Upload
nurulizati-mohd-johar
View
1.760
Download
9
Embed Size (px)
Citation preview
5 PRINSIP TAMADUN ISLAM
1. MEMELIHARA AGAMA
Islam menjamin suasana selesa bagi memupuk keharmonian hidup beragama dalam
sesebuah masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk tidak asing bagi Islam. Firman Allah
S.W.T yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan
Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak semoga kamu dapat kenal
mengenali antara satu sama lain:” (Al-Hujurat, ayat 13)
“Dan di antara tanda-tandaNya ialah kejadian penciptaan langit dan bumi dan
kepelbagaian bahasa dan warna kulit di kalangan kamu, sesungguhnya ia adalah
menjadi bukti bagi mereka yang berilmu” (Al-Rum, ayat 22)
Islam juga mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam seperti yang
ternyata di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan jika dikehendaki Tuhanmu, tentu beriman semua manusia yang ada di bumi;
lantaran itu patutkah engkau (Muhammad) hendak paksa manusia sampai mereka
menjadi mu’minin (beriman)” (Surah Yunus, ayat 99)
“Dan kalau Allah mahu, nescaya Ia jadikan kamu (semua) satu umat, tetapi ia sesatkan
siapa yang ia kehendaki dan Ia pimpin siapa yang Ia kehendaki; dan kamu akan ditanya
darihal sesuatu yang kamu telah kerjakan:” (Surah al-Nahl, ayat 93)
”Tidak ada paksaan pada agama. Telah nyata kebenaran daripada kesesatan.”
(Surah al-Baqarah ayat 256)
Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa dalam soal fahaman dan anutan agama
seseorang tidak boleh memaksa seseorang untuk mengikuti fahaman agamanya. Islam
memberi kebebasan untuk memilih agama yang diyakini. Orang bukan Islam bebas
menganut agama yang mereka yakini dan bebas mengamalkannya. Islam mengiktiraf
kemampuan manusia berbanding dengan makhluk lain untuk menggunakan akalnya
dengan memberikan kebebasan untuk membeza dan memilih mana satu yang benar
dan mana satu yang salah. Islam juga memberi seluas-luasnya ruang kepada kekuatan
intelek untuk melakukan penelitian dengan hujah-hujah ilmiah untuk mencapai
kebenaran. Ini membuktikan Islam memberi peluang kepada masyarakat pelbagai
bangsa dan agama bukan sekadar berinteraksi dalam urusan harian, malah dalam
perbincangan tentang keilmuan serta soal kepercayaan dan akidah.
Islam menyediakan cara hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama. Prinsip
toleransi beragama, kebebasan beragama, sikap saling hormat menghormati di antara
satu sama lain yang berlainan anutan agama adalah sebahagian daripada ajaran Islam
yang wajib dilaksanakan. Sekiranya semua pihak yang berlainan agama ini benar-benar
memahami agamanya tentu mereka akan mengamalkan ajaran agamanya dengan
sebaik-baiknya. Dalam waktu yang sama Islam menggalakkan dan sentiasa memberi
ruang dan kesempatan untuk semua pihak yang berbeza agama ini berinteraksi bagi
berbincang tentang fahaman masing-masing yang tidak bertentangan dengan prinsip
agama masing-masing supaya lahir suasana yang harmoni dan saling hormat-
menghormati. Kesimpulannya setiap penganut agama mestilah memahami dengan
sebaik-baiknya ajaran agama yang dianutinya dan beramal dengannya. Ini jelas
menunjukkan betapa Tamadun Islam sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk
kerana Islam sentiasa menekankan kepentingan mendalami ilmu agama dan
mengamalkannya demi menjamin keharmonian masyarakat di samping kesucian agama
yang akan tetap terpelihara.
Islam mengakui wujudnya agama lain namun begitu ini tidak bermakna Islam mengakui
kebenaran agama-agama tersebut. Di dalam Islam tidak ada kompromi dalam soal
akidah namun dalam soal-soal lain Islam menggalakkan umatnya berinteraksi dengan
kelompok-kelompok berlainan agama.
2. MEMELIHARA NYAWA
Islam mewajibkan umatnya menjaga keselamatan dan mengharamkan perkara atau
perbuatan yang boleh membahayakan nyawa. Merokok dan menyalahguna dadah
adalah dilarang kerana ia merosakkan kesihatan dan membahayakan nyawa. Merokok
akan merosakkan paru-paru dan hati perokok serta orang-orang yang terhidu asap
rokok. Paru-paru dan hati yang rosak boleh menyebabkan kematian. Penyalahgunaan
dadah akan merosakkan seluruh sistem saraf dan boleh menyebabkan kematian.
Membunuh tanpa sebab merupakan dosa besar. Membunuh diri juga merupakan dosa
besar dan akan ditimpa azab di akhirat nanti. Perselisihan, perbalahan atau pergaduhan
sangat dilarang kerana ia akan merosakkan keharmonian dan mungkin menyebabkan
pembunuhan dan kehilangan nyawa. Justeru itu Islam amat menekankan cara hidup
yang harmoni.
Sebagai contoh keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia ialah hasil peranan
Islam sebagai unsur terpenting kerana orang Melayu yang majoritinya beragama Islam,
mempunyai kekuatan rohani dan intelek yang membolehkan mereka membina
kemahiran berkomunikasi, berinteraksi dengan sesiapa sahaja termasuk orang asing.
Budaya yang berlandaskan Islam telah membentuk ciri-ciri kelembutan, mudah
bersahabat, empati dan bertimbangrasa serta bertolak ansur. Ini menjamin keamanan
dan mengelakkan perbalahan dan peperangan. Keharmonian dan keamanan menjamin
nyawa terpelihara.
Islam juga bersifat anjal. Islam mewajibkan umatnya berusaha untuk mempertahankan
nyawa. Sekiranya sesuatu perkara atau perbuatan itu boleh menyelamatkan nyawa,
walau pada awalnya hukumnya haram ia boleh dilakukan. Contohnya dalam bidang
perubatan, ubat berbentuk cecair yang digunakan untuk merawat penyakit jantung
adalah diambil dari babi yang kita sedia maklum akan hukum haramnya, namun jika ia
dapat menyelamatkan nyawa pesakit ia adalah dibenarkan. Ia pastinya bersesuaian dan
mudah diterima di kalangan masyarakat majmuk.
3. MEMELIHARA AKAL
Perkara-perkara yang menyentuh tentang cara serta makanan dan minuman yang baik
untuk kesihatan tubuh badan dan akal fikiran juga diajarkan dalam Islam. Di dalam Al
Quran ada dinyatakan tentang kebaikan pengambilan madu lebah sebagai ubat yang
paling mujarab untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Menjaga kesihatan menjadi
kewajipan umat Islam. Adab makan juga diajarkan di dalam Islam. Contohnya sebelum
makan mestilah mencuci tangan supaya kekotoran pada tangan dapat dibersihkan.
Islam juga mengesyurkan memegang makanan menggunakan tangan kanan kerana
tangan kanan mengandungi kimia yang membantu penghazaman makanan. Makanan
yang mudah hazam menjamin kesihatan tubuh badan seterusnya menyihatkan fikiran
dan akal. Tubuh badan yang sihat akan menjamin akal yang sihat ke arah membina
negara dan menegakkan agama.
Makanan yang dimakan atau minuman yang diminum hendaklah yang halal yang
terhasil dari usaha yang halal kerana makanan dan minuman ini akan menjadi darah
dan daging serta menjana minda. Makanan atau minuman yang haram akan
mengotorkan jiwa dan merosakkan akal.
”Hendaklah perut itu dipaksa jangan sampai senang kepada kerakusan, sedikit sahaja
makan dan itupun yang halal sahaja, menjauhi perkara-perkara syubhat dan dilarang
untuk mengikut syahwat sehingga tidak mengenal batas.”
(Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Dimasqi; Intipati Ihya’ Ulumuddin
Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin, halaman 1364 )
Islam juga mengajar adab melakukan pekerjaaan. Islam mengajar umatnya memulakan
langkah dengan kaki kanan kerana pergerakan anggota kanan akan mengaktifkan otak
kiri. Otak kiri yang aktif akan melahirkan insan yang cerdik serta kuat ingatan dan
akalnya. Melakukan perkara yang merosakkan diri juga adalah dilarang. Contohnya
minum arak, ia dilarang kerana boleh menyebabkan mabuk dan merosakkan akal.
Mabuk dan akal yang rosak ini menjadikan manusia tidak siuman seterusnya
menggalakkan mereka melakukan kemudaratan kepada diri, orang lain serta
persekitarannya. Untuk lebih menjamin kewarasan akal, Islam mewajibkan umatnya
menuntut ilmu demi meningkatkan tahap pemikiran. Umat Islam digalakkan menimba
ilmu sebanyak-banyaknya walau di manapun supaya dengan ilmu yang dimiliki akal
akan terpelihara seterusnya menghindar diri dari melakukan perkara-perkara yang
menyalahi norma masyarakat serta ditegah oleh agama. Malah mencari ilmu itu
merupakan satu ibadat dan jihad di dalam Islam. Tidak syak lagi ia bersesuaian dengan
nilai agama lain dan sesuai diamalkan oleh semua orang.
4. MEMELIHARA MARUAH & KETURUNAN
Islam mendidik umatnya untuk sentiasa memelihara maruah dan keturunan. Islam
mengharamkan zina demi mengelakkan keturunan yang tidak menentu nasabnya. Islam
juga mengharamkan zina bagi mengelakkan tersebarnya penyakit berjangkit yang
berkaitan hubungan kelamin secara rambang. Contohnya di Malaysia kini pasangan
Islam yang akan berkahwin diwajibkan untuk mengikuti kursus perkahwinan dan mulai
tahun hadapan iaitu tahun 2009 mereka perlu menjalani ujian HIV (Warta 12, RTM 1, 23
Desember 2008). Ini adalah untuk memastikan bakal-bakal suami isteri mempunyai ilmu
yang secukupnya untuk mengendali sebuah keluarga seterusnya melahirkan zuriat yang
berakhlak mulia, sihat tubuh badan dan akal serta mampu menegakkan syariat Islam.
Islam telah mengiktiraf perkahwinan poligami namun ia tidak diwajibkan dan bukan
sesuatu yang digalakkan. Poligami dibenarkan adalah demi memelihara maruah dan
keturunan zuriat yang bakal dilahirkan. Ini berbeza dengan fahaman lain selain Islam.
Contohnya di Barat, poligami tidak dibenarkan tetapi undang-undang membenarkan
lelaki dan perempuan hidup bersekedudukan. Akibatnya lahirlah anak-anak luar nikah
yang tidak tentu keturunannya serta merebaknya penyakit berjangkit seperti AIDS atau
penyakit kelamin yang lain. Seterusnya terbentuklah masyarakat yang rosak akhlaknya
dan tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Justeru itu tidak syak lagi prinsip
Tamadun Islam sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk. Masyarakat bukan
Islam boleh juga melaksanakan peraturan seperti masyarakai Islam negara ini yang
mewajibkan pasangan yang bakal berkahwin mengikuti kursus perkahwinan dan
menjalani ujian HIV. Ini akan memelihara maruah dan keturunan mereka.
5. MEMELIHARA HARTA
Setiap individu berhak mencari rezeki masing-masing serta berusaha untuk mendapat,
mengumpul dan menggunakan harta benda mereka secara bebas mengikut
kemampuan masing-masing selagi tidak melanggar norma masyarakat dan agama.
Harta atau kekayaan yang diperoleh dari usaha sendiri dengan cara yang halal berhak
dipelihara dan dipertahankan. Tiada sesiapa berhak mengambil tanpa izin pemiliknya.
Mereka yang memelihara hartanya akan diberi pahala oleh Allah S.W.T.
Di Malaysia yang agama rasminya ialah agama Islam, sistem ekonomi alternatif yang
serasi dengan nilai Islam diperkenalkan. Prinsip dan amalan nilai Islam juga diterapkan
dalam pentadbiran. Usaha membanteras rasuah juga dijalankan. Program membasmi
kemiskinan, mewujudkan keadilan sosial, meningkatkan produktiviti, mewujudkan
masyarakat berintegriti, pengukuhan institusi keluarga, penekanan kepada pendidikan
dan pencapaian ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Semua ini adalah usaha
ke arah menjamin pemeliharaan harta benda.
Hadis Rasulullah yang bermaksud:
”Abdullah bin Omar berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Siapa
yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka ia mati syahid.” (Diriwayatkan
oleh Bukhari )
Berdasarkan maksud masyarakat majmuk yang telah dinyatakan di awal perbincangan
tadi iaitu masyarakat majmuk ialah masyarakat yang mengandungi beberapa kumpulan
etnik yang hidup berdampingan dan tinggal bercampur gaul, tinggal dalam satu unit
politik yang sama tetapi hidup cara berasingan dan tidak bersatu padu dan mempunyai
budaya yang tersendiri, tentunya ia memerlukan gabungan nilai yang dapat diterima
oleh semua pihak bagi menjamin keharmonian dan membentuk masyarakat yang
bersatupadu. Keharmonian dan masyarakat yang bersatupadu, sentiasa bekerjasama
serta saling memahami antara satu sama lain akan menjamin perkembangan intelektual,
politik, kerohanian, sahsiah dan ekonomi sesebuah negara dan masyarakatnya. Justeru
itu Tamadun Islam yang berdasarkan lima prinsip utama iaitu memelihara agama,
memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara maruah dan keturunan serta
memelihara harta yang kesemuanya berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah di mana
dasar utamanya ialah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak asasi
manusia, adalah sangat sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk.
Kesimpulannya Islam mengandungi gabungan nilai-nilai yang merupakan cara hidup
dan bersifat universal sesuai diamalkan oleh semua orang.
3. Islam dan Tamadun Melayu
3.0 PENDAHULUAN
Islam adalah agama universal yang datang dari Allah SWT untuk semua manusia. Ia memberi
sinar kepada manusia dalam mencorakkan tamadun ke arah kesempurnaan berdasarkan
panduan wahyu Ilahi, di samping tidak mengetepikan peranan akal manusia. Sinar Islam turut
dirasai oleh penduduk di rantau Alam Melayu apabila bermula usaha menyebarkan Islam.
Usaha ini membuahkan hasil yang dapat disaksikan hingga hari ini kerana tugas penyebaran
Islam dipertanggungjawabkan kepada setiap umat Islam, tanpa mengira bangsa, warna kulit,
keturunan dan jawatan. Justeru itu, kini umat Islam berada di serata dunia dan terdiri dari
pelbagai bangsa dan warna kulit.
Keberadaan Islam di rantau Alam Melayu yang terdiri dari daratan dan kepulauan yang banyak
jumlahnya telah berjaya membina satu imej baru kepada masyarakat rantau Melayu. Alam
Melayu berjaya menampilkan sebuah tamadun yang gemilang terutama setelah kedatangan
Islam ke rantau ini. Umat Melayu berjaya membina kecemerlangan dan kegemilangan dalam
pelbagai bidang yang dimulai dengan keagungan pemerintahan, pelaksanaan undang-undang,
kesungguhan pendidikan, kerancakan ekonomi dan kemurnian budaya serta sosial. Kejayaan
ini berjaya dibina oleh generasi awal berasaskan fahaman agama Islam yang berteras tauhid.
Bukti kejayaan tamadun dihuraikan pada perincian bab ini. Walaupun kejayaan yang dibina
berdasarkan pencapaian dan kepintaran zaman tersebut yang banyak bergantung kepada
bahan alam yang tidak terlalu kompleks teknologi penciptaannya, masyarakat Melayu tetap
bergerak aktif dan mampu berinteraksi dan bersaing dengan bangsa Asia lain seperti bangsa
Cina dan India. Umat Melayu mampu membina satu jati diri bangsa yang disegani dan menjadi
contoh teladan.
3.1 KONSEP TAMADUN MELAYU
Tamadun Melayu merupakan sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang
digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah
di Asia Tenggara. Wilayah ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan
Melayu, gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi.
(TITAS, 2004: 163) Sebelum Perang Dunia II, kawasan ini dirujuk sebagai Asia of the
Monsoons, East Indies dan juga Further India atau Hindia Jauh. (Azam Hamzah, 1997: 1)
3.1.1 Istilah Melayu
Istilah Melayu mempunyai maksud yang dalam dan luas. Sebahagian pengkaji menegaskan,
pada istilah Melayu terdapat dua pengertian, iaitu “Melayu” dan “kemelayuan”. “Melayu”
dimaksudkan sebagai satu rumpun bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu,
sementara “kemelayuan” mengandungi erti “nilai anutan” dan “jati diri Melayu” (Tenas Effendy).
Zainal Abidin Borhan (2004) pula menegaskan Melayu merupakan satu masyarakat peribumi
atau masyarakat asal rantau ini, rantau atau wilayah kebudayaan yang disebut sebagai Malay
Archipelago, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu. Kesatuan Melayu ini hidup aman, damai
dan rukun lantaran sifat adaptif, akomodatif dan assimilatif. Pengaruh asing yang meresap
disaring oleh para genius lokal menjadi sebahagian budaya Melayu. Genius Melayu terdiri
daripada para penulis, sasterawan, pedagang, pelayar, pengukir, penasihat pemerintah, alim
ulama dan pemerintah.
Kesatuan Melayu begitu mantap di kalangan masyarakat Melayu kerana nilai kemelayuan yang
dimiliki. Nilai kemelayuan penuh dengan falsafah yang memberi pengertian kehidupan bangsa
Melayu dalam membina jati diri bangsa. (Tenas Effendy)
Tamadun Melayu tidak mengambil kira sumbangan beberapa kerajaan awal Alam Melayu
seperti kerajaan Srivijaya di Palembang, Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Majapahit di Pulau
Jawa yang telah dibina lebih awal daripada Tamadun Melayu, walaupun sejarah membuktikan
bahasa Melayu telah mula digunakan lebih awal daripada kemunculan Tamadun Melayu. Ini
kerana tamadun awal ini tidak mempunyai rantaian dengan tamadun Melayu yang muncul
setelah kewujudan pengaruh Islam di rantau Alam Melayu. Ikatan rantaian ini terputus kerana
dasar pembinaan masyarakat pada kerajaan awal mempunyai tunjang yang berbeza dengan
tamadun Melayu yang muncul kemudian. Tunjang yang dimaksudkan ialah agama Islam.
Oleh itu, istilah Melayu boleh ditakrifkan berdasarkan kriteria berikut:
> Rumpun bangsa dan bahasanya iaitu Melayu.
> Pelbagai suku yang tergolong dalam Melayu-Indonesia seperti Jawa, Sunda, Madura, Aceh,
Minangkabau, Bajau, Murut, Bugis, Sasak, Melanau, Iban, Sulu dan sebagainya. (TITAS, 2004:
163)
3.1.2 Tamadun Melayu
Tamadun Melayu adalah tamadun menyeluruh yang dibangunkan oleh bangsa Melayu
berteraskan bahasa Melayu setelah kedatangan dan penerimaan Islam di seluruh rantau Alam
Melayu. Pemahaman terhadap Tamadun Melayu sebagai satu tamadun bangsa di rantau Alam
Melayu amat bersandar kepada pemahaman terhadap Tamadun Islam. Ini kerana kemunculan
Tamadun Melayu bertitik tolak dari penerimaan Islam oleh masyarakat rantau Alam Melayu
secara keseluruhannya. Pengajaran akidah Islam oleh para mubaligh Islam di seluruh rantau
Alam Melayu secara bertahap-tahap telah membina asas Tamadun Melayu. Situasi ini
bertambah mantap apabila para mubaligh berjaya menarik minat pemerintah Melayu. Sedikit
demi sedikit pemerintah Melayu beralih kepada kepercayaan Islam. Penerimaan ini memberi
kesan yang amat besar kepada pembinaan Tamadun Melayu sebagai satu tamadun yang
menghubungjalin suku kaum Melayu yang pelbagai. Sebagai contohnya, Merah Silu di Pasai,
Sumatera telah menerima akidah Islam. Demikian juga Parameswara di Melaka telah bersedia
menerima akidah Islam dari Syed Abdul Aziz untuk dirinya, keluarganya dan kemudiannya
masyarakat Melayu secara bertahap-tahap mengikut jejak pemerintahnya.
Tamadun Melayu terbina dengan nilai falsafah Islam yang tercerna dalam world view
masyarakat Melayu. Setiap gerak, tingkah dan usaha orang Melayu disandarkan kepada
falsafah Islam. Justeru itu, akar umbi bagi Tamadun Melayu adalah Tamadun Islam. Hal ini
menjadi kaitan utama kerana Islam telah berjaya merubah kepercayaan, pemikiran, cita rasa
dan tingkah laku masyarakat Melayu di negara dan rantau ini. Menurut Mohd Taib Osman
(1988: 2);
“Budaya orang Melayu; persambungan dan perubahan berlaku setiap kali tibanya pengaruh
peradaban-peradaban luar, pertamanya daripada peradaban India, kemudian peradaban Islam
dan mulai abad yang lalu, kita di Semenanjung secara menyeluruh, daripada peradaban Barat
moden. Pada tiap-tiap titik tibanya pengaruh luar itu, terdapat ciri-ciri yang telah sedia
memperlanjutkan budaya di samping munculnya ciri-ciri yang mengasaskan perubahan”.
Kehadiran Islam di Alam Melayu telah membawa perubahan besar ke atas nilai dan budaya
orang Melayu. Peralihan gaya berfikir, corak sosial, dan interaksi muamalat di kalangan orang
Melayu dan masyarakat sekitar telah diungguli oleh nilai tradisi Islam, sehingga unsur-unsur
Hindu-Buddha hampir terhakis dalam gaya hidup dan corak pemikiran masyarakat Melayu.
Meskipun demikian, masyarakat Melayu tidak menolak sepenuhnya amalan dan nilai tradisi
Hindu dan mereka tetap mengekalkan unsur-unsur yang tidak bertentangan dengan ajaran
Islam. Syed Muhammad Naquib menegaskan bahawa agama Islam telah mengubah jiwa dan
fizikal masyarakat Melayu Malaysia dan Indonesia. Manakala Mohd Taib Osman pula
berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah membawa perubahan sehingga
menjadikannya sebahagian daripada dunia Islam (Ismail Hamid, 1991:60). Perubahan-
perubahan yang maksudkan oleh kedua-dua tokoh di atas dapat dilihat daripada semua aspek
kehidupan seperti bidang bahasa, sastera, intelektual, undang-undang, kepercayaan, politik,
adat istiadat dan kesenian.
Tamadun Melayu tidak mengambil kira sumbangan beberapa kerajaan awal Alam Melayu
seperti kerajaan Srivijaya di Palembang, Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Majapahit di Pulau
Jawa yang telah dibina lebih awal daripada Tamadun Melayu, walaupun sejarah membuktikan
bahasa Melayu telah mula digunakan lebih awal daripada kemunculan Tamadun Melayu. Ini
kerana tamadun awal ini tidak mempunyai rantaian dengan tamadun Melayu yang muncul
setelah kewujudan pengaruh Islam di rantau Alam Melayu. Ikatan rantaian ini terputus kerana
dasar pembinaan masyarakat pada kerajaan awal mempunyai tunjang yang berbeza dengan
tamadun Melayu yang muncul kemudian. Tunjang yang dimaksudkan ialah agama Islam.
3.1.3 Nilai-nilai Asas Kemelayuan
Menurut Tenas Effendy, nilai-nilai asas kemelayuan terangkum dalam “Pakaian Duapuluh lima”
atau “Sifat dua puluh lima”. Nilai-nilai ini meresap dan berakar umbi menjadi sifat masyarakat
Melayu. Ini menyebabkan anak Melayu “menjadi orang” yang sempurna lahirian dan batiniah.
Inilah asas jati diri Melayu. Nilai-nilai tersebut adalah seperti berikut:
i. Sifat tahu asal mula jadi, tahu berpegang pada Yang Satu.
ii. Sifat tahu membalas budi.
iii. Sifat hidup bertenggangan, mati berpegangan.
iv. Sifat tahukan bodoh diri.
v. Sifat tahu diri.
vi. Sifat hidup memegang amanah.
vii. Sifat benang orang.
viii. Sifat tahan menentang matahari.
ix. Sifat tahu menyimak, pandai menyimpai.
x. Sifat menang dalam kalah.
xi. Sifat tahan berkering, mau berbasah.
xii. Sifat tahu unjuk dengan beri, tahu hidup bertenggangan.
xiii. Sifat timbang dengan sukat.
xiv. Sifat tahukan malu.
xv. Sifat berpada-pada.
xvi. Sifat ingat dengan minat.
xvii. Sifat hemat dan cermat.
xviii. Sifat tahu harta berpunya, tahu pinjam memulangkan.
xix. Sifat tahu hidup meninggalkan, tahu mati mewariskan.
xx. Sifat lasak mengekas, tekun mengais.
xxi. Sifat menggulat air setimba.
xxii. Sifat merendah menjunjung tuah.
xxiii. Sifat lapang terbuka tangan.
xxiv. Sifat berbaik sangka.
xxv. Sifat Yang Pucuk.
Nilai-nilai murni ini dikuatkan dengan adanya nilai-nilai yang dipantang oleh orang Melayu. Nilai
pantang ini dikenali dengan “Pantangan anak Melayu”. Nilai ini juga berjumlah dua puluh lima
sebagaimana nilai “Sifat dua puluh lima“. Kerana itu, nilai ini juga dikenali dengan “Pantangan
yang dua puluh lima.“ Pantangan tersebut adalah seperti berikut :
i. Membelakangi syarak
ii. Durhaka kepada orang tua
iii. Membuang adat lembaga
iv. Bermanja-manja
v. Mengada-ada
vi. Berlengah-lengah
vii. Besar kepala
viii. Buta keta atau mata kayu
ix. Bercawat ekor
x. Makan menghabiskan
xi. Bercabang lidah
xii. Jilat menjilat
xiii. Meminta-minta
xiv. Menjilat ludah
xv. Membuang petuah
xvi. Bermegah-megah
xvii. Membabi buta
xviii. Lupakan hutang
xix. Berburuk sangka
xx. Muka tebal atau tebal muka
xxi. Mencampakkan beban di bahu
xxii. Mengoyak baju di badan
xxiii. Menggunting dalam lipatan
xxiv. Menjala angin
xxv. Kerja tak menyudah
Nilai-nilai kemelayuan yang dibentangkan di atas menggambarkan jatidiri Melayu yang murni
dan mantap. Jatidiri ini menjadikan masyarakat Melayu mampu menghadapi sebarang cabaran
dan kemungkinan.
3.2 Kedatangan Islam ke Alam Melayu
Terdapat pelbagai teori yang diutarakan oleh sejarawan mengenai kedatangan Islam ke Alam
Melayu. Para sejarawan tempatan cenderung mengatakan Islam telah datang ke rantau ini
sejak abad 7 M dengan usaha para mubaligh dari Semenanjong Tanah Arab. Sebilangan besar
sejarawan Barat pula menegaskan kedatangan Islam ke rantau ini berlaku pada penghujung
abad 13 M dan di sepanjang abad 14 M, iaitu kira-kira antara tahun 1292 hingga 1390 M.
Golongan yang bertanggungjawab membawa Islam pada tahun-tahun ini ialah saudagar-
saudagar India dan China. (Azam Hamzah, 1997: 3)
Secara umumnya terdapat tiga teori mengenai kedatangan Islam ke Alam Melayu. Teori-teori
tersebut adalah seperti berikut:
3.2.1 Teori Dari India
Teori ini dipelopori oleh Snouck Hurgronje dan mendapat sokongan dari kebanyakan sejarawan
orientalis seperti R.O.Winstedt, B. Harrison, Mouquette, D.G.E.Hall, J. Gonda, Marrison,
Bousquet, Vlekke dan sebagainya. Snouck menyatakan di dalam bukunya Islam di Hindia
Belanda bahawa:
"Setelah sebahagian bangsa India memeluk Islam, maka orang-orang Islam dari India turut
mengambil bahagian lalu lintas dan imigrasi di Nusantara, dan mereka itulah yang memasukkan
Islam ke wilayah Nusantara."
Antara hujah yang digunakan untuk mengukuhkan teori ini adalah seperti berikut:
1. Batu-batu nisan awal yang dijumpai di Alam Melayu diimport dari Kambay (Kembayat )
Gujerat, India.
2. Peranan penting yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Gujerat di Kepulauan Melayu dan
kesannya terhadap penyebaran Islam.
3. Tradisi kesusasteraan Melayu mirip kepada tradisi Islam di India.
Selain dari itu, mereka juga bergantung kepada catatan pengembara seperti Marco Polo dan
Ibn Batutah yang pernah melawat Alam Melayu sekitar abad 13 dan 14 M. (Mahayudin Hj
Yahaya, 1996: 558) Dalam catatan Marco Polo ketika singgah di Sumatera pada tahun 1292 M,
beliau menyaksikan penduduk Perlak telah memeluk Islam, sedangkan penduduk samudera
lain masih lagi belum menerima Islam. Catatan Ibn Batutah pula menyebutkan beliau telah
melawat Pase (Pasai) pada tahun 1345 M dan mendapati penduduknya telah beragama Islam.
