1
MEWASPADAI TIPU-DAYA MUSUH-MUSUH DAKWAH
Memahami Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Isra’:73-77
73. Dan mereka hampir memalingkan engkau (Muhammad) dari apa yang telah
Kami Wahyukan kepadamu, agar engkau mengada-ada yang lain terhadap Kami;
dan jika demikian tentu mereka menjadikan engkau sahabat yang setia.
74. Dan sekiranya Kami tidak memperteguh (hati)mu, nescaya engkau hampir sahaja
condong sedikit kepada mereka,
75. jika demikian, tentu akan Kami Rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di
dunia ini dan berlipat ganda setelah mati, dan engkau (Muhammad) tidak akan
mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.
76. Dan sungguh, mereka hampir membuatmu (Muhammad) gelisah di negeri
(Mekah) kerana engkau harus keluar dari negeri itu, dan kalau terjadi demikian,
nescaya sepeninggalanmu mereka tidak akan tinggal (di sana), melainkan
sebentar sahaja.
77. (Yang demikian itu) merupakan ketetapan bagi para rasul Kami yang Kami Utus
sebelum engkau, dan tidak akan engkau dapati perubahan atas ketetapan Kami.
2
Huraian Maksud Ayat:
Ayat-ayat di atas memang pada zahirnya ditujukan khusus kepada Rasulullah s.`a.w.,
tetapi mesej sebenarnya adalah umum dan inklusif. Ia adalah peringatan kepada seluruh
para da`i sepanjang zaman agar sentiasa mewaspadai tipu-daya musuh-musuh dakwah
yang seringkali memakai strategi kompromi. Mereka mengajak damai lewat formula
saling mengakomodasi dengan agenda tersembunyi agar akhirnya Islam, agama wahyu
ini menggugurkan sebahagian daripada ajaran yang diwahyukan Allah dan menerima
faham asing yang tidak bersumberkan wahyu. Dengan demikian akan terciptalah
“Islam” versi lain, iaitu “Islam” selera kaum musyrikin, kafirin dan `ilmaniyyin
(sekularis). Sekali imbas mungkin tawaran mereka tampak menarik dan menggoda,
menjanjikan pelbagai keuntungan materi duniawi, sedang yang diminta dari para pejuang
Islam hanya “small concession”. Tetapi di situlah letak jebakannya, apa yang disebut
“small concession” itu mungkin merosakkan seluruh ajaran Ilahi, apa lagi jika ia
melibatkan soal `aqidah.
Dalam kes al-Rasul s.`a.w., Junjungan diminta memberikan “small concession” iaitu
“hormatilah tuhan-tuhan sembahan mereka (berhala-berhala)” dengan imbalan “besar” -
kekayaan dan kekuasaan. Andainya Rasulullah menerima tawaran kompromi
sedemikian, seperti yang disebut pada ayat 73 (…la ‘ttakhadhuka khalila) tentunya
mereka akan menyambut meriah dan mengalu-alukan penyertaan Rasulullah s.`a.w. ke
dalam inner circle mereka sebagai sahabat dan kerabat akrab. Justeru mereka sebenarnya
tidak membenci Muhammad s.`a.w. sebagai peribadi. Junjungan memang dikenal
sebagai orang baik, berakhlak terpuji dan diterima umum. Yang mereka musuhi adalah
agama (ajaran) yang dibawanya, yang mereka tidak senangi adalah penolakannya
terhadap tuhan-tuhan dan agama warisan nenek-moyang mereka. Mereka tidak
keberatan untuk bersahabat dan menjalin hubungan erat dengan Rasulullah s.`a.w.
asalkan Junjungan bersedia untuk berkompromi. Tarikan untuk menerima kompromi
memang cukup kuat kerana desakan yang bersungguh-sungguh dari pihak musyrikin
Quraysh, dan keinginan yang kuat di pihak Rasulullah s.`a.w. untuk mengislamkan
pembesar-pembesar Quraysh itu. Kalaulah tidak kerana suntikan kekuatan istimewa dari
Allah s.w.t. bukan tidak mungkin Junjungan s.`a.w. melunak (sedikit) terhadap mereka.
