Upload
peyfen-tee
View
92
Download
10
Embed Size (px)
DESCRIPTION
aass
Citation preview
1.0 Maksud Tamadun
Maksud tamadun boleh diertikan dalam pelbagai konteks. Dari aspek bahasa Arab,
tamadun berasal daripada perkataan madain, mudun dan maddana. Hal ini membawa maksud
bahawa tamadun merupakan suatu kehidupan manusia yang semakin maju dari segi rohaniah dan
lahiriah atau pembukaan bandar. Rohaniah dapat dilihat dari segi agama, nilai hidup dan
sebagainya, manakala lahiriah merujuk kepada bandar, struktur tamadun dan lain-lain.
Namun begitu, tamadun dikenali sebagai civilization dalam Kamus Dwibahasa Oxford
Fajar Edisi Ketiga. Civilizatian berasal dari perkataan civitas dalam bahasa Greek. Hal ini
merujuk kepada pembukaan bandar. Dalam aspek bahasa Melayu, tamadun dianggap sebagai
kehidupan manusia yang dicirikan melalui kemajuan berunsurkan kebendaan dan aspek
pemikiran yang tinggi.
Bagi Ibn Khaldun, tamadun diertikan sebagai suatu kehidupan masyarakat yang menetap
di kawasan tertentu. Hal ini bermakna bahawa kehidupan masyarakat sesuatu kawasan berbeza
dengan kawasan yang lain. Misalnya, kehidupan masyarakat yang menetap di bandar berbeza
dengan kehidupan masyarakat yang tinggal di kampung ataupun kawasan pedalaman.
2.0 Pengenalan
Setiap tamadun mempunyai pelbagai kelebihan dan kekurangan yang menyebabkan
berlakunya interaksi di antara tamadun-tamadun. Tamadun-tamadun ini tentunya mempunyai
pencapaian dan keunikan yang berbeza antara satu sama lain.
Interaksi budaya yang berlaku iaitu bermula dengan proses pembudayaan yang
menggabungkan masyarakat berbilang etnik sebelum membentuk interaksi tamadun. Proses
interaksi ini membawa kepada perkongsian nilai, pemikiran, institusi dan keinsanan.
Terdapat pelbagai cara dan sebab berlakunya interaksi tamadun. Interaksi ini
kemudiannya akan melahirkan kesan positif atau negatif kepada tamadun-tamadun yang terlibat.
Namun, interaksi antara tamadun sebenarnya dapat mempertayakan tamadun daripada berbagai-
bagai aspek dan mengelakkan tamadun itu menjadi jumud yakni kaka dan kolot.
2.1 Konsep Tamadun Islam
Walaupun tidak didapati definisi yang khusus tentang Tamadun Islam yang pernah
dikemukakan oleh penulis-penulis, sama ada Ibn Khaldun dan yang lain – lain tetapi dapat
juga difahami apa yang dikatakan Tamadun Islam itu daripada kandungan dan huraian
yang telah diberi oleh ilmuwan dalam penulisan mereka.
Mereka menyatakan bahawa Tamadun merupakan segala yang dihasilkan oleh
fikiran orang Islam menurut wataknya dan panduan agama Islam sendiri, dan ini
termasuklah juga segala alat, perkakas dan sebagainya, yang pernah mereka hasil dan
gunakan sejak dahulu hingga sekarang.
Selain daripada bangsa Arab yang telah mengembangkan Tamadun Islam itu,
bangsa Sepanyol, Parsi, Turki, India dan bangsa yang lain yang berada di dalam
pemerintahan Islam turut sama member sumbangan penting dalam pembinaan Tamadun
Islam.
Disamping itu, dapat dibuat kesimpulan bahawa Tamadun Islam itu merupakan
suatu tamadun yang telah diadun dalam bentuk antara bangsa. Sifat ini dapat dibuktikan
daripada hasil-hasil pencapaian Tamadun Islam itu sendiri di dalam berbagai-bagai bidang
kemajuan, terutama sekali dalam bidang kesenian, dan ini termasuk juga senibina.
Berbagai-bagai bentuk hasil kesenian dan senibina adalah lahir daripada Tamadun Islam.
Adunan ini berpandukan kitab perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis yang
dilahirkan dalam satu bentuk tamadun pemikiran yang mempunyai sifatnya yang tersendiri.
Ini merupakan tamadun yang baru, melambangkan keperibadian Islam yang terus
berkembang untuk member sumbangan terhadap kehidupan manusia keseluruhannva.
2.2 Faktor berlakunya interaksi tamadun:
Interaksi tamadun berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh dilihat dari
pelbagai sudut. Secara umumnya, interaksi tamadun ini disebabkan sifat toleransi dan sikap
saling hormat-menghormati di antara tamadun. Manakala, secara khususnya, interaksi di antara
tamadun adalah berpunca daripada aspek seperti kepimpinan, sikap golongan agama, kedudukan
geografi, perkahwinan, perdagangan dan misi politik.
Faktor kepimpinan memainkan peranan yang amat penting di dalam proses interaksi
tamadun. Sifat pemimpin akan mempengaruhi proses interaksi yang dilakukan. Ini bermakna,
sekiranya pemimpin bersikap adil, bertoleransi dan menghormati kebudayaan lain, proses
interaksi akan berjalan dengan lancer yakni aman dan damai. Contoh interaksi tamadun yang
berlaku dengan aman ialah melalui pemimpin Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak menyekat
orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah.
Sebaliknya hak golongan ini dilindungi oleh undang-undang. Tetapi, sekiranya pemimpin
bersikap kuku besi, interaksi tamadun juga akan memberi kesan negatif. Antaranya, sikap tidak
bertoleransi Sultan shamsuddin Altamish di India terhadap penganut Hindu.
Seterusnya, faktor yang sangat banyak mempengaruhi proses interaksi di antara tamadun
ialah sikap golongan agama. Sikap golongan agama ini menjadi penentu kepada hidup
beragama secara harmoni di mana kerukunan hidup bersama-sama insan yang mempunyai
agama yang berbeza diterapkan. Dalam Tamadun Islam, golongan agama merupakan para ulama
manakala Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu, minoriti kasta Brahmin menjadi
tunggak kepada agama. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula didukung oleh sami
sementara paderi menguasai fahaman Kristian.
Sikap golongan agama yang berakhlak seperti yang dipamerkan ulama Islam di Alam
Melayu memudahkan proses interaksi dan Islamisasi berlaku. Mereka berjaya memberikan
tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar sehingga terbentuknya pendidikan formal
melalui institusi seperti pondok, pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Kesannya, Hamzah
Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan beberapa ulama lain terkenal di rantau Melayu.
Namun demikian, terdapat juga golongan agama yang mencetuskan konflik seperti
tindakan Paus Urban II yang mengadakan perjumpaan besarbesaran dengan penganut Kristian di
Perancis pada tahun 1095 M untuk memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim
kepada penganut Kristian. Konflik ini juga berlaku ketika pemerintahan Dinasti Han apabila
seorang pemerintah memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha.
Namun, konflik yang berlaku tidak menghilangkan kepercayaan dalam kalangan
masyarakat Asia kerana agama dan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi.
Seperti yang diketahui, sejarah sering menyebut tentang pentingnya kedudukan geografi yang
strategik dan menjadi laluan utama dalam aktiviti perdagangan. Hal ini juga turut memberi kesan
yang sama sehingga berlakunya interaksi tamadun. Contohnya, Tamadun China berinteraksi
dengan pelbagai tamadun lain kerana terdapat dua laluan utama iaitu laluan sutera yang
menggunakan jalan darat dan laut.
