Upload
taufiq-xemo
View
223
Download
4
Embed Size (px)
Citation preview
UNIVERSITI MALAYSIA SABAHSEKOLAH SAINS SOSIAL
(AT10303 ISU-ISU SEMASA SAINS SOSIAL)
No soalan 8 : Bincangkan konsep 1 Malaysia dan sejauh
manakah tahap pengaplikasian nya terhadap masyarakat
Malaysia dalam memupuk kesepaduan ?
Nama Pensyarah : DR. AZIZAN HJ. MORSHIDI
Nama Tutor : CIK MARLIZAH
Nama Pembentang : MOHD TAUFIQ BIN JUMAT
(BA12110232)
Kelas Tutorial : Isnin (12 Pm – 1 Pm )
Tarikh : 10.12.2012
PENGENALAN
Negara Malaysia telah bebas daripada penjajah dan mendapat
kemerdekaan sepenuhnya pada 31 Ogos 1957. Kalimah kemerdekaan Malaysia
telah dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul
Rahman Putra al-Haj, di Stadium Negara. Beliau juga digelar sebagai “ Bapa
Kemerdekaan” kerana atas usahanya dan beberapa orang tokoh kemerdekaan
negara yang lain dalam usaha untuk mendapatkan kebebasan daripada penjajah
melalui cara perundingan dan diplomasi. Hasil daripada kemerdekaan yang
diperoleh, ia telah menjadi titik tolak bermulanya asas pembinaan sebuah negara-
negara bagi Malaysia atau nama dahulunya “ Malaya” dan bertukar nama kepada “
Malaysia” apabila bergabung dengan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963, sedikit
demi sedikit berkembang sebagai sebuah negara bangsa yang mempunyai
masyarakat berbilang kaum.
Malaysia telah menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang
ke 55 tahun dan ini melambangkan bahawa Malaysia sudah pastinya mempunyai
perkembangan daripada pelbagai aspek, termasuk pembangunan negara dan
pembangunan masyarakatnya. Melalui pemantapan dan gabungan dua aspek
utama, iaitu negara dan masyarakat dalam keadaan harmoni, ia sememangnya
mempengaruhi akan kemajuan dan arus pemodenan sesebuah negara. Namun,
teras utama dalam mencapai status negara bangsa yang Berjaya, perpaduan, dan
integrasi kaum merupakan aspek yang penting. Semenjak peristiwa hitam rusuhan
kaum pada 13 Mei 1969, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dan
pendekatan untuk memperkukuhkan perpaduan antara kaum agar ia tidak
mengganggu usaha pembangunan. Salah satu inisiatif yang dimaksudkan ialah 1
Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu Datuk
Seri Najib Tun Razak.
DEFINISI KONSEP 1MALAYSIA
Konsep 1Malaysia merupakan suatu konsep yang baru
dilancarkan di Malaysia pada tahun 2009 yang lalu. Ia merupakan lanjutan daripada
usaha kerajaan seperti pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara, Dasar
Pembangunan Nasional, Dasar Sosial Negara, dan seumpamanya agar sebarang
konflik perkauman dapat dielakkan serta pencapaian dapat dipertingkatkan. Asas-
asas yang ada dalam konsep 1Malaysia ini adalah untuk mencapai teras perpaduan
antara kaum di Malaysia supaya cita-cita negara untuk mencapai Wawasan 2020
sebagai negara yang berstatus maju tercapai dengan jayanya.
Di samping itu, ia diharap mampu untuk menyemarakkan lagi
semangat perpaduan dan persaudaraan untuk meneruskan agenda pembinaan
sebuah negara-bangsa yang berjaya. Selain itu, konsep ini juga menekankan sikap
penerimaan antara kaum di Malaysia agar semua pihak saling hormat-menghormati
antara satu sama lain dalam aspek budaya, bahasa, dan agama.
