View
855
Download
4
Category
Preview:
Citation preview
7 Petua Pandai Bahasa Inggeris by Osman Affan
Petua ini ialah teknik dan panduan. Jika anda lakukan betul-betul, jangan terkejut jika anda
boleh bertutur dengan fasih dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan sangat baik dalam
masa kurang 6 bulan. Jadi, sekali lagi saya tuliskan 7
petua ini untuk anda:
Petua 1 – Kegagalan atau kelemahan anda
pada masa yang lalu bukanlah petunjuk
kepada kebolehan diri anda.
Petua 2 – Kuasai perbendaharaan kata.
Petua 3 – Kuasai Tatabahasa Bahasa Inggeris.
Petua 4 – Fikir dalam Bahasa Inggeris.
Petua 5 – Tulis diari dalam Bahasa Inggeris.
Petua 6 – Cari kawan pandai Bahasa Inggeris dan kawan yang mahu pandai Bahasa
Inggeris.
Petua 7 – Hafal ayat-ayat dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan harian.
Bahasa Inggeris boleh jadi satu subjek yang sangat ditakuti di sekolah. Menurut pengalaman
dan pemerhatian saya di sekolah, di tuisyen dan dalam program-program yang saya pernah
jalankan untuk pelajar, subjek Bahasa Inggeris adalah antara subjek yang paling ditakuti,
digeruni malah dibenci. Mengapa ini berlaku?
Jika anda seorang pelajar, cuba tanya diri anda, adakah anda suka subjek Bahasa Inggeris?
Jika anda seorang pekerja atau usahawan, adakah anda selesa menggunakan Bahasa Inggeris?
Jika anda sudah biasa menggunakan Bahasa Inggeris di rumah, tentulah subjek ini bukan satu
subjek yang susah bagi anda. Namun, jika tidak ada langsung sesiapa yang pandai berbahasa
Inggeris di rumah mahupun di kampung anda, tentu subjek ini begitu mencabar bukan?
Tidak perlu saya terangkan apakah kelebihannya jika anda boleh menguasai Bahasa Inggeris
dan mampu bertutur dengan lancar dalam bahasa ini. Kita akan terus bincangkan
bagaimanakah caranya anda boleh memajukan tahap kemahiran anda berbahasa Inggeris ini.
Sebelum itu, satu perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda ialah, sedar atau tidak,
jika seseorang itu lemah dalam subjek Bahasa Inggeris di sekolah rendah, dia akan terus
lemah hingga masuk ke sekolah menengah, kolej mahupun universiti. Pelik bukan? Benar,
bukan semua pelajar begini tetapi majoritinya begitu. Bagi yang berjaya keluar dari
kepompong masalah lemah subjek Bahasa Inggeris, pasti ada sesuatu yang telah mereka
berjaya lakukan hingga mereka berubah daripada lemah subjek Bahasa Inggeris kepada hebat
dan boleh bertutur dengan lancar dalam subjek tersebut.
Jadi, dalam topik 7 petua pandai Bahasa Inggeris ini, saya akan kongsikan tips dan teknik
yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang berjaya memajukan pencapaian mereka dalam
subjek Bahasa Inggeris. Mahukah anda tahu petua-petua dan tips-tips ini semua? Kita
mulakannya esok. Selamat membaca.
Petua 1
Mari kita mulakan dengan petua yang pertama. Petuanya ialah „kegagalan atau kelemahan
anda pada masa yang lalu bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri anda‟. Bagi saya, jika
anda mahu memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris anda, petua pertama ini adalah
petua yang paling penting. Mengapa?
Saya percaya, halangan utama untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris bermula di dalam
minda anda. Jika selama ini anda lemah dalam subjek ini, selalu gagal dalam peperiksaan
atau mendapat gred yang tidak memuaskan, selalu diketawakan apabila berbahasa Inggeris
dan selalu merasa tertekan apabila berada di dalam kelas Bahasa Inggeris, anda akan hadapi
kesukaran untuk menguasainya.