Laluan sutera darat menghubungkan China dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang
hingga ke Peking. Manakala, laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India,
Kepulauan Melayu hingga ke Canton di Tenggara China. Kedua-dua laluan ini membolehkan
negara-negara terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Pelabuhan Melaka
juga terkenal kerana kedudukan geografinya yang strategik dan terlindung dari angin monsun.
Pelabuhan ini menjadi tumpuan dan persinggahan para pedagang. Aktiviti perniagaan berlaku di
Pelabuhan Melaka disebabkan ramai pedagang yang singgah.
Dalam pada itu, perkahwinan juga antara faktor penting dalam proses interaksi tamadun.
Contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dan Puteri Pasai dalam kalangan golongan
bangsawan dan pemerintah. Di rantau Alam Melayu juga, berlakunya interaksi di antara
penduduk tempatan dengan pedagang Arab dalam tempoh mereka bermukim di situ sementara
menunggu angin monsun. Perkahwinan ini juga membawa kepada Islamisasi kerana gadis
tempatan perlu diislamkan terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pedagang Arab. Malahan,
ahli keluarga gadis tersebut juga turut sama menerima Islam dalam kehidupan mereka.
Hubungan perdagangan di antara Arab dan China memang membuktikan
perdagangan sebagai factor yang menyumbang kepada berlakunya interaksi. Hubungan
kedua buah Negara tersebut bermula sejak 3 Masihi lagi. Malah, pedagang Arab dan
Parsi membina penempatan di Kwang Cho (Canton), Chang Chow dan Chuan Chow.
Masjid turut didirikan di Guang zhou yang membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah
tersebut.
Alam Melayu turut berinteraksi dengan Arab secara tidak langsung apabila
pedagang Arab singgah sementara menunggu angin yang sesuai sebelum ke China.
Catatan Marco Polo tentang pengislaman Perak pada tahun 1292 M menunjukkan
berlakunya proses Islamisasi. Selain itu, Tamadun India berinteraksi dengan rantau Melayu
sejak kurun pertama Masihi lagi di mana nama wilayah Asia Tenggara seperti yang tercatat di
dalam kitab Ramayana seperti Suvarnadvipa1 dan Suvarnabhumi2.
Misi politik yang dimaksudkan ialah hubungan diplomatik seperti Alam Melayu dengan
China. Hubungan diplomatik dengan China berlaku sejak 1404 M seperti yang tercatat dalam
sejarah Melaka. Tujuan Melaka mengadakan hubungan diplomatik ini adalah untuk
mendapatkan perlindungan dari ancaman Siam. Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam
dihantar ke Melaka yang secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam
Melayu.
Perlindungan ini juga memberi kesan yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan
Melayu seperti Kedah, Johor, Kamar dan sebagainya. Interaksi antara Pelbagai Tamadun
( Meleyu, China Dan India ).
3.0 Interaksi antara Tamadun
Setiap tamadun yang muncul mempunyai sifat-sifat, pencapaian-pencapaian dan
keunikan yang tersendiri. Namun demikian, ia tidak bermakna sesebuah tamadun itu tertutup dan
tidak menerima pengaruh luar sebaliknya terdapat interaksi yang berlaku antara tamadun.
Interaksi antara tamadun ini berlaku di peringkat nilai, idea, institusi dan insan. Ia berlaku
sepanjang sejarah. Interaksi ini melahirkan kesan-kesan positif dan negatif. Interaksi antara
tamadun berlaku melalui proses yang tertentu dan juga dengan pelbagai cara yang berbeza.
Interaksi antara tamadun ini terjadi kerana wujudnya sifat toleransi yang tinggi dan sikap
saling menghormati antara sesebuah tamadun dengan tamadun yang lain. Sifat terbuka sesebuah
tamadun ini memberi peluang kepada berlakunya percambahan pemikiran dan budaya serta
memperkayakan lagi tamadun tersebut dalam pelbagai aspek. Hal ini dapat mengelakkan
sesebuah tamadun itu daripada menjadi beku dan jumud yang akhirnya boleh meruntuhkannya.
Proses interaksi antara tamadun berlaku disebabkan pelbagai faktor. Interaksi antara
tamadunmemberikan dua kesan yang penting, iaitu kesan positif dan kesan negatif.
3.1 Kesan Positif
Interaksi antara Tamadun Islam, Yahudi dan Kristian semasa zaman kemunculan Islam di
Tanah Arab telah memberi beberapa kesan positif. Dalam Perlembagaan Madinah (Sahifah
Madinah) yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah hak-hak orang Kristian dan
Yahudi serta penganut-penganut agama lain telah diberi perlindungan.
Mereka telah diberi kebebasan mengamalkan tuntutan agama mereka tanpa sebarang
gangguan baik daripada Nabi Muhammad s.a.w. ataupun umat Islam yang lain. Hal yang sama
telah diikuti oleh pemerintah-pemerintah Islam zaman Khulafa al-Rasyidin, Bani Umayyah,
Abbasiah, Uthmaniah dan kerajaan-kerajaan Islam di India. Malah dalam beberapa buah
kerajaan Islam, individu-individu Yahudi dan Kristian telah mendapat kedudukan tinggi dalam
pentadbiran, contohnya dalam kerajaan Abbasiah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi dan Kristian
telah memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke dalam bahasa
Arab.
Begitu juga di Andalusia (Sepanyol), muncul ramai penulis dan ahli intelektual daripada
kalangan individu-individu Yahudi dan Kristian. Interaksi antara Tamadun India dengan
Tamadun China telah memberi kesan positif kepada kedua-dua tamadun. Agama Buddha
disebarkan ke Negara China melalui interaksi ini. Di samping itu, terdapat kemahiran-kemahiran
lain yang diperkembangkan, contohnya teknologi membuat gula daripada tebu dari India telah
diperkembangkan kepada orang-orang China. Bidang astronomi India turut diperkembangkan di
Negara China oleh ahli-ahli astronomi India. Beberapa perbendaharaan kata bahasa Pali dan
Sanskrit turut mempengaruhi kesusasteraan China.
Kesan positif kepada Tamadun India ialah berkembangnya teknologi membuat kertas,
bahan letupan dan penggunaan kompas dari Tamadun China ke dalam Tamadun India. Interaksi
antara Tamadun India dengan China berlaku secara aman melalui hubungan perdagangan dan
keagamaan. Antara interaksi Tamadun Islam dengan China yang turut memperlihatkan kesan
positif ialah proses interaksi secara aman, iaitu melalui perdagangan. Pedagangpedagang Arab
dan Parsi memainkan peranan penting dalam interaksi ini. Hasil daripada interaksi ini terdapat
komuniti Arab-Islam yang menetap di Negara China.
Berlaku perkahwinan campur antara pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita
tempatan. Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, telah
muncul beberapa orang tokoh Islam yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran.
Kesan penting yang terhasil daripada interaksi ini ialah penyebaran agama Islam di
Negara China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam tempatan Cina. Perkembangan
seterusnya menyebabkan munculnya cendekiawan-cendekiawan Islam tempatan yang mashyur
seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Cendekiawan-cendekiawan tempatan ini telah mencari
keselarian ajaran-ajaran etika dan nilai Islam dengan Konfusianisme.
