakan muzik latar yang sesuai untuk menarik minat murid ketika
menulis.
2.3 Kesimpulan
Kaedah pembelajaran mengikut kebolehan (stesen) dapat meningkatkan
penguasaan kemahiran bacaan kumpulan sasaran secara positif. Kenyataan ini
dapat dikukuhkan lagi dengan perbandingan keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos
yang telah dijalankan ke atas mereka. Selain itu, ia turut meningkatkan keyakinan
diri murid untuk terlibat dalam proses P & P. Hasil dari ujian pos yang dijalankan
terhadap kumpulan sasaran dapat menjelaskan bahawa kaedah pembelajaran
adalah faktor penting untuk meningkatkan penguasaan sesuatu kemahiran. Kaedah
Pembelajaran Masteri yang cuba diterapkan oleh pengkaji menampakkan hasil yang
membanggakan.
Melalui kaedah ini, kumpulan sasaran merasakan diri mereka lebih dihargai
dan secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan keyakinan diri mereka.
Malahan semangat ingin berjaya yang ditunjukkan oleh mereka amat
mengagumkan. Perubahan sikap yang positif kepada kumpulan sasaran turut
membantu kejayaan mereka. Oleh yang demikian, wujudlah suasana P & P yang
lebih menyeronokkan. Kumpulan sasaran juga lebih berminat untuk menyertai setiap
aktiviti yang dijalankan kerana mereka memahami apa yang dipelajari. Selain itu,
respons baik yang diberi oleh mereka terhadap P & P secara tidak langsung dapat
meningkatkan keyakinan guru. Ini adalah kerana setiap aktiviti yang dirancang dapat
diikuti dengan penuh minat. Disebabkan semangat ingin berjaya telah wujud dalam
diri mereka, dengan sendirinya murid-murid ini menggunakan masaterluang dengan
aktiviti membaca bahan yang disediakan .
2.4 Cadangan pembelajaran
Murid bukan hanya memerlukan satu pendekatan pengajaran yang fleksibel
dan inovatif yang dapat menarik perhatian mereka tetapi yang sama penting ialah
satu strategi yang dapat membantu mereka mengingat kembali maklumat yang
diajar agar proses P & P boleh dianggap berkesan. Walau bagaimanapun,
peruntukan masa yang panjang bagi sesuatu pembelajaran diperlukan supaya
mereka benar-benar dapat menguasai kemahiran tersebut. Bahan yang diberi juga
tidak boleh terlalu banyak memandangkan kumpulan sasaran terdiri daripada
mereka yang cepat merasa bosan.
Pemulihan membaca
3.0 Pemulihan membaca
3.1 Saringan dan diagnosis.
Beberapa cara dapat digunakan untuk membuat tindakan saringan dan
diagnosis untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca. Cara-cara ini
adalah seperti memerhatikan murid yang sedang membaca, menilai jawapan
mereka dari soal selidik guru, menggunakan buku bacaan yang telah dikelaskan,
mengkaji pergerakan mata murid ketika membaca, memberi ujian tara, memberi
ujian yang direka oleh guru, memilih murid untuk pengajaran pemulihan (atau
tambahan).
Sebagai panduan, biasanya lebih daripada satu cara digunakan untuk
mengesan dan menentukan kelemahan membaca.
3.1.1 Memerhatikan murid yang sedang membaca.
Cara-cara mengesan murid yang mempunyai masalah membaca ialah
dengan memerhatikan murid yang membuat perkara berikut seperti membaca
sesuatu muka surat terlalu lama, iaitu murid tersebut tidak menukar muka surat yang
dibaca dengan kadar sepatutnya, menggerakkan bibir ketika membaca yang
sepatutnya tidak perlu, menggunakan jari atau pensil sebagai petunjuk ketika
membaca sesuatu barisan, menggerakkan kepala (dan bukan mata) ketika
membaca dan tidak duduk senang, selalu bergerak-gerak dan melihat keluar ketika
membaca.
Perbuatan atau tabiat diatas mungkin menunjukkan bahawa bahan bacaan
yang sedang dibaca oleh murid tidak sesuai, atau tidak diminatinya. Walaupun
demikian, perkara-perkara seperti diatas haruslah dikaji dengan teliti oleh guru untuk
menetukan perkaitan diantara tabiat tersebut dengan sesuatu kelemahan membaca.
3.1.2 Menilai jawapan dari soal selidik mengenai tabiat membaca.
Guru boleh menyediakan dan memberikan soal selidik mengenai tabiat
membaca kepada murid. Jawapan-jawapan dari soal selidik ini dapat digunakan oleh
guru untuk mengesan sesuatu masalah khusus dengan lebih lanjut. Tujuan dan
matlamat sesuatu rancangan membaca ialah agar murid mempunyai tabiat
membaca, dan terus membaca serta ia akan dapat kepuasan dari membaca. Berikut
diturunkan satu contoh soal selidik yang dapat digunakan oleh guru.
3.1.3 Menggunakan buku yang telah dikelaskan
Jika ada buku yang telah dikelaskan mengikut darjah, maka murid yang disyaki
mempunyai kelemahan membaca boleh disuruh membaca buku tersebut. Kemudian
kefahaman murid boleh diuji dengan memberinya soalan-soalan berkaitan dengan
perkara yang telah dibacanya. Cara ini harus dapat dibuat untuk beberapa peringkat,
atau kelas bahan bacaan hinggakan murid tersebut benar-benar dapat membaca
pantas dan faham bahan bacaan yang dibacanya. Biasanya, berbagai-bagai jenis
bahan bacaan dikemukakan kepada murid tersebut, kerana bahan sains mungkin
menimbulkan kerumitan, manakala bahan sejarah mungkin didapati lebih senang.
3.1.4 Mengkaji pergerakan mata ketika murid membaca.
Pakar-pakar psikologi telah mengkaji pergerakan mata ketika membaca. Dari
kajian mereka, beberapa maklumat telah diperolehi. Antaranya adalah seperti ketika
proses membaca, mata pembaca bergerak dalam satu siri lompatan di satu barisan
tulisan dan pembaca yang pantas akan membuat perhentian dan pematahan balik
yang sedikit ketika membaca jika dibandingkan dengan pembaca yang lambat.
Contohnya seorang murid darjah dua di Amerika Syarikat didapati telah membuat
200 perhentian (lompatan) untuk membaca 100 perkataan (20 perhentian untuk 10
perkataan), manakala seorang murid berkebolehan biasa di Gred 8 di Amerika
Syarikat ( tingkatan 2 di Malaysia) membuat 93 perhentian untuk membaca jumlah
perkataan yang sama. Dari kiraan ini, murid darjah dua tadi membuat 50 pematahan
balik untuk 100 perkataan (5 pematahan balik untuk 10 perkataan), manakala murid
tingkatan dua membuat 17 pematahan balik untuk 100 perkataan.
3.2 Memberi ujian tara
Ada banyak ujian tara yang boleh digunakan untuk menilai peringkat
membaca seorang murid, tetapi hampir kesemua ujian ini telah direka di Amerika
Syarikat berpandukan data murid-murid disana. Tambahan pula ujian ini menguji
pembacaan di dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu, berikut diturunkan di antara ujian-
ujian bacaan yang lazim digunakan untuk pengetahuan dan makluman sahaja.
“Gates Primary Reading Test” : Ujian ini sesuai digunakan untuk murid gred
1,2, dan 3. Masa pengujian ialah antara 15 hingga 25 minit. “Gates Reading Survey
for grades 3 to 10” : Ujian ini menguji empat aspek pembacaan iaitu perbendaharaan
kata, peringkat kefahaman, kepantasan, dan ketepatan. “Iowa Silent Reading Test” :
Sesuai untuk menguji bacaan murid gred 4 hingga 8. “SRA Reading Record” : Ujian
ini sesuai digunakan untuk murid-murid gred 8 hingga 13. Ujian ini menguji 10
kemahiran membaca iaitu kadar kecekapan, kefahaman, maksud perenggan,
membaca direktori, membaca peta, jadual, graf, membaca iklan, penggunaan
indeks, perbendaharaan kata teknikal, makna ayat, dan perbendaharaan kata am.
3.3 Memberi ujian yang direka oleh guru
Berbagai-bagai cara mengesan dan menetukan kelemahan membaca
dikalangan murid dapat dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah. Untuk menguji
kecekapan membaca, satu cara yang mudah boleh digunakan. Semua murid dalam
bilik darjah disuruh membaca satu bahagian dari buku teks mereka yang belum
dibaca mereka lagi. Semua murid disuruh mula membaca pada masa yang sama,
dan disuruh membaca dengan cepat. Kemudian setelah 10 atau 15 minit, semua
murid disuruh berhenti membaca, dan disuruh menandakan perkataan yang terakhir
dibaca. Dari jumlah perkataan yang dibaca dan masa yang digunakan, kadar
kecekapan membaca dapat dikira untuk semua murid dalam bilik darjah tersebut.