Ini selaras dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia yang ke-
6 berkenaan dengan konsep 1Malaysia, iaitu “1Malaysia adalah satu gagasan bagi
memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,
berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap
rakyat Malaysia” . Konsep 1Malaysia boleh dikatakan menjadi suatu model untuk
memperkasa perpaduan dan kesinambungan kepada pendekatan-pendekatan
sebelum ini yang pernah dilaksanakan oleh pihak kerajaan (PPM, 2009). Hasil
perpaduan yang dicapai akan dapat menjamin kestabilan, seterusnya mampu
membawa negara ke arah kemajuan dan pencapaian yang lebih tinggi bagi rakyat
dan negara. Jadi, konsep ini boleh diertikan sebagai satu strategi atau formula
untuk mencapai aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020
PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1MALAYSIA DENGAN
KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1Malaysia yang telah
dinyatakan, konsep 1Malaysia memiliki kelainan. Antara kelainan tersebut ialah
1Malaysia adalah gagasan bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara
ini tanpa mengubah identiti kaum-kaum tersebut, manakala konsep Malaysian
Malaysia pula adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan
kemasyarakatan 1Malaysia yang wujud itu. Keadilan yang dicanangkan dalam
konsep Malaysian Malaysia diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep
kesamarataan versi total.
Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep
1Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia.
Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan
hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia. Perpaduan yang
digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang
diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan
diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai
dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti
etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau
kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan di
kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum
yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat
menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
PRINSIP TERAS 1MALAYSIA
Terdapat tiga teras dalam 1Malaysia untuk memperkukuhkan
perpaduan dalam negara iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip
keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip tersebut adalah penting dalam memperkukuhkan
perpaduan nasional.
Prinsip pertama ialah prinsip penerimaan yang bererti semua
kaum rakyat Malaysia akan menerima, menghargai dan menghormati keunikan
setiap kaum di Malaysia dan juga menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan
yang patut dibanggakan oleh semua kaum walaupun keunikan setiap kaum adalah
berbeza daripada yang lain. Tujuan utama prinsip ini ialah semua kaum dapat hidup
bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam sebuah
negara. Secara langsungnya, seorang yang dapat menerima agama kaum yang lain
dapat menerima budaya dan cara hidup kaum yang lain kerana individu dan juga
sesuatu kaum.
Seterusnya ialah prinsip kenegaraan pula memupuk konsep
perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara. Prinsip ini telah
diterapkan semenjak dahulu oleh pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Madan
Perdana Menteri pernah mengadakan dasar-dasar untuk memupuk
menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam tempoh
pemerintahannya. Dasar-dasar diadakan ialah Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru
(DEB), Wawasan 2020 dan sebagainya. Perdana menteri sekarang, Dato’ Sri Mohd
Najib Tun Razak pula memperkenalkan konsep 1 Malaysia ini yang bertepatan
dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub
dalam perlembagaan persekutuan dan prinsip-prinsip rukun negara.
Prinsip keadilan sosial pula prinsip teras yang terakhir dalam
1 Malaysia dan amat penting bagi Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang
berbilang kaum. Prinsip keadilan sosial menuntut bahawa semua orang di negara ini
diberi hak yang sama dan keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan
aspek sosial tanpa mengira latar belakang atau agama mereka. Prinsip ini adalah
disokong oleh perkara 8 dan perkara 12 perlembagaan persekutuan. Perkara 8
dengan jelas mengiktiraf dan melindungi hak sama rata di sisi undang-undang bagi
setiap orang di negara ini dan ia dinyatakan di bawah fasal (1) perkara 8
perlembagaan persekutuan. Prinsip keadilan sosial juga menyaran kerajaan supaya
melaksanakan dasar kerajaan dan peruntukan perlembagaan untuk golongan yang
memerlukan.
Sebenarnya, prinsip yang terkandung dalam konsep
1Malaysia telah lama dipupuk dalam undang-undang di negara kita sejak
kemerdekaan. Konsep ini bukan sahaja diserap dalam undang-undang du negara ini
malah juga diserap dalam budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia. Konsep
1malaysia bukanlah semata-mata untuk segelintir golongan sahaja tetapi ia adalah
untuk semua masyarakat Malaysia yang berbilang kaum yang mempunyai latar
belakang dan cara hidup yang berbeza. Melalui konsep 1malaysia, perasaan tidak
berpuas hati tidak akan wujud kerana semua rakyat Malaysia adalah bangsa
Malaysia yang mempunyai satu hala tuju untuk mencapai kemajuan untuk negara.
