Buku Burung Dan Reptilia

Embed Size (px)

Citation preview

BURUNG SUDUPlatalea ajaja, Burung Sudu seakan-akan burung bangau, boleh didapati di kawasan-kawasan perairan seperti pantai-pantai di Caribbean, Amerika Tengah, Amerika Selatan, Teluk Pantai Amerika Syarikat, dan Mexico. Bulu Burung Sudu lazimnya berwarna putih. Namun, ada juga spesies yang berwarna merah muda. Warna merah muda ini terhasil melalui diet pemakanan harian yang terdiri daripada karotenoid pigmen canthaxanthin. Burung ini mempunyai kaki dan leher yang panjang dan mampu terbang. Spesies ini mencari makanan di tebing sungai dan di kawasan perairan yang cetek. Paruhnya yang berbentuk sudu membantunya untuk menapis makanan yang ditemui dalam lumpur. Antara makanan burung ini ialah krustasia, serangga, katak, dan ikan-ikan kecil. Burung Sudu membuat sarang di atas pokok renek dan hutan bakau. Burung Sudu betina bertelur antara dua hingga lima biji sahaja.

IBIS MERAHEudocimus ruber Burung Ibis Merah kebanyakannya mendiami pulaupulau dan pantai selatan Laut Carribean serta pedalaman daerah tropika Amerika Selatan. Bulu Burung Ibis Merah akan bertukar warna dari kelabu kepada merah apabila meningkat dewasa disebabkan oleh pigmen yang ada dalam krutasia yang dimakan. Burung Ibis Merah dewasa mempunyai ukuran sepanjang 56-61 cm dengan berat mencecah 650 gram. Burung ini membuat sarang di atas pokok dan bertelur antara dua hingga empat biji sahaja. Makanannya ialah katak, ketam, udang, dan reptilia kecil. Hayat burung ini boleh menjangkau sehingga 20 tahun usianya jika dipelihara, manakala jika dibiarkan hidup bebas hanya setakat 15 tahun sahaja.

BURUNG UNTAStruthio camelus Burung Unta ialah sekeluarga dengan Burung Emu, Kasawari, dan Kiwi. Habitatnya di kawasan tumbuh-tumbuhan yang jarang dan di kaki pergunungan. Burung ini hidup secara berkumpulan dan membuat sarang di dalam satu lubang yang cetek di atas tanah. Burung ini berkemampuan bertelur sehingga 20 biji dengan berat 1 hingga 1.5 kilogram sebiji. Telur-telur tersebut dieram selepas 42 hari menetas dan Burung Unta jantan akan menjaga anak burung tersebut. Sayur, daun, rumput, bijirin, dan serangga merupakan makanan utama mereka. Spesies Burung Unta mampu berlari sepantas 70 kilometer sejam.

BURUNG TEKUKURStreptopelia chinensis Burung Tekukur mudah didapati di kawasan hutan yang jarang dan terbuka serta kawasan tanah ladang. Burung Tekukur merupakan sekeluarga dengan Burung Merpati yang tirus dan berekor panjang. Panjang burung ini antara 28 hingga 32 sentimeter. Bahagian belakang, sayap, dan ekornya berwarna perang berbintik-bintik kuning. Tekukur jantan dengan Tekukur betina sukar untuk dibezakan kerana kedua-duanya mempunyai warna yang serupa. Burung Tekukur makan biji-biji rumput dan tumbuh-tumbuhan yang lain. Sarang-sarangnya boleh didapati di atas pokok, di tepi bangunan, atau di atas tanah. Burung ini mengeluarkan dua biji telur berwarna putih yang licin dan berkilat.

BURUNG RAJA UDANGHalcyon capensis Burung Raja Udang ialah nama umum bagi sejenis burung pemakan ikan. Terdapat 90 spesies burung Raja Udang di seluruh dunia terutama di daerah tropika di Afrika, Asia, dan Australasia. Sebahagian spesies Burung Raja Udang hidup berdekatan air, samada kolam, tasik atau sungai manakala sebahagian lagi hidup di pedalaman hutan. Burung Raja Udang memburu ikan, katak, dan serangga. Mereka akan bertenggek secara senyap di ranting kering atau di celah daun-daun berhampiran air supaya ia mudah menerkam atau menyelam ke dalam air untuk memburu mangsanya. Burung ini berkemampuan untuk menangkap mangsanya dengan tepat di dalam air. Mangsa dibunuh dengan cara memukulnya beberapa kali ke pohon pokok atau batu, sebelum dimakan. Burung ini bersarang dalam lubang tanah di tebing sungai, batang pohon pokok, atau sarang rayap. Ia bertelur antara 2 hingga 5 biji. Telurnya berwarna keputihputihan dan bentuknya hampir bulat.

