Upload
radin-hanna
View
22
Download
1
Embed Size (px)
DESCRIPTION
BUDAYA BURDAH
Citation preview
Kemunculan ajaran dan pemikiran budaya Syiah menjadi salah satu aspek perbahasan
yang penting dalam kajian para sarjana mengenai sejarah kedatangan Islam ke Alam
Melayu. Pemikiran Syiah telah dibincangkan bersama pengaruh-pengaruh lain seperti Arab
dan Parsi yang dianggap penyumbang terbesar dalam pemikiran keagamaan dan budaya
umat Islam di rantau ini. Beberapa sarjana cuba menjelaskan bahawa aliran Islam yang
terawal diterima oleh masyarakat melayu di Alam Melayu adalah fahaman Syiah sebelum
dikuasai oleh aliran teologi Ashairah bermazhab Syafie. Kenyataan ini telah cuba dinafikan
oleh beberapa sarjana yang menganggap bahawa Syiah tidak memiliki pengaruh teologi
selain hanya telah bercampur aduk dengan budaya Arab-Parsi yang telah meresap dalam
pemikiran tasawuf Sunni dan sastera Melayu klasik. Kajian ini dilakukan untuk
membincangkan tentang kemunculan pemikiran budaya Syiah di Alam Melayu. Kajian ini
juga akan menyentuh pengaruh Syiah dalam budaya Melayu, khususnya dalam bidang
pemikiran tasawuf dan sastera Melayu. Kertas kerja ini akan membincangkan pemikiran
budaya Syiah sejelasnya wujud di Alam Melayu bermula pada abad ke-12M, menerusi
ajaran tasawuf falsafah. Pengaruh budaya Syiah in sangat ketara terdapat dalam beberapa
amalan ritual dan sastera melayu klasik bersifat keagamaan dalam masyarakat Melayu.
Perkembangan budaya Syiah telah dibantu dan diperkukuhkan lagi oleh peranan
pendakwah golongan berketurunan Ahli Bayt dan kegiatan ahli tasawwuf falsafah yang
dianggap mempunyai peranan yang sangat besar dalam penyebaran Islam di Alam Melayu.
PENGENALAN
Para sarjana tidak sepakat dalam menetapkan secara tepat tarikh Islam tiba ke kepulauan
Melayu. Agama Islam hanya berkembang di sekitar semenanjung tanah Arab pada zaman
Rasulullah s. a. w. Perluasan wilayah pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin menuju arah utara
semenanjung Arab iaitu Syria, Iraq dan Afrika Utara. Semasa zaman pemerintahan khalifah
cUthman bin cAffan dikatakan satu rombongan utusan khalifah ke China telah singgah di
utara Sumatera, sehingga ada yang menyangka tarikh inilah Islam mula datang ke Alam
Melayu. Namun perkembangan Islam di Alam Melayu pada tarikh ini tidak dapat dibuktikan
dengan lebih jelas. Kegiatan dakwah Islam semakin meluas sehingga ke sebelah Barat
Sepanyol dan sebelah Timur negeri China sewaktu kerajaan Bani Umayyah berkuasa. [1]
W. P Groeneveldt dan Sayyid Alwi al-Haddad [2] telah menyatakan bahawa tarikh awal
ketibaan orang Islam ke rantau Asia Tenggara adalah pada zaman pemerintahan Bani
Umayyah. Demikian juga pandangan T. W. Arnold bahawa pada tahun 674M, iaitu semasa
pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, terdapat sebuah perkampungan Arab-Islam di
sebelah pantai barat Sumatera [3]. Pandangan ini menolak keputusan seminar kedatangan
Islam di Aceh yang memutuskan bahawa Islam tiba di Sumatera pada abad pertama Hijrah.
Begitu juga dengan pandangan keterlaluan orientalis yang menyatakan Islam mula bertapak
di Alam Melayu pada abad ke-13M.
Para sarjana telah berselisih pendapat mengenai apakah aliran Islam yang terawal mula-
mula tiba Islam di Alam Melayu. Zulkifli dalam tesisnya, The Struggle of The Shi‘is in
Indonesia [4] menyatakan terdapat dua teori di kalangan sarjana dalam menetapkan sama
ada fahaman Sunni atau Syiah merupakan aliran Islam yang terawal tiba di Indonesia (Alam
Melayu). Pertama, teori yang diterima oleh kebanyakan sarjana sejarah dan sains sosial
yang secara umumnya menolak kewujudan fahaman Syiah dan menyatakan Sunni
merupakan aliran pertama yang tiba ke Indonesia (Alam Melayu) dan terus menerus
menjadi pegangan majoriti masyarakat sehingga hari ini. Kedua, teori yang meyakini
bahawa aliran Syiah telah wujud seawal kemunculan agama Islam di rantau ini, di mana
fahaman Syiah dianggap telah memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran
Islam di rantau ini. Teori ketiga ialah fahaman Syiah juga datang ke Indonesia menerusi
kegiatan sufi dan tasawuf. Ia telah dikemukakan oleh Umar Faruk Assegaf [5]. Dalam tulisan
ini akan dikemukakan perbincangan sarjana berdasarkan ketiga-tiga teori di atas.
Sunni Sebagai Aliran Terawal di Alam Melayu:
Terdapat teori yang menolak kewujudan fahaman Syiah secara ideologi agama dan kuasa
politik sekali gus menyatakan Sunni merupakan aliran pertama yang tiba ke Indonesia (Alam
Melayu) dan terus menerus menjadi pegangan majoriti masyarakat sehingga hari ini.
Bagaimana pun mereka tidak menolak kemasukan pengaruh Parsi. Pendapat ini telah
dikemukakan oleh Azyumardi Azra dan Hamka. Menurut Azra unsur-unsur pemikiran Syiah
yang ada dalam masyarakat Melayu terawal sebenarnya berasal dari Parsi yang tidak
semestinya Syiah. Syiah juga tidak pernah menjadi ideologi politik dan doktrin dalam
masyarakat Melayu sehingga hari ini.
Azyumardi Azra juga mengkritik pendapat Baroroh Baried, M. Yunus Jamil dan A. Hasjmy
yang menyatakan Syiah pernah menjadi kuasa politik di utara Sumatera menerusi
kesultanan Perlak dan pertarungan Syiah -Sunnah yang pernah muncul dalam kerajaan
tersebut. Azra juga menolak kewujudan perang antara pengikut Syiah dan Sunnah yang
berlaku dalam kerajaan Samudera-Pasai. Menurut Azyumardi Azra -M. Yunus Jamil dan
Hasjmy telah menggunakan sumber lokal yang belum diuji kesahihannya kerana kedua-
duanya tidak menyebutkan sumber ambilan dan kedua-duanya tidak pernah menguji
maklumat dari historiografi lokal tersebut dengan sumber-sumber yang lain.
Selain itu, menurut Azyumardi Azra berdasarkan penelitian mutakhir tidak ada bukti kukuh
yang boleh dipegang bahawa pada pertengahan abad ke-9M telah wujud satu entiti politik
Islam di kawasan Perlak apatah lagi dikuasai oleh Syiah. [6] Azra juga menolak berlakunya
persaingan kuasa antara Sunni-Syiah dan perang saudara antara Sunni-Syiah kerana
hubungan Syiah-Sunah tidak pernah menjadi rumit sehinggalah munculnya kerajaan
Safawiyyah di Iran pada abad ke-16M. Hamka pula telah mendedahkan khayalan yang
dicipta oleh Onggang Parlindungan dalam buku ‘Tuanku Rao’ mengenai kewujudan Syiah
Karmatyah (Qaramitah) di Minangkabau selama 300 tahun adalah berdasarkan 98% sumber
yang sudah terbakar [7]. Bagi Hamka, adalah perkara mustahil pengaruh sesebuah kerajaan
Syiah selama 300 tahun dan memiliki 1800 mullah Syiah yang bengis terhadap Ahli Sunnah
boleh dihapuskan oleh sebuah mazhab Syafie yang hanya berkuasa selepas itu selama 34
tahun sahaja [8].