NILAI-NILAI DALAM 1MALAYSIA
Terdapat 8 nilai dalam konsep 1Malaysia ini iaitu budaya
kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi,
pendidikan, integriti. Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke
tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian
masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan
diamalkan oleh rakyatnya. Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan
dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau
kemajuan. Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan.
Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan
penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi
menentukan kecemerlangan dan kejayaan. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia
sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang
terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.
Nilai yang kedua pula menerangkan bahawa setiap
perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka.
Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat
memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan
dugaan. Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk
kejayaan diri dan Negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta
tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik
mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi
wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-
perkara yang terdahulu. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji
kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif. Sikap
mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin
maju dan berjaya. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan
kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan
menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi
mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Nilai yang ketiga dalam konsep 1Malaysia pula ialah rendah
hati. Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam,
rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran
Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati
orang yang merendah diri. Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita
tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang
dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari
masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai
sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh
terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa,
keadaan dan tempat di mana kita berada. Apabila berada di luar negara serta
berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk
mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia,
tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.
Seterusnya pula ialah penerimaan iaitu nilai yang ke empat
dalam konsep 1Malalaysia. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara
yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan
akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu
perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala
toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau
sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima
dengan ketidakjujuran. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua
perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum
untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara
bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-
lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara
ini. Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan
secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan
masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik. Semua peluang seperti
pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil
mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira
jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan
bakat seseorang.
Nilai yang ke lima pula ialah kesetiaan. Prinsip kesetiaan amat
diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah
prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa
berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan
kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan
kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada
kewibawaan, keteguhan, kejayaan, dan kecemerlangan. Pengikut perlu
menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang
berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara
dua pihak. Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan
dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga
atau pemimpin. Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam
perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul
terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan. Kritikan dalam
usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang
baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak
mahu ditegur atau dikritik. Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan
melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu
berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan
dalam setiap perhubungan. Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa
sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada
cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering
mengambil kesempatan.
Nilai yang ke enam dalam konsep 1Malaysia ialah meritokrasi
iaitu satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi
memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk
memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang
kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan
pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab
Kerajaan untuk membantu golongan tersebut. Meritokrasi menekankan persaingan
secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang
berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan
prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan
memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Dalam aspek
pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui
tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria
yang ditetapkan. Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding
dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan
kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan
masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk,
perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. Prinsip meritokrasi membudayakan
masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.
Nilai pendidikan pula ialah nilai yang ke tujuh dalam konsep
1Malaysia. Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-
mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan
kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan
ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan
dan pengetahuan dari segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan
rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka. Sekolah aliran
kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India
hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti
bersama. Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah
menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu
Malaysia. Akhir sekali ialah integriti iaitu nilai yang ke lapan dalam konsep
1Malaysia. Integriti adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat
kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui
nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin
sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Bersikap jujur terhadap
sesuatu tindakan dan percakapan. Bercakap benar walaupun perkara yang
disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap
perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan
hasil yang sempurna. Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut
dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini
sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan
iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.
Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan
atau melalui saluran tidak sah. Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala
tindakan dan perlakuan.
KESAN
Gagasan 1Malaysia ini telah memberi banyak kesan kepada
negara. Kesan yang utama ialah perpaduan antara kaum di Malaysia dapat
dipertahankan dan dieratkan. Disebabkan negara kita yang berbilang kaum,
perpaduan adalah salah satu aspek yang amat penting untuk kemajuan dan
keharmonian negara. Namun begitu, untuk mencapai perpaduan antara kaum-kaum
ini, banyak halangan dan cabaran yang harus diatasi. Dengan adanya Gagasan
1Malaysia, perpaduan negara kita akan dapat dicapai. Rakyat dapat berkongsi
walaupun berbeza kaum. Sebagai contoh, semasa perayaan, semua kaum akan
meraikannya, walaupun ia bukan perayaan kaum tersebut. Hal ni secara langsung
dapat mengeratkan lagi perpaduan di dalam negara. Dengan wujudnya Gagasan
1malaysia ini juga dapat diterapkan amalan nilai-nilai murni seperti nilai hormat-
menghormati, kesederhanaan dan berbudi bahasa di kalangan rakyat yang
bertujuan untuk memupuk perpaduan kaum. Wujudnya perpaduan kaum ini, rakyat
akan dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Kesan yang kedua pula ialah Gagasan 1Malaysia ini dapat
mewujudkan keadilan sosial kepada semua rakyat Malaysia. Semua rakyat akan
diberi kemudahan asas, khususnya penduduk luar bandar dan golongan miskin.
