Download pdf - UNDANG-UNDANG PENAMA

Transcript

15

1.0. PENGENALANAmalan penamaan atau melantik penama ke atas sesuatu harta yang disimpan dan dilaburkan di institusi-institusi kewangan adalah diterima pakai dan sah diamalkan di Malaysia berdasarkan pada undang-undang meliputi penamaan ke atas harta sama ada bagi orang-orang Islam dan bukan Islam. Penama yang telah dilantik ini akan menerima faedah dari harta atau pun memiliki harta tersebut selepas berlakunya kematian pihak penyimpan. Penamaan atau melantik penama biasanya berlaku di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Bank Simpanan Nasional dan lain-lain termasuk wang insuran nyawa. Tujuan sebenar penamaan ialah bagi memudahkan penama mengeluarkan duit atau harta tersebut untuk dimanfaatkan oleh waris-waris simati dengan segera tanpa perlu mendapat perintah dari pihak-pihak yang menguruskan harta pusaka. Namun, ramai di kalangan masyarakat Islam masa kini yang salah faham mengenai hal ini. Ada yang beranggapan meletakkan penama pada satu-satu harta mereka adalah wasiat. Apabila matinya seseorang penyimpan maka wang itu dibayar kepada penama yang kebanyakannya adalah mereka yang berhak menerima pusaka dan akan menjadi hak mutlak penama dan kedudukan ini jelas menyalahi hukum faraid dan wasiat dalam Islam.Kesilapan yang sering berlaku berlaku ialah apabila pemilik meletakkan ramai penama kerana kurang faham maksud penama atau memahami bahawa penama adalah pemilik. Maka mereka menganggap meletak penama ialah memberi harta tersebut kepada mereka dengan peratus-peratus tertentu, bahkan ada dikalangan penama yang bukan daripada kalangan ahli waris. Akibatnya, apabila pemilik meninggal, harta tersebut perlu dikeluarkan oleh penama mengikut peratus yang ditentukan, sedangkan harta tersebut adalah pusaka yang tertakluk kepada hukum Faraid yang merupakan hak ahli waris sahaja. Ada juga dikalangan pencarum yang meletakkan anak-anak di bawah umur sebagai penama. Jika sekiranya pencarum meninggal, anak bawah tidak dapat mengeluarkan harta tersebut sehinggalah mereka mencapai umur 18 tahun. Sedangkan ketika meninggal, pencarum meninggalkan waris-waris yang lain yang berhak. Sementara menunggu umur 18 tahun, mungkin ada di kalangan waris-waris yang meninggal.

