Bab 1 - Pendahuluan
PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS│1
Pentadbir sekolah dan guru sains hendaklah menerima dan mengiktiraf pendidikan sains dan
teknologi sebagai suatu agenda penting dalam proses pembangunan negara. Mereka
seharusnya mengetahui bahawa perancangan dan penggubalan kurikulum sains adalah
berlandaskan dasar-dasar yang telah diisytiharkan oleh kerajaan. Bagi mendapatkan
gambaran tentang kepentingan pendidikan sains dan teknologi dan pelaksanaannya, bab ini
menjelaskan aspek-aspek berkaitan:
dasar-dasar yang menjadi landasan pendidikan sains dan teknologi;
kepentingan sains dan teknologi;
perancangan dan penggubalan kurikulum sains;
pelaksanaan kurikulum sains;
kebergunaan makmal sains/bilik sains; dan
peranan dan tanggungjawab pengetua/guru besar.
1.1 Dasar-Dasar Yang Menjadi Landasan Pendidikan Sains dan Teknologi
1.1.1 Pihak yang terlibat dengan pelaksanaan kurikulum sains, sama ada guru
sains selaku pelaksana mahupun pengetua/guru besar sebagai pengurus
kurikulum, hendaklah mengetahui, memahami dan menghayati dasar-dasar
kerajaan yang menekankan kepentingan sains dan teknologi dalam agenda
pembangunan negara. Pendidikan sains diwujudkan dengan berlandaskan
inspirasi dan aspirasi negara. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab
pelaksana dan pengurus kurikulum sains untuk merealisasikan hasrat dan
harapan negara. Oleh yang demikian, pengajaran dan pembelajaran sains
hendaklah dilihat sebagai cara untuk membangun dan menghasilkan modal
insan dalam bidang sains dan teknologi yang diperlukan untuk terus menerajui
pembangunan dan kemajuan negara.
1.1.2 Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) telah dilahirkan melalui Penyata Razak
(1956). Dari semasa ke semasa, DPK disemak semula untuk menampung
keperluan semasa dan masa depan negara. Usaha-usaha penyemakan
semula DPK telah menghasilkan Laporan Rahman Talib (1960), Akta
Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Walau apa sahaja perubahan
yang telah dilakukan, teras utama DPK adalah bagi memenuhi keperluan
sumber manusia bukan sahaja dari segi kuantitinya tetapi juga dari segi
kualitinya selaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara
perindustrian.
BAB 1
PENDAHULUAN
Bab 1 - Pendahuluan
2│PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS
1.1.3 Akta Pendidikan 1996 di antaranya menyatakan bahawa tujuan pendidikan
adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran
dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta
bersifat global, sejajar dengan perkembangan pesat sains, teknologi, dan
maklumat (muka surat 13). Akta ini juga dengan jelas menyatakan agenda
pendidikan negara perlu selari dengan kemajuan sains dan teknologi.
Penggubalan Akta Pendidikan 1996 tidak dilakukan secara terasing tetapi
mengambil kira kehendak dan hasrat lain-lain dasar kerajaan seperti Dasar
60:40 Pelajar Sains-Sastera, Dasar Sains dan Teknologi Negara (1986), dan
Wawasan 2020 (1991: Malaysia The Way Forward).
1.1.4 Dasar 60:40 menetapkan nisbah penyertaan pelajar dalam bidang sains dan
teknologi berbanding sastera. Ia merupakan panduan bagi pembangunan
bilangan modal insan berteraskan sains dan teknologi mengikut keperluan
pembangunan negara. Sasarannya masih belum tercapai walaupun selepas
42 tahun pelaksanaannya. Laporan Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia
2004 menunjukkan graduan sains dan teknologi yang dihasilkan oleh Institusi
Pengajian Tinggi Awam hanya 32.4 peratus berbanding keperluan 60 peratus
dalam bidang ini (Utusan Malaysia: 27 Mac 2009, muka surat 31). Antara
isu-isu yang membelenggu pencapaian dasar ini adalah berkaitan kualiti
pengajaran dan pembelajaran sains, prestasi murid dalam mata pelajaran
sains dan teknologi, dan keupayaan guru untuk mengajar sains. Guru sains
dan pengurus kurikulum seharusnya menerima komentar ini sebagai suatu
cabaran. Mereka hendaklah menggembleng pemikiran yang kreatif dan
inovatif dalam mencari kaedah baru bagi merapatkan lagi jurang pencapaian
dengan sasaran yang telah ditetapkan.