Konsep-konsep hubungan keluarga, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan raja dan nilai-
nilai moral yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme telah dijadikan landasan untuk
memperkenalkan agama Islam kepada masyarakat Cina. Kesejajaran inilah yang menyebabkan
ajaran Islam tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli falsafah Konfusianisme seperti yang
dihadapi oleh ajaran agama Buddha. Di samping itu, interaksi ini urut menemukan senibina
Arab-Islam dengan seni bina China, contohnya dalam bentuk masjid-masjid di China hari ini.
Hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah meninggalkan kesan
yang amat ketara. Interaksi antara kedua-dua tamadun ini berlaku secara aman, iaitu melalui
perdagangan. Namun demikian kedatangan pengaruh Islam di Asia Tenggara ataupun khususnya
ke Kepulauan Melayu dikatakan dari tiga kawasan yang berbeza, iaitu dariArab dan Parsi, dari
India dan Negara China. Teori-teori ini telah diperbincangkan dengan hangat dan beberapa bukti
yang berkaitan telah dikemukakan oleh pendokong-pendokongnya bagi menyokong
pendapat mereka. Namun apa yang lebih penting ialah kesan yang didapati daripada hubungan
ini. Interaksi antara Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu telah melahirkan beberapa
kesan positif yang penting.
Kesan yang paling menonjol ialah tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu
serta munculnya kerajaan-kerajaan Islam tempatan di Pasai, Melaka, Acheh, Johor-Riau,
Brunei, Pattani, Sulu, Banten, Demak, Tuban, Mataram dan lain-lain lagi. Tamadun Islam
telah mengubah pandangan hidup orang-orang Melayu. Ia juga turut membawa tulisan Jawi
yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu.
Kesan positif boleh juga dilihat pengaruhnya dari segi perundangan, kesusasteraan, kesenian,
kebendaan seperti pakaian, makanan dan istilah-istilah Arab yang digunakan dalam bahasa
Melayu.
Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu turut melahirkan kesan
positif tetapi ia tidak melibatkan pemikiran dan falsafah sebaliknya melibatkan kemahiran
dan teknologi serta kebendaan. Tamadun China membawa teknologi membuat gula daripada
tebu ke Kepulauan Melayu, contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan
sutera, membuat tembikar serta pertukangan logam. Di samping itu, terdapat juga beberapa
jenis makanan masyarakat Cina yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu seperti tauhu,
kicap, taugeh dan sebagainya.
Interaksi antara Tamadun China dengan Tamadun Melayu berlaku melalui dua cara, iaitu
secara aman dan secara konflik peperangan. Interaksi secara aman berlaku melalui aktiviti
perdagangan, emigrasi dan hubungan diplomatik, contohnya kemuncak hubungan diplomatik
Negara China dengan Kepulauan Melayu ialah zaman Kesultanan Melaka.
Manakala hubungan yang bercorak konflik peperangan berlaku semasa pemerintahan
Dinasti Yuan/Monggol (1279-1368 Masihi) yang pernah menyerang Myanmar (Kemboja) dan
Jawa pada abad ke-13 Masihi. Kesan positif daripada interaksi antara tamadun ini juga boleh
dilihat pada hubungan antara Tamadun China-Jepun. Jepun telah mendapat faedah yang banyak
hasil daripada hubungan ini. Tamadun China telah menyumbangkan beberapa perkara penting ke
dalam Tamadun Jepun. Sumbangan yang penting ialah dari segi agama dan tulisan. Agama
Buddha dari Negara China telah dikembangkan dalam Tamadun Jepun. Ajaran-ajaran Buddha ini
telah diasimilasikan dengan agama asal orang Jepun, iaitu agama Shinto. Walaupun asimilasi ini
berlaku tetapi ia tidak mengubah identiti ajaran Buddha. Kuil-kuil Buddha telah didirikan di
Jepun. Agama Buddha telah mencapai zaman kemuncak semasa zaman Nara dan Heian.
Di samping agama, tulisan adalah satu lagi kesan penting yang dibawa oleh Tamadun
China ke Jepun. Tulisan Cina telah menjadi asas kepada pembentukan tulisan Jepun, iaitu
Hiragana dan Katakana. Pengaruh tulisan Cina telah memainkan peranan kepada perkembangan
intelektual dan kesusasteraan dalam Tamadun Jepun. Di samping dua kesan positif yang penting
ini, Tamadun China turut meninggalkan pengaruhnya ke atas upacara-upacara tertentu di Jepun,
contohnya upacara minum teh, seni taman, serta struktur pembinaan bandar.
Ajaran falsafah Konfusianisme dari China turut diasimilasikan dalam Tamadun
Jepun. Ajaran Konfusianisme yang memberi penekanan kepada institusi keluarga telah
memantapkan lagi institusi keluarga Jepun. Manakala, konsep mandat dari syurga telah
memperkukuhkan lagi kedudukan Maharaja Jepun yang dipercayai berasal daripada keturunan
Dewi Amaterasu. Interaksi antara Tamadun China dengan Jepun telah berlaku secara aman dan
asimilasi Tamadun China dalam Tamadun Jepun telah memperkukuhkan identiti Tamadun
Jepun.
3.2 Kesan Negatif
Adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa interaksi antara tamadun hanya menghasilkan
kesan positif. Sebaliknya interaksi antara tamadun turut menghasilkan kesan negatif. Di Eropah,
misalnya hubungan antara orang-orang Kristian dengan Yahudi telah mengalami kemerosotan
sejak awal lagi. Kesan daripada hubungan yang tidak baik ini menyebabkan berlakunya
pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai pada abad ke-9 dan ke-18 Masihi.
Perkara ini berlaku akibat daripada faktor-faktor perbezaan agama, ketidakseimbangan
ekonomi dan sosial. Begitu juga halnya dengan hubungan orang-orang Islam dengan Kristian
dalam Zaman Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah bertindak
melancarkan beberapa siri peperangan ke atas orang-orang Islam yang dikenali sebagai Perang
Salib. Peperangan tersebut telah mengorbankan ramai penganut Islam dan Yahudi. Peperangan
ini turut dicetuskan oleh faktor-faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik.
Di India juga, hubungan antara penganut Islam dengan Hindu sentiasa berada dalam
keadaan tegang. Terdapat peristiwa-peristiwa yang mana orang-orang Islam dibunuh dan masjid-
masjid dimusnahkan oleh raja-raja India yang beragama Hindu. Keadaan yang sama juga berlaku
kepada penganut-penganut agama Hindu dan kuil-kuil Hindu yang dimusnahkan oleh
pemerintah-pemerintah Islam. Contohnya, raja-raja Islam dalam Kesultanan Delhi telah
mengharamkan pembinaan kuil-kuil dan mengharamkan beberapa upacara keagamaan Hindu.
Semasa zaman pemerintahan Moghul, Aurangzeb merupakan raja Moghul yang bertindak
keras terhadap penganut-penganut Hindu. Baginda telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil
yang baru, mengharamkan upacara mandi suci di Sungai Jamuna, mengharamkan upacara sati
dan lain-lain lagi.
Dalam hubungan antara Tamadun India dengan Tamadun China juga kita dapat melihat
wujudnya konflik terutama semasa agama Buddha mula diperkenalkan ke dalam masyarakat
Cina pada zaman pemerintahan Dinasti Han Timur. Kemasukan agama tersebut telah mendapat
tentangan cendekiawan Konfusianisme yang amat berpengaruh dalam pentadbiran Dinasti Han.
Samisami Buddha telah dikurung dan kuil-kuil Buddha dimusnahkan untuk menghalang
perkembangan agama tersebut.