Jelasnya, Azyumardi Azra dan Hamka menolak kewujudan Syiah secara ideology, agama
dan politik sepanjang kedatangan awal Islam ke Alam Melayu. Walau bagaimanapun, Azra
tidak menafikan pengaruh Parsi yang dianggap tidak semestinya Syiah dalam budaya dan
pemikiran agama di rantau ini. Hubungan India-Parsi telah lama wujud antara India-Parsi
dan kepulauan Melayu sebelum Islam. Thomas Arnold telah melaporkan kewujudan orang-
orang Syiah berketurunan India dan Parsi di kawasan pantai Jawa dan Sumatera pada akhir
abad ke-14. Ini telah meyakinkan beliau bahawa Islam telah diperkenalkan kepada
masyarakat Indonesia adalah di bawah pengaruh kebudayaan Parsi-India oleh orang-orang
Syiah.
Tarikh awal kedatangan aliran Sunni ke Alam Melayu tidak dapat dikesan dengan jelas oleh
ahli sejarah. Tidak ada penjelasan terperinci mengenai penghantaran utusan ke China sejak
pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan sehingga zaman Bani Umayyah yang singgah di utara
Sumatera [9]. Teori Arab yang dikemukakan oleh Pijnappel, telah menyatakan orang-orang
Arab yang bermazhab Syafi’i telah berhijrah dan menetap di wilayah India kemudian
membawa Islam ke Indonesia. Aliran Sunni didakwa berjaya merebut kuasa di Perlak pada
abad ke-9M, sebelum berkembang dengan lebih meluas pada abad ke-13M. Di Pasai, aliran
Sunni bermazhab Syafie telah mendominasi wilayah tersebut sebelum aliran Syiah masuk
dengan penghijrahan penganut Syiah dari Perlak. Kenyataan ini membuktikan Sunni lebih
awal memasuki Pasai sebelum abad ke-10M, berbanding aliran Syiah.
Alasan paling kuat bagi menyokong bahawa Sunni adalah aliran terawal yang tiba di Alam
Melayu ialah pemakaian aliran ‘Asha’irah sebagai pegangan aqidah dan mazhab Syafie
dalam perundangan fiqh yang kekal dan menjadi pegangan majoriti masyarakat Islam di
Alam Melayu sehingga kini. Aliran ‘Asha’irah dan mazhab Syafie di Alam Melayu didapati
sama dengan pegangan masyarakat India di Gujerat, Malabar dan Koromandel seperti yang
dinyatakan oleh Ibn Batutah, Arnold dan Morrison. [10] Aliran aqidah dan mazhab ini telah
menjadi pegangan para tokoh pendakwah terawal di Alam Melayu khususnya selepas abad
ke-13M.
Bagi menegakkan pandangan ini -Sunni merupakan aliran terawal – mereka terpaksa
menolak kaitan golongan sayid-syarif serta tokoh-tokoh sufi dari Hadhramaut dan Parsi
dengan fahaman Syiah yang dianggap sebagai pendakwah dan ahli tasawuf Sunni di Alam
Melayu yang aktif bermula abad ke-12M. Antara yang berbuat demikian ialah Alwi al-
Haddad, Muhammad Hasan al-cAydrus [11], Wan Mohd Saghir dan Tun Suzana [12].
Syiah Aliran Islam Terawal di Alam Melayu?:
Dalam teori ini, para sarjana cuba menyatakan aliran Syiah telah wujud seawal kemunculan
agama Islam di Alam Melayu. Menurut mereka, aliran Syiah lebih awal wujud dengan
penghijrahan orang-orang Syiah secara individu (terutama yang berketurunan sayyidsyarif)
dan berkumpulan, bahkan Syiah pernah bertapak sebagai mazhab rasmi negara Islam Alam
Melayu yang terawal. Dengan itu aliran Syiah dianggap telah memainkan peranan yang
sangat penting dalam penyebaran Islam di rantau ini. Kedatangan para pendakwah Syiah ini
sering kali dikaitkan dengan dua alasan iaitu, kekejaman pemerintah terutamanya Bani
Umayyah dan aktiviti penyebaran Islam dirantau ini.
‘Teori Syiah’ ini telah dikemukakan oleh S. Q Fatimi, Aboe Bakar Atjeh, A. Hajsmy, M.
Yunus Jamil, turut disokong oleh Mahayudin Yahya, Abdul Rahman Abdullah dan lain-lain.
Sebahagian besar teori ini sebenarnya dihubungkan kepada pendapat para sarjana barat
bahawa pengislaman Alam Melayu berlaku melalui arah India-Parsi di samping tidak
menolak usaha-usaha dari Tanah Arab. Teori Islam disebarkan ke Nusantara dari benua
India merupakan pandangan sebilangan besar sarjana-sarjana dari Belanda. S. Q Fatimi
dan Atjeh telah memberikan pandangan bahawa aliran Syiah telah datang ke Alam Melayu
sebelum ketibaan aliran Sunni dan telah memiliki pengaruh yang memberangsangkan di
rantau ini. Abu Bakar Atjeh menyatakan bahawa orang-orang Arab, Parsi atau India dari
Gujerat, India semuanya adalah pengikut Syiah yang menjadi pendakwah pertama Islam di
Alam Melayu.
Sayyid Alwi Al-Haddad menyatakan sekelompok Arab keturunan ‘Alawiyyin telah melarikan
diri ke Champa dari kekejaman tentera al-Hajjaj. [13] S. Q Fatimi mengesahkan di Champa
ada penemuan batu nesan seorang penganut Syiah bertarikh 431H / 1039M [14]. Dari arah
Champa juga dikatakan segolongan ‘Alawiyyin belayar menuju ke Sila (Sulawesi) dan
Sabah pada tahun sekitar 65H-86H / 685-705M. Al-Haddad memetik penjelasan al-Nuwayri
(1955M) dalam kitabnya, Nihayah al-Arab fi Funun al-‘Adab yang menyatakan di sebelah
Timur negeri China terdapat sekumpulan bangsa Arab yang terdiri daripada penyokong-
penyokong ‘Ali bin Abi Talib dikenali sebagai ‘Alawiyyin mendiami Sila. Mereka datang ke
Sila [15] menerusi Champa. Mahayudin Yahya menamakan golongan ini sebagai Syiah
(‘Alawiyyin) yang melarikan diri dari tentera al-Hajjaj dan menyebarkan ajaran Syiah.
Perincian mengenai pengaruh mereka tidak dapat dikesan dengan jelas.
Kedatangan individu Syiah, terutamanya dari Tanah Arab ke Alam Melayu untuk
menyebarkan Syiah telah dilaporkan oleh beberapa sarjana. Abdul Rahman Abdullah
menyatakan seorang ulama Zaydiyyah dari Yaman bernama Sulayman bin ‘Abdullah pernah
tiba di Aceh pada tahun 850M. Namun tidak dapat dikesan sejarah dan pengaruhnya.
Menurut Wan Hussein Azmi, Syiah dikatakan telah tiba ke timur Sumatera pada masa
pemerintahan Bani Buwayh pada tahun 359H / 969M dan menetap di Siak. Parameswara
turut didakwa telah diislamkan oleh seorang Syiah (kerana berketurunan Sayyid) yang
bernama Sayid Abdul Aziz. [16]
Kamis Ismail dalam tesis beliau menyatakan pengaruh Syiah dikatakan telah meluas dalam
politik Alam Melayu menerusi beberapa kerajaan Melayu terawal seperti Perlak, Pasai dan
Acheh Darul-Salam. Beliau mengakui sumber sejarawan Islam terawal tidak pernah
melaporkan tentang kewujudan negara Syiah di Alam Melayu menyebabkan terpaksa
bergantung kepada sumber-sumber lokal seperti tulisan A. Hasjmy dan M. Yunus Jamil
sebagaimana dilakukan oleh beberapa sarjana lain sebelumnya.