Untuk menentukan bahawa murid faham bahan yang dibaca, mereka boleh disuruh
menjawab soalan mengenai perkara yang dibaca.
Bahan-bahan lain, selain dari buku teks seperti majalah, surat khabar, novel,
atau bahan bacaan yang sesuai boleh digunakan. Sebaik-baiknya, semua murid
harus membaca bahan yang sama. Untuk menguji kefahaman sahaja, amatlah baik
jika masa yang digunakan oleh murid tidak dihadkan, kerana ujian tersebut bertujuan
menguji sama ada murid benar-benar faham bahan yang dibacanya. Jenis soalan
yang boleh digunakan untuk menguji kefahaman adalah seperti soalan yang
mengukur kebolehan memahami fakta semata-mata, soalan yang mengukur
kebolehan memahami fakta yang dimaksudkan, atau tidak begiti nyata dalam
bacaan, soalan yang menguji sama ada murid dapat mengumpulkan maklumat
penting dalam sesuatu perenggan, soalan yang menilai kebolehan membaca dan
memahami soalan dan soalan yang menguji pengetahuan murid mengenai makna
perkataan.
Dari ujian-ujian ini, guru bilik darjah dapat membuat skel norma atau purata
bagi pembacaan untuk darjahnya atau untuk sekolahnya.
3.4 Memilih murid untuk pengajaran pemulihan (tambahan)
Setelah murid diberi ujian ( berbagai-bagai cara lain ) untuk mengesan dan
menentukan kelemahan membaca, guru harus memilih murid yang memerlukan
pengajaran pemulihan. Walaupun demikian, perlu ditegaskan di sini bahawa semua
murid perlu memperbaiki teknik membacanya, tidak kira sama ada murid tersebut
perlu pengajaran pemulihan, atau tidak. Murid-murid yang berkebolehan biasa dan
berkebolehan lebih tinggi dalam bilik darjahnya harus diberi pengajaran biasa. Untuk
murid yang jauh ketinggalan dan tiada harapan untuk mengejar kemajuan rakannya
dalam darjah yang sama. Mereka ini harus diberi pengajaran asing atau mereka
harus disatukan dengan murid yang sama kebolehan untuk diberi pengajaran
pemulihan. Perkara ini harus dimulakan pada awal tahun supaya masa tidak
terbuang, dan pengajaran pemulihan dapat dimulakan awal-awal lagi.
3.5 Kaedah pengajaran pemulihan membaca dan penilaiannya.
3.5.1 Teknik am
Pengajaran pemulihan ( iaitu kaedah, rancangan dan penilaiannya) harus
dilaksanakan berdasarkan maklumat dari saringan dan diagnosis. Jika kecacatan
fizikal yang menyebabkan kelemahan itu ( masalah penglihatan, pendengaran,
kekurangan makanan, atau zat makanan, atau penyakit teruk) maka masalah ini
harus dirujuk kepada pihak berkenaan (klinik atau hospital). Kira-kira 95 % masalah
penglihatan dapat diatasi dengan penggunaan kaca mata. Walau bagaimanapun,
kerja pengajaran pemulihan harus jangan dimulakan kiranya masalah fizikal murid
yang sepatutnya dapat dirawati, masih belum diberi pertolongan.
Jika saringan dan diagnosis menunjukkan bahawa murid tersebut amatlah
lembab dari segi kebolehan mental, maka guru harus mengajarnya lebih perlahan
dengan menggunakan contoh dan unit-unit konkrit dalam usaha membina
perbendaharaan kata mereka. Oleh kerana murid lembab ini biasanya tidak suka
membaca, kerana terpaksa membaca bahan bacaan yang terlalu susah untuknya,
maka berikut dikemukakan langkah-langkah untuk panduan guru bagi mengatasi
masalah ini.
Bincangkan perkara mengenai buku, di mana hendak mendapatkannya, dan
maklumat-maklumat seronok yang terkandung di dalamnya. Suruh murid membaca
buku yang senang dan seronok baginya tanpa meminta ringkasan buku tersebut.
Tolong murid mencari dan memilih buku yang senang dan seronok baginya. Cerita
pendek, dongeng dan riwayat yang mengandungi perbendaharaan kata terhad
amatlah sesuai untuk murid ini. Berikan projek kecil, atau aktiviti yang memerlukan
pembacaan.
Jika masalah yang dihadapi oleh murid berpunca dari rumah, guru yang
bijaksana mungkin dapat menemui ibu bapa murid tersebut untuk mengurangkan
masalah ini jika masalah tersebut dapat dikawal.
Semua data yang dikumpulkan dari usaha saringan dan diagnosis harus
dipertimbangkan dan digunakan untuk merancang sesuatu rancangan pemulihan.
Setip murid yang lemah amatlah berbeza jika dibandingkan dengan murid lemah
yang lain. Rancangan pemulihan dan seterusnya teknik mengajar haruslah
berpandukan maklumat setiap murid dalam rancangan tersebut. Walau
bagaimanapun, ada beberapa prinsip asas yang boleh digunakan.
Mulakan pengajaran di tahap kebolehan murid. Kesilapan yang sering dibuat
oleh guru ialah menganggap bahawa seseorang murid itu mengetahui lebih daripada
kebolehannya yang sebenar. Bahan yang baru dan lebih tinggi tidak dapat dipelajari
selagi bahan asas belum dikuasai.
Murid harus diberitahu selalu mengenai kemajuannya. Kemajuan murid harus
ditunjukkan kepada murid tersebut dengan menggunakan graf, carta atau rekod-
rekod lain. Ini akan menggalakkan murid tersebut berusaha lagi.
Kerja, atau pelajaran yang diikuti oleh murid harus penting baginya dan mirip
kepada keadaan sebenar. Latihan mengenai sesuatu semata-mata untuk latihan
sahaja tanpa memasukkan perkara-perkara yang bermakna tidak akan menimbulkan
kesan. Keperluan murid harus diambil kira.
Murid harus merasa puas mengikuti pelajarannya. Latihan-latihan yang dapat
melahirkan rasa puas hati murid akan mempercepatkan proses pembelajarannya
lagi.
Latihan-latihan yang banyak dan berbagai-bagai jenis harus diberikan. Murid
memerlukan pengalaman yang baru.
3.5.2 Teknik khusus.
Beberapa teknik khusus boleh digunakan untuk pengajaran pemulihan dalam
bidang membaca. Berikut diturunkan secara kasar teknik khusus yang boleh
digunakan diikuti dengan pemerian tiap-tiap satu secara lebih terperinci.
3.5.3 Teknik pengajaran pemulihan membaca.
1. Menambahkan perbendaharan kata.
a. Menambahkan perbendaharaan kata yang dilihat.
b. Membaca selalu.
c. Penggunaan kamus.
d. Kajian perkataan secara sistematik.
e. Kajian punca perkataan.
2. Cara-cara mempelajari perkataan yang belum dikenali.
3. Menambahkan kadar kecepatan membaca.
a. Membaca untuk maklumat penting
i . Latihan
ii . Menyatakan tajuk utama
iii . Menyatakan idea pusat.
iv . Mencari ayat tajuk
v . Membaca sepintas lalu.
b. Membaca untuk maklumat terperinci.
I. Menambahkan perbendaharaan kata
Jika saringan dan diagnosis menunjukkan bahawa seseorang murid itu lemah
dalam perbendaharaan kata, maka latihan latihan dalam perkara ini harus diaturkan.
Ini adalah kerana aktiviti pembacaan bergantung berat kepada penguasaan makna
perkataan yang mengcukupi.
Perbendaharaan kata yang dilihat. Sebelum memulakan seseorang murid
dalam sebarang rancangan pemulihan membaca, guru harus memastikan bahawa
murid tersebut dapat mengenal perkataan-perkataan yang sering terdapat dalam
sebarang bacaan. Dalam Bahasa Inggeris ada dua ratus dua puluh perkataan yang
mewakili lebih dari 50% dari semua bahan bacaan biasa. Senarai perkataan seperti
ini biasanya terdiri dari sendi nama, sendi kata, nama, adjektif, adjektif, adverba dan
berbagai-bagai permainan dapat direka oleh guru bersama dengan murid untuk
menguasai perkataan-perkataan biasa ini. Perkataan-perkataan itu boleh ditulis
diatas kad-kad, seperti daun terup, tiap-tiap satu perkataan diatas satu kad.
Kemudian dua orang murid boleh bermain dengan kad-kad ini. Seorang menjadi
pemain dan seorang lagi pembantunya. Kad-kad dicampurkan dan seorang
pembantu akan mengambil satu kad lalu menanya pemain. Jika pemain dapat
mengenal perkataan di kad tadi, maka kad tersebut disimpan, jika tidak kad itu
diasingkan dan akan disebut oleh pembantu, diikuti oleh pemain. Maklumat
mengenai kemajuan pemain akan dicatatkan pada tiap-tiap akhir permainan, iaitu
berapa kali betul dan salah, hinggakan semua perkataan itu dikenali.