2.0. PENAMAPenamaan ialah proses di mana seseorang yang telah mengambil polisi insuran atau menyimpan wang di badan koperasi atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Lembaga Tabung Haji menamakan seseorang yang lain untuk mendapat manfaat daripadanya setelah kematiannya.Menurut Seksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993, penama bermaksud pemegang amanah iaitu orang yang bertanggungjawab untuk mengeluar seterusnya menguruskan harta tersebut dengan membahagi-bahagikannya kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum hakam Faraid. Penama bukannya pemilik kepada harta tersebut sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Oleh itu yang terbaik ialah meletakkan hanya seorang penama sahaja dan menerangkan kepada penama tersebut akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya apabila pemilik harta meninggal dunia.Jika penama sendiri enggan mengeluarkan harta tersebut dan meminta Pegawai Penyelesai Pusaka atau Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya mengeluarkannya dan membahagikannya mengikut faraid maka penama sendiri hendaklah menulis surat kepada pihak-pihak yang telah dinyatakan tadi untuk menguruskannya dan melalui surat tersebut pihak-pihak tersebut akan membahagikannya mengikut faraid.2.1.Penamaan Dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)Ahli KWSP digalakkan membuat penamaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP ahli kepada orang yang dinamakan itu apabila berlakunya kematian. Rasionalnya, sekiranya ahli tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP, waris ahli akan menghadapi kesukaran untuk menuntut simpanan ahli daripada KWSP.Ahli KWSP boleh menamakan mana-mana orang sebenar sebagai penama atau pentadbir. Mana-mana orang sebenar adalah merujuk kepada individu dan bukannya organisasi, pertubuhan, persatuan, badan kebajikan dan sebagainya. Bagi ahli yang beragama Islam, orang yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan mengikut Hukum Faraid kepada waris-waris ahli yang berhak. Manakala bagi ahli bukan beragama Islam, penama adalah merupakan penerima mutlak (beneficiari) kepada simpanan ahli yang meninggal dunia. Jika penama meninggal dunia sebelum kematian ahli, pemohon yang layak adalah waris terdekat ahli yang meninggal dunia. Tetapi, sekiranya penama meninggal dunia selepas kematian ahli KWSP, maka pemohon yang layak adalah waris terdekat penama kerana penama adalah pemilik mutlak simpanan KWSP ahli yang meninggal dunia.Penamaan yang dibuat akan terbatal sekiranya:i. Semua orang yang dinamakan meninggal dunia semasa ahli masih hidupii. Ahli mengemukakan Notis Pembatalan Penamaaniii. Ahli membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4)2.2.Penamaan Dalam Lembaga Tabung HajiPendeposit di Lembaga Tabung Haji boleh membuat penamaan dengan hanya terhad kepada dua orang pemegang amanah sahaja. Penama mestilah dari kalangan ahli waris yang berhak menurut hukum Faraid.Sekiranya pendeposit meninggal dunia, pembayaran akan dibayar kepada penama pertama. Jika penama pertama pertama meninggal dunia, bayaran akan diberikan kepada penama kedua.2.3.Penamaan Dalam Badan KoperasiSetelah kematian ahli, pihak Koperasi akan memindahkan saham atau faedah ahli. Sekiranya si mati (ahli) adalah beragama Islam, maka saham atau faedahnya akan diberikan kepada wakil atau waris untuk difaraidkan. Sekiranya dalam masa enam bulan, tiada sebarang tuntutan dibuat atau ketiadaan waris, saham atau faedah si mati akan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad.2.4.Penamaan Polisi InsuranMenurut Akta Insuran 1996 (Akta 553) subseksyen 166 (1), seseorang penama hendaklah menerima wang polisi yang harus dibayar atas kematian pemunya polisi itu sebagai wasi dan bukan semata-mata sebagai benefisiari dan apa-apa pembayaran kepada penama itu hendaklah menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemunya polisi yang mati dan tertakluk kepada hutangnya dan penanggung insurans berlesen itu adalah dilepaskan daripada liabiliti berkenaan dengan wang polisi yang dibayar.Subseksyen (1) ini terpakai bagi seseorang penama pemunya polisi yang beragama Islam yang, apabila wang polisi itu diterima, hendaklah membahagikan wang polisi itu mengikut undang-undang Islam.3.0. KRITERIA PENAMAJika diteliti dari sudut undang-undang Islam berhubung dengan harta yang diamanahkan oleh Allah SWT, seseorang muslim itu hendaklah menjaga dan menguruskan amanah tersebut dengan baik kerana matlamat pengurusan harta itu sendiri adalah untuk memelihara kesejahteraan dan menghindarkan kemudaratan (Abi Muhammad Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad Ibn Qudamah, t.th: 345). Justeru itu, secara umumnya, individu yang layak menguruskan harta atau mempunyai keahlian yang sempurna menurut syarak ialah individu yang sempurna akalnya, sejahtera jiwanya, tidak membazirkan harta, mampu menguruskan harta dengan baik dan tubuh badannya adalah sihat yang mana kesihatannya tidak mengganggu keupayaannya menguruskan harta (Wahbah al-Zuhayliyy, 1985: 122).Kriteria-kriteria atau syarat-syarat yang diperuntukkan ke atas seseorang yang dipilih untuk dilantik sebagai wasi menurut Shafiiyyah adalah mukallaf, berakal, adil dari segi zahirnya iaitu diterima penyaksiannya dan adil dari segi batinnya iaitu diakui oleh qadi akan keadilannya melalui pengakuan muzakki, kufu iaitu layak untuk menguruskan perkara yang diwasiatkan, merdeka, muslim, bukan musuh kepada pihak yang diwasiatkan dan hendaklah bukan seorang yang tidak diketahui keadaannya (Abd al-Rahman al-Jaziriyy, 1991: 352).Menurut Hanafiyyah, seseorang wasi yang dipilih itu mestilah baligh, muslim, adil, amanah, berkeupayaan melaksanakan perkaran yang diwasiatkan. Manakala kriteria menurut Hanabilah, penama hendaklah seorang yang muslim, mukallaf, rasyid dan adil. Bagi Malikiyyah, syarat-syarat yang diperlukan penama tersebut adalah seorang mukallaf, Islam, adil (bersifat amanah dan memelihara harta kanak-kanak dengan pengurusan yang baik) dan berkuasa melaksanakan wasiat yang diberikan kepadanya (Abd al-Rahman al-Jaziriyy, 1991: 350-352).Berdasarkan kepada huraian di atas, maka individu-individu yang dilantik hendaklah memenuhi syarat-syarat sebagai wasi atau pemegang amanah dalam menguruskan atau mengendalikan sesuatu harta itu. Sejajar dengan itu, mereka yang terdiri dari kalangan kanak-kanak, orang gila, matuh, muflis, safih, murtad dan hamba adalah tidak kompeten dari sudut syarak untuk diberi dan seterusnya memikul tanggungjawab atau amanah sebagai wasi bagi menguruskan atau mengendalikan harta pihak yang mewasiatkan.4.0. FATWA BERKAITAN PENAMAPersoalan mengenai harta penama dan penamaan telah menjadi pertikaian di kalangan orang-orang Islam di Malaysia. Keputusan mahkamah dalam kes-kes yang pernah diputuskan menunjukkan wujudnya percanggahan keputusan mahkamah tersebut yang timbul akibat perbezaan pentafsiran undang-undang terhadap harta tersebut dengan konsepnya yang sebenar menurut hukum syarak.Menyedari hakikat tersebut, pihak berkuasa telah mengambil keputusan bahawa amalan penamaan dan undang-undang penamaan yang bercanggah dengan hukum dan undang-undang wasiat Islam hendaklah dipinda supaya penamaan perlulah dikecualikan ke atas orang Islam. Beberapa fatwa telah dikeluarkan di peringkat kebangsaan dan negeri bagi mengatasi masalah hukum serta cara pembahagian harta penama tersebut.4.1.Fatwa Majlis KebangsaanJawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah mengeluarkan fatwa yang telah diperkenan oleh Majlis Raja-raja.i. Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke 96 yang diadakan pada 20 Sept. 1973 dan telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja bahawa:

Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Bank, Insuran dan Syarikat Kerjasama sebagai orang-orang yang malaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

ii. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-15 yang bersidang pada 6 Mac 1978 telah membincangkan Nominee (Penama). Persidangan telah memutuskan bahawa:a) Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak.

b) Bahawa orang-orang Islam tidak boleh melantik penama (Nominee) oleh kerana penama mengikut definasi undang-undang awam (sivil) adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah.

c) Oleh itu udang-undang awam (sivil) yang berkenaan hendaklah dipinda supaya sebarang penamaan (Nomination) oleh seseorang Islam menjadi tidak sah. Ini bermakna peruntukan mengenai Nomination atau perlantikan nominee tidak tertakluk kepada orang-orang yang beragama Islam sama ada sesuatu Nomination itu dibuat sebelum atau selepas fatwa ini dipersetujui oleh Raja-raja Melayu.

iii. Mesyuarat Majlis Raja-raja (negeri-negeri yang mengambil bahagian sahaja) yang ke 117 pada 21 Februari 1980, Jawatankuasa Fatwa telah mengemukakan pendapat dan dipersetujui oleh Majlis tentang perkara penama (nominee) iaitu:

a) Majlis (negeri-negeri yang mengambil bahagian) mengambil ingatanbahawa orang-orang yang beragama Islam tidak boleh melantik penama (nominee).

b) Majlis (negeri-negeri yang mengambil bahagian sahaja) bersetuju Yang Berhormat Peguam menggubal undang-undang supaya orang-orang yang beragama Islam tidak dibenar melantik penama (nominee).

iv. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 Sep 2000 telah membincangkan Wang Simpanan KWSP, SOCSO Dan Seumpamanya Bagi Ahli Beragama Islam Yang Meninggal Dunia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

a) Wang KWSP dan wang disimpan adalahpusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.

b) Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid.

c) Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

4.2.Fatwa Peringkat Negerii. Negeri SembilanFatwa yang dikeluarkan membezakan antara wang hasil caruman dalam insuran dengan wang insuran yang berpunca daripada apa-apa pemberian (faedah) yang diperolehi daripadanya. Wang premium yang dibayar oleh pencarum dianggap sebagai harta pusaka manakala wang pemberian yang diperolehi daripada insuran sebagai harta wasiat. Fatwa tersebut berbunyi:a) Atas perkara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), sidang mesyuarat adalah mengambil keputusan bahawa perjanjian yang dibuat oleh seorang pekerja melantik penamanya mengikut peraturan majikannya itu tidaklah dihukumkan wasiat disisi syara bahkan ianya itu adalah pusaka si mati yang mana waris-warisnya berhak mendapat bahagian-bahagianb) Atas perkara insuran nyawa pula, sidang mesyuarat adalah mengambil keputusan bahawa bahagian yang dibayarnya itu adalah menjadi pusaka si mati bukan wasiat dan apa-apa pemberian yang diperolehi daripada insuran nyawa itu menjadi wasiat kepada penamanyaii. Negeri PerakFatwa ini berbeza dengan negeri-negeri lain kerana ia membezakan antara pemberian atau faedah yang diperolehi daripada majikan secara keseluruhannya dengan perjanjian penamaan dengan KWSP. Wang faedah KWSP yang merupakan pemberian majikan kepada pekerja dianggap sebagai sebahagian daripada harta si mati manakala perjanjian dengan KWSP adalah harta wasiat. Fatwa tersebut menyatakan:a) Perjanjian yang dibuat mengenai KWSP itu dihukumkan sebagai wasiat dan berlakulah padanya hukum-hukum wasiatb) Hukum wang yuran dan pemberian majikan itu adalah kepunyaan pekerja itu begitu juga wang faedah daripada KWSP itu dengan sifatnya sebagai pemberian adalah menjadi hak kepunyaannya juga.

