View
386
Download
15
Category
Preview:
DESCRIPTION
Warisan Kuda Kepang Johor
Citation preview
PEMARKAHAN1. ESEI ILMIAH
JUMLAH
BMS 3013: KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU
ETNIK WARISAN JOHOR : KUDA KEPANG
DISEDIAKAN OLEH
NAMA NO. MATRIK NO TELEFON
NADHIRAH BINTI HAMZAH D20131063333 01127344359
NAMA PENSYARAH : Husna Faredza binti Mohamed Redzwan
TARIKH SERAH:
Pendahuluan
Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai warisan dan kebudayaan yang
mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri. Kewujudan budaya-budaya serta etnik inilah yang
menjadi identiti masyarakat di Malaysia. Menurut Kamus Dewan (2007), kebudayaan
membawa maksud cara hidup, peradaban, tamadun dan kemajuan sesebuah masyarakat.
Oleh itu, pada kajian kali ini saya ingin mengkaji tentang salah satu kebudayaan yang
popular di negeri Johor iaitu tarian Kuda Kepang. Asa usul kuda kepang ini berakar dari
Tanah Jawa , iaitu Jawa Timur dan dibawa masuk oleh pendatang-pendatang Jawa yang
datang berhijrah atau yang membuka petempatan baru di Johor.
Pelbagai teori dan pertentangan pendapat oleh pakar-pakar sejarah Kuda Kepang
bagaimana Kuda Kepang ini dicipta dan ditemui. Aspek-aspek yang boleh dilihat dari segi
persembahan, penceritaan dan kewujudannya banyak mempunyai kaitan dengan upacar
pemujaan yang cuba dikaitkan dengan unsur Islam. Secara tidak langsung, kebudayaan
seni ini adalah tentang penyebaran Islam di Nusantara. Namun, terdapat juga unsur-unsur
spiritual yang jelas bertentangan dengan syariat agama Islam.
Teori asal-usul sejarah Kuda Kepang
Kuda Kepang ini yang sememangnya sinonim dengan tarian yang terdapat di Johor telah
bertapak di Tanah Jawa sejak kurun ke 15. Tarian ini dibawa oleh penduduk Jawa yang
datang berhijrah ke Tanah Melayu terutama sekali di Johor. Terdapat pelbagai mitos dan
teori tentang bagimana tarian kuda kepang ini dicipta.
Teori 1
Tarian Kuda Kepang ini diasaskan oleh Wali Songo (Sembilan) yang ingin menyampaikan
ajaran Islam di Tanah Melayu dengan cara mencipta tarian kuda kepang untuk menarik
perhatian orang ramai.Wali Songo merupakan salah seorang kumpulan pendakwah yang
menyampaikan dakwah Islamiah di Jawa. Pada mulanya, Wali Songo mengalami kesukaran
untuk mendekati penduduk kampung yang mendiami kawasan pedalaman kerana mereka
jarang bergaul dan berjumpa dengan orang asing. Tindakan mereka menyebabkan Wali
Songo terdorong mencari helah untuk mendekati penduduk kampung. Lalu tercetuslah idea
tarian Kuda Kepang yang diperbuat daripada buluh diiringi bunyi-bunyian untuk menarik
perhatian orang ramai. Lama-kelamaan tarian ini menjadi popular dan diserapkan ke dalam
budaya mereka.
Teori 2
Ada juga teori yang mengatakan kuda kepang ini merupakan simbolik kepahlawawan
berkuda pada zaman peperangan Islam. Menurut legenda, seorang pengembara Jawa yang
berhijrah ke Tanah Arab telah menyaksikan suatu peperangan dan bagaimana askar
berkuda Saidina Ali ‘naik syeh’ sehingga lupa diri sebelum memulakan peperangan. Dalam
keadaan naik syeh ini, mereka menjadi kebal dan mudah menewaskan musuh. Pengembara
Jawa tersebut kemudiannya pulang ke Tanah Jawa untuk menyiasat perkara tersebut. Di
sana dia bertapa dan akhirnya hilang. Tetapi sebelum itu, pengembara Jawa tersebut telah
menubuhkan kumpulan kuda kepang yang menggunakan bentuk kuda yang diperbuat
daripada buluh. Tarian ini menggambarkan peperangan Saidina Ali dengan tentera
berkudanya pada suatu masa dahulu. Gerak seni yang tangkas menjadi ikutan orang Jawa
kerana pengaruh Islam yang kuat sampai ke Pulau Jawa.
Teori 3
Terdapat juga teori dan mitos lain yang menghubungkan tarian kuda kepang ini
mempunyai asal usul dari kayangan. Kononnya, seekor kuda dari kayangan yang bernama
Kuda Sembrani dikatakan turun ke Tanah Jawa untuk mencari kawannya yang hilang.