Kesan negatif turut berlaku dalam hubungan antara Tamadun Islam dengan Tamadun
China. Contohnya pada tahun 751 Masihi, tentera Islam di bawah pimpinan Ziyad bin Salih telah
mengalahkan angkatan perang China yang dipimpin oleh Kao Hsien-chih sedangkan pada masa
tersebut kerajaan Islam Abbasiah mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Tang di
Negara China. Permusuhan antara orang Islam dengan orang Cina juga dicetuskan oleh rasa
tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang bertentangan.
Contohnya, pada abad ke-8 Masihi penduduk Han di tenggara Negara China telah
mewujudkan permusuhan dengan orang Islam kerana iri hati terhadap kemewahan yang
dinikmati oleh orang Islam yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti perdagangan. Pada tahun-
tahun 758 Masihi dan 876 Masihi telah berlaku pemberontakan-pemberontakan yang
menyebabkan ramai orang Islam dibunuh dan melarikan diri dari Canton. Pemberontakan pada
tahun 876 Masihi bukan sahaja bersifat anti-Islam tetapi juga anti orang asing. Pemberontakan
ini menyebabkan lebih kurang 120,000 hingga 200,000 orang asing telah dibunuh termasuk
orang Islam.
Kesan daripada peristiwa tersebut menyebabkan ramai orang Islam telah melarikan diri
dari Negara China dan berhijrah ke Asia Tenggara terutamanya di Palembang dan Kedah.
Hubungan orang Islam dengan penduduk tempatan China turut terjejas semasa pemerintahan
Dinasti Ching yang memberi keutamaan kepada pengukuhan ajaran Konfusianisme. Orang Islam
mendapat layanan yang tidak adil daripada pemerintah Ching. Rasa tidak puas hati penganut-
penganut Islam disokong pula oleh perkembangan pengaruh gerakan Kaum Muda ataupun
Wahabi di kalangan orang Cina Islam. Rasa tidak puas hati orang Islam telah menyebabkan
berlakunya beberapa siri pemberontakan semasa pemerintahan Dinasti Ching, iaitu
Pemberontakan Sinkiang I (1756 Masihi), Pemberontakan Kansu (1781 Masihi), Pemberontakan
Jehangir (1820-27 Masihi), Kebangkitan Yussof Syamsuddin (1828-31 Masihi), pemberontakan
Yunan (1850-68 Masihi), Pemberontakan Shensi dan Kansu (1862 Masihi) dan Kebangkitan
Sinkiang (1864-77 Masihi). (Azhar Hj. Mad Aros : 2003).
4. Islam Dalam Tamadun Melayu
4.0 Pengenalan
Agama Islam menjadi asas utama dalam pembentukan tamadun Melayu. Islam telah
menjadi agama rasmi sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Islam juga menjadi anutan yang tidak boleh dipisahkan daripada tamadun Melayu. Dalam
perkembangannya, tamadun Melayu semakin mantap dengan kedatangan Agama Islam dan
kewujudan adat istiadat Melayu.
Selain itu , Islam juga merupakan suatu elemen yang sangat penting dan signifikan
dalam membincangkan tamadun Melayu. Ini kerana, Islam banyak mempengaruhi
perkembangan tamadun Melayu. Kesan dan nilai Islam dapat ditemui pada hampir segenap
aspek dalam kehidupan masyarakat dan tamadun Melayu.
4.1 Teori Kedatangan Islam Ke Alam Melayu
Terdapat tiga teori telah dikemukakan berkenaan masa kedatangan dan golongan yang
membawa Islam ke Alam Melayu. Dari segi masa, ada yang menyatakan bahawa kedatangan
Islam ke Alam Melayu bermula pada abad ke lapan Masehi dan ada yang berpandangan bahawa
kedatangan Islam ke Alam Melayu adalah pada abad ke sembilan Masehi. Manakala dari segi
sumbernya, ada m mengatakan dari India dan ada yang mengatakan dari China. Teori-teori ini
menunjukkan perbezaan pendapat mengenai tarikh dan punca kedatangan dan kawasan yang
menerima Islam.
4.1.1 Teori kedatangan Islam secara langsung dari Tanah Arab
Hubungan perdagangan antara Alam Melayu dengan Tanah Arab teah pun terjalin
sebelum kedatangan Islam lagi dan ianya berterusan selepas kelahirannya. Penyebaran Islam di
Tanah Melayu telah begitu meluas termasuklah di Yaman yang mempunyai pelabuhan
perdagangan yang penting. Pedagang-pedagang Islam yang bertumpu di Yaman turut
menjalankan aktiviti perdagangan dengan Asia Tenggara terutamanya untuk mendapatkan
barangan seperti kapur barus, kemenyan dan sebagainya.
Malahan pada zaman Khalifah Umar (634-44) yang mampu menguasai Parsi telah
menyebabkan ramai pedagang-pedagang Parsi memeluk agama Islam. Pembabitan pedagang
Arab di perairan Asia Tenggara turut dicatatkan oleh sumber-sumber China. Misalnya, menurut
sumber China, orang Arab telah pun ada di Sumatera pada abad ke-7 Masihidan membuat
perkampungan di bahagian barat pulau tersebut.
Pemerintahan Khalifah Sulaiman Bin Ab.Malik (715-17) juga dikatakan telah
menghantar armada sebanyak 35 buah kapal ke muara Sabak di Jambi. Armada inilah yang
dikatakan bertolak dari Ceylon menuju ke Palembang pada 717 Masihi sebelum meneruskan
perjalanan ke China. Sehingga tahap ini, penyebaran Islam ke Asia Tenggara telah diterajui oleh
pemerintahan Bani Umaiyyah. Meskipun demikian, Islam turut berkembang di Asia Tenggara
dengan usaha yang dilakukan oleh golongan Syiah. Kesan dari usaha ini telah terdapat golongan
Syiah di Kepulauan Sila di Sulu, Sulawesi dan Kalimantan.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Al- Makmun (813-33) Masihi telah berlaku satu
pemberontakan Syiah Alawiyyin yang dipimpin oleh Muhammad bin Jaafar Al-Siddiq namun ia
dapat dipatahkan sehingga menyebabkan mereka diperintahkan untuk meninggalkan Tanah
Arab. Mereka dikatakan telah menuju ke Asia Tenggara dengan diketuai oleh Nakhoda Khalifah
dan sampai ke Perlak. Ali bin Muhamad Ibn Jaafar, salah seorang dari ahli rombongan telah
dikahwinkan dengan Puteri Makhdum Tanshuri iaitu adik perempuan raja Perlak. Hasil daripada
perkahwinan ini lahirlah seorang putera bernama Syed Abdul Aziz yang menaiki takhta Perlak
pada tahun 840 Masihi dengan gelaran Sultan Ala-al-Din Syed Maulana Abdul Aziz Shah.
Bandar Perlak diberi gelaran bandar Khalifah mengenangkan jasa Nakhoda Khalifah.
Perkembangan Syiah di Sumatera dikatakan sampai ke penghujungnya apabila ia
dihapuskan oleh Malik Al-Salih pada abad ke-13. Terdapat juga laporan mengenai kedatangan
seorang ulama iaitu Syeikh Ismail yang mengembangkan Islam ke Barus, Lamri, Aru, Perlak dan
Pasai. Pengislaman yang dibawa dari Tanah Arab juga turut berlaku di Tanah Melayu.