BURUNG KUAKNycticorax nycticorax Burung Kuak boleh ditemui di Semenanjung Malaysia. Habitat pembiakannya di kawasan paya air masin atau air tawar seluruh dunia. Burung ini akan berdiri kaku berhampiran gigi air dan bersedia untuk menyerang hendap mangsanya terutama pada waktu malam. Burung ini memakan ikan kecil, katak, serangga air, dan mamalia yang kecil. Burung ini bersaiz 64 cm panjang dan beratnya mencecah 800 gram dengan mata berwarna merah, berkaki kuning pendek, dan berparuh tanpa gigi. Burung Kuak bersarang secara berkumpulan dan sering bertenggek di ranting pokok. Mereka bersarang atau berehat dalam bandar di bawah pokok rendang berhampiran jalan yang sibuk. Burung ini bertelur sebanyak tiga hingga lapan biji sahaja.

MAKAU SAYAP HIJAUAra chloropterus Burung Kakaktua ialah jenis burung hias yang memiliki bulu indah dan bersuara nyaring. Spesies burung ini hidup pada ketinggian 1,520 meter dari aras laut. Umurnya boleh mencapai hingga 60 tahun. Burung betina akan bertelur antara dua hingga tiga biji dan mengeramnya di dalam lubang pokok selama 28 hari. Anaknya yang telah menetas akan terbang meninggalkan sarang selepas 90 hari. Paruhnya sangat kuat sehingga mampu memecahkan bijirin keras dan mematahkan ranting kayu. Burung ini hidup berpasangan atau berkelompok dalam jumlah yang kecil. Habitatnya ialah di hutan tanah yang tinggi dan tepi hutan tinggi yang semak.

BURUNG HANTUBurung hantu merupakan spesies burung pemangsa yang aktif pada waktu malam dan mempunyai bentuk muka yang berbeza daripada burung lain. Muka burung hantu berbentuk rata seperti muka manusia dengan kedua-dua belah matanya menghadap ke hadapan. Burung ini dikelaskan dalam kumpulan burung tukang (nightjars). Burung hantu mempunyai paruh bengkok ke bawah yang tajam, dan mempunyai bulu jambul yang lembut. Kedua-dua jantina burung ini kelihatan serupa, walaupun burung hantu betina lebih besar berbanding burung hantu jantan. Makanan utamanya ialah haiwan mamalia kecil seperti tikus, cencorot, dan burung-burung lain. Mata burung hantu dapat melihat dengan baik dalam cahaya yang kurang. Burung ini juga dapat memusingkan kepalanya sehingga 135 darjah ke kiri dan ke kanan sekaligus membolehkan mereka melihat dengan pantas. Bagaimanapun, burung ini mengalami rabun dekat, maka ia tidak dapat melihat dengan jelas apa-apa benda yang berada di hadapannya.

Tyto alba (Burung Jampuk)

Strix seleputo (Burung Hantu Carik Kafan)

Ketupa ketupu (Burung Hantu Tumbuk Ketampi)

FLAMINGO BESARPhoenicopterus roseus Flamingo Besar hidup dalam kumpulan yang besar dan membina sarang di atas tanah secara berkoloni. Sarangnya diperbuat daripada tanah liat dan pasir yang berbentuk kon. Habitatnya di kawasan tasik, muara sungai, paya, dan tempat berair. Flamingo Besar mempunyai kaki dan leher yang panjang dan bermulut bengkok. Bentuk mulutnya yang bengkok sangat sesuai dengan cara pemakanannya. Ia akan menapis bahan-bahan makanan yang halus daripada air dan lumpur. Bulunya berwarna merah muda disebabkan oleh beta karoten yang terdapat dalam makanan yang dimakan seperti udang dan alga biru-hijau. Flamingo Besar akan tidur dengan berdiri sebelah kaki sahaja. Burung ini akan bertelur satu atau dua biji dan akan dieram selama 28-32 hari. Anaknya akan keluar sarang selepas empat hari dan akan mengikut induknya. Anak tersebut boleh terbang selepas umurnya 80 hari.