Selalunya, jika tahap penguasaan bahasa Inggeris anda lemah, anda pasti ada
masalah keyakinan diri untuk mempelajari subjek ini. Anda juga akan hilang keinginan untuk
mempelajarinya kerana anda percaya bahawa anda memang tidak berbakat dan tidak
mungkin menguasainya. Satu berita baik untuk anda, seperti yang saya katakan pada awal
petua ini, kegagalan yang lepas bukanlah kebolehan sebenar anda. Menurut satu kajian, otak
manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari 12 bahasa tanpa sebarang masalah.
Masalahnya cuma terletak pada minda di mana anda mungkin selalu memandang rendah pada
kebolehan diri sendiri.
Begini. Mulai hari ini, apabila anda mahu belajar Bahasa Inggeris, lupakan kegagalan anda
yang lalu. Bayangkan suatu ketika pada masa akan datang. Bayangkan anda sudah biasa
bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan anda sedang berbual-bual dalam bahasa
Inggeris dengan beberapa pelancong daripada Eropah. Rasakan betapa seronoknya apabila
anda dapat bertutur dalam bahasa ini dengan begitu lancar dan mudah.
Mulai hari ini, apabila anda mahu membaca sesuatu dalam bahasa Inggeris, bayangkan
dahulu yang anda memang sudah biasa menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian
anda. Mulai hari ini, apabila anda berdiri di hadapan cermin, cuba senyum dan bayangkan
yang anda sedang bercakap dalam bahasa Inggeris dengan lancar. Anda tidak perlu menyebut
apa-apa langsung. Anda cuma perlu senyum, jangan berkata apa-apa dan bayangkan yang
anda sedang berbicara dalam bahasa Inggeris.
Bunyinya mungkin agak pelik tetapi jika anda lakukan beberapa kali dengan bersungguh-
sungguh, anda akan mula rasa keyakinan diri anda meningkat. Apabila keyakinan diri ini
meningkat, akan timbul keinginan dalam diri anda untuk terus berusaha memajukan tahap
penguasaan bahasa Inggeris anda.
Petua 2
Untuk petua yang kedua, cuba anda lihat pekerja-pekerja asing yang bekerja di Malaysia.
Adakah mereka masuk ke kelas belajar bahasa Melayu? Adakah mereka membaca buku-buku
bahasa Melayu? Tidak bukan? Kalau ada pun mungkin sedikit sahaja jumlahnya. Tetapi
bagaimana mereka boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik dan lancar? Satu
petuanya ialah dengan menguasai perbendaharaan kata (Vocabulary).
Jika anda rasa anda tidak pandai bahasa Inggeris, besar kemungkinan anda mempunyai
perbendaharaan kata bahasa Inggeris yang kecil. Ini bermaksud, jika anda mahu
mengucapkan “saya mahu makan nasi” dalam bahasa Inggeris, anda tidak tahu apa perkataan
saya, apa perkataan mahu, apa perkataan makan dan apa perkataan nasi dalam bahasa
Inggeris. Jadi, anda tidak boleh mengucapkannya. Percaya atau tidak, ini adalah sebab
terbesar mengapa ramai orang tidak dapat menguasai sesuatu bahasa.
Jadi, setelah anda tahu petua ini iaitu jika anda mahu menguasai bahasa Inggeris, anda perlu
menguasai perbendaharaan kata, apa yang patut anda lakukan? Baiklah. Ada beberapa aktiviti
yang boleh saya cadangkan untuk anda menambahkan perbendaharaan kata bahasa Inggeris
anda.
