View
73
Download
3
Category
Preview:
DESCRIPTION
Masyarakat Bajau
Citation preview
1.0 PENDAHULUAN
Malaysia merupakan salah satu negara berbilang kaum yang aman dan harmoni. Tiga
kaum utama di Malaysia iaitu Cina, Melayu dan India telah menetap di negara ini sejak lima
abad yang lalu. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air kepada kira-kira lapan puluh
kaum etnik, terutamanya di kawasan Malaysia Timur. Antaranya ialah seperti kaum Kadazan,
Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Tidung, Bugis, Kokos dan lain-lain lagi.
Namun dalam kerja kursus Budaya dan Pembelajaran ini, kumpulan etnik yang akan
diberi tumpuan dan ulasan ialah kaum Bajau yang ramai terdapat di negeri Sabah. Kaum Bajau,
(juga ditulis dengan ejaan Badjao, Badjaw, atau Badjau) pada asalnya merupakan sekumpulan
etnik asli di Malaysia dan selatan Filipina. Penghijrahan kumpulan etnik ini berlaku lebih 50
tahun yang lampau ekoran daripada konflik yang berlaku di kepulauan Sulu menyebabkan
penghijrahan beramai-ramai orang Bajau ke negara-negara jiran seperti Malaysia.
Kini, suku kaum Bajau merupakan kumpulan etnik yang kedua terbesar di Sabah yang
menyumbang kepada 13.4 peratus kepada keseluruhan penduduk di Malaysia. Kumpulan ini
juga dicatatkan berhijrah ke Sulawesi dan Kalimantan Indonesia. Namun jumlah mereka tidak
diketahui dengan jelas. Mereka ini juga kadangkala diberi jolokan “Orang Laut” (Sea
Gypsies).
2.0 SEJARAH
Asal perkataan Bajau adalah tidak jelas. Mereka tidak pernah memanggil diri mereka
‘Orang Bajau’. Mereka yang terdiri dari beberapa suku atau puak dapat dibezakan dari segi
bahasa dan kawasan penempatan. Kelainan ini dapat dilihat dari sudut perbendaharaan kata
dan faktor genetik seperti warna kulit yang gelap. Misalnya, orang Bajau Simunul mempunyai
warna kulit yang lebih cerah dan memiliki raut wajah yang agak cantik. Manakala Bajau Laut
pula berkulit gelap. Selain dari Bajau-Samah dan Simunul terdapat juga suku Bajau yang lain
seperti Iranun, Ubian dan Bajau Tawau.
Semasa zaman pemerintahan British, Samah telah dilabelkan sebagai Bajau dan
diletakkan perkataan Bajau pada ‘bangsa’ dalam surat kelahiran. Selepas kemerdekaan, ada di
antara mereka yang mula melabelkan diri mereka sebagai Simunul seperti nenek moyang
mereka yang terdahulu. Namun, dari sudut kepentingan politik pula dan memudahkan
kemasukan ke Malaysia, mereka mula memanggil diri mereka sebagai ‘Orang Melayu’.
Namun dari sudut sejarah, Orang Bajau lebih dikenali sebagai Nomad, atau Orang Laut,
disebabkan cara hidup mereka yang tinggal di laut, suka merantau dan berdagang serta
menangkap ikan. Orang-orang Bajau yang tinggal di bot melihat diri mereka sebagai orang
yang tidak agresif. Mereka tinggal di tepi pantai dengan mendirikan rumah atas tiang-tiang dan
belayar menggunakan ‘lepa-lepa’, iaitu bot buatan tangan dan juga sebagai rumah mereka.
3.0 PENGERTIAN ‘BAJAU’ DARI SEGI ISTILAH
Seperti juga terma kaum-kaum lain yang terdapat di negeri Sabah, Bajau adalah juga
merupakan terma untuk menghuraikan beberapa suku kaum Bajau asli yang lain. Kumpulan
Bajau ini juga sering dicampuradukkan dengan orang-orang Samah, dan dikenali sebagai
Orang Samah-Bajau.
Dari sudut sejarah, terma “Samah” digunakan untuk menghuraikan mereka yang hidup
di laut, di atas bot, dan kumpulan Nomad. Walau bagaimanapun, gelaran ini telah mula pudar
kerana kebanyakan mereka telah meninggalkan cara hidup yang sedemikian dan hidup di
rumah-rumah di atas tanah daratan. Dikatakan bahawa orang-orang Samah-Bajau
berkebolehan untuk bertutur dalam sepuluh jenis bahasa, pelbagai kumpulan Melayo-
Polynesian Barat.
4.0 BAJAU TAWAU
Suku kaum Bajau Tawau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak
berabad-abad lamanya, yakni sejak kewujudan bangsa Melayu di Nusantara kerana suku kaum
Bajau adalah serpihan Melayu gelombang kedua yang datang ke Nusantara. Suku kaum Bajau
mendiami kawasan pesisir pantai dari Tawau hingga ke Labuan, dengan kepadatan tertinggi di
Semporna. Bagi kaum Bajau yang berada di bahagian pantai Timur Sabah , mereka masih
mengamalkan kehidupan tradisional seperti kegiatan menangkap ikan dan mereka ini digelar
Bajau Laut. Walau bagaimanapun mereka ini kebanyakannya telah menetap di darat atau di
perkampungan tepian pantai. Hanya segelintir daripada mereka masih lagi tinggal dalam
perahu yang dikenali sebagai Lepa untuk merantau ke sana-sini. Kegiatan utama mereka ialah
menangkap ikan yang dipelopori oleh kaum lelakinya, manakala kaum wanitanya pula amat
terkenal dengan tenunan kain mereka. Contohnya seperti Dastar yang disulam dengan kain
berwarna merah, kuning, hijau, oren, emas dan putih.
5.0 BAHASA
Di Sabah terdapat 6 jenis bahasa Bajau yang dituturkankan dan semuanya berasal
daripada keluarga Samah-Bajau. Pengguna bahasa ini termasuklah pendatang-pendatang
daripada negara jiran. Bagi kaum Bajau daripada bahagian pantai Timur Sabah, bahasa
mereka dipinjam daripada Suluk iaitu bahasa perdagangan di Laut Sulu. Kaum Bajau pantai
Barat Sabah pula mengadaptasikan bahasa mereka daripada bahasa Melayu. Kaum Bajau
bahagian ini telah bekerjasama dengan kaum Kadazandusun dari segi akitviti ekonomi,
perdagangan, perhubungan sosial serta kebudayaan. Orang Bajau dikatakan telah
menggunakan sistem Barter dalam aktiviti ekonomi mereka iaitu menukar ganti hasil tangkapan
ikan mereka dengan beras orang Kadazan. Bukan itu sahaja, pengaruh kebudayaan daripada
kedua-dua kaum ini juga dapat dilhat dari segi kesenian material, muzik dan juga rekabentuk
bangunan.