Setelah menjumpai kawannya itu, kedua-dua kuda tersebut menari kegembiraan. Kelakuan
kuda ini telah diperhatikan orang ramai dan menyebabkan penduduk Jawa berminat
mencipta permainan yang sama gerak langkah kuda tersebut sehingga lahirnya Kuda
Kepang.Tetapi Islam turut membawa satu legenda lain yang mengatakan kuda tersebut milik
Sayidina Ali. Pada suatu hari, Saidina Ali telah bertemu dengan seorang perempuan tua
yang sedang menangis. Perempuan tua itu mengatakan bahawa minyaknya telah tertumpah
ke tanah. Lalu Saidina Ali menolong perempuan tua tersebut memerah tanah dan menapis
minyak itu sehingga kering. Tetapi pada masa yang sama, tanah telah menyumpah yang ia
tidak akan menerima mayat Saidina Ali . Apabila Saidina Ali meninggal, pengikut beliau tidak
dapat mengebumikan beliau kerana telah keras seperti batu. Legenda ini berakhir dengan
kemunculan Puteri Sayang Wenang menunggang kuda Saidina Ali, lalu hilang bersama
mayat tersebut.
Teori 3
Satu lagi teori dikemukakan oleh seorang pakar iaitu, Soedarsono, asal usul kuda kepang
adalah daripada upacara pemujaan ritual animisme yang dilakukan sejak zaman primitif.
Tujuannya adalah untuk memuja semangat roh nenek moyang. Islam mendasarkan asal
usul kuda kepang sebagai wadah penyebaran Islam yang unik. Pengaruh ini begitu kuat dan
menyeluruh menyebabkan generasi kuda kepang percaya tarian ini berasal dari Arab dan
berkaitan dengan kegiatan agama Islam.
Terdapat juga beberapa teori lain, namun teori-teori ini telah diterima umum. Ini disebabkan
tarian Kuda Kepang telah wujud sejak zaman penyebaran Islam dan kebanyakan teori
mempunyai hubungkait dengan penyebaran agama ini.
Menurut kepercayaan masyarakat Jawa, kuda kepang ini dikuasai oleh suatu jenis kuasa
ghaib. Upacara khas akan diadakan sebelum tarian kuda kepang mula membuka langkah
pertama. Sekiranya ia gagal, kemungkinan suatu kecelakaan akan menimpa para pemain
serta penontonnya. Oleh itu, adat istiadat pemujaan roh tarian kuda kepang ini perlulah
dilakukan dengan teliti. Setelah itu, bomoh akan menjampi gelanggang bagi merasmikan
tarian kuda kepang.
Masyarakat Jawa yang tidak lepas akan pegangan kuasa ghaib dan mistik ini mempercayai
tarian kuda kepang dimainkan bertujuan untuk menghubungkan orang yang telah mati
melalui alam lain. Banyak upacara tertentu dilakukan dan salah satunya ialah kuda kepang
yang masih lagi popular hingga ke hari ini. Selain itu, mereka percaya tarian kuda kepang
dimainkan untuk mebersihkan desa daripada gangguna roh-roh jahat, penyakit dan
malapetaka. Masyarakat Jawa masih lagi mempercayai pegangan ini dengan percampuran
antara nilai agam dan adat istiadat untuk mengekalkan perwarisan nenek moyang yang
kuat.
Kuda Kepang turut mempunyai beberapa nama seperti Jaran Kepang, Kuda Lumping,
Jathilan dan Ebeg. Menurut masyarakat Jawa, ‘Jaran’ bermaksud kuda manakala ‘Kepang’
merujuk kepada sejenis anyaman. Tarian kuda kepang yang menggunakan anyaman adalah
yang paling popular dalam kalangan masyarakat Jawa. Tarian kuda kepang telah tersebar
luas di serata wilayah Nusantara. Penyebarannya diteruskan lagi setelah dibawa masuk
oleh penghijrah masyarakat masyarakat Jawa ke ini dan kekal sehingga sekarang. Masih
banyak lagi ciri-ciri keasliannya dikekalkan sehingga sekarang yang menjadikan tarian ini
menarik khususnya di negeri Johor. Tidak banyak dilakukan pengubahsuaian terhadap
tarian kuda kepang walaupun telah berkurun lamanya tarian ini dicipta. Hal ini demikian,
kerana masyarakat Jawa yang begitu menghormati seni tradisi nenek moyang mereka dan
ini dibuktikan dengan pengekalan seni budaya dan tutur bahasa mereka yang digunakan
sehingga sekarang
Membuat Kuda Kepang
Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat Kuda Kepang mudah didapati seperti buluh
atau kulit binatang, sabut kelapa atau sabut nibung, rotan dan jenis kain pelbagai warna
sebagai hiasan
Rangka kuda kepang diperbuat daripada buluh halus yang dinanyam. Buluh-buluh ini diraut
nipis dan kemudiannya direndam selama dua minggu dalam air campuaan pelbagai herba
dan akar kayu yang bertujuan menguatkan buluh, lembut dan tidak dimakan ulat. Rangka
luar kuda pula diperbuat daripdada buluh yang lebih tebal untuk memberi bentuk kuda
kepang. Setelah direndam, buluh akan diraut nipis dan kecil iaitu setebal satu sentimeter
dan dinanyam mengikut bentuk kuda menggunakan rotan atau buluh.