1.1.5 Dasar Sains dan Teknologi Negara bermatlamat untuk menggalakkan
penggunaan sains dan teknologi sebagai satu alat untuk pembangunan
ekonomi, membaiki kedudukan fizikal dan kesejahteraan rakyat, dan untuk
melindungi kedaulatan negara, yang merupakan sebahagian daripada dasar
pembangunan sosioekonomi negara. Dasar ini memberi fokus kepada
usaha-usaha meningkatkan keupayaan berdikari dalam bidang saintifik dan
teknologi untuk membantu aktiviti ekonomi dengan cara mewujudkan suasana
yang baik untuk menggalakkan penciptaan saintifik dan memperbaiki
infrastruktur dalam bidang saintifik, pelajaran dan bidang-bidang lain yang
berkaitan.
1.1.6 Gagasan “Malaysia: The Way Forward” yang diisytiharkan pada tahun 1991
telah menggariskan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara industri yang maju menjelang 2020 dengan ahli masyarakat yang
berorientasikan sains dan teknologi untuk terus memacu aktiviti ekonomi agar
berdaya saing, dinamik, giat dan berdaya tahan. Antara bidang hasil utama
yang perlu dicapai ke arah membangunkan sebuah negara maju telah
Bab 1 - Pendahuluan
PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS│3
dinyatakan dengan jelas iaitu: (i) mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin
dan produktif serta meningkatkan kemahiran-kemahiran perlu bagi
menghadapi cabaran dalam pembangunan industri melalui budaya
kecemerlangan, dan (ii) membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam
teknologi strategik yang berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan
teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian moden.
1.1.6.1 Kemajuan keupayaan sains dan teknologi adalah cabaran yang
keenam di antara sembilan cabaran yang disenaraikan dalam
Wawasan 2020. Negara mesti mempunyai keupayaan untuk
memaju dan menyelaraskan sumber-sumber sains dan teknologi
yang ada dalam negara supaya mencapai hasrat menjadikan
Malaysia sebuah masyarakat yang berasaskan sains dan yang
progresif, iaitu satu masyarakat yang berdaya cipta dan
berpandangan jauh, sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat
memanfaatkan teknologi masa kini tetapi turut menjadi
penyumbang kepada kemajuan peradaban sains dan teknologi
masa hadapan.
1.1.6.2 Matlamat yang perlu dicapai adalah untuk meningkatkan
keupayaan sains dan teknologi berasaskan kepada hasrat untuk
membentuk satu ekonomi yang cekap teknologinya serta mampu
melakukan penyesuaian pembaharuan dan pelaburan yang
berteknologi intensif dan bergerak ke arah penggunaan teknologi
yang canggih.
1.1.7 Kesimpulannya, Akta Pendidikan 1996, Dasar 60:40, Dasar Sains dan
Teknologi Negara, dan Wawasan 2020 telah meletakkan kepentingan
pendidikan sains dengan sewajarnya dalam agenda pembangunan negara.
Pelaksana dan pengurus kurikulum sains seharusnya memahami dan
menghayati inspirasi dan aspirasi yang tersurat dan tersirat dalam
dasar-dasar tersebut. Mereka seharusnya dapat melihat dengan jelas hala
tuju pendidikan sains dengan hasrat untuk terus menyumbang kepada
penerusan pembangunan dan kemajuan negara.
1.2 Kepentingan Sains dan Teknologi
1.2.1 Pengurus kurikulum, amnya dan pelaksana kurikulum sains dan murid,
khususnya, seharusnya dapat menggarapkan kepentingan sains dan
teknologi dalam kemajuan kehidupan manusia dan pembangunan negara.
Bukalah pintu hati dan minda murid untuk mengimbas persekitaran mereka
bagi mencari bukti bahawa kesenangan, kenikmatan dan kemanfaatan hidup
mereka adalah hasil daripada kemajuan sains dan teknologi. Guru sains
Bab 1 - Pendahuluan
4│PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS
perlu menyuntik minda murid dengan kenyataan bahawa kemajuan sains dan
teknologi akan terus berkembang dalam ruang dan peluang yang tiada
batasannya selagi Tuhan menganugerahkan minda yang kreatif dan inovatif
kepada manusia.
