UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRISTANJUNG MALIM, PERAK D.R
KPP 2063
REKABENTUK INSTRUKSIONAL DAN TEKNOLOGI
TAJUK
PELBAGAI MEDIA DALAM BILIK DARJAH
Disediakan oleh
ALI BIN SHAM D20062028600
ABDUL RAZAK BIN ADAM D20062028569
ARBAIN BIN HASHIM D20062028579
Pensyarah
PROF. MADYA DR. ABDUL LATIF HJ. GAPOR
Fakulti
0
SAINS KOGNITIF DAN PEMBANGUNAN MANUSIA
PELBAGAI MEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
PENGENALAN
Media ditakrif sebagai penyampai atau pembawa maklumat di antara sumber dengan
penerima seperti filem, video, foto, risalah, poster dan sebagainya (Heinich, Molenda
dan Rusell, 1993). Yusuf Hashim dalam bukunya Media Pengajaran dan Latihan
menekankan pengertian ini lebih tertumpu kepada agenda komunikasi kerana media
dianggarkan memudahkan proses komunikasi antara pengantar dan penerima. Oleh itu
media juga boleh disimpulkan sebagai peralatan dan bahan media yang dibina dan
dirancang untuk tujuan menyampaikan maklumat atau pengetahuan seperti suratkhabar,
radio dan televisyen.
Media dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai alat, bahan atau sumber (konkrit
atau abstrak) juga dapat digunakan dan dieksploitasi oleh seseorang pelajar secara
sistematik untuk tujuan-tujuan mendapatkan maklumat atau mesej-mesej untuk
pembelajaran. Perbezaannya hanyalah terletak pada kaedah dan tujuan
penggunaannya.
GURU PERLU BERUBAH ?
Berdasarkan hakikat di atas, guru adalah orang yang paling penting dalam urusan
penyampaian maklumat kepada pelajar manakala pelajar pula akan bersedia menerima
apa saja bentuk pelajaran yang diajar oleh guru. Tetapi pelajar akan menghayati usaha
guru yang mampu mempelbagaikan teknik pengajaran kerana menurut Mohd Yusuf
Othman dan Noor Razi Jusuh (2001), penggunaan alatan teknologi (media) boleh
1
meningkatkan kefahaman dan membolehkan pelajar mendapat maklumat yang tepat
tentang sesuatu perkara.
Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa media adalah peralatan, perkakas dan bahan
yang telah dikenalpasti, dipilih, dibina atau dipinda untuk menyokong atau
mengendalikan sendiri proses pengajaran dan pembelajaran.
Walau bagaimanapun perkembangan teknologi masakini menuntut perubahan yang
signifikan terutama dalam penggunaan teknologi dalam pendidikan. Tuntutan ini
merangkumi cara guru mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru
hari ini telah disarankan supaya bertindak ‘guide by the side’ (pembimbing di sisi) dan
bukan lagi sebagai ‘pendita di atas pentas’ kerana guru sebagai agen perubahan
masyarakat perlu bergerak secara kreatif dan inovatif. Fullan (1993) dalam bukunya
“Changes Forces’ menyatakan “..teachers are agents of educational change and
societal improvement…(and) ..each and every educator must strive to be an effective
agent’. Pernyataan ini dapat melabelkan guru sebagai pelaksana, pencetus, pendengar,
penasihat, penilai, pelakon dan penghibur malah boleh mencungkil bakat pelajar
mengikut bidang yang diminati oleh pelajar berkenaan.
Perubahan dalam era zaman turut menggesa perubahan sikap guru dan Toffler (1997)
mendefinisi era baru ini sebagai Third Wave selepas era pertanian dan perindustrian.
Kemunculan era maklumat ini menggambarkan manusia bergantung kepada
pemprosesan maklumat sebagai sumber dalam kehidupan. Rajah 1 menggambarkan
dunia telah berubah mengikut keperluan sejagat pada pandangan Toffler.