Rambut dan ekor kuda kepang diperbuat daripda sabut kelapa atau sabut nibung yang
diwarnakan dengan warna hitam. Warna yang sering digunakan kebiasaanya berwarana
merah, hitam dan putih. Bahagian telinga Kuda Kepang diperbuat daripada kulit binatang
atau tapas pokok nibung. Bahagian gendali diperbuat daripada rotan halus, bahagian palang
tengah daripada buluh tali atau buluh galah yang tebal. Loceng dilekatkan pada bahu kuda
kepang bagi memeriahkan tarian kuda kepang.
Anyaman
Kuda Kepang dibuat dengan menggunakan buluh yang dianyam. Pada awal penciptaan
kuda kepang ini adalah dengan menggunakan pandan yang dianyam. Namun, terdapat
beberapa pengubahsuaian dilakukan seperti menggunakan papan lapis atau kulit lembu.
Kuda Kepang kebiasaannya berwarna hitam atau kuning. Anyaman kuda kepang akan dicat
dengan warna megikut kegemaran pengukir. Warna yang biasa digunakan adalah seperti
warna hitam yang dicampurkan dengan warna merah. Ada juga yang menggunakan warna
putih dan hitam untuk mewarnakan anyaman buluh. Terdapat juga kuda kepang yang
dibaluti oleh kain baldu untuk menjadikan papan kuda kepang ini menarik dan berharga.
Hiasan seperti ini dimainkan ketika persembahan di peringkat yang lebih tinggi atau kelas
atasan.
Tali tas
Tali tas juga dikenali dengan nama tali pemecut atau cemeti, diperbuat daripada buluh kecil
sebesar ibu jari kaki. Pada bahagian hujung tali tas dipintal-dipintal dan hujung pintalan
disambung dengan jerami atau tali terap lebih kurang satu meter. Tali tas dibuat lebih besar
pada bahagian pangkal dan mengecil pada bahagian hujung.
Tali tas ini dikatakan mempunya kuasa kesaktian iaitu Danyang dapat mengawal,
mengarah dan menghentikan permainan menggunakan tali tas ini pada bila-bila masa
sahaja.Penari akan mendengar arahan apabila tali tas ini dibunyikan. Oleh itu, tali tas dapat
menguasai daya konsentrasi penari.
Kostum
Kostum merupakan salah satu elemen penting dalam menjayakan tarian kuda kepang.
Sejarah kuda kepang yang berasal dari Jawa turut membawa kebudayaan dalam bentuk
pakaian masyarkata Jawa. Pakaian tersebut menjadi kostum kepada tarian kuda kepang ini.
Reka bentuk, warna dan jenis pakaian adalah berbeza antara satu kumpulan dengan
kumpulan yang lain yang menjadi identity kumpulan tersebut. Pakaian untuk menari tarian
Kuda Kepang adalah bebas dan haruslah seragam.
Sesetengah kumpulan mengenakan pakaian pahlawan zaman dahulu yang dilengkapi
bintang kebesaran pada baju. Namun, kebanyakan kumpulan penari Kuda Kepang
mengenakan pakaian Jawa Kuno yang menjadi asas kostum tarian kuda kepang seperti
ketopang atau tanjak dan memakai kain samping. Seluar pula dijahit menggunakan kain
kempun bercorak batik jawa. Ada juga penari yang mengenakan selendang yang berwarna-
warni dan dibelitkan pada pinggang atau bahu hingga ke bawah lutut.Terdapat dua jenis
tengkolok digunakan iaitu tanjak jawa dan tanjak Melayu. Kedua-dua tanjak ini dapat
dibezakan melalui cara ikatannya.
Pakaian bagi Danyang pula haruslah berbeza daripada ahli kumpulan yang lain. Danyang
harus memiliki pakaian yang lebih menarik dan tampak hebat untuk menunjukkan Danyang
mempunyai kuasa yang lebih dan mampu mengarahkan penari-penari lain.