(Azam Hamzah, 1997: 4)
Hujah golongan ini bertambah kukuh dengan penemuan makam Sultan Malik al-Salleh,
pemerintah Pasai yang disebut dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Raja-raja Pasai sebagai
pemerintah pertama di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13 M. Penemuan ini meyakinkan
mereka bahawa Islam tersebar di Alam Melayu hanya pada sekitar abad tersebut. (Mahayudin
Hj Yahaya, 1996: 558)
Teori ini mempunyai beberapa kelemahan. Malah kajian terkini mempunyai hujah yang lebih
kukuh untuk menyatakan bahawa interaksi Alam Melayu dengan Semenanjong Tanah Arab
telah berlaku lebih awal lagi, khususnya sebelum kemunculan Islam. Antara kelemahan teori ini
adalah seperti di bawah:
1. Hujah menyatakan batu-batu nisan yang dijumpai di Kepulauan Melayu menyerupai atau
dibawa dari India sebagai bukti Islam dibawa dari India adalah tidak tepat. Ini kerana batu nisan
merupakan salah satu barang dagangan yang mungkin diperdagangkan oleh pedagang India.
2. Adalah tidak tepat untuk menyatakan hanya pedagang India sahaja yang berdagang di
Kepulauan Melayu sehingga terpaksa menunggu mereka memeluk Islam terlebih dahulu
sebelum kawasan ini diislamkan. Malah terdapat juga pedagang lain seperti dari Arab. Ini
adalah berdasarkan pendapat J.C.Van Leur bahawa telah ada penempatan Arab di Canton,
China sejak abad 4 M lagi. Pedagang Arab yang melalui jalan laut singgah ke pelabuhan-
pelabuhan di Kepulauan Melayu untuk mendapatkan bekalan atau menunggu musim angin
yang sesuai untuk meneruskan pelayaran sambil berdagang.
3. Tradisi kesusasteraan Islam di kepulauan Melayu mirip tradisi Islam India juga tidak dapat
diterima kerana perkembangan tradisi sastera agak lewat, iaitu setelah Islam lama bertapak di
kawasan ini. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558 )
Selain itu, terdapat juga perselisihan pendapat di kalangan para sejarawan mengenai daerah di
India yang memainkan peranan menyebarkan Islam ke Alam Melayu. Daerah-daerah yang
menjadi bahan perdebatan adalah seperti berikut:
1. Gujerat
Daerah ini dikemukan berdasarkan kajian G.P. Moquette. Menurut kajian beliau, terdapat
persamaan dua batu nisan di Kepulauan Alam Melayu, iaitu batu nisan di Pasai yang bertarikh
1428 M dan batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Grisek bertarikh 1419 M dengan batu nisan
Umar ibn Ahmad Kazarumi di Gujerat. Teori ini disokong oleh beberapa pengkaji barat yang lain
seperti W.P. Stuterheim, J. Gonda dan C.A.O. Van Nieuwenhuijze.
Walau bagaimanapun teori ini juga mempunyai kelemahan yang jelas, antaranya tarikh
pengislaman Pasai lebih awal daripada tarikh yang tercatat pada batu nisan yang ditemui. Pasai
telah menerima Islam pada tahun 1042 M sedangkan Gujerat ketika itu belum menerima Islam
lagi. Selain itu, persamaan batu nisan di Alam Melayu dengan Gujerat boleh menunjukkan batu
nisan mudah dipesan dari Gujerat, bukan sebagai bukti Islam disebarkan dari Gujerat. ( S.M.
Naquib Al-Attas 1972 : 33 )
2. Benggala
S.Q.Fatimi pula membuat hipotesis Islam berasal dari Benggala. Beliau bersandarkan kajian
Tome Pires dalam bukunya berjudul Suma Oriental. Menurut Tome Pires, Malik al-Salih yang
merupakan sultan Islam pertama di Pasai adalah seorang pedagang Benggali yang berasal dari
Benggala. Berdasarkan pandangan ini, Fatimi menyimpulkan Islam juga berasal dari Benggala.
Selain itu, S.Q. Fatimi juga beranggapan pendapat Tomes Pires sejajar dengan tanggapan
yang menegaskan Pasai adalah negeri pertama di Alam Melayu yang menerima Islam. Teori ini
juga boleh disanggah dengan jawapan berikut:
Pertama: Raja Pasai yang pertama adalah Meurah Giri atau Sultan Mahmud Syah yang mula
memerintah pada tahun 1042 M.
Kedua: Asal usul Malik al-Salih dari Benggala juga tidak mempunyai bukti yang kukuh.
3. India Selatan
Pendapat ini dikemukakan oleh Van Ronkel dengan alasan bahawa bentuk-bentuk popular
dalam budaya masyarakat Islam di Kepulauan Alam Melayu seperti ciri-ciri mistik, sastera
roman dan sebagainya seperti yang terdapat di Indonesia berasal dari India Selatan.
4. Malabar
Antara pendukung teori ini ialah Thomas Arnold. Beliau berdasarkan persamaan mazhab Shafie
antara masyarakat Islam Malabar dengan masyarakat Islam di Indonesia.
Kedua-dua teori yang mengatakan Islam berasal dari India Selatan dan Malabar tidak
mempunyai asas yang kukuh kerana ajaran Islam yang berkembang di India pada ketika itu
memang merupakan fenomena dunia Islam keseluruhannya, sama ada dari segi pemikiran
fikah mahupun tasawuf. (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990 : 44-45 )
Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1990) dalam bukunya Pemikiran Umat Islam Di
Nusantara kelemahan terbesar pendukung teori ini ialah anggapan mereka bahawa agama
Islam di Alam Melayu hanya bertapak pada abad ke-13 M, sedangkan Islam telah bertapak
sejak abad pertama hijrah lagi iaitu sejak 7 masihi lagi. Walau bagaimanapun, tidaklah dinafikan
para mubaligh dari India turut memainkan peranan aktif dalam proses Islamisasi di Alam
Melayu terutama pada abad ke-13 M.
3.2.2 Teori Dari Cina dan Campa
Teori ini dibahaskan oleh Prof. S.Q.Fatimi dalam bukunya Islam Comes to Malaysia. Pendapat
beliau ini berdasarkan fakta perpindahan beramai-ramai orang Islam dari Canton, Cina sekitar
tahun 876 M akibat pemberontakan yang mengorbankan seramai 100,000 hingga 150,000
orang Islam di wilayah ini. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559) Tragedi pemberontakan ini terjadi
akibat tanggapan penduduk tempatan yang mengatakan bahawa kedudukan kukuh di kalangan
masyarakat Arab-Islam yang bermastautin di Canton boleh mengancam ekonomi dan
keselamatan masyarakat Cina. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 39)
Impak peristiwa hitam ini, berlaku penghijrahan masyarakat Arab-Islam Canton ke Kepulauan
Melayu. S.M. Naquib turut mempunyai pandangan yang sama terhadap isu penghijrahan ini.
Malah menurut beliau, masyarakat Arab-Islam Canton telah berhijrah ke Kedah dan
Palembang. Selain itu, terdapat juga sebilangan masyarakat Arab-Islam Canton yang berhijrah
ke Campa, Brunei, pantai timur Tanah Melayu (Patani, Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan
Pulau Jawa sebelah timur. Penghijrahan ini memberi kesan dalam penyebaran Islam di
kawasan-kawasan tersebut. (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Seandainya kejadian tersebut dikaitkan dengan bukti-bukti tempatan, memang ada
kemungkinan Islam di Alam Melayu datang melalui negara Cina. Kesan awal yang ditemui ialah
batu nisan seorang wali keturunan Arab bertarikh 419 H (1028 M) yang ditemui di Pekan,
Pahang. Batu nisan ini mengandungi tulisan ayat-ayat al-Qur’an. Demikian juga bukti yang
paling terkenal iaitu Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 702 H (1303 M) yang
mengandungi tulisan mengenai kewajipan mematuhi hukum Allah S.W.T. seperti hukuman bagi
pesalah zina dan sebagainya. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 40)
Selain kesan di pantai timur Semenanjung yang memberi kemungkinan Islam datang melalui
Cina, terdapat juga bukti pertapakan Islam di Kedah. Bukti pertama ialah penemuan batu nisan
di Langgar, Kedah yang terukir nama Syeikh Abdul Qadir ibn Husain Syah Alam bertarikh 219 H
(903M). Bukti kedua pula ialah peranan seorang Arab bernama Syeikh Abdullah Yamani yang
berjaya mengislamkan Maharaja Drebar, Raja II pemerintah Kedah dengan nama Islamnya
Sultan Muzaffar Syah pada tahun 1136. (Ibid) Selain dari bukti-bukti tersebut terdapat bukti-
bukti lain seperti batu nisan seorang puteri Islam di Brunei bertarikh 1048 M, batu nisan Fatimah
bt. Maimun bin Hibatu’Llah di Leran, Jawa Timur bertarikh 1082 M. (Mahayudin Hj Yahaya
1996: 559)
Terdapat juga di kalangan sejarawan yang berpandangan wilayah Indo-China sebagai tempat
asal penyebaran Islam di Alam Melayu. Islam dikatakan telah berkembang di Campa, Kemboja
sejak abad 8 M. Penduduk Alam Melayu dikatakan telah berinteraksi dengan wilayah ini sejak
abad 7 M lagi menerusi penaklukan dan perkahwinan, terutamanya perkahwinan keluarga
Diraja. Bukti yang menunjukkan Islam terlebih dahulu tersebar di Campa juga melalui
penemuan beberapa batu nisan yang mempunyai tulisan Arab bertarikh 1039 M dan sebuah
batu peringatan bertarikh 1025 M yang mencatatkan beberapa hukum-hukum Islam. (Azam
Hamzah, 1997: 14)
Selain itu, bukti yang jelas bagi pendukung teori ini ialah kesediaan Cina memberi naungan
kepada kerajaan Islam melalui hubungan diplomatik. Di samping itu, bukti seni bina juga
menjadi hujah untuk mengatakan Islam berasal dari Cina. Bukti seni bina yang menjadi alasan
kukuh ialah seni bina masjid terutamanya di Melaka, Kelantan dan Pulau Jawa, Indonesia yang
mirip berbentuk pagoda di Cina.
Walaupun bukti-bukti yang dikemukakan tersebut agak menyakinkan, tidaklah bermakna Islam
hanya baru diperkenalkan di Alam Melayu pada waktu itu kerana terdapat bukti wujudnya
penempatan orang Islam di kawasan ini terutama di bahagian utara Sumatera lebih awal dari
tarikh-tarikh tersebut. ( Mahayudin Hj Yahaya 1996 : 559 )
3.2.3 Teori Dari Tanah Arab
Teori yang menyatakan Islam disebarkan terus dari Tanah Arab ke Kepulauan Melayu
mendapat sokongan ramai kerana teori ini mempunyai asas yang lebih kukuh. (Mahayudin Hj
Yahaya 1996: 559 ) Teori ini didokong oleh kebanyakan sarjana Alam Melayu seperti Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Dr. Hamka, Prof. Caesar Adib Majul dan sebagainya.
Teori ini kemudiannya turut disokong oleh sarjana Barat seperti Niemann dan Pijnappel. (Azam
Hamzah 1997: 6).
Teori ini menyatakan Islam dibawa ke Alam Melayu sejak abad pertama hijrah berdasarkan
wujudnya aktiviti perdagangan dengan pedagang Arab sejak zaman pra-Islam lagi. (Mahayudin
Hj Yahaya 1996: 559) Ini menunjukkan pada ketika itu orang Arab telah mengetahui kedudukan
dan kepentingan Alam Melayu dan kemungkinan besar hubungan tersebut berlanjutan selepas
kedatangan Islam.
Abdul Rahman Haji Abdullah mengukuhkan teori Islam berasal dari Tanah Arab dengan
membahagikan peringkat-peringkat kedatangan Islam di Kepulauan Alam Melayu kepada tiga
peringkat. Peringkat-peringkat tersebut bermula dengan tahap persinggahan, pertapakan dan
penyebaran secara meluas.
Tahap Persinggahan
Kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu pada tahap ini ialah kerana faktor perdagangan.
Menurut Prof. Hamka, orang Arab telah belayar ke Alam Melayu sebelum kelahiran Nabi
Muhammad S.A.W. untuk membeli rempah dan kapur barus yang tidak terdapat di tempat lain,
kecuali di Sumatera. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 26) Selain dari keperluan barangan
tersebut yang menghasilkan hubungan secara langsung dengan Tanah Arab, wujud juga
hubungan secara tidak langsung apabila pedagang Arab dan Parsi menjalankan kegiatan
perdagangan dengan Cina. Pada umumnya, orang Arab menggunakan jalan laut melintasi
pantai India dan Kepulauan Melayu. Semasa dalam pelayaran, sebahagian daripada mereka
telah singgah di pusat-pusat perdagangan di laluan laut, termasuklah di Kepulauan Melayu
(Ibid). Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan catatan I-Tshing, seorang pengembara Cina yang
menyebut pada tahu 671 M, beliau belayar dari Canton ke Sumatera dengan sebuah kapal
kepunyaan saudagar Arab. Bukti ini juga menunjukkan kemungkinan merekalah antara orang
yang awal mengislamkan penduduk Alam Melayu (Azam Hamzah 1997: 7) .
Mengenai tarikh bermulanya hubungan Arab dengan negara Cina, terdapat catatan Cina yang
menunjukkan pada abad 4 M sudah terdapat penempatan orang Arab dan Parsi di negara Cina.
(Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 28) Ini menunjukkan bahawa hubungan Arab-Cina telah
berlaku sebelum kelahiran Islam lagi. Kepentingan Alam Melayu sebagai kawasan
perdagangan bagi orang Arab terus kekal selepas kemunculan Islam pada abad 7 M. (Ibid)
Apabila orang Arab telah menerima Islam maka bermulalah pertapakan Islam di kawasan Alam
Melayu (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559).
Hujah ini dikuatkan lagi dengan peristiwa `Am al-Wufud atau ”Tahun Perutusan” yang berlaku
pada tahun 630 M. Dalam peristiwa ini, bangsa Arab dari segenap pelusuk telah menyatakan
pengislaman mereka terhadap Rasulullah S.A.W. yang akhirnya seluruh Semenanjung Tanah
Arab telah menganut Islam termasuklah Yaman. (Abdul Rahman Haji Abdullah 1990: 32)
Pengislaman Yaman sekitar tahun 630-631 M di atas usaha Sayyidina Ali bin Abi Talib memberi
impak besar terhadap proses Islamisasi di Alam Melayu. Ini kerana sebahagian besar para
pedagang yang berdagang ke rantau ini terdiri dari kalangan masyarakat Islam Yaman, selain
dari Hadramaut dan Oman. Mereka telah menyebarkan Islam semasa singgah di pelabuhan-
pelabuhan rantau Alam Melayu (Mahayudin Hj Yahaya 1996: 559)
Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Islam tersebar ke kepulauan
Melayu pada tahun 30 Hijrah/561 M, iaitu pada zaman Sayyidina Uthman ibn Affan (644-656
M). Ketika ini utusan rasmi telah dihantar ke Cina. Oleh sebab tempoh perjalanan mengambil
masa sekitar 4 tahun, mereka turut diutus ke Pulau Jawa dan pulau-pulau sekitarnya ( Abdul
Rahman Haji Abdullah 1990: 33 ).
Berdasrkan bukti-bukti di atas bolehlah dikatakan bahawa orang Arab Islam telah singgah di
rantau ini sejak zaman Rasulullah S.A.W. dan Khulafa’ al-Rasyidin lagi iaitu pada abad 7 M.
Tahap Pertapakan
Tahap ini berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah dan Abbasiyah. Pada tahun 674 M,
iaitu pada zaman Muawiyah ibni Abi Sufyan dikatakan sudah terdapat penempatan orang Arab-
Islam yang dikenali Ta-shih3 di pantai barat Sumatera dan di Pulau Jawa. Menurut catatan
sejarah, Muawiyah pernah menghantar utusan ke Pulau Jawa untuk mengadakan hubungan
perdagangan. Selain itu, beliau turut mengutus surat kepada Raja Srivijaya di Jambi bernama
Lokitavarman untuk menyarankan supaya beliau menganut agama Islam serta menjalin
hubungan dagang dengan Damsyik. Hubungan tersebut diteruskan oleh Sulaiman bin Abd
Malik (715-717 M). Baginda telah menghantar angkatan yang mengandungi 35 buah kapal ke
Muara Sabak di Jambi untuk menjalankan perdagangan lada.
Bagaimanapun usaha dakwah dikatakan hanya berjaya semasa pemerintahan Khalifah Umar
Abd Aziz (717-720 M). Beliau telah berjaya mengislamkan raja Srindravarman (pengganti
Lokitavarnam) menganut Islam pada tahun 718 M dan kerajaannya dikenal dengan nama
Sribuza Islam. Dikatakan juga pada tahun 726 M, Raja Jay Sima yang merupakan putera Ratu
Sima, seorang pemimpin di Pulau Jawa telah memeluk Islam.
Terdapat juga kegiatan dakwah yang dilakukan oleh orang perseorangan terutamanya akibat
pergolakan politik di zaman Bani Umaiyah dan Abbasiyyah. Sebahagian golongan Syiah
melarikan diri ke Alam Melayu dan menjalankan kegiatan dakwah di sini. Pada zaman
pemerintahan Abd al-Malik bin Marwan (685-705M ) dikatakan telah ada golongan Syiah di
Kepulauan Sila iaitu Pulau Sulu, Sulawesi dan Kalimantan. Di zaman al-Makmun pula, satu
rombongan dakwah seramai 100 orang di bawah pimpinan Nakhoda Khalifah telah tiba di
Perlak pada 800 M yang ketika itu diperintah oleh Meurah Sharh Nuwi daripada keturunan
Parsi. Salah seorang pendakwah bernama Ali bin Muhammad bin Jafar al-Sadiq telah
berkahwin dengan adik Meurah Sharh Nuwi bernama Puteri Makhdum Tanshuri. Hasil
perkahwinan ini lahirlah Sayyid Abd al-Aziz yang menjadi raja pertama Kerajaan Perlak pada
tahun 840 M dengan gelaran Sultan Sayyid Maulana Abd al-Aziz Syah. (Ibid)
Tahap Penyebaran Islam secara meluas
Penyebaran Islam di Alam Melayu berlaku secara meluas selepas abad 13 M, khususnya
setelah banyak wilayah di Alam Melayu menerima Islam hasil dari proses dakwah dan asilmilasi
antara para pedagang yang turut bertindak sebagai da’ie dengan masyarakat tempatan (Wan
Kamariah Leman & Salmah Hussain 2006: 13).
Pada tahap ini, dunia Islam amnya dan Asia Barat khususnya mula menghadapi cabaran luaran
dan dalaman. Cabaran luaran bermula sejak abad 11 hingga 13 M. Pada masa ini, umat Islam
diancam oleh Gerakan Salibiyyah dari Barat yang membangkitkan semangat untuk
membebaskan semula Baitul Maqdis. Demikian juga keruntuhan Baghdad ke tangan Mongol
dari Monggolia pada tahun 1258 M. Cabaran dalaman pula terlihat pada kebangkitan kaum
Syiah, terutamanya puak ghulah (ekstrem). Cabaran ini merupakan cabaran yang paling besar
bagi umat Islam kerana lahir banyak perselisihan di kalangan sesama umat Islam. Tragedi yang
paling dahsyat ialah tindakan mereka mengundang Hulagu Khan untuk menyerang Baghdad.
Walau bagaimanapun, dalam kehancuran tersebut terdirilah kerajaan Ayyubiyah di Mesir pada
tahun 1171 M setelah menewaskan kerajaan Fatimiyyah. Setelah itu, muncul pula kerajaan
Mamluk, kerajaan Turki Uthmaniyyah di Asia Kecil dan kerajaan Delhi dan Monghul di India.
Pergolakan politik dalam dunia Islam ini turut memberi impak ke atas proses Islamisasi di Alam
Melayu dalam bentuk ibadah dan tarekat (Abdul Rahman Hj Abdullah 1990: 41).
Terdapat beberapa pendakwah yang memainkan peranan pada tahap ini. Antaranya Syeikh
Ismail al-Siddiq yang telah diutuskan oleh Syarif Mekah dari Tanah Arab ke Alam Melayu
dengan disertai oleh Faqir Muhammad dari Malabar. Dalam misi dakwah ini, mereka telah
berjaya mengislamkan wilayah Barus atau Fansur, Lamri, Haru dan Samudera di Pulau
Sumatera. Menurut sesetengah pengkaji sejarah, Syeikh Ismail berperanan menukar pegangan
masyarakat Alam Melayu dari Islam aliran Syiah kepada mazhab Shafii yang menjadi mazhab
rasmi kerajaan Mekah di bawah pemerintahan Mamluk ketika itu. Semasa Melaka diperintah
oleh Raja Kecil Besar (1424–1444 M) yang merupakan pemerintah Melaka ketiga, baginda
telah berjaya diislamkan oleh seorang makhdum dari Jeddah bernama Sayyid Abd al-Aziz dan
menggunakan nama dengan nama Sultan Muhammad Syah. Baginda kemudianya melantik
Sayyid Abd al-Aziz sebagai kadi pertama di Melaka. Jawatan ini diperturunkan kepada
keturunan Sayyid Abdul Aziz berikutnya, seperti Kadi Yusuf pada zaman Sultan Mansur Syah
(1456 – 1477 M) (Ibid).
Dalam proses Islamisasi di Kepulauan Melayu ini juga tidak dapat dinafikan peranan golongan
sayyid dari Hadramaut yang berpegang kepada mazhab Shafie. Golongan ini dikatakan mula
tiba ke Alam Melayu sekitar abad 16 M hingga abad 20 M dan mempunyai pengaruh yang kuat
(Ibid).
Walaupun kelihatan seolah-olah kegiatan dakwah hanya digerakkan oleh pendakwah dari luar
Alam Melayu, namun hal ini berlaku pada zaman awal pertapakan Islam di Kepulauan Alam
Melayu. Bermula pada abad 16 dan 17 M peranan tersebut telah diambil alih oleh pendakwah
dan tokoh-tokoh tempatan. Malah, pada masa ini telah berlaku hubungan erat antara para
ulama Alam Melayu dengan Tanah Arab, bahkan hasil dari kemajuan perkapalan, semakin
ramai penganut Islam dari Alam Melayu pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebahagiannya
pula telah bermastautin di sana untuk mendalami ilmu agama (Ibid). Ini menunjukkan pada
tahap ini Islam telah tersebar secara meluas di Alam Melayu sehingga penduduk tempatan
mampu berperanan sebagai pengembang dakwah Islam. Selain itu, terdapat juga interaksi
secara langsung di antara orang Arab dan Parsi dengan penduduk Alam Melayu. Interaksi ini
berlaku sejak zaman pra-Islam dan bertambah kukuh selepas pengislaman masyarakat Melayu.
Selain dari hujah-hujah di atas, terdapat juga catatan sejarah tempatan yang boleh dijadikan
sandaran dalam memperkuatkan teori Islam di Alam Melayu berasal dari Tanah Arab dan Parsi.
Antaranya, buku Sejarah Melayu menyebut bahawa raja Melaka bernama Parameswara telah
diislamkan oleh Sheikh Abd al-Aziz yang merupakan seorang ulama dari Jeddah. Baginda telah
menukar namanya kepada Megat Iskandar Syah atau Sultan Muhammad Shah. (Azam Hamzah
1997: 7). Bukti lain ialah persamaan mazhab Shafi’i di kalangan penduduk Alam Melayu dengan
penduduk Yaman, tulisan jawi yang berasaskan tulisan Arab/Parsi digunakan dengan meluas,
nama-nama gelaran pendakwah seperti Sheikh dan Sharif serta gelaran yang digunakan oleh
raja-raja Melayu seperi Malik dan Sultan adalah jelas berunsurkan Arab. Demikian juga nama-
nama umum masyarakat Islam di Alam Melayu seperti Saleh, Zahir, Tahir dan sebagainya
mempunyai persamaan nama di Yaman dan Mesir. Selain itu, cara pembacaan al-Qur’an
masyarakat tempatan juga jelas menampakkan persamaan bacaan di Yaman dan Mesir. Hasil-
hasil kesusateraan yang tersebar di Alam Melayu seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah,
Hikayat Nabi Bercukur dan sebagainya jelas menampakkan pengaruh kesusasteraan Arab.
Tidak ketinggalan juga dari sudut bahasa. Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan Arab.
Semua bukti ini menjadi hujah kuat untuk menegaskan bahawa Islam di rantau ini dibawa oleh
para pendakwah dari Arab/Parsi (Ibid; lihat juga S.M. Naquib, 1972: 40-41).
Walau bagaimanapun dakwaan ini tidaklah bermakna menafikan langsung peranan pendakwah
dari bangsa lain seperti dari India dan China dalam proses Islamisasi di Alam Melayu ini.
Apatah lagi kita maklum bahawa pendakwah Islam dari India dan China juga terdiri dari
pedagang-pedagang Arab. Namun peranan mereka ini didahului oleh para pendakwah dari
Arab dan Parsi.
Justeru itu dapatlah disimpulkan bahawa penyebaran Islam di rantau ini dilakukan oleh semua
pendakwah Islam yang sampai ke Kepulauan Melayu tanpa mengira bangsa, warna kulit, asal
usul dan bidang kemahiran; sama ada mereka golongan pedagang, pendakwah atau ahli sufi.
Semuanya berganding bahu dan sama-sama merasa bertanggungjawab untuk menyebarkan
pesanan Rasulullah SAW berbunyi { ??? ??? ??? ??? } bermaksud: ”Sampaikanlah apa sahaja
dariku walau sepotong ayat.”
3.3 ISLAMISASI ALAM MELAYU
Islam telah berperanan mencorakkan masyarakat Melayu di Alam Melayu ke arah yang lebih
dinamik dan berdaya maju. Penggerak Islamisasi yang dimulakan oleh mubaligh dari luar Alam
Melayu telah disambung kemudiannya oleh mubaligh Melayu tempatan tanpa mengira pangkat,
kedudukan dan suku kaum. Semuanya merasa bertanggungjawab menyebar dan
memahamkan Islam kepada masyarakat setempat.
Kejayaan peranan Islam ini digariskan pada faktor-faktor pemangkin Islamisasi di Alam Melayu,
antaranya seperti berikut;
3.3.1 Keunggulan dan Kemurnian Islam
Ajaran Islam bersifat syumul dan menepati keperluan manusia kerana ia diwahyukan oleh Allah
SWT Penerimaan yang terbatas di kalangan penduduk Alam Melayu pada peringkat awal
penyebaran Islam bukanlah kerana mereka tidak berminat dengan ajaran Islam tetapi kerana
tiada interaksi yang menyeluruh dengan penduduk tempatan. Pada peringkat awal, interaksi
hanya berlaku secara langsung di kalangan raja-raja dan para pedagang menyebabkan
penyebaran Islam terhad di kalangan golongan ini sahaja.
Setelah pengaruh Islam meluas, Islam diterima baik oleh masyarakat tempatan kerana
ajarannya yang bersesuaian dengan fitrah manusia, mudah difahami dan senang dilaksanakan.
Ajaran Islam difahami penuh dengan nilai-nilai murni. (Azam Hamzah 1997: 16 ) Islam bukan
sebuah agama yang rumit seperti Buddha dan Hindu yang hanya dapat dipelajari oleh golongan
tertentu sahaja seperti sami dan pendeta. Konsep keesaan Allah S.W.T. juga menarik minat
penduduk tempatan. Mereka merasa puas kerana dapat menyembah Tuhan secara langsung
dan tidak mengira tempat. Keyakinan ini jauh berbeza dengan agama anutan masyarakat Alam
Melayu sebelum ini. Penjelasan Islam yang turut menggabungkan wahyu dan logik akal
berkaitan semua bidang kehidupan sama ada sosial, ekonomi dan politik menambah minat
penduduk di rantau Alam Melayu. (Mahayddin Hj. Yahaya 1996: 563-564 )
Ajaran Islam juga menekan konsep persamaan antara sesama manusia. Ajaran ini
membebaskan mereka dari belenggu perhambaan. Selain itu, Islam turut menjamin keadilan
sosial tanpa mengira kelas dan darjat manusia. Jaminan ini seolah-olah mengembalikan harga
diri mereka yang sekian lama dibelenggu dengan fahaman kasta dalam ajaran Hindu. (Azam
Hamzah 1997: 16)
3.3.2 Peranan Pembesar/pemimpin
Masyarakat Melayu mempunyai tradisi taat kepada pemerintah. Tradisi warisan ini dikenali
sebagai ”daulat” dan ”derhaka”. Tradisi ini lahir daripada konsep pendewaan kepada
pemerintah yang merupakan satu doktrin dewaraja dalam agama Hindu. Tradisi taat kepada
pemerintah yang telah tertanam dalam jiwa masyarakat Alam Melayu menjadikan masyarakat
tempatan mengikut setiap tindakan pemerintah tanpa bantahan dan perdebatan. Hal ini turut
terjadi apabila pemerintah Melayu menerima agama Islam, semua lapisan masyarakat mengikut
jejak pemerintah atau raja tanpa persoalan.