2
ERA PERTANIAN
Era di mana sumber ekonomi utama merupakan bahan pertanian
ERA PERINDUSTRIANZaman kedua di mana bahan-bahan mentah mula diproses kepada
bentuk produk industri sebagai sumber ekonomi
ERA TEKNOLOGI MAKLUMATEra masa kini yang menjadikan sumber maklumat sebagai bahan utama
dalam setiap aspek ekonomi kehidupan
ERA TEKNOLOGI BIOEra masa hadapan yang menggunakan kajian dan penemuan baru
sebagai aspek utama ekonomi
Rajah 1 : Toffler / Perubahan Era Dunia
Perubahan era dalam setiap zaman ini turut memberi impak terhadap sistem pendidikan
di Negara kita yang sering berubah. Dari menggunakan kapur, beralih kepada pelbagai
peralatan lain seperti slaid, risalah, akhbar, filem, video dan sebagainya kepada
komputer sebagai komponen atau media perantara bagi mewujudkan dan mengekalkan
komunikasi, kolaborasi dan juga akan memberi peluang kepada guru, pelajar serta
pentadbir berkongsi sumber idea.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran masakini sudah jauh berubah melangkaui
zaman terkini. Malah Mohd Nor Mamat (2000) menyatakan bahawa kehadiran era
maklumat atau gelombang dunia digital mula meresapi masyarakat umum sebagai suatu
pakej yang tidak mungkin dapat dipisahkan daripada kehidupan kita. Di dalam
3
artikelnya “Era Maklumat dari Perspektif Islam” memetik kata-kata Perdana Menteri
Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad dalam perutusan tahun baru 1997:
Kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Zaman maklumat akan
memaksa kita mengubah cara hidup dan bekerja. Lebih awal kita
sesuaikan diri, lebih cepat kita pelajari dan lebih baiklah masa
depan kita.
Pengajaran adalah strategi pra-rancang berasaskan pedagogi untuk menyampaikan
maklumat terpilih, tersusun dan berurutan dengan mengharapkan keberkesanan dari
aspek kemahiran, pengetahuan, pengajaran dan latihan. Strategi pengajaran
penggunaan teknologi terkini merupakan penggunaan pengetahuan dalam situasi
sebenar. Ertmer (1999) menyatakan teknologi menambah nilai kepada kurikulum, ia
tidak mempengaruhi perubahan kuantitatif (membuat dalam masa yang lebih pendek),
tetapi memudahcarakan perubahan kualitatif (mencapai gol yang lebih autentik dan
kompleks). Penggunaan CD-ROM juga boleh dikembangkan dengan rangka modul
sediakala; kita boleh gantikan menu dengan pelbagai isi yang disusun dalam mod yang
sesuai.
KAJIAN-KAJIAN BERKAITAN PENGGUNAAN MEDIA
Kebanyakkan penyelidikan yang telah dilaksanakan untuk mengkaji penggunaan media
mendapati teknologi yang digunakan (papan tulis elektronik) telah berjaya mengatasi
masalah yang berkait dengan pemisahan di antara pensyarah dengan pelajar (Idrus,
1993 ; Brande, 1993). Beberapa kajian juga telah melaporkan paras dan jenis interaksi
yang berlaku di antara pensyarah dan system media elektronik yang digunakan (Oliver
& McLouglin, 1997)
4
Kajian awal yang telah dijalankan oleh Nordin (1991) melaporkan bahawa system media
elektronik dengan komponen grafiknya mampu memandu pelajar kepada bahan
pembelajaran di samping mempertingkatkan penglibatan pelajar dan tahap kefahaman
mereka. Juga terdapat kajian yang lain menunjukkan penilaian yang positif terhadap
system media sebagai satu proses penyampaian bahan pembelajaran (Atan dan Idrus,
1999).
Selain dari itu kajian juga telah dijalankan terhadap kelebihan penggunaan video, TV ,
sumber web secara sistematik seperti oleh Maizurah Omar, Fattawi Mokhtar (2000),
Jamaludin Mohaidin (2000), Heinich et al (1996). Mereka berpendapat penggunaan
media yang berulang dan dilihat berkali-kali dapat mempertingkatkan daya ingatan dan
kemahiran pelajar. Video dikatakan dapat digunakan untuk tujuan pengayaan dan
pemulihan. Malah video yang direka bentuk secara khusus dan sistematik boleh
menyatukan semua peringkat perkembangan pengajaran dan pembelajaran ke dalam
persembahannya.
Penggunaan unsur gerak bunyi, warna dan cahaya pada video secara langsung dapat
menarik minat perhatian pelajar. Unsur ini penting dalam proses P & P kerana ia dapat
mempertingkatkan kefahaman dan menghindar salah anggapan dan pentafsiran.