Peralatan
Muzik memainkan peranan penting dalam persembahan kuda kepang. Muzik yang
dimainkan mempunyai rentak yang klasik dan unik.Penggunaan alat-alat muzik tertetu
boleh membuat penari kuda kepang terlalu asyik dan leka sehingga sampai suatu tahap,
boleh membawa mereka ke alam yang lain. Alat-alat muzik yang dimainkan semasa
persembahan kuda kepang ialah seperti Caklempong, Gong, Angklung, Gendang Jawa,
Kenong, Saron Kecil dan Jidur.
Caklempong (Bonang)
Caklempong ialah sejenis alat muzik yang tergolong dalam kumpulan bong yang bersaiz
kecil. Alat ini mengeluarkan muzik bergema (idiophone) dan digunakan dalam persembahan
gamelan. Caklempong juga dikenali sebagai keromong iaitu gong-gong kecil yang diletakkan
scara mendatar di atas tali dan kotak kayu. Dalam tarian kuda kepang, caklempong
dipanggil sebagai Bonang.
Ia diperbuat daripada gangsa ataupun perunggu, iaitu campuran tembaga dan timah putih
menggunakan teknik acuan. Besi dan timah akan dileburkan di dalam satu bekas berbentuk
mangkuk yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan sekam padi. Lakaran atau
kepingan gangsa yang telah dibentuk akan diketuk menjadi bonang. Bonang ini berbentuk
mangkuk atau kendi kecil yang bercembul. Terdapat sepuluh atau dua belas biji boning
diatur dalam dua baris dan diletakkan di dalam kotak kayu masing-masing. Satu baris
boning mempunyai nada yang tinggi, sementara satu baris lagi mempunyai nada yang
rendah.Bonang dimainkan dengan cara menggunakan dua pemukul kayu yang dibalut
dengan kain merah pada hujungnya. Balutan kain dijadikan pemukul lembut dan supaya
tidak merosakkan cembul bonang apabila dipukul. Kedua-dua pemukul ini digunakan oleh
seorang pemuzik untuk menghasilkan irama bonang, sama ada dua nada yang serentak
atau dua nada bertingkah.
Angklung
Angklung merupakan sejenis alat muzi yang juga tergolong dalam kategori idiophone.
Dalam persembahan Kuda Kepang, lazimnya terdiri daripada dua atau empat tabung yang
diikat pada rumahnya atau dikenali sebagai 'ancak'. Dua pasang angklung mempunyai nada
yang sama dan sebuah angklung lagi mempunyai nada yang berbeza. Ini bermakna dalam
munzik angklung mempunyai tiga atau lebih nada mengikut bilangan angklung. Angklung
digunakan untuk memainkan muzik yang mendatar dan perlahan. Oleh sebab itu, angklung
amat sesuai untuk nada dan gerak tari yang perlahan
Denong
Kenong merupakan sejenis alat muzik idiophone yang berasal dari Jawa, Indonesia.
Kenong adalah alat muzik yang hampir seperti gong tetapi mempunyai saiz yang lebih kecil.
Kenong ini dimainkan secara berpanjangan sepanjang tarian Kuda Kepang. Kenong juga
dikenali sebagai kenong jantan dan kenong betina dan diletakkan di atas dan diiikat pada
kayu yang keras untuk menghasilkan nada merdu apabila diketuk secara perlahan. Alat
pengetuk kenong terdiri daripada kayu dan tali yang dililit pada bahagian atas kayu tersebut.
Penggunaan alat muzik ini menambahkan lagi kelunakkan muzik kuda kepang .
Gendang Jawa
Gendang jawa merupakan alat muzik yang mempunyai bingkai kayu dan tertutup dengan
belulang pada kedua belah permukaan. Gendang merupakan alat membraphone(getaran
bunyi yang dihasilkan daipada kulit permukaan dan dimainkan secara tabuh. Gendang Jawa
berbentuk bujur dan panjangnya berukuran tiga kaki dengan saiz kedua-dua permukaan
yang berbeza.Kedua-dua permukaan Gendang Jawa ditutup dengan kulit lembu atau
kambing untung mengeluarkan nada muzik yang mendatar. Gendang Jawa dimainkan
secara duduk, dengan gedombak diletakkan di atas sila. Gendang adalah alat penting di
dalam memimpin rentak bunyian baik rendah ataupun tinggi. Ia dianggap alat yang paling
sukar dimainkan, dan memerlukan kemahiran yang tinggi di dalam.
Gong
Gong adalah sejenis alat muzik 'idiophone' yang berasal dari Asia Timur Selatan.Gong
adalah alat muzik yang berbentuk bulat dan pada bahagian tengah mempunyai satu bulatan
yang timbul. Pada bahagian cembul itulah alat tersebut dipukul dan megeluarkan bunyi. Alat
ini terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan
dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Kebiasannya, 1 atau 2 drum turut
dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik yang lebih unik
Saron Pekin
Saron kecil diperbuat daripada tembaga nipis dan melengkung . Saron pekin mempunyai
dua nada. Setiap bilah saron mempunyai berbeza nada yang tersendiri. Ia mempunyai oktaf
tertinggi dalam keluarga saron serta mampu menghasilkan suara lantang dan nyaring. Dari
segi fizikalnya, saron pekin mempunyai bilah yang berukuran lebih kecil tetapi lebih menebal
jika dibandingkan dengan bilah yang ada pada saron penerus. Alat pemukul bagi saron
pekin juga berbentuk penukul yang diperbuat daripada tanduk kerbau.