Membaca selalu. Cara yang paling berkesan untuk menambahkan
perbendaharaan kata ialah dengan membaca selalu, dan membaca berbagai-bagai
bahan bacaan. Dalam konteks sesuatu ayat, makna perkataan yang tepat mudah
dipelajari. Pelajaran mengenai makna perkataan harus diperkaitkan secara langsung
kepada ayat dalam konteks yang dibaca dan tidak boleh dikaji secara sendiri.
Penggunaan kamus. Murid harus digalakkan menggunakan kamus. Bagi
murid sekolah rendah, kamus yang mudah harus digunakan, tanpa simbol dan
definisi makna yang membingungkan. Ujian, atau latihan yang memerlukan
kemahiran menggunakan kamus boleh juga digunakan. Contohnya adalah seperti
berikut :
i. Aturkan perkataan-perkataan sebagaimana ia mungkin terdapat didalam
kamus.
ii. Cari makna yang sesuai dari kamus bagi perkataan yang bergaris.
Kajian perkataan secara sistematik. Kesan pembacaan dapat ditambahkan
lagi dengan satu rancangan yang sistematik mengenai perkataan. Perkataan yang
susah mudah dipelajari dengan menggunakan latihan yang sesuai senarai berbagai-
bagai latihan yang boleh digunakan adalah seperti berikut :
i. Membuat senarai seerti, berlawanan, dan hononim( perkataan yang sama
ejaan dan bunyi tetapi berlainan makna ).
ii. Mencari perkataan lain untuk perkataan yang terlalu sering digunakan.
iii. Membuat pasangan perkataan di satu senarai dengan senarai yang lain.
iv. Mengisi tempat-tempat kosong dalam perenggan dalam perkataan dalam
senarai.
v. Menukar perkataan khusus kepada perkataan am.
vi. Membuat senarai perkataan yang mewakili satu keluarga perkataan yang
dibina dari punca yang sama.
vii. Membuat pasangan perkataan dalam jadual tertentu – seperti nama
dengan adjektif, kata kerja dengan adverba, nama dengan kata kerja.
viii. Menyimpan buku nota untuk perkataan, tiap-tiap satu perkataan diikuti
dengan ayat.
ix. Memilih gambar dan membuat senarai perkataan yang sesuai dengan
gambar tersebut.
x. Mencari perkataan yang sesuai untuk perkataan percakapan biasa, seperti
‘member’, ‘relax’, ‘best’, dan sebagainya.
xi. Menggantikan perkataan bergaris dengan perkataan serti.
Bermacam-macam lagi latihan boleh direka atas bijakpandai dan pengalaman
guru. Latihan seperti ini boleh digunakan untuk berbagai-bagai peringkat, atau tahap
kebolehan membaca. Tahap yang rendah akan menggunakan perkataan yang
mampu digunakan oleh murid ditahap itu.
Kajian punca perkataan. Sama ada Bahasa Inggeris, atau Bahasa Malaysia
banyak perkataan menggunakan imbuhan. Kajian makna asal sesuatu perkataan,
iaitu tanpa menggunakan imbuhan akan memudahkan mengingati makna berbagai-
bagai bentuk perkataan itu kemudian. Kemudian makna imbuhan pula harus dikaji
supaya makna sesuatu ayat itu jelas difahami dari segi makna asal dan bersama
dengan imbuhannya.
II. Cara-cara mempelajari perkataan yang belum dikenali.
Murid yang kurang cekap membaca biasanya lebih banyak mengetahui
makna perkataan, tetapi tidak dapat mengenalnya secara tulisan. Dalam keadaan
ini, guru harus memberi murid pelajaran fonik (atau bunyi biasa). Banyak cara boleh
digunakan untuk belajar menyebut bunyi perkataan, sama ada dalam Bahasa
Inggeris, atau Bahasa Malaysia. Satu daripada cara-cara itu adalah seperti berikut :
w….. Apakah bunyi yang anda sebut apabila meniup lilin?
r…... Bagaimanakah bunyi kucing berehat?
Sy… Apakah bunyi yang anda sebut untuk memberi isyarat supaya
Jangan bisang?
C …. Apakah bunyi yang anda sebut apabila bersin?
Ow…Apakah bunyi yang anda sebut apabila kesakitan?
O …. Apakah bunyi yang anda sebut apabila sesuatu yang tidak disangka
berlaku.
Gr… Apakah bunyi anjing apabila ia marah? (selain dari menyalak)
Banyak lagi bunyi yang dapat ditambahkan kepada senarai ini dari pengalaman guru
bilik darjah.
III. Menambahkan kadar kecepatan membaca.
Apabila seseorang murid itu sudah mula pandai membaca, menambahkan
kadar membacanya adalah perkara yang paling mudah. Kadar kecepatan membaca
seseorang murid itu biasanya bergantung kepada tabiatnya. Berbagai-bagai cara
telah dikemukakan dan digunakan dalam usaha menambahkan kadar kecepatan
membaca.
Membaca selalu. Cara yang mudah dan yang baik untuk menambahkan
kecepatan membaca iailah dengan membaca selalu bahan bacaan yang mudah
dibaca dan yang seronok. Murid yang lambat membaca biasanya kurang membaca.
Mereka hanya membaca buku teks sekolah yang memerlukan bacaan perlahan, dan
perhatian sepenuhnya.
Penggunaan masa yang terhad. Cara yang kedua yang mudah digunakan
untuk mempercepatkan kadar membaca ialah dengan menghadkan masa
membaca. Katakan sesuatu cerita, atau rencana itu memerlukan setengah jam
untuk dibaca dengan kadar biasa, hadkan masa ini kepada dua puluh minit pula.
Dengan cara ini, pembaca terpaksa membaca pantas supaya rencana tersebut
selesai dibaca pada masa yang terhad itu. Dalam mengikuti cara ini, pada mulanya
setengah-setengah makna dalam rencana itu akan kabur sedikit, tetapi lama-
kelamaan perkara ini dapat diatasi.
Penggunaan alat-bantu kadar membaca. Berbagai-bagai alat Bantu kadar
membaca telah direka dan dijual di negara maju. Untuk kegunaan guru bilik darjah di
negara ini, cara yang paling mudah dan murah untuk menambahkan kecepatan
muridnya membaca ialah dengan menggunakan sekeping kad yang ditolak oleh
guru, atau rakan murid. Sebelum menggunakan teknik ini, guru harus memastikan
kadar pembacaan seseorang murid terlebih dahulu. Katakan murid tersebut
mengambil masa tujuh saat untuk membaca satu baris. Masa ini boleh dikurangkan
kepada enam saat. Caranya seperti suruh murid membaca sesuatu bahan seperti
biasa, apabila murid tersebut telah membaca satu, atau dua baris, sekeping kad
akan digunakan untuk menutup baris yang baru lalu, untuk tiap-tiap satu baris,guru
harus mengira enam saat, sama ada dengan menggunakan jam, atau dengan
mengira seperti “satu-ribu-satu”, “ satu-ribu-dua”, dan sebagainya, hingga enam kali
untuk enam saat, sedikit demi sedikit masa ini boleh dikurangkan agar kadar
pembacaan murid tersebut bertambah cepat.
Berbagai-bagai alat lain boleh digunakan, tetapi kesemuanya menggunakan
prinsip yang sama.
3.5.4 Menambahkan kefahaman membaca
Tujuan utama semua rancangan membaca ialah untuk menambahkan
kefahaman. Perkara yang diperkaitkan dengan kefahaman membaca ialah keadaan
fizikal, rasa hati, kecerdasan akal, perbendaharaan kata, kadar membaca,
pengalaman membaca, minat dan latihan dalam sesuatu bidang yang tertentu.
Panduan am untuk menambahkan kefahaman tidak dapat diberikan, kerana
kefahaman membaca biasanya dikaitkan dengan isi kandungan, dan kecekapan
tertentu. Walau bagaimanapun, beberapa keperluan membaca dapat dilatih oleh
guru.
Membaca untuk maklumat penting. Biasanya, bukan semua perkara dalam
sesuatu perenggan itu penting. Murid harus dapat membaca dan mengingat perkara
yang penting sahaja. Perkara lain tidak perlu diingat, dan membaca perkara yang
tidak penting ini dengan teliti adalah membuang masa semata-mata. Beberapa
latihan untuk mencapai matlamat ini dapat dikemukakan oleh guru. Antaranya
adalah seperti berikut.
i. Latihan kefahaman : seperti menanya soalan penting, maklumat penting,
memberikan tajuk yang sesuai, dan sebagainya.
ii. Mengarang tajuk utama : seperti contoh tajuk di surat khabar.
iii. Menyatakan idea pusat : di dalam sesuatu perenggan. Berbagai-bagai bahan
bacaan boleh digunakan untuk tujuan ini.
iv. Mencari ayat utama : latihan mencari ayat utama dalam sesuatu perenggan
harus diberikan juga. Biasanya, murid tidak tahu bahawa kebanyakan
perenggan mempunyai ayat utama yang biasanya terletak di permulaan, atau
di akhir perenggan. Kadang-kadang ayat ini mungkin terletak dimana-mana
sahaja dalam perenggan tersebut.
v. Membaca sepintas lalu : kebolehan membaca sepintas lalu harus diajar awal,
khususnya untuk membolehkan murid yang sudah lancar membaca untuk
memilih buku yang ingin dibacanya, atau untuk mencari maklumat penting.