Menurut Fontana(1988) televisyen dan video perlu dilihat sebagai media yang dinamik
yang dapat meransang tindakbalas luaran atau dalaman yang kadang-kadang
mempengaruhi psikologi seseorang. Sebagai media pengajaran yang menghampiri
konkrit (Dale, 1985) video yang diguanakan secara sistematik dapat meransang daya
imaginasi dan perbincangan. Ia dapat menjamin proses pengajaran dan pembelajaran
berjalan lancer di samping meningkatkan kefahaman dan menghindar salah tanggapan
dan pentafsiran
5
Manusia dikatakan makhluk yang ‘visually oriented’ dan mereka banyak belajar melalui
penglihatan (Pulley). Walaupun mereka mendengar dan membaca, apa yang didengar
dan dibaca biasanya akan divisualkan dalam pemikiran mereka untuk mendapatkan
konsep atau makna yang lebih jelas. Ini selaras dengan kata-kata yang pernah
dimadahkan oleh Kung Fu Tze, seorang pujangga dan ahli falsafah cina;
‘…kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat saya
tahu…’
Kajian ini juga telah menunjukkan betapa pentingnya peranan guru dalam memastikan
keberkesanan media dalam pengajaran. Misalnya jika guru menayangkan filem serta
mengaitkan dengan objektif-objektif pembelajaran, maka maklumat yang terima oleh
pelajar akan bertambah. Misalnya, Ausuble (1968) mengemukakan konsep maklumat
awal sebagai bantuan untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan.
Contoh maklumat awal ini ialah satu tinjauan, pengenalan kepada ringkasan penting
kepada isi pelajaran, satu pernyataan tentang prinsip-prinsip yang terkandung dalam
maklumat yang akan disampaikannya. Molstad (1974) berpendapat media jika
digunakan bersama pengajaran ala tradisional akan meningkatkan proses pengajaran.
Menurut Heinich (1981) pengajaran akan menjadi lebih berkesan jika penggunaan
media dirancang secara sistematik.
KAJIAN PERANAN MEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Media yang berpengaruh dalam dunia pendidikan ini telah dibukti keberkesanannya
menerusi kajian-kajian yang dibincangkan sejak dahulu lagi. Comenius (1952), Jean
6
Jacques Roussesu dan Johanna Heinich Pestalozzi mendapati penggunaan media
dalam pengajaran amat penting (Jamaluddin 1982). Media juga diikhtiraf sebagai satu
komponen teknologi pengajaran yang penting dalam menyokong proses pengajaran dan
pembelajaran. Dalam pengajaran tradisional, media tetap penting walaupun guru
sebagai penggerak utama atau medium utama dalam penyampaian maklumat
Heinich turut mendakwa pengajaran tidak dapat dipindahkan / disampaikan secara tepat
dan jelas. Apa yang sebenarnya berlaku ialah pemindahan symbol (oleh guru) kepada
makna tersebut. Di sinilah penggunaan media seperti kesepaduan di antara lisan dan
symbol grafik memainkan peranan yang penting untuk menajamkan lagi pemahaman
kepada isi / makna sebenar dalam pengajaran tersebut.
Penggunaan media melalui perancangan yang sistematik dapat membantu guru-guru
menyampaikan pengajaran dengan mudah dan berkesan setelah objektif pengajaran
dan perancangan pembelajaran dikenalpasti. Penggunaan media juga banyak
menyentuh tentang penggunaan teknologi dalam pendidikan seperti ‘overhead
projektor’. Komputer dan menggabungkan aktiviti berpusatkan guru. Di samping itu
pelajar dikehendaki melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan
pembelajaran setelah guru dan media bersama-sama bertanggungjawab menghasilkan
pembelajaran.
Penggunaan visual-visual konkrit seperti televisyen berkeupayaan menarik minat pelajar
kerana ia dapat menggambarkan dunia sebenar dan boleh memberi pengalaman konkrit
bagi memudahkan proses pembelajaran. Penggunaan visual juga telah lama diketahui
berkeupayaan meransang pembelajaran dan pemprosesan maklumat (Dwyer,1978:
Maizurah, 2000).
