Kesan Isu Campur Tangan Ibu Bapa Secara Berlebihan Di Sekolah

Embed Size (px)

DESCRIPTION

qrwe

Citation preview

Kesan isu campur tangan ibu bapa secara berlebihan di sekolah

Secara amnya, campur tangan ibu bapa di sekolah adalah perlu bagi memastikan ibu bapa cakna akan keperluan dan perihal pelajaran anak-anak mereka. Namun kini, apa yang semakin membimbangkan ialah ibu bapa sering campur tangan secara berlebihan sehingga mengganggu tugas dan bidang kuasa pihak sekolah dalam mendidik murid-murid.Masalah ini turut memberi kesan yang serius terhadap emosi murid itu sendiri. Murid yang menghadapi masalah ini pasti akan berasa tertekan dan malu untuk berhadapan dengan guru dan rakan-rakan yang lain kerana sikap ibu bapanya yang terlalu masuk campur dalam urusan yang tidak sepatutnya. Anak-anak sebenarnya perlu diberikan ruang dan peluang untuk mereka berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu campur tangan yang berlebihan daripada ibu bapa. Sekiranya murid melakukan kesilapan dan dihukum, mereka seharusnya didorong untuk berfikir sejenak rasional hukuman tersebut dikenakan ke atas mereka. Setiap hukuman yang dikenakan bukanlah bertujuan untuk mendera sebaliknya ia merupakan suatu pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak akan berulang kembali.Selain itu, ibu bapa yang tanpa usul periksa terus menyerang pihak sekolah apabila anaknya didenda akan menyebabkan emosi anak mereka terganggu yang mana akan mendorong mereka untuk tidak mahu ke sekolah kerana tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan guru dan rakan-rakan sekelas. Murid pasti akan berasa seperti maruahnya tercalar apabila menerima pandangan sinis daripada rakan-rakan. Secara tidak langsung, minat mereka untuk belajar juga pasti akan berkurang. Kita pasti tidak mahu perkara ini terjadi kerana ia melibatkan masa depan murid-murid.Lebih teruk lagi, terdapat sesetengah murid yang memberontak kepada ibu dan bapa mereka kerana beranggapan ibu dan bapa telah memalukan mereka di sekolah. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan ibu bapa dan anak menjadi semakin renggang walaupun pada dasarnya ibu bapa berniat memelihara kebajikan anak mereka. Ibu bapa seharusnya bijak membezakan di antara sayang dan terlalu memanjakan anak. Pepatah ada menyebut, Sayang anak tangan-tangankan.Selain murid, guru juga turut menerima kesan daripada masalah ini. Tiada guru yang ingin melihat muridnya menghadapi kegagalan. Justeru, setiap sikap dan perbuatan yang dilakukan adalah demi kebaikan murid-murid. Apabila ibu bapa mula campur tangan secara berlebihan di sekolah, guru juga pasti akan berasa tertekan. Semangat mendidik pasti akan luntur apabila cara dan usaha mereka untuk mengajar murid-murid mendapat tentangan sepenuhnya daripada segelintir ibu bapa. Oleh itu, sebagai jalan pintas, guru hanya akan masuk ke kelas, mengajar sehingga tamat waktu dan keluar kelas. Perlulah kita sedari bahawa tugas guru bukan hanya mengajar tetapi tetapi juga mendidik. Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan. Beliau menyatakan bahawa mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai sentuhan emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar. Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan.Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pernah mengeluarkan kenyataan bahawa teknik mendidik dan mengajar guru kini adalah sama sekali berbeza berbanding guru zaman dulu. Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan menerima kepercayaan sepenuhnya daripada ibu bapa yang rela menyerahkan anak untuk dididik. Mereka tidak kisah anak dipukul kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini keadaan sama sekali berbeza. Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru terikat, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit.

Isu berkaitan peranan guru di sekolah seringkali dihangatkan dengan campur tangan daripada pihak ibu bapa dan penjaga. Jika diteliti tiada salahnya ibu bapa mahupun pihak penjaga bersama-sama membantu guru dalam menyalurkan didikan yang baik secara bekerjasama. Tetapi apa yang dilihat pada hari ini amat berbeza, di mana guru sewenang-wenangnya diperlakukan dengan tindakan di luar kawalan oleh ibu bapa pelajar. Insiden yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan 2 kes yang berasingan. Kejadian pertama adalah di Sekolah Menengah di Nibong Tebal, membabitkan pelajar berusia 16 tahun menampar pipi guru berusia 28 tahun. Kejadian berlaku berpunca daripada pelajar terbabit bersama dua rakannya tiba lewat ke kelas serta membuat bising, dan tidak mengindahkan teguran guru terbabit sehingga akhirnya guru menampar pipi pelajar tersebut. Akibat daripada rasa tidak puas hati, rakan salah seorang pelajar terbabit membalas tamparan guru tersebut. Di mana sikap hormat pelajar terhadap guru yang mendidik mereka selama ini. Adakah guru tidak mempunyai hak untuk menegur perlakuan pelajar pada masa kini. Begitu juga dengan kes yang membabitkan ibu pelajar menampar guru lelaki yang berusia 28 tahun. Kejadian yang berlaku di Perlis ini disebabkan ketidak puasan hati seorang ibu apabila anaknya ditampar oleh guru berkenaan. Hanya kerana mahu memperbetulkan masalah displin pelajar terbabit, maka tamparan adalah hadiah yang diberikan oleh ibu kepada guru.

Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak juga dilihat menjadi salah satu punca pelajar sama sekali tidak boleh dijentik, sehinggakan tindakan displin yang diambil oleh guru terhadap pelajar dilihat sebagai suatu bentuk penghinaan dan penyiksaan kepada pelajar terbabit. Ibu bapa juga tidak bersikap rasional, memandangkan mereka seharusnya menggunakan saluran yang tepat bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan bukan bertindak melulu serta mendengar aduan serta rungutan daripada anak mereka tanpa menyiasat kes tersebut. Agak jauh berbeza situasi dan tekanan yang dialami oleh guru pada suatu ketika masa dahulu jika dibandingkan dengan masa kini dalam era globalisasi. Ibu bapa pada masa dahulu sangat menyanjungi guru, sehingga sanggup memberi kebenaran seorang guru memukul anak mereka sekiranya berkelakuan tidak disenangi dengan tujuan mengajar anak mereka. Tetapi pada masa kini pelajar langsung tidak boleh ditegur, apatah lagi disentuh. Perkara seperti ini sedikit sebanyak akan memberikan tekanan kepada guru. Jika pelajar tidak mengindahkan nasihat dan teguran daripada guru maka secara tidak langsung akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berikutan tekanan yang dialami guru. Bukankah sepatutnya tahap pemikiran kita juga perlu berjalan seiring dengan perkembangan era moden yang dikatakan sebagai globalisasi ini? Di mana letaknya keterbukaan pemikiran mereka? Barangkali globalisasi ini hanya kita capai secara lahiriah tetapi tidak secara batiniah.

Mengapa ibu bapa terlalu bersikap pesimistik kepada guru. Adakah dengan tindakan melulu sebegitu dapat memuaskan hati ibu bapa. Mengapa tidak menggunakan saluran yang betul jika mereka masih tidak berpuas hati dengan guru tersebut. Guru adalah insan yang mulia, memberi didikan dan menyalurkan segala maklumat kepada pelajar. Tidak terfikirkah pelajar dan ibu bapa betapa besarnya pengorbanan guru selama ini. Jika tindakan seperti inilah yang diterima oleh seorang yang bergelar guru, maka tidak hairanlah mengapa masalah sosial saban hari semakin meningkat. Tiada lagi teguran yang dapat dilakukan oleh guru kerana ibu bapa tidak mahu anak mereka dikenakan sebarang tindakan jika melakukan kesalahan. Adakah dengan cara begini maka dapat melahirkan pelajar cemerlang. Fikirkanlah, sebagai ibu bapa mahupun penjaga, teguran dan dendaan yang dilakukan oleh guru adalah bertujuan mendidik pelajar, yang satu hari nanti akan menjadi pemimpin kepada bangsa dan negara. Apa yang dicorakkan pada masa kini adalah didikan untuk masa hadapan.---------------------------Aku pernah mengulas isu sebegini dalam entri yang terdahulu. Cuma, pada kali ini aku ingin sekali menggunakan perspektif yang berbeza dengan perspektif yang terdahulu. Aku ingin melihat dan mengulas isu ini sebagai seorang bapa bukannya sebagai seorang guru.

Sewaktu aku belajar pada tahun 1970 hingga 1980-an, settingnya berbeza dengan anak-anakku bersekolah pada tahun 1990 dan 2000-an. Pada ketika itu aku terpaksa ke sekolah dengan menaiki basikal sejauh empat setengah kilometer. Jalan tanah merah yang tidak cukup tua itu menyebabkan "malapetaka" kepada aku sewaktu pergi dan balik dari sekolah. Bila tiba musim kemarau, debu-debu merah akan mengusap rambutku. Manakala bila musim pejur kunjung tiba, tanah merah itu melekat pada mudguard basikalku menyebabkan aku terpaksa menyorong basikal.

Emak bapakku mengerah kederat tulang empat kerat di ladang mencari sesuap nasi buat panganan anak-anak. Pergi pagi dan pulang petang. Jarang sekali sempat melihat kerja-kerja sekolahku. Siap kah tidak kah, dia tidak sempat nak ambik kisah. Selepas usai solat Maghrib, kami mengaji Muqaddam dan Al-Quran. Sektar sembilan malam sudah masuk kelambu dan tidur. Cahaya kemerah-merahan daripada lampu minyak tanah yang meliuk-liuk ditiup bayu malam yang menerobosi lubang-lubang dinding yang diperbuat daripada papan dan atap nipah, menjadikan suasana paling tidak kndusif untuk belajar. Kalau aku nak belajar lebih larut malam, aku akan membeli sebatang dua lilin di kedai Pak Din. Itupun jarang-jarang!

