Lakaran wawasan kejayaan sistem pendidikan berlandaskan konteks Malaysia merupakan
pemangkin pembangunan nasional yang mampu menyerlahkan daya persaingan negara yang kukuh
di persada dunia bak kata pepatah, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan juga penawar bagi
keperluan rakyat watan. Dalam menyingkap tabir alaf baharu dan dalam proses menongkah arus
globalisasi yang pantas bergerak, corak sistem pendidikan yang terbaik dan terancang akan
dipersonifikasikan sebagai keris perjuangan yang akan dijinjing oleh angkatan pewira ilmu iaitu
generasi murid bagi mennyeberangi harapan yang dilontarkan oleh penduduk global. Aspirasi ini
terbentuk dengan memperalatkan dua aspek iaitu sistem pendidikan holistik dan murid secara
individu. Visi dan aspirasi inilah akan menyebabkan sejarah reformasi baru akan terkarya dalam
transformasi sistem pendidikan Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berhasrat untuk
mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti,
ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi
yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan
yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain.
Negara bangsa merupakan suatu keadaan tertinggi yang ingin dijelmakan oleh sesebuah
negara. Konsep ini mengetengahkan gabungan makna daripada dua frasa menjadi satu pengertian
iaitu frasa negara dan frasa bangsa. Berdasarkan autoriti Kamus Dewan Edisi Keempat, negara
merujuk kepada suatu komuniti yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh kerajaan
manakala frasa bangsa merujuk kepada suatu komuniti yang mempunyai identiti budaya, fahaman,
agama dan bahasa tersendiri. Pembinaan negara bangsa merupakan suatu asas yang disandarkan
bagi menggapai kelangsungan taraf negara maju. Melalui konsep ini, sesebuah negara akan menjadi
lebih kuat dengan corak mentaliti dan kesepaduan yang ada dalam diri masyarakat tersebut. Sistem
pendidikan merupakan medium yang terbaik untuk digunakan bagi merealisasikan impian ini dan
proses transisi kepada penghasilan modal insan untuk memacu ke arah pembinaan negara ini
mendahagakan tenaga pendidik yang seimbang dari aspek kesepaduan empat sifat utama.
Guru-guru perlu mementingkan penyemaian nilai-nilai yang membangkitkan semangat satu
bangsa iaitu Bangsa Malaysia dalam jiwa murid-muridnya bermula dari usia yang muda, seperti kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidiklah berperanan sebagai petunjuk yang
menghimpunkan ribuan pelajar di bawah satu bumbung yang dipanggil sebagai perpaduan yang
membuka peluang kepada pembentukan rakyat berbilang bangsa. Oleh itu, aktiviti pendidikan
haruslah memberi keutamaan kepada usaha-usaha memupuk dan mengekalkan semangat satu
bangsa dan satu negara di kalangan pelajar berlandaskan hasrat yang disampaikan melalui
Pembinaan Negara Bangsa. Kesepaduan empat sifat utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan
intelektual yang akan menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang berakhlak perlu
dipratikkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran oleh para guru. Mata pelajaran Sivik dan
Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar tentang hak dan tanggungjawab
mereka dalam masyarakat pelbagai kaum serta pentingnya semangat patriotisme, kesejahteraan dan
keharmonian antara kaum. Sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan dalam golongan
pendidik haruslah memberi perhatian kepada penerapan nilai-nilai murni serta penekanan yang lebih
jitu dalam usaha mendidik murid-murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara agar objektif
yang dihasratkan tercapai dan dapat mengibarkan bendera kejayaan di puncak pembinaan negara
bangsa.
Golongan pendidik haruslah memperkasakan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan
merupakan bahasa rasmi yang dikongsi bersama oleh pelbagai kaum dalam perhubungan rasmi dan
kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Pelajar-pelajar perlu diberi kesedaran tentang kepentingan
Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa
komunikasi di Malaysia. Penyemaian semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalbu hati
generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Malaysia, menghormati, menghargai dan
berbangga dengan bahasa Malaysia sebagai identiti rakyat Malaysia. Beberapa, memantapkan,
menggalakkan minat membaca dan mewujudkan. Bulan Bahasa dan Sastera, Bulan Membaca, kem
penulisan, teater, kuiz, kemantapan melaksanakan Dasar Buku Negara, Bulan Bahasa dan Sastera
Negara adalah antara strategi pelaksanaan yang tidak akan dapat mencapi buah kejayaan untuk
menjejak kaki di destinasi di mana Bahasa Kebangsaan diperkasakan dan dimartabatkan.