A. Hasjmy dan M. Yunus Jamil berdasarkan sumber dari kitab Izhar al-Haqqfi Mamlakah
Ferlak karya Abu Ishaq Makarani al-Fasy, mengatakan bahawa pada tahun 173H / 789M
(atau 800M, atau 817M), satu rombongan pendakwah Syiah yang terdiri daripada 100 orang
pendakwah Arab, Parsi dan India Muslim yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah telah tiba di
Perlak. Mereka dikatakan telah diarahkan untuk berdakwah setelah gagal memberontak
terhadap khalifah al-Ma’mun dari dinasti ‘Abbasiyyah. Salah seorang dari mereka ialah cucu
kepada Imam Syiah yang keenam (Imam Jacfar al-Sadiq), bernama Ali bin Muhammad al-
Dibaj bin Ali bin Jacfar al-Sadiq. ‘Ali (terkenal dengan gelaran al-Kharisiy)bin Muhammad al-
Dibaj dikatakan telah berkahwin dengan adik Raja Perlak dan melahirkan Sayid ‘Abd.
al-‘Aziz Syah, pemerintah pertama kerajaan Syiah di Perlak yang didirikan pada 225H /
840M. Keturunan beliau disebutkan sebagai dinasti ‘Aziziyyah yang memerintah sehingga
tahun 888M, sebelum jatuh ke tangan Ahli Sunnah. [17]. Secara umumnya, Kamis Ismail
merumuskan terdapat lima pemerintah Perlak yang berfahaman Syiah [18] dan ajaran Syiah
dipercayai telah tersebar menerusi kerajaan ini di pantai barat Sumatera.
Kenyataan ini dibantah oleh Azyumardi Azra yang menafikan sebarang kewujudan entiti
politik muslim di Perlak pada pertengahan abad ke 9M. Selain itu, kitab Umdat al-Talib
fi‘Ansab’ Ali Abi Talib tidak pernah menyatakan penghijrahan ‘Ali bin Muhammad Dibaj ke
Perlak selain ke Basrah ke al-Ahwaz dan beliau sebenarnya telah dikebumikan di Baghdad.
[19] Manakala Hassan Muarif Ambary menolak kewujudan kerajaan awal Perlak
berdasarkan kajian arkeologinya mengenai Islamisasi di Indonesia. [20]
Menurut Slamet Mulyana Syiah sampai ke Samudera Pasai pada permulaan abad ke-12M
dengan dukungan kerajaan Fatimiyyah di Mesir. [21] Pendapat yang sama dikemukakan S.
Warsito bahawa di Samudera-Pasai aliran Syiah dikatakan telah menguasai kerajaan di
sana semasa pemerintahan Meurah Nor (raja keempat yang bergelar Sultan al-Kamil) pada
550-606H / 1155-1210M. Sultan al-Kamil dikatakan memiliki tiga orang ulama berketurunan
India-Parsi yang dipercayai sebagai orang Syiah yang memegang jawatan besar dalam
kerajaan. Bagaimanapun fungsi dan peranan ketiga-ketiga ulama’ ini dalam menyebarkan
ajaran Syiah tidak dapat dikesan. Sebelumnya, Ahli Sunnah merupakan mazhab yang
dominan di Pasai sejak tertubuhnya negara Islam pada 433H / 1042M di negara berkenaan
dan pemerintah di Pasai mendukung aliran Sunni.
Pada masa pemerintahan Sultan al-Kamil dikatakan satu rombongan ulama’ Makkah
dipimpin oleh Syeikh ‘Abdullah ‘Arif, seorang ahli sufi abad ke-6H / 12M dikatakan orang
pertama bertanggungjawab menyebarkan ajaran Syiah di Aceh, Kedah dan Pattani
menerusi kitabnya, Bahr al-Lahut. A. Hajsmy mengatakan gelaran Sultan al-Kamil ini telah
diberikan oleh Syeikh Abdullah Arif kepada Meurah Noor. [22] Dra. Nurhayati berpendapat
Syeikh ‘Abdullah ‘Arif adalah seorang ulama’ besar berfahaman Sunnah kerana datang ke
Pasai dengan membawa kitab Ihya ’Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazzali [23]. Pendapat
yang sama dikemukakan oleh Wan Mohd Saghir. Boleh jadi kerana Syeikh ‘Abdullah ‘Arif
dilaporkan pernah berguru dengan ulama’ tasawuf besar Ahli Sunnah iaitu Syeikh Abd. ‘Al-
Qadir al-Jilani di samping memiliki dua rakan ulama’ Sunah bernama Syeikh Isma’il Dafi dan
Burhanuddin. Bagaimanapun penyelidikan yang bersungguh-sungguh dari Mahayuddin
Yahya tentang kitab Bahr al-Lahut, membuktikan kitab berkenaan dipenuhi ajaran Syiah
yang bercampur baur dengan tasawuf falsafah. Justeru, beliau membuat kesimpulan
bahawa Syeikh ‘Abdullah ’Arif adalah berfahaman Syiah dan bertanggungjawab
menyebarkan ajaran itu di Alam Melayu menerusi kitabnya.
Selain itu, M Yunus Jamil melaporkan bahawa Syiah Ismailiyyah Batiniyyah telah muncul
dalam kerajaan Pasai pada abad ke-15M. Semasa pemerintahan Ratu Nihrasiyah
Rawangsa Khadiyu, puteri kepada Malik al-Zahir, Syiah begitu berpengaruh, berkuasa dan
mendominasi pemerintahan negara. Ratu Nihrasiyah telah melantik seorang penganut Syiah
Ismailiyyah, Ariya Bakoy Ahmad Permala seorang ketua kumpulan tarekat wujudiyyah
sebagai Perdana Menteri (Mangkubumi). riya Bakoy mempunyai perwatakan kejam
khususnya terhadap Ahli Sunnah. A. Hasjmy menyatakan Ariya Bakoy benar-benar
menggunakan kedudukannya untuk mengembangkan ajaran Syiah dan menindas musuh
politiknya yang beraliran Sunnah, dengan mengeluarkan perintah supaya membunuh kira-
kira 40 orang tokoh ulama Ahli Sunnah. Tindakan kejam itu dikatakan berpunca dari
cadangan Aria Bakoy untuk mengahwini anak kandungnya sendiri telah dibantah oleh
ulama’-ulama’ Ahli Sunnah. Kejadian ini mengundang peperangan antara rakyat Pasai yang
beraliran Sunnah menentang Ariya Bakoy. Akhirnya beliau dikalahkan dan dibunuh oleh
Malik Mustafa, suami kepada Ratu Nihrasyiah yang berfahaman Sunnah, ketua gerakan
rakyat pada masa itu. Pasai telah digabungkan dengan kerajaan Aceh semasa
pemerintahan Sultan Husein Shah.
Dengan kekalahan itu, aliran Syiah telah berkubur di arena politik, namun terus berfungsi
lebih-lebih lagi dalam aliran tasawuf, tarekat dan falsafah. [24] Ariya Bakoy sangat komited
dalam menyebarkan fahaman Batiniyyah atau panteisme yang berasal dari ajaran Syiah. A.
Hasjmy melaporkan Ariya Bakoy telah menghantar Syeikh ‘Abd. Jalil atau juga dikenali
sebagai Syeikh Siti Jenar ke Pulau Jawa untuk menyebarkan fahaman tersebut.
Kerajaan Aceh telah didirikan pada 601H / 1205M dengan sultan pertamanya, Sultan
Alaudin Johan Syah (601-631H / 1205-1234M). [42] orang Sultan kerajaan ini menganut
aliran Ahli Sunah wa al-Jama’ah. Bagaimanapun pengaruh Syiah dapat dikesan menerusi
tokoh-tokoh besar ulama yang memegang jawatan penting dalam negara. Pengaruh ini telah
mencetuskan pergolakan dalam negeri yang mengakibatkan berlakunya perbezaan
pendapat dan pergeseran politik hingga berlaku beberapa peristiwa seperti pembakaran
buku-buku, penurunan takhta dan seumpamanya. Di Aceh telah berlaku pertentangan
antara konsep wahdah al-wujud dengan wahdah al-syuhud. Fahaman wahdah al-wujud
yang berasal dari ajaran Syiah telah diketuai oleh Hamzah Fansuri dan muridnya,
SyamsuddinSumaterani. Manakala Nur al-Din al-Raniri dan Syeikh cAbd. Ra’uf Syiah Kuala
menganut fahaman wahdat al-syuhud. Kedua-dua belah pihak telah menghasilkan kitab
masing-masing.