Kebanyakan ibu bapa yang pernah melalui zaman kelam seperti yang pernah aku lalui kini sudah keluar daripada zaman "the dark ages". Masing-masing berazam untuk tidak membenarkan zaman kelam itu bertamu dalam kehidupan anak-anaknya. Lahir-lahir saja, semua kemudahan sudah disediakan dengan secukupnya di hadapan anak-anak. Ibu bapa begitu teruja untuk mengajar anak-anak belajar walapun usianya masih terlalu muda. Umpamanya Tadika seawal empat tahun... Ada yang sudah boleh membaca seawal lima tahun. Mengaji AlQuran serta boleh menulis jawi sebelum masuk sekolah lagi. Apa sahaja bahan-bahan pendidikan yang diajukan, jika tidak ada masalah kewangan semuanya dibeli.

Ibu bapa akan terus melaksanakan peranannya bagi memastikan anak-anak mendapat peluang belajar yang terbaik. Kelas tusyen, program motivasi dan sebagainya kekadang menjadi satu lagi eksesori pendidikan bagi memastikan anak-anak mendapat kejayaan yang cemerlang di sekolah dan dalam peperiksaan awam.

Justeru, anak-anak ditatang umpama menatang minyak yang penuh. Pergi balik sekolah dihantar dan diambil selama-lama bersekolah. Terlalu kecil angkanya yang mengayuh basikal atau berjalan kaki ke sekolah. Sebagai ganti, ibu bapa akan membelikan motorsikal apabila perkhidmatan bas sukar dijangka atau ibu bapa tidak berkeupayaan menghantar dan mengambil anak-anaknya.

Keadaan yang sebegini memungkinkan ibu bapa rasa tersinggung dan marah apabila anak yang ditatang-tatang itu dikatakan bermasalah di sekolah. Di hadapan ibu bapa anak-anak mereka dilihat sangat baik dan tertib. Jadi, bagi ibu bapa yang berkorban segala-galanya itu akan cepat panas kepada guru atau sekolah yang seolah-olah menidakkan peranannya sebagai ibu bapa yang berpelajaran dalam konteks mendidik anak-anak mereka. Oleh sebab itulah yang selalu melenting dan menyerang guru dan sekolah adalah daripada kalangan mereja yang dilihat berpelajaran. Sebaliknya ibu bapa yang kurang pelajaran masih menyanjung guru-guru dalam menyumbang kejayaan kepada anak-anak mereka. Bagi mereka, cikgu tidak punyai kemahiran dan kecekapan yang sewajarnya dalam menangani kerenah pelajar-pelajar masa kini.

Sikap sesetengah ibu bapa yang berasa lebih pandai berbanding guru di sekolah lalu menyerang sekolah dilihat satu tindakan yang sebenarnya menyerlahkan ketidakpandaian mereka sendiri. Tindakan tersebut akhirnya memerangkap diri kerana mereka sering kalah dalam mengurus antara akal dan nafsu. Hal ini kerana, rasa terlebih pandai itu menyebabkan seseorang itu melihat orang lain lebih bodoh daripada dirinya sebenarnya bermula daripada sikap keegoan yang hanya berasaskan runtunan hawa nafsu semata-mata. Kerana sepatutnya orang yang berilmu dan pandai itu akan semakin tawadhuk berdasarkan ilmu yang dia ada. Ia akan menjadikan seseorang itu lebih banyak berfikir sebelum bertindak. Kerana, dibimbangi tindakan yang dilakukan dengan membelakangkan akal fikiranakan menyerlahkan kebangangan mereka.

Akhirnya, berilah kepercayaan sepenuh-penuhnya kepada pihak sekolah dalam mengurus anak-anak kita. Percayalah tiada seorang guru pun dengan sengaja menjadikan anak-anak kita mangsa kepada sebarang tindakan yang tiada usul periksa. Jika seorang ibu bapa yang baik itu perlu berkemampuan memuji, memarahi, menyayangi, menghukum anak-anaknya, begitulah peranan seorang guru di sekolah. Janganlah musnahkan institusi pendidikan masteri ini sebagai medan perbalahan yang tidak sudah-sudah antara pihak sekolah dan ibu bapa. Jika kita beranggapan seorang anak itu tidak wajar menuturkan kata-kata yang kesat kepada ayah dan ibu, begitu jugalah mereka tidak wajar melalakukan perkara yang sama kepada guru-guru di sekolah. Kalau anak-anak menampar kita, apa tindakan anda sebagai ibu bapa?

Cabaran MendidikCuba kita renungi baris-baris akhir sebuah sajak yang cukup terkenal yang berbunyi;

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasaSegalanya dimulakan oleh seorang guru biasa,Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Sajak ini tentunya sudah biasa kita baca malah sering dideklamasikan setiap kali Sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sajak yang dihasilkan oleh Allahyarham Datuk Usman Awang, pasti membuatkan setiap insan yang bergelar guru terasa dihargai. Namun apakah perasaan guru apabila membaca baris-baris terakhir sajak yang diambil daripada artikel Pejuang dan Pengisi Kemerdekaan yang ditulis oleh Mohd Yusri Ibrahim ( Majalah Ehwal Pendidikan, Ogos 2007) yang berbunyi;

Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;Bermula dengan kegagalan guru kitaCuai mengasuh generasi muda.

Penulis yakin sajak ini bisa menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa dewasanya seseorang itu adalah dimulakan oleh seorang guru biasa, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para guru apabila hasil didikan tidak menjadi.