Gurulah turut menjunjung peranan sebagai penggerak utama Rancangan Integrasi Murid-
murid untuk Perpaduan. Aktivit seperti RIMUP amat memerlukan penggemlengan tenaga yang
terjalin antara guru dan pelajar pelbagai kaum. Sekolah-sekolah tiga jenis aliran membuka jalan
kesempatan kepadam murid-murid yang masih berada di bangku sekolah untuk berinteraksi antara
satu sama lain, menjalin kefahaman, memupuk semangat bertolak ansur dan muhibah sesama
mereka, berkumpul di bawah satu bumbung yang sama dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama
melalui aktiviti merentas desa, perkhemahan, pertunjukan kebudayaan, sambutan hari kebangsaan,
dan gotong-royong. Hubungan kerjasama yang terhasil daripada pertemuan mampu merealisasikan
penyatupaduan antara pelajar tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan warna kulit. Penyeragaman
kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi oleh pihak kerajaan dengan mewujudkan satu
sistem peperiksaan yang seragam dan terancang. Dengan adanya sukatan pelajaran dan
peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah
sekolah. Langkah ini boleh memudahkan lagi proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di
samping mewujudkan keperibadian yang sama.
Pada peringkat awal sekolah, jati diri murid boleh dipupuk melalui kurikulum, program ko-
kurikulum dan sukan. Guru sebagai pendidik perlu memastikan diri bersedia untuk berusaha menjadi
lebih inovatif, proaktif, mampu mencipta kelainan dan membentuk diri sebagai suriteladan yang baik
kepada murid-murid untuk memupuk nilai-nilai jati diri menerusi proses pengajaran dan pembelajaran
supaya buah perpaduan kaum dapat dikecapi. Elemen perpaduan dapat diterapkan dalam aktiviti-
aktiviti yang boleh meningkatkan semangat patriotik, menanamkan sifat hormat-menghormati, peka
terhadap norma dan isu sensitif masyarakat pelbagai kaum seperti pertandingan bola sepak, bola
jaring, hoki, bola baling, bercerita, nyanyian dan olahraga. Cabaran pertama yang dikenalpasti pada
era globalisasi adalah berkaitan dengan kedudukan bahasa. Timbul persoalan mengenai
kepentingan bahasa Melayu di dunia moden dengan keperluan bahasa Inggeris sebagai memenuhi
tuntutan antarabangsa. Walaupun kedudukan bahasa Kebangsaan dijamin kedudukannya mengikut
Perlembagaan Malaysia, namun bahasa Inggeris kini lebih mendominasi dan mula mengambil alih
kedudukan bahasa Kebangsaan dalam kalangan anak watan hasil daripada tuntutan globalisasi. Hal
ini telah menimbulkan pertikaian dan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina yang
menyebabkan mereka melemparkan persoalan yang berkaitan dengan kewajaran bahasa Inggeris
diangkat menjadi bahasa kedua negara yang kini hampir melampaui batas kedudukan bahasa
Kebangsaan dari segi penggunaannya dan membuat tuntutan supaya bahasa mereka dimartabatkan
seampuh peranan dan fungsi bahasa Inggeris. Selain itu, cabaran kedua merujuk kepada dasar
kerajaan pada tahun 1968 yang ingin menghasilkan 60% kepakaran dalam bidang sains dan 40%
kepakaran dalam bidang kemanusiaan. Hal ini kerana acuan kerajaan yang lebih menekankan aspek
Sains dan Teknologi dilihat lebih memberi tekanan kepada kedudukan bahasa Kebangsaan.
Pelaksanaan program pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menzahirkan
tindakan kerajaan yang tidak peka pada isu semasa. Tindakan tersebut mampu menjejaskan
kedaulatan bahasa Melayu di samping meranapkan hampir keseluruhan pelajar Melayu terutamanya
yang tinggal di luar bandar. Cabaran ketiga adalah berkaitan penggunaan bahasa Melayu dalam
kalangan orang Melayu yang amat leka dalam dunia yang memberi nikmatan materialistik dan
hedonisme. Dalam era globalisasi kini, budaya ‘bahasa rojak’ yang dipratikkan oleh orang Melayu
dilihat kurang memartabatkan bahasa ibunda sendiri. Walaupun, pemodenan yang datang menempa
menyebabkan semangat cinta akan bahasa ibunda sudah semakin terhakis dalam jiwa masyarakat
Melayu namun kaum lain terus berusaha memartabatkan bahasa ibunda mereka tanpa mengambil
kira cabaran yang datang. Dalam keadaan inilah, usaha membina negara bangsa menjadi semakin
ruwet.