Wahdatul Wujud, Insan Kamil, Nur Muhammad yang terdapat dalam ajaran tasawuf falsafah
merupakan resapan dari ajaran Syiah. Ia telah berkembang semenjak kemasukan kitab
Bahr Lahut yang diajarkan oleh Syeikh ‘Abdullah ‘Arif pada abad ke-12M di Kedah, Pasai
dan Aceh. Menurut A. Hasjmy pada abad ke-16 dan 17M tokoh-tokoh ulama Syiah dan
Sunnah silih berganti datang ke Aceh dari semenanjung Tanah Arab, Parsi dan India dengn
tujuan memperkuatkan golongan masing-masing. Tiga ulama Arab dan Parsi telah
mengunjungi Aceh, dua orang beraliran Sunnah dan seorang penganut Syiah ghulat.
Peristiwa ini berlaku pada abad ke-18M ketika Sultan Ala’udin Riayat Syah memerintah
antara tahun 989-995H / 1581-1587M. Ulama Syiah berkenaan ialah Shaykh Abu al-Khayr
Ibn Hajar. Beliau membawa fahaman wujudiyyah dan a’yan al-thabitah dan telah disambut
baik oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani. Dua ulama aliran Sunnah ialah
Syeikh Muhammad Yamin dan Muhammad Jilani bin Hasan (bapa saudara kepada Nur al-
Din al-Raniri) yang datang dari Gujerat. Syeikh Muhammad Yamin membawa ajaran
wahdatul syuhud yang bertentangan dengan Abu al-Khayr. Ajaran ini diterima oleh Nur al-
Din al-Raniri dan Abd. Rauf Singkel dan pengikut mereka. Kedua-dua ulama’ Sunnah ini
telah menyanggah ajaran Abu al-Khayr sehingga menimbulkan pergeseran. [25]
Pertembungan ini telah melarat di mana Nur al-Din dan ‘Abd Ra’uf telah menentang ajaran
wujudiyyah yang dibawa oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani. Hamzah
Fansuri telah menghasilkan karya Ruba’i Fansuri dan Syamsuddin Sumaterani menulis
karyanya Syarh Rubai Fansuri dan Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi yang mengandungi
ajaran martabat tujuh. Syamsuddin Sumaterani telah dilantik sebagai kadi semasa
pemerintahan Sultan Ala’udin Riayat Shah IV (1598-1604M), namun beliau tidak berjaya
mengembangkan ajarannya. Nur al-Din al-Raniri menjadi kadi dalam kerajaan Sultan Ali
Mughayat Syah Iskandar Thani (1636-1641M). Sebelum perlantikannya, pengikut
wujudiyyah telah memulakan kekacauan di Acheh. Kerana faktor ini, Nur al-Din al-Raniri
menasihati Sultan supaya mengambil tindakan keras dan menekan fahaman wujudiyyah.
Hasilnya sultan mengarahkan semua karya wujudiyyah dibakar. Kitab-kitab Hamzah Fansuri
dan Syamsuddin Sumaterani dibakar di Masjid Bayt Rahman. Malah dilaporkan berlaku
pembunuhan kejam ke atas penganut wujudiyyah atas arahan pemerintah. Selepas itu
ajaran wujudiyyah dikatakan terus berkembang dalam kerajaan Acheh khususnya di bawah
pemerintahan empat orang ratu khususnya selepas kematian kadi Syeikh ‘Abd Ra’uf Syiah
Kuala pada tahun 1695M, sehingga melibatkan campur tangan Syarif Makkah. [26]
Berdasarkan perbincangan di atas, tulisan ini sekurang-kurangnya telah cuba menunjukkan
kewujudan pengaruh Syiah bermula sejak pemerintahan Bani Umayyah lagi. namun
pandangan tersebut memiliki beberapa kelemahan, disamping perincian tentang sejarah
serta pengaruh Syiah di kawasan tersebut tidak dapat dijelaskan dengan nyata. Namun
kenyataan ini tidak menolak bahawa aliran Syiah juga turut meresapi perkembangan Islam
di Alam Melayu secara individu. Kewujudan kerajaan Perlak sebagai negara pertama Syiah
pada 840M yang dikemukakan oleh A. Hasjmy dan M Junus Jamil tidak dapat dibuktikan
dengan jelas kerana bertentangan dengan sumber-sumber nasab dan arkeologi. Ia boleh
dianggap sebagai sumber tidak memiliki autoriti walaupun popular di kalangan sarjana.
Merujuk kepada fakta yang lebih jelas, aliran Syiah boleh dikatakan bermula berkembang
menerusi ajaran wujudiyyah dan tasawuf falsafah yang lain selepas ketibaan Syeikh
‘Abdullah ‘Arif ke Alam Melayu pada abad ke 12M. Kenyataan ini membuktikan bahawa
Sunni merupakan aliran terawal tiba dan menguasai beberapa kerajaan di Alam Melayu
sebelum diresapi oleh Syiah.
Syiah Berkembang menerusi Aliran Tasawwuf:
AH Johns, Azyumardi Azra dan beberapa sarjana lain sepakat menyatakan Islam di Alam
Melayu disebarkan menerusi peranan ahli sufi dan tasawuf pada abad ke-12M walaupun
Islam sudah bertapak sejak abad ke-7 atau 8M27. Sementara kaitan antara ajaran sufi dan
tasawuf yang disebarkan di Alam Melayu pada abad ke-12M oleh Syeikh ‘Abdullah ‘Arif dan
tokoh-tokoh sufi selepasnya dengan aliran Syiah menjadi fokus ramai para sarjana.
Sehingga wujud kesimpulan bahawa pemikiran dan budaya Syiah telah berakar umbi dalam
masyarakat Islam menerusi kegiatan tasawuf di Nusantara dan doktrin-doktrin yang
diajarkan oleh ahli sufi tersebut. Begitu juga dalam pengaruh ajaran Syiah dalam budaya
dan sastera Islam Melayu klasik yang turut melibatkan karya-karya tokoh sufi berkenaan.
Aspek yang sangat penting tidak boleh dipisahkan dalam perbahasan ini termasuklah
kedudukan keturunan Ahl Bayt atau sayyid-syarif yang merupakan kelompok utama
pembawa ajaran sufi yang terlibat dalam kegiatan tasawuf di Alam Melayu serta memiliki
peranan yang besar dalam penyebaran Islam di rantau ini. Sayyid Alwi al-Haddad
menyatakan golongan Ba ‘Alawi dari Hadhramaut menganut fahaman Sunni bermazhab
Syafie. Namun begitu, kalangan mereka merayakan beberapa perayaan Syiah seperti hari
haul para habib, menyambut hari kematian Husayn, mengamalkan ratib-ratib seperti ratib al-
Haddad dan sebagainya. Dalam masa yang sama kelompok ‘Alawiyyin ini memiliki
sebilangan yang besar menjadi penganut ajaran Syiah, menjadi ketua-ketua bagi markas
Syiah dan sejumlah besar dari kalangan menjadi intelektual syiah dan pakar bidang tasawuf
falsafah yang sangat intim dengan ajaran Syiah, sebagai contohnya keluarga al-‘Attas di
Malaysia pada masa kini. Mahayudin Yahya membuat kesimpulan bahawa golongan sayyid
dan ‘Alawiyyin merupakan penyebar ajaran Syiah pertama di Alam Melayu.
Para pengkaji mengenai kerajaan Perlak, Pasai dan keturunan sayyid yang berlegar-legar di
Alam Melayu tradisional, sering kali menghubungkan keturunan para sayyid ini kepada
Imam Jacfar al-Sadiq, iaitu Imam keenam bagi aliran Syiah Imamiyyah menerusi datuk
mereka bernama Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir. Jalaluddin Rahmat tokoh besar Syiah
Indonesia, mengatakan kelompok ‘Alawiyyin dari Hadhramaut sebenarnya bertaqiyyah di
sebalik ajaran Sunni [28]. Menurut pengarang Sayyid Muhsin al-Amin dalam kitabnya yang
terkenal, ‘Acyan al-Shicah -Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir sebenarnya merupakan penganut
Syiah Imamiyyah di Basrah dan memiliki dua riwayat dalam kitab al-Ghaybah karangan
Shaykh al-Ta’ifah Abu Jacfar al-Tusi [29]. Amin bin Ahmad al-Sa’diy menyatakan, setelah
berhijrah ke Yaman, Ahmad bin ‘Isa telah menghantar anaknya ‘Ubaydillah bin ‘Ahmad bin
cIsa mempelajari kitab rujukan terawal bidang tasawuf Qut al-Qulub dengan pengarangnya
sendiri, Abu Talib al-Makkiy (w. 386H) tokoh besar sufi di Makkah,. Dari sinilah ajaran sufi
berkembang di Tarim, Hadhramaut. [30] Dari sini juga ajaran sufi dan tasawuf falsafah
dibawa ke Alam Melayu.