BURUNG BOTAK UPIHMycteria cineria Burung Botak Upih boleh didapati di Asia Tenggara, termasuk Kemboja, Vietnam Selatan, Malaysia, dan kepulauan di Indonesia. Habitatnya di dataran rendah, tasik, kawasan paya, kolam air masin, dan sungai hutan bakau. Burung ini mempunyai bulu berwarna putih kecuali pada kepak dan ekornya yang berwarna hitam-kelabu manakala kakinya berwarna merah pudar, dan kulit mukanya berwarna kelabu-merah tua dengan tompok hitam. Iris matanya pula berwarna coklat atau coklatkelabu manakala paruhnya yang muncung berwarna kuning pudar dengan warna putih di hujung paruh. Burung Botak Upih merupakan burung yang senyap dan hanya akan bersuara ketika bersama kumpulan sewaktu musim mengawan. Ia mengeluarkan suara desiran yang boleh didengar sejauh 75 meter, dan bunyi paruh berkelatak-kelatuk seakan-akan burung mengepak sayapnya semasa mengawan. Selepas membiak, burung ini akan berpindah apabila dikacau atau apabila musim hujan. Burung ini hanya bertelur sekitar 2-4 biji sahaja.

BURUNG BAYAN EKOR PANJANGPsittacula longicauda Burung Bayan merupakan salah satu daripada haiwan terlindung yang terdapat di Malaysia. Burung ini ialah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diseluputi bulu pelepah, dan berparuh tanpa gigi. Burung Bayan jantan dan betina mempunyai warna yang serupa. Burung Bayan hidup berkelompok. Burung ini memiliki kebolehan memanjat di dahan dan ranting pokok dan lebih banyak berjalan dari terbang. Ketika beristirehat, Burung Bayan menggantungkan badannya ke bawah. Makanannya terdiri daripada sayur-sayuran hijau, buah-buahan, biji-biji padi, dan beraneka jenis serangga kecil.

BURUNG ENGGANG PAPANBuceros bicornis Burung yang besar dan istimewa ini berwarna hitam di bulu pelepah dan jalur putih yang lebar di kepak dan ekor. Ia merupakan burung yang terbesar dan paling berat dan terdapat di Asia Tenggara sahaja. Habitatnya terdapat di hutan dari kawasan rendah hingga 1,500 meter tinggi dan kawasan bukit-bukau hingga ke kawasan pinggir laut. Lehernya berwarna kuning-keputihan dan tepi mukanya berwarna hitam. Burung ini mempunyai paruh yang besar dan kuat, melengkung ke bawah dan kelihatan aneh, bahagian atas paruhnya dikenali sebagai 'kaska'. Perbezaan antara burung jantan dan betina dapat dilihat dari segi warna paruh dan biji mata yang berlainan dan bulatan di sekeliling matanya. Ia bersarang di rongga pokok seperti spesies enggang yang lain. Sarangnya mempunyai celah supaya makanan dapat diberi kepada burung betina dan anak-anaknya. Makanannya ialah buah-buahan dan haiwan kecil. Ia mengeluarkan bunyi yang kasar dan bernada rendah.

ITIK BELIBISDendrocygna javanica Sejenis burung pemalu yang banyak terdapat di Thailand dan Malaysia terutama di kawasan sawah padi, tempat air bertakung dan sesetengah sungai. Kepalanya berwarna coklat, lebih gelap di bahagian belakang kepala dan tengkuk manakala bahu, dagu dan bahagian atas badannya berwarna coklat pudar. Berwarna hitam kemerahan di bahagian bawah badan, di bahagian atas ekor dan sayap. Merah tua dan tompok keperang-perangan di bahagian dada, kelabu-keperangan di bahagian rongga perut manakala bahagian sisi rusuk berwarna kelabu dengan sedikit jalur putih. Di bahagian bawah ekor berwarna putih manakala hujung paruh dan kaki berwarna kelabu. Panjang dari hujung paruh ke ekor adalah kira-kira 16 inci.