5.1 Kosa kata Bajau
Berikut adalah beberapa contoh ayat yang dituturkan oleh bangsa Bajau yang berasal
dari beberapa suku yang berbeza:
Aku sayang pada mu - Lasah akuh ma ka'ah / Akuh lasah ma ka'ah/ Aku sayang
tah kau
Aku suka padamu - Bilahi akuh ma ka'ah / Akuh bilahi ma ka'ah
Siapa namamu? - Sai onnu? Sien oron nu?
Nama saya Dayang - On ku dayang/ Oron ku Dayang
Sayang, aku cinta padamu / Sayang, aku sayang padamu - Dayang, akuh lasah
maka'ah
aku = aku, saya
ka'ah = kau, engkau awak , anda
kita = kita
kami = kami
bilahi = suka
dayang = sayang (Kata Nama - digunakan untuk memanggil atau menamakan
= seseorang yang disayangi)
lasah = sayang, cinta, kasih (Kata Adjektif - menunjukkan perasaan sayang)
ma = sama, pada, dengan
nu = mu (ganti nama diri kedua yang menunjukkan hak milik)
on = nama
sai = siapa
ku = ku(ganti nama kedua yang menunjukkan hak milik)
Ada beberapa perkataan suku kaum Bajau yang hampir sama sebutannya dengan
Bahasa Melayu dan membawa maksud yang sama dalam Bahasa Bajau.
Contoh:-
Tompah - Terompah (kasut),
Baju - Baju,
Sin - Sen (Duit),
Aku - Aku,
Kitab - Kitab,
Tangan - Tangan,
Mata - Mata,
Telinga - Telinga,
Buhas - Beras,
Kayu - Kayu,
Sipak - Sepak (Tendang),
Sampak - sepak/tampar (Lempang),
Timbak/tembak - Tembak,
Lekas - Lekas (Cepat),
nginum - minum
mangan - makan
lahi - lari
sukup - cukup
poteh - putih
bilu - biru
bianing - kuning
hijau - hijau
etom - hitam
coklat - cokelat
oren - oren/jingga
unggu - ungu
tahu - pandai
manis - manis(rupe yang manis)
mamis - manis(gula ataupun minuman yang manis)
kuku - kuku
matai - mati
hatai - hati
jantung - jantung
hatus - ratus
hibu - ribu
sama - sama
batu - batu
kota - kota
bangsa - bangsa
suku - suku
lampu - lampu
subuh - pagi
sawan - cawan
sapu - sapu
lela - lelaki
dinda - perempuan
sampai - sampai
lumah - rumah
dua,empat,lima,enom,sepuh - dua,empat,lima,enam,sepuluh
isah,telu,pituh,walu,siam - satu,tiga,tujuh,lapan,sembilan
Perkataan-perkataan yang ditunjukkan di atas adalah sebahagian dari bahasa Bajau di
bahagian Semporna. Bahasa Bajau di selatan Filipina juga menuturkan bahasa yang sama,
tanpa perubahan sebutan atau makna. Walaupun begitu, terdapat perbezaan di antara bahasa
kaum Bajau di sebelah pantai barat dan pantai timur. 40 peratus Bahasa Bajau adalah Bahasa
Melayu. Apa yang pasti, kebanyakan orang tua-tua suku kaum Bajau dahulu amat sukar apabila
menyebut perkataan yang ada huruf 'R' dan 'C'. Contohnya 'NUR' menjadi 'NUL', 'SABAR
menjadi 'SABAL', 'SYUKUR' menjadi 'SYUKUL', 'cukup' menjadi 'sukup', 'cawan' menjadi
'sawan' dan banyak lagi.
Bahasa orang Bajau dikenali sebagai sinama. Kata sinama adalah kata terbitan
daripada kata akar Samah dengan menerima sisipan -in- sehingga membentuk sinama yang
bermaksud bahasa kepunyaan bangsa Samah. Seperti yang telah dinyatakan bahawa kaum
Bajau sebenarnya bukanlah merupakan satu suku tetapi ia merupakan satu bangsa yang lebih
besar. Berdasarkan kajian awal oleh Badan Galak Pusaka sekurang-kurangnya terdapat 26
subdialek bahasa Bajau atau Sinama. Turut dipercayai bahawa suku kaum Bajau adalah
bangsa Melayu yang sebenar (Melayu Asli). Selain di Malaysia, bangsa Bajau juga turut
mewarganegarai negara-negara seperti Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam.
6.0 KEFAHAMAN AGAMA
Sebahagian besar suku kaum Bajau adalah penganut agama Islam yang berfahaman
Mazhab Syafii. Manakala sebahagian kecilnya seperti Bajau Laut, dikatakan bersifat animisme.
Rata-ratanya yang beragama Islam mementingkan pengetahuan dan pendidikan agama
sebagai pengukur kepada kedudukan seseorang. Individu yang mempunyai kelebihan dalam
pengetahuan agama akan mendapat pengiktirafan yang lebih istimewa dalam masyarakat.
Pengiktirafan yang berbeza juga akan diberikan kepada sesuatu golongan berdasarkan kepada
status sesuatu puak Bajau tersebut. Kumpulan yang mempunyai kehidupan yang lebih lazim
dianggap golongan yang baik dan diterima.
6.1 Kegiatan Keagamaan
Terkecuali golongan yang hidup di atas bot, setiap penempatan dilengkapi sebuah
masjid. Termasuklah seorang Imam, iaitu yang akan mengetuai jemaah dalam solat, seorang
Bilal dan seorang Khatib yang akan membaca Khutbah semasa solat Jumaat.
Imam juga memainkan peranan yang penting di dalam menyelesaikan atau sebagai
rujukan dalam permasalahan yang berkaitan dengan hal-hal keagamaan, mengetuai semasa
aktiviti kenduri kendara, juga semasa peristiwa-peristiwa kematian dan sebagainya.
Peranan Bidan, Pengamal Perubatan Tradisional juga mengambil peranan yang penting
di dalam masyarakat orang Bajau.
Lazimnya seperti umat Islam lain di Malaysia, Orang Bajau juga menjalani ibadah puasa
dalam bulan Ramadhan. Mereka menyambut Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan sambutan
Hari Mauliddur Rasul iaitu hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Dari segi amalan kepercayaan tempatan, mereka masih meraikan Hari Jul-Hadj (Tulak
Bala) iaitu sambutan Hari Pembersihan segala dosa semasa bulan Safar (Sappal). Di kalangan
mereka yang menghuni bot pula akan berkumpul sekurang-kurangnya sehari dalam setahun
untuk meraikan Hari Pemujaan Roh dengan menari sepanjang malam. Upacara ini dipanggil
‘Magigal Jin’. Pada waktu di mana berlakunya sesuatu wabak penyakit, mereka akan
melepaskan ‘Bot Semangat’ ia dikenali sebagai ‘Pamatukkan’. Ia bertujuan menghapuskan
segala penyakit. Mereka memuja ‘Tuhan Laut’ yang dipanggil sebagai ‘Omboh Di Laut’.