1.2.2 Sains dan teknologi adalah merupakan jantung bagi kemajuan masyarakat
manusia. Sains dan teknologi telah menyediakan banyak faedah dan
manfaat kepada manusia dengan kesihatan yang bertambah baik, umur wang
lebih panjang, kelegaan dari kesakitan, hari bekerja yang bertambah pendek,
persekitaran bekerja yang lebih selamat dan selesa. Di samping itu, lebih
banyak makanan lagi berkhasiat dapat dinikmati, pakaian serta perumahan
yang lebih selesa, dan lebih banyak peluang untuk menikmati pendidikan,
hiburan dan perjalanan.
1.2.3 Dalam konteks globalisasi, kemampuan sesebuah negara untuk mencapai
dan mengekalkan tahap kehidupan yang tinggi adalah bergantung pada
sejauh mana ia dapat memanfaatkan perkembangan dan kemajuan sains dan
teknologi. Kemampuan sesebuah negara untuk memanfaatkan teknologi
moden bergantung pada tahap pendidikan rakyatnya. Justeru,
pembangunan modal insan yang mampu menerima dan menghayati sains
dan teknologi perlu diberi penekanan sewajarnya agar mereka dapat
memastikan ekonomi negara terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.
1.3 Perancangan dan Penggubalan Kurikulum Sains
1.3.1 Pelaksana dan pengurus kurikulum sains hendaklah memahami dan
menghayati semangat dan hasrat di sebalik perancangan dan penggubalan
kurikulum sains. Mereka juga seharusnya memahami tujuan pendidikan
sains di sekolah, aspek-aspek penting, pendekatan, dan kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang dicadangkan.
1.3.2 Tanggungjawab Kementerian Pelajaran adalah memastikan pendidikan sains
dan teknologi sentiasa relevan serta dimartabatkan selaras dengan keperluan
perkembangan dan kemajuan semasa dan masa hadapan negara.
1.3.3 Pendidikan sains mempunyai tiga tujuan, iaitu:
1.3.3.1 Menyediakan murid dengan latar belakang ilmu pengetahuan dan
kemahiran sains bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian
dalam bidang-bidang berasaskan sains dan teknologi di institusi
pengajian tinggi (IPT).
1.3.3.2 Menyediakan murid untuk mendapatkan pekerjaan serta menjadikan
sains dan teknologi sebagai bidang kerjaya mereka.
1.3.3.3 Menyediakan murid untuk menjadi warganegara yang kenal/celik
Bab 1 - Pendahuluan
PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS│5
sains.
1.3.4 Secara idealnya, produk pendidikan sains keluaran sekolah hendaklah sifar
kecacatan untuk melalui proses pengajian lanjutan di IPT, ataupun menceburi
bidang pekerjaan dan kerjaya. Produk yang cacat akan menyebabkan klien,
sama ada pihak IPT mahu pun majikan, tidak berpuas hati dan terpaksa
menanggung kos untuk pembaikpulihan produk. Jika klien mempunyai
pilihan lain nescaya mereka akan mengetepikan produk tidak berkualiti yang
dihasilkan oleh sekolah.
1.3.5 Bagi memastikan mutu pendidikan sains, kurikulum bersepadu sains telah
dirancang dan digubal dengan mengambil kira input daripada ahli akademik,
profesional dan industri dalam bidang sains yang berkenaan, input daripada
guru sains selaku pelaksana mengikut bidang pengkhususan masing-masing,
dan menanda aras standard serta membandingkan kandungan kurikulum
dengan negara yang berada di sepuluh kedudukan teratas dalam TIMSS
(Trends in Mathematics and Science Study).
1.3.6 Antara aspek-aspek penting yang ditekankan dalam pelaksanaan kurikulum
bersepadu sains termasuk:
1.3.6.1 Pembangunan Kemahiran Saintifik: mengkaji, mengkelasifikasi,
mengukur dan menggunakan nombor, membuat inferens, membuat
ramalan, berkomunikasi, mentafsir data, mendefinisikan
pengoperasian, mengawal pemboleh ubah, membuat hipotesis dan
kemahiran manipulatif.
1.3.6.2 Pembangunan Kemahiran Berfikir Secara Kritis: penjanaan sifat,
membanding dan membeza, pengelompokan dan pengelasan,
menyusun mengikut urutan, menentukan keutamaan, menganalisis,
mengesan kecenderungan, menilai, dan membuat kesimpulan.
1.3.6.3 Pembangunan Kemahiran Berfikir Secara Kreatif: menjanakan
fikiran, membuat perkaitan, membuat inferens, meramal, membuat
generalisasi, menggambarkan, mensintesiskan, membuat hipotesis,
membuat analogi dan mereka cipta.