MERAK BIRUPavo cristatus Merak Biru merupakan satu daripada tiga spesies burung merak. Merak Biru mempunyai bulu berwarna biru gelap. Populasi Merak Biru banyak didapati di hutan terbuka dan padang rumput di India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, dan Bhutan. Burung jantan dewasa berukuran 230cm, dengan ekor yang panjang berwarna hijau. Di atas kepalanya terdapat jambul tegak berwarna biru berbentuk kipas. Burung betina pula berukuran lebih kecil daripada burung jantan. Bulubulunya berwarna coklat kehijau-hijauan dengan garis-garis hitam tanpa bulu ekor. Burung Merak jantan biasanya mempunyai pasangan lebih daripada satu. Pada musim membiak, burung jantan mempamerkan bulu ekornya di depan burung betina. Burung betina biasanya akan bertelur tiga hingga enam biji.

MACAW BIRU KUNINGAra ararauna Macaw Biru Kuning ialah burung yang mempunyai riwayat hidup yang panjang. Jangka hayatnya boleh mencapai 50 hingga 60 tahun. Burung Macaw ini termasuk spesies Burung Kakaktua. Rahang dan paruh mereka yang kuat membolehkan mereka memecahkan buah atau biji berkulit keras. Burung Macaw juga mampu menggunakan paruhnya untuk memanjat. Tempoh penetasan adalah antara 28-30 hari. Habitat burung ini ialah di hutan kayu terbuka, aliran air, hutan tanah rendah, dan hutan paya bakau. Burung ini bertelur antara dua hingga empat biji telur dan bersarang dalam lubang di atas pokok. Makanannya ialah bijian, daun-daun, buah-buahan, dan kekacang.

KASAWARICasuarius unappendiculatus Burung kasawari merupakan burung paling berat dan besar di dunia. Bagaimanapun burung ini tidak boleh terbang dan tidak mempunyai tulang dada seperti burung-burung lain.Burung ini sangat kuat dan dikatakan dengan satu tendangan sahaja terhadap pemangsanya seperti singa boleh mendatangkan maut. Burung kasawari betina mempunyai kelebihan mengenali telurnya sendiri walaupun telur-telur itu telah bercampur dengan telur yang dihasilkan oleh burung kasawari lain. Sebiji telur burung kasawari berukuran sama dengan 24 biji telur ayam dan mengambil masa selama dua jam untuk merebusnya. Burung kasawari boleh berlari sehingga 70 kilometer sejam, mengalahkan singa, harimau bintang dan hyena. Sikap burung kasawari yang suka memasukkan kepalanya di dalam lubang sebenarnya bertujuan untuk merehatkan lehernya selain menyembunyikan diri. Burung ini memakan buah-buahan, bijian dan tumbuh-tumbuhan serta cicak kecil yang terdapat di kawasan gurun atau kering. Burung kasawari boleh hidup sehingga 40 tahun.

BURUNG PUNAI EMASCaloenas nicobarica Burung Punai Emas merupakan burung merpati yang besar dan berat dengan panjangnya kira-kira 40 sentimeter. Ekornya amat pendek dan berwarna putih. Terdapat sebiji bonggol hitam pada pangkal paruhnya. Bonggol paruh burung betina adalah lebih kecil berbanding dengan burung jantan. Bahagian bawah burung betina juga berwarna lebih perang. Ekor burung yang belum dewasa berwarna hitam. Burung Punai Emas terbang dalam kumpulan. Biasanya, burung ini tidur di pulau-pulau kecil luar pesisir yang tidak mempunyai pemangsa dan menghabiskan waktu siang di kawasan-kawasan yang mempunyai lebih banyak makanan. Makanannya terdiri daripada biji, buah, dan sesetengah invertebrata. Burung Punai Emas bersarang di hutan tebal dan membina sarang ranting di atas pokok. Burung ini mengeluarkan sebiji telur pada setiap kali musim bertelur. Telurnya berbentuk bujur dan berwarna putih.

KERIA MAHKOTABalesrica regulorum Keria Mahkota (Jenjang) mempunyai ciri-ciri berupa paruh, leher dan kaki yang panjang. Bulu badannya berwarna hitam, putih dan merah serta mempunyai ukuran badan yang besar. Terdapat beberapa bahagian tertentu di kulitnya yang tidak ditumbuhi bulu. Bergantung pada sesetengah spesies, jumlah telur yang dihasilkan setiap kali bertelur antara satu hingga empat biji. Masa pengeraman telur sekitar 30 hari. Anak burung yang baru menetas tidak boleh terbang, tetapi boleh berjalan mengikut induk mencari makanan. Burung ini membuat sarang di atas tanah di kawasan sawah padi dan padang rumput. Burung ini merupakan burung pemangsa yangmemakan serangga dan haiwan kecil.