Usaha untuk melambangkan kepelbagaian budaya di bawah satu identiti seolah-olah sukar
dicapai tatkala semua kaum takut akan kehilangan identiti budaya masing-masing. Mentaliti
masyarakat kita pada hari ini masih lagi dikongkong dengan pemikiran penjajah yang sengaja
mewujudkan sentimen perkauman yang sebelum ini wujud melalui Dasar Pecah dan Perintah. Oleh
sebab itu, usaha kerajaan yang cuba mengukuhkan semangat perpaduan melalui perkongsian
budaya tidak mengemparkan hasil seperti yang diharapkan kerana masyarakat masih tidak berfikiran
liberal yang mengakibatkan perkongsian satu budaya itu dilihat sekadar di mulut dan tidak dihayati
sepenuhnya oleh masyarakat yang tidak lagi sedar bahawa semangat perpaduan berperanan
sebagai kubu pertahanan daripada serangan anasir-anasir luar. Cabaran yang kedua bersandarkan
pada sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan langsung tidak mendukung usaha
mengukuhkan perpaduan melalui perkongsian budaya. Sepatutnya, sesi pembelajaran kebudayaan
yang ada di Malaysia perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan sama ada secara praktikal mahupun
teori.
Dalam bidang pendidikan, menyedari kelompangan yang tertera dalam Laporan Razak iaitu
ketidakpunyaan satu asas atau sistem pendidikan nasional, Ordinan Pelajaran 1957 yang
dilaksanakan sebagai permulaan kurikulum sekolah yang berorientasikan Malaysia di semua jenis
sekolah dilihat masih gagal untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Hal ini demikian kerana penghayatan para pelajar masih lagi menjadi pertikaian kerana berdasarkan
Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) menyatakan
bahawa keadaan ini berlaku disebabkan guru dan murid selalu terdesak untuk menghabiskan
sukatan pelajaran terutamanya apabila ada peperiksaan dan sesi pembelajaran juga dikatakan terlalu
bergantung kepada buku teks yang disediakan oleh pihak kementerian. Akibatnya, penghayatan
golongan pelajar dan pendidik tidak wujud. Jadi, perkembangan pendidikan tidak berlaku kerana
pelajar hanya menghafal untuk lulus peperiksaan sahaja. Dalam merealisasikan hasrat membina
negara bangsa, cabaran seterusnya adalah berkaitan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh
penjajah yang masih dipraktikkan sehingga ke hari ini. Meskipun telah ada pembaharuan dalam
aspek-aspek tertentu, namun, kita tidak boleh menafikan bahawa masih wujud konsep dan kaedah
perlaksanaan yang diteruskan dari zaman penjajahan lagi. Selain itu, tidak dinafikan bahawa
sebahagian besar masyarakat India dan Cina di negara ini masih berasa ragu untuk menghantar
anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan disebabkan mentaliti mereka yang masih berasa bimbang
akan kehilangan identiti dan jati diri kaum masing-masing. Pembentukan sekolah satu aliran yang
menjadi agenda dalam Penyata Razak 1956 kurang mendapat sokongan daripada anggota
masyarakat khususnya yang bukan Melayu. Isu pembinaan Sekolah Integrasi dan Sekolah Wawasan
hasrat murni kerajaan yang ingin memupuk dan mengeratkan lagi persefahaman, semangat
kerjasama dan perpaduan pelbagai kaum ini tidak begitu berkesan kerana mentaliti masyarakat yang
takut kehilangan identiti dan jati diri bangsa masing-masing. Buktinya, terdapat penentangan
daripada sesetengah pihak terutamanya bangsa Cina kerana takut kehilangan identiti sekolah Cina,
Gabungan Persatuan Guru-guru dan Lembaga Pengelola Sekolah Cina serta Dong Jiao Zon. Untuk
membina negara bangsa, timbul satu cabaran besar yang perlu diatasi oleh pihak kerajaan iaitu
cabaran mengatasi kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat. Ilmu menjadi elemen penting
dalam mencapai taraf negara maju. Malah, dengan ilmu jugalah masyarakat akan lebih memahami
konsep sebenar negara bangsa. Oleh sebab itu, kerajaan sedar bahawa setiap warganya perlulah
berilmu dan sekurang-kurangnya mempunyai penguasaan literasi.