Jidur
Jidur pula merupakan alat untuk menghasilkan bunyi yang rendah dan perlahan sesuai
ketika tarian rentak perlahan Kuda Kepang dimainkan. Jidur diperbuat daripada batang
kelapa berongga dan permukaannya dilitipi kulit lembu atau kambing. Jidur digunakan untuk
persembahan kuda kepang dan dipalu menggunakan dua batang kayu untuk
memainkannya.
Persembahan Kuda Kepang
Sebuah kumpulan Kuda Kepang kebiasaannya mempunyai antara Sembilan hingga tiga
belas orang penari, lima atau enam pemain muzik dan diketuai oleh Danyang yang juga
seorang pawang merangkap ketua kumpulan. Pawang bertanggungjawab menyediakan
penari dari segi fizikal dan rohaniah sebelum menari. Penari akan membuat persembahan
sambil menyediakan sajian dan memanggil semangat dan kerohanian. Pawang bula
berfungsi sebagai perantaraan antara penari dengan kuasa ghaib, serta memelihara
penonton dan penari dari ancaman kuasa jahat. Setelah persembahan selesai, pawang
akan memulihkan penari keluar gelanggang dengan cara menyembunyikan tali pemecutnya
untuk menukar corak lantai penari. Terdapat tiga peringkat dalam tarian Kuda Kepang :
Peringkat pertama
Peringkat pertama dimulakan dengan upacara membuka gelanggang dan penyediaan
sajen (sajian). Tujuannya adalah untuk memanggil semangat roh nenek moyang dan
memulihkan semula penari yang tidak sedarkan diri. Upacara ini haruslah dilakukan dengan
teliti kerana sekiranya upacara ini gagal,kononnya akan mendatangkan kecelakaan kepada
penari dan penonton. Kebiasaannya upacara ini dilakukan oleh pawang yang
berpengalaman. Antara sajian yang harus disediakan oleh pawang ialah :
- Dua sisir pisang
- Secupak beras
- Kemenyan
- Kain putih dan jarum
Sajian ini bertujuan untuk menyeru dan mengembalikan semangat Kuda Kepang
- Seekor ayam jantan
- Telur
- Padi
- Bunga rampai
Sajian ini pula bertujuan untuk mengelak daripada terkena sebarang penganiayaan
orang terhadap penar. Selepas menyediakan sajian, mantera akan dibacakan sambil
mengasapkan kemenyan di tengah-tengah gelanggang.Penari-penari yang sudah
bersedia akan memasuki gelanggang dan mengusap muka mereka dengan asap
kemenyan sebagai menaikkan semangat. Mantera yang dibacakan adalah seperti
berikut :
Bismillahi-Rahman-nir-Rahim. Bulkulus
Halimun jati abang lampir tanpo relengan
Sumia maha suci maha agung dipermohonkan
Rezeki nanakadim, wetan, lor ngidol, ngiur duwor.
Nu anggang pendatangkan tetap getap
Raharih tibo kaji daning larang.
Berkat doa Lailaha-illallah
Bismillahi-Rahman-nir-Rahim. Sunmatak
Najku pendayangkan sengoro ratuni
Bumi kang pembawo reso balih rumah aku
Berkat doa Lailaha-illallah
Mantera yang dibacakan oleh pawang ini mewakili Wali Songo yang menyeru
semangat tanah untuk melindungi dan memelihara penari dan penonton ketika
persembahan tarian Kuda Kepang dijalankan. Mantera kedua pula dibacakan :
Bismillahi-Rahman-nir-Rahim. Kerusi belakangku,
Mutu jali di pangku, kadimu kananku,
Kau juga nasirnya empat. Jangan merosak jangan membinasa
Ahli kumpulan aku. Kalau merosak membinasa ahli kumpulan aku
Kena bendumi Allah. Berkat doa Lailaha-illallah
Mantera ini pula untuk meminta semangat tanah memelihara mereka daripada
gangguan semangat tanah.. Pawang kemudiannya memuja semangat kuda samberani
untuk merasuk kuda dan penari. Jampi serapah ini sulit dan rumit dan tidak dapat
dimaklumkan kepada sebarangan orang, kecuali kepada yang berkenaan sahaja.