Contoh yang jelas dapat dilihat pada pengislaman rakyat di Melaka, Kedah dan Patani. Sejarah
Melayu mengesahkan bila Raja Kecil Besar memeluk Islam, rakyat pun turut mengikut jejak
langkah baginda. Begitu juga cerita Hikayat Merong Mahawangsa mengenai pengislaman
Kedah dan Hikayat Patani mengenai pengislaman Patani. (Mahayuddin Hj. Yahaya, 1996: 562)
3.3.3 Perkahwinan.
Faktor perkahwinan turut menyumbang kepada penyebaran Islam di rantau ini. Perkahwinan
yang berlaku antara pedagang Islam dengan penduduk tempatan berlaku ketika pedagang
Islam menunggu ketibaan musim tiupan angin ke arah yang dituju. Penantian ini mengambil
masa beberapa bulan lamanya. Syarat perkahwinan yang dijelaskan oleh pedagang Islam
sudah pasti seorang wanita mestilah satu agama dengan anutan pedagang. Justeru itu wanita
tempatan mestilah menerima Islam terlebih dahulu. Syarat ini mudah diterima oleh wanita dan
keluarga masyarakat tempatan Alam Melayu. Ini kerana para pedagang mampu menjamin
kehidupan wanita tempatan yang telah menjadi isteri pedagang Islam dengan perdagangan
yang dimiliki. Status pedagang juga merupakan golongan yang dikagumi oleh penduduk
tempatan. Pengislaman wanita yang menjadi isteri pedagang Islam mendorong pengislaman
ahli keluarga wanita tersebut. Situasi ini memberi satu perkembangan baru ke arah penyebaran
Islam secara lebih luas.
Perkahwinan pedagang Islam juga berlaku dengan puteri-puteri pemerintah tempatan. Peristiwa
ini memudahkan lagi penyebaran Islam di rantau Alam Melayu. Selain itu, terdapat juga
perkahwinan antara wanita Islam dengan lelaki bukan Islam. Contoh yang jelas dapat dilihat
pada perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. (Ibid) Justru itu jelaslah bahawa
Islam faktor perkahwinan ini turut memainkan peranan penting di dalam penyebaran Islam di
Alam Melayu.
3.3.4 Politik dan Penaklukan.
Faktor ini diterima oleh kebanyakan sejarawan Barat, walaupun sejarawan Islam menolak faktor
ini sebagai faktor perkembangan Islam di Alam Melayu. Penyebaran Islam tidak berlaku melalui
peperangan, walaupun seolah-olah kelihatan peristiwa peperangan di satu-satu wilayah baru
yang dimiliki oleh tentera Islam. Sebagai contohnya, penaklukan Melaka ke atas Pahang seperti
yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu. Penaklukan ini bukanlah bertujuan untuk
mengislamkan Pahang, tetapi cenderung kepada matlamat politik dan ekonomi kerana Pahang
merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan emas. Pengislaman Pahang berlaku kerana
usaha dakwah dan perdagangan antara kedua negeri tersebut yang telah berada di bawah satu
pemerintahan. Selain itu, konsep taatkan pemerintah juga menjadi sebab mereka mudah
menerima Islam.
Contoh lain ialah kejayaan Kerajaan Islam Demak menawan Kerajaan Majapahit dan
mengambil alih pemerintahan kerajaan di timur Pulau Jawa. Penawanan ini memberi kesan
kepada pengislaman hampir seluruh rakyat di bawah jajahan takluk Kerajaan Majapahit.
Hakikat pengislaman bukanlah berlaku kerana peperangan, penaklukan dan penawanan yang
menggambarkan paksaan, tetapi faktor kesetiaan terhadap pemerintah yang menjadi dorongan
utama tindakan masyarakat rantau Alam Melayu secara beramai-ramai nmenerima Islam
sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintah mereka (Ibid).
Jelaslah di sini bahawa Islam bukanlah tersebar dengan mata pedang sebagaimana dakwaan
para orientalis tetapi didorong oleh faktor lain sebagaimana yang telah dijelaskan.
3.3.5 Perdagangan
Perdagangan yang menjadi sumber rezeki para pedagang Islam telah menyampaikan mereka
ke laluan laut di rantau Alam Melayu. Para pedagang berusaha mencari rezeki melalui
perdagangan dengan merentasi samudera yang luas hanya untuk memenuhi tuntutan agama
Islam yang menegaskan 9/10 daripada rezeki terkandung dalam bidang perniagaan. Dengan
berbekal iman dan fahaman agama Islam yang mantap, golongan saudagar belayar ke mana-
mana pelabohan yang menjanjikan perniagaan. Bekal iman yang teguh ini menjadi pendorong
untuk saudagar muslim turut bertindak sebagai mubaligh Islam. Marco Polo dalam catatan
pengembaraannya memberi contoh pengislaman Alam Melayu menerusi faktor ini ialah
pengislaman Perlak pada 1292M. Para pedagang Islam telah berjaya menawan hati
kebanyakan penduduk Perlak sehingga mereka rela menganuti Islam. (Ibid) Selain itu peranan
pegawai perdagangan dalam wilayah-wilayah Islam di Alam Melayu seperti peranan
Syahbandar Melaka yang memberi layanan istimewa kepada pedagang Islam turut
menyumbang ke arah pengislaman para pedagang lain yang berdagang di pelabuhan-
pelabuhan wilayah kerajaan Islam. Sebagai contohnya, pengislaman pedagang dari Brunei,
Ternate, Jawa dan Sulawesi terjadi kerana peranan Syahbandar Melaka. (Ibid )
Walaupun pengislaman menerusi faktor ini tidak meluas dan terhad di kalangan pedagang, kota
dan pelabuhan sahaja tetapi ia turut mendorong ke arah proses Islamisasi di rantau Alam
Melayu ini.
3.3.6. Pendakwahan.
Pendakwahan para ulama dan ahli sufi merupakan faktor penyebaran yang lebih meluas dan
berkesan. Curahan bakti mereka diakui dan tidak dapat dinilai dengan material. Para ulama dan
ahli sufi telah bertindak sebagai ejen perubahan yang memperkenalkan akidah baru di Alam
Melayu. Dakwah mereka dapat dijalankan dengan mudah kerana dibantu oleh akhlak mulia
yang dipenuhi dengan sifat-sifat kerohanian. Selain itu, para ulama dan ahli sufi mudah bergaul
dengan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai keperibadian yang sesuai dengan ajaran
Islam. Situasi ini memudahkan lagi proses Islamisasi di rantau ini. (Afifah Abu Yazid, 2003: 10)
Usaha penyebaran dakwah oleh golongan ini begitu cergas pada zaman pemerintahan Khalifah
Umar b. Abdul Aziz. Baginda telah menghantar para pendakwah ke seluruh pelosok dunia
termasuk rantau Alam Melayu. Sekitar tahun 720 M, utusan baginda telah berjaya
mengislamkan kerajaan Suwarnabhumi atau Melayu Jambi ( San-fo-tsi ) dan setelah menerima
Islam kerajaan ini dikenali sebagai Sribuza Islam. Pada 820 M pula serombongan pendakwah
yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah telah sampai di Perlak dan berjaya mengislamkan
pemimpin dan penduduk di situ. (Ibid)
Pergolakan dunia Islam pada abad 10 M di bawah pimpinan kerajaan Bani Abbasiyah yang
telah melemahkan empayar Islam telah mendorong sebilangan masyarakat Islam terutama ahli
sufi mengasingkan diri dari situasi ini dan keluar dari Semenanjung Tanah Arab. Mereka telah
berusaha menyebarkan Islam secara tidak langsung ke mana-mana wilayah yang aman
diduduki termasuklah Alam Melayu. Kegiatan mereka begitu rancak pada abad 13M dan
selepasnya.
Golongan ini menggunakan pendekatan pendidikan. Melaui pendekatan ini mereka telah
menubuhkan institusi pendidikan yang disesuaikan dengan masyarakat setempat. Antara
institusi pendidikan yang terkenal di wilayah Afrika Utara ialah zawiyah, khawanik dan rabt.
Usaha ahli sufi menjalankan pendidikan formal di rantau Alam Melayu pula banyak berlaku di
masjid atau di rumah mereka. Mereka berusaha menyampaikan dan mengajar masyarakat
setempat mengenai agama Islam. Pendidikan ini akhirnya berkembang menjadi institusi
pendidikan khusus yang dikenali dengan pelbagai nama di Alam Melayu seperti pondok,
langgar, pesantren dan dayah. Kesan dakwah menerusi penubuhan institusi pendidikan telah
melahirkan ramai alim ulama tempatan atau ulama Melayu. Antara yang terkenal seperti
Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkeli, Abdul Samad al-
Palembani, Wali Songo, Daud Fatani dan lain-lain. (Ibid, lihat juga Azhar Mad Aros, 2002: 273)
3.3.6 Persaingan Penyebaran Agama
Faktor ini merupakan kesan daripada kedatangan kuasa Barat ke Asia dan jelas berlaku pada
abad ke-16 hingga 19 M. Faktor ini adalah rentetan peristiwa Perang Salib yang berlaku pada
abad 15 -16 M di Turki. Dalam perkembangan ini, sesetengah penguasa agama Kristian di
Barat masih mempunyai rasa permusuhan yang berterusan dengan penganut agama Islam.
Pada abad 15 dan 16 M kuasa-kuasa Barat seperti Portugis telah memulakan pelayaran ke
timur dan mendapati pengaruh Islam telah lama bertapak di sebahagian besar wilayah di Asia.
Dengan anggapan Barat lebih kuat, Portugis telah melakukan tindakan drastik dengan
melakukan penyerangan secara terbuka ke atas wilayah-wilayah Islam di Asia. Tindakan ini
menyebabkan wujudnya pertentangan secara terbuka antara masyarakat Asia, khususnya
penganut Islam dengan kuasa tersebut. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Keadaan tersebut
merangsang umat Islam melipatgandakan usaha dakwah. Kesannya, Islam bukan sahaja
menjadi elemen penting dalam menyatupadukan seluruh umat khususnya di Alam Melayu,
tetapi juga sebagai slogan untuk berjihad menentang kuasa penjajah Kristian. (Azam Hamzah,
1997: 18)
Persaingan dalam menyebarkan agama Kristian dan Islam ini berterusan sebagaimana yang
digambarkan dalam kes-kes penyebaran Islam di bahagian pedalaman Pulau Maluku, Ternate,
Sumatra dan sebagainya. (Azhar Hj Mad Aros, 2002: 272) Dengan adanya ancaman agama ini,
usaha dakwah Islamiah lebih giat dijalankan dan memberi kesan kepada penyebaran Islam
dengan lebih pantas dan menyeluruh.
Selain faktor-faktor di atas terdapat juga beberapa faktor lain seperti penulisan dan
kesusateraan. (Azam Hamzah, 1997: 22) Dari segala perbincangan di atas dapatlah
disimpulkan bahawa penerimaaan dan penyebaran Islam di rantau Alam Melayu didorong oleh
pelbagai faktor. Antara yang terpenting dan paling berkesan ialah faktor ajaran Islam. Faktor ini
menjadikan masyarakat rantau Alam Melayu mudah menerima Islam dan faham kenapa
mereka menerima Islam dan apakah tanggungjawab mereka sebenarnya. Peranan
pendakwahan turut membantu mereka lebih memahami tasawur Islam yang sebenar. Di
samping itu faktor-faktor lain juga tidak kurang pentingnya kerana ia saling kait mengait di
antara satu sama lain.
Islam telah sampai di rantau Alam Melayu sejak zaman pra-Islam lagi dan seterusnya
berlanjutan selepas kelahiran Islam. Walaupun terdapat berbagai teori mengenai
kedatangannya di rantau ini, teori Islam datang dari Arab/Parsi adalah lebih kukuh. Teori ini
bukanlah menafikan peranan yang dimainkan oleh pendakwah dari tempat lain kerana ajaran
Islam menyeru semua penganutnya mengembangkan Islam tanpa mengira asal, bangsa dan
keturunan. Penyebaran Islam di rantau ini juga telah melalui beberapa tahap hingga ia berjaya
tersebar ke seluruh pelusuk rantau ini sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Faktor
pemangkin Islamisasi di rantau Alam Melayu juga turut berkembang dan sentiasa muncul dalam
bentuk baru sesuai dengan fenomena semasa.
3.4 Pencapaian Tamadun Melayu
Pencapaian Tamadun Melayu menjadikan bukti kegemilangan Melayu pada lembaran sejarah
silam. Atas kegemilangan ini Melayu terus membina wawasan dan menetapkan jati diri Melayu.
Pencapaian ini dibuktikan dalam bentuk catatan tulisan, peninggalan seni bina dan artifak lain
yang boleh disaksikan hingga hari ini. Pencapaian ini juga menggambarkan masyarakat Melayu
mampu berdikari, berusaha dan berhadapan dengan segala kemungkinan dan perubahan.
Pencapaian ini akan dilihat dari segala aspek yang boleh dirangkumkan kepada tiga kategori,
iaitu pencapaian material (benda), intelektual (ilmu pengetahuan) dan spritual (agama/
kepercayaan).
3.4.1 Kerajaan dan Sistem Pemerintahan
Kerajaan dan sistem pemerintahan menjadi tunggak sebuah masyarakat dan memainkan
peranan penting dalam pembinaan tamadun. Sesetengah kerajaan Melayu mengisytiharkan
kerajaan dan pemerintahan mereka sebagai Kesultanan, seperti yang diamalkan oleh
Kesultanan Melayu Melaka. Ini sempena gelaran yang diguna pakai oleh jawatan pemerintah,
iaitu sultan. Selain itu, pengisytiharan ini juga sebagai menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan
Melayu tersebut berteras kepada ajaran Islam.
Terdapat banyak kerajaan Melayu yang dibina oleh masyarakat Melayu dalam siri
kegemilangan Tamadun Melayu. Kerajaan-kerajaan ini dikenal di seluruh Alam Melayu
mahupun di luar rantau ini. Antara kerajaan-kerajaan tersebut adalah seperti berikut:
1.1.1 Kerajaan Sribuza Islam, Palembang.
1.1.2 Kerajaan Samudera-Pasai di Pasai, Aceh, Sumatera Utara.
1.1.3 Kerajaan Melayu Melaka.
1.1.4 Kerajaan Islam Demak, Banten, Ceribon di Pulau Jawa.
1.1.5 Kerajaan Aceh Darussalam.
1.1.6 Kerajaan Pattani, Selatan Thailand.
1.1.7 Kerajaan Buton, Ternate di Sulawesi.
1.1.8 Kerajaan Melayu Johor-Riau.
Setiap kerajaan ini mempunyai sistem pemerintahan masing-masing yang berasaskan undang-
undang Islam. Sistem pemerintahan yang diguna pakai ditulis pada naskhah-naskhah Melayu
dan batu bersurat (prasasti). Sebagai contohnya, Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun
Melaka diguna pakai dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Kanun Meukuta
Alam dilaksanakan dalam Kerajaan Melayu Aceh Darussalam, Undang-undang Kedah
dilaksanakan dalam Kerajaan Melayu Kedah, Hukum Kanun Pahang termaktub dalam sistem
pemerintahan Kerajaan Melayu Pahang dan Undang-undang 99 diguna pakai dalam
Kesultanan Melayu Perak.
3.3.2 Ekonomi
Tamadun Melayu berjaya menggerakkan ekonomi orang Melayu ke persada serantau dan
antarabangsa. Walaupun Tamadun Melayu awal belum mengamalkan sistem perindustrian
secara besar-besaran, namun kegiatan perekonomian yang berpusat di pelabuhan-pelabuhan
Alam Melayu telah berjaya menjadi pusat import eksport yang maju di rantau Asia. Antara
pelabuhan-pelabuhan yang muncul dalam Tamadun Melayu ialah Pasai, Melaka, Aceh, Demak,
Betawi, Terengganu, Ligor dan Johor. Pelabuhan ini ditadbir urus dengan baik oleh pemerintah
Melayu. Sebagai contohnya, Sultan Muzaffar Shah dalam Kesultanan Melayu Melaka telah
menubuhkan satu jawatan khas untuk memantau kegiatan di pelabuhan menerusi jawatan
Shah bandar.
Kegiatan perdagangan yang rancak di pelabuhan-pelabuhan Alam Melayu memberi kesan
kepada kemunculan bandar dan kota yang lengkap dengan prasarana. Masyarakat pedalaman
tidak ketinggalan memanfaatkan kemunculan pekan dan bandar. Mereka menuju ke pekan dan
bandar untuk memasarkan hasil pertanian, ternakan, hasil tangkapan dan hasil kreatif. Tanpa
disedari situasi ini membuktikan masyarakat Melayu telah menuju ke arah masyarakat bandar
yang berdaya maju dan berdaya saing.
Kepesatan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu turut menyemarakkan pertumbuhan
kemasyarakatan yang lain seperti budaya dan seni, intelektual, reka cipta dan pemerintahan.
Masyarakat Melayu juga telah menerima beberapa budaya luar yang sesuai dengan sifat
kemelayuan, seperti dalam pembentukan bentuk bumbung bertingkat yang merupakan unsur
seni bina Cina. Malah bumbung bentuk ini digunakan pada masjid masyarakat Melayu. Contoh
yang paling jelas dapat dilihat pada masjid Tengkera di Melaka dan masjid Kampong Laut di
Kelantan. Demikian juga penggunaan warna merah dalam seni masyarakat Melayu berasal dari
budaya Cina. Bahasa Melayu turut berkembang dengan penerimaan bahasa-bahasa asing
yang telah disebatikan dengan Bahasa Melayu. Bahasa asing yang paling luas pengaruhnya
dalam pembentukan bahasa Melayu ialah Bahasa Arab.
Kegiatan ekonomi dalam Tamadun Melayu telah mencapai tahap cemerlang dengan
penggunaan mata wang. Pemerintah Melayu telah berjaya mencipta mata wang yang
digunakan dalam perdagangan, terutamanya di pelabuhan. Antara mata wang yang dapat
dikesan ialah mata wang Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Aceh Darussalam.
3.4.3 Pendidikan
Pendidikan di kalangan masyarakat Melayu terbahagi kepada dua. Pendidikan formal dan
informal. Pendidikan formal melahirkan pelbagai institusi pendidikan yang banyak di Alam
Melayu. Pendidikan bentuk ini di awali oleh pendidikan ajaran Islam. Sistem pendidikan dan
kurikulum juga berteraskan kepada bidang pengajian Islam seperti tauhid, fiqah, akhlak, tafsir
dan sejarah Islam (Mohd Salleh Lebar, 1990).
Pendidikan informal pula merupakan pendidikan yang berlangsung dalam kehidupan
bermasyarakat. Masyarakat menjadi pendidik bangsa. Pendidikan ini berbentuk kemahiran
berfikir, berusaha, berbudi pekerti, bijak membuat tindakan, penghasilan teknologi, berpolitik
dan bergiat cergas dalam ekonomi. Tradisi lisan yang diwarisi turun temurun merupakan satu
kaedah pendidikan informal. Melalui tradisi ini, masyarakat dididik melalui pantun, syair, hikayat,
gurindam, seloka, nazam dan sebagai. Melalui tradisi ini juga, masyarakat disindir, dihukum dan
dinasihatkan melalui perumpamaan, perbidalan, peribahasa dan simpulan bahasa.
Kewujudan pendidikan formal berteraskan pendidikan Islam dan bukan berasaskan kemahiran
dan teknologi melahirkan tanggapan negatif kolonialis terhadap pendidikan masyarakat Melayu.
Kolonialis tidak mengakui pendidikan yang wujud di Alam Melayu sebagai satu sistem
pendidikan, lantas mereka mendakwa masyarakat Melayu adalah masyarakat buta huruf.
Tanggapan ini mungkin bertolak dari fahaman terhadap agama yang diterima pakai di Barat. Di
Barat, agama Kristian tidak melahirkan sistem pendidikan, malah segala perkembangan
tamadun Barat terpisah dari agama, seperti yang terangkum dalam maksud sekularisma.
Situasi ini berbeza dengan tamadun Melayu yang berasaskan ajaran Islam.
Pencapaian Tamadun Melayu dalam aspek pendidikan adalah seperti berikut:
* Kewujudan institusi pendidikan agama Islam.
Institusi pendidikan agama Islam dimulai oleh istana dan kemudiannya rumah-rumah ulama.
Istana sebagai instutusi pendidikan hanya dikhaskan untuk sultan, keluarga diraja dan ahli
istana sahaja. Di samping itu, para ulama turut membuka kelas-kelas pengajian di rumah
mereka. Kelas-kelas yang dibuka bersedia menerima masyarakat tanpa kelas. Apabila
kecenderungan mempelajari Islam semakin berkembang di kalangan masyarakat awam, maka
terbinalah institusi-institusi pendidikan Islam untuk masyarakat awam. Justeru itu, situasi ini
melahirkan penubuhan institusi pendidikan Islam di seluruh Alam Melayu.
Kepelbagaian rumpun Melayu telah melahirkan pelbagai nama institusi pendidikan Islam. Walau
bagaimanapun semuanya mempunyai peranan yang sama iaitu melahirkan ilmuan yang
bertaqwa. Antara panggilan nama institusi tersebut adalah seperti berikut:
* Masjid: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat.
* Madrasah/Meunasah: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Selangor, Perak dan
beberapa tempat di Sumatera.
* Langgar: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Kalimantan.
* Surau: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat Islam.
* Pondok: Pusat pembelajaran Islam yang luas di Pattani, selatan Thailand, Perak Utara, Kedah
dan Kelantan.
* Pesantren: Pusat pembelajaran agama Islam yang berkembang luas di Pulau Jawa.
* Dayah: Pusat pembelajaran agama Islam yang wujud di Aceh, Sumatera. Dayah merupakan
institusi tertinggi dalam pembelajaran Islam dalam masyarakat Aceh. Sebelum sampai ke tahap
ini, pendidikan Islam bermula di peringkat meunasah, rangkang dan balee. Contoh Dayah yang
paling terkenal ialah Dayah Cot Kala di Aceh. Dayah ini telah melahirkan ramai ilmuwan Aceh
seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel.
* Kecenderungan sultan menguasai pendidikan Islam.
Minat ini telah mendorong sultan mengarahkan ulama menulis dan menterjemah kitab agama
Islam dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Penterjemahan ini berfungsi untuk menjelaskan
ajaran Islam dan menjawab permasalahan masyarakat dari perspektif Islam. Contoh-contoh
berikut menggambar secara jelas kecenderungan para sultan:
* Sultan Mansur Shah mempelajari kitab Dur al-Manzum (Sejarah Melayu menulis dengan
nama Dar al-Mazlum),
* Sultan Mahmud Shah mempelajari kitab al-Luma’ (dalam Sejarah Melayu ditulis sebagai kitab
Maklumat) karya Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi seorang ulama tasawuf.
* Sultanah Safiatuddin di Aceh memohon Abdul Rauf Singkel menjelaskan mengenai konsep
kerohanian dalam Islam melalui karyanya Kifayah al-Muhtajin ila Mashrab al-muwahhidin al-
qailin bi Wahdat al-Wujud.
* Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Selangor) menjadi menjadikan barisan ulama sebagai
penasihat. Beliau juga menjadi khatib dalam solat jumaat.
* Kemunculan golongan intelektual Melayu.
Penumpuan golongan intelek Melayu zaman awal ialah kepada asas agama dan falsafah
kerana bidang ini memantapkan erti kehidupan dan jati diri bangsa Melayu. Penyebaran secara
meluas pemahaman dua aspek ini di kalangan masyarakat Melayu menjamin penerusan
generasi Melayu yang memahami tugas dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat.
Antara intelek Melayu yang tercatat dalam sejarah ialah :
* Hamzah Fansuri
* Shamsuddin al-Sumatera’i
* Nuruddin al-Raniri
* Abdul Rauf Singkel
* Abdul Samad al-Palembani
* Yusuf Tajul Khalwati Makasar
* Muhamad Nafis al-Banjari
* Muhamad Arsyad al-Banjari
* Daud al-Fatani dan keturunannya.
* Kelahiran naskhah-naskhah Melayu atau manuskrip Melayu.
Naskhah-naskhah Melayu yang dihasilkan oleh golongan intelek Melayu merangkumi segala
aspek kehidupan masyarakat seperti perubatan, ilmu falak (astronomi), undang-undang,
pemerintahan (ketatanegaraan), pertanian, pengetahuan Islam, sejarah Melayu dan
kemasyarakatan. Sebagai contohnya, naskhah perubatan berjudul Kitab Tib, naskhah undang-
undang berjudul Hukum Kanun Melaka, naskhah ketatanegaraan berjudul Bustan al-Salatin,
naskhah pertanian berjudul Pembukaan Kebun Kelapa di Pulau Kemili, naskhah agama Islam
dalam bidang tauhid berjudul Masa’il al-Mubtadi’ li Ikhwan al-Mubtadi’.
Naskhah Melayu mempunyai keunikan yang menampakkan identiti bangsa. Antara
keunikannya, ia ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi yang berteraskan aksara Arab
dengan beberapa penambahan. Naskhah ini ditulis pada pelbagai bahan seperti pada daun
lontar, kepingan buluh, kulit haiwan yang telah disamak, kain dan kertas. Selain itu, naskhah
Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi. Penulis dan penyalin memaparkan daya kreatif
yang tinggi semasa menghasilkan karya. Ini terbukti dengan adanya ilustrasi dan seni hias pada
naskhah-naskhah Melayu. (Lihat gambarpada halaman 118)
3.4.4 Komunikasi
Komunikasi Alam Melayu terjalin melalui hubungan perdagangan, diplomatik dan budaya.
Komunikasi harmoni yang berjalan lancar mengukuhkan ikatan Tamadun Melayu di Alam
Melayu. Komunikasi ini banyak diasaskan kepada polisi pemerintahan kerajaan dalam
Tamadun Melayu. Hasilnya, para pemerintah Melayu telah berjaya menjalin interaksi antara
rumpun Melayu di seluruh wilayah Alam Melayu dengan semangat persahabatan yang bermula
melalui peluasan wilayah. Sebagai contohnya:
* Kerajaan Melaka meluaskan pengaruh ke negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu
hingga ke Pulau Sumatera yang meliputi Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan dan lain-lain.
Peluasan wilayah ini memberi laluan kepada masyarakat di Semenanjung Tanah Melayu dan
Pulau Sumatera menjalin hubungan perdagangan dan budaya secara aman dan harmoni.
* Kerajaan Melaka mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Kerajaan
Majapahit di Pulau Jawa dan Dinasti Ming di Tanah Besar Cina.
* Kerajaan Aceh Darussalam mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pahang.
Hubungan ini dikukuhkan dengan perkahwinan puteri Iskandar Muda Mahkota Alam bernama
Puteri Safiatuddin dengan putera Sultan Pahang bernama Raja Ahmad.
* Kerajaan Aceh Darussalam turut mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Turki
Uthmaniyyah.
Para pemerintah Melayu juga telah mengadakan interaksi antara kaum bukan Melayu
khususnya dengan kuasa Eropah. Interaksi ini dibuktikan dengan adanya surat-surat sultan
Melayu kepada pegawai-pegawai British. Contohnya:
* Surat daripada Sultan Cakra Adiningrat dari negeri Madura kepada Gabenor Ganeral Thomas
Stamford Raffles di Betawi bertarikh 14 Muharam 1231 H,
* Surat Sultan Ratu Mahmud Badruddin dari Palembang kepada Thomas Raffles Esquire di
Melaka bertarikh 1 Rabiulawal 1226 H (1811 M).
* Surat Sultan Syarif Kasim ibni al-marhum Sultan Syarif Abdul Rahman ibni al-Marhum Habib
al-Husin al-Kadri dari Pontianak kepada Thomas Raffles Esquire bertarikh 20 Safar 1226 H.
* Surat Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dari Kedah kepada Thomas Raffles di Melaka
bertarikh 6 Rabiulawal 1226 H.
* Surat Yang Dipertuan Negeri Perak kepada Thomas Raffles Esquire di Melaka bertarikh 28
Rabiulawal 1226 H.
3.4.5 Sastera
Sastera Melayu berbentuk prosa dan puisi. Prosa merupakan karya dalam bentuk esei atau
karangan untuk menjelaskan satu perkara. Puisi pula merupakan karya yang memaparkan
kemahiran bahasa dan penggunaan bahasa yang indah melalui rima bunyi yang tertentu.
Sastera prosa Melayu dapat dilihat pada naskhah Melayu. Penulisannya meliputi pelbagai
bidang seperti ketatanegaraan, pemerintahan, perubatan, undang-undang, agama Islam, ilmu
falak, petua dll. (Lihat Katalog Manuskrip Melayu Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia)
Sebagai contohnya:
* Taj al-salatin,
* Bustan al-salatin,
* Sejarah Melayu,
* Hikayat Hang Tuah,
* Mir’at al-Tullab.
Puisi-puisi Melayu terdiri daripada beberapa genre. Antaranya syair, pantun, gurindam, seloka,
nazam dan sajak. Syair menghasilkan rima bunyi akhir yang sama: a,a,a,a. Pantun pula
menghasilkan rima bunyi rangkap 1 sama dengan rangkap 3 dan rangkap 2 sama dengan
rangkap 4: a,b,a,b. Pantun-pantun Melayu terdiri daripada beberapa rangkap. Antaranya pantun
dua rangkap. Ia juga dikenali dengan pantun dua kerat. Pantun empat rangkap juga dikenali
dengan pantun empat kerat. Pantun enam rangkap juga dikenali dengan pantun enam kerat
dan pantun lapan rangkap dikenali dengan pantun lapan kerat. (Lihat Anas Hj. Ahmad)
Contoh pantun 2 kerat: Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri
Contoh pantun 4 kerat: Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi yang baik dikenang jua.