Langkah pertama, anda perlu tahu dahulu berapa banyak
agaknya perkataan bahasa Inggeris yang anda tahu. Ambil
sekeping kertas atau satu buku tulis dan bersedia untuk
menulis. Tulis tajuk ini, “Things that I can see in a
classroom”, benda-benda yang saya boleh lihat di dalam bilik
darjah. Di atas kertas itu, tulis sebanyak mungkin benda,
perbuatan atau nama dalam bahasa Inggeris yang anda tahu dan yang anda boleh lihat dalam
sesebuah bilik darjah. Contohnya dalam bilik darjah ada papan hitam dan kerusi, jadi anda
tulis „black board‟, „chair‟. Tulis sebanyak mungkin. Anda juga boleh menulis kata kerja
contohnya anda lihat ada pelajar sedang menulis. Jadi anda tulis „write‟.
Uji diri anda sebanyak manakah anda boleh tulis perkataaan bahasa Inggeris ini. Saya
cadangkan buat permulaan letakkan minimum 20 benda. Jadi, tulis nombor 1 sampai 20 dan
mula menulis semua perkataan bahasa Ingeris yang anda tahu yang anda boleh lihat di dalam
bilik darjah. Jika ini mudah bagi anda, ia bermakna perbendaharaan kata anda agak baik.
Tambahkan lagi jumlah perkataan daripada 20 menjadi 40. Ia akan membuat anda berfikir
dengan lebih kuat lagi untuk mengingat perkataan-perkataan yang anda tahu.
Selepas itu, anda boleh tukar kepada situasi lain pula. Tukarkan „classroom‟ atau bilik darjah
itu kepada „playing field‟, „supermarket‟, „swimming pool‟, „office‟ dan sebagainya. Semakin
banyak perkataan yang anda tahu melalui aktiviti ini, anda akan jadi lebih bersemangat dan
yakin.
Anda boleh rujuk kamus untuk menambahkan jumlah perkataan yang anda tahu. Namun,
cuba buat dulu aktiviti ini tanpa melihat kamus. Setelah selesai, baru rujuk kamus dan tambah
senarai perkataan yang anda tahu.
Anda mesti tahu apa perkataan-perkataan berkenaan yang anda mahu sebut. Satu cara paling
cepat untuk anda menghafal sebanyak mungkin perbendaharaan kata ialah dengan menulis
maksud-maksud perkataan bahasa Inggeris ke dalam satu buku khas.
Begini. Semasa saya membuat
persediaan untuk belajar ke United
Kingdom di PP ITM Shah Alam
pada tahun 1994-1996, tahap
penguasaan bahasa Inggeris saya
masih agak lemah. Saya
sebenarnya lebih cemerlang dalam
subjek Bahasa Arab semasa di
tingkatan lima. Jadi, saya fikir
semula apa yang menyebabkan
saya dapat menguasai bahasa Arab lebih cepat. Caranya ialah saya ada satu buku khas yang
saya tulis maksud-maksud perkataan bahasa Arab. Bagaimana cara menulisnya?
Katakan anda membaca apa-apa bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, anda mungkin akan
terjumpa mana-mana perkataan yang anda tidak faham. Apa patut anda lakukan? Ya, rujuk
kamus. Selalunya, apa yang pelajar lakukan ialah mereka akan tulis maksud perkataan
tersebut di atas bahan bacaan tadi. Maksudnya, jika mereka ada buku cerita bahasa Inggeris,
buku itu akan dipenuhi dengan tulisan-tulisan maksud perkataan yang mereka tidak faham.
Cara ini tidak berkesan untuk membuat anda hafal perkataan bahasa Inggeris dengan cepat.
Mengapa?
Pertama, buku atau bahan bacaan itu akan hilang dan tidak selalu bersama anda. Kedua,
apabila maksudnya sudah ada di situ, anda tidak akan mengeluarkan sebarang usaha untuk
mengingat maksud tersebut. Anda akan hanya bergantung kepada buku yang sudah ditulis
terjemahannya. Jadi, hentikan tabiat begini.
Ini cara yang betul. Ambil satu buku khas, jika boleh, buku berkulit tebal supaya ia lebih
tahan. Setiap kali anda jumpa perkataan yang anda tidak tahu maksudnya, rujuk kamus dan
tuliskan di dalam buku khas ini tadi. Tulis
1. Perkataan itu
2. Maksudnya (menggunakan bahasa inggeris atau bahasa Melayu)
3. Contoh dalam ayat. (Salin satu contoh ayat. Tidak ada gunanya tahu maksud sesuatu
perkataan tetapi tidak tahu bagaimana cara menggunakannya.)