Dr Novandri Hasan Basri dalam tulisannya Buli Dan Masalah Sosial Pelajar : Satu Penyelesaian menyatakan bahawa dahulu masyarakat memandang tinggi terhadap guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu, ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru. Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai. Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru.

Tegas Dr Novandri lagi, dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi. Ibu bapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang. Mereka berjaya bertindak sebagai penyerap kepada permasalahan anak-anak mereka samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam masa yang sama, sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka. Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat penting.

Dr Novandri Hasan Basri juga menyatakan bahawa bahawa waktu sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini telah pun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Hal ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur ilmu secara formal sahaja (Jun 2003). Yusri Abdul Malek dalam artikelnya Displin Pelajar Bermula di Rumah pula menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah senjata utama mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap relevan lagi. Tegas beliau, kebanyakan ibu bapa yang berkerjaya dan bergaji besar serta berasal dari kampung bagaikan lupa peranan guru yang membantu kejayaan mereka hanya kerana anak mereka dirotan kerana kesalahan disiplin. Sebaliknya, mereka bertindak datang ke sekolah dan menyalahkan guru yang terbabit merotan anaknya. Hal ini sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.Terlalu banyak campur tangan dan akhirnya guru tiada kebebasan untuk bertindak menyebabkan masalah disiplin tiada noktah. (Harian Metro, 25 Mei 2006)

Adakah situasi ini berpunca daripada ibu bapa hilang kepercayaan terhadap guru-guru untuk mendidik pelajar-pelajar? Atau ibu bapa sendiri yang terlampau memanjakan anak? Realiti hari ini pelajar dimewahkan oleh ibu bapa sendiri. Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah para guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang apabila selesai sesi persekolahan. Tidak kurang yang memandu sendiri ke sekolah dan amat biasa murid memegang telefon bimbit. Kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik menyebabkan hormat mereka terhadap guru berkurangan. Guru sering dipandang rendah dan akibatnya mereka tidak takut untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga menjadi punca pelajar melawan guru.

Berdasarkan bancian oleh laman web utusan.com.my terhadap insiden guru menghukum atau mendenda pelajar-pelajar sekolah kerana kesalahan yang kian mendapat publisiti meluas media, ramai yang mengundi pernyataan Pelajar zaman sekarang terlalu dimanjakan sebagai sebab meningkatnya masalah disiplin di sekolah.. Undian ini merupakan undian tertinggi daripada lima pilihan. Jumlah undi tersebut adalah sebanyak 57.59% daripada 24084 undi ( data sehingga 30/7/2007). Hal ini mengambarkan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat mengakui bahawa masalah disiplin berkait rapat dengan tindakan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak mereka.

Jika diamati, pelajar hari ini yang juga terdiri daripada golongan remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku, antaranya pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam (vandalisme) dan merompak. Kes yang terbaru ialah sembilan orang pelajar perempuan yang membelasah seorang rakan mereka dan merakam gambar bogel mangsa. Perlakuan sebegini lazimnya tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Namun apabila nasi sudah menjadi bubur dan hal ini diketahui oleh ibu bapa pelajar-pelajar terbabit, mereka bertindak merayu bapa mangsa supaya menarik balik laporan polis yang dibuat. Mereka seolah-olah takut anak-anak mereka dihukum sedangkan hukuman wajar dijatuhkan terhadap pelajar-pelajar yang bertindak agresif dan di luar batas kemanusiaan itu.

Perkembangan terbaru kes ini ialah kesembilan pelajar ini telah memohon maaf daripada mangsa dan menyatakan penyesalan. Adakah dengan meminta maaf dan menangis, perbuatan yang mereka lakukan mudah dilupakan dan dimaafkan?. Apakah tidak mustahil mereka ini akan mengulangi perbuatan mereka terhadap orang lain? Mungkinkah segala-galanya hanya lakonan dan tindakan kepura-puraan sekadar untuk mengelak dikenakan hukuman yang berat? Apakah yang akan dilakukan oleh ibu bapa pelajar-pelajar terbabit seandainya anak-anak mereka dihukum dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak? Adakah mungkin ibu bapa menganggap bahawa hukuman tersebut adalah tidak adil? Bagaimana pula sekiranya yang menjadi mangsa adalah guru perempuan yang didendami oleh kumpulan pelajar ini yang mungkin cuba mendisiplinkan mereka?

Segalanya tidak mustahil berlaku kerana sesuatu yang tidak terduga oleh akal boleh dilakukan oleh pelajar-pelajar zaman ini. Berita penangkapan kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilirmenjadi buktinya ( Buletin 1.30,TV3, 5 Ogos 2007). Tentunya kejadian ini mengejutkan kita dan pasti menerbitkan rasa bimbang di hati para guru akan keselamatan diri. Masakan tidak, pelajar-pelajar zaman ini sudah berani melakukan apa sahaja tanpa memikirkan risiko yang bakal ditanggung.