Mantera ini merupakan inti persembahan kuda kepang dan akan merasuk penari ke
dimensi yang lain
Peringkat kedua
Pada peringkat ini, Danyang ( ketua) akan membunyikan tali tas sebanyak tiga kali sebagai
isyarat persembahan akan dimulakan penari mula mabuk dan khayal atau dikenali sebagai
‘naik syeh’. Penari akan menghadap Danyang dalam bentuk barisan, dengan iringan muzik
gabungan alat membranofon dan idiophone bergema, penari-penari mula menggerakkan
badan ke depan dan ke belakang. Keadaan ini merupakan puncak tarian di mana penari
boleh melakukan perkara di luar jangkaan seperti mengunyah kepingan kaca, mengoyak
sabut kelapa dengan gigi, dan ada juga yang boleh melompat tinggi seperti kuda. Penari
berada dalam keadaan tidak sedar atau ‘lupa’ kerana apabila disoal kembali tentang
perasaan dan kelakuan dalam keadaan tidak sedarkan diri, penari mengatakan mereka
seperti menunggang kuda dan tidak sedar akan keadaan sekeliling. Mereka boleh
mendengar alunan muzik, terutamanya alunan bunyi angklung yang semakin lama semakin
perlahan dan asyik. Lama-kelamaan tarian menjadi semakin rancak diikuti alunan muzik
yang ditabuh lebih cepat dan keras. Penari-penari mengikut rentak tanpa mereka sedari.
Tarian kuda kepang bercorak perjuangan dan mempertahankan diri. Penari-penari ini
berada dalam dimensi yang lain. Fungsi ruang dan masa berlainan daripada dunia nyata.
Mereka bergerak seperti perawan gagah, badan terasa ringan, berangin dan bergetar
semangat kepahlawanan dalam diri masing-masing. Langkah-langkah tarian Kuda Kepang
adalah seperti :
1. Danyang membunyikan tali tas dan penari dikehendaki berpusing ke belakang
sambil bergerak tiga langkah menjadikan jarak dua barisan semakin jauh.
2. Tali tas dibunyikan sekali lagi dan barisan di sebelah kiri Danyang menghadap
manakala barisan kanan membelakanginya. Pada masa yang sama, penari akan
berlenggang mengikut alunan lagu yang sedang dimainkan
3. Danyang membunyikan tali tas sekali lagi lalu para penari menghadap pasangan
masing-masing secara perlahan-lahan dan bergerak ke hadapan untuk bertukar-
tukar tempat.
4. Sekali lagi tali tas dibunyikan, penari akan mengelilingi Danyang sambil
menggayakan tarian mengikut alunan muzik.
5. Setelah tali tas dibunyikan lagi, penari akan membuat pecah tari pucuk rebung
dengan bergerak ke hadapan dan ke belakang.
6. Tali tas dibunyikan semula dan para penari mengelilingi Danyang dengan
membentuk bulatan
7. Langkah seterusnya, penari yang sedang melakukan tarian pucuk rebung akan
menari dengan lebih khusyuk
8. Akhir sekali, Danyang akan membunyikan tali tas sebanyak 7 kali. Pada masa inilah
para penari semua akan berhenti.
Peringkat ketiga
Walaupun Danyang telah menamatkan tarian, namun ada penari yang terus khusyuk
melakukan gerak tari dalam keadaan tidak sedarkan diri atau ‘naik syeh’. Pawang
bertanggungjawab untuk memulihkan semua penari yang sedang ‘naik syeh’ itu. Mantera
untuk memulihkan semula penari semasa naik syeh adalah seperti berikut :
Bismillahi-Rahman-nir-Rahim. Malikat wadi
Wadi maningkan yang menjaga darah tulang,
Kulit tulang, puliha segala bahaya, bukan aku punya jampi
Bukan aku punya tangkal,
Dengan kata kolamut sudah tiba. Dengan berkat doa
Lailaha-illallah Muhammad-ar-Rasulullah.
Mantera ini akan dibacakan ke ubun-ubun atau telinga penari yang sedang ‘naik syeh’
sebanyak tiga kali. Penari kebiasaannya rebah dan sedar semula dalam keadaan keletihan
tanpa mengetahui apa-apa yang terjadi sebelum itu.
Pantang larang
Tarian Kuda Kepang bukan sahaja dianggap sekadar hiburan yang boleh disaksikan begitu
sahaja, tetapi mempunyai pantang larang yang harus dipatuhi oleh penari dan penonton.
Pantang larang ini haruslah diikuti kerana diakatakan sesuatu yang buruk akan berlaku
sekiranya pantang larang tersebut tidak dipatuhi.
Penari yang terlalu asyik dengan tarian Kuda Kepang akan ‘naik syeh’ atau ‘lupa’ bererti
penari itu sendiri tidak sedarkan diri dengan melakukan beberapak perkara yang luar biasa.