7.0 MAKANAN TRADISIONAL
Terdapat pelbagai jenis makanan tradisional kaum Bajau yang semakin diterima ramai
oleh penduduk-penduduk lain di negeri Sabah. Umpamanya, kima sejenis kerang laut dan
terdapat dalam beberapa spesis, antaranya lapiran, kima bohe' dan sallot-sallot (bersaiz kecil
dan menyelit di celah-celah permukaan batu). Kima dijadikan lauk dalam makanan tradisi Orang
Bajau. Kima boleh dimakan secara mentah-mentah (inta') setelah dihiris atau dipotong kecil-
kecil dan dicampur dengan air limau dan lada serta rempah. Ia juga boleh dimasak untuk
dicampur dengan bahan yang lain seperti sayur dan sebagainya. Kadangkala kima dikeringkan
di bawah sinar matahari untuk digunakan pada waktu yang lain atau dijual di pasar tempatan.
Selain dari kima, sejenis lagi makanan masyarakat Bajau ialah sagol (Kata Kerja)
bermaksud mencampuradukkan. Sagol juga mempunyai makna Kata Nama iaitu 'benda yang
dicampuradukkan'. Secara khusus ia merujuk kepada sejenis masakan tradisional yang
menggunakan isi ikan (biasanya ikan pari, ikan yu dan ikan buntal) yang dicincang-cincang dan
dimasak dengan kunyit. Untuk membuat sagol, ikan yu, pari atau buntal dicelur dahulu sehingga
mudah membersihkan 'langnges' iaitu 'pasir' pada kulit yu dan pari, atau 'iting' iaitu 'duri' pada
ikan buntal. Mencelur (masak separuh masak) ini juga dilakukan untuk memudahkan isi ikan
dihancurkan dan dicampur dengan kunyit yang telah dipipis.
Ada dua jenis masakan sagol iaitu sagol kering (tiada kuah) dan sagol basah (ada
kuah). Untuk mendapatkan rasa sebenar sagol, biasanya tidak menggunakan minyak makan
tetapi menggunakan minyak hati ikan yang disagol itu, iaitu sama ada minyak hati ikan pari,
atau minyak hati ikan yu atau minyak hati ikan buntal.
Selain dari yang disebutkan tadi, terdapat juga makanan yang dikenali sebagai Putu
iaitu ubi kayu yang diparut dan dikeringkan sebelum dimasak secara stim. Lazimnya, dimakan
bersama Sagol, Kima, Tehek-tehek, dan beberapa makanan Bajau yang lain. Kemudian,
Tompe juga berasaskan ubi kayu yang diparut dan telah dikeringkan, kemudian digoreng kering
dalam kuali aluminium.
Secara umumnya, makanan tradisional masyarakat Bajau adalah kombinasi di antara
makanan laut dan makanan ubi-ubian serta tanaman huma yang lain. Makanan tradisi orang
Bajau boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu makanan yang dimasak dan makanan
yang dimakan mentah (inta'-inta'an). Makanan yang dimasak sama ada direbus, digoreng,
dibakar dan dipanggang. Selalunya, inta'-intaan (makanan mentah) terdiri daripada makanan
laut seperti 'ballog-ballog', 'bantunan', tehe'-tehe', tayum, kilau, bat, lato', kima dan sebagainya.
8.0 BUDAYA DAN KESENIAN
Suku kaum Bajau sangat menekankan hubungan kekeluargaan dan "le'od" iaitu
kelompok sedaerah. Sesuai dengan perkembangan semasa, kini ramai masyarakat Bajau
dikahwini atau mengahwini bangsa-bangsa lain termasuk Cina, Arab, India dan suku-suku
kaum tempatan di Malaysia.
Mereka bekerja sebagai petani dan nelayan di persisiran pantai. Orang Bajau
merupakan penyelam dan pengutip hasil laut yang mahir. Mereka menggunakan cara
penangkapan tradisional. Tetapi kini, ramai juga yang telah menjadi ahli perniagaan, pegawai
kerajaan, guru, bahkan ada yang berkecimpung di bidang politik sebagai menteri contohnya
seperti Tun Sakaran Dandai, Datuk Shapie Apdal, Datuk Nasir Tun Sakaran dan ramai lagi.
8.1 Hasil Kerja Tangan
Orang Bajau terkenal dengan hasil kerja tangan yang unik dan bermutu. Pengukir-
pengukirnya begitu mahir dan banyak menghasilkan kerja yang berasaskan kulit-kulit kerang
dan penyu. Mereka juga mahir menghasilkan ukiran-ukiran untuk perhiasan rumah, bot dan
batu nisan.
Tikar pandan yang dahulunya dihasilkan oleh kaum wanitanya untuk digunakan sebagai
barang keperluan rumahtangga, kini telah dikomersilkan dan mendapat sambutan yang
memberangsangkan daripada pelancong dalam dan luar negara. Semua ciptaan adalah
berasaskan kepada berbagai bentuk motif yang menarik.
8.2 Tarian dan Pakaian Tradisional
Di Semporna, masyarakat Bajau sering mempersembahkan tarian ‘’Tausug’, Dalling-
Dalling atau Mangalai. Mereka juga telah mencipta tarian mereka sendiri dipanggil ‘Tarian Igal-
Igal’ yang berasaskan tarian Dalling-Dalling. Tarian-tarian ini telah menjadi persembahan utama
dalam majlis-majlis perkahwinan di Semporna dan kini tersebar luas ke seluruh negeri
terutamanya ke daerah Sandakan. Mereka akan mengenakan pakaian tradisional yang lengkap
ketika menyambut sesuatu majlis atau dalam setiap persembahan tarian mereka.
8.3 Tarian Dalling-Dalling
Tarian ini sangat dipelihara oleh masyarakat Bajau . Kesedaran kepada kepentingan
memelihara warisan budaya untuk menjamin kelangsungan budaya bangsa telah mendorong
masyarakat Bajau di Borneo Utara khususnya di Semporna bangkit dan mengembangkan seni
tarian Dalling-dalling di kalangan generasi muda. Ini dilakukan dengan mempersembahkan
tarian tersebut di setiap majlis formal contohnya seperti Regatta Lepa yang merupakan acara
tahunan yang telah diiktiraf dan dimasukkan ke dalam kalender Malaysia . Pada tahun 1998,
Badan Galak Pusaka telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk
menganjurkan Pertandingan Dalling-dalling Sempena Sambutan Hari Jadi Tuan Yang
Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, yang ketika itu disandang oleh Tun Sakaran Dandai.
Semenjak itu, tarian Dalling-dalling turut mula dikenali di Daerah Sandakan.
Perkataan dalling-dalling adalah kata ganda daripada perkataan sinama (bahasa Bajau)
'dalling' yang bermaksud gerakan seluruh badan mengikut rentak tertentu. Ini adalah tarian
hiburan di majlis keramaian khususnya majlis perkahwinan. Tarian Daling-daling diiringi oleh
pantun yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi. Secara tradisionalnya penyanyi yang
menyampaikan nyanyian (disebut kalangan dalam Sinama) adalah pemuzik. Alat muzik yang
digunakan pula dipanggil gabbang. Kadang-kadang pemuzik dibantu oleh seorang penyanyi
lain yang lazimnya wanita, terutama apabila aturcara majlis dijangka mengambil masa yang
lama yang kadang-kadang berlanjutan semalaman.
Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka mendapati, tarian Dalling-dalling akan semakin
rancak dan menghiburkan apabila ia ditarikan oleh penari secara berpasangan dan kedua-dua
penyanyi dalam keadaan 'magbono' kalangan atau berbalas pantun. Dalam keadaan
sedemikian, semua watak (penyanyi, pemuzik dan penari) akan menunjukkan kepakaran
masing-masing untuk diiktiraf sebagai yang terbaik oleh hadirin.
8.4 Tarian Pangalay
Kemudian terdapat juga sebuah tarian yang dipanggil Pangalay. Perkataan ‘Pangalay’
bermaksud ‘Tarian Kuku’. Ada di kalangan masyarakat Bajau menganggap tarian ini adalah
sama dengan tarian Dalling-Dalling. Tarian ini memerlukan pergerakan yang sangat lembut.
Kelembutan pergerakan bahu, siku, dan pergelangan tangan yang kuat seakan pergerakan
“Kontaw Silat”. Penari lelaki digelar ‘Pangasik’ dan menunjukkan pergerakan silat. Manakala
penari-penari perempuan digelar ‘Pangiluk’.
9.0 KESIMPULAN
Kaum Bajau merupakan sebuah kaum yang unik kerana memiliki ciri-ciri kepelbagaian di
dalam masyarakatnya. Warni-warni kehidupan masyarakat ini dipapar menerusi aspek budaya
dan sosial serta kesenian yang tidak asing lagi kepada masyarakat Sabah khususnya dan
Malaysia secara amnya. Namun, timbul kebimbangan di kalangan generasi lama masyarakat
Bajau tentang budaya dan warisan ini yang semakin pudar. Umpamanya, cerita-cerita
masyarakat Bajau yang diperturun secara turun-temurun sudah mula dilupakan terutama oleh
generasi muda. Kesenian tradisi turut mengalami zaman perubahan dari segi ketulinan
keseniannya akibat arus pemodenan. Misalnya, kesenian membuat bot yang suatu masa
dahulu dibina dan diukir dengan menggunakan tangan sahaja tetapi kini bot-bot tradisional dan
hasil kesenian tangan yang lain dibina dengan menggunakan peralatan moden yang lebih
canggih.
Lepa-Lepa yang dijadikan bahan utama di Festival Lepa-lepa juga tidak dapat dipastikan
selama mana akan bertahan dan terpelihara oleh generasi akan datang. Begitu juga dengan
suku Bajau Laut yang semakin kehilangan identiti kerana telah bersepadu dengan kaum lain di
darat. Sebilangan besar dari mereka telah mengikut cara hidup seperti masyarakat Bajau lain
yang tinggal di darat, menganut agama Islam dan berkahwin campur dengan bangsa lain. Tidak
mustahil suatu hari nanti, hidup di laut hanya tinggal kenangan kerana tidak ada lagi anak-anak
yang meneruskan kehidupan orang tuanya di dalam bot.
Dari perspektif lain pula, Sama-Bajau merupakan suku kaum Bumiputera yang kedua
terbesar di Sabah. Sehingga kini, kehidupan suku kaum Sama-Bajau mengalami banyak
evolusi di mana arus urbanisasi dan globalisasi secara langsung telah memberi impak dalam
kehidupan mereka. Arus urbanisasi dan globalisasi ini telah mewujudkan satu suasana yang
semakin mencabar. Maka, generasi Bajau perlu melengkapkan diri mereka dengan tahap
pendidikan yang tinggi.
10.0 IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIO-BUDAYA
Negara kita adalah merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang
berbilang bangsa. Maka, tidak dinafikan akan wujudlah kepelbagaian sosio- budaya yang
memberi kesan secara langsung kepada perkembangan sistem pendidikan secara umumnya
dan kepada suasana pembelajaran secara khasnya.
Seorang guru atau pendidik perlu sedar betapa pentingnya mengetahui peranan guru,
murid, sekolah dan kurikulum tersirat dalam usaha memberikan pendidikan yang seimbang
kepada semua murid dari pelbagai kaum dan latar belakang. Adanya pengetahuan ini akan
dapat menghakis sikap prejudis guru dalam menangani kepelbagaian sosio-budaya murid,
khususnya ketika mengendalikan setiap aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya bukan sahaja dilihat dari ras,
etnik dan adat budaya murid-murid yang terdapat dalam sesebuah kelas sahaja. Malah ia juga
merangkumi skop yang lebih besar. Menurut Papalia (2001) individu pelajar itu berbeza dari
segi jantina, saiz badan, kesihatan, tahap tenaga, personaliti dan emosi. Manakala Slavin
(1997) pula mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran.
Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya
kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina , bakat dan minat. Kepelbagaian sosio-
budaya di antara murid memberi implikasi secara langsung terhadap guru dan murid dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.
10.1 Implikasi Terhadap Guru
Seseorang guru yang bertanggungjawab akan mengajar dan menjalankan tugasnya
dengan penuh berdedikasi serta bersikap profesional, dengan itu guru tersebut tidak akan
membezakan bangsa murid, tidak mengelompok murid mengikut kaum mereka tertentu sahaja.
Murid dari kaum dan jantina yang berlainan juga harus ditempatkan dalam satu kumpulan yang
sama supaya peluang untuk berinteraksi terbuka luas.
“Rohand Meighan (1986) menulis bahawa kelas sosial menggambarkan perbezaan cara
hidup atau pendapatan di dalam sesuatu bangsa yang sama.”
“Karl Marx pula berpendapat kelas sosial adalah kategori individu yang mempunyai
hubungan sama terhadap punca-punca pengeluaran seperti sistem pengagihan dan pertukaran.
Terdapat lima kelas sosial yang boleh dibezakan iaitu golongan atasan, pertengahan bawahan ,
pekerja dan bawah.”
Guru perlu berkemahiran menangani masalah kepelbagaian sosio-budaya murid-murid
agar masalah guru ‘syok sendiri’ dalam mengajar tidak berlaku. Sewajibnya guru perlu
berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi aspek perancangan dan
perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjamin kemajuan pelajar secara
optimum. Sebagai seorang guru perkara- perkara pokok seperti perancangan pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai, spesifik dan relevan dengan objektif pembelajaran, persekitaran bilik
darjah, masa yang diperuntukkan dan profil murid mengikut tahap kecerdasan perlu diberi
keutamaan.
Dalam erti kata lain, elemen yang perlu dikuasai oleh setiap guru untuk menjadikan
pengajarannya berkesan meliputi kesesuaian bahan pengajaran, sumber pembelajaran,
penglibatan aktif murid, penilaian prestasi, pengukuran dan penambahbaikan. Selain itu guru
perlu mahir dalam menguruskan bilik darjah dan mengintegrasikan TMK. Murid adalah
pelanggan manakala guru merupakan individu yang menawarkan perkhidmatan. Oleh itu
perkhidmatan yang diberi haruslah mengikut standard yang telah ditetapkan oleh majikan iaitu
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Merujuk kepada Dasar Pernyataan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Malaysia, (2001),
proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan mengikut beberapa
prinsip yang digariskan. Antaranya ialah:
a. Pendekatan, kaedah dan teknk yang dipelbagaikan dengan melibatkan murid secara
aktif;
b. Berpandukan bahan – bahan sokongan yang relevan dengan tahap pencapaiansemasa,
potensi dan kemajuan murid;
c. Penilaian dan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.