7
Di dalam media biasanya mengandungi visual samada visual bergerak ataupun
sebaliknya dan digabungkan pula dengan kecanggihan audio visual dan warna.
Berdasarkan kajian Maizurah terhadap penggunaan rancangan TVP dalam pengajaran
dan pembelajaran ,visual dalam media bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dapat
menjelaskan bahawa media berperanan sebagai;
i. Sebagai alat penerangan
ii. Sebagai alat pendorong
iii. Sebagai pemberitahuan
iv. Untuk memudahkan dan mengeneralisasikan idea-idea, maklumat dan
proses yang kompleks
v. Untuk mengenalpasti dan membezakan benda / sepsis
vi. Untuk memperkayakan pembacaan
vii. Untuk membekalkan pengalaman konkrit
viii. Untuk mempertingkatkan ketahanan ingatan
ix. Sebagai penarik perhatian
x. Sebagai bahan demontrasi / pengajaran
xi. Untuk menimbulkan respon emosi
xii. Untuk menjimatkan masa
xiii. Untuk menghiburkan
xiv. Untuk menterjemahkan symbol perkataan
xv. Untuk memberi pengalaman yang tidak boleh dirasa melalui cara lain.
PEMILIHAN MEDIA
Pemilihan media merupakan komponen yang utama. Menurut Mohamad Hasan (2000)
pemilihan media perlu berlandaskan ciri-ciri berikut;
8
i. Kesesuaian –tajuk, dialog, konsep mata pelajaran dan lain-lain
ii. Kewibawaan /kredibiliti dan kemaskini- fakta yang tepat
iii. Aspek-aspek teknikal – ciri bahan media seperti jelas, tepat dan lain-lain
iv. Berkaitan – dengan mata pelajaran dan objektif pembelajaran
v. Ciri-ciri fizikal - bahan media tersebut.
Pemilihan media tidak boleh diambil ringan oleh guru kerana ia merupakan komponen
utama dalam kebanyakkan model dalam sistem pengajaran yang komprehensif
(Branson, 1975). Terdapat banyak model-model yang dihasilkan sebagai panduan
pemilihan penggunaan media seperti model Dick dan Reiser (1989), Model ASSSURE,
Model Kon Pengalaman Dale, Model Reiser dan Gagne dan sebagainya,
Setiap alat atau bahan yang ada perlu melalui proses pemilihan supaya bahan yang
disediakan berguna (Ab.Rahim Selamat, 1985). Menurut Syarifah Alawiah dalam
bukunya Teknologi Penjagaran (1984) media berfungsi untuk menjadikan pengajaran
lebih tersusun, memperkayakan pengalaman, memberi maklumat dan pembelajaran
akan menjadi lebih seronok.
Bijak memilih media seperti yang dinyatakan dalam ASSURE memerlukan perancangan
dalam pembelajaran. Guru boleh memilih sama ada mengubahsuai, menggunakan
bahan media sedia ada atau membentuk bahan sendiri. Klassek (1972) mencadangkan
langkah-langkah yang perlu diambil oleh guru dalam penggunaan media. Setiap guru
harus menentukan isi pelajaran terlebih dahulu sebelum menentukan media dan bahan
yang hendak digunakan.
9
KITARAN MEDIA
Sumber ;Klassek C.B (1972) Instructional Media In The Modern School. Nebraska :Profersional Educational
Publication.
Walaubagaimanapun, masalah pemilihan media pengajaran menjadi satu isu yang
sering dibicarakan dalam seminar, bengkel dan perbincangan. Isu ini menjadi masalah
utama yang dihadapi oleh penyelaras sumber dan pelaksana pengajaran terutamanya
bagaimana pemilihan bahan serta cara-cara bahan diintegrasikan dan diaplikasi dalam
pengajaran dan pembelajaran. Seminar Teknologi Pendidikan yang dianjurkan oleh
JPN Kedah dan Institut Aminuddin Baki (1990) telah merumuskan bahawa kelemahan
dalam pemilihan dan penilaian media adalah berpunca dari peruntukan dan peralatan
yang tidak mencukupi , koleksi media yang tidak sesuai dengan P & P, bahan pusat
sumber yang tidak berasaskan kepada keperluan dan jumlah pengguna, guru tidak
mempunyai pengetahuan menilai dan mengaplikasi bahan serta kemudahan dan
keadaan pusat sumber yang tidak sesuai dengan keperluan pengguna.