Peringatan agar mewaspadai jebakan kompromi sedemikian disampaikan juga lewat ayat-
ayat lain dalam surah al-Qalam. Dalam ayat 8 dan 9 surah tersebut Tuhan
mengingatkan, “Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-
ayat Allah). Mereka menginginkan agar engkau bersikap lunak maka mereka bersikap
lunak (pula).” Yang pertama harus dingat ialah hakikat bahawa mereka adalah manusia
pendusta (al-mukadhdhibin) yang tidak menghormati kebenaran dan tidak mempedulikan
fakta. Mereka bukan jenis manusia yang memperhitungkan soal salah atau benar.
Kerana itu mereka begitu mudah mengajak kompromi. Mereka berfikir bahawa
kompromi `aqidah adalah jalan pintas yang pintar ke arah making the best of both
worlds, tanpa memperhitungkan hakikat bahawa Islam dan jahiliah adalah dua dunia
yang tidak ada titik temunya. Jurang antara keduanya terlalu lebar untuk dijambatani
dengan sebuah formula rapuh - kompromi Islam-jahiliah.
3
Ketika menafsirkan ayat al-Qalam tersebut Sayyid Qutb mengatakan bahawa sebenarnya
mereka bukanlah ashabu `aqidah atau penganut suatu `aqidah yang mengimaninya
dengan yakin sebagai kebenaran. Pada zahirnya mereka seperti bermati-matian
mempertahankan agama mereka dan memusuhi Rasulullah s.`a.w. dengan segala cara
penderaan dan fitnah, tetapi pada hakikatnya mereka begitu goyah dalam beraqidah
(jahiliah), hanya pura-pura bersikap sebagai penganut tegar, semata-mata kerana
kesombongan tidak mahu tunduk dan tidak mahu menyerah kepada Muhammad s.`a.w.
Kerana itu mereka bersedia untuk berkompromi asalkan ada formula face saving dalam
pengertian air muka mereka terpelihara, mereka melunak kerana pihak lawan
(Muhammad s.`a.w.) telah melunak.
Bagi umat ber`aqidah yang mengimaninya sebagai al-haqq (kebenaran), soal `aqidah
tidak boleh diselesaikan dengan formula bisnes: menjual dan membeli. Dalam `aqidah
tidak ada soal kecil-besar, yang ada hanya kesatuan dan kesepaduan yang utuh, tidak
boleh dipecah-pecahkan, dikurangi atau ditambahi. `Aqidah harus dikemukakan
seadanya dan seutuhnya - take it or leave it. Tidak ada ruang kemungkinan
mengekalkan sebahagian, dan menggugurkan sebahagian yang lain. Demikianlah
ketegasan sebagaimana yang diperlihatkan oleh al-Rasul s.`a.w. dalam soal agama,
walhal Junjungan adalah manusia paling lunak, paling lembut dan paling bertolak-ansur
dalam segala urusan kehidupan sosial hariannya. Tetapi dalam urusan agama, Junjungan
begitu tegar menjunjung perintah “Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang
mendustakan (ayat-ayat Allah).” Senang atau susah, perintah tersebut tetap dipatuhi,
meskipun dalam situasi yang sangat tertekan oleh penderaan kejam kaum Quraysh. Apa
pun risikonya kebenaran tetap diucapkan di hadapan siapa sahaja, termasuk kepala-
kepala teroris Musyrikin.
Demikianlah pola fikir musuh-musuh dakwah yang selalu memperlakukan agama seperti
bisnes: tawar-menawar, memberi dan menerima untuk meraih keuntungan bersama
(win-win). Tetapi pejuang-pejuang tulen di jalan Allah tidak mudah terjebak dalam
tipu-daya jual-beli agama sedemikian kerana mereka dibekali kekuatan istimewa oleh
Allah s.w.t., yang kerananya mereka mampu bersikap tegas dan tegar dalam
menghadapi taktik dan strategi licik pihak lawan. Memang para da`i tidak boleh naïf
ketika berhadapan dengan sepak terajang permainan lawan, dan tidak boleh berfikir
simplistik, “apalah salahnya merelakan sedikit pengorbanan demi misi yang lebih
besar!”. Musuh-musuh dakwah akan selalu mengeksploitasi kelemahan manusiawi
para da`i (keinginan terhadap harta, pangkat dan hal-hal keduniaan lainnya) untuk
memaksakan kompromi menurut syarat-syarat mereka. Tanpa suntikan kekuatan
istimewa (tathbit) dari Allah s.w.t. memang besar sekali kemungkinan para da‟i (kerana
kelemahan-kelemahan manusiawinya) tergiur dengan godaan-godaan duniawi. Jika
Nabi s.`a.w. sendiri pun memerlukan tathbit (pemantapan/penguatan) dari Allah s.w.t.