BURUNG CINTAAgapornis roseicollis Burung Cinta adalah species burung dari sembilan jenis spesies kumpulan Agapornis. Mereka adalah burung yang berukuran kecil antara 13 hingga 17 cm dengan berat antara 40 hingga 60 gram, dan mempunyai ekor yang pendek tetapi berparuh besar. Lapan daripada spesies ini berasal dari Afrika, manakala spesies Burung Cinta Kepala Abuabu berasal dari Madagaskar. Nama mereka diambil sempena kelakuan mereka yang selalu dilihat berpasangan. Sepasang Burung Cinta akan duduk berdekatan dan saling menyayangi antara satu sama lain.

BURUNG BANGAUBulbucus ibisBurung bangau ialah haiwan berdarah panas yang mempunyai sayap dan berparuh besar tanpa gigi. Tubuhnya pula diselaputi bulu pelepah. Burung bangau ialah burung yang suka berpindah-randah. Mereka hidup bersendirian atau dalam kumpulan kecil di kawasan sawah, paya, atau hutan paya bakau kerana makanannya mudah dicari di sana. Burung bangau besar lebih lumrah ditemui di pantai-pantai negeri Perak dan negeri Selangor Burung Bangau membina sarangnya dari ranting mati di atas pokok bakau setinggi 1.5 m hingga 6 m dari permukaan air. Sarangnya lebih kecil berbanding sarang Burung Kuak.

AYAM HUTANGallus gallus Ayam Hutan juga dikenali sebagai Ayam Denak, tergolong dalam spesies burung yang boleh didapati di Malaysia. Ayam hutan memakan serangga dan biji-bijian yang terdapat di sekitar habitatnya di pinggir hutan dan ladang kelapa sawit. Ayam ini ialah haiwan berdarah panas, bersayap, dan diliputi bulu pelepah pada badannya serta mempunyai paruh tanpa gigi. Pada musim bertelur, ayam betina akan membuat sarang di atas tanah dan mengerami telurnya hingga menetas. Anak-anak ayam hutan diasuh oleh ibunya. Ayam ini biasanya hidup berpasangan atau dalam kelompok kecil. Mereka tidur di atas ranting atau semak yang tidak terlalu tinggi. Tidak seperti ayam peliharaan, ayam hutan pandai terbang tidak lama setelah meninggalkan sarang tempatnya menetas.

AYAM PEGARLophura ignita Burung Pegar atau Ayam Pegar ialah nama umum dari kelompok burung Phasianidae ordo galliformes dan burung-burung jenis Kuak. Mereka dicirikan dengan sifat dimorfisme seksual yang kuat, warna spesies jantan lebih cerah dan pelbagai warna serta memiliki ekor yang lebih besar dan panjang daripada burung betina. Burung Pegar umumnya memakan biji-bijian dan serangga. Umumnya terdapat 35 spesies Burung Pegar di dunia. Namun yang paling popular dan disukai oleh para pecinta burung adalah spesies Pegar Emas yang sering dijadikan burung peliharaan di rumah. Burung Pegar adalah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah, dan paruhnya tidak bergigi. Burung ini membiak dengan cara bertelur dan telurnya bercengkerang keras.

KURA-KURAManouria emys Kura-kura telah pun wujud sejak zaman dinosaur lagi iaitu kira-kira 200 juta tahun dahulu. Sesetengah kura-kura diketahui hidup selama melebihi 150 tahun. Kura-kura boleh didapati di banyak tempat di dunia termasuk Malaysia. Kura-kura dikelaskan dalam kumpulan reptilia yang bertulang belakang (vertebrata). Saiz setiap kura-kura berbeza daripada beberapa sentimeter sehingga dua meter. Tubuhnya dilindungi oleh kerangka khas yang terbentuk dari rusuk mereka. Makanan utama mereka terdiri dari tumbuhan yang hidup dalam air seperti kangkung. Sebagai reptilia, kura-kura membiak dengan cara bertelur di dalam sarang yang dibinanya. Terdapat beberapa spesies kura-kura yang lain antaranya Kura-kura Telinga Merah (Trachemys scripta elegans), Labi-Labi (Amyda catilaginea), dan Kura-Kura Besar digelar Baning (Manouria emys ).