Berdasarkan pernyataan di atas, seseorang guru haruslah peka dengan kepelbagaian
sosio-budaya murid–muridnya. Pendekatan yang bijak harus digunakan dengan tidak
membezakan kelas sosial murid. Murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira samada
mereka dari kelas atasan atau bawahan.
Pendekatan yang bijak harus digunakan dengan tidak membezakan kelas sosial murid.
Murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira samada mereka dari kelas atasan atau
bawahan. Perbezaan tahap kecerdasan murid juga harus dititik beratkan oleh seseorang guru
dalam menyampaikan pelajaran. Guru harus mempelbagaikan kaedah pengajaran bersesuaian
dengan tahap murid. Perkara ini perlu untuk mengelakkan murid–murid merasa bosan dan
seterusnya akan mengakibatkan masalah disiplin yang sukar dikawal. Guru juga harus bijak
mencetuskan situasi pembelajaran yang mesra rakan. Aktiviti yang melibatkan interaksi di
kalangan murid haruslah sentiasa dijalankan agar murid dapat menjalinkan hubungan yang
lebih mesra sesama mereka tanpa mengira latar belakang sosial dan kecerdasan individu.
Sebagai seorang yang menawarkan perkhidmatan, pelanggan iaitu murid haruslah sentiasa
dihormati dan bersikap adil kepada mereka. Hukuman berbentuk deraan dan memalukan
seharusnya tidak dilaksanakan kerana akan menyebabkan hubungan guru dengan murid akan
renggang dan menghilangkan minat untuk mereka meneruskan pembelajaran.
Murid yang lambat menerima pembelajaran tidak diabaikan. Pelbagai kaedah dan
strategi boleh dirancang dan dilaksanakan dalam mengatasi masalah murid–murid sedemikian.
Penggunaan bahasa standard iaitu bahasa rasmi kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah
digunakan tanpa pengaruh bahasa dialek. Ini akan memberi peluang sama rata kepada semua
murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran.
Aktiviti pembelajaran yang dirancang oleh guru seharusnya boleh memberi peluang
kepada semua murid tanpa mengira etnik dan jantina. Isu yang mempunyai unsur bias kepada
mana–mana jantina mesti dielakkan untuk member peluang sama rata pada setiap murid
meneroka aktiviti pembelajaran. Bagi murid yang kecelaruan jantina, menjadi tanggungjawab
guru untuk membentuk persepsi yang positif di kalangan murid supaya mereka tidak terus hidup
dengan kecelaruan tersebut. Isu sensitif berkaitan dengan agama dan kaum hendaklah
dielakkan sama sekali. Setiap kepercayaan dan nilai haruslah diterima seadanya oleh setiap
guru. Aktiviti pembelajaran yang dirancang hendaklah menjurus kepada penglibatan semua
murid tanpa mengira kaum, adat budaya dan pegangan agama mereka.
Catatan kemajuan dan kelemahan yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran
hendaklah dicatatkan sebagai refleksi atau impak di akhir sesi pembelajaran. Ini akan
memudahkan guru untuk merancang strategi dan kaedah yang sesuai untuk mengatasi
kelemahan. Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang
cemerlang yang mana fokus utama ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya,
menghayati hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang
dilakukan lebih spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistic dan bijak dalam
pengurusan masa.
Guru merupakan ejen perubahan dan sumber inspirasi kepada murid. Anjakan
paradigma haruslah dilakukan oleh setiap guru dan tidak berada di zon selesa sentiasa. Guru
haruslah pro-aktif dalam mengatasi kelebihan dan kelemahan muridnya. Penyampaian
pengajaran guru haruslah kreatif dan efektif, menarik dan menyeronokkan.
Guru juga harus mempunyai kemahiran mengurus dan mentadbir, kemahiran
mengaplikasikan peralatan terkini seperti komputer, kecekapan menjalan tugasan yang
diamanahkan di samping memilik wawasan yang jelas serta berkemampuan membuat
pemantauan dan refleksi di atas kerja-kerja yang telah dilakukan untuk tujuan penambahbaikan,
di samping memilih sahsiah sebagai seorang guru yang berteladan baik serta mematuhi
Tonggak Dua Belas, nilai dan etika dalam perkhidmatan awam serta etika kerja dalam Islam.
Peredaran masa membawa perubahan dan cabaran terhadap profesion keguruan
termasuk pengubahsuaian fungsi dan peranan guru. Peranan guru sebagai sumber utama
pengetahuan kepada murid telah bertukar kepada guru sebagai pemudahcara dalam
pengajaran dan pembelajaran, ejen perubahan dan sumber insperasi kepada murid. Guru
haruslah kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem penyampaian pengajaran dan
pembelajaran menjadi efektif, menarik dan menyeronokkan kerana itu guru adalah segala-
galanya.
Secara ringkasnya dapat disimpulkan pengajaran berkesan oleh guru bukan sahaja
meliputi aspek kurikulum yang diajar di dalam bilik darjah, malahan meliputi skop yang lebih
luas seperti gaya kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, pengurusan bilik darjah, motivasi dan
dorongan serta kepimpinan kurikulum di tempat kerja.
10.2 Implikasi Terhadap Murid.
Murid adalah pelanggan bagi setiap guru di dalam bilik darjah. Mereka akan bersama
setiap kali aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah mahupun di luar
bilik darjah. Sebagai seorang pelanggan, kita haruslah melayan mereka dengan adil dan
saksama. Ini termaktub di dalam perlembagaan persekutuan;Perkara 12. Hak berkenaan
dengan pendidikan:
1. Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-
mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat
lahir:
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan
oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-
murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak
berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau
pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada
disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam
atau di luar Persekutuan).
Berlandaskan Perlembagaan Malaysia, seharusnya guru mengurus tingkahlaku murid
berdasarkan matlamat untuk menghapus atau merapatkan jurang kepelbagaian sosio-budaya di
kalangan murid agar prinsip keadilan kesaksamaan dapat dipraktikkan.
Antara perkara yang boleh dijadikan panduan mengurus tingkahlaku murid ialah
menyenaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang peraturan yang wajib mereka patuhi
sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran murid. Murid harus bersosial dan berinteraksi
tanpa mengira kelas sosial dan perlu membuang sikap prejudis terhadap bangsa atau kaum
lain.
Kepercayaan dan amalan agama yang dianuti tidak harus dipertikaikan dan aktiviti yang
dijalankan haruslah berupaya menyemai semangat saling percaya dan mempercayai ke dalam
jiwa murid. Proses sosialisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah
dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Secara
langsung semangat perpaduan dapat dijalinkan dalam masyarakat dan seterusnya berupaya
membentuk masyarakat yang toleran kearah memacu pembangunan Negara.