Langkah ketiga itu penting. Anda perlu tahu bagaimana ia digunakan dalam ayat. Contohnya,
katakan anda orang asing yang sedang belajar bahasa Melayu. Kemudian anda terjumpa
perkataan „cekik darah‟ dan anda tahu maksudnya iaitu mengenakan harga yang terlau tinggi
hingga menganiayai orang lain. Jadi anda buat ayat begini, “Ali cekik darah orang kampung
kerana meletakkan harga RM7 bagi sekilo gula”. Adakah betul ayat itu? Tidak bukan? Ayat
yang sepatutnya,”Ali dikatakan cekik darah kerana meletakkan harga RM7 bagi sekilo gula.
Praktikkan teknik ini. Jika ia sukar, fikir kembali, andamahu menguasai bahasa ini atau tidak?
Anda boleh kuasai bahasa Inggeris dengan mempunyai satu buku khas perbendaharaan kata.
Bolehkah anda lakukannya? Untuk menjayakan usaha memiliki buku khas perbendaharaan
kata itu, anda perlu baca tips seterusnya ini. Tips ini berbunyi, anda perlu ‘jatuh cinta
dengan KAMUS’.
Mengapa jatuh cinta? Kamus adalah penghubung utama antara anda dengan bahasa Inggeris.
Bagi saya, jika anda sedang belajar bahasa Inggeris, tanpa kamus, ia seolah-olah anda sedang
belajar menunggang basikal tanpa menggunakan basikal. Pelik bunyinya kan? Tanpa kamus,
anda mungkin boleh kuasai bahasa inggeris tetapi ia pasti sukar dan memakan masa yang
agak lama.
Menurut pemerhatian saya semasa saya mengajar subjek Sains, Matematik atau Bahasa
Inggeris untuk pelajar di peringkat PMR, lebih separuh pelajar saya tidak memiliki kamus.
Alasan biasa yang diberikan ialah mereka tidak ada duit untuk membeli kamus. Simpati juga
kita dengar bukan? Tetapi yang peliknya mereka ini semua masing-masing ada handphone
dan selalu menghantar sms setiap masa. Saya tanya mereka berapa banyak prepaid
handphone sebulan, ada yang kata RM10, 20 dan ada yang mencecah RM50. Terkejut
bercampur geram juga saya jadinya kerana sebuah kamus ringkas boleh didapati dengan
harga lebih kurang RM11 sahaja.
Mulai hari ini, jika anda belum ada kamus, cari jalan untuk memilikinya. Jika anda sudah
milikinya, cari jalan untuk selalu gunakannya, bukan dijadikan perhiasan untuk mengumpul
habuk di dalam bilik anda.
Satu tips lagi, pelajari cara menggunakan kamus dengan cepat.
1. Belajar bagaimana cara mencari sesuatu perkataan dengan cepat. Contohnya jika anda
cari maksud perkataan „Break„, cuba lihat berapa lama anda ambil masa untuk
mencarinya. Bolehkah anda mencarinya dalam masa kurang 5 saat? Anda pasti boleh
jika anda cuba.
2. Cari sebuah kamus sekarang. Buka satu halaman. Jika anda lihat dibahagian atas
sebelah kanan (seperti nombor (1) dalam rajah) anda akan lihat 2 perkataan.
Contohnya, jika saya lihat kamus saya muka surat 98 (Kamus ini saya beli pada 21
Januari 1990, tingkatan 2 ), tertulis perkataan ’bout/box’. Untuk pengetahuan
anda, perkataan ‟bout‟ adalah perkataan pertama yang anda akan jumpa di muka surat
tersebut dan perkataan „box‟ adalah perkataan terakhir. Betul kan? Sama juga pada
muka surat kanan (seperti rajah 2), anda akan lihat perkara sama.