Maharaja Derbar iaitu raja Kedah telah memeluk Islam pada tahun 1136 Masihi oleh Syeikh
Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri dari Yaman dan selepas Islam menggunakan nama
Sultan Muzafar Shah. Pengislaman raja Melaka pula dikatakan dilakukan oleh Sheikh Abdul
Aziz dari Judah.
Selain itu, teori kedatangan Islam ke Alam Melayu dari Tanah Arab turut disokong oleh
Sir John Crowford dengan hujah orang-orang Islam di kepulauan Melayu kebanyakannya
bermazhab syafe’i sejak mula mereka memeluk Islam, iaitu mazhab yang lahir di negeri Arab.
Dengan kata lain dakwah islamiah di Kepulauan Melayu berlaku selepas kurun ke 8M kerana
Imam al-Syafe’i memulakan pembelajarannya di Mekah dari tahun 800 hingga 810 M. namun
terdapat juga para sarjana sejarah yang menegaskan bahawa dari abad ke 7M hingga kea abad ke
13M, pendakwah-pendakwah Islam di Kepulauan Melayu kebanyakannya terdiri dari orang-
orang Arab sendiri ( K.H.Saifuddin,1975: 245)
Malah masyarakat Melayu sangat fasih membaca Al-Quran dan kebanyakan perkataan di
dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi diambil dari perkataan Arab. Begitu juga terdapat kitab-
kitab agama yang dikarang dalam bahasa Melayu dengan gaya bahasa dan susunan mengikut
versi bahasa Arab. Disamping itu juga, terdapat beberapa adat resam dan kebudayaan
masyarakat Melayu dipengaruhi oleh corak budaya masyarakat Arab (Qiblat, 975: 3-5)
4.1.2 Teori kedatangan Islam dari India
Teori kedatangan Islam dari India ini pada awalnya dikemukakan oleh kalangan
orientalis barat seperti Snuck Hurgronje dan Brian Harisson. Mereka menyatakan bahawa
masyarakat Alam Melayu memandang India bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan
termasuklah akhirnya dalam persoalan agama. Pesamaan mazhab iaitu mazhab Shafie antara
masyarakat Asia Tenggara dengan Malabar menyebabkan Thomas Arnold dalam bukunya The
Preacing of Islam meletakkan bahawa Islam di Asia Tenggara dibawa oleh pedagang dan
pendakwah dari Malabar.
Selain Malabar, Gujerat juga menjadi pusat perbincangan. Sarjana orientalis seperti
Jasollin den Jong misalnya menyatakan penyebaran Islam dimainkan oleh pedagang-pedagang
Gujerat. Ia turut disokong daripada kajian yang dilakukan oleh G.P Moguette terhadap batu
nisan Maulana Malik Ibrahim di Gersik bertarikh 1419 dan batu nisan Umar Ibn Ahmad
Kazaruni di Gujerat. Menurut kajian ini terdapat persamaan dari segi struktur yang jelas antara
kedua-dua batu nisan. Walaubagaimanapun pandangan ini masih kurang jelas dan banyak
kelemahannya termasuklah hakikat bahawa 1042 yang diletakkan sebagai tarikh kerajaan Pasai
memeluk Islam, Gujerat masih lagi belum menerima Islam kerana Islam hanya tiba di Gujerat
pada 1032 dengan kemunculan Kesultanan Delhi.
Selain Gujerat dan Malabar, Bengal dan Koromandel juga menjadi perhatian. Ini
dikuatkan dengan hakikat bahawa mazhab di antara penduduk di Bengal juga sama dengan
penduduk Asia Tenggara iaitu Shafie sementara di Gujrat lebih kepada Hanafi. S.Q Fatimi
misalnya menyokong hujah bahawa Islam dibawa dari Bengal, malah menyatakan bahawa Sultan
Malikul Salih yang menjadi raja pertama di Pasai merupakan seorang pedagang India
berketurunan Benggali.
Secara keseluruhannya, teori yang melihat bahawa Islam datang ke Asia Tenggara mealui
India ini mempunyai banyak kelemahan. Namun ia tidak menghalang hakikat bahawa pedagang
dan pendakwah dari India turut sama memainkan peranan di dalam mengembangkan agama
Islam di Alam Melayu.
4.1.3 Teori Islam datang dari China dan Champa
Islam di Alam Melayu juga disebut dibawa dari China ataupun Champa. Islam telah pun
datang ke China sejak zaman pemerintahan Dinasti Pang sekitar tahun 650 Masihi. Canton
menjadi tumpuan bukan saja pedagang Islam malah Saad ibn Waqqas juga dikatakan pernah
sampai ke China sebagai utusan Islam. Qutaibah ibn Muslim pula telah sampai ke sempadan
Negara China pada tahun 713 Masihi malah sepanjang zaman Abbasiyah telah dilaporkan
banyak utusan islam yang sampai ke China. Dalam masa yang sama catatan Dinasti Sung pula
menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui sepanjang pantai laut China
selatan dan dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari China pada awal 977 Masihi.
R.A Kern pula berpendapat bahawa Islam datang dari Champa atau Kemboja pada abad
ke-8 Masihi seiring dengan perkembangan Islam di wilayah tersebut. Di Champa telah ditemui
inskripsi yang mempunyai tulisan khat khufi bertarikh 1039 Masihi dan sebuah monumen
bertarikh 1025 Masihi. Monumen tersebut mencatatkan hukum-hukum Islam.
Selain itu, teori kedatangan Islam dari China juga dikemukakan oleh seorang saintis
Sepanyol iaitu Emaruel Gadinho de Eradia yang menyatakan bahawa penduduk Kepulauan
Melayu mula menerima Islam dari Patani dan Timur Semenanjung Tanah Melayu. Teori ini
menegaskan bahawa saudagar-saudagar Arab Islam datang ke Kepulauan Melayu melalui negeri
China iaitu melalui jalan darat. Malah penduduk China telah menerima Islam lebih awal dari
Asia Tenggara iaitu semenjak pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan lagi. Pada abad ke-9
Masihi, ramai penduduk selatan China telah memeluk Islam terutama di daerah Yunan.
Bagi Marshall Broomhall (Abdul Rahman, 1981:239), perhubungan antara orang-orang
Arab dengan China berlaku pada pertengahan abad ke 5 M dan berpengaruh di zaman Tang
(618-907 M) sehingga mencetuskan pemberontakan pada tahun 758 M. Bagaimanapun pada
tahun 878M, tercetus satu pemberontakan petani di Conton di bawah pimpinan Huang Chao
yang mengakibatkan antara 120 000 hingga 200 000 orang-orang Islam terkorban.
Pemberontakan ini juga telah menggugat kestabilan politik di Conton. Akibatnya
pedagang-pedagang Muslim yang terdiri orang Arab dan Parsi telah berhijrah ke Nusantara
(Omar Amir, 1962:69). Akan tetapi kesan daripada pembunuhan orang Islam secara beramai-
ramai di Canton pada tahun 878 M telah menyebabkan orang-orang Islam dari Tenggara China
berhijrah keAlam Melayu. Ada juga pendapat mengatakan terdapat seorang sahabat bernama
As’ad bin Labib telah tiba di Conton pada tahun ke 5 selepas Rasulullah SAW diutuskan, iaitu
kira-kira tahun 615 M dan menyebarkan Islam di sana.