10
PEMBELAJARAN(perubahan sikap)
Pendekatan sistem kepada pengajaran
Pemilihan media dan
bahan
Panduan media dan bahan
sumber
pemilihan
penilaaian
kemudahan
Oleh itu, masalah perlu di atasi dengan mengadakan perbincangan, penyaluran dan
memperkenalkan model-model rekabentuk penggunaan media dalam pendidikan di
samping melatih guru dan mengadakan kerjasama antara semua pihak terbabit.
KAJIAN KEBERKESANAN PENGGUNAAN MEDIA DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN
Pakar psikologi Jerome Bruner (1966) pernah menyatakan penggunaan media memberi
satu pengalaman yang konkrit dan dapat membantu pelajar menyatukan pengalaman
sediada mereka kerana penggunaan media juga memberi kesan langsung dalam
mencapai kemahiran.
Menurut Maizurah (2000) penggunaan media bergantung kepada fungsi, tujuan dan
maksud . Kajian penyelidikan beliau turut mengakui rasangan kepada perubahan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada rasangan deria rasa (1%),
sentuhan (1.5%), hidu (3.5%), dengar (11%) dan lihat (83%). Penyelidikan P.J Philip
(1950) dan James S.Kinder (1973) juga mendapati pelajar akan memperolehi;
10% apa yang mereka BACA
20% apa yang mereka DENGAR
30% apa yang mereka LIHAT
70% apa yang mereka SEBUT
90% apa yang mereka SEBUT semasa mereka MEMBUAT sesuatu.
11
Galfo (1975) turut mempersetujui hasil penyelidikan ini dengan menyatakan kombinasi
pancaindera pendengaran dan penglihatan berupaya menghasilkan kadar ingatan yang
tinggi. Dalam konteks yang sama, Heinich (1993) menyatakan manusia belajar 10%
melalui pembacaan. Manusia memahami dan mengingati sebanyak 20% melalui deria
pendengaran dan 80% melalui pendengaran dan penglihatan. Dapat dirumuskan
bahawa untuk menghasilkan kesan yang maksimum, proses pembelajaran mensti
menggabungkan kesemua pancaindera.
Yusuf Hashim (1996), sumbangan media dalam pendidikan merangkumi beberapa
aspek seperti;
i. Menjadikan pendidikan lebih produktif dengan membekalkan pengalaman
baru yang tidak dapat disediakan oleh guru. Media juga akan meningkatkan
kadar pembelajaran pelajar, menjimatkan masa dalam penyediaan dan
pembelajaran.
ii. Menjadikan pembelajaran lebih serta merta dan pantas iaitu membawa
pengalaman baru dari serata tempat ke bilik darjah seperti kejadian gempa
bumi di Taiwan, keruntuhan world trade centre di New York dan sebagainya.
iii. Menjadikan pendidikan lebih saintifik
Walau bagbaimanapun media yang baik bukan hanya berfungsi sebagai alat Bantu
mengajar semata-mata tetapi yang dapat diintegrasikan ke dalam system yang ada
(kurikulum) kerana media merupakan alat untuk penyaluran maklumat atau mesej.
12
KAJIAN PERMASALAHAN PENGGUNAAN MEDIA DALAM P &P
Pembudayaaan merupakan permasalahan yang utama. Pembudayaan memerlukan
proses penghayatan yang mendalam melalui pemikiran, sikap dan nilai yang perlu
diamalakan oleh seluruh warga sekolah berkenaan. Mungkin ia tidak dapat
dilaksanakan sekiranya sumber manusia atau guru tidak memainkan peranannya.
Fullan (1993) menyatakan perkembangan sesebuah organisasi perlu seangkatan
dengan kesedaran guru terhadap perubahan masa kini dan sentiasa memberi komitmen
terhadap profersion.
Sikap dan keengganan menerima teknologi dalan perubahan dalam pendidikan juga
merupakan kekangan terhadap kekerapan penggunaan alat Bantu mengajar / media di
dalam kelas. Ini berikutan kemahiran yang lemah untuk mengendalilkan peralatan
media serta kurang dorongan dari pihak sekolah menggunakan peralatan berkenaan di
dalam kelas (Shaffee , 1990:199-120). Perubahan dalam budaya kerja perlu bagi
mewujudkan budaya saing dan mampu menghadapi pasaran kerja yang semakin
mencabar ( Wan Zah, Haslinda, 2000).