Membaca sebuah buku sepintas lal, bukanlah bermaksud membaca dengan
penuh ertikata membaca. Apabila seseorang murid membaca sepintas lalu, ia
hanya mencari maklumat yang dikehendakinya seperti, melihat jadual isi
kandungan, dan melihat bab-bab tertentu secara kasar sahaja tanpa
membaca tiap-tiap perkataan. Perkara-perkara kecil, seperti tajuk kecil,
petikan dan sebagainya tidak perlu dibaca. Sebaik-baiknya sebelum
membaca sesuatu bahan bacaan ( kecuali cerita yang seronok) maka lebih
baik jika pembaca membaca bahan itu sepintas lalu secara kasar dahulu,
kerana ini akan mengurangkan masa membaca bahan tersebut sepenuhnya,
sebab bentuk keseluruhan bahan itu sudah diketahui.
3.5.5 Membaca untuk maklumat terperinci.
Kadang-kadang murid perlu juga membaca Sesuatu perkara dengan
terperinci. Contohnya ialah membaca langkah-langkah tertentu untuk ujikaji,
mengikuti peraturan mengenai penggunaan sesuatu alat dan sebagainya. Bacaan
seperti ini memerlukan perhatian yang sepenuhnya agar perkara-perkara kecil dan
terperinci tidak tertinggal.
Sebagai kesimpulan, guru pemulihan membaca membaca perlu mengajar,
menggabungkan teknik dan bahan pengajarannya, dan menilai kemahiran yang
diperlukan muridnya supaya dapat membaca. Berikut diturunkan kemahiran ini untuk
panduan guru dan untuk memastikan bahawa murid tersebut telah menguasainya.
i. Kemahiran dekod : kemahiran persepsi
Persepsi visual setiap huruf
Persepsi visual urutan huruf
Persepsi pendengaran sebutan bunyi – konsonan, diftong dan dwilambang.
Persepsi pendengaran perkataan dalam urutan.
ii . Kemahiran dekod mengenal perhubungan fonem-grafem
Analisa fonetik perkataan.
Analisa struktur perkataan.
Perkaitan perkataan yang dilihat dengan perkataan yang diingat dan disebut :
bersama maknanya.
Kemahiran membaca secara automatik.
iii . Kemahiran kefahaman.
Memberi makna sesuatu fakta
Memahami makna satu urutan fakta ( perenggan atau cerita )
Membuat kesimpulan atau penutup
Membuat atau mengingat perkara-perkara yang terperinci dalam sesuatu
cerita.
Membuat seperti yang diarahkan.
Mengikuti satu urutan arahan (seperti dalam resepi)
Mencari perhubungan yang menyebabkan sesuatu.
Meramal sesuatu akan terjadi atau berlaku.
Menyelesaikan masalah, termasuk mencari maklumat yang diperlukan.
Menilai maklumat untuk kepentingan dan keesahannya.
iv . Kemahiran belajar.
Mengetahui urutan abjad
Mengetahui dan dapat menggunakan berbagai-bagai bahagian buku (tajuk,
jadual isi kandungan, indeks, glosari, dan sebagainya)
Menggunakan format buku ( susunan buku kepada bahagian tertentu, bab
dan perenggan) sebagai panduan untuk mencari idea penting
Mengelaskan bahan kepada tajuk-tajuk tertentu.
Menggunakan bahan rujukan (panduan telefon, kamus dan sebagainya)
Membaca peta,graf,jadual, dan carta.
Menggunakan fail-fail dan bibliografi.
Membuat rencana kasar dan ringkasan.
3.6 Ujian pra
Ujian ini dijalankan kepada semua murid yang terlibat untuk mengetahui
sejauh mana mereka dapat menguasai kemahiran membaca pada peringkat asas.
Setelah dianalisis keputusannya, majority murid-murid gagal menguasai kemahiran
membaca peringkat asas terutamanya yang melibatkan gabungan suku kata KV dan
KVK.
3.7 Rawatan
Tindakan awal yang dijalankan bagi membantu murid-murid ini menguasai
kemahiran membaca terutamanya yang melibatkan gabungan suku kata kv dan kvk
ialah dengan mengenal pasti kaedah pengajaran yang sesuai. Pengkaji telah
memilih untuk menggunakan kaedah pembelajaran masteri di dalam bilik darjah.
Memandangkan kaedah lebih menjurus kepada kebolehan seseorang, maka ia amat
sesuai digunakan untuk kumpulan sasaran.
3.8 Aktiviti Rawatan
i. Stesen bacaan
Pengkaji telah menyediakan ‘Stesen bacaan’ di salah satu sudut di dalam
kelas. Di stesen ini, disediakan dengan pelbagai bahan bacaan seperti :
a) kad suku kata
b) kad perkataan
c) kad ayat
d) carta cinta pendek.
Stesen ini diwujudkan bertujuan memberi ruang kepada murid-murid untuk
mengisi masa terluang selepas selesai sesuatu aktiviti. Mereka akan membaca di
stesen ini setelah guru mengesahkan yang mereka berjaya melaksanakan aktiviti
yang diberi. Aktiviti ini dapat mewujudkan suasana yang menyeronokkan. Murid
berlumba-lumba menyelesaikan aktiviti dengan jayanya untuk melayakkan mereka
pergi ke stesen bacaan. Murid yang telah berjaya membaca bahan yang disediakan
di stesen ini dengan lancar akan diberi hadiah.
Kaedah pembelajaran masteri telah dipilih memandangkan kumpulan sasaran
merupakan golongan yang melakukan sesuatu mengikut minat. Dalam kaedah
pembelajaran masteri, aspek utama yang diberi penekanan adalah pembelajaran
mengikut kebolehan. Oleh itu, sekiranya kumpulan sasaran diberi tugasan yang
mereka boleh lakukan mengikut kebolehan sedia ada, secara tidak langsung dapat
menarik minat mereka terhadap proses P & P. Selain itu, pembelajaran masteri lebih
memberi peluang individu itu untuk bertindak atas usaha sendiri tanpa arahan guru.
Kaedah ini lebih kepada konsep pembelajaran kendiri iaitu guru hanya bertindak
sebagai pembimbing. Akhir sekali, dalam kaedah ini murid dapat beralih ke tahap
yang lebih tinggi selepas berjaya pada tahap sebelumnya.
Stesen 1
Di stesen 1 bahan yang digunakan adalah dalam bentuk kad suku kata yang
menggabungkan KV dan KVK seperti ‘bakul’ dan ‘jalan’. Murid-murid dikehendaki
mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup berdasarkan warna-
warna tulisan pada kad tersebut.
Kad suku kata
ba + kul = bakul
ja + lan = jalan
se + ko + lah = sekolah
Penggunaan tulisan berwarna pada setiap perkataan juga adalah penting. Ia
bertujuan untuk memudahkan kumpulan sasaran mengenal pasti dan membezakan
antara suku kata KV dan KVK. Malahan penggunaan warna pada suku kata juga
dapat memudahkan murid untuk mengeja ataupun membaca sesuatu perkataan
yang diberi. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat membantu murid membaca
dengan cepat.
Stesen 2
Di dalam stesen ini, pengkaji menyediakan kad perkataan yang mengandungi
gabungan suku kata KV dan KVK seperti :
kad perkataan :
buku
meja
memasak
tembikai
Kad ini masih lagi menggunakan tulisan berwarna supaya murid dapat
menyebut suku kata berdasarkan warna tertentu pada perkataan tersebut. Pengkaji
dapat melihat peningkatan murid yang tidak perlu mengeja apabila diberi kad-kad
perkataan ini.
Stesen 3
Di sini, pengkaji menyediakan kad yang mengandungi ayat tunggal yang
mudah seperti:
KAD AYAT
1. Ibu memasak nasi lemak di dapur.
2. Hobi kakak saya membaca buku cerita.
3. Adik saya gemar melukis gambar pemandangan
4. Lawatan ke Zoo Melaka telah dibatalkan
Dalam melaksanakan aktiviti ini, guru menggunakan dua langkah
a ) Pengukuhan
Pengkaji meminta murid mengeja dan membatangkan suku kata. Kemudian
murid dikehendaki menyebut suku kata berwarna dan membatangkan perkataan.Ini
adalah sebagai pengukuhan aktiviti di stesen-stesen sebelumnya.
b ) Pengayaan
Pengkaji meminta murid-murid membaca terus ayat tunggal yang diberi.
Kemudian pengkaji bersoal-jawab untuk mengetahui tahap kefahaman murid
terhadap ayat yang dibaca. Dengan demikian, murid dapat menguasai dua
kemahiran serentak, iaitu membaca dan memahami teks bacaannya.