Jadi, jika anda mencari perkataan „Break‟ dan terbuka pada muka surat ‟bout/box, adakah
anda perlu buka muka surat seterusnya atau muka surat sebelumnya? Cara fikirnya
begini, perkataan break bermula dengan BR , tetapi muka surat itu BO , O dan R, yang mana
datang dahulu dalam senarai ABCDEFG……..? (hehe, anda kena nyanyikan semula lagu
ABC yang anda hafal masa tadika?). Tentulah O dahulu kan? Jadi, anda perlu buka muka
surat seterusnya, bukan ke belakang.
Jika anda tidak tahu teknik mudah ini, anda akan tercari-cari perkataan itu diseluruh kamus
anda. Anda juga mungkin memakan masa lebih lama kerana anda perlu buka muka surat
kamus anda satu persatu. Selamat mencuba.
Petua 3
Petua ketiga ialah anda perlu kuasai „English Grammar‟ sedikit demi sedikit. Satu perkara
yang amat dibimbangi dan ditakuti oleh orang ramai mengenai apa-apa bahasa ialah
tatabahasanya. Tanpa tatabahasa yang betul, percakapan anda akan jadi tunggang langgang.
Bayang kalau ada seorang yang kelihatan seperti pelancong datang berjumpa anda dan
berkata “Boleh saya bagitau awak macam mana Shah Alam nak pergi Kuala Lumpur dari?”
Tentu anda akan tersenyum bukan? Kalau tidak tersenyum pun, muka anda akan berkerut
kerana cuba memikirkan apa yang pelancong ini cuba katakan.
Saya faham, jika anda belum kuasai bahasa Inggeris, anda akan katakan grammar adalah
sangat sukar. Sudah bertahun-tahun anda cuba pelajarinya tapi masih gagal. Namun, anda
kena ingat, selama ini anda rasa susah mungkin kerana anda belum pelajari petua nombor
satu. Setelah anda pelajari petua satu dan dua, mungkin anda akan rasa grammar tidak begitu
susah seperti yang anda fikirkan selama ini.
Ini satu cadangan anda bagaimana anda boleh kuasai grammar dengan
lebih cepat dan lebih yakin. Mula-mula, cari buku grammar pelajar
tahun 2 dan tahun 3 (sekolah rendah). Jika anda lihat buku grammar
mereka, apa yang diajar adalah sangat asas dan mudah difahami. Jadi,
belajar grammar dan kuasai grammar anda melalui buku-buku ini
dahulu. Ada tiga kesan baik jika anda lakukan ini.
Pertama, apabila anda buka buku pelajar tahun 2 dan 3, anda akan fikir, “alah, buku budak
sekolah rendah, takkanlah aku tak tahu.” Bila anda terfikir begini, anda akan rasa lebih yakin
dan apabila anda lebih yakin, lebih mudah anda belajar.
Kedua, anda akan benar-benar lihat bahawa apa yang diajar dalam buku itu semua sanat
mudah difahami kerana ia ditulis untuk pelajar sekolah rendah. Ia tidak menggunakan
contoh-contoh ayat yang susah. Jadi, anda akan dapat kuasai asas grammar ini dengan
contoh-contoh yang mudah.
Akhir sekali, anda tidak perlu rasa malu apabila perlu belajar asas semula. Apabila ada
sesiapa melihat anda membaca buku pelajar sekolah rendah tahun 2 dan 3, kata sahaja kepada
mereka, “Oh…saya tengah baca ni untuk ajar adik /anak saudara/adik sepupu/ anak jiran
saya….” sambil menunjukkan muka „confident‟.
Petua 4
Petua yang keempat untuk cepat pandai Bahasa Inggeris ialah „Berfikir dalam Bahasa
Inggeris‟. Apakah maksudnya?