Norhayati Md Said dalam tulisannya Kekurangan Guru Lelaki Amat Dirasai yang disiarkan di Berita Minggu , turut mengakui bahawa masalah disiplin ketika ini bukan boleh dibandingkan dengan zaman dulu. Masalah yang menghambat anak zaman sekarang terlalu berat, bermula daripada ponteng, menghisap rokok, samseng, pergaulan bebas lelaki wanita dan pelbagai masalah yang tidak terfikir akal boleh dilakukan anak zaman ini.Inilah cabaran hebat yang perlu ditanggung oleh guru ( Ahad, 29 Julai 2007). Cabaran yang hebat dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar boleh mematahkan semangat guru.Guru sering berada dalam keadaan dilema sama ada mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar atau membiarkannya sahaja. Guru menjadi serba salah kerana bimbangkan keselamatan diri. Kebimbangan guru ada rasionalnya. Guru bimbang sekiranya mereka mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah, mereka akan menghadapi risiko. Pelajar yang nakal ini berkemungkinan membalas dendam dengan cara mencederakan guru atau merosakkan harta benda guru seeprti mencalar kereta guru atau membocorkan tayar kereta guru. Pelajar-pelajar zaman ini berani mengambil tindakan terhadap guru-guru yang cuba mendisiplinkan mereka di sekolah. Buktinya,terdapat banyak kes pelajar melawan guru, mengugut guru , menumbuk guru, malah ada juga pelajar yang memukul guru walaupun hanya berumur 12 tahun.

Satu kes pernah dilaporkan oleh akhbar Harian Metro berkaitan seorang murid darjah enam yang membelasah gurunya dengan penyodok sampah pada 18 April 2006 kerana tidak puas hati dengan hukuman guru terbabit terhadapnya berikutan tidak menyiapkan kerja sekolah.Dalam kejadian tersebut , murid itu dimarahi oleh guru dan disuruh menyiapkan kerja rumah sambil berdiri. ( Harian Metro, 26 April 2006) Terdapat juga dua kes dalam tempoh satu bulan yang dilaporkan di Kedah .Kes-kes tersebut membabitkan kes pelajar memukul guru. Kes pertama , seorang guru perempuan di sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar oleh seorang pealjar tingkatan empat kerana menegur disiplin pelajar terbabit di perhimpunan pagi sekolah. Kes kedua pula,melibatkan seorang guru disiplin lelaki sekolah di Lebuhraya Sultranah Bahiyah. Guru tersebut dipercayai cedera di muka dan rusuk akibat tendangan ala kungfu oleh dua orang pelajar.Sebelum kejadian, guru yang berusia 39 tahun itu dikatakan menegur kedua-dua pelajar tingkatan lima yang terbabit yang dipercayai enggan menjalani pemeriksaan dan cuba melarikan diri (Harian Metro, 17 April 2006).

Kes yang berlaku di Negeri Sembilan pula melibatkan sembilan pelajar dan bekas pelajar yang cuba membakar sekolah. Tindakan pelajar-pelajar berkenaan dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan ke atas mereka. ( Utusan Malaysia. 23 Mei 2006). Semua itu hanya sebahagian kecil daripada kes-kes yang dilaporkan melibatkan risiko yang terpaksa ditanggung oleh guru kerana cuba mendisiplinkan pelajar.Akibatnya kini, guru sering berada di dalam dilema dalam membuat keputusan yang bersangkut paut dengan disiplin pelajar.Guru tidak mempunyai lagi kuasa veto untuk menghukum pelajar. Andai diteruskan bentuk hukuman yang sama seperti zaman dulu iaitu dengan merotan, pasti akan dipertikaikan biarpun yang melaksanakan hukuman itu guru besar atau guru disiplin sekalipun.

Bukan sahaja dibimbangi reaksi negatif pelajar atas hukuman yang dikenakan ke atas mereka tetapi respon daripada ibu bapa sering membatasi guru dalam menjatuhkan hukuman.. Terdapat ibu bapa yang lebih sedia menyalahkan guru daripada menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah melanggar disiplin sekolah. Mereka tidak percaya anak mereka telah melakukan kesalahan serius di sekolah. Faktor campur tangan ibu bapa turut mendorong ada guru mengambil sikap mendiamkan diri terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin.

Kes guru memukul pelajar sering menjadi topik media juga bualan hangat masyarakat. Kejadian guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa Pihak ibu bapa hari ini acapkali mencari jalan penyelesaian mudah bagi menangani masalah anak-anak mereka yang dipukul guru. Mereka lebih gemar berpaling kepada media sebagai perunding cara dan jalan penyelesaian segera. Sikap sebegini boleh dianggap tidak rasional dan tidak adil bagi para guru.

Dalam beberapa kes guru memukul pelajar, ibu bapa sering menjadikan pihak media sebagai tempat mengadu hal sedangkan jalan terbaik ialah ibu bapa mendapat keterangan dari pihak sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan. Seandainya ibu bapa cuma mendengar aduan anak mereka, sudah pastilah mereka akan menyalahkan guru yang memukul anak mereka. Keadaan ini pasti sering membawa kepada laporan negatif kerana mengikut perasaan marah dan dendam ibu bapa itu sendiri. Pihak media massa pula sering memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan dapat melariskan jualan mereka. kerana ada sesetengah media massa cuma mengutamakan keuntungan sahaja tanpa mengutamakan kenyataan yang betul. Ada waktunya murid yang dipukul hanya mengalami segaris luka tetapi perkataan sensasi yang sering digunakan ialah cedera. Guru digambarkan sebagai jahat kerana memukul murid sedangkan tidak diberi difokuskan kepada sikap murid terbabit sebagai punca dia dipukul.