Sebagai sebuah negara berdaulat yang mengamalkan prinsip Demokrasi Berparlimen, aspek
demokrasi sememangnya menjadi landasan dalam menentukan corak negara bangsa yang ingin
diwujudkan. Cabaran pertama yang dilihat dalam isu demokrasi adalah berkaitan penyalahtafsiran
AUKU. Sememangnya ramai dalam kalangan anggota masyarakat khususnya golongan mahasiswa
yang menafikan sekatan-sekatan yang wujud dalam AUKU. Walaupun, pertikaian yang ditimbulkan
ini tidak pernah dikaji oleh mereka mengenai sejarah penubuhan AUKU namun masyarakat lebih
gemar mendengar khabar angin yang menyatakan AUKU menyalahi hak asasi manusia. Kegagalan
masyarakat dalam memahami konsep sebenar sistem demokrasi dan ketidakwujudan kita
memerlukan mayarakat yang berfikiran kelas pertama yang mampu bertindak mengikut kewarasan
akal fikiran di Malaysia hampir menutup peluang untuk kita membina negara bangsa. Cabaran yang
kedua dalam aspek demokrasi adalah berkaitan dengan masalah politik perkauman. Isu ini semakin
ketara pada masa kini apabila parti-parti politik yang wujud dilihat lebih memperjuangkan kaum
masing-masing seolah-olah menindaskan kepentingan nilai perpaduan. Walaupun, permainan politik
dalam kalangan parti politik ini dilihat telah mengganggu gugat usaha ke arah mencapai demokrasi
yang mantap untuk membina negara bangsa namun terrdapat juga ahli-ahli politik yang tidak
menjunjung ketinggian perlembagaan yang melarang untuk menyentuh isu-isu yang dikategorikan
sebagai sensitif seperti sentimen perkauman. Sedangkan untuk membina negara bangsa,
kesepaduan dengan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara kaum amat penting. Lebih-
lebih lagi, dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, politik perkauman
menjadi ancaman yang besar dalam agenda membina negara bangsa ini kerana dari sinilah
bermulanya perpecahan ideologi berlaku.
Nilai kualitilah merupakan cahaya penunjuk yang daat diperolehi dengan mengaktifkan suis
perkembangan sistem pendidikan bagi menyelesaikan cabaran-cabaran yang timbul. Cabaran yang
wujud berkaitan isu bahasa mampu diselesaikan melalui pendekatan sistem pendidikan. Pendekatan
pertama yang boleh digunakan adalah golongan pendidik harus meningkatkan pemahaman pelajar
tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan berlandaskan kepentingan bahasa
ibunda yang sudahpun dipaku dalam bentuk tulisan dalam Perlembagaan Malaysia. Selain itu,
persoalan mengenai bahasa Inggeris yang dikatakan mampu menggugat bahasa Kebangsaan harus
diperjelas secara terperinci kepada pelajar agar tidak timbul golongan yang anti-bahasa Inggeris
melali pelaksanaan program-program seperti“ Memantapkan Bahasa Ibunda, Mengukuhkan Bahasa
Inggeris”. Pendekatan seterusnya dikaryakan oleh sekolah sebagai elemen penting dalam
menyampaikan wadah iaitu, masyarakat harus difahamkan mengenai kepentingan ilmu sains pada
era kini bahawa kemajuan dan kemodenan yang kita kecapi pada hari ini adalah berlandaskan
perkembangan dalam dunia sains dan teknologi bagi mengatasi isu PPSMI yang sering digembar-
gemburkan oleh banyak pihak. Soal penggunaan dan pengaplikasian bahasa Inggeris dalam mata
pelajaran Sains dan Matematik harus dilihat secara positif berasaskan tuntutan global yang
meletakkan perkembangan dalam dunia sains barat sebagai sandaran. Namun begitu, menyedari
kelemahan dan tahap kemampuan rakyat yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris, kerajaan
telah pun memansuhkan program ini tetapi dasar 60:40 masih lagi diteruskan dengan cara kerajaan
cuba mengimplimentasikan teknologi maklumat dalam sistem pendidikan. Dewan Bahasa dan
Pustaka memainkan peranan penting dalam usaha ke arah pembinaan negara bangsa melalui aktiviti
pemantapan dan perancangan bahasa, sastera kebangsaan dan penerbitan. DBP turut menjalinkan
kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti bertujuan
memartabatkan bahasa seperti pertandingan Forum Remaja, Debat Ala Parlimen, Pidato Di Raja dan
sebagainya. Langkah DBP menerbitkan majalah-majalah seperti Dewan Masyarakat, Tunas Cipta,
dan Kosmik adalah amat tepat kerana masyarakat tanpa mengira kaum boleh mendapatkan banyak
info berkaitan dunia bahasa dengan lebih tepat.
Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, isu tentang kebudayaan masih lagi hangat
diperkatakan sehingga hari ini. Kesepekatan dalam penerimaan kebudayaan kebangsaan sebagai
kebudayaan setiap kaum di negara ini mampu menjadi solusi yang terbaik bagi malah tersebut.
Budaya melambangkan satu identiti bagi sesebuah negara. Amalan masyarakat majmuk di Malaysia
harus dipelihara agar menjadi satu warisan kepada anak bangsa akan datang. Persoalannya,
masyarakat hari ini ingin memartabatkan budaya masing-masing sehingga menimbulkan perpecahan
antara satu sama lain. Langkah kerajaan untuk memperkenalkan satu kebudayaan kebangsaan
amatlah wajar bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Pengenalan Dasar Kebudayaan Kebangsaaan merupakan satu medium bagi kerajaan untuk
menanam semangat cinta dan sayang akan tanah air dan bangsa sendiri. Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti penganjuran rumah terbuka
bagi setiap perayaan di Malaysia. Sambutan secara beramai-ramai maka akan mencerminkan
semangat kekitaan dan perpaduan serta keharmonian sesebuah masyarakat. Usaha yang terjalin
antara Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan dengan kementerian-kementerian
lain juga dapat memantapkan lagi usaha-usaha ke arah memupuk perpaduan. Melalui hubungan
kerjasama antara KPKK dengan Kementerian Pelajaran subjek budaya dan warisan boleh
diperkenalkan di sekolah rendah mahupun menengah. Tujuannya untuk memberi pendedahan awal
mengenai budaya masyarakat Malaysia kepada golongan pelajar. KPKK juga boleh membekalkan
tenaga pengajar untuk mengajar subjek ini di sekolah terutamanya harus memberi peluang kepada
penuntut Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan untuk berkhidmat sebagai guru. Di samping itu,
KPKK juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam
melaksanakan beberapa program atau acara yang boleh mengeratkan hubungan mahasiswa dan
mahasiswi universiti yang berbilang kaum. Kementerian Pelancongan dan KPKK telah
memperkenalkan sejenis tarian iaitu ‘Tarian 1 Malaysia’. Tarian ini merupakan hasil gabungan
beberapa tarian termasuk tarian Melayu, Cina, India dan sebagainya. Menurut Senator Heng Seai
Kie, melalui program kebudayaan seumpama ini akan dapat menjadi jambatan untuk mengeratkan
hubungan antara kaum ke arah mencapai matlamat pembinaan negara bangsa.
Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 merupakan tragedi hitam yang terpahat dalam ingatan
seluruh rakyat Malaysia. Sikap acuh tak acuh yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu, akhirnya
telah memakan diri sendiri. Lantaran daripada peristiwa itu, pemimpin-pemimpin negara telah
bertungkus-lumus membendung masalah ini agar tidak menjadi semakin parah. Oleh sebab itu,
mantan Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mencadangkan agar
diwujudkan satu sistem persekolahan yang lebih bersifat kolektif dan bercirikan keharmonian kaum
iaitu pembinaan “ Sekolah Wawasan”. Penubuhan Sekolah Wawasan ini adalah selaras dengan
cabaran pertama Wawasan 2020 iaitu untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu serta dapat
hidup dengan aman dan bahagia serta sentiasa taat setia kepada negara Malaysia. Namun, pada
hari ini idea penubuhan sekolah wawasan ini tidak mendapat sambutan secara kolektif khususnya
daripada masyarakat Cina. Sebenarnya masyarakat harus melihat dari sudut positif mengenai
kewujudan sekolah ini. Suatu ketika dahulu kita boleh bersatu untuk menuntut kemerdekaan daripada
pihak penjajah serta kita juga boleh bersatu dalam bidang ekonomi melalui penubuhan Dasar
Ekonomi Baru Justeru, tidak mustahil lagi bagi kita untuk berada di bawah satu bumbung dalam
bidang pendidikan. Bagi merealisasikan semula idea ini, masyarakat khusunya kaum Cina dan India
harus berfikiran terbuka bahawa penubuhan Sekolah Wawasan tidak akan menghapuskan identiti
SRJK, tetapi Sekolah Wawasan adalah gabungan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah
Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Kerajaan melalui
KPM perlu merancang satu program yang boleh dipraktikkan dalam memastikan konsep sekolah ini
berhasil dan perancangan, pengkajian, dan penyelidikan berterusan adalah amat perlu bagi
menjamin mutu Sekolah Wawasan ditingkatkan. Kerajaan di bawah pimpinan Dato‟ Seri Najib Tun
Abd. Razak telah merancang untuk membina asrama berkonsepkan 1 Malaysia pada tahun 2010
yang berpotensi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh para pelajar khususnya yang
datang dari keluarga miskin dan yang tinggal di kawasan pedalaman.
Sistem pemerintahan negara Malaysia berlandaskan kepada konsep Demokrasi Berparlimen.
Melalui konsep ini, sistem kerajaan ditentukan oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Wakil-wakil
rakyat dipilih bagi mewakili suara mereka untuk diketengahkan di peringkat tertinggi negara. Sistem
pendidikan di Malaysia seharusnya menjadi satu medium yang memberikan pendedahan awal
tentang amalan sistem demokrasi negara. Di dunia kampus, para pemimpin mahasiswa
menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar yang dipilih oleh warga kampus melalui Pilihan Raya
Kampus yang diadakan setiap dua tahun sekali. Namun begitu, aktiviti pilihan raya kampus ini masih
lagi tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Akibat desakan yang terlahir dari
kelemahan golongan mahasiswa kerana suara dan pandangan mereka telah disekat dan hal ini
bertentangan dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan telah berlaku pindaan pada tahun
2008 merangkumi Seksyen 15 dan 16. AUKU sebenarnya berperanan mendidik mahasiswa
mengenai hak-hak mereka untuk berhubung dengan masyarakat dan bersuara mengikut nas
undang-undang. Semangat kewarganegaraan dalam kalangan mahasiswa dapat dipupuk dan
mampu melahirkan pemimpin berkualiti yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa
depan.Selain itu, pendekatan demokrasi ini juga boleh dilakukan di sekolah-sekolah bagi mendidik
golongan pelajar mengenai kepentingan demokrasi. Dalam subjek sejarah umpamanya, sudah ada
tajuk mengenai politik negara tetapi ia tidak diaplikasikan secara sewajarnya di peringkat sekolah.
Oleh itu, adalah lebih baik jika pihak sekolah mengikut langkah universiti dengan menjalankan pilihan
raya dalam pemilihan ketua pelajar atau ketua murid di setiap sekolah. Umpamanya, Sekolah
Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail yang telah menjalankan pemilihan ketua muridnya melalui proses
pilihanraya. Maka dengan itu pembentukan negara bangsa akan menjadi lebih mudah kerana rata-
rata golongan muda ini telah boleh berfikir dan bertindak selaras dengan hasrat kerajaan untuk
mencapai taraf negara maju pada tahun 2020.
Kesimpulan, golongan pendidik harus menempuh dan mengharungi liku-liku berduri dalam
merealisasikan kota idaman yang digelar sebagai aspirasi pendidikan. Proses mentransformasikan
kelima-lima aspirasi sistem pendidikan kepada sebuah realiti hidupan sudah menjadi tanggungjawab
yang perlu digalas di pundak para pendidik. Seawal pembukaan konsep membina negara bangsa,
kita dapat melihat gambaran awal bahawa pentingnya nilai dan semangat perpaduan untuk
diperkukuh dan dipertahankan di tanah air yang telah terbentang selama lebih separuh abad ini.
Sesungguhnya, konsep satu bangsa, satu identiti akan membawa sejuta pengertian buat kita dan
generasi akan datang.