Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
PENDAHULUAN
Konflik yang tercetus di selatan kaukasus hari ini melibatkan pertembungan di antara
negara Republik Azerbaijan dan Armenia yang mahu mempertahankan hak terhadap
Republik Nagorno-Karabakh. Serangan yang berlaku masih tiada titik noktah
meskipun tidak sampai beberapa jam kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan
genjatan senjata. Ia berlarutan sejak 27 September yang lalu sekaligus meninggalkan
pelbagai persoalan mengenai sejauh mana kedua-dua pihak akan kembali ke meja
rundingan.
Sejak daripada awal konflik di
wilayah Republik Nagorno-Karabakh
meletus, perang mulut berlaku di
antara kedua-dua pihak
mencetuskan pertikaian yang
panjang. Armenia mendakwa
Azerbaijan memulakan serangan
terlebih dahulu serta merancang
untuk berperang dalam skala penuh
(full scale of war). Penglibatan Turki
juga menjadi sasaran awal
propaganda sehingga mencetuskan
serangan demi serangan di garisan
pertemuan (line of contact) wilayah
terbabit.
Azerbaijan sebaliknya mempertahankan bahawa serangan yang dilancarkan hanya
untuk “mempertahankan diri” (self-defense) dalam wilayah mereka sendiri selain
menyifatkan ia suatu bentuk serangan balas terhadap provokasi yang dicetuskan oleh
Armenia. Perang propaganda ini tidak hanya menyebabkan pertembungan di alam
nyata, bahkan turut merebak sehingga ke media sosial (Al-Jazeera, 2020).
Nagorno-Kabarakh adalah sebuah wilayah bermajoriti etnik Armenia yang beragama
Kristian, namun mereka sebaliknya ditadbir oleh Republik Azerbaijan yang majoriti
beragama Islam. Meskipun pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Armenia sendiri
cuba memainkan sentimen perbezaan agama, ia bagaimanapun bukanlah titik asas
konflik yang berlaku.
Bahkan kemelut di antara Nagorno-Karabakh, Azerbaijan dan Armenia ini berbalik
kepada persoalan asas iaitu hak kendiri atau self-determination. Hal yang demikian
adalah kerana majoriti penduduk di Nagorno-Karabakh adalah daripada etnik
Rajah 1 : Kedudukan peta wilayah Nagorno Karabakh
(Sumber : National Geography)
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Armenia. Justeru, timbul rasa tidak puas hati disebabkan hal ehwal pentadbiran
wilayah tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Azerbaijan SSR dan perkara ini
telah menjadi kunci kepada konflik yang berlaku pada hari ini.
Penulisan ini akan cuba menghuraikan aspek hak kendiri atau self-determination
wilayah autonomi Republik Nagorno-Karabakh khususnya pasca keruntuhan kerajaan
Soviet Union. Ia akan menelusuri persoalan apakah bentuk referendum yang telah
dilaksanakan bagi menegakkan hak kendiri mereka dan sejauh mana referendum
tersebut memenuhi obligasi antarabangsa. Persoalan yang lebih penting adalah
apakah bentuk jalan keluar terbaik bagi konflik di sana yang telah menjangkau usia
selama lebih tiga dekad ini.
SEJARAH KONFLIK NAGORNO-KARABAKH
Republik Nagorno-Karabakh adalah sebuah wilayah yang mempunyai hutan yang
tebal dan bergunung-ganang, malah nama Nagorno dan Karabakh itu sendiri
membawa maksud gunung-ganang (istilah Nagorno dalam bahasa Russia) serta
taman hitam (istilah Karabakh dalam bahasa Turki).
Pada tahun 1923, pemimpin agung Soviet Union, Joseph Stalin telah meletakkan
wilayah autonomi Nagorno-Karabakh berada di bawah pentadbiran Republik Sosialis
Soviet Azerbaijan (Azerbaijan SSR). Keputusan tersebut nyata tidak dipersetujui oleh
penduduk wilayah berkenaan oleh kerana majoriti daripada mereka adalah daripada
etnik Armenia. Wilayah Autonomi Nagorno-Karabakh atau Nagorno-Karabakh
Autonomous Oblast (NKAO) akhirnya ditubuhkan dan kemudiannya ditadbir secara
terus daripada pentadbiran pusat Soviet di Moscow pada 1980-1989.