Stesen 4
Di stesen 4 ini, pengkaji menyediakan ‘Big Book’ . ‘Big Book’ adalah sebuah
buku yang dibesarkan (enlarged) mengandungi gambar-gambar berwarna dan
menarik. Ayatnya adalah pendek supaya murid lebih berfokus kepada latar
belakang. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti:
a) Menjana idea - murid bercerita berdasarkan gambar untuk mencungkil
b) pengetahuan am dan sedia ada.
c) Bacaan terus - murid membaca tanpa perlu mengeja.
d) Membandingkan persepsi murid dengan cerita sebenar pada gambar sebagai
e) pengukuhan.
f) Penilaian
3.9 Ujian Pos
Ujian pos diberikan kepada kumpulan sasaran setelah proses rawatan selesai
dijalankan.Ia bertujuan untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan teknik yang
dilaksanakan. Dapatan daripada analisis ini jelas menunjukkan ada peningkatan
berlaku walaupun tidak secara keseluruhannya
Prabacaan
4.0 PRABACAAN
4.1 Pendahuluan
Di akhir tahun-tahun 1970-an, terdapat laporan-laporan yang menyatakan
ramai murid sekolah rendah (terutama yang tinggal di luar bandar) yang tidak boleh
membaca atau tidak cekap membaca bahasa mereka sendiri (bahasa Melayu).
Tentu banyak sebabnya perkara ‘tidak boleh membaca’ ini berlaku. Tetapi bagi
mencari penyelesaian, elok dikaji semula antara lain, kaedah mengajar Bahasa
Melayu di peringkat awal (Darjah 1 atau 2), dan menggubal cara yang lebih sesuai,
mudah dan berkesan.
Seharusnya sebahagian besar (90%) daripada murid-murid kita dapat
membaca bahan-bahan bacaan yang ‘senang’ pada akhir Darjah 1 persekolahan
mereka, jika pengajaran membaca dibuat secara sistematik dengan mengambil kira
hal-hal berikut seperti sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik
– ertinya ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya. (Ini berbeza
sekali dengan sistem ejaan bahasa Inggeris yang amat rumit itu).Suku kata
perkataan-perkataan bahasa Melayu adalah mudah dan jelas (jika dibandingkan
dengan bahasa-bahasa lain –dengan bahasa Inggeris misalnya).Kedua-dua ciri
dalam bahasa Melayu di atas sahaja seharusnya sudah dapat meyakinkan kita
bahawa kita tidak boleh meniru dan mengambil terus kaedah mengajar membaca
bahasa Inggeris untuk mengajar membaca di peringkat awal.
Murid-murid Melayu (termasuk sebahagian besar murid-murid Bukan Melayu)
yang melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah pun mengetahui bahasa Melayu
dan mempunyai perbendaharaan kata bahasa Melayu yang mencukupi untuk
mereka terus belajar membaca bahasa Melayu. Ertinya mereka belajar bahasa
Melayu sebagai bahasa pertama, bukan sebagai bahasa kedua (misalnya bahasa
Inggeris). Jika kita meniru kaedah mengajar membaca bahasa Inggeris (sebagai
bahasa kedua) untuk mengajar mambaca bahasa Melayu sudah tentu ini akan
membawa kepayahan dan kelambatan untuk murid-murid kita belajar membaca
bahasa kita.Terdapat pelbagai kaedah mengajar membaca yang pernah digunakan
oleh guru-guru kita – ‘kaedah abjad’ , ‘kaedah fonik’, ‘kaedah pandang dan sebut’,
‘kaedah eklektik’ dan sebagainya.Bahan-bahan untuk murid berlatih membaca
sendiri adalah penting, ini kerana jika murid-murid tidak mempunyai bahan-bahan
atau buku yang boleh mereka membaca di masa lapang atau di rumah, pembinaan
kemahiran membaca akan terencat. Ini terutamanya akan berlaku di kalangan
murid-murid di luar bandar atau daripada keluarga miskin di mana bahan-bahan
bacaan di rumah sangat kekurangan. Agak munasabah kenyataan bahawa murid-
murid akan menambah kecekapan membaca dengan terus diberi kemudahan untuk
mereka membaca.
Dalam rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (3M) nanti, kejayaannya –
dari segi matlamat supaya semua murid dapat membaca, menulis dan mengira –
bergantung besar atas faktor adanya bahan-bahan dan buku-buku yang sesuai,
beragam dan mencukupi untuk murid-murid membaca. Bahan-bahan itu haruslah
menarik dan berisi : berbagai ‘ilmu pengetahuan’, mesej moral, dan sebagainya.
4.2 Kaedah Mengajar Murid-murid Membaca di Peringkat Awal
Masalah murid-murid sekolah tidak dapat membaca, atau tidak dapat
membaca dengan cekap, sebenarnya telah lama dirasakan oleh guru-guru. Hanya
sejak beberapa tahun kebelakangan ini saja hal tersebut diberi perhatian yang lain,
dan daripada beberapa kajian yang dibuat nampaknya masalah ini masih agak
serius.
Sudah wajarlah masalah pembelajaran membaca (termasuk menulis dan
mengira) diberi perhatian oleh semua pihak : Kementerian Pelajaran, guru-guru, dan
ibu bapa, kerana di dalam sistem pelajaran formal, ketiga-tiga kemahiran itu menjadi
alat yang asas untuk kanak-kanak mempelajari Ilmu Sains, Ilmu Alam, Sejarah,
Kesusasteraan, Sivik, Muzik, Perdagangan, Pertanian, Seni Perusahaan, mata
pelajaran Teknikal, Agama serta pengetahuan dan kemahiran lain.
Kemahiran 3M adalah ‘alat’ asas untuk seseorang meneroka ilmu, mencipta,
dan membuat komunikasi. Dalam konteks dunia hari ini, kecekapan dalam
menguasai 3M amat diperlukan, lebih-lebih lagi untuk urusan kehidupan sehari-hari.
Maksudnya, definisi had minimum dalam kemahiran membaca setakat ‘mengenal
huruf’ sudah tidak memadai lagi. Taraf minimum yang harus dianggap sebagai
‘functionally literate’ di Malaysia hari ini harus didasarkan pada keupayaan
seseorang itu membaca dan memahami tulisan di dalam suratkhabar, dan menulis
surat-surat urusan harian sendiri. Taraf pencapaian minimum inilah yang harus
dapat dicapai oleh 90% daripada murid-murid sekolah apabila mereka sampai ke
Tingkatan 3.
Untuk mencapai taraf kemahiran ini, asas-asas yang kukuh perlu dibina
secara progresif dari awal. Barangkali bagi 90% daripada kanak-kanak dalam
negara kita, mula mengenal huruf hanya apabila mereka menjejakkan kaki di bangku
sekolah. Kebanyakan kita juga mula belajar membaca apabila kita bersekolah. Hal
ini sengaja ditekankan kerana sudah diterima sebagai ‘biasa’ bahawa di antara
tugas utama guru-guru di sekolah dasar ialah mengajar kanak-kanak supaya dapat
membaca dan menulis. Jika ini belum dicapai, apa pun sebab-sebab yang mungkin
diberikan, tugas guru belum dikira sempurna. Masyarakat kita sentiasa
mengharapkan sistem persekolahan kita memberikan kecekapan membaca, menulis
dan mengira kepada anak-anak, dan jika ramai yang tidak mendapat kemahiran
tersebut, maka sistem persekolahan itu dianggap gagal, dan harus dikaji semula
serta dipulihkan.
Walau bagaimanapun tidaklah dicadangkan apa-apa pemulihan yang besar di
dalam sistem pelajaran kita, hanya sekadar untuk meninjau beberapa kaedah
mengajar di peringkat awal : (beberapa definisi dan andaian asas) .Peringkat
permulaan membaca di sini ditafsirkan sebagai peringkat permulaan membaca yang
dihadapi oleh sebahagian besar murid-murid Darjah 1, di sekolah-sekolah dasar kita,
kebanyakan daripada murid-murid ini adalah ‘normal’ dari segi keupayaan atau
kebolehan mereka belajar, murid-murid ini telah pun mempunyai kemahiran bahasa
Melayu lisan (walaupun mungkin dalam bentuk dialek), menguasai perbendaharaan
kata yang ‘mencukupi’ akibat daripada lahir di dalam keluarga Melayu, atau
bercampur-gaul dengan orang-orang Melayu. Dengan kata lain mereka belajar
membaca bahasa Melayu sebagai bahasa pertama.
4.3 Kaedah Pengajaran yang Biasa Dibuat.
4.3.1 Kaedah abjad
Kaedah Abjad bolehlah dianggap sebagai kaedah mengenal nama-nama
huruf yang digunakan dalam tulisan Melayu; a,b,c…hingga z. Murid-murid diajar
menghafal nama-nama huruf ini mengikut aturannya a,b,c,…z. kadang-kadang ada
nyanyian yang menggunakan huruf-huruf sebagai liriknya.
Setelah beberapa minggu barulah disebutkan huruf-huruf vokal: a,e,i,o,u.