3.4.6 Kemahiran Pembuatan
Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai kemahiran pembuatan barang-barang keperluan.
Setiap hasil kemahiran disematkan nilai falsafah Melayu yang berteras kepada agama Islam.
Selain itu, hasil-hasil kemahiran masyarakat Melayu juga dipenuhi dengan nilai estetika yang
tinggi. Antara kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
* Pembuatan rumah. Kemahiran membuat rumah di kalangan masyarakat Melayu
menyebabkan tukang-tukang Melayu mampu memberi identiti pada rumah-rumah Melayu
(Abdul Halim Nasir,1985). Antara identiti rumah Melayu seperti berikut:
* Bumbung seperti bumbung limas.
* Kepelbagaian ruang: Ruang induk/ ruang ibu, ruang tengah, ruang dapur dan serambi atau
beranda.
* Rumah panggung.
* Dilengkapi dengan seni hias pada tingkap, dinding, curu atap dan lain-lain.
* Peralatan kelengkapan rumah. Masyarakat Melayu awal bijak mengolah tanah liat untuk
menghasilkan keperluan rumah seperti pinggan, mangkuk, cawan, periuk, kuali dan
sebagainya. Masyarakat Melayu di Perak sebagai contohnya terkenal dengan hasil pembuatan
Labu Sayung yang merupakan satu bekas air yang dingin tanpa air batu. Semua keperluan ini
diusahakan oleh titik peluh sendiri. Demikian juga alat-alat perabot seperti almari, meja, kerusi
dan sebagainya. Masyarakat Melayu awal juga mampu menghasilkan sampan, perahu, bot dan
kapal untuk meredah lautan mencari rezeki. Mereka bekerjasama dan berganding bahu
menghasilkan keperluan harian.
* Pakaian: Masyarakat Melayu juga merupakan pereka fesyen yang mampu bertahan lama.
Fesyen-fesyen pereka Melayu jelas memaparkan identiti dan jati diri bangsa Melayu. Contoh
yang jelas ialah seperti baju Kurung, baju Melayu, Kebaya, dan Busana Muslim. (Lihat Siti
Zainon Ismail.)
* Peralatan menulis: Masyarakat Melayu juga pintar menghasilkan kertas dari bahan yang
tersedia di sekeliling mereka. Demikian juga dengan alat-alat tulis daripada buluh dan
sebagainya. Walaupun masyarakat Melayu tidak menggunakan teknologi canggih dalam
menghasilkan peralatan menulis tetapi mereka mempunyai daya fikir dan inisiatif yang tinggi
untuk menghasilkan sesuatu barangan.
Kesimpulan
Tamadun Melayu mempunyai pelbagai pencapaian yang terbukti melalui catatan naskhah,
binaan atau bangunan, batu bersurat, karya2 seni dan sastera. Ketinggian tamadunnya
memaparkan jati diri dan identiti bangsa Melayu. Kejayaan masyarakat Melayu silam
mencorakkan tamadun dan budaya menyebabkan bangsa Melayu menjadi satu rumpun bangsa
yang dikenali, dihormati dan disanjung tinggi. Tonggak kejayaan ini terletak pada pembentukan
modal insan yang berpegang kuat pada agama, falsafah bangsa, jati diri yang teguh dan budi
pekerti yang luhur. Kekuatan modal insan telah berjaya membina kecemerlangan dan
kehebatan Tamadun Melayu.
3.5 TAMADUN MELAYU TERAS TAMADUN MALAYSIA
Berlatarbelakangkan lembaran sejarah Tamadun Melayu wajar menjadi landasan kepada
pembentukan Tamadun Malaysia. Tamadun yang dibentuk berasaskan kepada nilai
keagamaan, nilai keunggulan identiti diri, nilai seni dan budaya dan nilai politik dan
perundangan. Asas nilai ini mempunyai peranan yang penting dan menjadi teras pembinaan
tamadun Malaysia. Asas tersebut juga menjadi corak kepada rangka kerja pembinaan
ketamadunan Malaysia.
3.5.1 Pembinaan Agama
Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam membina Tamadun Melayu. Hubungan
antara agama Islam yang telah memperkenalkan pengetahuan bercorak falsafah, pemikiran
yang bercorak rasional dan intelektual dengan Tamadun Melayu yang berpaksikan kepada nilai
persekitaran, telah memberi ruang kepada Tamadun Islam mendominasi arah aliran pemikiran
masyarakat Melayu. Tamadun Islam telah mengubah corak dan gaya penekanannya daripada
unsur-unsur estetika yang bercorak Hindu-Buddha kepada corak akliah yang lebih kompetitif
dan sesuai dengan kehendak jiwa dan penerimaan akal.
Dari aspek ajaran kemasyarakatan Islam telah menekankan unsur-unsur persamaan, sosial,
keadilan, individu dan keperibadian insan, yang meletakkan manusia adalah mempunyai hak
dan tanggungjawab tersendiri dan bersamaan antara satu sama lain. Dengan keserasian ajaran
yang diketengahkan oleh Islam dan kesesuaiannya dengan cita rasa dan kehendak manusia,
Islam telah menjadi landasan pegangan masyarakat Melayu.
Salah satu pendekatan yang diketengahkan oleh Islam dalam mempamerkan keindahan ajaran
dan kemurnian isi kandungannya ialah melalui pendekatan ilmu. Tradisi ilmu pengetahuan yang
ditekankan oleh Islam telah mengembangkan tradisi pendidikan dan pengajaran. Setiap orang
berhak menerima dan mempelajari ilmu. Fahaman ini memberi ruang kepada masyarakat
Melayu untuk lebih banyak berfikir dan berdaya maju. Dorongan belajar yang diketengahkan
oleh Islam bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan diselangselikan dengan
membaca dan menyelongkar isi kandungan naskhah-naskhah kitab yang telah ditulis oleh
ulama terdahulu. Situasi ini telah mencetuskan fenomena baru kepada perkembangan
intelektual masyarakat Melayu.
Kecenderungan ini telah membuka ruang ke arah penubuhan pusat-pusat pengajian bermula
dari masjid atau surau dan berkembang luas dalam bentuk yang lebih sistematik dan teratur.
Sekolah-sekolah seperti madrasah, pondok, pesantren, rangkang dan lain-lain didirikan bagi
menampung lebih ramai pelajar yang telah mula sedar betapa pentingnya ilmu dalam
membangunkan tamadun sesuatu bangsa. Sejarah memperlihatkan Pasai yang telah
memulakan tradisi pendidikan di istana pada abad ke-13 M dan diikuti oleh istana Melaka pada
abad ke-15 M dan Aceh abad ke-16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu yang luas jajahan
takluknya, pusat-pusat pendidikan berkembang di luar tradisi bangsawan yang berpaut di istana
dan tersebar di kalangan rakyat yang merupakan tradisi bawahan. Ini dapat dilihat dengan
lahirnya sistem pengajian rangkang di Aceh, sistem pengajian pondok di Patani dan Kelantan,
langgar di Kedah dan pesantren di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian ini lahir golongan cendekiawan dan ulama-ulama Melayu yang
menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh Melayu yang
terkenal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh
Abdul Malik Abdullah di Terengganu pada abad ke-18 M, Syeikh Daud al-Fatani dan Abdul
Samad Palembang pada abd ke-1 M dan lain-lain. Penubuhan institusi pengajian Islam ini turut
mengubah pandangan dunia orang Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-
dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa (Allah), Nabi-nabi, Rasul-rasul, Malaikat,
Kitab-kitab suci seperti Injil, Zabur dan al-Qur’an. Keimanan mereka turut diikuti dengan amal
ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun haji.
Sekalipun Islam telah mencorakkan kehidupan masyarakat Melayu, namun ia tidak menolak
amalan agama yang telah menjadi pegangan masyarakat lain, seperti agama Hindu, Buddha,
Sikh, dan Kristian. Kepelbagaian pegangan itu tidak menjadi halangan pada masyarakat Melayu
untuk menjadikan ajaran agama Islam sebagai dasar dan pegangan kepada Negara. Malah
telah berlakunya interaksi antara agama dan saling menerima dan menghormati antara satu
sama lain. Dalam membina ketamadunan bangsa dan negara, kerjasama antara kaum dan
interaksi antara agama dijadikan asas kepada pembentukan sebuah negara moden. Orang
Melayu dan kaum lain diberi ruang untuk sama menyumbang ke arah pembinaan negara
moden. Sejarah Malaysia membuktikan, ketika membentuk Perlembagaan Persekutuan 1956,
perkara agama tidak dikesampingkan, malah ia menjadi perkara penting dalam Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 3 (1) memperuntukkan agama Islam adalah agama bagi persekutuan.
Walau bagaimanapun agama-agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang halangan atau
gangguan daripada mana-mana pihak. Dalam erti kata lain, agama adalah salah satu aspek
penting dan perlu diambil kira dalam membentuk dan membangun tamadun negara.
3.5.2 Pembinaan Nilai Jatidiri
Selain daripada peranan agama dalam membangun sesebuah negara, peranan nilai juga tidak
boleh dikesampingkan dalam membentuk ketamadunan sesuatu bangsa. Nilai juga menjadi
nadi kepada ketamadunan sesebuah bangsa. Jatuh bangun, maju mundur, cemerlang dan
gagal sesebuah bangsa dan negara berkait rapat dengan amalan nilai sesuatu bangsa. Kerana
itu peranan nilai tidak boleh dipandang remeh dalam menentukan kebangunan dan
kelangsungan tamadun sesuatu bangsa.
Kewujudan dan pengiktirafan terhadap beberapa tamadun silam seperti tamadun Islam, India,
China, Jepun dan tamadun Melayu berkait rapat dengan nilai yang diamalkan oleh masyarakat
tersebut. Islam sebagai agama bagi persekutuan dan agama yang telah berakar umbi menjadi
amalan tradisi masyarakat Melayu mempunyai nilai-nilai unik yang sesuai dan dapat diterima
pakai oleh bangsa lain. Antara nilai yang diketengahkan dan menjadi asas kepada
pembentukan tamadun bangsa Melayu sebagai asas kepada pembentukan Tamadun Malaysia
seperti bertanggungjawab, jihad, istiqamah, ihsan, jujur dan ikhlas, adil, bijaksana, bertolak
ansur, cekap, produktif, dedikasi dan kerjasama.
Jika diperhatikan secara halus, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu bertitik tolak daripada
keluarga. Keluarga dilihat sebagai agen sosialisasi utama dalam masyarakat. Apabila keluarga
telah menjalankan tanggungjawab, ia telah menyelesaikan sebahagian tuntutan dalam
pembinaan ketamadunan bangsa. Oleh kerana masyarakat Melayu telah dipengaruhi oleh
Islam sebagai teras kehidupan, mereka telah menjadikan ajaran ini sebagai nadi pembentukan
nilai dan peradaban. Pelbagai pantang larang telah diasuh dan perlu diikuti oleh masyarakat
Melayu dalam usaha mereka membina satu gagasan jati diri yang lebih baik. Misalnya, ibu yang
sedang mengandung diberi peraturan supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk dan keji
kerana perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada nilai dan peradaban anak yang akan
dilahirkan kelak. Justeru itu, ibu bapa dikehendaki melakukan perkara yang baik dan tidak
meninggalkan suruhan agama agar anak yang dilahirkan mewarisi nilai yang dilakukan oleh
kedua orang tuanya. Ini bermakna orang Melayu percaya terhadap nilai perlakuan ibu dan bapa
akan memberi kesan yang mendalam kepada anak yang akan dilahirkan.
Oleh itu, masyarakat Melayu amat prihatin dalam proses mendidik anak. Bagi mereka, proses
pendidikan bukan bermula apabila anak itu dilahirkan, namun ia lebih jauh daripada itu, iaitu
ketika mereka berusaha hendak mendirikan rumah tangga, dan juga ketika mereka hendak
bersatu. Pembinaan jati diri Melayu bukan sahaja ketika terhad semasa ibu sedang
mengandung sahaja, tetapi ianya menjangkau pada bayi yang telah dilahirkan. Sebaik sahaja
anak dilahirkan, mereka akan berusaha menyerapkan nilai kebesaran dan keagungan Tuhan
dengan melafazkan azan agar kalimah tauhid tersebut menjadi dasar pegangan anak yang baru
dilahirkan. Mereka akan berusaha memberi nama dengan nama yang boleh melambangkan
nilai keperibadian yang baik dan murni. Dengan cara ini, mereka yakin usaha yang dilakukan itu
memberi kesan baik kepada pembentukan jati diri anak.
Amalan membelah mulut, bercukur jambul, akidah, berkhatan dan khatam al-Quran adalah
amalan yang memperlihatkan gabungan unsur-unsur adat dan Islam dalam proses orang-orang
Melayu membentuk jati diri masyarakat mereka bersalut dan bersadurkan nilai-nilai yang sesuai
dengan ajaran Islam. Tidak cukup dengan nilai tersebut masyarakat Melayu telah menitipkan
asas-asas agama dalam jiwa dan pemikiran anak-anak mereka sejak kecil. Mereka dididik
dengan konsep-konsep dosa, pahala, haram, halal, suruhan dan tegahan. Apabila umur
semakin meningkat, mereka dilatih dengan amalan-amalan asas agama seperti sembahyang
dan puasa sebagai satu latihan yang boleh membentuk nilai peribadi yang baik dan harmoni.
Tidak ketinggalan juga, keluarga membawa anak-anak mereka pergi ke surau atau masjid
untuk mengerjakan sembahyang berjemaah, terutamanya pada hari Jumaat dan pada bulan
puasa untuk mengerjakan solat sunat Tarawih. Di samping itu, mereka juga mengajak anak-
anak mereka mengamalkan puasa, sekalipun pada peringkat awal dilakukan secara tidak
sepenuhnya. Semua usaha ini telah menjadi tradisi yang terus diamalkan oleh orang Melayu
dalam proses mereka membangunkan jiwa di kalangan anak mereka. Ini memberi erti
masyarakat Melayu sentiasa mendorong dan mentarbiahkan anak-anak mereka dengan ajaran
agama dalam usaha membina jati diri keluarga mereka dengan ajaran Islam.
Orang Melayu mempunyai daya kreativiti dan daya intelektual yang tinggi dalam menghayati
persekitaran untuk dijadikan suri teladan dalam mendidik anak-anak. Faktor alam semula jadi
dijadikan kias ibarat yang diungkap sebagai peribahasa dan kata perbilangan sebagai analogi
dalam mengasuh dan mendidik anak-anak dan masyarakat. Peribahasa telah digunakan
sebagai panduan, teladan dan sempadan dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat.
Misalnya bulat air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat, seperti aur dengan tebing,
seperti enau dalam belukar dan lain-lain lagi.
3.5.3 Pembinaan Nilai Seni dan Budaya
Selain daripada pembinaan jati diri Melayu, Tamadun Islam telah banyak mempengaruhi
Tamadun Melayu dalam aspek seni. Kesenian Melayu seperti seni lagu, seni tari, seni ukiran,
seni bina, seni hias mahupun seni drama banyak dipengaruhi oleh nilai kesenian Islam.
Sebagai contohnya, seni bina masjid dalam Tamadun Melayu telah dipengaruhi oleh seni
tampak dan seni reka Islam, walaupun dalam pembinaannya terdapat beberapa pengaruh luar
seperti reka bentuk masjid dari Asia Barat. Gabungan seni tempatan dan luar telah menjadi
lambang kekuatan seni bina Melayu. Antara nilai seni tampak yang diperkenalkan dan
ditonjolkan sebagai imej kepada seni bina Islam di Alam Melayu jelas terpapar pada kubah
yang bertingkat. Demikian juga ruang-ruang lain seperti bentuk mihrab dan bahan untuk
membina masjid.
Selain seni bina masjid, seni ukiran Islam juga dapat dilihat pada seni ukir batu-batu nisan di
kawasan perkuburan orang-orang Islam. Seni lukisan pula bercorak benda-benda yang tidak
bernyawa menjadi asas kepada seni lukis orang Melayu kerana Islam tidak membenarkan
lukisan yang bercorak haiwan atau benda bernyawa. Masyarakat Melayu melihat alam semula
jadi sebagai sumber ilham dalam menghasilkan keindahan karya lukisan mereka dengan
menerapkan bunga, daun-daun dan segala elemen tumbuhan-tumbuhan. Selain itu, motif
geometri turut menjadi objek tata nilai dalam karya orang Melayu. Warisan kesenian Islam ini
dapat dilihat dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk hasil seni orang Melayu seperti pada
tenunan, ukiran, dan barang-barang hiasan rumah.
Seni lagu dan muzik di Malaysia juga tidak terkecuali menerima pengaruh Islam. Pada
peringkat awal, seni lagu dan muzik di Malaysia bercorak dakwah dengan menatarkan senikata
dan anotasinya dalam bentuk yang mampu meningkatkan imej dan keperibadian diri agar
mendekatkan diri kepada nilai-nilai murni. Seni lagu dan muzik dalam pengaruh ini lebih dikenali
sebagai nasyid, qasidah, sajak, gurindam, syair, seloka dan pantun. Demikian juga dari aspek
peralatan muzik yang diperkenalkan dan menjadi amalan masyarakat Melayu, juga dipengaruhi
oleh nilai Islam, walaupun peralatan tersebut dibawa dari luar Alam Melayu seperti dari Asia
Barat. Antara alat-alat muzik dari Asia Barat yang mendapat tempat dalam muzik tempatan
seperti rebana, kompang, kecapi, seruling, gambus, gambang, dan gong.
Seni tulis masyarakat Melayu juga tidak terlepas daripada pengaruh nilai budaya Islam. Ini
dapat dilihat daripada seni khat dan kaligrafi Melayu yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an
atau hadis-hadis Nabi sebagai sumber ilham bagi menghasilkan ukiran atau tulisan. Karya-
karya dalam bentuk ini merupakan kesenian yang paling rapat dengan citarasa seni Islam.
Selain itu, tradisi sastera Melayu juga menampakkan pengaruh Islam yang begitu ketara.
Sastera Melayu terbahagi kepada dua jenis iaitu lisan dan tulisan. Sastera lisan dapat dilihat
pada dua bentuk, iaitu cerita dan bukan cerita. Menurut Boas, kesusasteraan lisan boleh
diibaratkan sebagai autobiografi yang mengisahkan tentang riwayat sesuatu masyarakat. Oleh
itu cerita-cerita lisan juga membawa kisah-kisah lampau seperti legenda, mitos, penglipur lara,
cerita-cerita binatang dan cerita ghaib. Manakala sastera lisan bukan cerita pula terhasil dalam
bentuk peribahasa, pantun, mantera dan sebagainya. Kedua-dua bentuk sastera Melayu
mencerminkan falsafah hidup dan nilai-nilai serta sikap masyarakat Melayu pada masa dahulu.
Penyebar-penyebar agama Islam menambah kekayaan ragam sastera Melayu. Mereka
memperkenalkan cerita-cerita dan hikayat-hikayat berunsur Islam bagi menggantikan cerita-
cerita dan hikayat berunsur Hindu. Antara cerita dan hikayat berunsur Islam seperti Hikayat
Mukjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mikraj, Hikayat Nabi Sulaiman, Hikayat
Zakaria, Hikayat Abu Bakar, Hikayat Hasan dan Husin, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya.
Selain hasil sastera dalam bentuk cerita atau hikayat, terdapat juga pengaruh Islam dalam
puisi-puisi Melayu. Winstedt dan Muhammad Naguib al-Attas berpendapat bahawa syair
Melayu yang pertama dihasilkan oleh Hamzah Fansuri (1550-1600 M). Hamzah merupakan
seorang penulis prosa dan puisi Melayu yang pertama dalam bidang kesusasteraan sufi.
Sehingga abad 18 M, syair kekal digunakan dalam semua kategori puisi sastera Melayu, sama
ada pada karya bercorak agama, hikayat mahu pun histiografi Melayu.
Selain syair, terdapat juga puisi yang berasal dari sumber Islam seperti ghazal, masnawi,
nazam, rubai dan kit’an. Menurut Ali Shahbana, semua bentuk puisi ini berasal dari Arab dan
Parsi. Masnawi umpamanya, digunakan untuk memuji-muji kaum bangsawan mahupun untuk
tujuan masing-masing. Rubai pula berunsurkan tema sufi dan falsafah Islam yang berbentuk
pantun ataupun sajak.
Bertitik tolak daripada pengaruh kebudayaan Islam dalam Kebudayaan Melayu, kerajaan
Malaysia telah membuat satu dasar yang menjadi landasan dalam menentukan corak dan nilai
budaya masyarakat Malaysia yang lebih dekat dengan nilai dan budaya yang telah melatari nilai
budaya Melayu iaitu kebudayaan Islam. Kerajaan telah menetapkan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan berpaksikan kepada Islam, kerana Islam telah mendominasi nilai budaya
masyarakat Melayu. Sekalipun Islam menjadi landasan kepada nilai budaya Malaysia, nilai
budaya setempat daripada etnik-etnik lain seperti Melanau, Iban, Kadazan dan lain-lain tidak
dikesampingkan, selagi ia tidak bertentangan dengan nilai budaya yang telah menjadi akar
umbi orang-orang Melayu.
3.5.4 Pembinaan Nilai Politik dan Perundangan
Interaksi peradaban Islam dengan Alam Melayu telah bermula kira-kira abad ke-10 M. Namun
begitu, proses perubahan akibat interaksi ini berlaku agak perlahan kerana pengaruh Hindu
masih mencengkam dalam minda masyarakat Melayu, di samping golongan elit yang masih
selesa dengan amalan Hindu-Buddha. Walau bagaimanapun, kehadiran Islam di Alam Melayu
akhirnya telah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Melayu, sehingga
unsur-unsur Hindu-Buddha hampir terhakis dan yang kekal hanyalah aspek yang bersesuaian
dengan ajaran Islam.
Islam telah mempengaruhi perundangan Malaysia. Pengaruh ini begitu jelas pada masa
pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Sistem perundangan Islam yang dilaksana oleh
Kesultanan Melaka bukan sahaja berkisar dalam bidang kekeluargaan (munakahat) atau jual
beli (muamalat), namun ianya menjangkaui bidang-bidang yang berkaitan dengan hukum
jenayah dan sivil. Hal ini dibuktikan dengan adanya naskhah Melayu dalam perundangan
seperti Hukum Kanun Melaka. Menurut Dr Ph S Ronkel, teks ini mengandungi 27 fasal undang-
undang, sementara Undang-undang Melaka yang tercatat pada naskhah yang terdapat dalam
koleksi di Muzium British mengandungi 44 fasal (Mahmood Saedon: 219). Menerusi teks ini
dapat dibuat kesimpulan bahawa undang-undang Kanun Melaka berdasarkan undang-undang
Islam dari aliran mazhab Syafie, namun unsur-unsur adat Melayu tidak dinafikan kewujudan
dalam undang-undang Melayu.
Fahaman mazhab Syafie jelas ketara pada kanun ini seperti pada peruntukan hukum qisas
dalam fasal 5(1), (3), 8(2),(3), 18(4), dan 39. Peruntukan ini membicarakan tentang
pembunuhan yang sengaja dilakukan oleh orang Islam ke atas orang kafir, orang merdeka ke
atas hamba dan bapa terhadap anaknya. Undang-undang Kanun Melaka tidak mengenakan
qisas bagi kesalahan tersebut .
Undang-undang Kanun Melaka juga mengandungi penjelasan hudud yang meliputi kesalahan
zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad, dan minum arak. Perkara tersebut diperuntukkan
dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1),12(3), 7(2), 11(1), 42 dan 43. Undang-undang ini juga
memasukkan kesalahan melakukan hubungan jenis sesama lelaki (liwat) dan hubungan jenis
dengan binatang seperti diperuntukkan dalam fasal 43(5), yang menepati pendapat mazhab
Syafi`e. Para ulama pada mazhab ini berpendapat perkara tersebut termasuk dalam kategori
zina. Dalam fasal 36(1) Undang-undang Kanun Melaka turut memperuntukkan hukuman bagi
mereka yang murtad. Mereka yang melakukan kesalahan murtad boleh dibunuh, atau dihukum
mati dan diminta bertaubat. Bagi kesalahan minum arak, undang-undang Kanun Melaka
menetapkan 40 kali sebatan bagi pesalah yang merdeka dan hamba 20 kali sebatan. Sekalipun
demikian, imam boleh mengenakan hukuman lebih daripada jumlah yang ditetapkan kepada
mereka yang merdeka setelah mengadakan perbincangan dan mengambil kira budi bicara
Perdana Menteri.
Selanjutnya, undang-undang Malaysia masih dipengaruhi oleh undang-undang Islam. Ini dapat
dilihat pada kedudukan Agama Islam, bidang kuasa dan pentadbirannya dalam peruntukan
Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam
adalah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan
damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Demikian juga dalam Perkara 3 ( 2 ) menjelaskan
kedudukan raja pada setiap negeri (melainkan negeri yang tidak mempunyai raja) sebagai
ketua agama Islam dalam negerinya setakat yang diakui dan diisytiharkan oleh perlembagaan.
Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama
Islam dalam negeri di wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan. Bagi maksud ini,
Parlimen boleh meluluskan undang-undang untuk menetapkan peruntukan bagi mengadakan
peraturan mengenai hal-ehwal agama Islam. Parlimen juga boleh meluluskan undang-undang
bagi menubuhkan suatu majlis untuk menasihat Yang Di Perutan Agong mengenai perkara-
perkara yang berhubung dengan agama Islam.
Peruntukan ini turut memberi jaminan kepada penganut agama Islam bahawa kerajaan negeri
akan mengawal dan menyekat perkembangan apa juga akidah dan kepercayaan agama di
kalangan masyarakat Islam. Kerajaan juga berhak mengadakan bantuan kewangan khas untuk
menubuh atau menyelenggara institusi Islam atau mengembangkan agama Islam seperti yang
dapat dilihat pada peruntukan 12(2). Peruntukan ini menyatakan “Tiap-tiap kumpulan agama
adalah berhak menubuh dan menyelenggarakan institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak
dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada perbezaan semata-mata oleh sebab
agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi itu....”
Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan kuasa mentadbir undang-undang Islam
pada pihak berkuasa negeri selaku ketua agama di sesebuah negeri atau wilayah. Ketua
agama di negeri masing-masing dipertanggungjawab melaksanakan tugas dengan nasihat
Majlis Agama Islam yang mempunyai kuasa seperti berikut:
a. Mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu isu undang-undang Islam yang dirujukkan
kepadanya.
b. Mentadbir harta-harta wakaf.
c. Membuat peraturan pungutan dan pembahagian zakat fitrah.
d. Melantik jawatankuasa syariah, kariah dan Maulud Nabi.
e. Mentadbirkan masjid dan sekolah-sekolah agama.
f. Mendaftarkan orang-orang yang memeluk Islam.
Majlis Agama Islam dibantu oleh Jabatan Hal-ehwal Agama Islam dalam menjalankan tugas-
tugas bersabit dengan perkara berikut:
a. Pentadbiran undang-undang zakat
b. Pemungutan zakat dan fitrah
c. Pengurusan baitulmal.
Undang-undang Islam di negeri-negeri di Malaysia ditadbirkan menurut Enakmen atau Ordinan
Pentadbiran Agama negeri masing-masing. Enakmen atau ordinan tersebut memberi
peruntukan mengenai penubuhan Majlis Agama Islam, penubuhan Mahkamah Syariah, sumber
kewangan, perkahwinan dan perceraian, nafkah tanggungan, kesalahan-kesalahan sivil dan
jenayah serta mualaf.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula memperuntukkan peranan Yang Di-
Pertuan Agong untuk menjamin kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Anak Negeri
Sabah dan Sarawak. Selain itu, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan menegaskan takrif
orang Melayu, iaitu:
i. Menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
ii. Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura.
iii. Ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau Singapura.
iv. Bermastautin di Persekutuan atau Singapura pada hari Merdeka.
3.5.5 Pembinaan Atas Dasar Ekonomi
Peranan Islam dalam aspek pembangunan ekonomi umat Melayu di zaman awal pertapakan
Islam jelas dapat ditelusuri melalui kemunculan dan perkembangan kawasan dagangan umat
Melayu. Jika sebelum pertapakan Islam di Alam Melayu, kawasan operasi ekonomi Melayu
hanya terbatas pada wilayah-wilayah di India sahaja tetapi setelah penerimaan Islam oleh
masyarakat Melayu, kawasan perdagangan umat Melayu telah berkembang hingga ke
Semenanjung Tanah Arab. Sehubungan itu banyaklah hasil-hasil dagangan luar mula masuk ke
wilayah Alam Melayu dan serentak itu hasil-hasil ekonomi Alam Melayu mula dikenali oleh
masyarakat luar.