Begini. Apabila anda sedang fikirkan sesuatu, anda selalunya berfikir dalam bahasa Ibunda
anda sendiri iaitu bahasa Malaysia bagi kita orang Malaysia. Namun, jika anda sedang belajar
Bahasa Inggeris dan mahu cepat pandai, anda perlu mula belajar berfikir dalam bahasa ini.
Contohnya, apabila anda melihat sekeping gambar seorang budak lelaki sedang menangis,
apakah yang akan anda fikirkan? Anda mungkin terfikir, “kenapa budak ni menangis?”,
“Siapa buat budak ni menangis?”, “Budak ni sakit ke?” dan bermacam-macam lagi yang
boleh anda fikirkan dalam bahasa Ibunda anda. Namun, apabila anda mahu cepat pandai
Bahasa Inggeris, fikir dalam Bahasa Inggeris. Contohnya, “Why is this boy crying?”, What is
happening here?”, Where is his parents?”, “what is he doing here?” dan bermacam-macam
lagi.
Anda mungkin kata, “Macam mana nak buat, saya tak tahu Bahasa Inggeris, macam mana
nak fikir dalam Bahasa Inggeris?”. Ya, anda mungkin belum fasih lagi bahasa ini dan apabila
anda cuba fikir, mungkin ayat anda tidak betul. Anda tidak perlu risau. Apa yang bagusnya
ialah, jika ayat anda salah semasa anda berfikir, tidak ada sesiapa yang tahu dan tidak ada
sesiapa yang akan ketawakan anda. Jadi anda boleh berlakon seolah-olah anda sedang
bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan lancar.
Apabila anda mula berfikir begini, anda juga akan mula peka kepada
bagaimana cara melafazkan sesuatu dalam Bahasa Inggeris.
Katakan suatu hari, anda sedang berdiri di dalam bas bersama kawan
anda dan kawan anda menyuruh anda duduk kerana ada kerusi kosong.
Anda mahu katakan “Saya tidak terasa pun hendak duduk, awak je lah
duduk.” Tetapi anda tidak tahu bagaimana cara menyebutnya. Anda
cuba fikirkan ayatnya tetapi masih tidak dapat bagaimana cara
menyebutnya.
Kemudian, apabila anda sedang menonton cerita dalam bahasa Inggeris, ada situasi yang
sama seperti di dalam bas tadi. Anda lihat, watak dalam cerita itu berkata “I don‟t feel like
sitting, why don‟t you sit.”. Oleh kerana anda sudah berfikir dalam Bahasa Inggeris tadi, anda
akan sedar akan ayat ini dan anda pun boleh menggunakannya.
Anda perlu, salah satu sebab mengapa seseorang sukar menguasai Bahasa Inggeris ialah dia
asyik berfikir dalam bahasa Ibundanya. Dia asyik berfikir dalam bahasa Ibunda dan cuba
menukarkannya kepada Bahasa Inggeris. Inilah yang menyebabkan proses pembelajaran
menjadi sukar.
Jadi mulai hari ini, cuba berfikir dalam Bahasa Inggeris. Jangan risau jika ayat itu salah. Ayat
yang salah itu akan betul juga nanti. Selamat mencuba.
Petua 5
Petua kelima untuk pandai Bahasa Inggeris dapat menggabungkan petua 2, 3 dan 4. Petuanya
ialah anda perlu mula menulis jurnal atau diari dalam Bahasa Inggeris setiap hari.
Hmm… jika anda seorang lelaki, mungkin anda sedang merungut atau tidak berpuas hati
dengan petua ini. Bukankah menulis diari atau jurnal adalah sesuatu yang suka dilakukan
oleh wanita? Bukankah memalukan bagi seorang lelaki menulis diari?
Sebenarnya tidak memalukan. Malah, jika anda baca kisah orang-orang yang berjaya,
mereka ada membuat catatan mengenai perasaan, pendapat atau cita-cita mereka ke dalam
diari. Diari ini pula mereka tulis hampir setiap hari. Jadi, jangan risau. Cari satu buku khas.