Sementara Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas merumuskan pertelingkahan teori-
teori di atas dengan menegaskan bahawa para pendakwah datang dari satu tempat yang sama
iaitu Timur Tengah. Namun, sebelum mereka sampai ke daerah Nusantara atau Kepulauan
Melayu, ada kemungkinan mereka melalui India dan jalan-jalan lain termasuk China. Pandangan
beliau adalah berasaskan kepada kefahaman agama yang dibawa oleh semua pendakwah adalah
bersifat Timur Tengah, cara penghuraian persoalan agama, bentuk dan teknik tulisan jawi dan
beberapa perkara perkara penting yang lain adalah menjurus kepada cirri-ciri bangsa Arab
sebagai pembawa dan penyebar asli agama Islam di Kepulauan Melayu ( Abdul Halim el-
Muhammady,t.t:2)
4.2 Kesan Dan Pengaruh Islam Dalam Tamadun Melayu
Kedatangan Islam telah banyak mencorakkan suasana masyarakat di Alam Melayu.
Kesan dan pengaruh Islam dalam Tamadun Melayu dapat dilihat dalam beberapa aspek,
antaranya akidah, politik, sosial, undang-undang, ekonomi dan kebudayaan.
Kesan uatama yang dibawa pleh Islam ialah terhadap akidah dan kepercayaan.
Sebahagian daripada masyarakat Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu-Buddha dan
kepercayaan animism. Mereka percaya kepada konsep ketuhanan, hormat-menghormati antara
manusia dan menitikberatkan soal persamaan taraf.
4.2.1 Akidah
Akidah bererti iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan hidup. secara tradisional,
perbahasan dalam akidah di kalangan masyarakat di Malaysia berkisar di sekitar enam Rukun
Iman yang melibatkan keimanan kepada Allah s.w.t., Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat serta
Qada’ dan Qadar.
Kedatangan agama Hindu dan Buddha ke Alam Melayu, telah menjadikan upacara agama
menjadi lebih formal dan tersusun. Namun pengaruh itu tidak benar-benar melibatkan
keseluruhan ajaran yang terdapat dalam falsafah Hindu-Buddha asli, yang dipentingkan hanya
perkara-perkara yang berkaitan dengan selok-belok upacara agama. Islam telah mengubah
bentuk kepercayaan dan corak hidup mereka juga pandangan semesta mereka. Kepercayaan
kepada dewa dan animism bertukar kepada kepercayaan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya.
Antara elemen-elemen asas pandangan semesta Tamadun Melayu-Islam ialah :
i. Kepercayaan kepada Yang Maha Esa, Pencipta, Pentadbir dan Pemelihara Alam
Semesta.
ii. Konsep penghitungan dan pembalasan yang muktamad di akhirat.
iii. Keyakinan kepada pembalasan yang baik bagi amalan yang baik dan sebaliknya.
iv. Menghormati maruah dan martabat manusia.
v. Keadilan, kebebasan dan kesaksamaan.
vi. Kehidupan yang pertengahan dan seimbang antara jasmani, rohani dan akal.
Lantaran itu, masyarakat Melayu menyedari bahawa seluruh hidup mereka terfokus
kepada tuhan. Masyarakat Melayu menyedan menyakini bahawa Allah s.w.t. bMaha Berkuasa.
Kesannya, pandangan semesta Melayu telah dibentuk berasaskan hablum minalLah (berbuat baik
kepada Allah) dan hablum minannas ( berbuat baik kepada manusia).
4.2.2 Politik / Kerajaan
Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membuka banyak pusat perdagangan dan juga
kerajaan Islam. Antara kerajaan Islam yang pernah muncul di Alam Melayu adalah Ta-Shih
(abad ke tujuh), Sribuza Islam (718), Perlak(840-986), Samudera-Pasai ( 1042-1450), Axheh
Darussalam (1205-1675), Demak ( 1475-1550), Pajang (1568-1586), Mataram II (1586-1755),
Brunei, Sulu dan Pattani. Di Tanah Melayu pula, kerajaan Islam pernah lahir di Kelantan,
Terengganu, Kedah, Beruas, Melaka dan johor.
Selain itu, peruntukan-peruntukan mengenai kuasa-kuasa perundangan, pentadbiran dan
kehakiman yang tertinggi seperti yang diamalkan dalam Negara pada hari ini adalah daripada
system politik Islam yang terdapat dalam Sahifah Madinah. Sahifah Madinah atau piagam
Madinah ialah piagam bertulis pertama di dunia yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad
s.a.w. untuk mengikat perjanjian dan persefahaman di antara golongan sesame Islam dan juga
golongan Islam dengan bukan Islam untuk menjaga hak tanggungjawab bersama bagi menjamin
keutuhan dan kestabilan Negara Madinah.
4.2.3 Sosial
Budaya, cara hidup dan pemikiran turut mempengaruhi Alam Melayu. Kepercayaan
kepada kekuasaan Allah telah memberi setiap individu harga diri kerana tiada perbezaan antara
sesama manusia di sisi Allah kecuali taqwa.
Pengaruh akidah, syariah dan akhlak telah memberi kesan dalam kehidupan. Namun
begitu, berlaku asimilasi antara ajaran islam dan budaya setempat. Islamsasi berlaku secara
beransur-ansur tanpa ada pertentangan secara terbuka.
4.2.4 Undang-undang
Kedatangan agama Islam telah mempengaruhi system perundangan di Alam Melayu.
Sistem perundangan tempatan turut mengalami perubahan seperti yang tercatat dalam Hukum
Kanun Melaka. Adat Pepatih dan Adat Temenggung, Undang-undang adat yang tidak
bertentangan dengan ajaran agama Islam dikekalkan. Contohnya hakim boleh menggunakan budi
bicaranya sama ada menjatuhkan hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri ataupun
didenda dan dipenjara sahaja.
Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara sistem perundangan masyarakat
Melayu juga berubah kepada sistem adat dan Islam. Contohnya Melaka mempunyai Hukum
Kanun Melaka yang meliputi tanah, sungai, dusun dan setiap tanah jajahan takluk Melaka.
Undang-undang Laut Melaka meliputi perusahaan perkapalan, perdagangan di laut dan di darat
dan kegiatan yang berkaitan dengannya. Kedua-dua kumpulan undang-undang ini adalah
berdasarkan kepada hukum syariah dan juga hukum adat yang telah wujud sejak dahulu lagi
(Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992 : 29).
Tradisi pemerintahan berdasarkan perundangan Islam dilanjutkan dalam pemerintahan
Malaysia hari ini. Perlembagaan Malaysia menjadikan urusan Islam sebagai urusan negeri.
Bidang kuasa tersebut sangat terbatas dan dinyatakan secara terperinci satu persatu. Manakala di
peringkat negeri terdapat beberapa undang-undang yang telah dikuatkuasakan seperti undang-
undang pentadbiran Islam, undang-undang mahkamah syariah, undang-undang pentadbiran
keluarga Islam, undang-undang prosedur dan keterangan, undang-undang sivil, jenayah Islam
dan lain-lain lagi.
Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang-
undang lain di dalam negeri-negeri Melayu, amatlah tepat jika ianya dijadikan contoh tentang
wujudnya pengaruh Islam dalam perundangan. Menurut beberapa orang sarjana barat seperti
William R. Roff dan Alfred P. Rubin, Hukum Kanun Melaka atau Undang-Undang Melaka pada
dasamya berasaskan Undang-undang Islam di samping berpegang kepada hukum akal dan
hukum adat. Pendapat-pendapat tersebut adalah sejajar dengan perkataan-perkataan yang
terdapat di dalam undang-undang tersebut antaranya menyebut, "...Mengikut hukum Allah, pada
hukum Allah, menurut dalil al-Quran dan menurut amar bi al-ma'ruf wa nahyi'ani al-munkar".
