12
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SUKATAN PELAJARAN KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH PENDIDIKAN SENI VISUAL Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia 2000

Sukatan pelajaran psv (kbsr)

  • Upload
    ong2012

  • View
    3.650

  • Download
    1

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

SUKATAN PELAJARAN

KURIKULUM BERSEPADU

SEKOLAH RENDAH

PENDIDIKAN SENI VISUAL

Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia

2000

Page 2: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai

perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ; memelihara

satu cara hidup demokratik ; mencipta masyarakat yang adil di mana

kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ;

menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi – tradisi kebudayaannya yang

kaya dan berbagai-bagai corak ; membina satu masyarakat progresif yang akan

menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI , rakyat Malaysia , berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan

usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip – prinsip

yang berikut : -

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Page 3: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih

memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk

melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi,

dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini

adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu

pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan

berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan

terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Page 4: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

Kata Pengantar Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum bertujuan memantapkan Akta Pendidikan, memenuhi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan warga Malaysia menghadapi cabaran pendidikan abad 21. Kurikulum yang disemak semula memberi penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertataetika tinggi, bijaksana serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan. Pendidikan Seni Visual ialah mata pelajaran wajib di peringkat sekolah rendah. Mata pelajaran ini bertujuan membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya kesenian. Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah merangkumi tajuk-tajuk yang menegaskan penerokaan, proses penghasilan, pengertian seni secara menyeluruh dan aspek kritikan. Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada setiap individu dan institusi atas sumbangan kepakaran, masa, dan tenaga sehingga terhasilnya sukatan pelajaran ini. (DATO’ SERI Dr. ABDUL SHUKOR BIN ABDULLAH) Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Kementerian Pendidikan Malaysia

Page 5: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

PENDAHULUAN

Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imiginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri. Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna. MATLAMAT Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Page 6: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

OBJEKTIF Setelah megikuti kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah murid boleh : 1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan 2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan

menyeronokkan 3. menajamakan daya persepsi dan imiginasi melalui pancaindera 4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya 5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual 6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan

selamat 7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan

bertanggungjawab 8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanaj air 9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni

visual 10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan

yang berfaedah

ORGANISASI KURIKULUM Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil

Page 7: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikam maklumat dan aplikasi computer dalam kerja seni visual.

Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Organisasi kurikulum ini merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu: a. pemerhatian secara aktif b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan c. apresiasi seni visual secara mudah d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan a. Pemerhatian secara aktif Pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangan melalui kegiatan pemerhatian ini.

Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaras idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

b. Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam pelbagai kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni dimasa akan datang.

Page 8: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

c. Apresiasi seni visual secara mudah Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara seperti lisan, cerita, lakonan, nyanyian, karangan dan puisi. Murid diperkenalkan tokoh-tokoh seni dan menghargai sumbangan mereka.

d. Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan. KANDUNGAN Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam empat bidang kegiatan iaitu : 1. Menggambar 2. Membuat Corak dan Rekaan 3. Membentuk dan Membuat Binaan 4. Mengenal Kraf Tradisional Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

Page 9: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

1. MENGGAMBAR Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah: 1.1 Lukisan 1.2 Catan 1.3 Kolaj 1.4 Montaj 1.5 Cetakan 1.6 Resis 1.7 Gosokan 1.8 Stensilan 1.9 Percikan 1.10 Gurisan 1.11 Capan 1.12 Mozek 1.13 Poster Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi focus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apreasiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti penyataan, puisi, lakonan, nyayian dan cerita.

Page 10: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

2. MEMBUAT CORAK DAN REKAAN Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya. Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti: 2.1 Corak tidak terancang secara:

2.1.1 Pualaman 2.1.2 Tiupan 2.1.3 Titisan 2.1.4 Ikatan dan celupan 2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:

2.2.1 Lukisan 2.2.2 Catan 2.2.3 Cetakan 2.2.4 Capan 2.2.5 Lipatan dan guntingan 2.2.6 Resis 2.2.7 Kolaj 2.2.8 Kaligrafi

Bidang ini membolahkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apreasiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

Page 11: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

3. MEMBENTUK DAN MEMBUAT BINAAN Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti: 3.1 Arca timbul 3.2 Asemblaj 3.3 Mobail 3.4 Stabail 3.5 Model 3.6 Diorama 3.7 Boneka 3.8 Topeng 3.9 Origami Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek apreasiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti penyataan, puisi, lakonan, nyayian dan cerita.

Page 12: Sukatan pelajaran psv (kbsr)

4. MENGENAL KRAF TRADISIONAL Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti: 4.1 Alat domestik 4.2 Alat permainan 4.3 Alat pertahanan diri 4.4 Perhiasan diri (ornamen) 4.5 Batik 4.6 Tekat 4.7 Ukiran 4.8 Tenunan 4.9 Anyaman 4.10 Tembikar Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuatalat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apreasiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti penyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.