Kes terbaru ialah kes pelajar mencekik guru. Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi yang telah mencekik seorang guru wanita selepas dimarahi, telahpun dikenakan hukuman buang sekolah. Bapa pelajar tersebut berasa kecewa dengan hukuman yang dikenakan ke atas anaknya yang disifatnya tidak wajar kerana anaknya tidak berpeluang untuk membela diri bagi menceritakan hal sebenar. Bapa pelajar itu menuntut agar pihak PPD menyiasat dengan terperinci dan tidak menyalahkan satu pihak. (Metro Ahad,29 Julai 2007). Saranan bapa pelajar itu supaya anaknya dan guru terbabit dipanggil untuk diberi keterangan memang ada asasnya. Malah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar sudah mengarahkan agar pihak PPD memanggil pelajar, guru yang menjadi mangsa, Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) selain polis untuk mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya pihak yang terlibat bermuzakarah untk menyelesaikan masalah.( Berita Minggu, Ahad, 29 Julai 2007)

Walau bagaimanapun, tindakan bapa pelajar menggunakan media massa sebagai saluran untuk menegakkan keadilan adalah satu tindakan yang tidak wajar.Bapa pelajar itu cuba membuktikan bahawa anaknya tidak bersalah. Dalam kes ini,biarpun tindakan pelajar itu mungkin berpunca daripada kesilapan guru wanita itu yang mungkin terlalu emosi dan menggunakan kaedah hukuman yang boleh dipertikaikan kebolehlaksanaannya namun mengasari guru tetap merupakan satu kesalahan yang serius dan pelajar itu wajar dihukum. Sewajarnya, bapa pelajar itu bertindak bertemu dengan pihak pentadbir sekolah atau pihak PPD untuk berbincang. bukannya mengadu nasib kepada pihak media.

Penulis berpendapat bahawa hukuman buang sekolah adalah tindakan yang wajar.Kewajarannya boleh dilihat berdasarkan penjelasan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran ,Tan Sri Murad Mohd Nor .Menurutnya, jika pendekatan nasihat dan hukuman gagal, pelajar akan menimbulkan masalah lebih besar di sekolah. Apabila keadaan ini berlaku,lebih baik pelajar terbabit ditarik keluar ke tempat lain kerana jika kekal di situ, dia akan mempengaruhi pelajar lain. Tegasnya lagi, apabila pelajar dihantar keluar, ibu bapa merayu supaya anaknya diberi peluang. Tan Sri bersetuju dalam hal ini namun beliau juga mempersoalkan bagaimana pula dengan peluang anak orang lain yang mahu belajar? (Berita Minggu, Ahad 29 Julai 2007)

Perihal isu guru sendiri yang menimbulkan kontroversi, Tan Sri Murad Mohd Nor ketika membincangkan isu guru besar menampar murid dan warden menghukum pelajar berendam dalam kolam menegaskan bahawa kita patut sedar guru pada hari ini menghadapi banyak cabaran, terutama faktor luaran yang menekan mereka.Sebagai contoh, sikap ibu bapa terhadap guru. Walaupun 100 peratus tidak bersetuju dalam kes guru merendam pelajar-pelajarnya seperti yang berlaku di Sarawak, beliau meminta supaya masyarakat memikirkan niat baik guru berkenaan.Meskipun cara guru tersebut mendisiplinkan pelajar boleh dipertikaikan namun yang pasti pelajar yang melanggar disiplin sekolah adalah orang yang mementingkan diri sendiri dan tegas beliau, kelakuan ini harus dibenteras ketika di sekolah lagi.Kejadian-kejadian yang berlaku dan mendapat liputan meluas ini merupakan satu cabaran yang besar buat guru. Pastinya juga hal ini mampu membuatkan guru-guru berada dalam keadaan dilema. Niat untuk mendidik dan mendisiplin pelajar-pelajar dikekang oleh pelbagai faktor. Bagi guru yang pernah mengalami pengalaman buruk akibat cuba mendisiplinkan pelajar, berkemungkinan sudah serik atau trauma seperti yang terjadi kepada guru wanita yang dicekik oleh pelajarnya. Akhirnya berkemungkinan guru lebih berminat meneruskan pengajaran tanpa menghiraukan hal ehwal disiplin pelajar dan mengambil jalan keluar dengan tidak berbuat apa-apa apabila pelajar melanggar disiplin.

Penulis sendiri pernah melihat bagaimana seorang guru wanita masuk ke dalam kelas dan terus menulis sesuatu di papan putih tanpa menghiraukan pelajar-pelajarnya yang masih belum bersedia untuk belajar. Ada yang sedang berbual-bual di luar kelas, ada yang masih leka bermain di dalam kelas. Malah yang lebih menghairankan , ada pelajar kelas lain yang berada di dalam kelas tersebut tetapi masih meneruskan aktiviti mereka. Mereka tidak mempedulikan kehadiran guru. Hanya selepas lebih kurang 10 minit kemudian, dengan sendirinya pelajar-pelajar tersebut duduk di tempat masing-masing dan mengeluarkan buku dan membuat catatan. Walau bagaimanapun, masih ada pelajar yang tidak berbuat apa-apa tetapi hanya bersembang sahaja di dalam kelas.