Mengenai hubungan ajaran tasawuf falsafah dengan aliran Syiah, para pengkaji bidang sufi
dan tasawuf telah membuat kesimpulan bahawa ajaran sufi yang berkembang selepas abad
ke-2H atau ke9M, telah diresapi pengaruh falsafah asing seperti unsur-unsur Hinduism,
Buddhism, Neo-Platonism, Majusi dan Syiah Batiniyyah menerusi percampuran budaya di
Asia Barat. Ajaran sufi di dunia Islam dikatakan bermula di wilayah utara Khurasan, Parsi
oleh bekas penganut Hindu-Majusi dan Neo-Platonism yang memeluk Islam dan menjadi
Syiah. Malah salah seorang tokoh besar terawal sufi termasuk Jabir bin Hayyan merupakan
pengikut Imam Jacfar al-Sadiq. Justeru, tidak menghairankan Seyed Hossein Nasr
mendakwa bahawa Syiah merupakan punca atau asas kepada ajaran yang kemudiannya
dinamakan tasawuf [31]. Setelah kejatuhan Baghdad pada abad ke-13M muncul pula
tasawuf tarekat yang disandarkan kepada imam-imam Syiah sebagai wali dan qutb ajaran
mereka.
Kebanyakan pengkaji Alam Melayu yang mengaitkan bahawa ajaran sufi dan tasawuf serta
tarekat yang diimport dari Arab dan Parsi kebanyakannya dipengaruhi oleh ajaran Syiah,
khususnya aliran Syiah Batiniyyah yang pada asasnya tidak berbeza dengan aliran Syiah
Imam Dua Belas. Pengaruh Syiah dalam tasawuf dikatakan punca kepada berkembangnya
beberapa doktrin seperti Nur Muhammad, konsep Imam al-Mahdi – rijal al-ghayb
(penyelamat ummat), wujudiyyah, hulul wa ittihad, martabat tujuh, insan kamil dan
perayaan-perayaan seperti maulid rasul, bubur ashura’, oyak-osen dan lain-lain di dalam
masyarakat Alam Melayu tradisional. Christopher Marcinkowski menjelaskan Syiah memiliki
akar sejarah yang lama di Indonesia dan Malaysia terutama dalam falsafah kesufian dan
tarekat wujudiyyah termasuk beberapa aspek sastera Melayu klasik. Di Alam Melayu,
pengaruh pemikiran ini telah dibawa masuk oleh tokoh-tokoh pendakwah Islam di kalangan
ahli sufi dan tasawuf bermula abad ke-12M.
Pada tahun 1177M, Syeikh ‘Abdullah ‘Arif yang digelar wali Allah telah tiba di Aceh. Syeikh
Abdullah ini dikatakan turut terlibat menyebarkan Islam di Pattani dan negeri Kedah. Antara
sahabat beliau ialah dua orang tokoh sufi Sunni bernama Syeikh Isma’il Dafi yang
mengislamkan sultan Merah Silu di Pasai dan Burhanuddin yang menyebarkan Islam di
Minangkabau. Syeikh ‘Abdullah ‘Arif dan rakannya Syeikh Isma’il dikatakan pernah berguru
dengan tokoh sufi Sunni yang terkenal, Syeikh ‘Abd. Al-Qadir al-Jilani (1079-1166M) yang
bermazhab Hanbali. Pada masa tersebut doktrin al-hulul wa al-ittihad yang dipelopori oleh
Mansur al-Hallaj (w. 922M) telah berkembang di Asia Barat. Hulul bermaksud Tuhan dan
Manusia, meresap dalam satu tubuh sehingga dia bersatu (ittihad) dalam keadaan tidak
sedarkan diri atau mabuk (fana’). Mansur al-Hallaj juga terkenal menerusi doktrin Nur
muhammad atau Haqiqah Muhammadiyyah.
Perkara yang terpenting mengenai Syeikh ‘Abdullah ‘Arif ialah mengenai kitabnya yang
terkenal, Bahr al-Lahut yang dianggap oleh MahayudinYahya sebagai salah satu manuskrip
yang tertua ditemui di Alam Melayu. Kitab Bahr al-Lahut yang ditulis pada abad ke-12M
mengandungi doktrin Nur Muhammad, Insan Kamil dan fahaman Wahdatul Wujud yang
berasaskan konsep al-hulul wa al-ittihad. Doktrin-doktrin ini adalah sebahagian daripada
ajaran kosmologi Syiah yang telah dipopularkan oleh ulama’ tasawuf termasuk Ibn ‘Arabi
[32]. Mungkin perkara ini menyebabkan Syeikh Burhanuddin meninggalkan Syeikh ‘Abdullah
‘Arif dan menyebarkan Islam di Minangkabau.
Selanjutnya, Sunyoto menyokong pengaruh Syiah disebarkan di Alam Melayu menerusi
kegiatan tasawuf dengan bukti penglibatan tokoh-tokoh Wali Songo, terutamanya dua orang
tokoh Wali Songo yang bermazhab Syiah Imam Dua Belas, Sunan Kalijaga dan Syeikh
Abdul Jalil yang terkenal dengan nama Syeikh Siti Jenar. Kedua-dua tokoh ini dilaporkan
berbeza aliran dengan tokoh-tokoh Wali Songo yang lain yang dikatakan beraliran Sunni.
Sebenarnya beberapa tokoh Wali Songo dikaitkan berasal dari keturunan Ahmad bin ‘Isa al-
Muhajir, keturunan Imam Syiah yang keenam, Jacfar al-Sadiq. Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir
adalah penganut Syiah Imam Dua Belas. Menurut pandangan Jalaluddin Rahmat keturunan
Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir yang tersebar di rantau ini telah menyebarkan ajaran Syiah
berselindung di sebalik ajaran ‘tasawuf Sunni’ mereka.
Syeikh Siti Jenar (turut dikenali sebagai Lemah Abang) yang berasal dari Baghdad
dikatakan menganut fahaman bahawa Imam sepatutnya menjadi pemerintah tertinggi dalam
sesebuah negara. Doktrin ini berkait rapat dengan fahaman wujudiyyah yang diperkenalkan
oleh al-Hallaj. Syeikh Siti Jenar telah dihukum mati oleh Wali Songo yang lain kerana
pegangannya. Kesan yang diterima oleh Siti Jenar ini, Sunan Bonang seorang tokoh
moderat di kalangan Wali Songo telah mengemukakan -pilihan ketiga -iaitu dakwah
berasaskan teologi Sunni menurut budaya Syiah yang telah memberikan kesan yang besar
terhadap penduduk Islam di Pulau Jawa [33].
Pada Abad ke-17M, sewaktu pemerintahan Iskandar Muda di Aceh, pengaruh tasawuf lebih
meluas dengan peranan oleh dua orang tokoh ulama’ terkenal iaitu Hamzah Fansuri dan
Syamsuddin al-Sumaterani. Kedua-dua tokoh ini mempunyai kedudukan istimewa dalam
kerajaan Aceh. Kedua-dua mereka dilaporkan menganut fahaman wahdah al-wujud
berbentuk tasawuf falsafah yang telah diperkenalkan oleh Ibn ‘Arabi pada abad ke-10M.
Perkembangan ajaran ini pada masa tersebut telah benar-benar menanamkan pengaruhnya
bukan sahaja di kalangan rakyat jelata, bahkan sehingga menjadi pegangan rasmi
pemerintah. Akibatnya timbul sanggahan daripada dua orang ulama terkenal yang lain iaitu
Nur al-Din al-Raniri dan ‘Abd. Ra’uf Singkel yang membawa konsep wahdat al-syuhud.