Perkara seperti melompat beberapa meter, memakan rumput, dan meniti dawai yang halus.
Penari-penari yang terus-menerus naik syeh akan disedarkan oleh pawang yang
bertanggungjawab untuk menyedarkan setiap pemain.
Bagi penonton pula, sawan ‘Kuda Kepang’ mudah terkena sekiranya penonton terlau asyik
dengan persembahan Kuda Kepang tersebut atau penonton yang lemah semangat.
Penonton yang terkena sawan ini akan secara tiba-tiba terikut dengan gaya penari
melaukan aksi gerak tari Kuda Kepang. Oleh itu, pawang yang bertanggungjawab perlu
menyedarkan penonton tersebut.
Oleh itu, beberapa perkara haruslah dipatuhi oleh penonton supaya tidak mudah terkena
swan ‘Kuda Kepang’ ini. Pantang larang seperti penonton tidak boleh mengejek penari yang
sedang mabuk atau naik syeh. Bagi kaum wanita pula, mereka dilarang memakai bunga-
bungaan terutamanya bunga Cempaka atau bunga Kenanga. Hal ini demikian, kerana
penari-penari Kuda Kepang mempunyai deria bau yang sangat kuat dan peka akan keadaan
sekeliling. Penari yang telah terhidu bau bunga tersebut akan cuba mencari bunga tersebut
untuk dimakan. Penonton yang memakai bunga-bungaan dikhuatiri akan mendapat
kecederaan akibat tindakan penari Kuda Kepang yang cuba menyerang penonton.
Selain itu, penonton juga dilarang memakai pakaian berwarna merah. Penonton yang
memakai pakaian berwarna merah dianggap sebagai musuh yang harus dihapuskan.
Sekiranya terdapat penonton yang memakai pakaian berwarna merah, penonton boleh
berisiko untuk dirempuh oleh penari Kuda Kepang yang sedang naik syeh. Oleh sebab
itulah, pemakaian berwarna merah dilarang sama sekali.
Penonton juga tidak boleh mencaci penari atau persembahan Kuda Kepang. Penonton
yang tidak menggemari persembahan Kuda Kepang tidak boleh mencaci sama ada dengan
cara percakapan mulut atau dalam hati. Hal ini disebabkan penari Kuda Kepang peka dan
dapat mengetahui apa yang diucapkan oleh penonton lalu menerkam penonton tersebut.
Mereka yang terlibat perlu meminta maaf kepada pawang yang bertanggungjawb untuk
dipulihkan kembali.
Pantang larang bukan sahaja harus dipatuhi oleh penonton, malah penari Kuda Kepang
juga. Kuda Kepang haruslah ditempatkan di tempat yang khas dan bersih. Sekiranya Kuda
Kepang tersebut tidak dijaga dengan cermat dan diletakkan di sembarangan tempat, roh
Kuda Kepang akan mengamuk dan menyebabkan persembahan Kuda Kepang menjadi
kucar-kacir.
Unsur-unsur Spiritual dalam tarian Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang in ternyata penuh dengan unsur-unsur spiritual dan penuh mistik.
Setiap peringkat mempunyai upacara tersendiri seperti menyediakan sajian, mengasapkan
kemenyan ke muka para penari dan mantera-mantera khusus dibacakan. Menurut kajian
dalam buku Unsur-unsur Kebatinan Dalam Tarian Kuda Kepang, penari-penari yang mabuk
itu mengatakan mereka berada dalam suasana khayal seolah-olah mimpi. Perasaan
menunggang kuda adalah betul sehingga penari boleh bersifat seperti seekor kuda.
Sesetengah penari yang sedang ‘naik syeh’ melakukan perkara luar biasa seperti meragut
rumput seolah-olah menjadi kuda yang sedang kelaparan. Para penari yang mabuk juga
mempunyai kuasa hidu yang cukup tajam. Mereka dapat menghidu bau bunga-bungaan
yang dipakai oleh penonton.
Selain itu, alunan muzik yang didendangkan juga mempengaruhi para penari Kuda
Kepang. Sekirannya muzik yang dimainkan semakin perlahan, penari akan melanggar atau
menerkam pemuzik semata-mata untuk mencari muzik yang semakin hilang. Muzik yang
sumbang akan meninggalkan kesan kepada persembahan tarian Kuda Kepang.
Penjelasannya, bunyi-bunyian yang salah akan menyebabkan langkah gerak tari tidak dapat
dilakukan dengan betul. Tarian yang penuh dengan spiritual ini dipercayai ditonton bersama
kuasa ghaib yang kononnya sudah berada dalam tubuh penari-penari. Oleh itu, muzik yang
sumbang akan menyebabkan kuasa ghaib menjadi marah lalu merasuk tubuh penari
menjadi ganas dan liar. Kita dapat lihat di sini bagaimana penari yang sedang marah akan
merasuk pemain muzik atau penonton dengan kekuatan yang luar biasa.