Agama Islam juga telah mempengaruhi kaedah dan transaksi ekonomi masyarakat Alam
Melayu. Sistem ekonomi yang berdasarkan syariat Islam mula diperkenalkan. Kegiatan
ekonomi masyarakat Islam yang rancak telah menjana pembangunan dan kepentingan umat
dengan cara memberi sumbangan dan memenuhi kewajipan agama Islam seperti berzakat dan
bersedekah. Keadaan ini berterusan sehingga kedatangan pihak penjajah yang mula
memperkenalkan sistem ekonomi moden (acuan Barat) yang tidak bertitik tolak dari syariat
Islam.
Perkembangan pesat ekonomi Semenanjung Tanah Melayu telah mencetuskan keperluan
tenaga kerja di sektor-sektor perladangan dan perlombongan. Sebagai mengatasi kemelut ini,
penjajah Inggeris telah membawa buruh-buruh asing dari luar Tanah Melayu khususnya dari
India dan Cina untuk memenuhi keperluan tenaga buruh. Dalam perkembangan seterusnya,
kegiatan dan aktiviti ekonomi pada dua sektor ini membawa kesan yang kurang sihat kepada
keharmonian masyarakat di Malaysia/ Tanah Melayu. Kehadiran dua bangsa asing secara
berterusan dan bermustautin di negara ini telah membentuk masyarakat dominan di Malaysia
yang dikenali dengan masyarakat makmuk. Tiga bangsa tersebut ialah Melayu, Cina dan India.
Tiga kelompok bangsa ini mudah dikenali menerusi kegiatan ekonomi yang mereka usahakan
dan penempatan warisan mereka. Keadaan ini berterusan sehingga Malaysia/Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan.
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan berusaha membawa
masyarakat Melayu berkecimpung dalam bidang ekonomi moden kerana kaum Melayu
terpaksa bersaing dengan kaum Cina yang lebih dahulu menguasai sektor ini. Penguasaan
sektor ekonomi oleh kaum Cina berterusan selepas era kemerdekaan. Peristiwa 13 Mei 1959,
telah menjadi titik tolak penting dalam sejarah perkembangan ekonomi Tanah Melayu. Peristiwa
tersebut membawa perubahan besar dalam sosio-ekonomi Malaysia. Usaha yang lebih pro-aktif
telah dilakukan dalam menentukan peristiwa ini tidak berulang kembali. Justru itu kerajaan telah
memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. Dasar ini bertujuan merapatkan jurang
perbezaan ekonomi kalangan masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina. Dasar ini berjalan
selama 10 tahun dengan matlamat utama untuk mencapai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam
sektor ekonomi.
Sungguhpun belum mencapai kejayaan sepenuhnya dalam pemilikan 30% ekuiti bumiputera di
sektor ekonomi, namun dasar ini tetap menjadi landasan penting dalam menggalakkan
penglibatan langsung golongan bumiputera dalam bidang ekonomi. Dasar ini telah
meningkatkan usaha bumiputera Melayu sehingga melahirkan golongan usahawan Melayu-
Muslim yang berjaya. Kejayaan ini menjadi penyumbang kepada negara dalam usaha Malaysia
membina kekuatan ekonomi, mengembeling kesetiaan dan perpaduan bangsa demi
mempertahankan kedaulatan negara. Kejayaan ini juga meliputi kemampuan mengurus sumber
asli di negara ini. Sumber petroleum telah berjaya diurus dengan penuh cemerlang oleh
Syarikat Petronas yang telah memaksimumkan kepentingan Malaysia, di samping menjadikan
Petronas antara gergasi korporat global. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun
1970 telah memungkinkan pegangan ekuiti Melayu-Muslim ditambah daripada paras paling
rendah iaitu dari 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada tahap pencapaian 19.3 peratus pada
tahun 1990.
Namun setelah tamat tempoh rasmi pelaksanaan DEB pada tahun 1990 dan setelah Dasar
Penswastaan dilaksanakan, pencapaian ekonomi Melayu kelihatan telah merosot kepada 18.9
peratus pada tahun 2000 dan bertambah menurun pada tahun 2002 sebanyak 18.7 peratus.
Hakisan ini berlaku apabila krisis ekonomi melanda negara ini pada tahun 1997. Keadaan ini
perlu ditangani dalam usaha mengembalikan maruah umat dan agama di tempat yang
sebenarnya demi memelihara martabat umat Islam. Fenomena ini menuntut satu gagasan
strategi baru yang lebih berkesan dan perkasa dalam menyatupadukan semula seluruh tenaga
bangsa dan umat Melayu Islam. Dengan kata lain, bangsa Melayu dan umat Islam tiada pilihan
lain, selain menerima gagasan Agenda Ekonomi Hadhari yang mensasarkan usaha perniagaan
di monopoli oleh anak bangsa sebagai perjuangan bertaraf Jihad. Pendekatan ini merupakan
strategi yang berkesan dan menepati situasi cabaran semasa dan realiti ekonomi global hari ini.
3.5.6 Pengaruh Islam dalam institusi kewangan
Agama Islam turut mempengaruhi aktiviti ekonomi masyarakat Islam. Masyarakat Melayu
mempunyai azam dan cita-cita untuk melaksanakan Islam dalam aspek ekonomi. Justeru itu,
usaha ini telah membawa kepada penggubalan dasar dan perubahan dalam perundangan
ekonomi sehingga membawa kepada penubuhan institusi-institusi Islam yang memainkan
peranan penting dalam ekonomi dan perniagaan Islam di Malaysia.
Praktis ini semakin serius dilakukan dalam amalan institusi kewangan. Era 1980an
menampilkan satu perkembangan yang memberangsangkan di mana usaha pemerintah
menjadikan wawasan ekonomi berteraskan Islam dapat dilaksanakan. Akta perbankan telah
dirombak bagi membolehkan pihak kerajaan menubuhkan satu institusi yang menjalankan
amalan perniagaan berdasarkan syariat Islam. Justeru melalui perubahan terhadap akta
perbankan, penubuhan institusi kewangan Islam telah diluluskan. Ekoran itu, wujud Bank Islam
Malaysia Berhad (BIMB) yang menjadi pelopor perbankan Islam. Penubuhan institusi ini
dilanjutkan dengan wujudnya Bank Muamalat yang juga menjalankan operasi berdasar sistem
muamalat Islam. Pengurusan perbankan yang berpandukan kaedah syarak dan ditadbir urus
oleh golongan profesional Islam telah memberi sinar baru kepada institusi kewangan Islam di
Malaysia. Ini dapat digambarkan melalui sokongan berterusan kerajaan dan umat Islam dengan
menjadi ahli perbankan Islam serta terlibat dalam aktiviti perniagaan yang diperkenalkan oleh
pihak bank. Kejayaan ini ditambah dengan adanya dokongan pihak berkuasa melalui agensi-
agensi di bawahnya. Minat dan keyakinan pihak pelabur dari kalangan bukan Islam juga
menjadi faktor pembantu ke arah pencapaian cemerlang Bank Islam hingga kini. Malahan bank-
bank konvensional cuba menerapkan elemen perniagaan mengikut kaedah Islam dalam operasi
bank mereka. Ini menjadi petanda kejayaan operasi perbankan yang berteraskan syariah Islam
dan menjadi alternatif penting dalam menangani cabaran ekonomi konvensional yang ternyata
menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat dan masyarakat.
Kewujudan institusi perniagaan Islam ini telah memberi pilihan kepada umat Melayu untuk
memberi sumbangan dan turut sama dalam usaha memajukan ekonomi umat Melayu. Institusi
kewangan Islam ini juga tidak menghalang masyarakat bukan Islam sama-sama menganggotai
institusi kewangan ini. Oleh itu terdapat sebahagian masyarakat bukan Islam yang menaruh
penuh kepercayaan kepada institusi kewangan yang dilaksanakan oleh umat Islam sehingga
mereka tidak ragu-ragu menanam modal dalam institusi kewangan yang dikendalikan oleh umat
Islam.
3.5.7 Pembinaan Institusi Pendidikan (Bahasa, ilmu dan intelektual).
Menurut Winstedt, bahasa Melayu sebelum kewujudan Islam di Alam Melayu ditulis dengan
menggunakan huruf Kawi dan Nagari yang berasal dari Pallava, India. Manakala tulisan Jawi
mulai terkenal dalam Tamadun Melayu selepas kedatangan Islam. Huruf Arab yang berasal dari
al-Qur’an telah menggantikan huruf Kawi dan Nagari. Oleh itu, kedatangan Islam ke Alam
Melayu ini telah melahirkan satu bentuk tulisan baru bagi masyarakat rantau ini yang dikenali
sebagai tulisan jawi. Ia merupakan satu bentuk tulisan baru yang dicipta oleh sekumpulan
masyarakat Islam keturunan Parsi yang menetap di bahagian utara Sumatera. Tulisan ini
menggabungkan huruf Arab-Parsi yang kemudian dikenali sebagai tulisan Jawi. Tulisan ini
kemudiannya telah digunakan secara meluas dalam bidang penulisan kitab-kitab agama Islam
yang menjadi medium utama penyebaran ajaran Islam di daerah Nusantara ini.
Perkembangan dan penggunaan tulisan jawi telah mempengaruhi perkembangan bahasa
Melayu. Sejajar itu istilah-istilah agama Islam telah diserap menjadi sebahagian istilah bahasa
Melayu. Sebagai contohnya, perkataan akidah, iman, ihsan, sedekah, zakat, wajib dan lain-lain
adalah perkataan bahasa Arab untuk menjelaskan ajaran Islam yang telah menjadi sebahagian
perkataan bahasa Melayu.
Agama Islam turut berjaya mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca atau
bahasa perantaraan dalam menjalin hubungan dengan masyarakat luar. Bahasa Melayu yang
diucapkan oleh seluruh masyarakat Melayu di wilayah Alam Melayu telah menjadi bahasa
pengantar agama Islam di Gugusan Kepulauan Melayu di samping menjadi bahasa ilmu, sosio-
politiik serta sosio-ekonomi. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara telah
memungkinkan wilayah ini menjadi “emporium besar” yang berjaya menarik minat masyarakat
di luar wilayah gugusan Melayu ini.
Penggunaan bahasa Melayu bertambah kukuh dengan terhasilnya karya-karya kesusasteraan
Melayu sama ada berbentuk karya saduran dari sastera Timur Tengah dan Asia Barat atau
karya asli ilmuwan dan sasterawan Melayu. Melalui penghasilan karya yang menggunakan
tulisan jawi, bahasa Melayu telah berjaya menjadi perantara segala ilmu dan maklumat Islam.
Perkembangan Islam melalui medium penting ini telah membawa manfaat besar kepada
masyarakat Alam Melayu untuk memahami ajaran Islam. Ini menjadi pendorong kukuh kepada
para pendakwah dan ilmuwan Islam untuk memperbanyakkan hsil penulisan berkaitan Islam
demi mencapai hasrat dakwah Islam. Penggunaan tulisan jawi yang diasaskan kepada huruf-
huruf Arab dengan penambahan lima huruf baru (Nya - ?, Ca -? , Ga -? , Pa -? dan Nga - ?)
telah menambah nilai kekuatan bahasa Melayu. Hasilnya perbendaharaan kata dan istilah
Melayu dikembangkan melalui pengaruh bahasa Arab dan bahasa Parsi di samping pemakaian
huruf Arab sedia ada.
Selain itu, Islam telah memperkenalkan pengetahuan bercorak falsafah, pemikiran yang
bercorak rasional dan intelektual di rantau Alam Melayu. Melalui pemikiran rasional, Islam
menekankan unsur-unsur persamaan sosial, keadilan dan keperibadian mulia dalam
mewujudkan masyarakat harmoni di rantau ini. Perkembangan ini telah mengubah penekanan
unsur-unsur estetika yang bercorak fahaman Hindu-Buddha kepada bercorak akliah Islamiah.
Ilmu pengetahuan yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan tradisi pendidikan dan
pengajaran. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitab-kitab
mengenai ajaran Islam. Pusat pengajian mulai tumbuh di masjid atau surau. Selanjutnya,
sekolah-sekolah seperti madrasah, pondok, pesantren, rangkeng dan lain-lain didirikan bagi
menampung para pelajar yang semakin ramai. Pasai sebagai contohnya, telah memulakan
tradisi pendidikan di istana pada abad 13 M. Demikian juga istana Melaka pada abad 15 M dan
Kesultanan Aceh abad 16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu, pusat-pusat pendidikan telah
berkembang di luar tradisi tinggi yang berpusat di istana berpindah di kalangan rakyat jelata
yang mewakili tradisi rendah. Ini dibuktikan dengan lahirnya sistem pengajian rangkeng di Aceh,
sistem pengajian pondok di Patani, Kelantan dan Kedah dan seterusnya pesantren di Pulau
Jawa.
Melalui sistem pengajian tersebut lahirlah para cendekiawan dan ilmuan Melayu yang menjadi
pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru, ulama dan ahli agama. Antara tokoh Melayu yang
terkenal pada peringkat awal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel
dari Aceh, Syeikh Abdul Malik Abdullah Terengganu, Syeikh Daud al-Fatani, Abdul Samad al-
Palembangi dan ramai lagi. Tokoh-tokoh dari kalangan ulama ini telah memainkan peranan
yang besar dalam menyampai dan menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan akidah dan syariat Islam
dalam pelbagai genre sastra Melayu seperti puisi, pantun, syair, gurindam, seloka, perbidalan,
peribahasa mahupun bentuk prosa kepada masyarakat Melayu di seluruh wilayah Nusantara.
Kekuatan pengaruh Islam pada tahap awal ini yang telah melahirkan kerajaan atau pusat
pemerintahan Islam di wilayah ini dan mempunyai tokoh-tokoh ulama’ yang mendapat
pengiktirafan daripada ulama besar di Asia Barat atau Semenanjung Tanah Arab telah
menyebabkan wilayah ini menjadi tumpuan masyarakat Islam dari luar daerah Nusantara untuk
berkunjung dan mendalami ilmu pengetahuan di wilayah ini.
Perkembangan pendidikan pasca penjajahan dan kemerdekaan menunjukkan kemajuan yang
pesat. Bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda negara dan memperoleh
dana yang tinggi dalam program pembangunan melalui rancangan jangka pendek dan jangka
panjang yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Institusi pendidikan tinggi yang
berorientasikan keislaman tetap tumbuh dan berkembang secara terancang sama ada didirikan
oleh pihak pemerintah atau badan-badan NGO. Sebagai contoh, wujud Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC),
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Iqra’, Institut Ibnu Sina dan banyak lagi.
Kewujudan institusi ini membuktikan kepesatan perkembangan pendidikan di wilayah ini.
Demikian juga kemunculan pusat-pusat pengajian keislaman tradisional serantau yang
berwibawa seperti Ikatan Cendiakawan Muslim Indonesia (ICMI), Majlis Ilmu Patani, Thailand
dan sebagainya turut membuktikan pengaruh Islam yang kukuh dalam bidang pendidikan dan
keilmuan. Situasi ini semua memantapkan lagi kewibawaan umat Islam di rantau ini.
Menelusur era pendidikan agama Islam pada zaman penjajahan Inggeris di Malaysia,
memperlihatkan perkembangan pendidikan agama melalui zaman kemalapan. Ini disebabkan
pengamalan dasar “Divide and role” oleh pemerintah Inggeris dalam persoalan agama.
Menerusi dasar ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat Melayu sendiri menguruskan
hal-hal berkaitan agama. Kesannya, pendidikan agama terpinggir dalam arus pembangunan
negara dan hal agama adalah bersifat individu. Oleh itu, tidak hairan mengapa di zaman
penguasaan penjajah pendidikan agama mulai terkeluar dalam program pembangunan
pemerintahan secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna pendidikan
agama langsung tidak mendapat tempat, sebaliknya ia terus berkembang dalam ruang lain
melalui usaha berterusan para alim ulama’ yang mahukan pendidikan Islam terus dapat
diterima oleh masyarakatr Islam di wilayah ini.
Perlembagaan Malaysia melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan telah memperuntukkan hak
kepada semua rakyat untuk mendapat pendidikan formal semenjak di peringkat awal lagi.
Golongan pendidik Islam telah mempergunakan ruang ini dengan menubuhkan institusi
pendidikan dan pusat-pusat keilmuan Islam. Institusi ini menjadi tempat umat Islam mendalami
pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Penubuhan institusi ini memberi kesan kepada
perkembangan pendidikan agama di Malaysia. Pada era tahun 80an pendidikan agama
mengalami perubahan pesat, di mana sebahagian besar sekolah-sekolah agama rakyat mula di
kendalikan oleh Kementerian Pelajaran dengan bantuan dan sokongan pemerintah. Kesan
pengambilalihan ini, ramai di kalangan pelajar-pelajar Melayu Islam yang telah berjaya
meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat universiti sama ada di dalam mahupun luar
negara. Pengisian kurikulum yang bersifat semasa dan penerapan asas-asas ajaran Islam telah
menarik minat ramai kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di
sekolah-sekolah aliran agama di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran. Ini agak berbeza
dengan tanggapan awal masyarakat Islam yang melihat prospek lulusan agama adalah tidak
menentu. Pada hari ini rata-rata ibu bapa yakin dengan kemampuan dan peluang yang
disediakan oleh pemerintah di sekolah-sekolah agama. Lulusan aliran ini bukan sahaja dapat
menguasai ilmu agama, malah anak-anak mereka turut menguasai ilmu-ilmu sains dan
teknologi di samping pelbagai kemahiran.
Berdasarkan analisis di atas, jelas memperlihatkan Tamadun Melayu adalah paksi kepada
pembinaan Tamadun Malaysia. Sebagai masyarakat peribumi yang telah lama menetap di
wilayah ini, tatacara hidup mereka tidak boleh dikesampingkan dalam menentukan corak nilai
budaya dan tamadun bangsa Malaysia pada masa akan datang. Islam yang merupakan agama
universal, anutan generasi Melayu, teras pegangan rakyat peribumi serta agama bagi negara
ini, harus dilihat sebagai satu nilai tradisi yang turut menyumbang kepada pembinaan tamadun
Malaysia.
Beberapa aspek yang perlu dilihat dalam kita menentukan peranan Tamadun Melayu dalam
membina Tamadun Malaysia adalah bersandarkan kepada latar belakang asas pembinaan
Tamadun Melayu. Tamadun Melayu telah menjadi landasan perkembangan tamadun Malaysia
yang bertunjangkan kepada nilai keagamaan, nilai identiti diri, nilai seni dan budaya dan nilai
politik dan perundangan. Kesemua nilai ini mempunyai peranan penting dan dijadikan asas
pembinaan Tamadun Malaysia. Asas-asas ini menjadi acuan kepada rangka kerja pembinaan
Tamadun Malaysia.
3.6 PARADIGMA ISLAM HADHARI
Era kegemilangan umat Islam bermula dengan kejayaan Rasulullah SAW menggubal Piagam
Madinah dan mengisytiharkan Madinah al-Munawwarah sebagai sebuah negara Islam. Bertitik
tolak daripada kejayaan ini, Negara Islam terus berkembang dengan pesat pada zaman
Khulafa’ al-Rasyidin, diikuti pula dengan zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah.
Kejayaan demi kejayaan ditempa umat Islam sehingga berjaya melebarkan kegemilangannya
ke benua Eropah, melalui kemunculan Tamadun Islam di Andalusia. Kegemilangan ini turut
dirasakan oleh Dunia Timur termasuk India, China dan Asia Tenggara.
Bagaimanapun kejatuhan Kota Baghdad ke tangan tentera Moghul pada tahun 1258 M
meninggalkan kesan yang amat mendalam. Faktor dalaman memainkan peranan penting.
Kelemahan umat Islam berpunca daripada pergaduhan antara umat Islam sendiri, terutama
antara puak Sunni dan Syi`ah. Ini diikuti oleh semangat dan perkauman keterlaluan
mengakibatkan berlakunya perpecahan negara Islam kepada kerajaan-kerajaan kecil yang
berselerak di seluruh Dunia Islam. Akibatnya khilafah Islamiyyah menjadi lemah dan tidak dapat
diselamatkan lagi.
Kini imej Islam dan umatnya telah luntur. Kehebatan umat Islam yang pada suatu ketika dulu
digeruni, kini dicemuh dan diperlekehkan, bukan lagi oleh musuh-musuh tetapi juga oleh
sebahagian umat Islam. Persepsi umat Islam terhadap agamanya juga terbatas kepada aspek-
aspek ibadah khusus semata-mata. Sebahagian lain pula hanya sekadar menampilkan dalam
bentuk slogan dan retorik semata-mata. Sedangkan Islam perlu diketengahkan sebagai satu
cara hidup yang lengkap dan menyeluruh meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Ia
berkemampuan menyelesaikan bukan hanya permasalahan peribadi, tetapi juga menggarap
persoalan keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Sebab itu, agenda pembangunan
ummah, peradaban bangsa dan keutuhan bangsa perlu digarap dalam agenda perjuangan.
Umat Melayu sebagai satu generasi Muslim mampu menjadi juara mengubah haluan dunia dan
memartabatkan kembali sistem khilafah yang hilang dengan beberapa persiapan. Antaranya
kita amat yakin bahawa melalui proses pemantapan jati diri dengan iman dan takwa, mengubah
halatuju minda dengan ilmu dan pengalaman, menghias sikap dan perilaku dengan akhlak
terpuji, menggiatkan segala potensi yang ada. Lantaran itu Islam harus didefinisikan kembali
agar ia menjadi jelas dan dapat difahami oleh seluruh umat Islam akan hakikat sebenarnya
yang terkandung dalam perkataan al-Islam itu.
3.6.1 Tasawwur Islam
Secara umumnya Islam boleh didefinisikan dalam dua persepsi berikut:
Pertama: “Kepatuhan, ketundukan dan ketaatan terhadap syari`at yang dibawa oleh baginda
Rasulullah SAW secara zahir dan batin dengan penuh keikhlasan lahir daripada kesedaran diri
bukan kerana terpaksa”.
Kedua: “Suatu peraturan umum dan undang-undang yang bersifat sempurna dan menyeluruh
merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia dalam mengatur perancangan dan
sistem hidup mereka, orang yang mentaatinya diberikan pahala orang yang mengingkarinya
dikenakan dosa.
Dari persepsi ini dapat difaham Islam adalah satu agama syumul dan kamil. Takrif Islam yang
lebih menyeluruh dapat disimpulkan sebagai “Suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna,
membicarakan seluruh permasalahan hidup manusia; berkaitan dengan peribadi, keluarga,
masyarakat, negara dan ummah, mendasari tiga persoalan utama; `aqidah, syari`ah dan
akhlak. Berasaskan tiga dasar inilah seluruh sistem kehidupan masyarakat manusia ditegakkan.
Oleh itu Islam adalah gambaran yang menyeluruh dan global terangkum dalam aspek berikut:
1. Aqidah: Keimanan kepada semua perkara yang terkandung dalam aspek-aspek ketuhanan,
kenabian, al-ruhaniyyat (perkara ghaib) dan al-sam`iyyat al-Ghaybiyyat (alam akhirat). Semua
perkara ini terikat kukuh dalam sanubari seorang mukmin. Rukun-rukun iman iaitu, keimanan
kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan ketentuan buruk-baik (qada’-qadar)
daripada Allah SWT adalah terangkum di dalam aspek-aspek ini.
2. Syari`ah: Suatu peraturan khusus dan umum berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah
SWT dan ditafsirkan melalui sunnah Rasulullah SAW merangkumi hal ibadat, mu`amalat,
munakahat dan jinayat. Demikan juga segala permasalahan yang berkaitan dengan sistem-
sistem kenegaraan seperti, ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan,
kebudayaan, kesihatan, ketenteraan, keamanan dan keselamatan.
3. Akhlak: Suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam sanubari seseorang. Ia tercerna melalui
perkataan dan tingkah laku spontan. Pelaku akhlak menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah
sebagai tonggaknya. Jika baik menurut al-Qur’an dan al-Sunnah baiklah tingkahlaku tersebut.
Jika baik menurut al-Qur’an dan al-Sunnah bermakna baiklah dan jika buruk menurut
pertimbangan al-Qur’an dan al-Sunnah bermakna buruklah. Akhlak dalam Islam merangkumi
hubungan seseorang dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.
Sebagai contoh, akhlak terpuji (mahmudah) dengan Allah ialah takwa, ikhlas, syukur, sabar,
reda, tawakkal, zuhud dan wara`. Manakala yang membabitkan hubungan sesama manusia
ialah seperti; amanah, penyayang, pemaaf, pemurah, adil dan toleransi. Sementara yang
membabitkan hubungan dengan alam pula ialah seperti; adil dan penyayang.
Ketiga-tiga perkara di atas menjadi asas pembinaan seluruh sistem hidup manusia. Justeru itu,
perbezaan antara Tamadun Islam dengan bukan Islam terletak kepada asas-asas tamadun di
atas. Sekiranya asas-asas tersebut menjadi titik tolak untuk membangunkan sesebuah
peradaban masyarakat, bererti peradaban yang dibina adalah Tamadun Islam. Sekiranya
membelakangkan tiga asas ini bererti peradaban yang terbina bukan peradaban Tamadun
Islam, walaupun ia didirikan oleh umat yang bergelar peradaban Muslim.
3.6.1 Definisi Islam Hadhari
Hadhari berasal daripada kata hadharah yang bermaksud, tamadun, peradaban, masyarakat
yang maju dan membangun. Islam hadhari atau disebut juga sebagai al-Manhaj al-Islam al-
Hadhari ialah suatu pendekatan menyeluruh untuk membangunkan individu, keluarga,
masyarakat dan negara, melalui pembangunan insan dan material secara sepadu dan
menyeluruh dari segi spiritual (keimanan), emosional (akhlak), intelektual (keilmuan) dan
material (kebendaan) yang membawa manusia mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke
hadapan, berinovatif, serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana,
rasional, objektif dan praktikal. ( JAKIM, 2005)
Oleh itu, Islam tidak boleh difahami secara juz’i atau terpisah daripada aspek kehidupan yang
lain seperti ekonomi, politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, kebudayaan, keselamatan
dan kesihatan. Ini kerana setiap bidang kehidupan yang diceburi oleh seorang Muslim telah ada
peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Islam untuk dipatuhi. Islam adalah ajaran untuk
meningkatkan kualiti hidup ke arah peradaban unggul terutama ketika berhadapan dengan
cabaran di alaf baru, seperti ledakan teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi
global, krisis identiti dan penjajahan pemikiran.
Sehubungan itu, Islam Hadhari mempunyai visi dan misi untuk membina tamadun umat Melayu.
Visinya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh iaitu sebuah
negara maju, aman, harmoni serta mendapat keampunan, rahmat dan keberkatan daripada
Allah SWT (JAKIM, 2005) Misinya pula untuk melaksanakan agenda pembangunan negara dan
ummah berlandaskan pendekatan Islam yang bersifat universal, maju, bertamadun, bertoleransi
dan berimbang. ( JAKIM, 2005). Islam Hadharai jelas mempunyai objektif untuk melahirkan
individu dan masyarakat Islam yang memiliki jati diri mantap dengan kekuatan spiritual,
emosional, intelektual, material, berdikari, berdaya saing, berfikiran ke hadapan, inovatif serta
cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.
( JAKIM, 2005)
3.6.2 Asas-Asas Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Para sarjana Islam memadukan aspek material, spiritual dan moral dalam memahami tamadun
atau hadharah. Ibn Khaldun umpamanya, meletakkan pegangan kuat kepada agama yang
diwahyukan oleh Allah SWT sebagai syarat utama. Ia mestilah diasaskan kepada tiga perkara
utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Segala bentuk penyusunan pentadbiran dalam
sesebuah masyarakat dari segi politik, ekonomi, sosial, keilmuan, muamalah dan sebagainya
mestilah berasaskan kepada acuan di atas (al-sibghah al-diniyyah). Pembinaan tamadun yang
tidak diasaskan kepada asas ini akan bertukar kepada kehidupan al-badawah yang menuju
kehancuran tamadun (Ibn Khaldun, 1967).
Sayid Qutb (1986) dalam bukunya Ma`alim fi al-tariq juga meletakkan asas-asas penting
kepada kelahiran Tamadun Islam adalah melalui acuan keagamaan. Asas-asas yang
dimaksudkan ialah:
Pengabdian diri kepada Allah
Organisasi atas dasar akidah.
Keagungan dan keluhuran nilai kemanusiaan berbanding nilai kebendaan.
Nilai-nilai kemanusiaan berfungsi menghambat sifat kebinatangan.
Kesucian keluarga.
Melaksanakan tugas khilafah di bumi dengan mengikut panduan wahyu.
Mematuhi syariat dalam semua urusan khilafah di bumi.
Berdasarkan pandangan dua orang sarjana Muslim di atas dapatlah dirumuskan bahawa asas
masyarakat Islam Hadhari adalah melengkapi perkara-perkara berikut:
1. Aqidah
Kepentingan akidah sebagai asas utama Tamadun Islam amat jelas sekali, kerana segala
bentuk pembangunan yang hendak dibina oleh manusia haruslah bermula dari dalam diri,
kemudian barulah dilebarkan kepada yang lain. Pembina tamadun yang memiliki kesatuan jiwa,
berfikir dan bertindak akan melahirkan tamadun yang bertahan lama dan harmoni serta
mendapat keberkatan dan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.