Sebagai contoh, golongan miskin akan diberi bantuan sara hidup oleh Jabatan
Kemajuan Masyarakat. Oleh itu, rakyat pasti dapat menikmati keselesaan hidup
dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia.
Seterusnya pula ialah dapat membantu dalam kemajuan
ekonomi negara. Matlamat utama Gagasan 1Malaysia juga adalah untuk
melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap. Sebagai
contoh pewujudan dasar liberalisasi dan pemberian insentif kepada pelabur asing
yang telah dibuat oleh kerajaan akan dapat menarik lagi kedatangan pelabur-
pelabur asing untuk melabur ke dalam negara kita. Hal ini secara langsung akan
dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan
ekonomi rakyat dan negara.
Selain daripada itu, Gagasan 1Malaysia juga dapat
menerapkan nilai-nilai aspirasi kepada rakyat. Antara nilai-nilai aspirasi tersebut
ialah nilai budaya ilmu, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi. Nilai-nilai
tersebut adalah seiring dengan slogan `Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan'. Penerapan nilai-nilai aspirasi tersebut adalah penting untuk
menaikkan prestasi rakyat dan sekali jus memajukan negara kita.
Gagasan 1Malaysia ini juga dapat menaikkan imej negara di
peringkat antarabangsa. Negara Malaysia yang dikenali negara yang pesat
membangun ini akan dapat di majukan lagi dengan adanya gagasan 1Malaysia.
Gagasan 1Malaysia ini telah menjadikan negara kita lebih dikenali dan dijadikan
contoh oleh negara-negara lain. Kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira lapisan
masyarakat, harus berganding bahu untuk menjaga imej negara kita yang semakin
baik ini dan seterusnya menjayakan gagasan 1malaysia ini.
CABARAN
Dalam mencapai matlamat gagasan 1 Malaysia ini, sudah
tentu akan adan cabaran-cabaran atau halangan-halangan yang menghalang
daripada mencapai matlamat gagasan tersebut. Cabaran yang pertama yang dapat
dikenal pasti ialah terdapat segelintir anggota masyarakat yang tidak tahu langsung
mengenai konsep yang dilancarkan ini. Pihak kerajaan dilihat berusaha untuk
menyampaikan informasi dan maklumat berkaitan dengan konsep 1Malaysia,
seperti menubuhkan laman sesawang 1Malaysia yang mengandungi inti pati dan
informasi berkaitan, laman blog Perdana Menteri, pertandingan mencipta lagu
1Malaysia, pertandingan melukis poster bagi pelajar IPTA (Institusi Pengajian Tinggi
Awam), dan seumpama. Kerajaan juga telah membelanjakan jutaan wang Ringgit
Malaysia dalam penyediaan hadiah kepada pemenang, iklan di televisyen dan surat
khabar serta di papan iklan, kempen, dan juga seminar. Namun, ianya belum tentu
mencapai matlamat untuk menarik perhatian masyarakat keseluruhannya. Usaha
kerajaan ini juga tidak jelas dalam mencari golongan sasaran utama dalam
mempromosikan konsep ini agar sasaran utama akan mempengaruhi kelompok-
kelompok masyarakat yang lain. Di samping itu, tindakan kerajaan dalam
menggunakan arus media elektronik dan media massa dilihat tidak efektif dan
efisyen kerana walaupun maklumat dan informasi berjaya disebarkan, meskipun
tidak semua yang menonton, melihat, dan membacanya, namun ia hanya akan
mendatangkan kesan positif jangka pendek sahaja dan ini akan menyukarkan
pengetahuan serta pemahaman mengenai konsep 1Malaysia dicapai.