Keruntuhan Soviet Union serta pembebasan negara-negara di bawahnya menjadikan
perebutan terhadap wilayah autonomi tersebut menjadi terbuka. Pada tahun 1988
menyaksikan konflik terhadap wilayah Nagorno-Karabakh bermula apabila penduduk
etnik Armenia di Nagorno-Karabakh telah mengadakan pungutan suara dan bersetuju
untuk berada di bawah pentadbiran Armenia.
Pihak berkuasa Azerbaijan tidak mudah untuk tunduk dengan desakan pembebasan
Nagorno-Karabakh. Konflik peperangan tidak dapat dielakkan ketika itu sehingga
mengorbankan hampir 30 ribu nyawa dengan 800 ribu yang lain telah menjadi
pelarian. Konflik awal yang tercetus itu membolehkan Armenia menguasai wilayah
Republik Nagorno-Karabakh termasuklah 20 peratus daripada wilayah Azerbaijan
sehingga ke hari ini.
Pada tahun 1994, Organisation for Security and Cooperation in Europe (OSCE) Minsk
yang terdiri daripada Russia, Perancis dan Amerika Syarikat berjaya memujuk kedua-
dua pihak ke meja rundingan selepas menghadapi era peperangan yang dahsyat.
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Keputusan untuk genjatan senjata berjaya dicapai tetapi malangnya, ia tidak bertahan
lama.
Serangan terus berlaku dalam tempoh tertentu dan masih berlarutan sehingga ke hari
ini. Sejak Perdana Menteri Armenia, Nikol Panshinyan mengambil alih pada tahun
2018, konflik di antara kedua-dua negara semakin berpanjangan kerana sikap ultra-
nasionalis yang ditonjolkan beliau. Perkara ini menjadikan usaha damai di sana
sentiasa menemui jalan buntu, termasuklah yang baharu sahaja ditemeterai beberapa
hari yang lalu.
PENENTUAN HAK KENDIRI NAGORNO-KARABAKH
Hak kendiri atau self-determination adalah prinsip asas bagi sesebuah penduduk di
sesuatu wilayah dapat menegakkan sebuah negara dan memilih kepimpinan dalam
kalangan mereka. Prinsip ini membentuk kepada pengukuhan konsep nationalisme
yang menjadi teras penting negara aktor (actor state) terutamanya selepas
berakhirnya perang dunia kedua.
Hak kendiri ini merupakan persoalan teras dalam konflik di Nagorno-Karabakh sejak
pergolakan di wilayah tersebut berlaku. Hal yang demikian adalah kerana hampir 94
peratus daripada penduduk di wilayah berkenaan daripada etnik Armenia. Pendirian
Stalin ketika itu untuk meletakkan wilayah berkenaan di bawah pentadbiran Azerbaijan
SSR mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
Walau bagaimanapun, rasa tidak puas hati tidak menjadi isu besar ketika itu kerana
pentadbiran wilayah NKAO ditadbir secara terus oleh Moscow bermula tahun 1980.
Pada tahun 1988, tiga tahun sebelum Soviet Union runtuh, penduduk wilayah NKAO
telah mengadakan suatu petisyen bagi menyuarakan hasrat mereka untuk berada di
bawah pentadbiran Armenia (“Petisyen 1988”). Ia merupakan langkah awal penduduk
di NKAO untuk berunding dengan pentadbiran pusat Soviet Union.
Azerbaijan mengambil langkah agresif sehingga mencetuskan pertembungan dengan
kumpulan pemisah NKAO dan keadaan ketidaktentuan politik itu terus berlanjutan
sehingga Azerbaijan dan Armenia masing-masing memperoleh kemerdekaan selepas
kerajaan Soviet Union jatuh sepenuhnya pada tahun 1991.