untuk selamat dari jebakan tersebut (ayat 74), orang lain tentu lebih memerlukannya
lagi.
Dengan andaian kompromi sedemikian itu terjadi, seperti yang disebut pada ayat 75,
Rasulullah s.`a.w. tidak akan terkecuali dari tanggungjawab menerima padah hukuman
berganda duniawi-ukhrawi. Bagaimanapun itu hanyalah sekadar andaian, yang
4
hakikatnya memang tidak mungkin terjadi kerana Allah melindungi dan memeliharanya
dari tipu-daya manusia. Mesej ayat 75 itu sebenarnya ialah untuk menyatakan
ketetapan hukuman Allah menggandakan balasan ke atas pemimpin yang menyeleweng.
Pemimpin bukan orang awam, tetapi seorang yang diberikan kelebihan kurnia, kuasa
dan tanggungjawab memandu umat ke arah kebenaran di samping menjadi teladan
perilaku yang benar. Kerana itu penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab
mewajarkannya menerima hukuman ganda, lebih berat daripada hukuman yang
ditimpakan ke atas orang awam yang hanya menjadi pengikut. Demikianlah, status yang
ditempati dan kurnia yang diperolehi turut menentukan berat ringannya hukuman apabila
melanggar perintah Allah. Andainya Rasulullah s.`a.w. menyetujui kompromi yang
tentunya membawa pelbagai keuntungan duniawi - kekayaan dan kekuasan, Tuhan
mengingatkan bahawa seuntung mana pun dari segi duniawi, segalanya itu tidak akan
dapat membantunya menyelamatkan diri dari hukuman-Nya. Siapa pun juga yang
terusir dari ri`ayah Allah pasti akan binasa.
Sesuai dengan etika dialog, Rasulullah s.`a.w. memang bersedia mendengar formula
kompromi yang sampaikan oleh wakil Quraysh, `Utbah ibn Rabi`ah (Abu „l-Walid).
Sabdanya, “Bicaralah wahai Aba „l-Walid, saya sedia mendengarnya.”. Demikianlah
mulianya akhlak Nabi s.`a.w. yang membiarkan Abu „l-Walid berbicara hingga selesai
tanpa mengganggunya sekalipun segala yang dibicarakannya adalah nonsense semata-
mata. Hanya setelah selesai, Rasulullah s.`a.w. bertanya, “Adakah anda sudah selesai
wahai Aba „l-Walid?”. Apabila Abu „l-Walid menjawab, “Ia”, barulah Nabi s.`a.w.
berkata, “Sekarang dengar, saya pula yang bicara”. Junjungan s.`a.w. menjawab tawaran
kompromi `Utbah ibn Rabi`ah itu dengan membaca ayat-ayat dari surah Fussilat yang
kandungannya jelas dan tegas menolak kompromi.
Usaha untuk berkompromi ternyata telah gagal. Kerana itu musyrikin Quraysh
meningkatkan gangguan dan deraan mereka hingga ke tahap mahu mengusir Rasulullah
s.`a.w. dari bumi Makkah (ayat 76). Tetapi Allah s.w.t. mempunyai takdir perancangan
lain. Rasulullah s.`a.w. diperintahkan berhijrah ke Madinah. Pengusiran dalam erti kata
yang sebenarnya tidak berlaku. Kerana itu kaum musyrikin Quraysh terselamat dari
nasib kehancuran total dalam masa singkat setelah pengusiran. Hikmah Tuhan
menetapkan bahawa kaum Quraysh tidak dihabisi hingga ke akar umbinya sebagaimana
umat lain yang telah mengusir rasul mereka. Tuhan masih menghendaki sebahagian
mereka akan beriman, dan Tuhan juga menghendaki agar nanti berlaku fathu Makkah
atau pembebasan Makkah yang diikuti pengislaman beramai-ramai warganya.