Implementasi kerajaan dalam melancarkan dan melaksanakan
konsep 1Malaysia sememangnya merupakan suatu inisiatif yang baik, namun boleh
dikatakan strategi dan pelan tindakan mereka tidak begitu memuaskan. Mengenai
usaha untuk mendidik dan menyemai perasaan kekitaan melalui konsep 1Malaysia
bukannya mudah. Ia memerlukan perancangan yang rapi dan memakan masa yang
lama. Hal ini kerana bukan mudah untuk mendidik masyarakat menuju ke arah
perpaduan dan mempunyai nilai-nilai murni. Ini disebabkan golongan masyarakat
adalah manusia yang mempunyai akal fikiran yang berlainan, dan juga mempunyai
hati dan perasaan. Mereka bukanlah sebuah robot yang boleh diprogramkan untuk
menurut sesuatu kehendak dan tujuan. Jadi, perancangan jangka pendek dan
dibuat secara tergesa-gesa akan membawa kepada hasil yang tidak akan mencapai
matlamatnya, sebaliknya ia akan membawa kepada signifikan yang negatif kepada
kerajaan, khususnya yang menjadi batu asas kepada penubuhan dan pelaksanaan
konsep 1Malaysia ini. Imej kerajaan akan tercalar jika konsep ini tidak memberi
sebarang perubahan kepada masyarakat dan negara; dan kerajaan akan menerima
kritikan daripada rakyatnya sendiri serta daripada negara dan masyarakat luar
akibat sambutan yang kurang memuaskan dan idea yang tidak begitu baik serta
banyak wang RM (Ringgit Malaysia) yang diguna-pakai bagi menjayakannya.
Terdapat segelintir golongan masyarakat yang mempunyai
persepsi negatif terhadap konsep 1Malaysia. Bahkan konsep ini dianggap sebagai
suatu propaganda daripada pihak kerajaan dalam usaha untuk menarik pengaruh
rakyat supaya mendapat hasil yang positif dalam pilihanraya akan datang. Mereka
yang bersikap negatif ini lazimnya terdiri daripada golongan yang menjadi
pembangkang kepada kerajaan dan dengan pandangan stereotaip terhadap
kerajaan, mereka sudah pasti akan menolak pendekatan kerajaan ini tanpa
mengetahui inti pati dan maklumat yang ada dalam konsep 1Malaysia.
Dalam pada itu, sebahagian masyarakat Malaysia juga dilihat
kurang begitu mengendahkan dan memberi perhatian kepada pelancaran dan
pelaksanaan konsep 1Malaysia ini. Mereka berpendapat bahawa konsep ini tidak
mempunyai perkaitan dalam kehidupan masyarakat. Kehidupan mereka yang sibuk,
kurang memberi perhatian kepada perkara yang dalam pandangan mereka
dianggap remeh ini. Jadi, persepsi yang negatif daripada segelintir golongan dan
sikap kurang ambil peduli daripada sebahagian masyarakat – bila tidak diambil kira
dan ditadbir dengan baik dan cekap – akan mempengaruhi rakyat Malaysia supaya
tidak memberi perhatian dan pelaksanaan terhadap konsep 1Malaysia ini.
LANGKAH-LANGKAH
Terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan untuk
menjayakan Gagasan 1Malaysia ini. Antaranya ialah dari aspek politik. gagasan ini
perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Pihak pembangkang
mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan
ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini
kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus
didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang
berpengaruh perlu bersifat global bagi mencari usaha ke arah pembangunan modal
insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus pemodenan dunia.
Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukan sahsiah yang baik
merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula
amat bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan
dan mendukung usaha ke arah pembentukan Bangsa Malaysia. Peristiwa hitam 13
Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin
mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga Bangsa Malaysia dapat
diperkukuh.
Aspek yang kedua pula ialah ekonomi. Melalui Gagasan
1Malaysia ini, kita dapat melihat penghapusan dasar “Pecah dan Perintah” yang
diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai
kemerdekaan. Meskipun sudah lama negara kita merdeka, namun kesan daripada
dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan 1 Malaysia ini, sektor
ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat.
Jika dahulu kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan,
kaum Cina memonopoli bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India
hanya tertumpu kepada bidang perladangan dan estet, kini pelbagai kaum mampu
menceburkan diri dalam bidang yang mereka mampu bangunkan. Monopoli bangsa
tertentu ini mampu dipecahkan menerusi dasar-dasar yang dibentuk oleh ahli-ahli
Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan negara. Dalam hal ini, bantuan
dan sokongan daripada kerajaan mampu memberi peluang dan suntikan semangat
kepada individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang yang
berpotensi untuk dimajukan. Kesannya, ekonomi negara mampu ditingkatkan oleh
rakyatnya sendiri yang membentuk gagasan 1 Malaysia.
