PERSAMAAN ADAT PERKAHWINAN KAUM MELAYU, CINA DAN INDIA
Antara ketiga-tiga kaum ini, walaupun berbeza kaum dan bangsa, namun
terdapat beberapa persamaan yang dapat kita lihat menerusi adat perkahwinannya.
Sebagai contoh, dalam adat perkahwinan antara Melayu, Cina dan India,
masing-masing mempunyai adat merisik, meminang dan bertunang sebelum
melangsungkan perkahwinan.
Bagi adat merisik kaum Melayu, adat ini juga dipanggil meninjau atau
menengok.Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang
dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya.Ini penting, kerana dalam Islam
seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga
bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga,
adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini
akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu dan bapa
saudaranya. Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu
dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut
perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.
Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin
tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan
menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang
dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu
mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.
Bagi kaum Cina pula, adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang
gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama ,
keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk
mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa
kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan
taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar
mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara
lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat
mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika
merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang
keluarga dan asal keturunan.
Manakala bagi kaum India, dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi
perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain
seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap
pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga
juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung
dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan
saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan
membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh
ajen-ajen perkahwinan yang berdaftar.
Seterusnya, bagi adat meminang dan bertunang pula, dalam kaum Melayu,
setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan
menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan
akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi
menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua
belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat
bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan
hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk
memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan
kelak. Kemudian, Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan
dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara
terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan
bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri
daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta
hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang
telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.
Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang
masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan.Adat ini dipanggil
langkahbendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima,
tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi
implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan
melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa
adat bertunang ini dijalankan.Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara
berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum
majlis persandingan dijalankan.
Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih
kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun
sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah
pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang
belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh
bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah
pihak.Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang.Sekiranya
pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan
belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak
perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua
kali ganda.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana
wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan
cincinpertunangan atau cincintanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu
rasmilah sudah pertunangan tersebut.
Bagi kaum Cina pula, setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang
keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk
berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan
perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil
tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan
memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang
akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada
kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya
untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan..Setelah kedua-dua
pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang
dijalankan.
Kemudian, hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia
hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat
tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah
buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai
dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada
masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan
permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan .cincin
disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan.
Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas
merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati
daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan
persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik
bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.
Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-
dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika
menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun
kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik
akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan
yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-
adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.
Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di
Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas,
sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan
barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai
akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan
diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin
perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan,
semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.
Dalam kaum India, ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat
persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak
perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan
seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum
untuk diberikan kepada wakil perempuan. Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal
pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai
perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal
dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah
pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.
Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan
persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan
tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua
pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian
mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk
pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam
akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.
PERBEZAAN ADAT PERKAHWINAN KAUM MELAYU, CINA DAN INDIA
Selain daripada persamaan adat perkahwinan kaum melayu, cina dan india, terdapat juga
perbezaan di antara setiap kaum dari segi adat perkahwinan. Contohnya, dalam adat kaum melyu
pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga
manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan
rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin
perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan
pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.
Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah
pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah
untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui
beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk
mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar
tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias
indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat
bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan
yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.
Berbeza dengan masyarakat cina, mengikut kepercayaan mereka, pasangan
yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Perkahwinan mereka
dipengaruhi oleh faktor eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur dan implisit iaitu kedua-
dua belah pihak diberi kebebasan untuk memilih pasangan. Sebelum kedatangan barat,
adat perkahwinan dalam masyarakat Cina diatur sejak kecil kerana ini boleh
mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pihak pengantin perempuan tidak dibenarkan
mengadakan majlis perkahwinan kerana ini hanya dilakukan oleh pihak lelaki sahaja.
Masyarakat Cina pentingkan perkahwinan kerana dianggap akan melahirkan generasi
baru yang akan menggantikan generasi lama.
Bagi masyarakat cina, adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang
gadis yang dihajati bagi mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Setelah berpuas
hati, seorang wakil dipilih untuk membincangkan perkara berkaitan mas kahwin dan hari
yang sesuai untuk perkahwinan. Bagi proses pinangan, masyarakat cina yang
mengamalkan nilai tradisional, ibu bapa kepada si lelaki akan menentukan bakal
menantu perempuan, mereka akan mencari tukang risik yang kerjanya adalah untuk
mengurangkan konflik kepentingan serta rasa malu ketika membincangkan
kemungkinan perkahwinan antara dua buah keluarga yang biasanya tidak rapat atau
langsung dikenali.
Segala ketetapan yang dipersetujui diberitahu kepada pihak lelaki dan ditunaikan
dengan sebaiknya.Hari pertunangan hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran
kedua pasangan kerana bimbang akan ditimpa musibah dalam perkahwinan. Upacara
bertukar cincin juga dilakukan dan dipakai sehingga hari perkahwinan. Gadis berkenaan
akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis,
umur dan tarikh lahir kepada tukang tilik untuk perhitungan hari yang sesuai bagi
melaksanakan perkahwinan. Menurut masyarakat cina, semakin besar mas kahwin
yang dibeikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.
Manakala dalam adat kaum india pula, sebelum perkahwinan adat
penyediaan Thaali dan Mukuurta Kaal akan dilaksanakan. Thaali
atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada
leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu
dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India
seperti lingath thaali, pottut thaali, tennantthaali dan sebagainya. Ini disebabkan
terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini
dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan
membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat
thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk
membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di
tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Selepas itu upacara sembahyang
dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis
dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin.
Kemudian, Mukuurtta Kaal akan dibuat. Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari
perkahwinan dilangsungkan. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang
masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok
tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga
30 sentimeter sebagai tanda perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut.
Batang kayu diambil dan dibersihkan serta dibuang kulitnya. Lima orang perempuan
yang sudah berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu
tersebut dari pangkal hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara
atau mangga menggunakan kain bewarna merah.
Perbezaan yang dapat dilihat semasa upacara perkahwinan pula adalah dari
segi alatan, makanan, pakaian yang digunakan serta adat dan semasa upacara
berlangsung. Bagi masyarakat Hindu, upacara perkahwinan dilakukan
oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari
tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung
cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang
yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada
pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu
bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci
pada dahi pengantin.
Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah
menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke
dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa),
memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya
pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan
berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini
menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.