Kemerdekaan Republik Azerbaijan dan Republik Armenia tidak memberikan apa-apa
makna buat wilayah Nagorno-Karabakh yang terus menghadapi pergolakan. Pada
Disember 1991, suatu referendum pula dilaksanakan bagi menyatakan pilihan rakyat
Nagorno-Karabakh mengenai masa depan wilayah berkenaan (“Referendum 1991”).
Disebalik permohonan untuk berada di bawah pentadbiran Armenia seperti mana
Petisyen 1988, Referendum 1991 kali ini memfokuskan bagi mendapatkan sebuah
pentadbiran wilayah Nagorno-Karabakh yang bebas dan merdeka.
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Keputusan referendum tersebut memberikan signal yang jelas dan kuat terhadap
kehendak penduduk wilayah berkenaan. 99.9 peratus menyokong pembebasan
Republik Nagorno-Karabakh dengan peratusan turun mengundi yang sangat tinggi
iaitu 82 peratus daripada 132 ribu pengundi keseluruhan. Mereka juga telah
mengangkat Artur Mkrtchyan sebagai Presiden bagi Republik Nagorno-Karabakh.
Namun, ia sekali lagi bagai mencurah air ke daun keladi. Malah, lebih perit lagi apabila
pihak berkuasa Azerbaijan dan Armenia menunjukkan tanda-tanda yang lebih agresif.
Konflik di sana semakin parah sehingga menyaksikan pembunuhan besar-besaran
berlaku terutamanya ke atas wilayah Khojaly yang terkenal dengan Khojaly Genocide
pada Februari 1992.
Dalam tempoh tidak sampai setahun itu, hampir tiga kali cubaan pihak ketiga
melakukan rundingan damai. Iran, Kazakhstan dan Russia masing-masing berjaya
memujuk kedua-dua pihak ke meja rundingan pada Mac, Ogos dan September 1992,
tetapi ketiga-tiga genjatan senjata itu tidak bertahan lama.
Akhirnya, kedua-dua pihak mengangkat senjata pada tahun 1994 hasil rundingan
kumpulan OSCE Minsk. Peperangan yang berlaku dalam tempoh itu telah
mengorbankan hampir 30 ribu nyawa dengan anggaran 750 ribu warga Azerbaijan
keluar daripada wilayah NKAO mencari tempat berlindung manakala 250 ribu etnik
Armenia yang lain meninggalkan Nagorno-Karabakh dan Azerbaijan.
Pada tahun 2016, wilayah Nagorno-Karabakh sekali lagi mengadakan referendum
bagi meluluskan perlembagaan Nagorno-Karabakh dan perubahan nama kepada
Republik Artsakh. Namun, sepertimana yang berlaku kepada petisyen dan
referendum dekad sebelumnya, ia tidak memberikan apa-apa makna kepada wilayah
berkenaan.
TIADA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA
Terdapat beberapa faktor mengapa segala bentuk pungutan suara wilayah Nagorno-
Karabakh tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pertama, tindakan melakukan
petisyen mahupun referendum tersebut dilihat tidak mempunyai asas perundangan
yang jelas. Perkara ini berkaitan dengan langkah Petisyen 1988 mahupun
Referendum 1991. Manakala faktor kedua adalah penafian terhadap hak rakyat
Azerbaijan Kabarakah yang telah menjadi pelarian dalam pungutan suara yang
diadakan.
Pentadbiran wilayah NKAO ketika Petisyen 1988 dilaksanakan ditadbir secara terus
oleh Moscow dan mereka masih terikat dengan Undang-undang Soviet. Justeru sudah
tentu sebarang bentuk tindakan yang mempunyai implikasi yang besar seperti
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Petisyen 1988 memerlukan suatu sokongan atau punca kuasa yang jelas mengikut
perundangan Kerajaan Pusat.
Petisyen 1988 untuk meletakkan wilayah NKAO dibawah pentadbiran Armenia SSR
ketika bertentangan dengan peruntukan perundangan Soviet. Penduduk NKAO hanya
boleh membuat pilihan sama ada untuk kekal ditadbir oleh Moscow atau kembali
berada di bawah pentadbiran Azerbaijan SSR sahaja. Oleh itu, pendirian yang
dinyatakan melalui Petisyen 1988 untuk berada dibawah pentadbiran Armenia SSR
itu boleh dipertikai (Cutler, 2020).