Selepas itu dibina suku-suku kata “ba – tu”, “ka – ki” dan sebagainya, dan diikuti pula
dengan mengeja perkataan-perkataan. Kemudian barulah diberi latihan membaca
ayat-ayat yang pendek. Murid-murid hanya mengambil masa tiga hingga empat
bulan, atau lebih untuk mengetahui nama-nama huruf hingga tahu membaca ayat-
ayat .
Kaedah abjad yang begini hanyalah menegaskan hafalan-hafalan yang agak
kurang bermakna bagi kanak-kanak. Memulakan pengajaran membaca dengan
menegaskan pengenalan dan hafalan nama-nama huruf, sebenarnya menegaskan
sesuatu yang boleh membosankan murid-murid. Saya kira kaedah ini mengambil
masa yang agak panjang sebelum murid-murid itu dapat merasa gembira atau puas.
4.3.2 Kaedah ‘Pandang dan Sebut’ (look and say)
Kaedah Pandang dan Sebut ini atau juga pernah disebut dengan nama
Kaedah Seluruh Perkataan (whole word) ini bolehlah dianggap sebagai reaksi
kepada kelemahan-kelemahan yang terdapat pada Kaedah Abjad. Kaedah itu lebih
bermakna daripada Kaedah Menghafal ‘nama setiap huruf itu’. Misalnya batu,
rumah, sekolah, budak, pokok, meja, pensel dan sebagainya. Perkataan-perkataan
yang ditulis penuh adalah difikirkan lebih bermakna daripada pecahan tiap-tiap
hurufnya. Jadi Kaedah Pandang dan Sebut (atau Kaedah Seluruh Ayat) ini dijadikan
asas untuk mengajar murid-murid membaca. Kerap kali ditunjukkan seluruh
perkataan-perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya.
Perkataan rumah ditulis di tepi atau di bawah gambar rumah, perkataan pensel, dan
sebagainya. Kadang-kadang digunakan kad-kad imbasan yang menunjukkan
gambar dan perkataan.
Jadi dalam kaedah ini murid-murid cuba ‘mengenal’ keseluruhan lambang-
lambang itu untuk mendapat membaca. Mereka harus mengenal beberapa puluh
‘lambang perkataan’ sebelum boleh membaca ayat-ayat. Kemudian baru diajar
mengeja tiap-tiap perkataan, dan mengenal nama huruf-huruf yang mewakilinya.
Pada ketika dahulu (bahkan bagi setengah-setengah ahli pendidik sekarang
pun) kaedah Pandang dan Sebut ini sangat ditegaskan. Mereka kuat dipengaruhi
oleh ahli-ahli pendidik mengajar membaca bahasa Inggeris. Di sebalik
menggunakan kaedah ini untuk mengajar, bahasa Inggeris ialah bahasa yang tidak
mempunyai sistem ejaan fonemik yang sempurna, bercelaru dari segi symbol-sound
relationship. Kecelaruan ini menyebabkan ahli-ahli pendidik bahasa menganggap
kaedah Pandang dan Sebut itu lebih sesuai dan bermakna untuk mengajar
permulaan membaca. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kaedah ini
dikritik semula, sebab didapati ramai murid biasa (terutama di Amerika Syarikat)
yang tidak boleh membaca. Kemahiran murid-murid ‘mengenal’ perkataan-perkataan
tidak dapat menjelma dengan cepat. Bahkan ramai yang menghafal ‘perkataan-
perkataan’ berdasarkan gambar daripada ‘mengenal’ perkataan-perkataan, dan
murid-murid ini sukar mengenal perkataan-perkataan yang ‘baru’. Jadi, baru-baru ini
timbul semula hujah-hujah dan kajian-kajian yang membuktikan bahawa kaedah
fonik mungkin lebih sesuai dan berkesan daripada kaedah Pandang dan Sebut
untuk mengajar permulaan membaca bahasa Inggaris.
Kaedah Pandang dan Sebut ini lebih sesuai digunakan untuk mengajar
bahasa-bahasa yang memakai sistem tulisan ideografik (atau lebih tepat lagi
logografik) seperti sistem ejaan bahasa Cina, yang melambangkan sesuatu benda,
idea, dan sebagainya (satu morfem) dengan satu perkataan.
Oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu rata-rata adalah fonemik (satu huruf
boleh dikatakan melambang satu ‘bunyi’ – lebih fonemik daripada misalnya sistem
ejaan bahasa Inggeris) maka agak tidak begitu munasabah bagi Kaedah Pandang
dan Sebut ini digunakan untuk mengajar permulaan membaca bahasa Melayu,
terutama mengajar murid-murid Melayu. Kaedah ini akan menyusahkan dan
melambatkan lagi murid-murid mencapai kemahiran membaca bahasa Melayu.
4.3.3 Kaedah Fonik
Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat
hubungan di antara simbol (huruf) dan ‘bunyi’ (grapheme phoneme relationship)
supaya kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan
baru yang mereka hadapi.
Murid-murid tidak diajar nama-nama huruf, diajar ‘bunyi-bunyi’ huruf. Ertinya
lambing huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya ‘a’ dibunyikan ‘aa…’, ‘t’ –
‘tah’, ‘s’ –‘ss’. ‘u’ – ‘uu…’, ‘z’ – ‘zz…’, dan sebagainya. Setelah mereka tahu
hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’,
‘da’, ‘tu’, ‘ka’, ‘lu’, ‘mi’ dan sebagainya. Kemudian baru digabungkan suku-suku kata
ini menjadi perkataan-perkataan – ‘dada’, ‘batu’, ‘kata’, ‘lalu’, dan sebagainya.
Seterusnya murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat yang menggunakan
perkataan-perkataan ini.
Nyata sekali, oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu kita adalah fonemik,
(iaitu ada hubungan yang agak teratur di antara ‘huruf’ dan ‘bunyinya’), dan oleh
sebab suku kata kebanyakan perkataan Melayu agak jelas, maka kaedah fonik ini
sesuai sekali digunakan untuk mengajar permulaan membaca perkataan-perkataan
Melayu. Sekurang-kurangnya kaedah ini adalah lebih munasabah dan mungkin lebih
berkesan dibandingkan dengan Kaedah Abjad dan Kaedah Pandang dan Sebut.
Kelemahannya ialah kaedah ini masih memerlukan murid-murid menghafal
bunyi huruf yang kurang bermakna pada permulaannya. Dan biasanya masa yang
agak panjang diambil untuk mereka mengenal semua bunyi huruf dan suku kata
sebelum mereka membaca perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang bermakna.
4.3.4 Kaedah Eklektik
Kaedah ini adalah kaedah Campuran – campuran kaedah-kaedah mengikut
kesesuaian murid, situasi bilik darjah dan bahan-bahan bacaan yang digunakan.
Ada yang menggunakan penujuan sintetik, ada penujuan analitik dan ada pula
penujuan sintetik-analitik.
‘’The analytic-synthetic method… entails selection of carefully graded words,
sentences and simple passage which children analyse, compare and synthesize
more or less simultaneously right from the beginning, and in doing so become
acquainted with the elements of language, in the desired order, while learning the
mechanics of reading.’’
Twelfh International Conference on Public Education, Gena, 1949.
The Teaching of Reading. Geneva : International Bureau of Education 1949, m.s. 24.
Terdapat pelbagai lagi jenis Kaedah Eklektik ini. Bagi bahasa Melayu, kesan
yang didapati apabila seseorang menyebutkan Kaedah Eklektik ini, ialah seolah-olah
mereka memikirkan Kaedah ini adalah yang paling sesuai untuk mengajar membaca
bagi kanak-kanak Melayu kita. Kemudian jika diperhatikan betul-betul cara Kaedah
ini diterapkan, agak banyak yang mengajar kurang sistematik. Jadi kerap kali
Kaedah ini menjadi akedah cacamurba, kerana asas gabungan itu kurang
diperhatikan.
Apa yang harus difikirkan dan diciptakan ialah kaedah mengajar ‘eklektik’
tetapi sistematik, yang mengambil perhatian keistimewaan sifat-sifat ejaan bahasa
Melayu, struktur suku-katanya, dan tatabahasanya di suatu pihak, dan keadaan
pembelajaran murid-murid Melayu di pihak lain. Maksudnya kita harus menciptakan
Kaedah Eklektik yang sesuai untuk mengajar membaca bahasa Melayu sebagai
bahasa pertama; tetapi Kaedah itu haruslah sistematik.
4.3.5 Kaedah Gabungan yang dicadangkan
Kaedah gabungan untuk mengajar membaca bahasa Melayu kepada murid-
murid peringkat awal (prabacaan) yang dicadangkan di sini berasaskan hal-hal
berikut:
a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik – ertinya
ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan-perkataan Melayu adalah jelas (jika dibandingkan
dengan bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’
boleh digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke Darjah 1 rata-rata telah
pun mempunyai perbendaharaan bahasa Melayu yang mencukupi untuk terus
belajar membaca.