Terdapat juga undang-undang yang berhubung dengan jenayah, muamalah, kekeluargaan,
keterangan dan acara yang berpandukan undang-undang Islam (Afifah Abu Yazid, 2003 : 41).
4.2.5 Ekonomi
Ekonomi Islam adalah berlandaskan hukum syarak seperti konsep halal haram. Kegiatan
perdagangan masih lagi diteruskan dan segala tindak tanduk bukan sahaja dikawal oleh
keikhlasan hati tetapi juga oleh undang-undang negara seperti Risalat Hukum Kanun dan
Undang-Undang Laut Melaka.
4.2.6 Kesenian
Pengaruh kesenian Islam dalam masyarakat Melayu dapat dilihat pada batu nisan,
makam, masjid dan kaligrafi. Batu nisan merupakan karya seni Islam terawal yang masuk ke
Alam Melayu. Kesenian batu nisan dan makam dapat dilihat juga pada bentuk dan hiasannya.
Misalnya, batu nisan Maulana Malik Ibrahim berbentuk badan kapal terbalik yang
menggambarkan pengaruh Parsi.
Pada peringkat awal, masjid yang didirikan masih mempunyai pengaruh Hindu dari segi
bentuk dan hiasanya. Ini dapat dilihat daripada ukiran-ukiran seperti bunga teratai, dun-daunan,
bukit-bukit karang, pemandangan dan garis-garis geometri Islam, seperti mihrab. Mimbar,
dipenuhi dengan seni kaligrafi Islam yang dipetik daripada ayat-ayat al-Quran.
4.2.7 Bahasa dan Sastera
Bahasa Melayu telah menerima pengaruh ajaran Islam bermula abad ke 14 Masihi dan
berkembang sehingga akhir abad ke 18 Masihi. Pada awal abad ke 14 Masihi kedudukan agama
Islam semakin teguh dan penyebarannya semakin meluas di Asia Tenggara. Bukti keteguhan
kedudukan agama Islam di daerah ini dapat dilihat daripada kewujudan penggunaan tulisan Jawi
oleh orang-orang Melayu ketika itu. Pada era kerajaan Melayu Melaka (1400 Masihi-1511
Masihi) misalnya, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi lapan puluh empat bahasa
yang dituturkan oleh masyarakat Melaka ketika itu. Tahap perkembangan bahasa Melayu
daripada bahasa Melayu klasik kepada bahasa yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi
berlaku pada dua zaman iaitu zaman peralihan (abad ke 19 Masihi) dan zaman moden (abad ke
20 Masihi) (Mahayudin Hj. Yahya. 1998:91)
Tulisan Arab mulai diperkenalkan setelah kedatangan Islam. Dari segi bahasa perubahan
besar berlaku apabila masyarakat Melayu menyesuaikan perkataan Arab kepada bahasa Melayu.
Perubahan ini dipermudahkan setelah tulisan Arab diubahsuai dan dikenali sebagai tulisan Jawi.
Melalui sistem tulisan ini bahasa Melayu dapat memainkan peranan lebih penting apabila
digunakan untuk menulis kitab-kitab agama, hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran.
Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar persuratan dan juga sebagai alat
penyebaran dan penyampaian agama Islam di seluruh Alam Melayu. Tulisan jawi telah
digunakan oleh bahasa Melayu semasa permulaan kedatangan Islam. Antara faktor yang
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar penyebaran, penyampaian persuratan Islam
di Alam Melayu ialah sifat dalaman bahasa Melayu dan juga peranan yang dimainkan oleh
wilayah dan daerah Melayu di Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu dalam penyebaran
agama Islam ke seluruh kepulauan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar agama Islam telah menaikkan taraf, kecekapan dan kewibawaannya. Antara
sumbangan terbesar Islam kepada masyarakat di Alam Melayu adalah pengaruhnya terhadap
perkembangan bahasa Melayu. Sebagai bahasa komunikasi di Tanah Melayu, bahasa Melayu
merupakan aspek terawal menerima pengaruh Islam. Pemindahan ilmu berupa ajaran Islam
daripada al-Quran dan al-Hadis yang kedua-duanya dalam bahasa Arab berlaku dalam gerakan
dakwah secara langsung yang dijalankan oleh pendakwah-pendakwah dari negara Arab, India
dan China.
Pemindahan ilmu dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu telah menyebabkan
berlakunya perkembangan keilmuan yang pesat di Alam Melayu. Kedatangan Islam mengangkat
martabat bahasa Melayu ke arah mengungkapkan sesuatu yang bersifat ilmiah dan saintifik
sehingga mencapai taraf lingua franca yang digunakan secara meluas di Alam Melayu. Terdapat
penggunaan kata dari bahasa Arab yang dipinjam dan digunapakai dalam bahasa Melayu.
Kedatangan agama Islam juga telah membawa perubahan yang besar terhadap warisan
kesusasteraan Melayu. Banyak hasil kesusasteraan Melayu ditulis seperti Hikayat Nabi
Muhammad SAW, Hikayat Para Nabi dan Rasul, Hikayat Para Sahabat, Hikayat Para Pahlawan
Islam dan Hikayat Ahli-ahli Sufi dan Orang-orang Yang Soleh. Manakala puisi terkenal yang
dipengaruhi oleh sastera Islam contohnya ialah Syair Perahu, Syair Burung Pingai oleh Hamzah
Fansuri dan Syair Makrifat oleh Abdul Rauf Fansuri.
Melalui tulisan jawi agama Islam telah dapat diperkembangkan. Bahasa dan kesusasteraan
Melayu juga berkembang melalui tulisan jawi. Dalam pada itu bahasa Melayu itu telah
diperkayakan dengan kata-kata pinjaman serta istilah daripada bahasa Arab. Perkembangan ini
dapat dilihat bukan sahaja dalam kitab serta karya sastera semasa pada zaman selepas itu, malah
buku-buku Sejarah juga mempunyai tajuk asal dalam bahasa Arab seperti Sulalatus Salatin,
Tuhfat al-Nafis, Bustanus-Salatin dan lain-lain lagi (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992: 28).
Kedatangan Islam ke Alam Melayu selain membawa perubahan dari sudut akidah, ia juga
membawa perubahan dari sudut kesusasteraan. Kesusasteraan Melayu bukan sahaja mengalami
perubahan dari aspek pendokumentasian, malah turut mengalami perubahan dari aspek tema,
bentuk, genre malah matlamat sastera itu sendiri. Para sasterawan menghasilkan karya-karya
yang sangat luas bidangnya bukan sahaja bercorak fiksyen, tetapi turut meliputi cabang-cabang
ilmu fekah, ilmu tasawwut ilmu kalam, falsafah dan sebagainya (Ismail, 1985 : 101). Pelbagai
hasil kesusasteraan telah dipengaruhi oleh ajaran Islam yang bertemakan sejarah Islam atau
ajaran Islam itu sendiri. Antara contoh sastera prasa ialah Hikayat Nur Muhammad, Hikayat
Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nabi Mikraj.
4.2.8 Pendidikan dan Ilmu Syariah
Islam membawa perubahan dalam sistem pendidikan. Selepas kedatangan Islam golongan
bawahan menerima pendidikan yang sama seperti golongan atasan. Sistem pendidikan yang
bermula di istana mula beralih ke beberapa institusi pendidikan Islam seperti pondok dan
madrasah. Tradisi keilmuan yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan pula tradisi
pendidikan dan pengajaran secara lebih tersusun. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran
membaca al-Quran dan kitab-kitab. Golongan pemerintah dan pembesar-pembesar berperanan
penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan.