iii. Negeri SelangorFatwa yang dikeluarkan menyatakan:Wang di dalam Tabung Simpanan Pekerja adalah sebahagian daripada harta pusaka dan penama yang dinyatakan di dalam daftar simpanan itu adalah sebagai pemegang amanah (wasi) dengan itu maka wang itu hendaklah dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid termasuklah penama itu jika ia waris yang berhak. Jika tidak maka ia tidaklah berhak di dalam tabung itu.iv. Negeri PahangFatwa yang dikeluarkan adalah:Menurut peraturan yang berjalan di Malaysia tiap-tiap pekerja yang dikenakan menyimpan kadar tertentu dari gajinya setelah mengisi borang dan menamakan penama padanya walau siapa pun. Oleh kerana syarat-syarat ini berlawan dengan hukum syara maka mejlis mufti-mufti telah membuat keputusan bahawa penama itu tidak berhak memiliki wang itu hanyalah sebagai wasi diamanahkan kepadanya sahaja dan hendaklah menyerahkan kepada Kadi serta difaraidkan kepada waris-waris si mati.5.0. KES-KES BERKAITAN PENAMAi. Re Ismail bin RentahIsmail (si mati) adalah Ahli Syarikat Kerjasama Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Beliau mencarumkan sebahagian pendapatannya ke dalam syarikat kerjasama tersebut dan menamakan anak perempuannya (Maznah) sebagai orang yang berhak terhadap hartanya (wang yang dicarum dan keuntungan) dalam syarikat tersebut sekiranya beliau meninggal dunia. Penamaan dibuat bagi memenuhi kehendak seksyen 22, Co-Operative Society Enactment, no. 7/1922 Negeri-negeri Melayu Bersekutu.Si mati telah meninggal dunia pada 15 Julai 1937 dan telah meninggalkan waris-waris yang berikut:1) Ibu (Liah binti Lerong)2) Isteri (Zainab binti Mohamed Amin)3) Saudara Lelaki Seibu Sebapa (Suda bin Rentah)4) Saudara Perempuan Seibu Sebapa (Jaharah binti Rentah)5) Anak Perempuan (Maznah binti Ismail)6) Anak Perempuan (Zainon binti Ismail)Apabila Ismail meninggal dunia, Penolong Pendaftar Pertubuhan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan telah membahagikan wang caruman si mati yang berjumlah RM217.58 kepada semua waris si mati mengikut faraid, tidak kepada seorang anak perempuan yang dinamakan itu sahaja. Penolong Pendaftar berpendapat harta tersebut tidak boleh dianggap sebagai harta pemberian.Anak perempuan si mati (Penama) tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Penolong Pendaftar tersebut dan membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi. Kes ini didengar di hadapan Hakim Raja Musa. Hakim menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Penolong Pendaftar tersebut. Penolakan ini dibuat dengan alasan bahawa harta tersebut tidak boleh dianggap sebagai harta pemberian hidup (hibah) kerana tidak ada pindah milik dalam surat penama tersebut. Beliau dalam penghakimannya juga turut merujuk kepada Undang-undang di Englang (15 Halsbury 353) yang beranggapan bahawa penama berhak mendapat hart aitu untuk faedah dirinya sahaja. Prinsip undang-undang Inggeris tidak boleh digunapakai dalam masalah pusaka orang-orang Islam kerana perkara ini bersangkutan dengan hal ehwal diri dan ia tertakluk kepada undang-undang Islam. Maka atas alasan tersebut rayuan ini ditolakii. Re Man bin MinhatMan bin Minhat (si mati) telah mengambil insuran nyawa untuk dirinya yang bernilai RM40,000.00 dengan menamakan isterinya sebagai orang yang berhak terhadap insuran tersebut sekiranya beliau meninggal dunia. Selepas kematian si mati, berlaku pertikaian di mana isu yang dibangkitkan ialah sama ada wang yang dibayar di bawah polisi itu menjadi hak milik mutlak isteri si mati atau merupakan sebahagian dari harta peninggalan si mati. Hakim Suffian telah memutuskan bekas isteri si mati berhak ke atas semua harta pemberian tersebut. Keputusan dibuat dengan merujuk kepada seksyen 23 Undang-undang Sivil 1956 (Semakan) 1972. Berpandukan seksyen-seksyen itu adalah sah seseorang memberi sebahagian pemilikannya baik secara langsung, iaitu secara hibah dan juga melalui pemegang amanah.Hakim berpendapat harta penama adalah sebagai harta pemberian hidup si mati kepada mereka yang dinamakan. Hakim menjelaskan: Undang-undang Islam menentukan dengan jelas bahagian tiap-tiap ahli waris dan tidak boleh apa-apa perubahan itu dibuat dengan wasiat, oleh kerana pemberian kepada ahli waris memerlukan persetujuan ahli waris yang lain dan pemberian kepada orang bukan ahli waris tidak boleh lebih dari satu pertiga, tetapi selain dari itu tidak ada apa-apa halangan. Oleh kerana itu adalah sah seorang Islam mengubah bahagian ahli-ahli warisnya yang ditetapkan itu dengan memberi sebahagian atau semua hartanya dalam masa hidupnya kepada isterinya yang dikasihi, sama ada secara langsung secara hibah masa hayatnya atau melalui pemegang bahagian ahli-ahli warisnya dengan cara dianya sendiri membuat pemberian melalui pemegang amanah kepada isteri yang dikasihi, dalam pendapat saya sama juga tidak ada halangan pada prinsipnya mengenai sahnya pemberian yang sarna dibuat bukan dia sendiri tetapi oleh statut

Beliau juga berkata:Pada pendapat saya amanah perundangan yang diwujudkan bagi isteri itu dalam kes ini terus tetap sebagai amanah selepas kematian suaminya. Selama mana-mana tujuan amanah itu belum diselenggarakan, amanah itu tidak boleh diatasi dan boleh, (jika perlu) dikuatkuasakan oleh balu itu. Kepentingan manfaat daripada polisi itu adalah kepunyaan isteri dari tarikh polisi itu diadakan dan tidak ada kepentingan bermanfaat yang timbul atau wujud daripada kematian suami itu.Hakim berpendapat pemberian hidup (hibah) boleh dibuat sama ada diberi secara langsung ketika seseorang itu masih hidup atau pemberian secara pemegangan amanah kepada ahli waris. Ini memberi erti, apabila pemberi itu meninggal dunia, maka dengan sendirinya harta itu menjadi hak milik pemegang amanah tersebut. Juga Hakim berpendapat sah pemberian yang dibuat oleh statut atau undang-undang.iii. Re Bahadun bin Haji HassanSi mati membeli insuran untuk dirinya. Beliau mempunyai seorang isteri, dua anak perempuan, dua anak lelaki dan seorang ibu. Si mati menamakan isteri sebagai orang yang berhak terhadap keseluruhan wang insuran tersebut. Hakim Abdul Hamid memutuskan isteri berhak mendapat kesemua ansuran suami beliau yang menamakan beliau sebagai penama. Sejumlah wang yang dibayar di bawah polisi insuran itu hendaklah diberikan kepada balu tersebut untuk kebaikannyadan wang itu bukanlah sebahagian dari aset-aset harta si mati.Keputusan berasaskan kes duluan Re Man bin Minhat. Beliau dalam penghakimannya menyatakan:

Atas duluan Re Man bin Minhat saya berpendapat bahawa tidak ada apa-apa dalam undang-undang Islam yang menghalang seseorang membuat pemberian dalam masa hidupnya supaya orang yang dinamakan itu mendapat faedah wang insuran itu apabila orang (yang mengambilinsuran itu) mati. Di sini terdapat pemberian yang lengkap sungguhpun pemberian itu tertakluk kepada orang yang mengambil insuran mati dan orang yang dinamakan itu masih hidup pada masa polisi itu tamat tempohnya.

iv. Wan Naimah lawan Wan Mohamad NawawiMahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan si mati (bapa) telah mengadakan amanah bertujuan untuk mengadakan amanah ke atas separuh dari bahagian tanah yang tidak dipisahkan untuk anak lelakinya yang masih lagi kecil pada ketika itu. Manakala separuh lagi bahagian tanah tersebut telah dipegang oleh anak perempuan si mati yang juga merupakan pemilik berdaftar ke atas tanah tersebut. Hakim dalam kes tersebut berpendapat bahawa pernyataan pemberian sebagai amanah boleh dibuat secara tidak rasmi, dengan syarat perkataan yang digunakan adalah jelas dan tidak menimbulkan pertikaian. Oleh itu, hakim dengan menggunakan teori amanah telah memutuskan bahawa pemberian harta yang dilakukan oleh seorang Islam semasa hidupnya kepada waris-waris yang berhak adalah sah walaupun perpindahan hak milik terhadap harta tersebut berlaku selepas kematian orang yang melakukan pemberian harta.v. Saniah binti Ali dan lain-lain lawan Abdullah bin AliDalam kes ini Saleh bin Ali (si mati) telah menamakan Saniah bt Ali sebagai orang yang berhak terhadap wang simpanan pekerja yang berjumlah sebanyak $60,607.71. Pada 5 April, Salleh bin Ali meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Kemudian pada 10 Julai 1985 dan 25 Februari 1986, Tabung Simpanan Wang Pekerja Singapura telah membayar kesemua wang simpanan si mati kepada Saniah. Atas permohonan Saniah, pada 21 September 1987 pejabat penyelesaian pusaka mengeluarkan surat kepadanya bahawa beliau adalah sebagai pentadbir kepada pusaka si mati. Tetapi sebaliknya pada 28 Ogos 1989 pihak penentang, Abdullah bin Ali, iaitu saudara si mati dan saudara kepada penama telah mendapat surat perakuan dari Majlis Ugama Islam Singapura yang beliau berhak terhadap wang simpanan tersebut sebagai pusaka kerana beliau merupakan waris yang sah kepada si mati. Kebenaran ini diberi mengikut seksyen 115(1), Akta Pentadbiran Orang-orang Islam Singapura, Cap. 3 tahun 1985. Hakim Thean memutuskan Yang Menuntut berhak mendapat kesemua wang simpanan tersebut . Beliau berpendapat wang CPF tidak boleh digolong sebagai harta pusaka dan dengan itu tidak timbul apa-apa pertentangan dengan seksyen 115(1) Undang-undang Pentadbiran Islam Singapura. v. Jumaaton dan seorang lagi lawan Raja HizaruddinRaja Nong Chik Raja Ishak (si mati) merupakan pemilik syarikat Arensi Holdings (M) Sdn. Bhd. Si mati telah meninggal dunia pada 10 Februari 1994 dan meninggalkan saham syarikat yang berjumlah lebih 11 juta unit yang telah didaftarkan di atas nama responden (Raja Hizaruddin). Si mati meninggalkan dua orang isteri dan sepuluh orang anak. Perayu pertama dan kedua dalam kes ini merupakan balu kedua si mati dan anak si mati hasil dari perkahwinan kedua itu. Manakala responden merupakan anak dari pernikahan yang pertama.Terdapat dua isu yang telah dibangkitkan dalam kes ini iaitu:a) Sama ada perayu dalam kes ini mempunyai locus standi untuk memfailkan kes ini terhadap responden kerana mereka bukan pentadbir harta pusaka si mati dan tidak mendapat apa-apa wakalah daripada semua waris yang lain untuk mewakili mereka dalam tuntutan itub) Sama ada Mahkamah Syariah berbidang kuasa untuk mendengar tuntutan ini dan mengeluarkan perintah atau membuat keputusan seperti yang dipohon oleh perayu.Walaupun isu pertikaian utama dalam kes ini adalah tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah, namun isu substantive yang dipertikaikan ialah berkaitan dengan kedudukan saham yang berjumlah 11 juta unit yang telah didaftarkan di atas nama responden. Adakah responden merupakan pemilik mutlak terhadap saham tersebut atau beliau hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada si mati. Sekiranya responden hanya merupakan pemegang amanah, maka saham tersebut perlu dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris yang berhak mengikut hukum faraid kerana ia merupakan harta peninggalan si mati. Namun, jika saham tersebut adalah milik mutlak responden, maka isu pembahagian ini tidak timbul (Salleh Buang, 1998).Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dalam penghakimannya telah mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi iaitu perayu pertama dan kedua berhak ke atas harta pusaka si mati. Oleh itu, adalah jelas di dalam kes ini bahawa responden hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah sahaja di mana dia bertanggungjawab untuk membahagi-bahagikan saham si mati kepada semua ahli waris yang berhak menurut hukum faraid.