Akidah menjadi asas dan amat penting dalam pembinaan masyarakat hadhari. Kepincangan
akidah bererti musnahlah segala-galanya kerana akidah adalah ibarat nadi kepada jasad
manusia, asas kepada sebuah binaan atau akar kepada sebatang pokok. Oleh itu, apabila
rosak bererti binasalah badan, binaan dan pokok tersebut. Asas ini menjadi dasar seluruh
sistem dan dimensi kehidupan manusia. Akidah ialah keimanan dan keyakinan kepada seluruh
aspek yang membabitkan persoalan al-Ilahiyyat (ketuhanan Allah SWT), al-nubuwwat
(kenabian dan kerasulan Muhammad SAW dan para nabi yang diutuskan), al-ruhaniyyat
(makhluk-makhluk hidup yang ghaib daripada pandangan manusia) dan al-ghaibiyyat (alam
ghaib seperti Barzakh, Mahsyar, Sirat, Mizan, al-Jannah dan al-Nar). Keimanan dan keyakinan
terhadap semua perkara khususnya rukun-rukun Iman (beriman dengan Allah, para malaikat,
kitab, para rasul, hari akhirat, qada’ dan qadar) yang disebutkan disematkan dalam sanubari
seseorang mukmin.
Intipati kepada seluruh persoalan akidah ialah keimanan dan keyakinan kepada ketauhidan
Allah SWT. Ketauhidan Allah merangkumi aspek-aspek al-uluhiyyah, al-rububiyyah, al-asma’
dan al-sifat. (al-Maududi, 1980)
a. al-Uluhiyyah : Meyakini bahawa Allah SWT Esa sebagai Tuhan yang disembah, dipuja, dipuji,
tempat memohon, tempat bertawakal dan sebagainya. Ini bererti orang-orang yang memuja dan
menyembah selain Allah dianggap melakukan perbuatan syirik dan tidak mentauhidkan Allah
SWT.
b. al-Rububiyyah : Meyakini bahawa Allah SWT Esa sebagai Tuhan yang mencipta, mentadbir,
menguasai, memiliki, mengurus seluruh alam termasuk makhluk yang bernama manusia dan
jin. Ini bermaksud seseorang yang membelakangkan perintah dan larangan-Nya dan tidak
mengakui bahawa alam ini dicipta oleh Allah SWT, bererti telah menyengutukan Allah SWT dari
sudut rububiyyah-Nya.
c. al-Asma’ dan al-Sifat : Seseorang yang beriman wajib meyakini dengan sepenuhnya bahawa
Allah SWT mempunyai nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha sempurna (sifat-sifat
kamalat) dan Maha Agung dan Maha Mulia (sifat-sifat jalal). Nama-nama Allah yang Maha
Indah itu tersenarai jelas dalam al-Asma’ al-Husna sebanyak 99 nama. Manakala sifat-sifat-Nya
terdapat dalam maksud di sebalik al-Asma’ al-Husna. Sesetengah ulama Usuluddin pula
menegaskan sifat-sifat Allah terletak pada sifat 20 yang wajib ada bagi Allah SWT.
2. Syariah
Syariah ialah hukum-hakam perundangan dan peraturan yang diturunkan oleh Allah SWT
melalui wahyu-Nya kepada Nabi Muhammad SAW yang bertujuan mengatur kehidupan
peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Hukum ini merangkum hal ibadah, muamalah,
kekeluargaan dan jenayah. Hal ibadah yang dimaksudkan adalah membabitkan hubungan
seseorang hamba dengan Pencipta seperti solat, puasa, zakat dan haji. Manakala muamalah
pula bermaksud segala urusan yang membabitkan hubungan sesama manusia dalam perkara
urusan perekonomian (jual-beli, sewa-menyewa, hutang-piutang, saham dan pajak gadai).
Termasuk di bawah syariat juga ialah perkara yang menyentuh persoalan politik seperti
pentadbiran, keselamatan, keamanan, pendidikan, kekeluargaan, kebudayaan, kesihatan dan
sebagainya). Keseluruhan perjalanan syariat yang disebutkan adalah berjalan berasaskan
kepada tuntutan wahyu berpaksikan kepada ajaran tauhid.
Syariat dalam Islam sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Ia mungkin mengalami
beberapa perubahan mengikut ketentuan ulama mujtahid semasa dalam perkara-perkara
cabang dan ranting yang tidak dinaskan secara qat`i dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Bagaimanapun ia tidak berlaku kepada perkara-perkara yang membabitkan akidah dan dasar-
dasar ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Syariat berada di tahap kedua selepas akidah. Semua aspek yang terkandung dalam ciri-ciri
sesebuah tamadun, mestilah berdiri dan tegak atas syariah. Dalam erti kata lain, sesuatu yang
menjadi unsur tamadun mestilah bergerak dan berkembang mengikut hukum dan ketentuan
Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Jika tidak, secara automatik ia bukan lagi Tamadun Islam.
Sebagai contoh, persoalan ekonomi dan politik dianggap dua perkara penting dan amat
menentukan dalam pengukuran kejayaan sesebuah tamadun. Namun sekiranya kedua-duanya
bergerak dan berkembang tanpa mengambil kira kehendak syariat, halal-haram dan
sebagainya, pasti ia terkeluar dari perspektif masyarakat hadhari dalam Tamadun Islam.
3. Akhlak
Akhlak menurut al-Imam al-Ghazali dan Ibn Maskawaih ialah:
“Suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam jiwa seseorang yang mendorongnya untuk
melakukan sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa melalui pertimbangan akal fikiran.
Sekiranya baik menurut pertimbangan al-Qur’an dan al-Sunnah, bererti baiklah dan sekiranya
buruk mengikut al-Qur’an dan al-Sunnah bererti buruklah”.4
Akhlak terhasil daripada iman yang kental dalam sanubari seseorang. Ia ibarat buah yang
terhasil dari sebatang pokok yang subur. Kecemerlangan sesebuah tamadun atau umat amat
dipengaruhi oleh akhlak yang baik. Keruntuhan sosial dalam masyarakat adalah disebabkan
kedangkalan akhlak di kalangan para anggotanya. Jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan
tamadun amat bergantung kepada akhlak. Kewujudannya bererti kekallah bangsa dan
tamadun, ketiadaannya bererti musnahlah segala-galanya. Ahmad Syauqi, seorang penyair
Arab yang terkenal pernah menyebut dalam bait-bait syairnya:
“Sesungguhnya kekalnya sesuatu bangsa itu bergantung kepada akhlak para anggotanya,
sekiranya akhlak mereka musnah, bererti lenyaplah bangsa tersebut”.
Oleh sebab itu, tanggungjawab melahirkan generasi yang berakhlak adalah suatu amanah yang
sangat mulia. Amanah telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada semua rasul-Nya. Kenyataan
ini amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya aku di utusan untuk memperbaiki dan mengharmonikan akhlak manusia.”
Fungsi akhlak sebagai asas ketiga tamadun Islam dapat dilihat pada kaitannya dengan
hubungan manusia dengan Pencipta, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam dan
haiwan. Kemurnian hubungan manusia dengan Pencipta boleh menyebabkan jiwa manusia
terbina dengan sifat-sifat ikhlas, sabar dalam menempuh halangan, berpada dengan yang ada,
bersyukur dan berterima kasih atas segala nikmat yang diterima. Demikian juga kemurnian
hubungan manusia sesama manusia akan lahir kecenderungan untuk bertindak dengan adil,
keinginan untuk bekerjasama, bertolak ansur, penyayang, pemurah dan sebagainya. Begitu
jugalah jika dikaitkan dengan keharmonian hubungan manusia dengan selain manusia. Sebagai
contoh, kesuburan flora dan fauna akan berfungsi sebagai pengimbang suhu bumi, sekali gus
mengharmonikan kehidupan manusia. Kejernihan air sungai dan laut serta kebersihan pantai
boleh membawa keselesaan kepada seluruh hidupan air dan sekali gus memberi manfaat besar
kepada manusia dan alam seluruhnya. Semua ini menjadi alasan yang kuat kepada para
sarjana Muslim untuk meletakkan tiga asas di atas menjadi asas-asas utama Tamadun Islam.
3.6.3 Ciri-ciri Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Berdasarkan kepada asas penting yang diletakkan sebagai teras pembinaan sesebuah
Tamadun Islam, sudah tentu dapat dirasakan bahawa ciri-ciri dan sifat-sifat Masyarakat Islam
Hadhari suatu yang sempurna dan menyeluruh, bukan sahaja boleh dilihat kepada perspektif
dalamannya, tetapi juga perspektif luarannya yang harus dibangunkan secara sepadu.
Kepincangan sesebuah tamadun boleh berlaku apabila ianya dibangunkan tanpa
mengambilkira antara dua perspektif tersebut, iaitu ciri-ciri dalaman dan ciri-ciri luaran.
a. Ciri-ciri Dalaman
Ciri-ciri dalaman yang dimaksudkan adalah merangkumi unsur yang menyentuh tuntutan diri
dalaman masyarakat. Antara ciri-ciri tersebut adalah sebagai berikut:
i. Penghayatan Terhadap Tuntutan Agama.
Ciri ini dapat dilihat kepada penekanan yang diberikan oleh Tamadun Islam kepada asas
utamanya ialah tauhid (Mengimani dan meyakini keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang
berkuasa Mencipta, Menguasai, Mentadbir dan Mengatur perjalanan alam seluruhnya. Manusia
sebagai sebahagian unsur alam saghir yang diciptakan dikehendaki menerima ketentuan serta
wajib tunduk dan patuh kepada segala arahan wahyu yang disampaikan melalui lidah Rasul-
Nya SAW.
ii. Menjadikan Ajaran Wahyu Sebagai Sumber Rujukan Utama Program Pembangunan
Masyarakat.
Ciri ini merujuk kepada sumber mutlak Masyarakat Islam Hadhari bukan kepada pemikiran
manusia atau beralaskan mana-mana kepercayaan dan pengalaman tamadun di dunia, tetapi
bersumberkan wahyu Allah SWT. Adapun ijtihad dan pengalaman tamadun asing hanyalah
sebagai sumber tafsiran yang tidak boleh lari daripada garis panduan asal yang termaktub
dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam pada itu juga semua bentuk pencapaian dan kemajuan
dalam Tamadun Islam bernaung di bawah kesatuan akidah, keyakinan dan kefahaman yang
sama melalui ajaran tauhid.
iii. Tidak Terpesong Dari Landasan Fitrah Manusia.
Ciri ini pula memperlihatkan bahawa tuntutan pembangunan dan kemajuan Tamadun Islam
adalah bertepatan dengan kehendak naluri manusia yang menitikberatkan spiritual, emosional
dan moral berbanding fizikal dan material. Tamadun yang dibangunkan secara pincang dan
menitikberatkan aspek material berbanding spiritual hanya dapat memenuhi tuntutan hawa
nafsu dan tidak berlandaskan ilmu dan iman. Sebab itu Tamadun Islam menjadikan takwa dan
keredaan Allah SWT sebagai tujuan pembinaannya, bukan sebaliknya.
iv. Mementingkan Kesejagatan, Bersifat Mutlak dan Tetap Tanpa Dipengaruhi Hawa Nafsu.
Ciri ini menjelaskan bahawa Masyarakat Islam Hadhari tidak mungkin berubah garis
panduannya. Pertukaran zaman, perubahan geografi dan sebagainya tidak mungkin mengubah
haluan matlamat dan paradigmanya. Ini disebabkan sumber mutlaknya bukan pemikiran
manusia yang sering mengalami kebuntuan dan kecelaruan, tetapi wahyu Allah yang sentiasa
segar dan bertenaga walaupun mengalami perubahan masa dan geografi. Inilah rahsia di
sebalik kenyataan tegas yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Setelah jelas kesesatan dan syirik itu), maka hadapkanlah dirimu (dan pengikut-pengikutmu
wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ”agama Allah” iaitu
agama yang Allah ciptakan untuk manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya)
untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah SWT itu, itulah
agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”.
(al-Rum: 30)
v. Menilai Kecemerlangan Tamadun Secara Sepadu Dan Seimbang Antara Spiritual,
Intelektual, Emosional Dan Material.
Ciri ini membuktikan bahawa agama menjadi acuan (sibghah) bagi Tamadun Islam. Kenyataan
ini amat menepati firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya
ialah:), acuan Allah (yang telah mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan
siapakah yang lebih baik acuannya (berbanding acuan Allah yang kami beriman dengan-Nya)?
Dan kepada-Nyalah kami beribadat”.
(al-Baqarah: 138)
vi. Terbuka dan Toleransi.
Keterbukaan dan toleransi yang dimaksudkan ialah menerima apa sahaja pandangan dan
sumbangan yang dikemukakan walaupun daripada individu atau negara bukan Islam yang tidak
bertentangan dengan nilai-nilai yang ditetapkan oleh syariat Islam. Dalam pada itu juga ia boleh
bertoleransi terhadap penghayatan kepercayaan atau kebudayaan oleh masyarakat bukan
Islam terhadap tuntutan agama mereka. Dalam hal ini al-Qur’an merakamkan penghargaan
terhadap sesiapa sahaja yang memiliki sifat terbuka mendengar segala perkataan yang sampai
kepadanya tetapi menerima yang terbaik, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya daripada menyembah atau memuja taghut, serta
mereka rujuk kembali taat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan
(sebaik sahaja mereka meninggal dunia). Oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku yang
mendengar segala perkataan yang sampai kepadanya, lalu mereka memilih yang terbaik.
Mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah oleh Allah dan merekalah yang berakal
sempurna”.
(al-Zumar: 17-18)
b. Ciri-ciri Luaran
Sesebuah Masyarakat Hadhari tidak mungkin dapat direalisasikan dengan cemerlang tanpa
dibangunkan secara sepadu dan seimbang antara pembangunan spiritual dan fizikal. Beberapa
aspek lain seperti kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mapan dan keharmonian sosial
amat berperanan dalam melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang gemilang dan
terbilang. Antara ciri-ciri luaran adalah seperti berikut:
i. Kestabilan politik
Kejayaan yang dicapai oleh sesebuah tamadun amat bergantung kepada peranan para
pemimpin dalam menentukan corak dan arah perjalanan politik sesebuah negara. Kepintaran
dan sifat amanah pemimpin memikul tanggungjawab serta adil dalam memerintah merupakan
pra-syarat utama dalam menentukan kestabilan perjalanan politik negara. Pada kebiasaannya,
pemerintah yang mengamalkan perluasan kuasa dan membentuk wilayah takluknya kepada
beberapa buah negara kota, dilengkapkan pula dengan undang-undang bertulis yang kemas
merupakan petanda kepada munculnya sebuah kuasa yang kuat dan bertahan lama. Dalam
pada itu pula, keadilan para pemimpin mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat secara
adil dan saksama pula sebagai penentu kejayaan untuk mengelak daripada berlakunya
pemberontakan di kalangan rakyat bawahan. Sekiranya asas-asas ini dipenuhi dan dipelihara
sudah tentu kejayaan sesebuah tamadun akan dapat dinikmati secara berpanjangan dan
bertahan lebih lama. Dalam hal ini al-Qur’an merakamkan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi
bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan
mungkar serta kezaliman…”.
(al-Nahl 90)
Islam amat membenci perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang walaupun kepada
dirinya sendiri, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Sebab itu Allah SWT menegaskan melalui
firman-Nya dalam sebuah hadith Qudsi:
“Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman berlaku pada diri-Ku dan Aku haramkan
perbuatan itu berlaku antara kamu. Oleh itu janganlah kamu berlaku zalim antara kamu. ”
Demikian juga firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
hendaklah menghukum dengan adil ”
(al-Nisa’: 58)
Rasulullah SAW ketika menjadi pemimpin Negara Islam Madinah pernah membuat
perisytiharan ketika datang satu rombongan untuk meminta jasa baik Rasulullah melepaskan
pemimpin mereka yang dijatuhkan hukuman oleh baginda SAW. Bagaimanapun permohonan
itu ditolak oleh baginda dengan sabdanya:
“Demi Tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri
nescaya aku akan potong juga tangannya”.
(Hadith riwayat al-Bukhari)
Keperihatinan baginda SAW dalam menjalankan keadilan di mahkamah menunjukkan Islam
begitu serius dalam perkara yang membabitkan hak dan kepentingan untuk melaksanakan
amanah dan tanggungjawab.
ii. Pertumbuhan Ekonomi Yang Subur
Ekonomi juga amat berperanan dalam menentukan pembangunan bukan sahaja dari aspek
kualiti fizikalnya, tetapi juga membabitkan kualiti spiritual, intelektual dan emotional seseorang
yang bertindak sebagai pemikir, pembina dan penggerak kepada pembangunan sesebuah
tamadun. Berfikir secara sepontan pun sudah dapat dirasakan betapa perlunya ekonomi
kepada perkembangan fizikal sesebuah kawasan yang didiami penduduk secara menetap dan
menjadi sebuah bandar yang maju.
Pra syarat untuk menjadi bandar mestilah dilengkapi dengan pelbagai prasarana seperti masjid
(bagi umat Islam), istana, pejabat-pejabat kerajaan, institusi pendidikan, perpustakaan awam,
pusat membeli-belah, hospital, taman rekreasi dan sebagainya. Semua pra syarat ini
mempunyai objektif, iaitu bertujuan membangunkan individu dan masyarakat secara sepadu
antara keempat-empat kualiti yang disebutkan. Tanpa ekonomi yang teguh semua pra-syarat di
atas tidak dapat dibangunkan.
Oleh itu dapat dikatakan bahawa kerosakan jiwa, minda dan emotional masyarakat amat berkait
rapat dengan kemiskinan dan kemerosotan ekonomi negara. Jika situasi ini berlarutan lambat
laun negara akan menghadapi kekacauan dan pertelingkahan sesama sendiri. Barangkali inilah
yang menjadi alasan kuat mengapa baginda Rasulullah SAW menegaskan dalam sebuah
sabdanya:
??? ????? ?? ???? ????
Maksudnya:
“Hampir-hampir kefakiran seseorang boleh membawa kekufuran”.
Walaupun kefakiran bukan menjadi penyebab utama manusia kufur, kerana ramai juga manusia
yang kaya juga kufur kepada Allah, namun amat salah sekiranya dikatakan bahawa
kekayaanlah yang membawa manusia kufur kepada Allah. Sedangkan kaya atau fakir bukan
penyebab utama. Penyebab utama manusia kufur adalah kerana tidak mendapat pendidikan
yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Inilah punca
kebejatan akidah dan akhlak masyarakat. Oleh itu jika pendidikan yang salah atau terhalang
mendapat pendidikan disebabkan oleh masalah kewangan menjadi punca, maka bekerja keras
untuk mendapat kekayaan adalah wajib, malah jika diniatkan untuk bukan setakat membiayai
ahli keluarga tetapi juga orang lain demi kejayaan bersama membangunkan ummah adalah
menjadi ibadah malah mendapat ganjaran pahala jihad fi sabili’Llah. Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Perumpamaan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka pada jalan Allah sepertilah
sebiji bijian tumbuh tujuh tangkai dan setiap tangkai terdapat seratus biji, dan Allah bersedia
menggandakan pahala bagi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki…”.
(al-Baqarah 2:261)
Ayat ini jelas memperlihatkan kepada umat Islam bahawa tuntutan supaya membelanjakan
harta pada jalan Allah mempunyai maksud tersirat yang amat besar ertinya kepada umat Islam.
Umat Islam dituntut mencari kekayaan agar dapat membantu mereka yang memerlukan, bukan
mencari kekayaan tetapi bakhil untuk menderma atau mencari kekayaan dengan jalan salah
dan dibelanjakan ke jalan yang salah, kerana tabiat ini sama dengan tindakan Qarun, Haman
dan Ubay bin Khalaf.
iii. Keharmonian Sosial
Keharmonian sosial amat bergantung kepada pendidikan yang diterima oleh masyarakat.
Pendidikan adalah elemen penting kepada pembentukan sesebuah masyarakat cemerlang.
Hanya anggota masyarakat yang terdidik dan terasuh jiwanya mampu menjadi penyumbang
kepada pembangunan negara. Lantaran itu pembangunan negara tidak mungkin dapat
direalisasikan sekiranya proses pendidikan tidak diberikan perhatian sebaik mungkin.
Pendidikan bukanlah hanya proses meningkatkan kemahiran hidup atau meningkatkan kualiti
intelektual semata-mata, malah lebih jauh dari itu bertujuan menghasilkan insan yang sempurna
dan seimbang dari segi kualiti fizikal, spiritual, intelek dan emosi, yang nantinya akan berfungsi
sebagai suatu tenaga yang mampu membangunkan diri, keluarga, masyarakat, negara dan
agama.
Pendidikan Islam adalah suatu proses untuk melahirkan insan beradab dan berakhlak mulia.
Adab yang ditakrifkan sebagai perlakuan baik sesama manusia dan alam akan menjamin
kelangsungan keadilan dalam sesebuah negara. Manakala akhlak mulia adalah proses
pemupukan dan peresapan sistem nilai murni yang berasaskan tanggungjawab kepada Allah,
sesama insan dan alam sejagat. Islam dan pendidikan bukanlah sesuatu yang baru (Hasan
Langgulung, 1979). Dalam konteks Malaysia, pendidikan Islam cuba dilaksanakan sebaik
mungkin dan cuba diterapkan dalam sistem pendidikan dengan penuh terancang agar manusia
yang dihasilkan mempunyai kekuatan dan wibawa diri yang tinggi (Wan Mohd. Zahid Mohd
Nordin, 1993).
Resolusi Seminar Pendidikan Tinggi Sains: Ke Arah Reformasi Pendidikan telah membuat
pernyataan tentang Falsafah Pendidikan Tinggi Sains seperti berikut (Mohd Yusuf Hj. Othman
dan Khalijah Mohd Salleh, ed., 1992):
“Pendidikan sains adalah usaha untuk melahirkan siswazah sains yang berilmu, berketrampilan
dan mempunyai sahsiah yang sempurna membolehkan ia mencari dan menegakkan kebenaran
dan mendekatkan diri kepada Tuhan melalui ciptaan-Nya serta menyempurnakan amanah
sebagai hamba dan khalifah Allah supaya ilmu dan ketrampilan yang diperoleh dapat digunakan
sebaik-baiknya ke arah membina satu tamadun bangsa yang berdaya saintifik dengan cara
seimbang dan harmonis dengan alam persekitaran”.
Melihat kepada falsafah ini, pendidikan sains juga kelihatan berusaha untuk menghasilkan
insan seimbang yang selari dengan ajaran wahyu. Menurut Mohd Kamal Hassan (1988)
matlamat pendidikan Islam adalah tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan iaitu
sebagai khalifah yang bermatlamat untuk melakukan hasanah fi al-dunya dan hasanah fi al-
akhirah. Ini memberi makna usaha mendidik insan adalah suatu usaha yang bermatlamat murni
bagi mencapai erti kejayaan dalam semua lapangan hidup iaitu bahagia di dunia dan bahagia di
akhirat. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1988) pula menambah: “Unsur-unsur asas dalam
sistem pendidikan Islam didasarkan kepada konsep agama (al-Din), konsep manusia (al-insan),
konsep ilmu (`ilm wa al-ma`rifah), konsep kebijaksanaan (al-hikmah), konsep keadilan (al-`adl),
konsep amal (`amal sebagai adab) dan konsep universiti (kulliyyah jami`ah). Jelas sekali
bahawa dengan memahami tuntutan agama dan amanah serta tanggungjawab seseorang
manusia berasaskan kepada konsep keilmuan dan kebijaksanaan akan membuahkan natijah
insan dan masyarakat yang adil.
Senario masyarakat Malaysia kini menampakkan gejala kebejatan sosial yang semakin hari
semakin membimbangkan. Data-data dan maklumat yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar
menunjukkan kadar jenayah yang berpunca daripada pembangunan sosial yang tidak seimbang
amat mengecewakan. Gejala seperti penyalahgunaan dadah, ragut, rogol, bunuh, lumba haram
dan pembuangan bayi semakin berleluasa. Laporan akhbar-akhbar tempatan tentang suatu
kajian yang dibuat oleh kementerian Belia dan Sukan 10 tahun yang lalu (Berita Harian, 1hb.
Jun 1994; New Straits Times, 25hb. Mei 1994; Berita Harian 16hb Nov. 1994) mendapati,
daripada 5860 anak remaja yang dikaji, 71% menghisap rokok, 40% melihat video lucah, 28%
berjudi, 25% minum arak, dan 14% terlibat dengan pengambilan dadah, manakala kes zina pula
banyak melibatkan golongan remaja antara 15 – 18 tahun (Mohd Yusuf Hj. Othman, 1995).
Berdasarkan perangkaan ini, walaupun telah berlalu sepuluh tahun silam, ia tetap menunjukkan
suatu petanda bahawa gejala kebejatan sosial di Malaysia amat membimbangkan.
Di Barat, gejala seperti di atas berlaku lebih hebat hingga menimbulkan kebimbangan di
kalangan ahli politik dan golongan pendidik. Mereka sedar puncanya ialah kepincangan sistem
pendidikan yang memisahkan manusia daripada agama dan nilai moral. Justeru itu mereka
terpaksa mengambil langkah positif bagi mengatasi masalah ini. John Mejar, semasa menjadi
Perdana Menteri Britain, terpaksa mengemukakan polisi “return to the back” untuk mengembali
semula nilai-nilai murni dalam kehidupan. Demikian juga Bill Clinton semasa menjadi Perdana
Menteri Amerika Syarikat, melahirkan rasa cemas terhadap fenomena keganasan generasi
muda di Amerika Syarikat, sehingga dirasakan Amerika bukan lagi tempat selamat untuk hidup
bagi generasi muda kerana bilangan belia yang mati di negara sendiri lebih ramai daripada
jumlah tentera yang mati di medan perang. Begitu juga Eropah. Para sarjana daripada pelbagai
bidang di Eropah merumuskan bahawa sistem pendidikan kini tidak mampu lagi menanam nilai-
nilai kemanusiaan dan moral dalam kehidupan manusia. Oleh itu dalam perancangan
pendidikan di negara-negara Eropah masa akan datang perlu ditekankan dua aspek ini (Abdul
Halim Muhammadi, 1994).
Berdasarkan kepada huraian di atas, dapatlah dirumuskan bahawa penekanan kepada
pendidikan Islam yang seimbang dan bersepadu perlu diambil perhatian. Ketahanan sesuatu
ummah dan penerusan sesebuah tamadun tidak cukup dengan kemajuan kebendaan semata-
mata. Justeru itu dalam menghadapi dekad-dekad yang mendatang, perlu dipertingkatkan
ketahanan kerohanian dan kejiwaan, di samping mempertingkatkan keupayaan sains dan
teknologi. Perancangan yang imaginatif dan tindakan segera amat diperlukan bagi
mengekalkan sistem pendidikan yang bermakna. Sistem pendidikan masa depan haruslah
dibentuk secara sedar dan sistematik supaya ia sesuai dengan perubahan semasa. Jika tidak ia
akan menjadi mangsa kepada perubahan masa.
3.6.4 Sumber Manhaj Islam Hadhari
Sebagai sebuah tamadun yang sifatnya adalah tetap mutlak dan tidak didasari oleh pemikiran
manusia, sudah tentu ia menunjukkan bahawa sumbernya adalah merujuk kepada apa yang
termaktub dalam wahyu Allah SWT sebagai sumber asasi iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.
Manakala Ijtihad dan tamadun asing yang tidak bertentangan dengan semangat al-Qur’an dan
al-Sunnah sebagai sumber tafsiran. Penjelasan lanjut mengenai hal ini bolehlah dilihat kepada
huraian berikut:
1. al-Qur’an
al-Qur’an ialah firman atau kata-kata Allah (lafaz dan maknanya) yang diturunkan dalam bahasa
Arab kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur melalui perantaraan Jibril AS,
bersifat mukjizat5, dipindahkan secara mutawatir dan menjadi ibadah bagi orang-orang yang
membacanya.
Keistimewaan sumber ini terletak pada kewajipannya daripada Allah Pencipta Alam. Buktinya
amat jelas apabila sumber ini tidak pernah menerima pengubahsuaian lafaz dan maksud dari
sesiapa sahaja di kalangan manusia dan jin. Keindahan bahasa dan kesusasteraan al-Qur’an
amat terbukti apabila tidak ada orang yang boleh menandinginya sehingga hari ini. Beberapa
percubaan di kalangan pakar bahasa Arab yang cuba mencipta beberapa ayat dengan tujuan
menandingi dan memalsukan kandungan al-Qur’an menemui kegagalan. Kenyataan al-Qur’an
berhubung dengan astronomi, perubatan, anatomi dan sebagainya tidak pernah bercanggah
dengan kajian saintifik di kalangan pakar astronomi dan perubatan zaman dahulu dan kini.
Di zaman Khalifah al-Ma’mun, seorang Yahudi yang terkenal dengan ketajaman lidahnya telah
mengkritik al-Qur’an dan Islam dalam beberapa majlis yang diadakan di istana khalifah.