Melalui sistem pengajian ilmu tersebut lahirlah para cendiakawan dan ulama-ulama
Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh-
tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak
dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004 : 46). Tokoh-tokoh ini telah banyak menyumbang ke
arah perkembangan ilmu pengetahuan di Tanah Melayu.
Dalam bidang intelektual dan keilmuan, Islam memberi kedudukan yang begitu tinggi
dengan memperkenalkan “method” ilmu berteraskan ilmiah dan rasional sejajar dengan tuntutan
Islam. Keilmuan rasional dan intelek yang diperkenalkan oleh Islam adalah pendekatan baru
dalam cara berfikir iaitu meninggalkan sesuatu yang bersifat tahyul serta memuja sesuatu yang
bersifat estetik, kepada sesuatu yang mementingkan akal, pemahaman ilmu metafizik serta
pandangan hidup yang munasabah pada akal yang sihat (Rasid Muhammad, 1996 : 140).
Kedatangan Islam membawa pengaruh yang besar terhadap sistem pendidikan. Di
Melaka contohnya, aktiviti pendidikan berlangsung di istana yang juga berfungsi sebagai
perpustakaan atau tempat penyalinan dan terjemahan. Di samping itu tempat-tempat lain yang
digunakan sebagai tempat pengajian ialah rumah-rumah ulama, masjid, madrasah dan surau.
Kebanyakan guru-guru agama pula terdiri dari bangsa Arab. Ilmu-ilmu yang dipelajari ialah ilmu
usuluddin, fiqh dan tasawwuf. Kitab-kitab utama yang menjadi pegangan masyarakat di Melaka
ketika itu ialah al-Manzum oleh Abu Ishak al-Shirazi, Ihya Ulumuddin oleh al-Ghazali dan
Minhaj al- Talibin oleh al-Nawawi.
Bersama dengan kedatangan Islam di mana-mana sahaja maka berkembanglah ilmu
pengetahuan dan pendiidikan. Di Melaka sendiri, sultan yang pertama bermula dari Megat
Iskandar Shah (1414 Masihi) hingga sultan-sultan terakhir sebelum 1511 Masihi, begitu
mengambil berat tentang perkembangan pendidikan. Pengajian Islam tidak sahaja berlaku di
rumah-rumah, masjid-masjid dan surau-surau, bahkan juga di istana sultan. Ulama-ulama asing
yang datang ke Melaka sejak awal hingga zaman kejatuhannya seperti Makhdum Syed Abdul
Aziz, Maulana Abu Bakar, Qadi Yusuf, Qadi Menus, Qadi Menawar Syah, Maulana Sadar
Johan, Maulana Jalal al-Din dan lain-lain bukan sahaja dijadikan sebagai seorang guru bahkan
diberi kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial di Melaka, setaraf dengan pembesar dan
pentadbir (Abdullah Ishak, 1990 : 142).
5.0 Interaksi Tamadun Asia Dan Relevansinya Di Malaysia Dan Dunia
Ilmu ketamadunan sangat penting untuk sebuah Negara majmuk seperti Malaysia yang
rakyatnya terdiri daripada berbilang bangsa, budaya dan agama. Pada dasarnya, setiap rakyat
Malaysia perlu mengetahui dan mengenali prinsip, nilai dan amalan setiap bangsa dan agama
yang terdapat di Malaysia secara tepat dan dekat supaya perhubungan dan interaksi antara rakyat
Malaysia tidak dipengaruhi atau ditentukan oleh prasangka dan kejahilan yang mudah
menimbulkan kecurigaan, ketegangan dan kebencian. Ilmu ketamadunan harus diterapkan di
kalangan rakyat Malaysia di peringkat awal lagi.
5.1 Interaksi Tamadun Cina dengan Tamadun Lain dan relevansinya di Dunia
5.1.1 Masyarakat dan budaya Tamadun Cina
Kemunculan Tamadun Cina
Gambaran mengenai kemunculan agak kabur kerana hanya berasaskan cerita-cerita mitos
dan imaginasi. Sesetengah cendikiawan sejarah berpendapat bahawa sebelum kewujudan era
pemerintahan Dinasti, China diperintah oleh lima orang pendeta yang mengasaskan peradaban
dan Tamadun Cina.
Sepanjang perkembangan sejarah Negara dan bangsa China, setiap sinasti bertapak,
berkembang dan hancur yang kemudiannya digantikan oleh suatu dinasti yang lain. Dinasti-
Dinasti seperti yang berikut :
Dinasti Hsia( 2697 SM)
Raja terkawal sinasti ialah Raja Huang Ti dan salah seorang keturunannya iaitu Raja Yu
dikatakan menjadi pengasas dinasti ini.
Dinasti Shang (1766-1122SM)
Berpusat si Anyang dan bukti kewujudan dinasti ini adalah jelas dengan penemuan alat-
alat dan tulang manusia yang banyak di kawasan utara Sungai Kuning di China.
Dinasti Chou (1122-256 SM)
Dinasti ini terbahagi kepada dua iaitu Chou Awal ( 1122-771 SM) yang berpusat di
Lembah Wei dan Chou Akhir (771-256 SM)yang berpusat di Loyang.
Dinasti Chin (256-205 SM)
Pusat pentadbirannya berada di Lembah Wei di bawah pemerintahan Maharaja Shin
Hung Ti(221-210SM). Beliau merupakan maharaja Dinasti Chin yang teragung. Beliau
memerintah selama 11 tahun dengan menggunakan system kekerasan dan undang-undang
yang menekan rakyat.
Dinasti Han (202SM-221M)
Rajanya yang terkenal ialah Han Wu Ti (141-87 SM). Zaman ini merupakan zaman
perkembangan kesenian dan kesusteraan.
Dinasti Sui (589-618 M)
Dinasti ini diasaskan oleh Sui Wen Ti tetapi kezaliman Yuang Ti yang menggantikan
Maharaja Sui telah membawa kepada pemberontakan oleh Li Yuen seorang pegawai
yang berpengaruh di wilayah ShanTung yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Sui.
Dinasti Tang ( 618-907M)
Selain Li Yuen, raja Tang yang terkenal ialah Tang Tai Tsung putera Li Yuen yang
meluaskan kekuasaan China hingga ke Parsi dan Laut Kaspian.
Dinasti Sung (960-975 M)
Didirikan oleh seorang general yang bernama Chao Hung Yin. Dinasti ini berkuasa
selama kira-kira 300 tahun.
Dinasti Yuan / Mongol ( 1271-1368)
Di bawah kepimpinan Kublai Khan, kaum Mongol Berjaya mengalahkan dinasti Sung
dan mendirikan kerajaan baru.
Dinasti Ming ( 1368-1644)
Orang Cina memegang semula tampuk kekuasaan setalah kematian Kublai Khan.
Seorang pemimpin bernama Chu Yuan Chang Berjaya mengalahkan tentera Mongol.
Dinasti Ching/ Manchu ( 1682-1911)
Dinasti ini menjalinkan hubungan dagangan dengan pedagang-pedagang dari barat
dengan membenarkan saudagar-saudagar asing singgah di mana-mana pelabuhan untuk
berniaga.
5.1.2 Masyarakat dan budaya Tamadun Cina