Hal yang sama berlaku terhadap Referendum 1991. Selepas kejatuhan Soviet Union
dan kemerdekaan Azerbaijan dan Armenia, wilayah NKAO telah dibubarkan
berdasarkan Law of Abolishment NKAO yang dibentangkan pada Oktober 1991, dua
bulan sebelum Referendum 1991 dilaksanakan. Walaupun ia kekal menjadi persoalan
sama ada penggubalan undang-undang pembubaran wilayah NKAO itu sah atau
tidak, namun undang-undang antarabangsa sehingga ke hari ini masih tidak
menerima Nagorno-Karabakh sebagai sebuah wilayah autonomi penuh. Oleh itu,
secara tidak langsung, Republik Nagorno-Karabakh berada di bawah kedaulatan
Azerbaijan (Cutler, 2020).
Selain faktor peruntukan perundangan, persoalan yang masih berlegar adalah
mengenai sejauh mana rakyat Azerbaijan Karabakh mendapat hak yang sewajarnya
bagi proses referendum berjalan dengan adil (Freizer, 2006). Konflik demi konflik yang
melanda wilayah berkenaan telah mendorong puluhan ribu pelarian daripada
kalangan rakyat Azerbaijan Karabakh. Jumlah yang dianggarkan adalah kira-kira 750
ribu orang yang telah keluar daripada wilayah berkenaan disebabkan oleh serangan
yang dicetuskan.
Oleh itu, ketika Referendum 1991 bagi menentukan hak kebebasan Nagorno-
Karabakh dan Referendum 2006 bagi meluluskan perlembagaan Nagorno-Karabakh
dilaksanakan, ia tidak melibatkan penglibatan kelompok Azerbaijan Karabakh yang
merupakan orang asal penghuni di wilayah Nagorno-Karabakh. Kedudukan itu
menyebabkan referendum yang menentukan hak kendiri mereka masih tergantung
sehingga ke hari ini (Freizer, 2006).
JALAN KE DEPAN
Ia tentunya persoalan yang sukar buat Republik Nagorno-Karabakh. Malah, konflik
yang terbaru ini turut memperlihatkan betapa sukarnya membendung kekerasan dan
sikap agresif kedua-dua pihak. Azerbaijan mahu penguasaan semula terhadap
wilayah yang telah dicerobohi tentera Armenia sejak serangan pada awal 1990an.
Armenia melakukan serangan balas untuk mempertahankan wilayah yang tidak
diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa, sekurang-kurangnya tiada pihak yang
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
memberikan pengiktirafan pendudukan mereka di wilayah tersebut termasuklah
wilayah Nagorno-Karabakh sendiri.
Kemelut di wilayah Nagorno-Karabakh sebenarnya telah melalui suatu perbincangan
yang serius. Pada tahun 2007, kumpulan OSCE Minsk berjaya mengeluarkan suatu
dokumen yang merangkumi penyelesaian jangka panjang yang dikenali sebagai
Madrid Proposals. Nama tersebut diambil sempena tempat perbincangan tersebut
berlaku iaitu di Madrid, Sepanyol.
Madrid Proposals menggariskan beberapa aspek bagi menyelesaikan konflik di
Republik Nagorno-Karabakh. Antaranya mengembalikan semula wilayah di sekeliling
Nagorno-Karabakh kepada Republik Azerbaijan khususnya bahagian yang dikuasai
Armenia sejak peperangan yang berlaku pada tahun 1992.
Wilayah Republik Nagorno-Karabakh pula hendaklah diletakkan sebagai status
interim sementara persediaan kepada legally binding expression of will atau suatu
bentuk referendum terbaharu bagi menentukan masa depan wilayah republik
berkenaan pada masa akan datang.
Selain itu, Madrid Proposals turut menyentuh mengenai usaha untuk mengembalikan
semula hak-hak kepada pelarian yang menjadi mangsa kepada konflik yang berlaku.