Dalam berkomunikasi, penggunaan bahasa standard iaitu Bahasa Melayu harus
diamalkan oleh murid. Unsur–unsur dialek mengikut kaum hendaklah dielakkan, penggunaan
laras bahasa yang tepat mestilah diamalkan dalam situasi yang sesuai, aktiviti yang bercorak ke
arah peningkatan bahasa perlu disertai supaya tahap penguasaan bahasa murid sentiasa
bertambah. Perbendaharaan kata yang tepat akan membantu murid mencapai kematangan
sosial yang sepatutnya.
Murid juga digalakkan berinteraksi dan berhubung dengan mereka yang berlainan
jantina. Mereka juga perlu diberikan kesedaran batasan perhubungan dalam interaksi yang
berlainan jantina. Dalam pengurusan bilik darjah, setiap murid haruslah diberikan peranan dan
tanggungjawab tertentu untuk menanam semangat kerjasama dan cintakan kelas mereka. Ahli
Jawatan Kuasa keceriaan kelas perlu diwujudkan di samping jawatan ketua kelas dan penolong
ketua kelas. Dengan ini setiap murid dapat merasakan diri mereka tidak dipinggirkan di dalam
kelas mereka.
Guru sebagai ‘role model’ kepada murid-murid. Murid biasanya akan terpengaruh
kepada tindakan guru yang menunjukkan teladan sebagai seorang profesional. Oleh itu guru
mesti membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan
dan arahan yang jelas bagi mengurangkan segala tingkahlaku negatif. Budaya belajar yang
ceria, menyeronokkan, menyentuh emosi, di samping meningkatkan kecergasan mental, kreatif
dan inovatif dan bermatlamat boleh menarik minat murid.
Pengurusan yang cekap dalam merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan
pembelajaran akan membantu mengurangkan ketidakseimbangan di dalam penyampaian
pelajaran kepada setiap murid. Seharusnya seseorang guru mengenali dan memahami sosio-
budaya setiap muridnya agar sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan
mesra murid.
10.3 Implikasi Terhadap Sekolah.
Pendekatan sekolah penting bagi memastikan kepelbagaian pendidikan untuk
memenuhi kebolehan murid di pelbagai jenis sekolah. Pada masa ini terdapat pelbagai pilihan
sekolah dalam sistem pendidikan Negara. Peringkat sekolah rendah terdiri daripada Sekolah
Kebangsaan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar, Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina, Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, manakala dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil menggunakan Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantarnya.
Sekolah menengah pula, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) memberi peluang kepada
murid cemerlang, luar bandar khususnya mendapat pendidikan terbaik dalam bidang akademik,
ko-kurikulum dan sahsiah. Setiap Sekolah Berasrama Penuh ada keistimewaan masing-masing
dalam bidang ko-kurikulum seperti ragbi di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Pancaragam di
Sekolah Tun Fatimah dan Pidato di Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang, Selangor.
Sekolah Menengah Teknik (SMT), adalah sekolah yang memberi peluang belajar
kepada murid yang cenderung dalam bidang teknikal dan vokasional. Sekolah ini menyediakan
tenaga kerja mahir dan separa mahir yang mencukupi. Dalam bidang vokasional seperti
Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan pertanian. Bidang teknikal seperti kejuruteraan elektrik dan
mekanikal.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) menyediakan Pendidikan Islam
kepada murid. Ianya memupuk potensi murid dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan
serta memberi peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ilmu, dalam dan luar
Negara. Pembinaan sekolah aliran agama ini adalah menunjukkan komitmen Kementerian
Pelajaran Malaysia untuk menerapkan nilai kerohanian dan kepercayaan beragama kepada
murid-murid.
Sekolah Premier ini pula adalah sekolah yang mempunyai unsur sejarah dan tradisi
yang kukuh dan memberi sumbangan kepada Negara sejak penubuhannya. Ianya juga menjadi
lambang kebanggaan Negara sejak penubuhannya. Sekolah ini telah banyak melahirkan tokoh
Negara dan korporat sabagai contoh sekolah Zainab (Kelantan), Victoria Institution (Kuala
Llumpur) dan Maktab Sultan Ismail (Kelantan).
Sekolah 100 Tahun ini dibina sebelum tahun 1905, yang mempunyai ciri tinggalan
sejarah dan sebahagiannya adalah sekolah primier. Sekolah-sekolah ini telah banyak memberi
sumbangan kepada Negara dari segi melahirkan tenaga kerja dalam pelbagai bidang profesion
seperti Penang Free School (Pulau Pinang), Sekolah Tinnggi Melaka, Kolej Melayu Kuala
Kangsar (Perak) dan beberapa buah sekolah lagi.
Kebanyakkan sekolah-sekolah Bestari ini terletak di Putrajaya dan Cyberjaya yang
terletak di Koridor Raya Multimedia. Sekolah ini mempunyai reka bentuk yang menarik,
infrastruktur lengkap, terletak di kawasan strategik, berhampiran dengan kompleks kerajaan
Persekutuan. Selain itu juga sekolah ini adalah Sekolah Model Khas menggabungkan murid
Tahap II sekolah rendah dan murid sekolah menengah dalam satu bumbung. Ini merupakan
konsep baru menyediakan kemudah fizikal yang kondusif bagi murid yang berpotensi di
kawasan luar bandar seperti Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis (Pahang).
Sekolah Pendidikan Khas adalah untuk menyediakan pendidikan khas kepada murid
yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran, autism, syndrom
down, ADHD dan deklesia. Tujuan sekolah ini diadakan supaya mereka menjadi insan yang
berdikari dan dapat menyumbang kepada pembangunan Negara. Contoh Sekolah Menengah
Pendidikan Khas Inderaputra (bisu, pekak,buta).
Selain daripada sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia terdapat juga sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh agensi lain sepeti Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah-sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Sekolah
Wawasan juga telah ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid
di sekolah. Sekolah ini dahulunya adalah sekolah yang terasing antara satu sama lain dan telah
disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam. Penekanan semangat perpaduan dan
integrasi antara kaum sejak kecil lagi iaitu di bangku sekolah rendah akan lebih memudahkan
kerana mereka masih kanak-kanak senang untuk dilentur.
Kepelbagaian sosio budaya telah mewujudkan sekolah terdiri dari pelbagai bangsa. Ini
menunjukkan Kementerian Pelajaran Malaysia berusaha mengatasi masalah-masalah
kepelbagaian sosio budaya melalui aktiviti yang dijalankan di sekolah. RIMUP (Program
Integrasi Untuk Perpaduan) diadakan di sekolah bertujuan untuk memupuk perpaduan tanpa
mengira kaum. Pembinaan sekolah juga mengambil kira tahap kelas social masyarakat dengan
memberi peluang yang sama untuk terima pendidikan di Bandar mahupun di luar Bandar. Murid
dari kaum berlainan mula menerima budaya dari kaum yang lain ini terbukti bila kaum melayu
dan India bersekolah di sekolah Cina, begitu juga sebaliknya..