Kaedah yang dicadangkan ini menegaskan yang kita boleh menggabungkan
terus ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran
membaca, pada peringkat awal. Kita tidak perlu menunggu murid-murid mengetahui
semua nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka disuruh membaca
perkataan-perkataan atau ayat. Malahan kita tidak begitu perlu memperkenalkan
dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a, b, c… sampai z secara tertib biasa.
Kaedah gabungan ini mencadangkan biar murid-murid diperkenalkan kepada
bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan suku
kata dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu dua pelajaran. Dengan
cara begini dalam dua, tiga pelajaran saja mereka akan terus dapat membaca
beberapa perkataan dan ayat, dan merasa bangga yang mereka boleh membaca
serta faham akan yang dibaca.
Untuk menjelaskan kaedah ini secara konkrit, terdapat beberapa contoh:
a) Mulakan dengan perkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal:
a o u dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan
membunyikan huruf ini beberapa kali, selang-seli.
b) Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya:
d k m dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih-tubi beberapa kali
supaya semua murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan jelas.
c) Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi
suku kata:
da di du
ka ki k u
sa si su
Seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:
ba ba baba
bu bu bubu
da da dada
ku ku kuku
Ulangkan ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan
latihan murid-murid membacanya:
baba bubu
dada kuku
d) Perkenalkan gabungan lain:
a ku aku
a da ada
i ni ini
i tu itu
bu ku buku
ba ba baba
bu ka buka
ba ju baju
Seluruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di
atas:
aku ada buku
aku buka baju
ini buku aku
itu baju aku
Kemudian gantikan ‘aku’ dengan ‘baba’ dan ulang membacanya.
Seterusnya baca ayat-ayat ini pula:
buku dia
buku baba
buku aku/ku
Gantikan ‘buku’ dengan ‘baju’, ‘baju’, dan ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad
imbasan.
e) Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.
i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
di a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibu
kaki kuda
Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai perkataan
yang dicipta:
ibu buku
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda
buku uda
Begitulah beberapa contoh kaedah gabungan yang boleh diajar di dalam tiga,
empat hari, sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh mengenal
huruf-huruf a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata, perkataan-perkataan dan ayat
yang dibentuk daripadanya.
4.3.6 Kesediaan Membaca
Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima
pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca
melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama
ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat
lain yang lebih tinggi.
Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan
sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi
dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal
kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya
menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam
bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi,
kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi mintanya terhadap bahan-bahan
bacaan (seperti bermain dengan bahan bacaan, membelek-belek bahan bacaan,
melihat bahan bacaan, dan berminat melihat orang di sekitarnya membaca) dan
minatnya untuk mendengar bacaan, khususnya yang berupa cerita. Dari segi
mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaannya mengingat
apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah
diketahuinya.
Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawall umur empat
tahun dan ada pula kanak-kanak yang hanya bersedia membaca setelah berumur
enam tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, factor persekitaran amat
mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak
yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat
orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita
untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak
sebaya yang tidak mendapat peluang yang sama.
Syed Abu Bakar (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca
sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dapat dicapai terlebih dahulu,
usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh
menimbulkan kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibubapa dan guru.”
Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan
semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh
mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap,
merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu
mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran
berjalan. Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, Cuma bentuknya
berbeza. Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita rumusan
perbandingan perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan
seperti yang di bawah.
Meniarap (aktiviti kesediaan membaca) merangkak ( aktiviti mendirikan
kemahiran asas membaca) ,berdiri (aktiviti pengukuhan kemahiran asas
membaca ,berjalan ( mahir membaca peringkat rendah) , berlari ( mahir membaca
peringkat tinggi)
4.3.7 Aktiviti Kesediaan Membaca
Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada
dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi
kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti
koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan dan latihan bahasa
pertuturan. Peringkat bacaan meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca
ayat.
Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly Chong (1992) pula, tahap
prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan
kata lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama.
Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu
diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman
membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah : Untuk mencapai tujuan ini,
aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 (1983)
dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan, iaitu
pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan
mata.
AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN
1. Aktiviti Pengamatan Penglihatan 1
Menghimpun gambar benda maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan:
Pelbagai gambar kereta, baju, lain-lain.
Aktiviti Murid:
Murid melaksanakan gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti
ini dilaksanakan secara individu, kelas dan kumpulan.
2. Aktiviti Pengamatan Penglihatan 2
Menggunting dan menampal berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan
kenyataan atau di buku skrap kelas.
Bahan: Gambar benda hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan,
benda yang tidak boleh dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru berbincang dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2. Murid menyebut “benda hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons
terhadap kad benda yang diimbaskan oleh guru.
3. Guru member murid kad gambar dan murid melekatkan kad itu di papan
kenyataan mengikut tajuknya seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan
lain-lain.
4. Murid menggunting gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut
tajuk tertentu.
AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN
1. Aktiviti Pengamatan Pendengaran 1
Mengetuk benda satu persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan
mengecam perbezaan bunyinya.
Bahan: Paku, tin, batang kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperkenalkan benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku,
tempurung, batang kayu, meja dan batu.
2. Guru mengetuk benda itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3. Guru mengetuk dua benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi
benda itu sama atau tidak.
4. Murid menyanyi lagu “Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita
rakaman atau nyanyian atau nyanyian guru sendiri.
2. Aktiviti Pengamatan Pendengaran 2
Mendengar rakaman dan menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air
mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan
ombak.
Bahan: Pita rakaman yang mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin
kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta
yang dapat disesuaikan dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Guru memperdengarkan bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2. Rakaman bunyi-bunyi itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis
bunyi itu.
3. Murid-murid lain memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.
AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA
1. Aktiviti pergerakan Tangan dan Mata 1
Membentuk benda daripada plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-
lain.
Bahan: Plastisin, tanah liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid:
1. Buat satu atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2. Berikan bahan kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model
yang disukainya.
3. Minta murid menceritakan hasil kerja mereka.
2. Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 2
Melakar bentuk yang sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas
ke bawah untuk membolehkan membentuk huruf.
Bahan: Lembaran kerja, benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang
bendera, bola, manik, cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan
atau arah yang dibuat dengan garisan putus-putus.
Aktiviti Murid:
1. Menggolekkan bola di atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan
sebagainya.
2. Murid memegang cawan plastic yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan
menggerak-gerakkan tangan kanan mereka ke kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik
memegang cawan dipelbagaikan.
3. Murid melakar garis pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera.
Pratulisan
5.0 Pratulisan
5.1 Peringkat-Peringkat Pengajaran Menulis
5.1.1 Pratulisan
Peringkat pengajaran menulis terbahagi kepada tiga iaitu peringkat pratulisan,
peringkat mekanis dan peringkat untuk pelahiran. Peringkat pertama iaitu pratulisan
adalah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti menulis sebelum
mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh masa ini
latihan otot-otot, tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata diberi kepada
murid-murid dari awal-awal lagi. Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran
membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang
dirancangkan haruslah sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pratulisan
yang berbentuk bebas.
Latihan-latihan pratulisan menitikberatkan beberapa perkara seperti
melakukan latihan-latihan pergerakan tangan terebih dahulu seperti mengerakkan
jari diatas garisan atau corak yang dilakarkan di atas kertas supaya murid-murid
dapat menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa
dan sempurna. Latihan seperti membentuk bulatan di udara, di meja, di lantai, di
atas pasir, di atas rumput tanpa mengunakan alat tulis seperti melukis bulatan besar
dan kecil juga boleh dilakukan. Di samping itu murid-murid boleh melakukan latihan
pergerakan jari dengan memainkan jari, menekan jari, mengoyangkan tangan,
meramas-ramas jari dan sebagainya.
Setelah mahir aktiviti tersebut murid-murid boleh melakukan latihan-latihan
pergerakan mata dan seterusnya melakukan latihan-latihan yang melbatkan
koordinasi tangan dan mata. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan adalah
seperti latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan, latihan
membentuk garisan lurus, latihan mewarnakan rajah berbentuk mudah dari kiri ke
kanan atau dari kanan ke kiri dan seterusnya membentuk corak-corak gabungan
antara bulatan dan garis lurus secara bebas.
5.1.2 Peringkat Tulisan Mekanis
Setelah murid-murid menjalankan latihan pratulisan, faham dan tahu
memegang pensel serta boleh duduk dengan cara yang betul, mereka boleh dilatih
membentuk lambang-lambang tulisan. Pada peringkat awal, dicadangkan murid
membentuk huruf di atas kertas kosong yang tidak mempunyai sebarang garisan.
Setelah didapati memuaskan barulah dilatih membentuk huruf pada halaman yang
bergaris. Apabila murid mula membentuk huruf-huruf pada kertas bergaris, kawalan
tulisan perlu dilakukan. Ia harus bermula daripada garisan lebar hingga kepada
lembaran satu garis. Di bawah latihan menulis terkawal dari mula hingga ke
lembaran satu garis itu. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan adalah seperti latihan
membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan terkawal, latihan menulis huruf di
atas kertas bergaris dua, latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu dan
latihan membentuk lambang tulisan dengan cara yang betul untuk mendapat
keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam.