Kedatangannya dalam beberapa majlis bertujuan untuk mengelirukan para hadirin dalam majlis
berkenaan. Beliau adalah penulis kitab Injil dan Talmut. Mengikut pengakuannya beliau pernah
mengubah kitab-kitab berkenaan pada beratus-ratus tempat mengikut kehendaknya. Kemudian
kitab itu dijual dengan harga yang tinggi, namun tidak seorang pun yang memberi reaksi
menolak usaha ini. Hal ini tidak sama dengan al-Qur’an yang cuba diubah hanya pada tiga
tempat, tetapi ketiga-tiga tempat tersebut semuanya ditemui oleh tiga orang pembaca yang
berakhir dengan kitab tersebut tidak terjual. Beliau akhirnya menganut Islam apabila teringatkan
kenyataan al-Qur’an bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Dhikr (salah satu nama al-Qur’an) dan Kamilah
yang akan memeliharanya daripada sebarang kerosakan”.
(al-Hijr : 9)
Sebagai sebuah kitab yang penuh hidayah, al-Qur’an tidak meninggalkan sesuatu pun
permasalahan hidup manusia. Sekiranya wujud sesuatu yang tidak diketahui dan tidak ditemui
jawapan dalam al-Qur’an, bukanlah bermakna Allah SWT lupa tetapi manusia yang tidak
mengetahui tempat letaknya hukum dan permasalahan yang dibincangkan dalam al-Qur’an.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tiada Kami tinggalkan sesuatupun di dalam kitab al-Qur’an ini”.
(al-An`am: 38)
al-Qur’an yang mengandungi lebih daripada 6,200 ayat dalam 114 surah membicarakan seluruh
aspek yang dikehendaki oleh tamadun manusia; bukan sahaja yang berhubung dengan perkara
asas dan dasar seperti akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga merangkum persoalan ekonomi,
politik, pendidikan, kehakiman, perundangan, perubatan, keselamatan, pertahanan negara dan
sebagainya. Bagaimanapun al-Qur’an tidaklah menyentuhnya secara terperinci dalam sesuatu
perkara kerana ia boleh dilihat kepada al-Sunnah sebagai pentafsir utama kepada al-Qur’an
dan juga ijtihad para ulama semasa sebagai orang yang layak mentafsirkan al-Quran selepas
al-Sunnah.
2. al-Sunnah
Secara umumnya al-Sunnah bermaksud “Sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW
sama ada dari aspek perbuatan, perkataan, pengakuannya/sifat keperibadian atau
perangainya.” Kedudukan al-Sunnah dalam pembahagian sumber pemikiran umat Islam berada
di tempat yang kedua selepas al-Qur’an. al-Sunnah termasuk di bawah kategori sumber asas
Tamadun Islam. Ia juga bertindak sebagai pentafsir al-Qur’an yang utama dan sekaligus
sebagai sumber wahyu kerana baginda SAW tidak berkata-kata melainkan ianya wahyu
daripada Allah SWT Kenyataan ini selari dengan firman Allah dalam al-Qur’an:
“Dan dialah (Muhammad) tidak menurturkan sesuatu (yang berhubung dengan agama Islam)
menurut kemahuan nafsu, segala yang diperkatakan tidak lain, melainkan berlandaskan kepada
wahyu yang diwahyukan”.
(al-Najm : 3-4)
Dalil yang menjelaskan tentang sumber pemikiran umat Islam ialah al-Qur’an dan al-Sunnah,
antara lain ialah:
“...Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta
amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka patuhilah larangan ...”.
(al-Hasyr : 7)
Sabda Rasulullah SAW:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu
berpegang dengan kedua-duanya iaitu; Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya”.
Kedudukan al-Sunnah sebagai tempat kedua dan salah satu sumber mutlak dan asas Tamadun
Islam tidak mungkin dipertikaikan, kerana baginda merupakan orang yang dilantik sebagai
Rasul dan sentiasa mendapat bimbingan wahyu daripada Allah SWT. Dalam pada itu pula
baginda sentiasa mendapat didikan dan bimbingan yang berterusan sehingga melayakkan
baginda sebagai salah seorang ulu al-`Azmi6 dan ma`sum7.
3. al-Ijtihad
al-Ijtihad bermaksud “Suatu usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan ulama mujtahid bagi
meletakkan sesuatu hukum terhadap permasalahan semasa yang timbul dan masih belum ada
hukumnya dalam al-Qur’an mahupun al-Sunnah secara qat`i (putus).” Dalam erti kata lain,
pandangan ulama berhubung dengan hukum sesuatu perkara yang belum diputuskan oleh al-
Qur’an dan al-Sunnah.
Mekanisma yang dilakukan oleh para mujtahidin ialah melalui kaedah qiyas, iaitu meletakkan
hukum ke atas sesuatu perkara yang masih belum ada hukumnya berdasarkan perkara yang
telah jelas hukumnya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan persamaan dari segi sebab
dan alasannya. Sebagai contoh, meletakkan hukum wajib zakat pada padi kerana terdapat
persamaan antara padi dan gandum dari segi makanan asasi penduduk di sesebuah negara.
Antara dalil yang menjadi sumber hukum ini ialah firman Allah SWT yang bermaksud:
“... Maka jadikanlah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran wahai orang-orang yang memiliki
pandangan”.
(al-Hasyr: 2)
Dalam ayat lain pula Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:
“... Kemudian jika kamu berbantah-bantah (perselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya
jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik
(bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.
(al-Nisa’: 59)
Dalam sejarah Tamadun Islam, para mujtahidin pada zaman awal akan memutuskan sesuatu
perkara berdasarkan kehendak dan persetujuan ramai, bukan kepada kelompok minoriti dan
pandangan perseorangan. Keputusan ini kemudiannya diguna pakai oleh masyarakat dan
negara untuk mengambil sesuatu tindakan.
4. Pengalaman Tamadun-tamadun Asing
Selain daripada sumber-sumber di atas, Tamadun Islam juga mengambil kira segala kebaikan
yang terdapat dalam tamadun asing. Pernyataan ini menunjukkan bahawa Tamadun Islam
bersifat terbuka, tidak terikat dan statik kepada pandangan serta pemikiran yang datang
daripada wahyu dan pemikiran ijtihad para ilmuwan sahaja. Apa yang berlaku dalam sejarah,
umat Islam digesa agar mencari ilmu di mana sahaja walaupun di negara bukan Islam. Melalui
sifat toleransi seperti inilah menyebabkan berlakunya proses asimilasi budaya secara sihat dan
mengizinkan berlakunya perkembangan ilmu pengetahuan dalam negara Islam dan
mengeksport budaya hidup Islam ke negara luar. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah
bersabda:
“Hikmah itu adalah barangan hilang kepunyaan orang beriman. Oleh itu di mana sahaja ia temui
dialah yang paling layak memilikinya”.
“Ambillah hikmah itu di mana sahaja engkau temui, jangan engkau pedulikan daripada mana
sumbernya”.
Barangkali berasaskan hadis inilah Sayidina `Umar RA pernah mengeluarkan kenyataan
berbunyi “Tuntutlah ilmu walaupun di negeri China”.
Implikasi positif daripada sifat terbuka Tamadun Islam itu telah menyebabkan Islam mudah
difahami dan diterima oleh seluruh bangsa manusia di dunia ini walaupun berlainan budaya dan
kedudukan geografi. Sebagai contoh, penerimaan syariat Islam terhadap budaya berpakaian di
kalangan masyarakat Melayu adalah kerana tidak bertentangan dengan Islam. Penerimaan ini
juga kerana syarat yang ditetapkan oleh Islam bukan fesyennya tetapi prinsip menutup aurat.
Bangsa diberi kebebasan memilih fesyen pakaian yang di suka selagi fesyen pakaian tersebut
masih berada dalam kawalan syariat. Demikian juga dengan perkembangan ilmu pengetahuan
sains dan teknologi serta lain-lainnya yang banyak memberi manfaat kepada umat dan negara
Islam tetap diterima setelah melalui penyaringan terlebih dahulu mengikut piawaian
perundangan Islam.
3.6.5 Matlamat Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari
Tamadun Islam bukan sebuah tamadun yang tegak atas dasar tuntutan hawa nafsu yang
bermatlamatkan kemewahan dan kesenangan hidup dunia semata-mata, tetapi lebih jauh
daripada itu ialah kebahagiaan dan kesenangan hidup di akhirat. Berdasarkan pernyataan
tersebut, matlamat Tamadun Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu kebahagiaan hidup di
dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Ini amat bersesuaian dengan kenyataan al-Qur’an
yang merakamkan ucapan doa umat Islam yang telah menyelesaikan ibadah Haji sebagai
menyambut perintah Allah SWT agar mereka mengingati Allah sebanyak-banyaknya:
“... Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan
peliharalah kami daripada azab neraka”.
(al-Baqarah: 201)
Bagi mencapai hasrat dan cita-cita tersebut, matlamat tamadun Islam boleh digariskan seperti
berikut:
1. Melahirkan manusia yang mentauhidkan Allah SWT dan mengabdikan diri kepada-Nya
dalam seluruh kehidupan. Pernyataan ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tidak Aku (Allah) ciptakan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri
kepada-Ku”.
(al-Dhariyat: 56)
2. Melahirkan insan salih di sisi Allah, manusia dan alam. Pernyataan ini bersesuaian dengan
firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah
ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku
yang salih”.
(al-Anbiya’: 105)
3. Melahirkan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab terhadap perintah dan
larangan Allah SWT di samping melaksanakan amanah yang berkaitan dengan manusia dan
alam. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil...”.
(al-Nisa’: 58)
4. Melahirkan masyarakat yang hidup di dunia secara harmoni dan mendapat keampunan Ilahi.
Pernyataan ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba’ satu tanda (kemurahan Allah) terdapat di tempat
tinggal mereka dua kebun (yang luas dan subur) di kiri kanan tempat tinggal mereka, (lalu
dikatakan kepada mereka) makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya (atas
kurniaan) sebuah negeri yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah)”
(Saba’ 34:15)
Keempat-empat matlamat Tamadun Islam ini hanya akan dapat dicapai sekiranya manusia
bersedia tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT. Jika manusia masih
menurut kehendak hawa nafsu selama itulah dunia ini tidak akan mampu didamaikan dan
diharmonikan untuk mencapai keredaan dan keampunan Ilahi.
3.6.6. Realiti Penghayatan Islam Di Kalangan Masyarakat Muslim Kini
Perkembangan yang berlaku di seluruh dunia Islam hari ini memperlihatkan penghayatan umat
Islam yang menyimpang dari landasan ajaran agama. Kebanyakan penganut Islam kini menjadi
seorang Muslim disebabkan oleh keturunan. Hasil daripada senario ini ialah umat Islam percaya
agama hanya warisan peninggalan datuk-nenek, bukan atas dasar kesedaran dan pilihan
sendiri yang boleh melahirkan rasa tanggungjawab beragama. Sebahagian faktor kemunculan
gejala ini ialah kesan penjajahan Barat yang sebati dengan masyarakat Islam. Asimilasi budaya
Barat dan Timur terlalu mesra dan sukar untuk dibezakan antara tuntutan akidah Islamiah dan
ideologi moden Barat, antara tuntutan syariat Islam dan budaya hidup jahiliah dan juga antara
tuntutan akhlak Islamiah dan moral jahiliah. Kehidupan seperti ini sudah tentu menjadi keliru.
Barangkali inilah suasana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai zaman fitnah dalam
suatu sabdanya yang bermaksud :
“Segeralah kamu mengerjakan amal-amal kebajikan, sesungguhnya fitnah akan datang
menimpa kamu seperti kedatangan potongan malam yang gelap, di mana pada waktu itu kamu
akan dapati seseorang beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, beriman pada
waktu petang dan kufur kembali pada waktu pagi, mereka sanggup menjual agama dengan
kebendaan dunia”.
Demikian juga sabda baginda SAW :
“Akan datang kepada manusia suatu zaman, di mana al-Qur’an hanya tinggal tulisan, Islam
hanya tinggal nama, masjid-masjid dihias indah tetapi jauh daripada hidayah Allah, sementara
ulama mereka pula banyak yang jahat menjadi makhluk perosak yang berada di bawah langit”.
Adakah zaman yang dimaksudkan Baginda Rasulullah SAW telah tiba sekarang atau masih
belum? Barangkali ada yang sanggup mengatakan masih belum, kerana masih ramai yang
suka membaca al-Qur’an malah ada juga yang menghafalnya. Namun bagaimana pula dengan
sabda Baginda SAW yang menjelaskan :
“Sesungguhnya Ikatan Islam akan terungkai daripada diri seseorang Muslim satu demi satu.
Setiap kali berlakunya rungkaian itu, dia akan berpegang kepada ikatan yang masih ada
sehingga tidak ada lagi ikatan yang tinggal. Ikatan yang paling awal terungkai ialah al-hukm
(hukum-hakam/halal-haram) dan yang paling akhirnya ialah solat”.
Kalau solat yang paling akhir terungkai dari diri seseorang Muslim, bukankah ini bererti orang
yang meninggalkan solat dengan sengaja telah terpisah antara dirinya dengan Islam yang
didakwa sebagai agamanya? Kalau situasi ini wujud dalam masyarakat Islam hari ini, bukankah
ia telah menyamai maksud sabda baginda di atas? Suatu lagi pernyataan yang jelas daripada
baginda SAW :
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah melakukan
kekufuran dengan nyata”.
Kalau inilah landasannya yang mesti dipegang, bermakna adalah zaman kita hari ini zaman
fitnah yang menyukarkan seseorang yang cetek ilmu agama, jauh dari al-Qur’an dan tidak kuat
berpegang kepada perintah agama untuk melihat Islam dalam erti yang sebenarnya. Barangkali
antara punca fitnah ini ialah umat Islam yang jahil tentang maksud jahiliah yang disebutkan oleh
Allah dalam al-Qur’an. Oleh kerana tidak kenal apakah jahiliah maka seseorang itu tidak
merasa bahawa amalan yang dilakukan selama ini telah pun berbaur dengan maksud jahiliah.
Antara contoh yang paling nyata ialah budaya berpakaian dan berhias diri. Pernahkah kita
bertanya kepada syariat sebelum mengenakan pakaian atau solekan pada tubuh kita?
Bagaimana sebenarnya pakaian yang diharuskan dan perhiasan yang dibolehkan dalam Islam?
Dalam perkara ini sahaja pun sudah cukup untuk memberi jawab tidak. Kalau jawapannya ialah
tidak bagaimana pula dengan urusan lain yang kelihatannya lebih penting dan utama? Sayidina
`Umar RA dalam suatu kenyataannya menyebutkan :
“Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu pada diri seseorang Muslim yang
hidup dan dibesarkan dalam masyarakat Islam, tetapi tidak mengenal erti jahiliah.”
Dalam pada itu terdapat juga sekelompok umat Islam yang menghayati Islam dalam bentuk
serpihan (juz’i), tidak dalam bentuk global. Sebagai contoh, penghayatan orang-orang yang
berminat dalam bidang tarekat sufi semata-mata, mereka suka hidup secara bersunyi-sunyi dan
terpisah dari masyarakat. Kelompok ini biasanya suka mengasingkan diri, dan
membelakangkan tanggungjawab sebagai pendidik dan pembangun masyarakat. Mereka
kelihatan terlalu asyik dengan amalan kerohanian sehingga lupa tanggungjawab sebagai
khalifah di bumi yang diberi amanah untuk dibangunkan. Lantaran itu terdapat sebahagian yang
tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami, bapa dalam rumah tangga dan peranan
sebagai sebahagian anggota masyarakat, lebih-lebih lagi tanggungjawab dakwah dan jihad.
Sayidina `Umar pernah menghalau seorang yang sedang beribadah dalam masjid, sedangkan
makan dan minumnya ditanggung oleh anggota keluarganya, sambil berkata :
“Orang yang menguruskan makan minum kamu lebih baik daripada kamu.”.
Selain itu juga ada yang memahami Islam secara siasah (politik) dalam pengertian yang
terbatas. Bentuk kefahaman yang begini menyebabkan lahirnya pelbagai ideologi dan
pemikiran dalam masyarakat Islam. Semuanya ini memungkinkan timbulnya konflik dan
pertelagahan secara berterusan. sejak awal-awal lagi Islam telah menyelesaikan perkara ini
dengan cara mengajak umat Islam berjuang atas dasar akidah, bukan `asabiyyah (perkauman
sempit), berasaskan politik Islam (siyasah Islamiyyah) dan bukan politik kepuakan (siyasah
hizbiyyah). Islam menerima kepelbagaian orientasi jamaah dan organisasi, tetapi mestilah
bersatu ke arah matlamat yang sama, tidak harus berlaku pertelagahan kerana matlamat
adalah sama. Bagaikan satu bahtera di mana setiap anggota bersungguh-sungguh mendayung
untuk sampai ke destinasi, bukan saling menyimbah antara satu dengan lain sehingga
menyebabkan sebahagiannya tenggelam dan yang masih timbul pun lambat untuk sampai ke
destinasi. Senario wujudnya pelbagai kumpulan dan puak dalam masyarakat Islam bukan satu
fenomena baru. Sejarah Islam mencatatkan kepelbagaian kumpulan berlaku bukan atas nama
perpaduan, tetapi pertelagahan dan peperangan. Peristiwa ini berlaku semenjak zaman
pemerintahan Khulafa` al-Rasyidin yang bermula dengan pertelagahan antara Sayidina `Ali dan
Sayidina Mu`awiyah. Peristiwa yang sama terus berulang di penghujung pemerintahan
Kerajaan `Abbasiyyah yang mengakibatkan munculnya pelbagai kerajaan kecil yang semakin
sukar untuk disatukan. Akhirnya semua negara Islam hancur dimusnahkan oleh penjajah Barat
dengan jatuhnya Kerajaan Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924M.
Dalam menyelesaikan masalah ini Islam mengingatkan umatnya agar sentiasa berada dalam
satu jemaah. Kalaupun ada pertelagahan, biarlah ia berlaku dalam perkara-perkara fiqhi8 yang
tidak menimbulkan permusuhan, bukan dalam perkara asas dan dasar membabitkan
permasalahan i`tiqadi (keimanan dan akidah). Rasulullah SAW memperingatkan:
“Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak, semuanya masuk neraka, melainkan
satu. Para sahabat bertanya: ”Siapakah puak yang satu itu wahai Rasulullah? Sabda baginda
SAW: ”Mereka ialah orang-orang yang menjalani kehidupannya seperti aku dan sahabat-
sahabatku”.
3.6.7 Pendekatan Islam Hadhari
Memandangkan Islam Hadhari bukan ajaran baru dan bukan juga mazhab baru, bererti ia
adalah ajaran yang sama dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini bererti umat
Islam tidak harus mentafsirkan Islam Hadhari terkeluar daripada landasan wahyu (al-Qur’an dan
al-Sunnah). Oleh itu penyelewengan umat Islam dalam menghayati Islam hari ini mesti
diperbetulkan. Memahami Islam secara liberalisme barat, mendahulukan akal dan pemikiran
logik berbanding dua sumber di atas, adalah punca umat Islam menjadi sesat. Memahami Islam
secara fahaman ahli tasawuf dan ahli tarekat juga punca umat Islam tertindas dan
terkebelakang dalam arena pembangunan dunia.
Pendekatan Islam Hadhari adalah untuk mengembalikan umat Islam kepada asas dan prinsip
selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia juga berupa suatu pendekatan ke arah
anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam yang telah
semakin luntur akibat penjajahan Barat ke atas Dunia Islam, sekali gus memberi penekanan
kepada ajaran Islam yang bersifat lengkap dan mampu membawa umat Islam ke arah
kemajuan dan kejayaan dunia dan akhirat. Sehubungan itu, pendekatan dalam usaha
mempertingkatkan mutu kehidupan juga mesti diusahakan melalui penguasaan ilmu
pengetahuan, pembinaan sahsiah insaniah serta pembangunan material. Semua itu perlu
digarap secara sepadu dan menyeluruh.
Selain itu, perpaduan umat Islam harus diusahakan kembali. Perjuangan umat Islam bagi
mencapai cita-cita tersebut mesti disatukan. Semangat `asabiyyah yang melampaui batas-batas
syariat mestilah dijauhi agar ia sejajar dengan konsep hidup sebagai hamba Allah, segala kerja
menjadi ibadah, tanggungjawab khalifah di bumi dapat disempurnakan dan kemakmuran serta
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat dapat dicapai.
3.6.7 Tujuan Syari`at Islam Diwahyukan (Maqasid al-Syari`ah)
Tujuan utama syariat Islam diwahyukan (maqasid al-Syari`ah) oleh Allah SWT ialah untuk
memelihara, memartabat dan memperkasakan kepentingan lima perkara utama (dharuriyat al-
Khams) iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.
1. Agama
Agama dalam maqasid al-syari`ah berada pada kedudukan yang paling atas. Ia menjadi tujuan
utama syari`at Islam. Untuk itu umat Islam ditegah keras melakukan sesuatu amalan yang
bercanggah dengan prinsip keimanannya atau disebut sebagai perbuatan bidaah dan khurafat,
atau apa sahaja yang boleh membawa seseorang gugur syahadahnya dan terbatal akidahnya;
sama ada melalui iktikad, lidah atau melalui tingkah laku perbuatan. Untuk membendung
kegiatan inilah, Sayidina Abu Bakar R.A. bertindak memerangi golongan murtad; sama ada
yang meninggalkan Islam secara keseluruhannya, atau sekadar enggan membayar zakat.
2. Nyawa
Nyawa berada pada kedudukan yang kedua selepas agama. Memandangkan nyawa manusia
tidak boleh dipandang remeh, Islam sejak awal-awal lagi mengharamkan apa sahaja bentuk
pembunuhan melainkan musuh dalam peperangan. Al-Qur’an menukilkan firman Allah SWT
berhubung pembalasan di akhirat ke atas orang-orang yang membunuh seorang beriman
dengan sengaja ialah azab neraka Jahanam dan mereka kekal di dalamnya. Dalam pada itu
pula balasan di dunia ini ialah dikenakan hukuman Qisas9 jika sabit kesalahan atau diat bagi
perbuatan membunuh tanpa sengaja sama ada yang dibunuh itu Muslim atau dhimmi. Selain itu
juga umat Islam diperintah menjauhi perkara yang mendedahkan diri daripada sebarang bentuk
bahaya yang boleh mengancam nyawa, lebih-lebih lagi membunuh diri dan sebagainya.
3. Akal
Akal adalah anugerah yang amat berharga untuk manusia. Tanggungjawab sebagai Muslim
(taklif rabbani) diberi kepada manusia kerana akalnya. Oleh itu akal perlu dipelihara dan
dipupuk agar sentiasa sempurna dan sihat. Sehubungan itu Islam melarang umatnya meminum
atau memakan sesuatu yang boleh membawa kerosakan pada akal. Pengharaman arak dan
penggunaan dadah secara salah adalah amat berkait dengan tujuan pemeliharaan akal
manusia. Bagi memastikan umat Islam tidak terlibat dengan gejala ini, Islam meletakkan
hukuman hudud dengan mengenakan hukuman sebat antara 40 hingga 80 kali sebatan kepada
sesiapa sahaja yang sabit kesalahannya.
4. Harta
Ia adalah keperluan hidup manusia di dunia ini. Tidak ada orang yang tidak sayang harta
kepunyaannya, malah ada yang sanggup mati kerana mempertahankan harta. Dalam pada itu
pula Islam memberi penghormatan tinggi dengan gelaran syahid (syahid sughra) kepada
mereka yang mati kerana mempertahankan harta, sebab harta adalah amanah Allah kepada
manusia yang wajib dipelihara. Lantaran itu syariat Islam mengharamkan umatnya mencuri dan
mengenakan hukuman hudud10 jika disabitkan kesalahan mencuri.
5. Keturunan (Institusi keluarga) dan maruah
Kehidupan berkeluarga adalah suatu tuntutan naluri bukan sahaja manusia tetapi juga haiwan.
Bagaimanapun, oleh kerana manusia sebagai makhluk yang dianugerahi akal dan berpotensi
membangunkan alam dan memakmurkannya, Islam meletakkan peraturan khusus pada
manusia agar dapat dibezakan antara manusia dan makhluk lain yang tidak berakal.
Perkahwinan secara sah mengikut ketentuan syariat adalah ketetapan yang dipaksakan pada
manusia agar zuriat yang bakal dilahirkan mempunyai susur galur keturunan yang betul dan
sah, maruah mereka juga terpelihara, kedudukan mereka sebagai insan juga tidak tergugat.
Pengharaman mendekati perbuatan zina dan segala perkara yang boleh mendorong kepada
perbuatan tersebut. Kegiatan-kegiatan maksiat yang boleh menjatuhkan maruah seseorang,
menunjukkan betapa seriusnya Islam menghalang umatnya mendekati perbuatan terkutuk itu.
Oleh itu amat wajar hukuman di dunia dikenakan ke atas pelaku zina dengan hukuman sebat
100 kali bagi mereka yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin.
3.6.8 Cabaran-cabaran Yang Terpaksa Dihadapi.
Umat Islam di negara ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha
membawa perubahan dalam sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi di peringkat negara dan
ummah. Antara cabaran-cabaran yang dimaksudkan ialah:
1. Peristiwa 11 September 2001.
Peristiwa ini telah membawa ancaman besar ke atas Dunia Islam apabila kuasa Barat di ketuai
oleh Amerika Syarikat menuding jari kepada umat Islam. Akibat itu, bumi Afghanistan menjadi
sasaran serangan Amerika Syarikat yang dituduh menjadi pengekalan pertubuhan Al-Qaeda
Sedunia. Rentetan daripada itu, bumi Iraq pula menjadi sasaran Amerika Syarikat. Tindakan
Amerika nampaknya bukan meredakan keamanan dunia tetapi senario menjadi bertambah
konflik apabila berlaku beberapa letupan bom di beberapa wilayah, bukan sahaja di bumi
Afghanistan dan Iraq tetapi juga negara-negara sekutu Amerika seperti Britain dan Australia.
Akibat daripada itu, timbul beberapa ugutan dan ancaman serta perbuatan khianat yang
terpaksa diterima oleh umat Islam yang tinggal di negara-negara berkenaan. Lebih dahsyat lagi
apabila umat Islam sendiri memandang serong dan phobia terhadap agama mereka sendiri.
2. Tamadun Barat yang menolak agama
Anggapan Barat terhadap agama sebagai pengancam kepada tamadun dunia juga menjadi
sebahagian daripada cabaran besar yang terpaksa di hadapi oleh umat Islam. Penolakan ini
berlaku secara berleluasa terhadap apa sahaja yang disifatkan sebagai tradisional dan
fundamental. Apa yang dikehendaki Barat ialah liberalisme ala-Barat dalam beragama. Senario
ini telah merebak ke seluruh Dunia Islam yang sekali gus mengancam akidah dan keyakinan
umat Islam terhadap agama mereka. Senario ini sudah tentu melemahkan umat Islam untuk
kembali bangun menegakkan tamadun Islam lebih-lebih lagi untuk membina semula negara dan
sistem khilafah yang telah hilang.
3. Globalisasi dan penjajahan bentuk baru.
Satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam ialah serangan globalisasi yang
disebut juga sebagai “Dunia tanpa sempadan”. Kecanggihan teknologi maklumat yang
dipelopori oleh Barat menyebabkan mereka mampu menguasai segala-segalanya. Bukan
sahaja dari segi ekonomi dan politik, tetapi juga termasuk sosio-budaya. Sebagai contoh,
budaya berpakaian yang mendedahkan aurat terutama di kalangan kaum wanita. Kalau
sebelum ini, wanita Jepun dengan Kimononya, Cina dengan Ceongsam, India dengan Sari dan
Melayu dengan Baju Kurung, tetapi kini setelah budaya Barat menguasai dunia, kelihatan
semuanya bertukar kepada pakaian ala barat yang mendedahkan aurat. Remaja wanita lebih
gemar mengenakan baju T dan seluar jeans yang ketat dan menampakkan susuk badan.
Akibatnya kerosakan akhlak di kalangan remaja semakin menjadi-jadi. Jenayah zina dan rogol
semakin bertambah sehingga melibatkan sumbang mahram dan seumpamanya.
5. Budaya Hiburan (Hedonisme) dan Filem Lucah.
Gelagat generasi muda yang terlalu minat dengan hiburan dan tersebarnya filem-filem lucah
yang dijual di pasaran gelap secara berleluasa juga amat membimbangkan. Kebimbangan ini
ditambah lagi dengan penghantaran gambar porno melalui e-mail. Seandainya budaya ini tidak
dibendung ia menjadi masalah besar kepada negara dan tamadun Islam. Seorang penyair Arab
terkenal Ahmad Syauqi dalam syair menyatakan:
“Sesungguhnya sesebuah bangsa itu akan terus kekal berdaulat selama akhlak bangsanya
masih ada. Sekiranya akhlak bangsanya musnah bererti kedaulatan bangsanya juga akan turut
musnah”.