Begitu juga dengan cara penyediaan sajen(sajian) dan bacaan mantera atau upacara.
Setiap kesilapan akan mempengaruhi kesan buruk kepada semua pihak. Bahan-bahan
sajian juga memadai kita untuk membuat satu kesimpulan bahawa penggunaan alat-alat
tersebut mempunyai kaitan dengan kuasa ghaib. Dalam tarian ini, jelaslah bahawa terdapat
unsur spiritual yang memainkan peranan penting menghidupkan gelanggang Kuda Kepang
seolah-olah tarian ini milik kuasa ghaib. Aspek kebatinan adalah penting dan harus diberi
penekanan. Oleh itu, sebelum membuat persembahan Kuda Kepang setiap ahli yang terlibat
haruslah mempersiapkan diri daripada segi rohani dan mental.
Persembahan Kuda Kepang Kini
Sejajar dengan perubahan semasa dan keadaan, Kuda Kepang juga mempunyai beberapa
perubahan untuk disesuaikan dengan kehendak masyarakat yang inginkan kelainan serta
pembaharuan. Terdapat beberapa perubahan dalam tarian Kuda Kepang seperti gaya tri,
muzik dan pakaian. Namun, ciri-ciri keaslian Kuda Kepang masih dipelihara supaya generasi
akan datang masih dapat menghayati keunikan Kuda Kepang. Pembaharuan seperti alunan
muzik rancak dipendekkan untuk menangani masalah penari Kuda Kepang yang terlalu
asyik dan mudah ‘naik syeh’. Secara tidak langsung, tarian ini akan kelihatan lebih sopan
dan tidak rancak. Alunan muzik ini juga dipendekkan atas beberapa faktor seperti boleh
mengurangkan aksi luar biasa yang dilakukan oleh pemain yang sedang ‘naik syeh’
terhadap penonton.
Selain itu, perubahan yang dilakukan ini juga bertujuan untuk menghindarkan khidmat
dukun atau pawang yang kononnya menguasai gelanggang. Jelas sekali bantuan meminta
khidmat kuasa-kuasa ghaib ini bertentangan dengan ajaran Islam. Tanpa disedari juga,
keaslian tarian Kuda Kepang ini semakin tenggelam kerana tujuan utama tarian ini adalah
untuk memuja semangat animisme kuda ataupun roh nenek moyang. Oleh itu, beberapa
upacaran ritual telah dilenyapkan kerana rata-rata rakyat Melayu yang beragama Islam amat
sensitif dengan penampilan unsur-unsur bukan Islam.
Kesimpulan
Tarian Kuda Kepang secara keseluruhannya dipersetujui oleh masyarakat bahawa tarian ini
berasal dari Pulau Jawa yang dibawa ke Tanah Melayu, khususnya Johor. Keunikan Kuda
Kepang ini jelas mengapa tarian ini popular sehingga sekarang. Peredaran masa telah
menyebabkan tarian Kuda Kepang mengalami beberapa perubahan terutama sekali babak
‘naik syeh’. Namun, keaslian rentak tarinya masih kekal supaya tarian Kuda Kepang terus
dipelihara. Dalam keadaan demikian juga, kita sedar bahawa hasil tradisi lisan yang
diwariskan kepada kita sejak berzaman amat penting sebagai sumber identiti budaya.
Warisan seperti inilah yang memperkuat kedudukan budaya kebangsaan Negara ini.
Bibliografi
Drs. Ungku Mohd. Zaman Tahir (2000). Unsur-unsur Kebatinan Dalam Tarian Kuda Kepang.
Bahagian Persuratan Dan Sejarah Yayasan Warisan Johor
Jasman Ahmad & Siti Zaiton (1996). Siri Seni dan Budaya : Kuda Kepang. Penerbit
Setiamas
Mohd Ghouse Nasuruddin (1994). Tarian Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka
Noriah Mohamed & Kamdi Kamil (2011). Masyarakat Keturunan Jawa Johor. Yayasan
Warisan Johor
Oosites.org (2009) .Sejarah Permainan Kuda Kepang. Oktober, 2009
http://www.oocities.org/tengku_mahkota_muar/sejarah_permainan_kuda_kepang.htm
Siti Umairah Binti Abdul Rasid (2010) Kuda Kepang.23 Ogos 2010
http://kudakepangsmt2252.blogspot.com/2010/08/sejarah-warisan-kuda-kepang.html
Lampiran
Antara kostum lengkap tarian Kuda Kepang
Contoh Batik Jawa
Anyaman Kuda Kepang
Danyang yang mengetuai tarian Kuda Kepang
Alat-alat muzik Kuda Kepang
Recommended