Perkara ini disokong dengan kenyataan bahawa sebarang bentuk referendum
mengenai masa depan wilayah Republik Nagorno-Karabakh perlu ditentukan oleh
penduduk asal yang mendiami wilayah NKAO pada 1 Januari 1988 kelak.
MASA DEPAN YANG MASIH SAMAR
Sekali imbas, Madrid Proposals ini kelihatan suatu bentuk rundingan yang lebih
sempurna kepada masa depan hak kendiri wilayah Republik Nagorno-Karabakh.
Namun, sehingga hari ini, ia masih tinggal tanda tanya dan selepas lebih 13 tahun,
nyata perkara tersebut tidak memberikan kesan yang positif kepada hubungan
ketegangan di wilayah berkenaan.
Beberapa pihak sejak daripada awal Madrid Proposals ini diketengahkan
beranggapan masih banyak perkara tidak diselesaikan. Pertama, sejauh mana
referendum berdasarkan legally binding expression of will itu benar-benar akan
mengikat keputusan secara undang-undang mengenai penentukan masa depan
wilayah berkenaan. Adakah ia hanya bentuk referendum yang tidak mempunyai kata
putus (open ended) seperti yang berlaku sebelumnya?
Kedua, sejauhmana lingkungan persempadanan wilayah Republik Nagorno-
Karabakh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hal yang demikian kerana ketika
wilayah ini berada di bawah pemerintahan terus dari pusat pentadbiran di Moscow
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
pada 1980-1989, wilayah NKAO mempunyai sempadan yang berbeza dengan apa
yang digariskan oleh line of contact pada hari ini.
Persempadanan asal juga telah mengalami perubahan sejak Republik Azerbaijan
mengambil alih pada tahun 1991. Tambahan lagi, Referendum Perlembagaan 2006
turut mempunyai garisan sempadan yang berbeza dan pihak berkuasa Armenia turut
menganggap garisan sempadan wilayah Republik Nagorno-Karabakh termasuk
dalam wilayah yang dikuasainya dalam konflik ketenteraaan sepanjang tahun 1991
sehingga 1994 (Rujuk lampiran A).
Persoalan ketiga adalah mengenai siapa yang berhak dalam menentukan masa
depan wilayah tersebut. Bagaimana kedua-dua pihak mahu memastikan rakyat
mereka yang telah menjadi pelarian untuk pulang semula dan memberikan undi
terhadap referendum baharu ini, sedangkan mereka yang mendiami wilayah Nagorno-
Karabakh hari ini juga bukanlah penduduk asal NKAO pada 1 Januari 1988 (Potier,
2012).
Ketiga-tiga isu ini masih menjadi pendebatan di antara kedua-dua pihak. Lebih
memburukkan keadaan adalah apabila Perdana Menteri Armenia, Nikol Panshinyan
yang mengambil alih kerajaan pada tahun 2018 tidak lagi mahu mengiktiraf Madrid
Proposals serta mengiktiraf bahawa bahagian wilayah Azerbaijan yang dikuasai
Armenia sejak tahun 1994 itu sebagai wilayah dibawah kekuasaannya yang sah. Jelas
ia memusnahkan harapan ramai pihak yang mahu menyaksikan penyelesaian aman
terhadap wilayah Republik Nagorno-Karabakh.
PENUTUP
Masa depan wilayah Republik Nagorno-Karabakh masih tinggal tanda tanya sehingga
ke hari ini. Tiada jawapan yang tuntas melainkan mengharapkan pihak-pihak yang
berkepentingan kembali ke meja rundingan. Apa yang menjadi persoalan adalah
apakah rundingan jangka panjang kepada penyelesaian di sana? Bersediakah
Armenia berundur daripada wilayah Azerbaijan yang dikuasai sejak tahun 1994?
Apakah kedua-dua pihak berhasrat merundingkan semula Madrid Proposals
tersebut?
Selain dua aktor utama Armenia dan Azerbaijan, kita juga boleh melihat bagaimana
campur tangan pihak ketiga amat perlu bagi meredakan situasi di sana. Kumpulan
OSCE Minsk yang terdiri daripada Russia, Perancis dan Amerika Syarikat telah
berjaya merundingkan genjatan senjata pada tahun 1994 selain rundingan Madrid
Proposals pada tahun 2007. Kumpulan negara OSCE Minsk ini sekali lagi diharapkan
bagi memastikan penyelesaian yang tuntas di sana.