Jika boleh, buku ini adalah buku yang berbeza dengan buku khas anda untuk perbendaharaan
kata.
Buku ini anda perlu jaga betul-betul kerana ia bersifat agak peribadi. Tentu anda tidak mahu
orang lain baca apa yang bermain di fikiran anda bukan? Jika boleh, dapatkan buku diari
yang biasanya boleh didapati di mana-mana kedai buku kerana ia lengkap dengan tarikh. Ini
akan memudahkan anda. Apa yang perlu anda tulis? Mudah sahaja.
Anda boleh tulis apa sahaja yang anda mahu. Anda boleh tulis tentang perlawanan bola sepak
yang anda tonton petang tadi. Anda boleh tulis tentang aktiviti membeli-belah anda bersama
keluarga di TESCO, Carrefour atau Jaya Jusco. Anda juga boleh tulis tentang apa yang
berlaku di sekolah hari ini. Tulis apa sahaja asalkan ia di dalam Bahasa Inggeris.
Seperti biasa, jangan terlalu risau jika tatabahasa atau struktur ayat anda salah. Lebih banyak
anda tulis, anda akan jadi lebih peka tentang cara menulis di dalam Bahasa Inggeris. Anda
akan jadi lebih biasa dengan perkataan-perkataan Bahasa Inggeris dan akhirnya anda akan
jadi lebih yakin dengan Bahasa Inggeris.
Jika anda ingin tahu, petua ini adalah antara teknik utama yang digunakan di pusat-pusat
pengajian yang menawarkan kursus intensif Bahasa Inggeris. Saya pelajari teknik ini semasa
menghadiri kursus 6 bulan Bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pelajaran ke United
Kingdom. Saya dapati teknik ini sangat berkesan dan sangat membantu saya dan kawan-
kawan saya yang masih agak lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Saya percaya ia akan
dapat membantu anda juga. Satu cadangan yang lebih baik, anda minta bantuan guru Bahasa
Inggeris anda untuk memeriksa diari anda ini. Hmmm…sekali lagi anda pasti akan rasa lebih
terkejut (lelaki dan perempuan juga) Takkanlah anda mahu berikan diari anda dibaca
oleh guru Bahasa Inggeris anda?! Tidak masuk akal bukan? Jangan bimbang. Jika anda
bercadang mahu memberikan diari itu untuk diperiksa oleh guru Bahasa Inggeris supaya dia
dapat memberi teguran dan membantu anda memajukan lagi cara anda menulis, elakkan
menulis sesuatu yang bersifat terlalu peribadi. Elakkan juga menulis sesuatu yang anda mahu
rahsiakan. Anda boleh tulis sesuatu yang mahu dirahsiakan di tempat lain.
Petua 6
Petua yang keenam untuk cepat pandai Bahasa Inggeris ialah anda perlu cari kawan-kawan
yang Pandai Bahasa Inggeris dan kawan-kawan yang Mahu Pandai Bahasa Inggeris.
Mengapa?
Jika anda berkawan baik dengan seseorang yang Pandai Bahasa Inggeris,
anda akan terikut dengan cara pemikirannya yang percaya bahawa subjek Bahasa
Inggeris adalah mudah untuk dikuasai. Apabila anda turut berfikir begini, anda jadi
lebih yakin dan lebih mudah untuk memajukan tahap penguasaan anda.
Anda dapat belajar daripada kawan anda ini. Apabila ada sesuatu yang anda tidak
faham, anda boleh bertanya kepadanya. Apabila dia menerangkannya kepada anda,
anda akan rasa lebih mudah faham. Secara umumnya, kita lebih mudah faham apa
yang diterangkan oleh rakan sebaya kerana rakan sebaya bercakap menggunakan
bahasa dan tahap pemikiran yang agak sama. Jadi anda akan lebih mudah faham dan
pandai.
Jika anda berkawan baik dengan seseorang yang Mahu Pandai Bahasa Inggeris,
anda akan lihat kesungguhan kawan anda ini untuk maju. Anda akan lihat dia
bersemangat untuk mencari jalan memajukan tahap penguasaannya. Akibatnya, anda
akan terikut-ikut dengan kesungguhan ini.