Guru tersebut tidak boleh disalahkan kerana beliau pernah keguguran lantaran terlalu stress dan menghadapi trauma akibat perbuatan pelajarnya yang degil dan melawannya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Hal itu berlaku ketika beliau cuba untuk mendisiplinkan pelajar-pelajarnya. Selepas peristiwa itu, guru tersebut mengambil langkah yang lebih selamat iaitu dengan tidak terlalu emosi dalam menegur tingkah laku pelajar, sebaliknya membiarkan pelajar dengan hal sendiri.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar tidak menafikan bahawa kadang kala ada guru yang bertindak keterlaluan tetapi kebiasaannya setiap tindakan itu berpunca daripada perbuatan pelajar itu sendiri ( Berita Utara, 25 Julai,2007). Baru-baru ini berlaku kes seorang guru telah menumbuk pelajar perempuan.Menurut laporan akhbar, hal ini dikatakan berpunca daripada kata-kata kasar yang diucapkan oleh pelajar tersebut kepada gurunya. Malah pelajar mencabar guru tersebut untuk mengambil tindakan menumbuknya. Provokasi yang dilakukan oleh pelajar itu telah menghilangkan kesabaran guru itu.Pastinya guru tersebut terasa keegoaannya dan kredibilitinya sebagai guru tercabar dan diperkotak-katikkan oleh pelajarnya sendiri.

Pihak pentadbir sekolah haruslah memainkan peranan mereka dan membantu guru-guru agar dapat menumpuh cabaran dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Mereka hendaklah memastikan bahawa pada peringkat awal, guru-guru baru dan tidak berpengalaman tidak dibebani dengan tugas dan tanggungjawab yang besar dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar seperti menjadi guru disiplin atau warden. Kes merendam pelajar yang berlaku di Sarawak merupakan satu contoh yang boleh dijadikan iktibar oleh pentadbir sekolah.Guru yang berumur baru 27 tahun telah diberi tugas sebagai warden asrama. Tanggungjawab yang diberikan kepada guru muda ini tentunya amat berat.

Kemungkinan guru tersebut menghadapi tekanan dan akhirnya mengambil tindakan mengikut emosi.Mungkin tindakan merendam pelajar tidak berlaku sekiranya yang menangani masalah ialah guru yang lebih berpengalaman.Sebagaimana yang dinyatakan oleh Tan Sri Murad Mohd Nor dalam kes tersebut bahawa perbezaan umur antara warden dan pelajar tidaklah besar. Sarannya, biarlah warden yang menangani masalah pelajar membuang tuala wanita ke dalam tandas itu seseorang yang lebih berumur dan boleh bertindak sebagai ibu. Dalam hal ini, seharusnya pihak pentadbir sekolah memberi peluang kepada guru-guru baru untuk menimba pengalaman daripada guru-guru yang telah lama bertugas, terutamanya dalam hal-hal berkaitan cara dan kaedah menangani pelajar bermasalah dan tindakan yang wajar dalam mendisiplin pelajar. Biarlah mereka menjalankan tugas sebagai penolong atau AJK bukannya ketua dalam sesuatu tugas yang berat seperti tugas sebagai guru disiplin atau warden asrama.Selain itu, dalam usaha mempertingkatkan kualiti guru dan menyediakan guru dengan pelbagai ilmu pengajaran , perhatian juga harus diberi terhadap faktor rohani guru. Perkembangan staff untuk para guru dan wajib diadakan di sekolah hendaklah diisi juga dengan kursus-kursus motivasi. Bukan pelajar sahaja harus dimotivasi tetapi para guru pun perlu diberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang mendidik anak bangsa dengan niat yang ikhlas. Cabaran yang dihadapi oleh guru pada era globalisasi ini amat besar . Guru perlu dimotivasi supaya rasa cinta akan profesion mereka akan terus mekar di hati biarpun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh . Melalui cara ini, para guru akan lebih tabah menghadapi cabaran yang mendatang.

Dalam pada itu, kursus pengawalan emosi dan tekanan juga dapat membantu guru dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar.Adakalanya tekanan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. Dr. Robiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi. Namun , pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan (Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007)Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan. Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga diadakan. Biarpun para guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi bersama-sama terutamanya dengan guru-guru baru.

Lazimnya, guru-guru yang berpengalaman sedar bahawa penguatkuasaan peraturan sekolah perlu dilaksanakan dengan cara yang berhemah. Pelajar-pelajar sekarang mudah menentang sekiranya pendekatan yang digunakan guru bertentangan dengan jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menerima hukuman secara membuta tuli dan akan bertindak menentang. Sebagai contohnya, kes guru dicekik pelajar . Pelajar tersebut melaporkan kepada akhbar bahawa dia dan kawan-kawannya disuruh oleh guru supaya melakukan tekan tubi di kawasan laluan air tandas yang kotor. Jika benar sebagaimana yang dilaporkan, tentunya tindakan pelajar melarikan diri daripada hukuman itu merupakan sesuatu tindakan yang rasional dan logik.Masakan mereka sanggup melakukan tekan tubi di kawasan laluan air kotor. Bukan sahaja menjijikkan malah mungkin akan menjejaskan kesihatan.