Sanggahan ini dianggap tidak memberikan kesan kerana Nur al-Din sendiri sebenarnya juga
terpengaruh dengan pemikiran Ibn ‘Arabi.
Namun pada abad ke-18M pengaruh tasawuf telah beralih kepada aliran Sunni setelah
kemasukan buku-buku karangan Imam al-Ghazzali seperti Lubab Ihya’ Ulumuddin dan
Bidayah al-Hidayah. Bagaimanapun pengaruh Syiah-Tasawuf falsafi tidak pupus
memandangkan kitab-kitab al-Ghazzali telah diterjemahkan oleh Abdul Samad Palembang
menurut karya-karya tokoh-tokoh sufi falsafah seperti ‘Abd. al-Karim al-Jili, Ibn ‘Arabi juga
termasuk karya Syamsuddin al-Sumaterani sendiri. Selain itu Abd. Samad juga menganut
tarekat Khalwatiyyah bersama dengan Syeikh Muhammad ‘Arsyad al-Banjari. Kebanyakan
tarekat tidak pernah lepas menerima pengaruh Syiah kerana sanad-sanad tarekat mereka
sering kali dihubungkan kepada Imam-Imam Syiah sebagai wali-wali mereka.
Budaya Syiah dalam Masyarakat Islam Alam Melayu:
Kemunculan budaya Syiah muncul dan boleh dikesan menerusi beberapa aspek seperti
penghormatan terhadap Ahli Bayt, ritual-ritual agama dan sastera Melayu klasik. Penulis
memfokuskan tiga aspek yang utama di bawah:
(1) Penghormatan Terhadap Ahli Bayt:
Sesuai dengan kedudukannya yang terhormat dan dakwaan bersambung dengan nasab
Rasulullah s.a.w, golongan Ahli Bayt mendapat penghormatan yang tinggi di kalangan orang
Melayu tradisional sehingga kini. Perlu diingat yang berhak mendapat gelaran Ahli Bayt di
sisi Syiah hanya merangkumi Nabi Muhammad, ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husayn dan
mereka yang berkaitan dengan Husein selepasnya kerana Husayn mengahwini puteri raja
Parsi. Pada awalnya Syiah Imam Dua Belas dan Syiah Ismailiyyah Batiniyyah hanya
mengkhususkan anak-anak Husayn yang berketurunan Parsi sebagai Ahli Bayt dan layak
menjadi Imam mereka sebelum keduanya berpecah kerana masalah penentuan jawatan
Imam selepas kematian Imam keenam mereka, Jacfar al-Sadiq.
Justeru, anak-anak Husayn berpangkal nama sayyid-syarif yang bertebaran ke Alam Melayu
dikaitkan adalah keturunan Husayn (sedikit sekali berketurunan Hasan). Cara penghormatan
yang diberikan ini selari dengan ajaran Syiah yang mengutamakan Husayn yang menjadi
punca nasab Imam-imam Syiah selepasnya. Sebagai contoh di Singapura, golongan ini
dikatakan mempunyai kemampuan yang luar biasa seperti boleh memecahkan batu-batu
yang besar, menyembuhkan penyakit yang ganjil, dan lain-lain kekuasaan yang tidak ada
pada orang biasa. Dengan adanya sifat luar biasa itu mereka dianggap sebagai wali atau
ahli keramat yang sentiasa dipandang tinggi dan jika bersalaman tangan-tangan mereka
sering dicium dan dikucup [34].
Demikian juga ajaran-ajaran tarekat yang menghubungkan nasab syeikh-syeikh tarekat
kepada imam-imam Syiah sebagai wali bagi ajaran mereka. Kebanyakan tarekat memiliki
hubungan sanad ajaran mereka kepada Musa al-Kazim, Jacfar al-Sadiq sehingga kepada
‘Ali bin Abi Talib. Menerusi ruang inilah ajaran Syiah menembusi kebanyakan ajaran tarekat.
Oleh sebab tokoh-tokoh tasawuf yang datang ke Alam Melayu mulai abad ke-12M
berketurunan sayid dan mengajarkan ajaran tarekat maka menerusi inilah salah satunya
cara Syiah masuk ke dalam pemikiran orang Melayu. Maka tidak hairanlah dengan
kedudukan mereka yang didakwa bersambung keturunan dengan Rasulullah s.a.w,
mengajar ilmu tasawuf dan tarekat, golongan ini yang datang dari Hadhramaut mendapat
sambutan dan mendapat penghormatan yang sangat tinggi di mata masyarakat Melayu di
Nusantara. Mereka juga dijadikan sebagai tempat rujukan dalam bidang keagamaan oleh
masyarakat Melayu. [35] Perkahwinan dengan anak-anak raja berlaku sehingga
menghasilkan keturunan-keturunan beberapa raja negeri Alam Melayu seperti di Brunei,
Johor, Kelantan, Perlis, Perlis dan lain-lain.
(2) Ritual-Ritual Agama:
Perayaan pertama yang muncul dalam agama Syiah ialah memukul badan dan mengelar
badan-badan sempena meraikan kematian Husayn di Karbala oleh kelompok al-Tawwabun
yang terdiri dari penduduk Syiah dan Khawarij di Kufah. Tindakan mereka menyesali
perbuatan menulis ribuan pucuk surat kononnya menjemput Husayn bin ‘Ali r.a. untuk
dibai’ah sebagai Imam tetapi bertindak membunuhnya pada 10 Muharram. Perayaan ini
tidak pernah dikenali di dalam Islam sehingga muncul semasa kerajaan Fatimiyyah di Mesir
yang menyambut tarikh ini sebagai hari berdukacita dengan disajikan beberapa jenis
makanan dan para penyair pula melantunkan syair-syair sedih. Perayaan yang sama turut
disambut oleh puak pemerintah Bani Buwayh semasa pemerintahan Muciz al-Dawlah (352H
/ 963M). Di Nusantara acara ini disambut dengan nama tabut Hasan dan Husayn seperti
yang dilaporkan berlaku di Pariaman dan Padang. Istilah tabut yang dibuat seperti tandu
pada setiap 10 Muharram (hari cAshura’) telah dikenali. Dalam sambutan itu mereka
mengusungnya beramai-ramai sambil menyebut oyak-osein (Hasan-Husayn) dengan suara
yang kuat.
Di Jawa dan Makassar, bubur Ashura’ atau suro, dilaporkan menjadi lambang hari
perkabungan. Sultan Agung Hanjokro Kusumo Mataram telah menukarkan tahun Saka-Jawi
dan menyesuaikannya dengan tahun Hijrah dengan menamakan bulan pertama dengan
nama suro. Seorang pujangga Minang bernama Baginda Malim telah mengarang buku syair
Hikayat Husayn Berperang Dengan Raja Yazid dan syair itu telah dinyanyikan pada 10
Muharram. Lain-lain laporan menjelaskan amalan ini dinamakan ta’ziyah di kalangan
pengikut Syiah di Burma dan didakwa turut diraikan dalam bulan Muharram di kalangan
masyarakat Sunni di Arakan. Selain itu di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia terkenal
dengan masakan bubur Ashura’ pada bulan Muharram tanpa menetapkan tarikh 10
Muharram.