Andainya musyrikin Makkah benar-benar mengusir Rasulullah s.`a.w., tentunya mereka
telah dibinasakan tidak lama selepas pengusiran, kerana memang demikianlah ketetapan
sunnatu ‘Llah, undang-undang ketuhanan yang tidak pernah berubah (ayat 77). Justeru,
mengusir rasul adalah jenayah berat yang mewajarkan hukuman pembinasaan.
Bagaimanapun mereka tetap menerima hukuman kerana telah menganiaya Rasulullah
s.`a.w. hingga hampir mengusirnya dari bumi Makkah. Tidak lama selepas Junjungan
s.`a.w. berhijrah mereka hampir binasa sepenuhnya dalam peperangan Badr.
5
Rumusan Pengajaran
Mengulas isu tawaran kompromi dalam ayat-ayat al-Isra’ ini Sayyid Qutb mengatakan
bahawa ia adalah taktik biasa golongan berkuasa (ashab al-sultan) dalam menghadapi
para pejuang dakwah (ashab al-da`wat) sepanjang zaman. Mereka sentiasa melakukakan
percubaan memperdaya orang-orang dakwah agar menyimpang - walau sedikit - dari
sikap tegar, istiqamah dan konsisten dalam dakwah, rela menerima penyelesaian “jalan
tengah” demi imbalan habuan mewah. Menurut Sayyid Qutb, memang ada sebilangan
kaum pendakwah yang benar-benar terpedaya kerana menganggap kompromi sebagai isu
kecil, mereka tidak diminta meninggalkan dakwah seluruhnya, yang diminta hanya
sedikit modifikasi untuk memungkinkan penemuan titik kesepakatan antara kedua pihak.
Dalam proses ini mungkin syaitan ikut berperanan dengan membisikkan idea curang
bahawa demi kejayaan dakwah, orang besar-besar, golongan berkuasa dan berpengaruh
itu perlu ditarik, dan untuk itu tidak ada salahnya jika pihak pendakwah melakukan
sedikit pengorbanan atau small concession.
Sayyid Qutb mengingatkan bahawa penyimpangan kecil di pangkal jalan itu akan
berakhir dengan penyimpangan besar-besaran di hujung jalan. Orang-orang dakwah
yang sedikit mengalah pada permulaannya, akan terus kalah hingga ke hujungnya kerana
kesediaannya untuk mengalah dan menyerah itu semakin bertambah dari masa ke masa
dengan bertambahnya habuan dan meningkatnya keinginan. Sementara itu di pihak lain,
golongan berkuasa tidak berhenti-henti dengan tipu-dayanya. Sekali orang dakwah
mengalah, hilanglah kehebatan dan kredibilitinya, dan ketika itu golongan berkuasa
menjadi bertambah yakin bahawa mereka boleh mendesak dan mengasakkan kompromi
demi kompromi yang berterusan sehingga akhirnya dakwah kehilangan segala-gala -
esensi dan misi hakikinya. Dalam kaitan ini Sayyid Qutb mengingatkan bahawa
kesediaan mengkompromikan dakwah untuk memenangi hati orang besar-besar yang
berkuasa dan berpengaruh pada hakikat adalah gejala kekalahan psikologikal (al-
hazimat al-nafsiyyah). Kejayaan dakwah tidak bergantung kepada dukungan orang
besar-besar. Yang menentukan kejayaan dakwah adalah kuasa Tuhan yang sentiasa
memberkati istiqamah dan keikhlasan amal perjuangan. Hanya kepada Allah Yang Maha
Esa para da`i harus bergantung selamanya. Semoga Allah berkenan memperteguh dan
memantapkan hati kita serta menyelamatkan kita dari segala tipu-daya.
TM67 27/12/2013