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Turki mengambil langkah menyebelahi Azerbaijan sejak daripada awal. Selain soal
perkongsian budaya dan kebanyakan penduduk Azerbaijan juga adalah dairpada
bangsa Turki, permusuhan lama dengan Armenia, berbalik kepada konflik pada tahun
1915 mendorong perseturuan di antara kedua-dua negara tersebut.
Nyata penyelesaian hak kendiri wilayah Nagorno-Karabakh masih samar dan sukar
ditanggapi jalan keluar. Namun, kesemua pihak yang terlibat secara langsung
mahupun tidak langsung perlu memainkan peranan dalam mengembalikan
penyelesaian konflik melalui jalan diplomasi. Perkara ini penting supaya ia tidak
berlarutan sehingga mendorong kepada peperangan yang lebih besar di rantau
berkenaan dan kebimbangan ini telah lebih awal disuarakan oleh pihak berkuasa di
Tehran. Walau bagaimanapun, sayugia ditegaskan bahawa konflik peperangan dan
ketenteraan hanya memburukkan keadaan dan tidak membawa kepada solusi yang
diharapkan.
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |9
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Al-Jazeera. (2020, October 15). Armenia, Azerbaijan battle an online war over Nagorno-Karabakh.
Retrieved from Al-Jazeera: https://www.aljazeera.com/features/2020/10/15/karabakh-info-war
Al-Jazeera. (2020, October 19). Nagorno-Karabakh fighting continues as second truce fails to hold.
Retrieved from Al-Jazeera: https://www.aljazeera.com/news/2020/10/19/nagorno-karabkh-fighting-resumes-despite-ceasefire-commitment
Council on Foreign Relations. (2020, October 20). Nagorno-Karabakh Conflict. Retrieved from Council
on Foreign Relations: https://www.cfr.org/global-conflict-tracker/conflict/nagorno-karabakh-conflict
Cutler, R. M. (2020, October 19). What is behind the Nagorno-Karabakh flare-up? Retrieved from Al-
Jazeera: https://www.aljazeera.com/opinions/2020/10/19/what-is-behind-the-nagorno-karabakh-flare-up/
Freizer, S. (2006, December 14). Nagorno-Karabakh: Between Vote and Reality. Retrieved from
International Crisis Group: https://www.crisisgroup.org/europe-central-asia/caucasus/nagorno-karabakh-azerbaijan/nagorno-karabakh-between-vote-and-reality
Ministry of Foreign Affairs Republic of Artsakh. (n.d.). The Referendum on Independence of the
Nagorno Karabakh Republic. Retrieved from Ministry of Foreign Affairs Republic of Artsakh: http://www.nkr.am/en/independence-referendum-in-karabakh
National Geographic. (2020, October 15). How the Nagorno-Karabakh conflict has been shaped by past
empires. Retrieved from National Geographic: https://www.nationalgeographic.com/history/2020/10/how-nagorno-karabakh-conflict-shaped-by-past-empires/
Conciliation Resources. (2018). A final status vote for Nagorny Karabakh: Choosing politics? (Issue May).
Potier, T. (2012). Referendum to Determine Nagorno Karabakh’s Final Status: A Critical Appraisal. Journal of Muslim Minority Affairs, 32(2), 69–276. https://doi.org/10.1080/13602004.2012.694670
Konflik Berdarah Nagorno-Karabakh dan Hak Kendiri yang Tersakiti |10
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
LAMPIRAN A : PERBEZAAN SISI PANDANG ARMENIA DAN AZERBAIJAN TERHADAP WILAYAH
REPUBLIK NAGORNO-KARABAKH
Rajah 2 : Bagaimana Armenia melihat Nagorno Karabakh?
(Sumber : National Geography)
Rajah 3 : Bagaimana Azerbaijan melihat Nagorno Karabakh?
(Sumber : National Geography)