Selain daripada itu, aspek pendidikan juga memainkan
peranan yang amat penting. Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang
berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan Dasar Pendidikan Negara perlu
memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1 Malaysia dalam diri dan mentaliti
pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan.
Secara definisi nya, konsep 1 Malaysia dalam pendidikan merangkumi
pembentukan sistem pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan
masyarakat amnya. Penghapusan dasar pendidikan yang hanya berkepentingan
kan sesebuah bangsa dan menafikan hak golongan tertentu merupakan matlamat 1
Malaysia dalam pendidikan. Persaingan yang sengit antara pelajar hari ini dalam
memperoleh peluang pendidikan yang lebih tinggi menuntut kerajaan dan Badan
Bukan Kerajaan (NGO) bertindak bijak dan saksama agar peluang yang diwujudkan
tidak menindas mana-mana pihak atau bangsa tertentu. Selain itu, pembentukan
satu jenis sekolah sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi
iaitu bahasa Melayu mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi
perhubungan antara kaumnya. Justeru itu, tindakan-tindakan seperti ini amat
membantu dalam melahirkan golongan pemimpin yang berfikiran kreatif dan
berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta.
Akhir sekali ialah melalui aspek agama dan kepercayaan. Hal
ini berlaku kerana, agama dan kepercayaan merupakan pengaruh terbesar dalam
menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan yang dilakukan oleh aspek
lain. Oleh sebab itu, 1 Malaysia dalam soal agama dan kepercayaan merujuk sikap
keterbukaan masyarakat dalam menerima dan menghormati prinsip dan amalan
agama sesebuah bangsa. Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian merupakan
agama yang menjadi anutan sebahagian besar masyarakatnya. Justeru itu,
sensitiviti agama dan perkauman perlu dijaga dan tidak boleh dipermainkan bagi
menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang seterusnya menidakkan kejayaan
gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjung mengunjungi yang
semakin diguna pakai semasa musim perayaan oleh masyarakat tempatan
merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami
sensitiviti sesuatu kaum seterusnya memupuk sikap saling menghormati antara
satu sama lain. Langkah muhibah ini mampu memperjelas secara rohani nya
konsep 1 Malaysia.
RUJUKAN
http://bmngaifen.blogspot.com/2011/11/gag asan-satu-malaysia.html (diakses pada
30 dis 2012)
http://kumpulan09.blogspot.com (diakses pada 28 dis 2012)
http://www.jomria.com/2012/09/kebaikan-gagasan-1malaysia.html (diakses pada 28
dis 2012)
Bahagian Penerbitan Dasar Negara . 2009 . Booklet 1Malaysia : Jabatan Penerangan
Malaysia
8 nilai dalam konsep 1 Malaysia – http://pmr.penerangan.gov.my (diakses pada 28
dis 2012)
AIZAT BIN KHAIRI.(2011). Konsep 1Malaysia dan Cabaran Pelaksanaannya ke Arah
Pemantapan Perpaduan sebuah Negara-Bangsa
Cabaran Belia Dalam Merealisasikan Gagasan 1 Malaysia-
http://siputsedoot2009.blogspot.com/2009/09/cabaran-belia-dalam-
merealisasikan.html (diakses pada 27 dis 2012)
Nilai Murni Yang Disemaikan- http://kumpulan09.blogspot.com/2010/08/perpaduan-
kaum.html (diakses pada 28 dis 2012)
1malaysia-Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan-
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/474-apa-
itu-1malaysia/7084-1malaysia-rakyat-didahulukan-pencapaian-
diutamakan.html (diakses pada 30 dis 2012)
Peranan Semua Kaum Dalam Menyemarakkan Semangat Gagasan 1malaysia-
http://www.jasa.gov.my/index.php/bm/media/koleksi-artikel/1-politic/387-
peranan-semua-kaum-dalam-menyemarakkan-semangat-gagasan-
1malaysia.html (diakses pada 30 dis 2012)