Wujudnya sekolah aliran agama menunjukkan komitmen Kementerian Pelajaran
Malaysia untuk menerapkan nilai kerohanian dan kepercayaan beragama kepada murid-murid.
Ini menunjukkan bahawa sekolah merupakan tempat pendidik menerapkan kepercayaan dan
nilai dalam masyarakat tanpa mengira latar sosial mereka.
Pihak sekolah juga memainkan peranan agar murid-murid menggunakan bahasa rasmi
(Bahasa Malaysia) sebagai bahasa penghantar dalam segala urusan rasmi di sekolah,
menggalakkan murid melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah dan memberi
sokongan moral dan material kepada murid. Kementerian Pelajaran Malaysia juga menubuhkan
sekolah yang terdiri daripada interaksi murid yang berlainan jantina. Murid lelaki dan
perempuan bebas berinteraksi dalam aktiviti pembelajaran. Mewujudkan pola interaksi
berkesan dalam membentuk perpaduan dan integrasi masyarakat. Pihak sekolah juga
mengelola aktiviti melibatkan murid pelbagai jantina, namun masih mengamalkan nilai dan
budaya masyarakat.
11.0 CADANGAN KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM MENANGANI
KEPELBAGAIAN SOSIO-BUDAYA MURID.
Kepelbagaian sosio-budaya murid memberi kesan secara langsung terhadap kaedah
yang harus digunapakai oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar setiap murid
mendapat peluang sama rata dalam penerimaan pembelajaran. Acapkali dibaca dan didengar
permasalahan masalah disiplin seperti ponteng sekolah, vandalisma dan sebagainya yang
dilakukan oleh murid. Walaupun berat untuk diakui, namun kita harus menerima hakikat, salah
satu faktor penyebab permasalahan ini adalah datangnya dari guru yang tidak komited terhadap
kerjayanya. Seringkali guru menggunakan kaedah yang tidak selari dengan kehendak dan
penerimaan murid yang mengakibatkan murid bosan untuk mengikuti pengajaran dan
pembelajaran tersebut.
Mengambil contoh permasalahan yang berlaku kepada murid-murid etnik Bajau,
masalah tidak menguasai kemahiran 3M amat ketara di kalangan mereka. Sering kali mereka
masuk ke kelas tanpa membawa peralatan seperti buku tulis dan pensel. Ketiadaan peralatan
ini mereka jadikan sebagai alasan untuk tidak membuat kerja yang disuruh oleh guru. Melalui
pemerhatian kami di sekolah, murid-murid ini gemar bergaul dan melakukan aktiviti dengan
murid-murid yang sebangsa dengan mereka. Dari segi penampilan, mereka kurang memberi
perhatian kepada aspek kekemasan dan kesihatan diri. Umpamanya keadaan kulit yang kering
dan mengalami penyakit seperti kudis dan gatal-gatal. Kumpulan-kumpulan murid yang
sebegini dapat dikenalpasti melalui cara pertuturan mereka yang sama iaitu mengandungi
slanga. Oleh yang demikian, mereka kerapkali menjadi bahan perbualan yang berbentuk ejekan
sehingga mencetuskan pergaduhan dan menimbulkan perasaan rendah diri di kalangan
mereka.. Ditambah lagi, mereka ini ditempatkan di kelas-kelas hujung atau yang terakhir jika
sekolah yang berkenaan menjalankan kelas “grading”. Disebabkan keadaan yang sedemikian
mereka menjadi satu kelompok yang kebanyakan masa terasing dari pelajar yang berbangsa
lain. Ironinya, mereka rajin datang ke sekolah seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.
Oleh yang demikian kami berpendapat, masalah pembelajaran di kalangan murid-murid
Bajau tersebut bukanlah sesuatu yang bersifat kekal. Keinginan untuk hadir ke sekolah pada
setiap hari adalah stau petunjuk bahawa mereka mempunyai kemahuan untuk belajar. Masalah
yang wujud sebenarnya disebabkan oleh faktor-faktor budaya yang mementingkan kesukuan
mengakibatkan perhubungan sosial yang tidak meluas. Justeru untuk mengatasi perkara ini,
guru memainkan peranan yang sangat penting. Langkah yang harus diambil oleh guru ialah
memastikan budaya yang mementingkan pergaulan dalam satu kelompok sahaja ini diubah.
Langkah yang boleh diambil oleh guru ialah melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran dengan menggunakan pelbagai strategi, kaedah dan teknik dalam
pedagogi pendidikan. Guru seharusnya memilih strategi kaedah atau teknik yang
bersesuaian mengikut keadaan kelas dan kerelevanan budaya. Jika guru mengajar Bahasa
Melayu di kelas yang kebanyakan muridnya menuturkan bahasa ibunda, maka guru boleh
menggunakan kaedah mengajar secara simulasi dengan memberi dialog atau skrip dalam
Bahasa Melayu untuk dilakonkan di hadapan kelas. Latihan penggunaan bahasa seperti ini
mampu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan bagi kaum ini.
Selain daripada itu, kaedah direktif adalah belajar melalui penerangan dan
diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan. Guru boleh memberikan contoh-contoh secara
langsung kepada murid tentang kepelbagaian budaya dalam kelompok mereka melalui
matapelajaran yang diajar, misalnya dalam mata pelajaran Kajian Tempatan. Fokus diberikan
kepada kemahiran asas, latihtubi dan latihan kecekapan. Guru bertindak sebagai
model. Contoh strategi pengajaran yang boleh digunakan adalah seperti kuliah,
latih-tubi dan demontrasi.
Di samping itu juga guru boleh menggunakan kaedah mediatif. Melalui kaedah ini guru
boleh menggunakan bahan media dalam pembelajaran. Antara contohnya penggunaan
komputer dan buku elektronik Dalam strategi ini, murid-murid diajar oleh guru untuk
mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan.
mengenalpasti andaian dan menilai kebenaran andaian, keputusan dan hipotesis khususnya
yang berkaitan dengan budaya yang masih relevan untuk diamalkan oleh murid.
Kaedah generatif juga boleh digunakan untuk disesuaikan dengan budaya murid. Guru
boleh menggalakkan murid menjana idea-idea kritis dan kreatif yang sesuai dengan budaya
yang diketengahkan. Kaedah ini boleh membantu murid-murid menyelesaikan masalah secara
kreatif dan dapat membuat pertimbangan untuk meneruskan budaya yang relevan dengan
kehidupan masa kini. Kaedah kontekstual turut boleh diaplikasikan dalam amalan pedagogi
supaya budaya yang relevan dengan murid dapat terus diterima. Murid juga akan dapat
mengaitkan bahan pengajaran dan pembelajaran kepada situasi dunia yang sebenar. Ini secara
langsung akan dapat memotivasikan murid-murid untuk membuat kaitan antara i lmu
pengetahuan dengan pengaplikasiannya kepada budaya kehidupan mereka sebagai ahli
keluarga, masyarakat dan rakyat. Kontekstual penting kerana mengaitkan pembelajaran kepada
realiti kehidupan. Pembelajaran lain yang boleh dikaitkan kepada pembelajaran kontekstual
ialah pembelajaran `eksperential', pengalaman hidup sebenar, pembelajaran aktiviti dan
pembelajaran berpusatkan murid.