Dalam masyarakat Melayu Indonesia dan Malaysia seperti di Kedah, Perak dan Pulau
Pinang masyarakat turut meraikan persembahan boria. Faisal Tehrani dalam tulisannya
mengungkapkan:
“Boria adalah satu bentuk persembahan untuk mengenang kekejaman yang menimpa
cucunda Rasulullah saw di Karbala. Boria dibawa masuk oleh askar-askar yang berkhidmat
dalam rejimen ‘Syarikat Hindia Timur Inggeris’ yang berfahaman syiah. Mereka ditempatkan
di negeri-negeri Selat termasuk Pulau Pinang. Askar-askar upahan dalam kalangan India
Muslim ini akan diberi cuti sepuluh hari dalam bulan Muharam untuk meratapi kesyahidan
Saidina Husin” [36]
Di Alam Melayu beberapa ritual agama yang baru telah dibawa masuk oleh ajaran Syiah
seperti pembacaan kisah-kisah kelahiran nabi atau mawlid nabi, yang dilakukan kalangan
pengikut sufi sejak abad ke 19M. Dua karya maulid yang terkenal ialah Qasidah al-Burdah
oleh al-Busiri (w. 695H / 1296M) dan Mawlid al-Nabi oleh al-Barzanji (w. 1766M). Dalam
Qasidah al-Burdah terdapat ajaran Nur Muhammad contohnya dalam salah satu baitnya
berbunyi:
“…tanda-tanda kenabian yang dibawa oleh para yang mulia itu sesungguhnya masih
berhubungan dengan nur muhammad, nabi-nabi yang lain adalah bintang-kemintangnya
dan suria inilah yang menampakkan cahayanya bagi manusia dalam kegelapan”. [37]
Sementara dalam karya berzanji pula ditemui pada bait yang berbunyi:
“.. ku pohonkan semoga Allah cucurkan rahmat dan selamat kepada junjungan yang nur-nya
mula-mula dijadikan Allah di alam nyata. Nur berpindah-pindah daripada keturunan demi
keturunan yang semuanya keturunan yang mulia”.
Mawlid berzanji yang sering menjadi bacaan pada majlis mawlid nabi, cukur jambul dan
acara ini masih berkumandang dalam masyarakat Melayu Nusantara. Perayaan Mawlid
Nabi sendiri bermula pada zaman dinasti Bani Buwayh yang berfahaman Syiah berkuasa di
dalam kerajaan Bani ‘Abbasiyyah.
Antara ritual yang lain diresapi pengaruh Syiah di Nusantara ialah amalan ratib atau tahlil
arwah yang diamalkan oleh masyarakat Melayu termasuk di Malaysia. Dalam tahlil mereka
dimulakan dengan bacaan al-Fatihah kepada hadrat Nabi dan roh-roh si mati. Amalan ini
menjadi tradisi kepada penganut Syiah di Iraq sejak zaman berzaman. Dalam tahlil arwah
juga dibacakan oleh orang-orang Melayu, Ayat 33 daripada surah al-‘Ahzab yang diyakini
oleh orang-orang Syiah sebagai bukti keturunan ‘Ali dan Fatimah adalah maksum. Selain itu
orang-orang Melayu juga mengamalkan ratib Samman yang berbunyi, al-Hasan thumma al-
Husayn ibu ‘Ali, Fatimah ya aini. Perkara ini juga terdapat dalam doa-doa Melayu dan jampi
mantera di kalangan bomoh-bomoh tradisional. [38]
(3) Sastera Melayu Klasik:
Sastera Melayu klasik tidak dapat melarikan diri dari pengaruh Hindu-Buddha yang pernah
muncul sebagai pegangan orang-orang Melayu sebelum Islam. Dengan kemasukan Islam
dari Arab menerusi Parsi, pengaruh Parsi dan Syiah telah muncul di kalangan beberapa
karya Melayu Islam tradisional yang mencorak pemikiran masyarakat Islam di Alam Melayu.
Antaranya ialah Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Ali Kahwin atau Hikayat Fatimah, Hikayat
Nabi Mengajar Ali, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah, Nazam Ratap Fatimah, Hikayat Amir
Hamzah dan lagenda-lagenda lain. Wan Zailan menjelaskan hikayat-hikayat tersebut telah
mempropagandakan keagungan Ali, Fatimah dan Hasan serta Husayn serta pahlawan-
pahlawan Syiah. Keadaan ini turut mempengaruhi sastera dan kepercayaan orang Melayu.
[39].
KESIMPULAN
Berdasarkan kajian yang dikemukakan ini, jelasnya Syiah belum muncul sebagai kuasa
politik pada awal ketibaan ajaran Islam ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah, kecuali
menerusi penghijrahan kelompok ‘Alawiyyin secara berasingan yang mana pengaruh
mereka tidak dapat dikesan. Ini disebabkan oleh status kerajaan Perlak sebagai kerajaan
Syiah yang pertama pada 840M telah dipertikaikan oleh sarjana sejarah dan kehadiran ‘Ali
al-Kharisi bin Muhammad bin Jacfar al-Sadiq ke Alam Melayu tidak dapat dibuktikan secara
genealogi.
Aliran Syiah secara jelasnya dapat dikesan bermula sejak abad ke 12M menerusi dakwah
Syeikh Abdullah ‘Arif berasaskan kitabnya Bahr al-Lahut. Ini menjelaskan aliran syiah yang
pertama sampai ke Alam Melayu ialah fahaman Batiniyyah, bukannya aliran Imamiyyah.
Pemikiran Syiah Batiniyyah yang meresap ke dalam pemikiran tasawwuf seperti doktrin
wujudiyyah, hulul wa ittihad, Nur Muhammad, Insan kamil, rijal al-ghayb (imam mahdi) dan
beberapa aspek lain yang dibawa oleh ulama’ tasawuf dan golongan sayyid-syarif. Peranan
golongan sayyid-syarif dari Hadhramaut dalam penyebaran tasawuf falsafah yang berasal
dari ajaran Syiah Ismailiyyah Batiniyyah tidak boleh dinafikan memandangkan keturunan
tersebut menganut kepada aliran Syiah Imamiyyah pada peringkat awalnya dan telah
mengembangkan pemikiran tasawuf falsafah di Alam Melayu mulai abad ke-12M.
NOTA HUJUNG
[1] Mahayudin Yahya. Islam di Alam Melayu. hlm. 112.
[2] Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Sejarah Masuknya Islam diTimur Jauh, terj. S.
Muhammad DhiyaSyahab, Penerbit Lantera: 1997 Cetakan ke-3, hlm. 40.
[3] T. W. Arnold, The Preaching of Islam, London: Constable & Company Ltd. Second
Edition, 1913. Hlm. 364
[4] Zulkifli. 2009. The Struggle of The Shi‘is in Indonesia. Tesis Phd. Universiy of Leiden.
hlm. 3 https: / / openaccess. leidenuniv. nl / bitstream / handle / 1887 / 14017 / struggle
%20of%20shi%e2%80%98 is_ed_aug_3_09. pdf?sequence=1
[5] Umar Faruk Assegaf. Madhhab Ahl al-Bayt in Nusantara: The Past and Present. http: / /
anu. academia. edu / assegaf / Papers / 296698 /
madhhab_ahl_albayt_in_nusantara_the_past_and_present_
[6] Lihat AzyumardiAzra. Syiah di Indonesia: Antara Mitos dan Realitas dalam Syiah dan
Politik Indonesia, hlm. 13.
[7] Hamka, Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao, Penerbit Bulan Bintang: Jakarta, 1974.
hlm. 115.
[8] Ibid. hlm. 102.
[9] Hj Awang Mohd. Jamil Al-Sufri. Tarsilah Brunei Sejarah Awal dan Perkembangan Islam.
Pusat Sejarah Brunei Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan: Bandar Seri Begawan,
2001, hlm. 56.
[10] AzyumardiAzra, Islam di Nusantara Jaringan Global dan LokalJakarta: Penerbit Mizan,
2002. m. s 26.
[11] Muhammad Hasan al-Aydrus. Penyebaran Islam di Asia Tenggara AsyrafHadramaut
dan Peranannya. Penerbit Jakarta: Lantera 1996 hlm. 39.
[12] Tun Suzana Tun Hj. Othman. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Kuala Lumpur:
Media Sateria Sdn, Bhd. 2008 hlm. 92-96.
[13] SayyidAlwi al-Haddad. , hlm. 40.
[14] S. Q Fatimi. Islam Comes To Malaysia. Singapore: Malaysian Sociological Research
Institute Ltd. 1963, hlm 47.
[15] Sayid Alwi bin Tahir al-Haddad, hlm. 39-40.
[16] Lihat Memorandum daripada Majlis Syiah Malaysia kepada Yang Dipertuan Agong
Malaysia bertarikh 6 Jun 2011.
[17] A. Hasjmy, 1981, Adakah Kerajaan Islam Perlak Negeri Islam Pertama di Asia
Tenggara, dlm. Sejarah masuk dan Berkembangnya Islam di Indonesia. Acheh: P. t. al-
Ma’arif, hlm. 146-148.