Anda dapat belajar bersama-sama dan sama-sama mencari jalan bagaimana untuk
memajukan penguasaan Bahasa Inggeris anda dengan cepat.
Anda tidak rasa berseorangan. Selalunya, pelajar yang lemah Bahasa Inggeris merasa
dipinggirkan oleh pelajar yang lebih pandai. Jadi, mereka terus memencilkan diri dan
tidak mahu belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Dengan adanya kawan yang
mahu pandai ini, pelajar ini tidak akan rasa begitu.
Mulai hari ini, cari kawan seperti yang saya terangkan di atas. Luangkan masa dengan
mereka dan berlatih bercakap dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Lebih banyak anda
berlatih, lebih banyak anda mencuba, lebih cepat anda pandai Bahasa Inggeris. Selamat
mencuba.
Petua 7
Petua pandai Bahasa Inggeris yang ketujuh dan yang terakhir ialah ‘Hafal ayat-ayat dalam
Bahasa Inggeris untuk kegunaan harian’. Maksudnya begini, apa yang membuat bertutur
dan menulis dalam Bahasa Inggeris sukar ialah anda tidak tahu bagaimana cara untuk
menggambarkan sesuatu dalam Bahasa Inggeris. Contohnya kalau anda mahu kata ‘saya rasa
tidak sihat’ dan tidak tahu apa ayat yang biasa digunakan untuk menggambarkan situasi ini,
mungkin sukar jadinya. Apa yang anda akan kata untuk menggambarkan ayat tadi?
Adakah anda akan kata „I am not healthy‟? Atau “I feel not healthy‟? Hmmm… yang mana
satu ye? Mungkin banyak cara yang boleh digunakan untuk menggambarkan ayat „saya rasa
tidak sihat‟ tetapi ayat yang biasa saya gunakan ialah ‘I am not feeling well’. Pernahkah
anda dengar sesiapa berkata begitu?
Untuk pengetahuan anda, saya sendiri selalu merasa sukar untuk menggambarkan sesuatu di
dalam Bahasa Inggeris suatu masa dahulu. Ini kerana saya cuba menukarkan ayat Bahasa
Melayu kepada ayat Bahasa Inggeris. Jadi, kalau perkataan „rasa‟ saya akan tukar
kepada ‟feel‟, kalau perkataan „sihat‟ saya tukar kepada perkataan „healthy‟. Apabila
digabungkan menjadi satu ayat, ia tidak begitu tepat bukan?
Petua terakhir ini menyuruh anda menghafal ungkapan-ungkapan dan eskpresi dalam Bahasa
Inggeris. Dalam buku khas vocabulary anda yang anda sudah sediakan, tulis juga ungkapan-
ungkapan yang anda tahu. Mula kumpul dan hafal ungkapan-ungkapan yang anda boleh
gunakan setiap hari. Contohnya, apa yang anda perlu kata untuk bertanya tentang waktu,
“What time is it?”, untuk memberitahu yang anda rasa begitu gembira, “I feel great!” dan
sebagainya.
Mulai hari ini, jika anda mahu gambarkan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana cara
melakukannya, tanya seseorang yang pandai Bahasa Ingeris. Lebih baik lagi, tanya guru
Bahasa Inggeris anda. Salin apa yang anda baru belajar itu dan mula praktikkan. Setiap kali
anda rasa tidak sihat dan mahu memberitahu perkara itu kepada kawan anda, kata “I am not
feeling well today”. Katakannya dengan yakin. Bayangkan anda seperti seorang mat salleh
yang sedang menuturkan kata-kata tersebut (Jangan risau, anda tidak akan jadi mat salleh
betul-betul ) Cara paling mudah untuk menghafal sesuatu ialah dengan sentiasa
mengulangnya. Gunakan ayat-ayat itu apabila sesuai.
Recommended