Dalam hal ini, saranan Dr. Rubiah K. Hamzah, elemen perasaan dalam perlaksananaan peraturan seharusnya diambil perhatian oleh para guru. Menurutnya, untuk mewujudkan keserasian antara guru-pelajar, peraturan sekolah mestilah ada elemen perasaan.Peraturan saling berkait dengan emosi manusia, jadi perlu ada cetusan emosi di dalamnya.( Harian Metro, 6 Ogos 2007). Dalam erti kata lain, guru-guru perlu memasukkan elemen perasaan dalam melaksanakan atau menguatkuasakan sesuatu peraturan supaya pelajar akur.Ledakan perasaan yang mencetuskan masalah disiplin yang lebih besar dapat dielakkan.

Guru seharusnya diberi peluang untuk bernafas. Cabaran mendidik dan mendisiplinkan pelajar bukanlah tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya hanya menunding jari kepada guru setiap kali timbul masalah disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar. Kebimbangan Ruhaiza Rusmin yang dinyatakan dalam tulisannya Guru Emosi, Pelajar Melenting,ada benarnya. Beliau bimbang semangat berkobar-kobar guru akan merundum. Ditakuti sikap kurang ajar pelajar akan mencantas dedikasi guru memberi ilmu dan hal ini tentunya merugikan pelbagai pihak terutamanya ketika negara menuju Wawasan 2020.( Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007).Sesungguhnya tugas mendidik dan mendisiplin pelajar tidak harus hanya dihadapi oleh golongan guru dan pentadbir sekolah sahaja. Ibu bapa perlu menaruh kepercayaan kepada guru-guru tetapi tidak bersikap lepas tangan. Tanggungjawab mereka memberi kasih sayang dan didikan agama kepada anak-anak mereka harus dijadikan agenda utama dalam membentuk keluarga yang bahagia. Apabila anak-anak diasuh dengan baik dan diberi perhatian, usaha guru membudayakan ilmu lebih mudah dilaksanakan. Tentunya masalah disiplin pelajar tidak timbul malah misi disiplin sifar akan lebih mudah dicapai.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohamed Zakaria Mohd Noor ketika hadir majlis perasmian Siri Jelajah Kempen Menangani Gejala Displin Murid Di Sekolah turut menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga harus memainkan peranan penting dan tidak harus terlalu bergantung kepada sekolah dalam menangani masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar. Menururt beliau lagi, ibu bapa dan penjaga harus bekerjasama dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang disertai anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah ( Berita Harian, 19 Disember 2006). Yusri Abdul Malek juga mempunyai pendapat yang sama. Beliau menegaskan bahawa masalah disiplin ini bermula dari rumah, jika ibu bapa sentiasa mengambil berat, pasti anak mereka menjadi orang yang boleh diharapkan pada masa depan. Sarannya lagi, ibu bapa hendaklah menghentikan tuduhan, sebaliknya memastikan anak mereka tidak terbabit melakukan salah laku.Jika ibu bapa mampu mendisiplinkan anak di rumah, pasti anak mereka akan berdispilin di sekolah atau di luar rumah.(Harian Metro, 25 Mei 2006)

Siti Aishah Mahamad dalam tulisannya Pendekatan Mendidik Lebih Sesuai Atasi Masalah Remaja pula menekankan peri pentingnya pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Institusi dalam masyarakat seperti masjid atau surau boleh berfungsi dengan luas sebagai pusat pendidikan Islam bagi seluruh lapisan masyarakat terutamanya untuk menarik remaja mengikut cita rasa golongan itu seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Kelab Rukun Tetangga yang dibentuk di kawasan perumahan perlu mengenal pasti masalah dan membuat perancangan aktiviti berbentuk kebajikan atau mencegah kemungkaran seperti masalah remaja melepak lelaki perempuan dan melakukan perbuatan sumbang.Pihak KRT perlu menggunakan pendekatan mendidik sebelum menghukum atau memberikan hukuman yang membina.

Siti Aishah juga tidak mengenepikan peranan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tegasnya, NGO juga boleh membantu golongan remaja bermasalah ini. NGO boleh melaksanakan atau bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan atau mana-mana institusi dalam masyarakat setempat. Tuntasnya, jaya atau gagalnya usaha mendidik dan mendisiplinkan pelajar sepatutnya ditanggung bersama oleh semua pihak bukan terletak di bahu guru semata-mata.Dengan memastikan tugas mendidik dan mendisiplin pelajar adalah tanggungjawab bersama, masalah disiplin pelajar dan cara sekolah menanganinya tidak lagi menjadi isu dan tidak menimbulkan kesan negatif kepada guru , pelajar mahupun ibu bapa . Melalui kerjasama daripada pelbagai pihak, pasti para guru lebih mudah menempuh cabaran yang mendatang berbekalkan semangat juang yang tinggi. Akan terlerailah konflik dalaman yang dihadapi oleh para guru dan akan lebih mudahlah para guru berusaha menyusun langkah dan mengatur strategi meneruskan perjuangan dan memikul amanah Allah sebagai pendidik anak bangsa . Maka akan lahirlah modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang sebagai pewaris negara.