Kekeliruan terhadap konsep media sebagai teknologi dalam pendidikan menimbulkan
banyak masalah. Teknofobia atau takut terhadap media terutamanya media elektronik
juga turut berlaku di kalangan guru dan pensyarah berikutan tiada diberi penerangan
dan latihan yang cukup di peringkat latihan asas (T.Subahan dan Abd.Mutalib, 1984).
Brumby (1989) menyatakan antara penghalang utama dalam kemajuan penggunaan
teknologi ialah kekurangan kemahiran, kebolehan dan pengalaman. Akinyemi (1986)
mengenalpasti tiga faktor utama teknofobia di dalam kajiannya iaitu ketakutan kepada
13
media teknologi, ketakutan kepada peralatan elektrik atau mesin, dan ketakutan
terhadap tanggapan peranan guru akan diambilalih oleh media.
KESIMPULAN
Jika ditinjau sejarah penggunaan media dalam proses pengajaran dan pembelajaran
telah wujud bermula dengan penggunaan papan Bantu sebagai alat untuk menulis dan
melukis, yang kemudiannya berkembang kepada penggunaan buku tulis dan buku
bacaan. Kaedah chalk dan talk juga tidak mencukupi, sehingga alat pandang dengar
diperkenalkan. Dari sinilah kita diperkenalkan foto, akhbar, slaid, filem, video, tv, radio
dan sebagainya bagi tujuan pengajaran
Perancangan kurikulum abad ke 21 seharusnya bersifat futuristic, fleksibel dan dinamik
supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara
Malaysia. Sehubungan dengan itu integrasi media ke dalam kurikulum merupakan
proses penggabungan atau penyatupaduan pelbagai media dalam proses pengajaran
dan pembelajaran sama ada di jalankan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah
bagi mencapai matlamat yang terkandung dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Oleh itu jelaslah media sebagai media dalam pengajaran merupakan elemen penting
supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik serta mampu
mempelbagaikan kaedah dalam pengajaran
14
BIBLIOGRAFI
Yusuf Hashim, Media Pengajaran Untuk Pendidikan dan Latihan, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhad
Kuala Lumpur, 1996
Heinich, R.Molenda m dan Rusell, J.D, Instructional Media and The New Technologies of
Instruction, Macmillan, New York 1993.
Dale, Edger, Audio-Visual Methods. NY : The Drydeen Press 1957
DOKUMEN, JOURNAL, KERTAS KERJA, LAPORAN, MAJALAH DAN TESIS
Balakrisnan M, ‘Penerimaan dan aplikasi teknologi pendidikan di peringkat sekolah
rendah’. Tesis Sarjana Pendidikan , USM.
Naim Hj.Ahmad (1993), ‘Teknologi Pendidikan Satu Ikatan Longgar’ dalam Forum 2, Persatuan
Teknologi Pendidikan Malaysia.
Maizurah Omar, Fattawi Mokhtar (2000), ‘ Penggunaan Rancangan TVP Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran’
Fadzilah Ariffin, ‘Penggunaan Teknologi Dalam Menambahkan Nilai Bahan Sumber’ dalam
Seminar Kebangsaan 2000
Muhamad Hasan Abd Rahman, Media Pengajaran – Penghasilan Bahan Pengajaran Berkesan,
Kuala Lumpur, UPM 2000
Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia, Potensi dan Cabaran Dalam Pembelajaran Maya dan
Elektronik, Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-13,2000.
15
Gagne, R.M Briggs, L.J &Wager, W.W (1992). Principles of Instructional design (4th Ed.) New
York: Holt,
Rinehart and Wintston
16
KAJIAN-KAJIAN BERKAITAN DENGAN KEBERKESANAN PENGGUNAAN MEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengenalan
Guru Perlu Berubah
Kajian-Kajian Berkaitan Penggunaan Media
Kajian Peranan Media Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Pemilihan Media
Kajian Keberkesanan Penggunaan Media dalam Pengajaran dan Pendidikan
Kajian Permasalahan Penggunaan Media dalam Pengajaran dan Pendidikan
Kesimpulan
Bibliografi
17
ISI KANDUNGAN