6.0. KESIMPULANMelalui perbincangan secara ringkas ini, dapatlah disimpulkan bahawa penama hanya sebagai wasi atau pemegang amanah kepada harta pusaka yang wajib dibahagikan kepada ahli waris yang berhak mengikut hukum faraid. Justeru itu, pihak yang menamakan perlulah memilih dan meneliti individu-individu yang layak dan berkeupayaan sahaja untuk dilantik sebagai wasi atau pemegang amanah tersebut sebagaimana yang telah digariskan oleh hukum syarak demi untuk memastikan objektif pihak yang menamakan tercapai. Selaras dengan itu, pihak-pihak yang terlibat secara langsung perlulah mengambil langkah yang proaktif bagi merealisasikan amalan penamaan ke atas umat Islam di negara ini hanya sebagai wasi atau pemegang amanah kepada pihak yang menamakan. Kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah ini perlu dijana terhadap masyarakat Islam di Malaysia agar segala kesamaran dan kekeliruan ini dapat diuraikan dan dihapuskan demi untuk melahirkan generasi muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

RUJUKANAbi Muhammad Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad Ibn Qudamah. T.th. Al-Mughni Jilid 4.Mesir: Maktabat al-Qahirah.Abd Rahman al-Jaziriyy. 1991. Al-Fiqh Ala Al-Madhahib Al-Arbakah Jilid 3. Beirut: Dar al-Fikr.Jumaaton dan seorang lagi lawan Raja Hizaruddin. (1998) 6 MLJ 556.Md. Yazid Ahmad, Ibnor Azli Ibrahim. Amalan Penamaan Harta Orang Islam di Malaysia: SatuTinjauan Ringkas Menurut Syariah Islamiah. Jurnal Pengajian Umum Bil. 3.Mohd Ridzuan Awang. 1994. Undang-undang tanah Islam: Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Re Ismail bin Rentah. (1939). FMSLR 230.Re Man bin Minhat. (1965) 2 MLJ 1.Re Bahadun bin Haji Hassan. (1974). MLJ 14.Salleh Buang. 1998. Mahkamah Syariah Tiada Kuasa? Utusan Malaysia.Saniah bt Ali dan lain-lain lawan Abdullah bin Ali. (1990) 3 MLJ 135.Wahbah Zuhailiyy. 1991. Al-Fiqh Al-Islamiyy wa Adillatuh Jilid 3. Beirut: Dar al-Fikr.Wan Naimah lawan Wan Mohamad Nawawi. (1974) 1 MLJ 41Zuraidah binti Saad. 2002. Pentadbiran Harta Penama di Institusi-institusi Kewangan di Malaysia: Satu Kajian Mengikut Perspektif Undang-undang Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. http://www.kwsp.gov.my/portal/members/member-responsibility/registration/nominationhttp://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/06/nomination.pdf


Recommended