1.3.6.4 Pembangunan Strategi Pemikiran: mengkonsepsikan, membuat
keputusan dan penyelesaian masalah.
1.3.6.5 Pembangunan Sikap Saintifik dan Nilai Murni: menjiwai sesuatu
yang benar, penghayatan dan amalan kerja saintifik yang sistematik,
berani mencuba, berfikir secara rasional, berkeyakinan dan
berdikari.
Bab 1 - Pendahuluan
6│PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS
1.3.7 Antara pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dicadangkan
termasuk inkuiri-penemuan, konstruktivisme, pembelajaran kontekstual, dan
pembelajaran masteri.
1.3.8 Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dicadangkan termasuk
eksperimen, perbincangan, simulasi, projek, lawatan luar, penggunaan
sumber luar dan penggunaan teknologi.
1.3.9 Kesimpulannya, guru sains, selaku pelaksana kurikulum sains seharusnya
membaca, memahami, menghayati dan melaksanakan kurikulum sains
mengikut hasil/standard pembelajaran yang telah ditetapkan.
1.4 Pelaksanaan Kurikulum Sains
1.4.1 Detik kebenaran („the moment of truth’) pelaksanaan kurikulum sains adalah
di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru hendaklah:
1.4.1.1 menyediakan rancangan mengajar sains yang lebih kemas.
Perancangan pengajaran sains tidak boleh disamakan dengan
perancangan lain-lain mata pelajaran. Guru sains perlu
menentukan kaedah dan strategi yang terbaik untuk mencapai
hasil/standard pembelajaran yang ditetapkan, menyediakan senarai
peralatan/bahan yang diperlukan, menganggarkan masa yang
diperlukan (sebelum, semasa dan selepas aktiviti), dan menentukan
persekitaran yang sesuai untuk aktiviti sama ada di makmal
sains/bilik sains atau di luar bilik darjah. Perancangan mengajar
memberi kelebihan dan manfaat berikut:
i. menggambarkan dan menyediakan diri untuk sebarang aktiviti
pengajaran yang hendak ditekankan dan bagaimana menyusun
langkah-langkah secara berkesan;
ii. mengelakkan “perancangan segera” atau “tanpa persediaan”,
yang mana, kerana kurang asas yang baik, selalunya
menghasilkan pengajaran yang lemah;
iii. untuk rujukan pada masa depan, bagi memperkukuh kekuatan
dan menambah baik kelemahan yang dikesan dalam
perancangan sebelumnya;
iv. mendapat rasa hormat daripada murid kerana guru membuat
persediaan mengajar; dan
Bab 1 - Pendahuluan
PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS│7
v. memastikan kepaduan kandungan yang hendak diajar.
1.4.1.2 mengajar dengan berkesan. Pengajaran yang menekankan
‘teaching the test’ dan bergantung pada buku teks akan
menyebabkan murid mengalami defisit terkumpul bagi pengetahuan
dan kemahiran-kemahiran penting (kemahiran proses sains,
kemahiran manipulatif, kemahiran berfikir) yang dihasratkan dalam
pembelajaran sains. Kaedah dan strategi pengajaran yang
disarankan dalam huraian sukatan pelajaran/ standard kandungan
hendaklah dilaksanakan.
1.4.1.3 meningkatkan pengetahuan. Semua guru sains perlu berusaha
mencari dan menambah ilmu melalui pelbagai sumber terutama
melalui kemudahan ICT.
1.5 Kebergunaan Makmal Sains/ Bilik Sains
1.5.1 Sains adalah mata pelajaran teras yang mesti dipelajari oleh semua murid di
sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Sesuai dengan status
tersebut, makmal sains disediakan di sekolah menengah dengan kelengkapan
seperti radas, peralatan dan bahan bagi pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran sains. Di sekolah rendah, bilik sains disediakan di samping
sekolah digalakkan mengubah suai bilik untuk menjalankan aktiviti makmal
bagi pembelajaran sains di samping menyimpan bahan dan peralatan sains.
1.5.2 Pembangunan modal insan dalam bidang sains dan teknologi direalisasikan
melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, proses
pengajaran dan pembelajaran hendaklah memberi fokus kepada aspek-aspek
berikut:
i. membantu murid menjadi pemikir yang aktif;
ii. menggalakkan pemahaman saintifik yang mendalam;
iii. menggalakkan penyertaan maksimum dalam pembelajaran; dan
iv. menyediakan aktiviti pembelajaran yang berkualiti.