[18] Kamis Ismail, Shiah dan Pengaruhnya dalam bidang Politik dan Tasawwuf Falsafah di
Alam Melayu, Tesis Phd Fakulti Sains Sosial dan kemanusiaan, UKM. 2003. m. s 147.
[19] Muhammad al-Dibaj bin Ja’far al-Sadiq memiliki tiga orang anak bernama Ali al-
Kharisiy, al-Qasim dan al-Husayn. Boleh jadi Ali bin Muhammad al-Dibaj ini merupakan Ali
al-Kharis ini. Menurut kitab Umdat al-Talib fi Ansab Al Abi Talib, Muhammad al-Dibaj
meninggal di Jurjan wilayah Parsi. Sementara Ali al-Kharis pernah mengunjungi al-Ahwaz
dan menjadi pengikut Imam Musa al-Kazim. Beliau telah meninggal dunia dan telah
dikebumikan di Baghdad. Lihat Ibn Anbah, Jamal al-Din Ahmad bin Ali al-Husaini. Umdat al-
Talib fi Ansab Ali Abi Talib dalam http: / / gadir. free. fr / Ar / Ehlibeyt / kutub2 / Umdatut_
Talib / umdatultalib / umdatultalib_038. htm. diakses pada 8 November 2011.
[20] Hasan Muarif Ambary. Menemukan Peradaban Jejak arkeologis dan Historis Islam di
Indonesia Jakarta. PT Logos Wacana Ilmu 2001. hlm. 56.
[21] Slamet Mulyana, Runtuhnya kerajaan Hindu Jawa dan timbulnya negara-negara Islam
di Nusantara, Penerbit Bharatara, Jakarta. 1968.
[22] Kamis Ismail, hlm. 162.
[23] Ibid.
[24] Kamis Ismail, hlm. 168.
[25] Khamis Ismail, hlm. 195-198.
[26] Ibid.
[27] Lihat Sumanto Al-Qurtuby. Arus-Cina-Islam Jawa, Bongkar Sejarah atas Peranan
Tionghoa dalam Penyebaran Agama Islam di Nusantara Abad XV&XVI, Jogjakarta:
INSPEAL. AHIMSAKARYA. 2003. hlm. 106-107
[28] Jalaluddin Rahmat. Dikotomi Sunni-Syiah Tidak Relevan Lagi dalam Syiah dan Politik di
Indonesia Jakarta Penerbit Mizan: 2000, m. s 144.
[29] Lihat No. 1473 dan 1474 mengenai Ahmad bin Isa al-Muhajir. Sayyid Muhsin al-Amin,
A’yan al-Shiah. Jil. 9, cetakan ke-2, Beirut: Matba’ah al-Insaf, 1960, hlm. 137.
[30] Lihat Amin bin Ahmad al-Sa’dy. al-Sufiyyah fi Hadramawt. al-Riyadh: Dar al-Tawhid li al-
Nashr, Cetakan Pertama, 2008. hlm. 79-81.
[31] Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali. Aliran Syiah di Nusantara: Perkembangan, Pengaruh
dan Kesan, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya 1994. hlm. 81.
[32] MahayuddinYahya, hlm. 101.
[33] Zulkifli, hlm. . 5
[34] MahayudinYahya, Sejarah Orang Syed di Pahang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. 1984 hlm. 16
[35] ParidahRamli. Orang Arab di Kedah. Tesis, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan
Malaysia. 1984. hlm. 46
[36] Lihat Artikel Dari Faisal Tehrani -'Sejarah Alternatif’ Dalam Ta’ziyeh (Iran) Dan Boria
(Pulau Pinang): Upaya Pemugaran Sejarah Yang Dinafi Penguasadlm. http: / / boriakita.
blogspot. com / 2010 / 10 / artikel-dari-faisaltehrani-sejarah. html diakses pada 14 November
2011.
[37] Wan ZailanKamaruddin Wan Ali, hlm. 71.
[38] Ibid, hlm. 87-91
[39] Wan ZailanKamaruddin Wan Ali, hlm. 79 dan Dr. Ismail Hamid. Peradaban Melayu dan
Islam, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. , 1985. hlm. 64-65 dan 70.
RUJUKAN
A. Hasjmy, 1981. Adakah Kerajaan Islam Perlak Negeri Islam Pertama di Asia Tenggara,
dlm. Sejarah masuk dan Berkembangnya Islam di Indonesia. Acheh: P. t. al-Ma’arif,
Amin bin Ahmad al-Sa’dy. 2008. al-SufiyyahfiHadramawt. al-Riyadh: Dar al-Tawhid li al-
Nashr, Cetakan Pertama,
Awang Mohd. Jamil Al-Sufri. 2001. . Tarsilah Brunei Sejarah Awal dan Perkembangan Islam.
Pusat Sejarah: Bandar Seri Begawan: Brunei Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan,
AzyumardiAzra, 2002. Islam di Nusantara Jaringan Global dan LokalJakarta: Penerbit
Mizan,
AzyumardiAzra. 2000. Syiah di Indonesia: Antara Mitos dan Realitasdlm. Syiah dan Politik
Indonesia, Jakarta: Penerbit Mizan,
Hamka, 1974. Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao, Penerbit Bulan Bintang: Jakarta,
Hasan Muarif Ambary. 2001. Menemukan Peradaban Jejak Arkeologis dan Historis Islam di
Indonesia Jakarta. PT Logos Wacana Ilmu
Ismail Hamid. 1985. Peradaban Melayu dan Islam, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Jalaluddin Rahmat. 2000. Dikotomi Sunni-Syiah Tidak Relevan Lagi dalam Syiah dan Politik
di Indonesia Jakarta: Penerbit Mizan,
Kamis Ismail, 2003. . Shicah dan Pengaruhnya dalam bidang Politik dan Tasawwuf Falsafah
di Alam Melayu, Tesis Phd. Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.
Mahayudin Yahya. 2001. Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Mahayudin Yahya, 1984. . Sejarah Orang Syed di Pahang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Muhammad Hasan al-cAydrus. 1996. . Penyebaran Islam di Asia Tenggara
AsyrafHadramaut dan Peranannya. Jakarta: Penerbit Lantera
S. Q Fatimi. 1963. Islam Comes To Malaysia. Singapore: Malaysian Sociological Research
Institute Ltd.
Sayyid Muhsin al-Amin, 1960. A’yan al-Shicah. Jil. 9, Cetakan ke-2, Beirut: Matbacah al-
Insaf,
Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. 1997. Sejarah Masuknya Islam diTimur Jauh, terj. S.
Muhammad Dhiya’ Syahab, Jakarta:. Penerbit Lantera Cetakan ke-3,
Sumanto Al-Qurtuby. 2003. Arus-Cina-Islam Jawa, Bongkar Sejarah atas Peranan Tionghoa
dalam Penyebaran Agama Islam di Nusantara Abad XV&XVI, Jogjakarta: Inspeal.
Ahimsakarya.
T. W. Arnold. 1913. The Preaching of Islam, London: Constable & Company Ltd. Second
Edition,.
Tun Suzana Tun Hj. Othman. 2008. Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja. Kuala Lumpur:
Media Sateria Sdn, Bhd.
Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali. 1994. Aliran Syiah di Nusantara: Perkembangan,
Pengaruh dan Kesan, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Ibn Anbah, Jamal al-Din Ahmad bin Ali al-Husaini. Umdat al-Talib fi Ansab Ali Abi Talib
dalamgadir.free.fr/Ar/Ehlibeyt/kutub2/Umdatut_Talib/umdatultalib/umdatultalib_038. htm
Zulkifli. 2009. The Struggle of The Shi‘is in Indonesia. Tesis Phd. Universiy of Leiden. hlm.
3 openaccess.leidenuniv.nl/bitstream/handle/1887/14017/ struggle%20of%20shi
%e2%80%98 is_ed_aug_3_09. pdf?sequence=1
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Teks PDF disini: www.ukm.my/nun/Artikel%20EDITED%20OK%20(PDF)/39%20305-
314%20Mohd%20Samsuddin%20&%20Azmul%20Fahimi.pdf