3.6.9 Sepuluh Prinsip Islam Hadhari
Usaha membangunkan, negara dan ummah bukan suatu usaha yang mudah. Ia memerlukan
kesungguhan dan komitmen yang padu di segenap peringkat dan lapisan masyarakat, lebih-
lebih lagi yang bergelar ulama dan pemimpin. Ulama dan para pemimpin harus
dipertanggungjawabkan terhadap baik buruknya sesebuah masyarakat dan jatuh bangunnya
sesebuah tamadun. Pernyataan ini amat menepati dengan sabda Rasulullah SAW:
“Dua golongan manusia, apabila rosak mereka rosaklah seluruh manusia, apabila baik mereka
maka baiklah seluruh manusia. Mereka yang dimaksudkan ialah para ulama dan umara’ (para
ilmuwan dan para pemimpin)”.
Bagi memastikan kejayaan ini, sepuluh prinsip yang digagaskan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah
Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia menjadi penggerak utama dalam mengatur
strategi dan perancangan membangun anak bangsa secara bersepadu antara kualiti intelektual,
spiritual, emosional dan material. Sepuluh Prinsip yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
Iman boleh diibaratkan sebagai akar kepada sebatang pokok. Biji benih tidak akan
mengeluarkan tunas tanpa didahului oleh akar yang menjunam ke bumi. Pokok yang tumbuh
tanpa akar yang menjunam ke dasar bumi akan tumbang pada bila-bila masa. Manakala takwa
pula adalah buah lazat yang terhasil daripada sebatang pokok yang subur dan indah menjadi
tujuan utama para penanamnya. Demikian juga dengan iman dan takwa pada diri seseorang
mukmin, tanpanya bererti Muslim hanya pada nama sahaja. Rasulullah SAW bersabda:
“Bukanlah keimanan itu sesuatu yang boleh dicita-cita dan dihias-hias, tetapi ia adalah sesuatu
yang mantap dalam sanubari dan dibuktikan dengan amalan”.
Sayidina Ali RA ketika menjelaskan takwa pula menyebut takwa ialah:
“Takut kepada Rab al-Jalil, beramal dengan wahyu yang diturunkan dan menyediakan bekal
untuk perjalanan yang jauh ke negeri akhirat”.
Oleh itu iman dan takwa mestilah diletakkan sebagai asas kepada binaan tamadun manusia.
Sesebuah pembangunan yang tidak diasaskan kepada asas iman dan takwa dikhuatiri akan
terjebak kepada penyelewengan terhadap peraturan Allah dan syariat-Nya serta mencerobohi
alam tanpa batas dan kawalan. Sebab itu, al-Qur’an sejak awal-awal lagi menegaskan:
“Adakah mereka yang mengasaskan binaannya (masjid Dhirar) berasaskan takwa dan
Mardati’Llah itu lebih baik ataukah mereka yang mengasaskannya di tepi jurang yang dalam,
lalu jatuh tersungkur bersama yang membinanya ke dalam neraka jahanam (itu yang lebih
baik)? …”.
(al-Taubah: 109)
Kepentingan iman dan takwa kepada sesebuah tamadun memang tidak dapat dinafikan lagi;
bukan sahaja kepentingan dari segi fizikal dan materialnya dengan mendapat keamanan,
keharmonian dan kemakmuran dengan rezeki yang halal dan baik untuk kesihatan fizikal, tetapi
juga yang lebih penting ialah dari segi menagih kasih sayang Allah dan kemurahan-Nya. Dalam
hal ini banyak firman Allah yang membicarakan kebaikan-kebaikan yang bakal terima oleh
insan yang bertakwa kepada Allah SWT Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud.:
“Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada
mereka pintu-pintu keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami),
lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa dengan sebab usaha perbuatan mereka”.
(Al-A`raf : 96)
Takwa adalah bekal sepanjang perjalanan manusia di dunia. Takwa tidak boleh ditinggalkan
sama sekali walaupun sekadar beberapa waktu, kerana dengan adanya takwa semua
pekerjaan seseorang akan menjadi ibadah. Tanpa takwa, syaitan akan menyelit dalam jiwa
manusia dan memusnahkannya. Tanpa takwa juga sesuatu perbuatan yang dilakukan akan
menjadi hambar dan sia-sia malah mungkin juga akan terjebak dengan perlakuan lagha dan
mungkar. Sebab itu Rasulullah memperingatkan:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah amal buruk yang kamu
telah lakukan dengan amalan yang baik supaya ia menghapuskannya serta berakhlaklah
dengan manusia dengan akhlak yang terpuji”.
Sabdanya lagi:
“Bertakwalah kepada Allah walaupun dengan seulas buah tamar”.
Hadis ini membawa maksud, jikalau hanya dengan menderma seulas tamar, seseorang boleh
terlepas dari azab neraka, hendaklah ia melakukannya, kerana seksaan api neraka tidak
tertanggung oleh sesiapa pun. Oleh itu, takwa dan iman amat diperlukan dalam proses
pembinaan jati diri seseorang dan juga sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.
Bagaimana takwa boleh diusahakan
Al-Imam al-Nawawi ketika menghuraikan sifat Ihsan mengatakan: “Seseorang hamba tidak
akan dapat mencapai tingkat takwa selagi tidak mencapai tingkat Ihsan”. Sabda Rasulullah
SAW menegaskan insan:
“Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat Allah, sekiranya
engkau tidak melihat Allah, yakinlah bahawa Allah sedang memerhati kamu”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat muraqabatu’Llah11 mempunyai hubung kait yang amat erat dengan keimanan yang sebati
dalam jiwa manusia. Keimanan kepada Allah yang memiliki sifat al-Sami` (Maha Mendengar)
dan al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa sahaja perlakuan hamba-Nya. Mustahil bagi Allah
memiliki sifat-sifat lemah sebagaimana yang ada pada makhluk seperti tidur, lalai, leka dan
sebagainya. Dalam pada itu juga Allah SWT memiliki sifat-sifat al-Muntaqim.12 Keyakinan
terhadap sifat-sifat Allah di atas membawa seseorang hamba malu dan gerun untuk melakukan
sesuatu yang dimurkai-Nya. Di sinilah munculnya ihsan dan takwa.
Peranan iman dan takwa dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik dan agama juga amat
jelas apabila baginda Rasulullah SAW menghubungkan perintah berbuat baik kepada jiran
dengan keimanan terhadap Allah dan hari akhirat. Sebagaimana sabda baginda SAW:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya...”.
Perkataan jiran dalam hadis ini, tidak dibatasi oleh agama dan warna kulit, tetapi merangkumi
makna yang luas iaitu siapa sahaja yang menjadi jiran kepada seseorang Muslim dan mukmin
ia mestilah dimuliakan. Demikian juga dengan amaran Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menyakiti dhimmiku (orang bukan Islam yang mendiami negara Islam dan
membayar cukai jizyah) bermakna dia menyakiti ku”.
Dalam pada itu pula Rasulullah SAW memberikan kebebasan penuh kepada bukan Islam untuk
mengamalkan agama mereka semasa baginda memerintah Madinah.
2. Kerajaan Adil Dan Beramanah
Adil bermaksud: meletakkan sesuatu kena pada tempatnya atau dengan kata lain memberikan
sesuatu hak kepada yang berhak menerima menurut kadarnya). Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi
bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan
mungkar serta kezaliman…”.
(al-Nahl: 90)
Islam amat mengambil berat perbuatan zalim yang dilakukan oleh seseorang walaupun kepada
dirinya sendiri, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Sebab itu Allah SWT menegaskan melalui
firman-Nya yang bermaksud:
“…Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk
tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil
itu lebih hampir kepada taqwa…”.
(al-Maidah: 8)
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
hendaklah menghukum dengan adil …”.
(al-Nisa’ 58)
“Sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri aku akan potong tangannya”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
3. Rakyat Yang Berjiwa Merdeka
Naluri semula jadi manusia inginkan hidup bebas dan merdeka. Bagaimanapun kadang-kadang
keinginan itu tersekat oleh belenggu yang dipaksakan. Senario ini menjadi fenomena biasa ke
atas masyarakat yang dijajah. Pada kebiasaannya penjajahan bukan sahaja berlaku dari sudut
fizikal atau materialnya tetapi termasuk juga pemikiran dan sosio-budaya. Sebab itu rakyat yang
mendiami sesebuah negara yang dijajah akan menghadapi masalah untuk bangun sebagai
bangsa yang maju dan berdaulat kerana perasaan, pemikiran dan tindakan masih terbelenggu
oleh faham penjajah walaupun negara mereka telah merdeka. Lantaran itu tidak hairanlah jika
terdapat masyarakat yang dilihat bagaikan katak yang terlalu lama berada di bawah tempurung
menyebabkan pemikiran, sikap dan perilaku masih terasa berada di bawahnya walaupun
tempurung sudah lama di buang.
Oleh itu, perasaan kagum dan kecenderungan bergantung kepada Barat, menjadikan Barat
sebagai model dan bench marking dalam mencapai kemajuan harus dikikis agar kita
berkeupayaan membentuk cita rasa yang lebih kental, bermakna, jati diri dapat diperkukuhkan,
harga diri dapat dipertahankan dan hala tuju pembangunan menepati wawasan Negara iaitu
pembangunan yang mapan dan seimbang. (Dr. Sisek Baba, JAKIM)
Prinsip ini bermaksud rakyat yang memiliki pemikiran kreatif dan inovatif; mampu melahirkan
idea dan buah fikiran baru, dinamik dan positif memberi faedah kepada diri, keluarga,
masyarakat dan negara. Dalam pada itu dihiasi pula dengan ciri-ciri keimanan, kejujuran,
semangat dan bertindak, tidak jumud, tidak suka berpoya-poya, jauhi lagha dan segala sifat
negatif yang tidak sepatutnya ada pada seseorang yang memiliki jiwa merdeka. Oleh itu
kemerdekaan haruslah berjalan atas landasan tauhid. Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan
melalui firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah berikan mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah berikan rezeki
kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan (darjat dan kedudukan
serta keindahan ciptaan) mereka atas segala makhluk yang Kami ciptakan”.
(al-Isra’: 70)
Rub`i bin Amir seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah dilantik oleh Baginda SAW sebagai
ketua rombongan untuk bertemu dengan Rustam, Panglima Tentera Parsi bagi memberi
penjelasan tentang tujuan kedatangan umat Islam ke Parsi mengatakan:
“Sesungguhnya kami telah dibangkitkan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa sahaja di
kalangan kamu daripada mengabdikan diri kepada sesama hamba, kepada mengabdikan diri
hanya terhadap Alah, daripada hidup bernaung di bawah kezaliman agama-agama kepada
keadilan Islam dan daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup dunia dan
akhirat”.
Oleh itu kemerdekaan dalam Islam memberi fokus kepada kemerdekaan aqidah kerana
penghayatan ajaran tauhid menjadi tunjang dalam hubungan dengan Pencipta dan
mempertautkan hubungan sesama manusia dan alam. Di situlah munculnya sumber
kemerdekaan sebenar sebagai unsur menyempurnakan tanggungjawab terhadap diri, keluarga,
masyarakat, negara dan agama.
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Prinsip ini pula membawa maksud penguasaan ilmu duniawi dan ukhrawi termasuklah ilmu
Fardu Ain dan Fardu Kifayah bagi tujuan melahirkan individu dan masyarakat yang cemerlang
spiritual, intelektual, emosional dan materialnya selari dengan kehendak dan inspirasi dasar
pendidikan negara. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“… Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang
diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat…”.
(al-Mujadalah: 11)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesesiapa yang mahukan kecemerlangan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang
mahukan kecemerlangan akhirat hendaklah dengan ilmu sesiapa yang inginkan kedua-duanya
hendaklah dengan ilmu”.
Nabi Suleiman AS pernah ditawarkan dengan salah satu daripada tiga perkara: takhta, harta
dan ilmu. Baginda AS memilih ilmu. Akhirnya baginda memiliki segalanya. Sejarah kejayaan
Baghdad dan Andalusia sebagai dua buah pusat ketamadunan Islam yang hebat dalam lipatan
sejarah Tamadun Islam juga kerana ilmu pengetahuan. Barat hari ini muncul sebagai Kuasa
Besar Dunia pun kerana mereka memiliki ilmu dunia.
Demikian juga ketika berhadapan dengan cabaran globalisasi dalam dunia moden kini,
pendekatan ilmu secara bersepadu antara naqli dan aqli mesti dijadikan agenda utama bagi
melahirkan sumber tenaga manusia yang mampu menghadapi rintangan. Bekalan ini sekali gus
boleh menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja untuk tanah air sendiri tetapi juga
kepada pembinaan tamadun ummah seluruhnya. Oleh yang demikian usaha untuk memerhati,
mengkaji, menyelidiki segala khazanah kekayaan bumi ini mestilah diusahakan dan
dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam. Kenyataan ini amat selari dengan
penggunaan istilah oleh al-Qur’an seperti; iafala ta`qilun (mengapa kamu tidak menggunakan
akal), iafala yatadabbarun (mengapa kamu tidak memerhati) dan iafala tatafakkarun (mengapa
kamu tidak menggunakan fikiran) untuk membuat kajian terhadap segala makhluk yang
diciptakan oleh Allah.
Penguasaan ilmu pengetahuan bersumberkan hikmah yang bermaksud al-Qur’an terbukti
mengangkat martabat umat. Apabila faktor hikmah mula dilupakan, kemajuan berfikir sudah
hilang dayanya, krisis ulama’-umara’ mula berlaku, tradisi pengkaryaan mula kuncup, tamadun
Islam mula meleset dan kebangkitan kuasa Eropah suatu yang tidak dapat dielak lagi kerana
minat mereka yang besar untuk menguasai ilmu pengetahuan. (Sidek Baba, JAKIM)
5. Pembangunan Ekonomi Seimbang Dan Komprehensif
Pembangunan ekonomi yang diasaskan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT
memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan selesa. Ia bukan sahaja bermanfaat
untuk dunia tetapi juga akhirat. Seimbang dan komprehensif bermaksud kemampuan
menyesuai dan memantapkan segala kegiatan ekonomi secara berakhlak antara kerajaan dan
swasta secara bersepadu dan berkesan selari dengan konsep persyarikatan Malaysia bagi
mewujudkan kestabilan ekonomi dan pembasmian kemiskinan. Dalam hal ini Allah SWT
berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Setelah selesai mengerjakan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi Allah (untuk
menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa-apa yang kamu hajati daripada limpah
kurnia Allah, serta ingatlah kepada Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu
berjaya (di dunia dan di akhirat)”.
(al-Jumu`ah: 10)
Umat Islam diminta merebut peluang dalam usaha meningkatkan ekonomi, bekerjasama secara
bersepadu antara kerajaan dan swasta dalam usaha membasmi kemiskinan, mencapai guna
tenaga penuh, pertumbuhan ekonomi mapan dan mewujudkan kestabilan ekonomi.
Bagaimanapun dalam usaha menuju ke arah pencapaian kualiti tersebut, umat Islam diingatkan
agar tidak lalai daripada mengingati Allah SWT dan mengikuti syariat yang dibawa oleh Rasul-
Nya.
6. Kehidupan Berkualiti
Kehidupan berkualiti boleh dicapai sekiranya Dharuriyat al-Khams yang terkandung dalam
Maqasid al-Syari`ah dipelihara & diperkasakan iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta
benda. Kiranya semua ini dapat dipelihara dan diperkasa, secara tidak langsung akan memberi
jawapan bahawa jiwa masyarakat terbangun dalam keadaan sepadu; melengkapi aspek
spiritual, emosional, intelektual dan material dengan segala macam pra-sarana hidup yang
sempurna dan menjamin kehidupan selesa. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu)
dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik
kepadamu (dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah
engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-
orang yang berbuat kerosakan”.
(al-Qasas: 77)
Kehidupan berkualiti bermula dengan peningkatan ilmu dan pencapaian taraf pendidikan yang
sempurna, kestabilan politik dan sosio-budaya masyarakat sebagai jaminan pencapaian
masyarakat cemerlang. Oleh itu, kehidupan berkualiti haruslah dimulai dengan pendidikan
individu dan institusi kekeluargaan sebagai asas kepada pembentukan masyarakat dan ummah
secara yang lebih luas lagi. Dengan cara begini, institusi keluarga akan dapat berfungsi dengan
baik dan sekali gus gejala kebejatan sosial dalam masyarakat dapat dikurangkan.
Sebagai pemangkin kepada pencapaian di atas, kemudahan fizikal seperti masjid dan surau
bagi umat Islam mestilah disediakan. Umat Islam juga wajar diberi galakan untuk
memakmurkan masjid. Dalam pada itu pula kebebasan beragama kepada penganut agama lain
mestilah diberikan. Di samping itu, perpustakaan-perpustakaan awam perlu dipertingkatkan
untuk menggalakkan kegiatan membaca di kalangan semua anggota masyarakat.
Selain itu, persekitaran tempat tinggal hendaklah diberikan perhatian. Tempat-tempat rekreasi
dan riadah wajar disediakan agar kualiti kehidupan masyarakat dapat dibangunkan secara
sepadu dan seimbang.
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti Dan Wanita
Pembelaan ke atas kumpulan minoriti dan wanita dapat dilakukan kiranya golongan yang
bertanggungjawab bersikap adil dan amanah, terutama golongan kaya dan berkedudukan.
Islam meletakkan status yang tinggi kepada golongan pemimpin yang melaksanakan
tanggungjawab dengan adil dan amanah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang akan mendapat tempat di bawah bayangan (`arasy Allah di
Mahsyar) pada masa tidak ada bayangan melainkan bayangannya: Pertama ialah pemimpin
yang berlaku adil…”
Sabdanya lagi yang bermaksud:
“Mana-mana pemimpin yang rakyatnya terdiri di kalangan umat Islam, tiba-tiba mati dalam
keadaan menipu rakyat, nescaya dia akan diharamkan oleh Allah memasuki syurga”.
Pendekatan pendidikan Islam menolak segala unsur diskriminasi sama ada sebagai kumpulan
majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dikawal oleh undang-undang negara, meliputi segala
aspek yang terkandung di bawah Maqasid al-Syariah. Oleh itu tidak mungkin berlaku
penindasan ke atas kumpulan kecil dan yang berlainan jantina. Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita, dan
kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-
kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang-orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi mendalam pengetahuan-Nya (akan
keadaan dan amalan kamu)”.
(al-Hujurat 13)
Sabda Rasulullah SAW semasa mengerjakan Hajjatul Wada`:
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah terhadap wanita, kerana sesungguhnya kamu
mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepadamu mencampuri
mereka dengan ijab kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap
isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang-orang luar yang dibenci oleh suami
berkunjung ke rumahnya. Sekiranya mereka melakukan demikian ajarlah mereka dengan
pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka (wanita) ke atas kamu (lelaki) pula
ialah memberikan mereka rezeki (makanan dan perhiasan/pakaian) dengan cara yang baik.
Dan telah aku tinggalkan kamu sesuatu yang tidak akan menyesatkan kamu selama-lamanya,
sekiranya kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu, kitab Allah dan sunnahku”.
8. Keutuhan Budaya Dan Moral
Keutuhan budaya dan moral adalah antara prinsip terpenting dalam membina ketamadunan
sesebuah bangsa dan negara. Budaya hidup dan nilai moral yang baik tidak bercanggah
dengan syariat perlu dipertahankan. Berasaskan kaedah fiqhiyyah; “`Adah Muhakkamah”13 dan
“Al-Ma`ruf `Urfan ka al-Masyrut Syartan”.14 Bagaimanapun tidak semua budaya yang berjalan
dalam masyarakat boleh diterima kerana ia memerlukan banyak penyaringan disebabkan
berbaur dengan unsur-unsur yang mengelirukan dari sudut perundangan Islam.
Dalam hal ini, Allah SWT banyak menggariskan banyak amalan yang membabitkan hubungan
dengan Allah dan sesama manusia yang perlu dibudayakan dalam kehidupan muslim. Antara
lainnya ialah, firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu); Mereka yang khusyu` dalam solat
mereka, perkara lagha mereka tak layan, zakat mereka tunaikan, memelihara kemaluan mereka
melainkan kepada isteri-isteri atau hamba yang mereka miliki. Maka sesungguhnya perbuatan
yang sedemikian tidak akan dicela, sesiapa yang mencari selain daripada itu, mereka adalah
orang-orang yang melampaui batas, dan orang yang diberikan amanah (tanggungjawab) dan
janji mereka pelihara dengan baik, dan orang-orang yang memelihara solat-solat mereka
(dengan sempurna). Merekalah yang akan mewarisi syurga al-Firdaus dan kekal di dalamnya”.
(al-Mu’minun 23:1-11)
Demikian juga firman-Nya yang bermaksud:
“(Mereka yang mendapat kejayaan itu ialah), orang-orang (menyedari kesalahan dan
bertaubat.), memperhambakan diri kepada Allah, memuji (dan bersyukur dengan nikmat yang
diberikan Allah), mengembara (dengan tujuan menuntut ilmu dan mengembangkan Islam),
ruku`, sujud, menyuruh berbuat kebaikan, mencegah berbuat kejahatan dan memelihara batas-
batas hukum Allah .... ”.
(al-Taubah 112)
Selain itu terdapat beberapa ayat dalam Firman-Nya, menggariskan beberapa sifat insan
berkualiti di sisi Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam al-Qur’an pada surah al-Furqan
ayat 63-77. Sifat insan berkualiti yang dimaksudkan boleh dirumuskan seperti berikut:
1. Berjalan di muka bumi dalam keadaan sopan.
2. Bercakap dengan orang yang jahil dengan cara selamat daripada berlaku sesuatu yang tidak
diingini.
3. Tekun mengerjakan ibadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri (solat).
4. Berdoa agar dijauhi azab neraka Jahanam yang mengerikan.
5. Berbelanja tidak boros dan tidak bakhil.
6. Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain dan tidak membunuh, tidak berzina
kecuali mereka bertaubat.
7. Tidak menyaksikan perkara yang dilarang, apabila bertembung.
8. Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat al-Qur’an, mendengar dengan cara baik, bukan
seperti orang pekak dan buta.
9. Berdoa agar dikurniakan pasangan dan zuriat keturunan yang baik dan menjadi pemimpin
kepada orang-orang yang bertakwa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sebarkanlah salam, hubungilah silaturrahim dan kerjakanlah solat pada
waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera”.
Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna dalam risalahnya Wasaya al-`asyarah menampilkan
beberapa pesanan kepada umat Islam agar dibudayakan dalam kehidupan mereka. Pesanan
tersebut boleh dirumuskan sebagai berikut:
1. Bersegeralah menunaikan solat apabila seruan azan dilaungkan.
2. Bacalah al-Qur’an, buatlah kajian, dengarlah ilmu, berzikirlah dan janganlah anda
membiarkan waktu berlalu tanpa diisi dengan perkara berfaedah.
3. Berusahalah untuk bercakap bahasa Arab fasahah kerana ia sebahagian daripada syiar
Islam.
4. Jangan anda banyak bertengkar dalam melaksanakan apa sahaja urusan kerana ia tidak
mendatangkan sebarang kebaikan.
5. Jangan banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa tenang
tenteram.
6. Jangan banyak bergurau. Sesungguhnya umat yang sedang berjihad, sentiasa dalam
keadaan bersungguh-sungguh.
7. Jauhi mengumpat, mengeji dan mencaci pertubuhan lain dan jangan berkata sesuatu
melainkan kebaikan.
8. Berkenalanlah dengan sesiapa sahaja yang anda temui di kalangan rakan-rakan anda
sekalipun dia tidak menuntut anda berbuat demikian, kerana asas dakwah kita adalah berkasih
sayang dan tolong menolong.
9. Kewajipan anda lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah orang lain supaya
mereka memanfaatkan masanya. Kalau anda berurusan, singkatkanlah masa menunaikannya.
Berdasarkan penjelasan beberapa ayat al-Qur’an, al-Hadis dan pesanan ulama di atas jelas
memperlihatkan bahawa penghayatan nilai-nilai murni sedemikian mampu memupuk jiwa
manusia agar sentiasa berada dalam suasana harmoni bukan sahaja yang membabitkan
hubungan seseorang dengan Penciptanya, tetapi juga hubungan sesama manusia. Nilai-nilai
murni seperti inilah yang sukar ditemui oleh pembangun tamadun kecuali mereka yang benar-
benar berjiwa bersih dan inginkan kedamaian yang hakiki dan abadi.
9. Pemuliharaan Alam Semulajadi
Manusia dan alam adalah saling memerlukan. Alam tidak akan terurus tanpa manusia. Manusia
tanpa unsur alam saghir yang lain juga tidak mungkin hidup selesa. Sebab itu manusia dan
alam perlu saling bermesra agar keharmonian sejagat dapat dijelmakan. Dalam usaha manusia
memajukan alam, sering kali ditemui mereka yang terbabas mengeksploitasi alam tabii secara
berlebihan. Lebih-lebih lagi pemodenan teknologi terkini dan tidak terkawal ditambah oleh
kerakusan nafsu serakah manusia membuatkan alam menjadi musnah. Barangkali inilah yang
disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab
perlakuan dua tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan
mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(al-Rum: 41)
Kemusnahan muka bumi mempunyai sebab-sebab yang sangat berkait dengan pembalasan
Tuhan ke atas manusia disebabkan dosa-dosa perbuatan mereka. Kerakusan hawa nafsu
sebahagian manusia yang tidak terkawal menyebabkan datangnya azab Allah menimpa
mereka. Akibat daripada hilangnya keseimbangan alam semulajadi pelbagai bencana alam
telah berlaku seperti tanah runtuh, banjir kilat, kepanasan global, gempa bumi, ombak besar,
hujan asid dan pencemaran alam sekitar dan sebagainya berlaku.
Berasaskan kesedaran inilah, lahirnya beberapa deklarasi mengenai alam sekitar yang
dilaksanakan oleh UNDP (United Nation Development Programe) untuk memastikan wujudnya
pembangunan lestari. Deklarasi Reo De Janerio dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara
deklarasi yang melibatkan Malaysia. Malaysia sendiri turut menganjurkan Deklarasi Langkawi
bagi memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam. (JAKIM)
Sehubungan itu, kewajipan mengurus alam sekitar dengan bijak dan adil serta bersifat mesra
alam perlu dikuatkuasakan dan diberikan kesedaran menyeluruh di segenap peringkat.
Kewajipan memelihara alam sekitar dan mengendalikan pembangunan secara harmoni perlu
diberikan perhatian oleh seluruh pengusaha terutama yang terlibat secara langsung
mengenainya. Larangan membuat gangguan di jalanan dan kebersihan yang dikaitkan dengan
keimanan oleh Rasulullah SAW mempunyai pengertian yang sangat besar ertinya kepada
kesejahteraan hidup manusia sejagat.
10. Kekuatan Pertahanan
Kekuatan pertahanan dalam sesebuah tamadun tidak harus terpisah antara kekuatan fizikal dan
spiritual. Malah kekuatan fizikal mestilah didasari oleh kekuatan rohani, minda dan akhlak para
anggota yang mendiaminya. Inilah keunikan dan kesempurnaan Islam sebagaimana yang dapat
difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan
yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk
menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain daripada mereka yang
kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada
jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”
(al-Anfal: 60)
Kekuatan yang dibina untuk pertahanan bukanlah bertujuan untuk menceroboh dan menguasai
bangsa lain, tetapi lebih kepada tujuan untuk mempertahankan diri dari dicerobohi musuh.
Kekuatan pertahanan adalah jaminan kepada survival politik, ekonomi dan sosio-budaya umat
dalam sesebuah tamadun.
Senario dunia moden hari ini yang banyak berkisar pada perlumbaan penyediaan senjata yang
serba canggih, mendesak kita agar turut terlibat dengan persediaan pertahanan yang mampu
menangkis serangan musuh yang mungkin tiba secara mengejut. Tanggungjawab menjaga dan
mempertahankan agama, nyawa, akal, maruah dan harta benda adalah merupakan tujuan
hakiki yang terkandung dalam maqasid al-syariah. Semua kepentingan yang disebutkan tidak
mungkin dapat diperkasa sekiranya tanah air terancam oleh serangan musuh.
Ringkasnya, Islam dan kemajuan adalah sinonim. Kemajuan haruslah dibangunkan secara
bersepadu antara kekuatan spiritual, intelektual, emosional dan material. Agama dan negara
akan menjadi kuat, hebat, cemerlang, gemilang dan terbilang apabila umatnya mencapai tahap
gemilang dari segenap aspek. Sebab itu, kejatuhan sesebuah tamadun termasuk Tamadun
Islam yang pernah muncul pada suatu ketika dahulu adalah disebabkan umatnya yang bersifat
pasif, tidak beradab, tidak berilmu, dayus, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Oleh itu,
kesedaran dan keinginan untuk menjadi bangsa yang maju perlulah digilap kembali agar
kemilaunya dapat menyinar dan dinikmati oleh seluruh bangsa di dunia. Renunglah firman Allah
SWT yang bermaksud:
“Dan apakah yang menghalang kamu (untuk) tidak menyertai perjuangan pada jalan Allah
(untuk menegakkan agamanya) dan (untukl menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari
kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai
Tuhan kami keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang penduduknya (kaum musyrikin)
melakukan kezaliman (terhadap kami) dan jadikanlah kami daripada pihak-Mu seorang
pemimpin yang mampu membela kami (daripada ancaman musuh). (al-Nisa’ 75)