1.5.3 Makmal sains/ bilik sains yang dilengkapi dengan kemudahan, peralatan dan
bahan secukupnya merupakan wahana penting bagi pelaksanaan aktiviti yang
mungkin membantu murid mencapai hasil/ standard pembelajaran yang telah
ditetapkan.
Bab 1 - Pendahuluan
8│PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS
1.5.4 Aktiviti makmal menyediakan peluang bagi murid berinteraksi secara terus
dengan bahan semula jadi, menggunakan peralatan yang bersesuaian, teknik
pengumpulan data, model, konsep, prinsip serta teori dalam sains. Matlamat
pembelajaran sains yang boleh dicapai melalui aktiviti makmal termasuk:
i. mempertingkatkan masteri kandungan pembelajaran;
ii. memperkembangkan pemikiran saintifik;
iii. memahami kompleksiti dan kesamaran kerja empirik;
iv. memperkembangkan kemahiran praktik;
v. memahami sifat-sifat sains;
vi. memupuk minat dalam sains;
vii. memupuk minat dalam pembelajaran sains; dan
viii. memperkembangkan kemampuan kerja berkumpulan.
1.5.5 Aktiviti makmal dapat memperkembangkan keupayaan intelek dan kemahiran
saintifik murid melalui interaksi otak, tangan, mata, telinga dan hidung. Bagi
memastikan murid mencapai matlamat ini, guru hendaklah menyediakan
pengalaman pembelajaran berasaskan ‘hands on, minds on’ melalui
pendekatan dan kaedah yang telah dicadangkan. Di samping itu, guru juga
perlu mengenal pasti peralatan, bahan dan persekitaran yang sesuai sama ada
makmal sains/ bilik sains, kawasan sekitar sekolah mahupun di luar sekolah.
Konsep pembelajaran di luar bilik darjah (PLBD) hendaklah dimanfaatkan
sepenuhnya sesuai dengan hasil/ standard pembelajaran yang hendak dicapai.
1.5.6 Mengajar sains secara berkesan adalah sukar tetapi ia boleh mendatangkan
kepuasan apabila murid berjaya mencapai ilmu dan kemahiran yang
dihasratkan hasil daripada usaha guru. Walau bagaimanapun, jika murid
bekerja keras tetapi gagal dalam pembelajaran, guru harus bertanggungjawab
ke atasnya.
1.5.7 Walaupun guru berasa terbeban dengan perancangan dan persediaan
pengajaran sains yang rapi, namun murid akan melalui pengalaman
pembelajaran yang menyeronokkan lagi bermakna berbanding kaedah
pengajaran ‘chalk and talk’, menggunakan buku teks semata-mata atau
„teaching the test’.
Bab 1 - Pendahuluan
PANDUAN PENGURUSAN & KESELAMATAN MAKMAL SAINS│9
1.5.8 Makmal sains/ bilik sains bukan sahaja dijadikan wahana untuk pengajaran dan
pembelajaran sains tetapi juga sebagai wahana untuk melicinkan pelaksanaan
Pentaksiran Kerja Amali Sains (PEKA) dan pentaksiran berasaskan sekolah.
1.5.9 Kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan makmal
sains, kemudahan, peralatan dan bahan bagi menyokong pelaksanaan
pendidikan sains di sekolah. Oleh itu, pihak sekolah hendaklah menggunakan
kemudahan yang disediakan secara optimum.
1.6 Peranan dan Tanggungjawab Pengetua/ Guru Besar
1.6.1 Pengetua/ guru besar mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk
melaksanakan kurikulum sains sebagaimana yang telah dirancang. Peranan
dan tanggungjawab ini adalah untuk melahirkan modal insan yang berbekalkan
keupayaan intelek dan kemahiran saintifik bagi menyumbang kepada
pembangunan dan kemajuan negara. Sekolah seharusnya dapat menyahut
permintaan tenaga kerja daripada sektor awam dan juga sektor swasta.
Sebagai contoh, industri bioteknologi negara yang dijangka berkembang
dengan begitu pesat dengan pulangan berbilion ringgit menghadapi masalah
dalam mendapatkan tenaga kerja mahir/ profesional untuk memacu kemajuan
dan perkembangannya. Akibatnya, negara akan ketinggalan dalam
persaingan dengan negara-negara lain, dan seterusnya menjejaskan
pembangunan ekonomi negara.
1.6.2 Fungsi Pengetua/ guru besar sebagai pengurus kurikulum telah diperjelaskan
dalam dokumen bertajuk “Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah
Malaysia” terbitan Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.