Semasa menyampaikan kemahiran tersebut guru haruslah memberi perhatian
kepada beberapa perkara iaitu kanak-kanak harus diperkenalkan kepada lambang-
lambang huruf dengan menggunakan gambar. Sebelum melatih menulis, baik juga
diberi latihan bebas untuk membetulkan urat-urat daging kanak-kanak. Selain itu
guru haruslah memberi perhatian kepada kanak untuk menulis dengan mengeja dan
menyebut nama-nama huruf. Latihan juga dilakukan dengan menggunakan kertas
yang dimulakan dengan tidak bergaris dan selepas itu barulah menggunakan buku
yang bergaris. Seterusnya apabila kanak-kanak dapat menggunakan alat-alat
dengan baik , baruah dilatih menggunakan buku dan alat-alat lain yang sesuai.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti menekap dan barulah
menulis mengikut urutan yang ditetapkan. Kemudian murid-murid disuruh memadan
dan menyalin dua suku kata supaya menjadi perkataan yang bermakna. Seterusnya
menulis huruf yang tertinggal dalam ruang atau petak yang dikosongkan. Latihan ini
diteruskan dengan menyalin perkataan yang mudah dan menyalin ayat-ayat yang
mudah dan sebagainya.
5.1.3 Peringkat Menulis Untuk Pelahiran
Setelah menguasai menulis mekanis, murid-murid patut digalakkan
melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Cara-cara yang dicadangkan ialah
bermula daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan,
mengisi tenpat kosong, melengkapkan ayat-ayat dengan perenggan sehingga murid-
murid itu boleh menghasilkan tulisan tanpa panduan. Di antara aktiviti aktivit-aktiviti
menulis yang boleh dijalankan adalah seperti mengisi silang kata, mengisi tempat
kosong dalam ayat, melengkapkan ayat dengan menambah rangkai kata yang
sesuai, menulis ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi.
Selain itu aktiviti seperti memanjangkan ayat dengan menambahkan rangka
kata yang sesuai juga boleh dilakukan. Seterusnya adalah aktiviti seperti
membentuk ayat-ayat bagi menyudahkan cerita, menulis ayat berdasarkan gambar
yang disediakan, menulis jawapan-jawapn kefahaman, menulis rencana daripada
bahan yang diperlihatkan dan menulis karangan daripada tajuk yang disediakan.
Pelbagai aktiviti yang dapat dijalankan supaya murid-murid dapat menguasai
kemahiran menulis.
5.1.4 Aktiviti-Aktiviti Latihan Pratulisan
a) Latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan.
i. --------- …………. ………….. …………... …………
b) Latihan membentuk bulatan di udara, di meja, di lantai, di atas pasir, di rumput
tanpa menggunakan alat tulis.
BULATAN BESAR – BULATAN KECIL
c) Latihan-latihan gerak jari dengan mempermain-mainkan jari, menekan-nekan jari,
menggoyangkan tangan, ma=eramas-ramas jari dan sebagainya.
d) Latihan membentuk garisan lurus.
e) Latihan membentuk corak-corak campuran bulatan dan garisan lurus. Dilakukan
secara bebas.
f) Latihan melukis gambar-gambar yang mengandungi garisan-garisan lurus dan
bulat.
5.1.5 Aktiviti-Aktiviti Latihan Tulisan Mekanis
i. Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan yang terkawal.
ii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua
iii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris.
iv. latihan membentuk lambing tulisan dengan cara yang betul untuk mendapat
keseragaman cara menulis
7.0 Refleksi
Pada Julai 2010 yang lalu, pelajar PISMP RBT 2 telah diberi satu tugasan
kerja kursus pendek pendidikan PISMP Semester 2 pensyarah bagi mata pelajaran
Literasi Bahasa Melayu. Kami diberi masa selama beberapa minggu untuk
menyiapkan tugasan ini. Dalam masa yang agak singkat itu, kami telah dikehendaki
mendapatkan maklumat dan membuat analisis tentang aktiviti prabacaan, pratulisan,
pemulihan membaca dan pemulihan menulis.
Perkara pertama yang kami berlima lakukan ialah membahagikan tugasan
mengikut masa supaya tidak berlaku pelanggaran waktu untuk menyiapkan kerja-
kerja yang lain. Kami terpaksa berbuat begitu untuk menghadapi masalah kekangan
masa. Terdapat sedikit maklumat mengenai aktiviti prabacaan dalam nota
pembelajaran kami, jadi ini dapat memudahkan tugasan-tugasan ini disiapkan pada
waktunya.
Kami menghadapi masalah dalam mencari maklumat tambahahan untuk
menyiapkan tugasan ini. Agak sukar untuk mencari maklumat tambahan daripada
perpustakaan lantaran jumlah buku yang terhad. Manakala, daripada internet, kami
telah berjaya mendapat agak banyak maklumat tambahan, namun, kebanyakan
daripadanya adalah dalam bahasa Indonesia dan ini menyukarkan kami untuk
mentafsirkannya ke dalam bahasa Melayu.
Sepanjang menyelesaikan tugasan ini, jika ada masalah yang timbul, kaedah
musyawarah dan rujukan pada pensyarah yang berpengalaman didapati menjadi
penyelesaian yang amat berguna. Kerjasama dan perpaduan merupakan tunggak
kejayaan sesuatu program itu. Bak kata pepatah, ’Bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat’. Kami perlu bersatu-padu dan sentiasa berganding bahu
walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Namun, walaupun menghadapi pelbagai masalah, kami telah berjaya untuk
menyiapkan tugasan ini dalam masa yang ditetapkan. Ini adalah berkat kerjasama
dan muafakat antara semua pihak. Kemahiran membuat keputusan telah dapat
dilatih secara tidak langsung. Malah pelbagai pengalaman baru telah dapat diraih
dan dapat digunakan dalam menempuh arena perguruan yang semakin mencabar
pada masa yang akan datang.
Untuk penutup kata daripada saya, saya ingin mengucapkan terima kasih
kepada mereka yang telah banyak membantu kami dalam menyiapkan tugasan
Literasi Bahasa ini terutamanya En Hussein B Mat Tap iaitu pensyarah Literasi
Bahasa kami. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan
seperjuangan saya iaitu Mohamad Faiz, Nurdiyana, Nuranis lyana dan
Nurhidayahne kerana membantu dalam menyiapkan tugasan berkumpulan ini.
8.0 Bibliografi
Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman (2003). (Falsafah Pendidikan dan Kurikulum).
Tanjung Malim: Quantum Books.
Azman Wan Chik (1979). Mengajar Bahasa Malaysia. Jilid 1: (Perkaedahan). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chua Tee Tee & Koh Boh Boon (1992). (Pendidikan Khas dan Pemulihan): Bacaan
Asas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Isahak Harun (2004). (Laporan Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu). Tanjung
Malim: UPSI.
Isahak Harun (2006). (Mudah Membaca Bahasa Melayu: Edisi Guru 1. Shah Alam):
Penerbit Fajar Bakti.
Isahak Harun (2006). (Mudah Membaca Bahasa Melayu: Edisi Guru 2). Shah Alam:
Penerbit Fajar Bakti.
J.S. Farrant (1971). (Principles and Practice of Education). London: Longman Group
Limited
Wiley Blevins (1998). (Phonics From A to Z: A Practical Guide). New York:
Professional Books.
Lampiran
1.0 Pengenalan
Menurut Isahak Harun (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara
kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang
bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi
makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang
berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan
bunyi yang menjadikan perkataan.
Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal
simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-
bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia
kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf
yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-
hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak.
Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang beranggapan
bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ayat yang
bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat seluruh
perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah seluruh
perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan daripada
kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak Harun,
1989).
Pandangan daripada mazhab-mazhab ini mencetuskan kepada kaedah
pengajaran awal asas membaca yang pelbagai di Malaysia. Antara kaedah yang
telah digunakan di Malaysia ialah kaedah campuran, Kaedah DBP, Pendekatan
Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS), Kaedah Atan Long,
Kaedah cerakin, kaedah eklektik, kaedah abjad, dan Kaedah Gabungan Bunyi Kata
(KGBK) . Kaedah-kaedah yang digunakan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan
yang boleh digunakan kepada murid-murid pemulihan khas.
Murid-murid pemulihan khas juga seorang individu dan anggota masyarakat.
Jadi murid-murid ini juga memerlukan pendidikan asas termasuklah belajar
membaca. Maka pemulihan khas bertujuan untuk memberi ‘rawatan’ yang
diharapkan dapat ‘mengubati’ pelajar lambat ini (Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon,
1992). Seterusnya satu kaedah yang tepat perlulah dikenalpasti bagi mengatasi
masalah ini. Penulis amat berminat dengan Kaedah Gabungan Bunyi Kata yang
dirasakan begitu istimewa untuk mengajar murid-murid pemulihan khas membaca di
peringkat sekolah menengah.