IGUANA HIJAUIguana iguana Habitatnya ialah di kawasan hutan hujan tropika di sepanjang aliran air seperti sungai atau batang air. Iguana Hijau ialah haiwan diurnal, bermaksud aktif sepanjang waktu siang. Haiwan ini mempunyai deria pendengaran dan deria hidu yang baik serta penglihatan yang tajam. Haiwan ini mempunyai jari berkuku yang panjang untuk membantunya memanjat dan menggenggam. Iguana Hijau memakan tumbuh-tumbuhan terutamanya daun-daun, buah-buahan, dan serangga. Iguana bersaiz sederhana akan bertelur dengan bilangannya antara 20 hingga 40 biji manakala bagi Iguana bersaiz besar akan bertelur melebihi 80 biji. Mereka bertelur di dalam lubang tanah. Selepas bertelur, mereka meninggalkan telur-telur tersebut dan apabila menetas anak-anak Iguana akan membesar tanpa penjagaan daripada induknya. Iguana Hijau boleh mencapai kematangan pada usia tiga tahun dan boleh hidup lebih daripada 20 tahun. Iguana diancam oleh kemusnahan habitat dan merupakan mangsa kepada industri binatang pemeliharaan. Penangkapan daripada habitat asalnya telah mengurangkan jumlahnya di hutan.

BUAYA TEMBAGACrocodylus porosus Buaya tembaga ialah spesies reptilia yang terbesar di dunia. Buaya jantan dewasa biasanya berukuran 4 hingga 5 meter tetapi boleh mencapai 6 hingga 7 meter panjang serta mempunyai berat 1000 hingga 1300 kilogram seekor. Buaya betina bersaiz lebih kecil dan tidak melebihi 3 meter panjang. Buaya Tembaga mempunyai rahang yang kuat dan mempunyai gigi sebanyak 64 hingga 68 batang. Buaya Tembaga merupakan haiwan pemangsa yang ganas. Buaya-buaya yang lebih besar boleh memakan apa-apa sahaja haiwan yang memasuki kawasannya seperti monyet, babi hutan, burung, lembu, kerbau, kelawar, dan ikan. Anak buaya memakan hidupan kecil seperti haiwan amfibia, krustasia, reptilia kecil, dan ikan.

BUAYA JENJULUNGTomistoma schlegelii Buaya ini boleh didapati di kawasan berpaya seperti paya air tawar, tasik berair jernih, dan sungai di Asia Tenggara. Buaya ini banyak terdapat di Thailand, Semenanjung Malaysia, Kepulauan Borneo, dan Kalimantan. Buaya ini bersaiz besar antara 5-6 meter panjang dan kepalanya berbentuk tirus ke arah muncung yang sempit manakala bahagian belakang badannya pula berwarna coklat gelap dengan jalur hitam yang kabur. Buaya ini mempunyai mata berwarna kuning coklat perang yang unik.

Buaya Jenjulung betina bertelur antara 30-60 biji. Buaya ini tidak meninggalkan sarangnya setelah telurnya menetas. Setelah berumur 90 hari anaknya akan meninggalkan sarang dan hidup berdikari.

ULAR SAWAPython reticulatu Ular Sawa ialah sejenis ular tidak berbisa yang suka hidup bersendirian. Kadangkala ular ini akan berpuasa selama berminggu-minggu. Ular ini bergerak lebih cepat di dalam air berbanding di atas darat. Mangsa biasanya terdiri daripada haiwan berdarah panas seperti tikus, rusa, dan babi. Ular sawa akan membelit mangsa hingga patah tulang-tulangnya sebelum menelan. Ular Sawa akan berehat di tempat yang melindunginya seperti lubang dalam tanah, lubang pokok, lubang batang kayu, dan banir pokok besar. Panjangnya antara 10 hingga 15 meter. Tempoh pengeraman telurnya selama 85 hari. Jangka hayatnya kira-kira 20 tahun jika berada bebas di habitat semulajadi manakala melebihi 20 tahun jika berada di dalam kurungan.