Seterusnya guru boleh mengaplikasikan kaedah metakognitif iaitu dengan
memberikan peluang kepada murid-murid memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan
pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Melalui kaedah ini murid-murid akan
berbincang tentang tugasan yang diberi. Pada peringkat inilah guru boleh memberikan tugasan
yang berkaitan dengan budaya masyarakat yang masih relevan untuk dibahaskan oleh mereka.
Murid-murid juga dapat mempraktikkan strategi metakognitif semasa mereka menjalani latihan
praktikal di dalam kelas.
Kaedah konteks luar boleh juga digunakan oleh guru dalam aktiviti pembelajaran. Ini
memerlukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru dilakukan di
luar bilik darjah. Guru berperanan sebagai seorang fasilitator. Guru memberikan satu aktiviti
penyelesaian masalah dan murid mesti berada di luar bilik darjah untuk menyelesaikan masalah
ini. Pada peringkat akhir murid akan menyediakan laporan terhadap aspek yang dibincangkan
dalam sesi pembelajaran mereka.
Pelbagai lagi kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar di dalam
kelas selain daripada kaedah-kaedah yang telah dinyatakan di atas tadi.
Umpamanya, kaedah kajian masa depan dan juga kaedah koperatif. Kaedah kajian
masa depan akan membolehkan murid-murid mengambil bahagian dalam penciptaan
masa depan. Kajian masa depan adalah penting untuk golongan remaja dan murid.
Guru akan dapat membantu murid untuk melihat pelajar supaya berfikiran jauh.
Dua prinsip dalam kajian masa depan ialah masa depan sahajalah merupakan ruang di
mana kita mempunyai kuasa dan pilihan untuk bertindak serta melakukan sesuatu dan
terdapat bukan hanya satu masa depan tetapi beberapa masa depan yang perlu dihadapi. Oleh
yang demikian, murid yang pelbagai latar budaya ini perlu memainkan peranan dalam sesi
pembelajaran supaya menjadi lebih bermakna dalam kehidupan mereka. Pemilihan soalan
kajian masa depan perlu dilakukan dengan beretika oleh guru.
Manakala kaedah koperatif pula murid yang terdiri dari pelbagai budaya
belajar secara berkumpulan dan berbincang secara harmonis. Murid-murid akan dapat belajar
secara kerjasama dan berinteraksi dengan murid yang datangnya dari pelbagai latar budaya
tersebut. Pembelajaran koperatif akan menjadi menarik kerana murid-murid melibatkan diri
secara aktif dalam pembelajaran. Murid turut dilatih dengan akauntabil i t i diri dan
bertanggungjawab sesama ahli. Kemahiran dan interaksi sosial dapat dipupuk dalam diri
murid. Pembelajaran kolaboratif bermaksud kerjasama erat di antara dua pihak atau lebih.
Murid akan berusaha bersama untuk mencapai matlamat pembelajaran. Pembelajaran melalui
kaedah ini melibatkan sekumpulan murid yang berusaha ke arah mencapai prestasi
yang cemerlang. Keberkesanan pembelajaran dapat ditingkatkan.
11.0 RUMUSAN
Guru perlu bijak melaksanakan pengajaran dalam kumpulan pelbagai kebolehan
kerana terdapat perbezaan yang agak ketara dalam diri murid. Selain itu, untuk
mencapai objektif pelajaran, guru harus mempertimbangkan langkah-langkah yang disarankan
seperti berikut :
a. Jadikan iklim bilik darjah adalah kondusif untuk menjalankan aktiviti pengajaran-
pembelajaran agar mereka merasa seronok, gembira, harmonis dan selamat
melibatkan diri dalamnya.
b. Bersifat penyayang untuk memenuhi keperluan kasih sayang.
c. Memupuk nilai penghargaan kendiri di kalangan pelajar serta memberi motivasi dan
peneguhan yang sesuai supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam aktiviti
pengajaran-pembelajaran.
d. Merancang aktiviti pengajaran mengikut kebolehan pelajar dengan tujuan
meningkatkan keyakinan mereka, dan seterusnya meningkatkan peluang memenuhi
keperluan penyuburan mereka, iaitu kesempurnaan kendiri, memperoleh ilmu
pengetahuan, menikmati dan menghasilkan karya atau ciptaan estetik yang bermutu
tinggi.
e. Memupuk nilai motivasi diri melalui bimbingan supaya pelajar memahami diri,
menerima diri, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, dan seterusnya
menentukan arah hidup dan masa depan sendiri yang tertinggi dihierarki aktualisasi
kendiri.
Kelemahan menggunakan pendekatan pedagogi yang sesuai pasti akan merencatkan
minat murid untuk meneruskan proses pembelajaran. Oleh yang demikian, guru disarankan
menguasai sepenuhnya aspek pedagogi supaya murid mempunyai minat di tahap yang tinggi
untuk terus menguasai ilmu dan kemahiran yang disampaikan serta memastikan keperluan asas
pelajar telah dipenuhi.
13.0 BIBLIOGRAFI
Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon. (2010). Budaya dan
Pembelajaran. Penerbitan Multimedia Sendirian Berhad, Selangor.
Mok Soon Sang. (2008). Murid dan Alam Belajar. Penerbitan Multimedia Sendirian Berhad,
Selangor.
Yap Beng Liang. (1993). Orang Bajau di Pulau Omadal, Aspek-aspek Budaya. Percetakan
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Kasim Mansur, Gusni Saat, Said Effendi, (2009). Jurnal:Kajian kes pelaburan pendidikan modal insan di kalangan suku kaum Sama-Bajau di Kota Kinabalu: halatuju dan cabaran. Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.
LAMAN WEB
http://en.wikipedia.org/wiki/Bajau.
http://www.peoplesoftheworld.org/text?people=Bajau.
LAMPIRAN 1
Gambar: Kanak-kanak Suku Bajau Laut
LAMPIRAN 2
Gambar: Wanita Suku Bajau Laut
LAMPIRAN 3
Gambar: Wanita Suku Bajau menari Tarian Daling-daling di majlis perkahwinan
LAMPIRAN 4
Gambar: Perkahwinan pasangan Bajau
LAMPIRAN 5
Gambar: Perkampungan Bajau Laut
LAMPIRAN 6
Gambar: Suku Bajau di Pantai Barat Sabah
LAMPIRAN 7
Gambar: Wanita Bajau kawasan Pantai Barat Sabah
LAMPIRAN 8
Gambar: Pembukaan Jambatan Pegagau ke Semporna
Gambar: Rombongan Sultan Sulu ketika Majlis Penyerahan semua kawasan pantai Barat Utara
kepada Baron De Overbeck dan Alfred Dent.
LAMPIRAN 8
Gambar: Daerah Semporna
Recommended